Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Monday, November 9, 2015

Pertemuan Xi Jinping dan Ma Ying-Jeou terhadap hubungan dua daratan Selat Taiwan


Tajuk tulisan saya kali ini adalah bertepatan dengan terlakarnya satu sejarah pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou atas usaha diplomatik Singapura sebagai tuan rumah pada 7hb November, 2015.

Saya namakan tajuknya, ”Pertemuan Xi Jinping dan Ma Ying-Jeou terhadap hubungan dua daratan Selat Taiwan” atau ditulis dalam bahasa Cina sebagai, “习马会对海峡两岸的关系“.

Dalam memperkatakan hubungan antara China dan Taiwan, dalam bahasa Cina sering hanya menulis sebagai “两岸“(disebut liang – an) yang bermakna “dua daratan”. Secara umum mengetahui bahawa terma “dua daratan” adalah Negara China dan Wilayah Taiwan yang dipisahkan oleh Selat Taiwan.

Apakah signifikan dan asas-asas kepada pertemuan bersejarah ini setelah China dan Taiwan berpisah selama 66 tahun sejak tahun 1949 lagi. Ia akan dihuraikan dalam segmen sejarah perang saudara antara Parti Komunis China dan parti Nasionalis, iaitu Parti Kuomintang.

Dalam pertemuan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Singapura pada 7hb November, Presiden China Xi Jinping dan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou telah ditemukan tepat pada pukul 3.00 petang waktu Singapura.

Kedua-dua pemimpin ini telah berjabat-tangan buat pertama kali bagi mewakili dua parti yang berbeza ideologi. Kali terakhir pertemuan bagi pemimpin parti Komunis China dan Parti Kuomintang diadakan pada tahun 1945 antara Mao ZeDong dan Chiang Kai-Seek. Namun pertemuan itu didakwa “gagal” dan membawa kepada perang saudara.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Presiden China, Xi Jinping, beliau telah menuturkan bahawa,”两岸打断骨头连着筋“ yang bermakna,”hubungan dua daratan sekalipun patah tulang disambungkan dengan daging”.

Selain itu, diucapkan,”两岸血浓于水“ yang bermakna, “hubungan dua daratan dengan darah yang lebih kental daripada air”.

Pertemuan bersejarah ini diiringi oleh protes sebilangan rakyat Taiwan dan diselubungi oleh ketidaktentuan masa depan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang.

Ini kerana pada bulan Januari tahun depan (2016) akan diadakan Pilihanraya Presiden. Namun, Presiden Ma Ying-Jeou akan tamat dua penggal pentadbirannya sejak tahun 2008 lagi.

Kini rating bagi parti pemerintah dan bakal calon Presiden dari parti Kuomintang dikatakan tidak cukup kuat untuk mengimbangi populariti dari parti pembangkang, iaitu Parti Progresif Demokratik (DPP).

Dikatakan Ma Ying-Jeou akan menggunakan kesempatan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping sebagai platform meraih sokongan dari rakyat.

Presiden China pula telah menekankan bahawa pertemuan ini dan hubungan akan datang adalah berteraskan kepada “Konsensus 1992”, iaitu yang mengiktiraf “Satu China”. Namun kedua-dua pihak mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai konsensus ini.

Sebenarnya, Singapura telah merintis jalan bagi menghubungkan antara China dan Taiwan. Pada tahun 1993, Singapura telah mengatur pertemuan tidak rasmi antara delelasi China dan Taiwan. Kemudian disusuli dalam beberapa pertemuan yang membawa kepada peringkat yang lebih tinggi.

Maka kali ini, adalah kemuncak kepada pertemuan bersejarah itu.

Singapura yang selayaknya mengaturkan pertemuan ini, memandangkan ia dikatakan sebagai “negara China ketiga selepas China dan Taiwan”.

Ia juga memberi manfaat yang sangat besar dari aspek ekonomi dan perdagangan bagi Singapura, China dan Taiwan. China, kini adalah rakan dagang terbesar bagi Taiwan. Pelaburan Taiwan di China begitu besar sehinggakan kini bank China telahpun beroperasi di Taiwan.

