Tajuk tulisan
saya kali ini adalah bertepatan dengan terlakarnya satu sejarah pertemuan
antara Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou atas
usaha diplomatik Singapura sebagai tuan rumah pada 7hb November, 2015.
Saya namakan
tajuknya, ”Pertemuan Xi Jinping dan Ma Ying-Jeou terhadap hubungan dua daratan
Selat Taiwan” atau ditulis dalam bahasa Cina sebagai, “习马会对海峡两岸的关系“.
Dalam
memperkatakan hubungan antara China dan Taiwan, dalam bahasa Cina sering hanya
menulis sebagai “两岸“(disebut
liang – an) yang bermakna “dua daratan”. Secara umum mengetahui bahawa terma
“dua daratan” adalah Negara China dan Wilayah Taiwan yang dipisahkan oleh Selat
Taiwan.
Apakah
signifikan dan asas-asas kepada pertemuan bersejarah ini setelah China dan
Taiwan berpisah selama 66 tahun sejak tahun 1949 lagi. Ia akan dihuraikan dalam
segmen sejarah perang saudara antara Parti Komunis China dan parti Nasionalis,
iaitu Parti Kuomintang.
Dalam pertemuan
yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Singapura pada 7hb November,
Presiden China Xi Jinping dan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou telah ditemukan
tepat pada pukul 3.00 petang waktu Singapura.
Kedua-dua
pemimpin ini telah berjabat-tangan buat pertama kali bagi mewakili dua parti
yang berbeza ideologi. Kali terakhir pertemuan bagi pemimpin parti Komunis
China dan Parti Kuomintang diadakan pada tahun 1945 antara Mao ZeDong dan
Chiang Kai-Seek. Namun pertemuan itu didakwa “gagal” dan membawa kepada perang
saudara.
Dalam ucapan
alu-aluan oleh Presiden China, Xi Jinping, beliau telah menuturkan bahawa,”两岸打断骨头连着筋“ yang bermakna,”hubungan dua daratan
sekalipun patah tulang disambungkan dengan daging”.
Selain itu,
diucapkan,”两岸血浓于水“
yang bermakna, “hubungan dua daratan dengan darah yang lebih kental daripada
air”.
Pertemuan
bersejarah ini diiringi oleh protes sebilangan rakyat Taiwan dan diselubungi
oleh ketidaktentuan masa depan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang.
Ini kerana pada
bulan Januari tahun depan (2016) akan diadakan Pilihanraya Presiden. Namun,
Presiden Ma Ying-Jeou akan tamat dua penggal pentadbirannya sejak tahun 2008
lagi.
Kini rating bagi
parti pemerintah dan bakal calon Presiden dari parti Kuomintang dikatakan tidak
cukup kuat untuk mengimbangi populariti dari parti pembangkang, iaitu Parti
Progresif Demokratik (DPP).
Dikatakan Ma
Ying-Jeou akan menggunakan kesempatan pertemuan dengan Presiden China, Xi
Jinping sebagai platform meraih sokongan dari rakyat.
Presiden China pula
telah menekankan bahawa pertemuan ini dan hubungan akan datang adalah
berteraskan kepada “Konsensus 1992”, iaitu yang mengiktiraf “Satu China”. Namun
kedua-dua pihak mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai konsensus ini.
Sebenarnya,
Singapura telah merintis jalan bagi menghubungkan antara China dan Taiwan. Pada
tahun 1993, Singapura telah mengatur pertemuan tidak rasmi antara delelasi
China dan Taiwan. Kemudian disusuli dalam beberapa pertemuan yang membawa
kepada peringkat yang lebih tinggi.
Maka kali ini,
adalah kemuncak kepada pertemuan bersejarah itu.
Singapura yang
selayaknya mengaturkan pertemuan ini, memandangkan ia dikatakan sebagai “negara
China ketiga selepas China dan Taiwan”.
Ia juga memberi
manfaat yang sangat besar dari aspek ekonomi dan perdagangan bagi Singapura,
China dan Taiwan. China, kini adalah rakan dagang terbesar bagi Taiwan.
