Monday, May 11, 2015

Isu 1MDB : satu skandal atau pelaburan strategik ?


Hari ini (11/5/2015) terpampang di hampir semua akhbar arus perdana menyiarkan tajuk ekslusif dan gempaq. Seperti dalam Utusan Malaysia,”Najib jawab kritikan Dr. Mahathir, saya tak akan tunduk”. Manakala dalam Berita Harian pula,”Najib balas serangan Tun Mahathir”

Nampaknya isu 1MDB telah sampai ke kemuncak. Kita tidak mahu percakaran idea dan corak perlaksanaan pentadbiran negara bercelaru disebabkan oleh isu 1MDB.

Kita tidak mahu dua negarawan ini bersengkang pendapat dan nada dalam mengharungi isi ini, yang belumpun sampai ke tahap krisis seperti dalam krisis kewangan dalam tahun 1987 dahulu.

Apakah “serangan” Tun Mahathir yang mahukan DS Najib “turun” dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dek kerana isu 1MDB ini agak keterlaluan ?

Apakah dengan Najib “turun” maka semua orang akan “mengilai” dan tertepuk tangan. “Oh.. Rosnah-Najib dah terkapai-kapai …”

Siapakah yang akhirnya menjadi mangsa yang terkapai-kapai ?

Apakah seorang Tun Mahathir, yang telahpun menjadi bilionare hasil menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun akan “menyelamatkan” rakyat nanti ?

DS Najib dipilih oleh rakyat dalam PRU13 yang lalu mewakili parti terasnya iaitu UMNO dan parti gabungan yang mewakilinya iaitu Barisan Nasional.

Selagi parti tidak menyingkirkannya dan parlimen tidak memberikan undi tidak percaya kepada DS Najib, maka apakah suara seorang iaitu Tun Mahathir layak untuk menyuruh DS Najib “turun” dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Kemelut 1MDB telah disensasikan dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh baru-baru ini dan kemudiannya pembelian tanah stategik seluas 0.624 hektar oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Tun Razak Exchange (TRX) berjumlah RM188.5 juta milik 1MDB menjadi bom jangka yang perlu dipadamkan.
 
Dalam artikel selanjutnya, saya akan mengupas dari sudut kewangan dan pelaburan strategik negara bagi melihat apakah isu 1MDB itu satu skandal ataupun satu pelaburan strategik ?

Maka kita harus jadi rasional dan mempunyai pengetahuan dalam pelaburan, tanpa hanya membaca atau mendengar dari sumber-sumber negatif lalu membuat satu kesimpulan.

Sejarah 1MDB bermula sejak dari pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ketika itu DS Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Tubuh-badan asal bagi 1MDB ialah TIA iaitu sebuah badan yang diwujudkan dalam tahun 2008 untuk pelaburan bagi negeri Terengganu dengan dana sejumlah RM500 juta. Kemudiannya tidak diketahui apa yang terjadi dengan TIA serta dana tersebut.

TIA diubah menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada bulan Januari, 2009 yang menjadikan TIA sebagai badan kerajaan pusat yang bertujuan memperluaskan manfaatnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan Diperbadankan dengan modal berbayar RM1 juta semasa diperbadankan. DS Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Pada tahun 2009, 1MDB dan rakan strategiknya, PetroSaudi Intenational Limited mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama bernilai AS$2.5 billion yang bertujuan mempelopori pengaliran masuk pelaburan terus Arab ke Malaysia.

Kemudiannya syarikat usaha sama ini dibubarkan dengan 1MDB memperolehi keuntungan dalam pelaburan itu.

Sebagai sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang mana pelaburannya dijamin oleh kerajaan Malaysia, menyebabkan 1MDB begitu berani untuk membuat pinjaman dari bank-bank tempatan maupun pasaran kewangan global dengan banyak serta menjual bon di dalam dan luar negara.

Hutang 1MDB termasuk jualan bon RM11 bilion pada 2013, antara terbitan bon global terbesar dari Asia Tenggara.

Dalam usia lima tahun, 1MDB telah membuat pinjaman yang jauh lebih besar daripada aliran tunainya walaupun memiliki aset yang juga sangat besar

Aset-aset ini masih belum dapat menjana aliran tunai bagi 1MDB untuk membayar pinjaman dan juga faedah pinjaman yang tinggi.

Kini dikatakan hutang 1MDB berjumlah RM42 billion. Dari manakah hutang-hutang itu ?

Fokus perniagaan teras 1MDB ialah sektor tenaga dan hartanah strategik.


Sektor Tenaga :

Memiliki 15 loji kuasa dan desalinasi (menyahmasin) dengan kapasiti penjanaan tenaga 5594MW di Mesir, Bangladesh,UAE, Sri Lanka, Pakistan dan Malaysia.

1MDB juga merupakan IPP terbesar di Mesir dan Bangladesh, dan yang kedua terbesar di Malaysia.

1MDB membina 3 lagi logi kuasa baru dengan penjanaan 2000MW Jimah East Power di Port Dickson, 2000MW loji kuasa gas di Melaka, dan 50MW loji solar di Kedah.