Singapura dan Taiwan banyak mendapat manfaat daripada dasar kapatalisma China terhadap beberapa wilayah selatan dan tenggara negara itu pada eza Deng Xiao Ping.

Ketika itu telah diwujudkan “satu negara, dua sistem”, di mana wilayah-wilayah selatan dan tenggara telah dibenarkan untuk membangun serta menerima pelaburan asing yang berasaskan kapatalisma.

Maka kini, salah satu wilayah yang paling menonjol ialah Wilayah Guangdong yang banyak menerima pelaburan Taiwan dan Singapura.

Ibu negeri Wilayah Guangdong ialah Guangzhou, yang dulunya dikenali sebagai Canton.

Kini Guangzhou telah menjadi syurga bagi warga asing, termasuk dari Malaysia untuk membeli barangan buatan China dengan harga yang murah.

Setelah Hong Kong dikembalikan kepada China pada tahun 1977, maka kerancakan pembangunan sistem kapatalisma semakin menyerlah.

Oleh itu, China tidak dapat bertahan lagi dengan dasar komunis eza Mao ZeDong. Ia terpaksa menerima hakikat bahawa dunia kapatalisma telah menguasai ekonomi China.

Maka, China terpaksa mengakui bahawa Taiwan walaupun dianggap sebagai “pemberontak” dalam istilah politik mereka, tetapi ia adalah yang melonjakkan ekonomi China. Peranan Taiwan dalam pembangunan China tidak dapat dinafikan.

Oleh itu keputusan Presiden Xi Jinping untuk bertemu dengan Presiden Taiwan juga dibayangi dengan kuasa ekonomi Taiwan.

 Sejarah perang saudara dan era perang dingin China - Taiwan
 

Selepas Peperangan Dunia Ke II di tahun 1945, Jepun menyerah kalah dan keluar dari negara China. Namun, berlaku peperangan saudara antara Parti Komunis China yang diketuai oleh Mao ZeDong dan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang yang diketuai oleh Jeneral Chiang Kai-Seek.

Akhirnya kerajaan yang dikuasai oleh Parti Kuomintang terpaksa berundur ke Taiwan dalam tahun 1949 bersama hampir dua juta pengikutnya. Maka Jeneral Chiang Kai-Seek telah menjadikan Taiwan sebagai benteng pertahanannya dan mengistiharkannya sebagai Presiden Taiwan.

Sehingga hari ini, penduduk Taiwan masih memisahkan antara “imigran” semasa pengunduran perang  dari China ke Taiwan dalam tahun 1949 dengan “penduduk asal” Taiwan.

Orang-orang yang “pindah” dari Tanah Besar China serta keturunannya biasanya adalah penyokong parti Kuomintang. Mereka dikategorikan sebagai “外省人“ iaitu “orang dari wilayah lain”, yang bermakna dari Tanah Besar China.

Manakala penduduk asal Taiwan dikenali sebagai “本省人“ iaitu “orang wilayah ini”, iaitu dimaksudkan orang-orang asal Taiwan. Mereka adalah penyokong tegar kepada parti pembangkang, iaitu Parti Progresif Demokratik.

Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin.
Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


Sejak pengunduran tentera dan kerajaan Parti Kuomintang dalam tahun 1949, Taiwan mengisytiharkan undang-undang tentera. Ini kerana peperangan dengan Parti Komunis China masih belum berakhir. Ia dianggap sebagai “era perang dingin”.

Malah sehingga kini, antara China dan Taiwan masih belum termeterai Perjanjian Damai yang berkekalan.

Bagaimanapun transformasi politik di Taiwan tidak dapat dibendung dengan undang-undang tentera lantaran “kemarahan” dari penduduk asal Taiwan terhadap parti pemerintah, Parti Kuomintang.

Maka undang-undang tentera ditarik balik dalam tahun 1986. Selepas itu, barulah tertubuhnya banyak parti-parti politik yang secara amnya menentang parti pemerintah, parti Kuomintang.

Sejak tahun 1986 sehingga sekarang, parti yang memerintah Taiwan silih berganti antara Parti Kuomintang dan Parti Progresif Demokratik.

Dalam tahun 1983 – 1987, ketika itu saya berada di Taiwan kerana melanjutkan pengajian di bidang kejuruteraan di National Cheng Kung University, Tainan, Taiwan.

Saya sempat melihat dua era iaitu era perang dingin dan era transformasi politik Taiwan.
 

Pengalaman melihat era perang dingin dan era transformasi politik
 
Walaupun kehidupan rakyat dikatakan aman, tetapi di pihak tentera sentiasa bersiap-siaga terhadap ancaman perang dari China. Perkara yang saya ingati ialah setiap dalam beberapa bulan akan ada sebuah jet pejuang tentera udara China yang “mencari kekebasan” 投奔自由“mendarat di lapangan terbang Taiwan.

Di pihak China akan mengecamnya sebagai pengkhianat revolusi, manakala di pihak Taiwan pula menganggap sebagai “pencari kebebasan” dari belenggu sistem Komunis.

Maka ia akan menjadi satu berita besar dan suasana “yang dingin” menjadi “panas”.

Manakala politik di Taiwan ketika itu amatlah “huru-hara”. Ia adalah kemuncak sebelum undang-undang darurat dihapuskan dalam tahun 1986.

Gerakan bawah tanah yang menuntut kemerdekaan Taiwan semakin lantang. Maka dengan terhapusnya undang-undang darurat dalam tahun 1986, maka semua gerakan ini telah ditransformasikan dalam bentuk parti-parti politik.

Maka sebab itulah parti-parti pembangkang di Taiwan yang kebanyakannya adalah penyokong penduduk asal Taiwan memegang gagasan “Taiwan Merdeka”. Ia adalah motto bagi Parti Progresif Demokratik.

Namun ia bertentangan dengan dasar parti Kuomintang yang inginkan penyatuan “Satu China” dengan Tanah Besar China melalui konsep demokrasi ala Taiwan.

Tetapi China pula mempunyai dasar yang sama iaitu penyatuan dengan Taiwan melalui “Satu China” dengan konsep Komunis.

Saya sempat melihat pilihanraya pertama yang diadakan di Taiwan dalam tahun 1987. Oleh kerana ia selama ini diperintah oleh tentera, dan hanya baru mendapat “suara rakyat”, maka suasana “hiruk-pikuk” politik dan tiada kematangan berpolitik secara demokrasi.

Maka tidak hairanlah, kita sering melihat di kaca TV “adegan” tumbuk-menumbuk dan membaling kerusi yang berlaku di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Taiwan. Antara wakil rakyat Parti Kuomintang dengan Parti Progresif Demokratik tidak pernah boleh “duduk semeja minum teh” seperti yang berlaku di lobi parlimen negara kita.

Di akhir tahun 1987 saya kembali ke tanahair dengan segulung ijazah sebagai graduan jurutera.

Taiwan, yang saya tinggalkan dulu selama 28 tahun, tidak seperti yang dahulu. Ia semakin gah dengan kepesatan ekonomi dan kemajuan teknologinya.

Walaupun saiz Tanah Besar China yang begitu besar dengan kelengkapan ketenteraan yang hebat, dan Taiwan hanyalah sebuah pulau yang kecil dan dipencilkan pula di pentas politik dunia kerana dibayangi oleh Beijing.

Namun kuasa ekonomi Taiwan telah menggerunkan China, maka pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou dilihat sebagai satu percaturan politik dan ekonomi bagi satu keadaan menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Untuk masa datang, apakah akan terjadi dengan China ? Apakah ia mampu untuk menguasai Taiwan dengan “Satu China” melalui dasar Komunis ?

Atau Taiwan mampu untuk menyatukan China melalui “Satu China” dengan demokrasinya ?

Hanya masa menentukan segalanya.

 
Ditulis oleh :
Hisemudin Kasim
9/11/2015

Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.