Pelaburan Taiwan di China begitu besar sehinggakan kini bank China telahpun
beroperasi di Taiwan.
Singapura dan
Taiwan banyak mendapat manfaat daripada dasar kapatalisma China terhadap
beberapa wilayah selatan dan tenggara negara itu pada eza Deng Xiao Ping.
Ketika itu telah
diwujudkan “satu negara, dua sistem”, di mana wilayah-wilayah selatan dan
tenggara telah dibenarkan untuk membangun serta menerima pelaburan asing yang
berasaskan kapatalisma.
Maka kini, salah
satu wilayah yang paling menonjol ialah Wilayah Guangdong yang banyak menerima
pelaburan Taiwan dan Singapura.
Ibu negeri
Wilayah Guangdong ialah Guangzhou, yang dulunya dikenali sebagai Canton.
Kini Guangzhou
telah menjadi syurga bagi warga asing, termasuk dari Malaysia untuk membeli
barangan buatan China dengan harga yang murah.
Setelah Hong
Kong dikembalikan kepada China pada tahun 1977, maka kerancakan pembangunan
sistem kapatalisma semakin menyerlah.
Oleh itu, China
tidak dapat bertahan lagi dengan dasar komunis eza Mao ZeDong. Ia terpaksa
menerima hakikat bahawa dunia kapatalisma telah menguasai ekonomi China.
Maka, China
terpaksa mengakui bahawa Taiwan walaupun dianggap sebagai “pemberontak” dalam
istilah politik mereka, tetapi ia adalah yang melonjakkan ekonomi China.
Peranan Taiwan dalam pembangunan China tidak dapat dinafikan.
Oleh itu
keputusan Presiden Xi Jinping untuk bertemu dengan Presiden Taiwan juga
dibayangi dengan kuasa ekonomi Taiwan.
Selepas
Peperangan Dunia Ke II di tahun 1945, Jepun menyerah kalah dan keluar dari
negara China. Namun, berlaku peperangan saudara antara Parti Komunis China yang
diketuai oleh Mao ZeDong dan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang yang
diketuai oleh Jeneral Chiang Kai-Seek.
Akhirnya
kerajaan yang dikuasai oleh Parti Kuomintang terpaksa berundur ke Taiwan dalam
tahun 1949 bersama hampir dua juta pengikutnya. Maka Jeneral Chiang Kai-Seek
telah menjadikan Taiwan sebagai benteng pertahanannya dan mengistiharkannya
sebagai Presiden Taiwan.
Sehingga hari
ini, penduduk Taiwan masih memisahkan antara “imigran” semasa pengunduran
perang dari China ke Taiwan dalam tahun
1949 dengan “penduduk asal” Taiwan.
Orang-orang yang
“pindah” dari Tanah Besar China serta keturunannya biasanya adalah penyokong
parti Kuomintang. Mereka dikategorikan sebagai “外省人“ iaitu “orang dari wilayah lain”, yang
bermakna dari Tanah Besar China.
Manakala
penduduk asal Taiwan dikenali sebagai “本省人“ iaitu “orang wilayah ini”, iaitu
dimaksudkan orang-orang asal Taiwan. Mereka adalah penyokong tegar kepada parti
pembangkang, iaitu Parti Progresif Demokratik.
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
|
Harga RM90.00 |
Sejak pengunduran tentera dan kerajaan Parti Kuomintang dalam tahun 1949, Taiwan mengisytiharkan undang-undang tentera. Ini kerana peperangan dengan Parti Komunis China masih belum berakhir. Ia dianggap sebagai “era perang dingin”.
Malah sehingga
kini, antara China dan Taiwan masih belum termeterai Perjanjian Damai yang
berkekalan.
Bagaimanapun
transformasi politik di Taiwan tidak dapat dibendung dengan undang-undang
tentera lantaran “kemarahan” dari penduduk asal Taiwan terhadap parti
pemerintah, Parti Kuomintang.
Maka
undang-undang tentera ditarik balik dalam tahun 1986. Selepas itu, barulah
tertubuhnya banyak parti-parti politik yang secara amnya menentang parti pemerintah,
parti Kuomintang.