Dengan penstrukturan semula loji-loji yang dinamakan  Edra Energy bakal memberi satu synergi kepada 1MDB untuk mengorak langkah dalam industri tenaga yang memberikan pulangan signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia

1MDB juga membeli 310 ekar tanah berharga RM300 juta di Pulau Indah untuk projek-projek berkaitan dengan tenaga.

Apakah implikasi terhadap pemilikan aset-aset tenaga ini ?

Kita sedia maklum, selain daripada TNB yang mengeluarkan tenaga bagi keperluan letrik di Semenanjung Tanah Melayu, terdapat beberapa pengeluar tenaga bebas (IPP) yang menjual tenaga yang dijana oleh loji-loji tersebut untuk dijual kepada TNB bagi memenuhi grid kebangsaan.

Mengikut terma perjanjian, segala tenaga yang dikeluarkan oleh IPP harus dibeli oleh TNB sama ada digunakan ataupun tidak. Ianya juga tidak menguntungkan pihak TNB. Malah ianya juga adalah lebih mahal.

Dengan pemilikan dan penstrukturan semula operasi kesemua loji-loji yang dibeli dari IPP sebelumnya, ia telah membantu mengurang kos kuasa IPP kepada TNB sehingga separuh pada tahun 2012.

Dengan ini juga telah membantu pembekuan peningkatan harga letrik yang dijadual pada bulan Julai 2014 dan Jan 2015. Secara tidak langsung membenarkan TBN untuk mengurangkan kadar letrik pada bulan Mac 2015. Ia adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa kadar letrik dapat dikurangkan. Kemungkinan juga satu lagi pengurangan dapat dibuat pada bulan Julai 2015.

Strategi belakang tabir biasanya tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat. Kerana mereka hanya berminat, jika kadar letrik dinaikkan setiap enam bulan, maka rakyat akan “mengamuk”. Tetapi hanya segelintir yang faham tentang apa yang berlaku di sebalik tabir.

Apa kata, jika loji-loji yang dimiliki oleh 1MDB ini mengikut “law” dan mengenakan tariff seperti IPP yang terdahulunya dan mengenepi aspek sosial kepada seluruh rakyat semenanjung amnya, sudah tentu 1MDB meraih laba yang tinggi.

Apakah kita faham falsafah ini ?


Sektor Hartanah Strategik :

Pertama, merancang dan membangunkan tanah seluas 70 ekar di Tun Razak Exchange (TRX) yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion. Dijangkakan ia menarik lebih 250 syarikat global dan mewujudkan 500,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

Salah satu stesyen Keretapi Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura akan dibina di TRX.

TRX dirancang menjadi pusat global bagi kewangan antarabangsa, perdagangan dan perkhidmatan terutamanya kewangan Islam.

Kedua, merancang dan membangunkan 495 ekar projek Bandar Malaysia (bekas tapak lapangan terbang Sungai Besi) dengan nilai pembangunan kasar RM155 bilion.

1MDB tidak melupai golongan berpendapatan rendah dengan membeli dan merancang tanah untuk pembangunan 30,000 rumah kos rendah dan mampu milik di seluruh Malaysia.



Apakah ia satu krisis ?

Inilah yang menjadi KRISIS kepada 1MDB. Bukan kerana asetnya tetapi kekangan ALIRAN TUNAI yang berjajaran sempit.

Ini kerana 1MDB banyak memfokuskan teras perniagaannya kepada industri tenaga dan hartanah strategik. Di samping sektor sosial dan kebajikan rakyat seperti perumahan kos rendah 1Malaysia.

Pelaburan dalam sektor-sektor ini memerlukan masa yang secukupnya untuk memperolehi pulangan terhadap pelaburan serta keuntungan. 

Seperti pembangunan pusat kewangan global TRX memerlukan suntikan modal asas bagi pembangunan infrastruktur dan perancangan serta pemasarannya. Ia tentunya lebih kepada penglibatan pelaburan asing. Sedangkan 1MDB sendiri terlalu sempit dengan dengan kekangan aliran tunainya.

Keuntungan dari penjanaan kuasa dalam negara telah "dirasionalkan" untuk mengimbangi tariff letrik agar kadar letrik dapat diturun atau sekurang-kurang tidak dinaikkan. Ia lebih bercorak kesejahteraan sosial yang tidak "nampak" pada mata kasar. Kerana ia berbentuk "makro" ekonomi, sedangkan rakyat lebih perihatin terhadap "mikro" ekonomi mereka.

Penyata akaun 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31Mac 2014 mempunyai harta bernilai RM51.4 billion, hutang RM49.97 billion tetapi kerugian dicatatkan RM665.4 juta

Sekali imbas, kesemua angka-angka ini menjadi persoalan bagi mereka yang tidak memahami erti penyata kewangan dan pelaburan. Tambahan ia hanya ditunjukkan dengan angka-angka berbilion, sedangkan penyata kewangan adalah menyeluruh meliputi kesemua aspek.