Sejak tahun 1986
sehingga sekarang, parti yang memerintah Taiwan silih berganti antara Parti
Kuomintang dan Parti Progresif Demokratik.
Dalam tahun 1983
– 1987, ketika itu saya berada di Taiwan kerana melanjutkan pengajian di bidang
kejuruteraan di National Cheng Kung University, Tainan, Taiwan.
Saya sempat
melihat dua era iaitu era perang dingin dan era transformasi politik Taiwan.
Pengalaman melihat era perang dingin dan
era transformasi politik
Walaupun
kehidupan rakyat dikatakan aman, tetapi di pihak tentera sentiasa bersiap-siaga
terhadap ancaman perang dari China. Perkara yang saya ingati ialah setiap dalam
beberapa bulan akan ada sebuah jet pejuang tentera udara China yang “mencari
kekebasan” 投奔自由“mendarat
di lapangan terbang Taiwan.
Di pihak China
akan mengecamnya sebagai pengkhianat revolusi, manakala di pihak Taiwan pula menganggap
sebagai “pencari kebebasan” dari belenggu sistem Komunis.
Maka ia akan
menjadi satu berita besar dan suasana “yang dingin” menjadi “panas”.
Manakala politik
di Taiwan ketika itu amatlah “huru-hara”. Ia adalah kemuncak sebelum
undang-undang darurat dihapuskan dalam tahun 1986.
Gerakan bawah
tanah yang menuntut kemerdekaan Taiwan semakin lantang. Maka dengan terhapusnya
undang-undang darurat dalam tahun 1986, maka semua gerakan ini telah
ditransformasikan dalam bentuk parti-parti politik.
Maka sebab
itulah parti-parti pembangkang di Taiwan yang kebanyakannya adalah penyokong
penduduk asal Taiwan memegang gagasan “Taiwan Merdeka”. Ia adalah motto bagi
Parti Progresif Demokratik.
Namun ia
bertentangan dengan dasar parti Kuomintang yang inginkan penyatuan “Satu China”
dengan Tanah Besar China melalui konsep demokrasi ala Taiwan.
Tetapi China
pula mempunyai dasar yang sama iaitu penyatuan dengan Taiwan melalui “Satu
China” dengan konsep Komunis.
Saya sempat
melihat pilihanraya pertama yang diadakan di Taiwan dalam tahun 1987. Oleh
kerana ia selama ini diperintah oleh tentera, dan hanya baru mendapat “suara
rakyat”, maka suasana “hiruk-pikuk” politik dan tiada kematangan berpolitik
secara demokrasi.
Maka tidak
hairanlah, kita sering melihat di kaca TV “adegan” tumbuk-menumbuk dan
membaling kerusi yang berlaku di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Taiwan.
Antara wakil rakyat Parti Kuomintang dengan Parti Progresif Demokratik tidak
pernah boleh “duduk semeja minum teh” seperti yang berlaku di lobi parlimen
negara kita.
Di akhir tahun
1987 saya kembali ke tanahair dengan segulung ijazah sebagai graduan jurutera.
Taiwan, yang
saya tinggalkan dulu selama 28 tahun, tidak seperti yang dahulu. Ia semakin gah
dengan kepesatan ekonomi dan kemajuan teknologinya.
Walaupun saiz
Tanah Besar China yang begitu besar dengan kelengkapan ketenteraan yang hebat,
dan Taiwan hanyalah sebuah pulau yang kecil dan dipencilkan pula di pentas
politik dunia kerana dibayangi oleh Beijing.
Namun kuasa
ekonomi Taiwan telah menggerunkan China, maka pertemuan antara Presiden China,
Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou dilihat sebagai satu percaturan
politik dan ekonomi bagi satu keadaan menang-menang bagi kedua-dua pihak.
Untuk masa
datang, apakah akan terjadi dengan China ? Apakah ia mampu untuk menguasai
Taiwan dengan “Satu China” melalui dasar Komunis ?
Atau Taiwan
mampu untuk menyatukan China melalui “Satu China” dengan demokrasinya ?
Hanya masa
menentukan segalanya.
Ditulis oleh :
Hisemudin Kasim9/11/2015
Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari
Perhatian !
Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send
Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.