Apabila ianya dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu bagi mencari laba politik, maka ia telah menjadi isu nasional yang sukar dibendung, apatah lagi untuk diterangkan dengan ILMU KEWANGAN yang memang sukar difahami oleh orang kebanyakan.

Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin.
Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00



Isu pembelian tanah oleh LembagaTabung Haji

Kita tidak menafikan penglibatan 1MDB dalam melobi Lembaga Tabung Haji (TH) agar membeli tanah di TRX kerana itulah kerja mereka untuk menjual tanah yang telah dipecahkan mengikut plot-plot. Sama ada ianya secara kebetulan penjualan ini dilakukan di saat-saat 1MDB ingin melunaskan faedah bank yang berjumlah jutaan ringgit, kita sebagai orang luar hanya boleh membuat telahan sahaja.

Kita difahamkan TH membeli plot tanah yang berkeluasan 0.624 hektar dengan harga RM188.5 juta. Ia dirancangkan untuk projek komersial yang menguntungkan para pendeposit TH.

Namun ramai yang membantah kerana menganggap bahawa wang deposit mereka dalam TH digunakan oleh urusan “menyelamatkan” 1MDB.

Kekeliruan ini timbul dan dibesar-besarkan oleh Tun Mahathir.  Namun ramai yang tidak faham bahawa Lembaga Tabung Haji mempunyai pelbagai sektor pelaburannya. Yang membuat pembelian dilakukan oleh TH Properties yang merupakan cabang pelaburan TH yang juga banyak membeli aset-aset komersial yang lain.

Pembelian tanah di TRX tidak mengganggu wang pendeposit Tabung Haji. Sekalipun apa yang tidak diingini berlaku terhadap wang pelaburan di TH, kesemua wang itu adalah dijamin oleh kerajaan dan selamat.

Mengambil sedutan dari Facebook Kelab Che Det yang berbunyi begini,”Yang Tun persoal adalah kenapa 1MDB beli RM60 sekaki persegi dan jual kat TH dan dapat keuntungan yang sangat tinggi. Kalau betul nak bantu TH.. Kenapa tak jual harga RM60 sekaki persegi kepada TH?”

Apakah admin Facebook Kelab Che Det ini buta kewangan dan buta pelaburan agaknya.

Saya berikan secara rasional jawapannya.

Kerajaan adalah seperti seorang ibu atau bapa, manakala 1MDB sebagai anak kandung.

Kerajaan menjual tanah TRX (yang dulunya tak pun dikenali begitu) kepada 1MDB yang dirancang untuk satu projek mega kewangan global. Maka 1MDB merancang begitu gah dan ada pelan yang tersendiri. Sudah tentu harga asal semasa dijual kepada 1MDB dengan harga setelah dibuat perancangan akan berlainan.

Tambahan harga asal adalah harga pukal untuk keseluruhan, manakala 1MDB menjual mengikut plot yang telah dikecilkan dan dirancang sebegitu rupa. 

Tiada siapa yang bodoh "sebodoh" admin Facebook Kelab Che Det yang membeli dan menjual dengan harga yang sama setelah dibuat perancangan dan kerja-kerja awalan. 

Kerajaan “sayang” kepada anaknya 1MDB maka diberikan dengan harga “kasih sayang”. Malah apabila kita sendiri memberikan harta kepada anak-anak juga sering didefinasikan sebagai “pemberian kasih sayang”.

Jika 1MDB telah berjaya, kerajaan juga akan berjaya. Tentu seorang ibu atau bapa ingin melihat harta yang diberikan kepada anak-anaknya berkembang. 

Apakah falsafah ini sukar dimengertikan oleh admin Facebook Kelab Che Det ?

Mengenai rasionalnya pembelian tanah seluas 0.624 hektar dengan jumlah RM188.5 juta di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur. Saya telah melayari sebuah portal hartanah dan membuat kesimpulan seperti berikut:

1.       Satu lot tanah yang diubah kepada tanah perindustrian di Kerling, Selangor berharga RM18.00 sekaki persegi.

2.      Satu lot tanah di Jalan Gasing, Petaling Jaya berharga RM320.00 sekaki persegi

3.      Satu lot tanah di Jalan Inai, Segi Tiga Emas KL berharga RM17,000.00 sekaki persegi
       

Maka adakah rasional membeli tanah di TRX oleh TH dengan harga RM188.5 juta bagi 0.624 hektar, anda kiralah sendiri.

Bagaimanapun kini TH akan menjualnya kembali setelah mendapat bantahan yang meluas dari rakyat. Daripada laporan yang diterima bahawa TH akan mendapat sekurang-kurang RM5 juta hasil daripada transaksi pendek ini.

Untuk jangka panjang, sebenarnya pendeposit TH telah “rugi” kerana TH terpaksa menjualkannya, padahal jika ia terus dalam pemilikan TH, sudah tentu ia akan menjana pendapatan yang berlipat kali ganda di masa akan datang.



Ditulis oleh :
Hisemudin Kasim
11.05.2015






Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment