Wednesday, January 21, 2015

Majlis Sue Mesre kariah Belanja Kiri catat sejarah anjur perjumpaan



Siapa sangka group whatsApp dan Telegram mampu mencatat sejarah. Kumpulan komunikasi sosial ala baru ini yang semakin hari semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia mampu memberikan satu impak kepada Kariah Belanja Kiri, Parit, Perak.

Pada mulanya group whatsApp dan Telegram ini dinamakan sebagai Belanja Kiri, ia mengumpulkan anak-anak kariah dari empat buah kampung iaitu Kampung Sadang, Kampung Belanja Kiri, Kampung Changkat Banjar dan Kampung Tua yang kini mereka berselerak di seluruh Malaysia.

Group whatsApp dan Telegram ini telah menyatukan mereka dalam komuniti sosial yang diterajui oleh Cikgu Mohd Nasir b. Yeop Ahmad selaku Pengerusi dan Cikgu Badrul Hayad b. Ramli sebagai setiausaha. Mereka bertindak sebagai pentadbir kumpulan whatsApp dan Telegram.

Kampung Belanja Kiri di mana terletaknya masjid adalah menjadi ibu kariah kepada para penduduk di keempat-empat buah kampung. Selain Kampung Changkat Banjar yang telah pun mempunyai masjid sendiri, ahli-ahli kariah yang lain kebanyakannya bersembahyang di Masjid Belanja Kiri yang dinamakan sebagai Masjid Jauhariah, Permatang Pauh, Belanja Kiri.



Dua faktor penting bagi Kampung Belanja Kiri ialah di sini terdirinya Sekolah Rendah Kebangsaan Belanja yang telah berusia lebih 100 tahun. Ia telah melahirkan ramai cerdik pandai dari kalangan anak-anak penduduk dari keempat-empat kampung ini.

Salah seorang daripadanya ialah Allahyarham Brigedier Jeneral Profesor Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau juga adalah pencetus idea kepada Program Khidmat Negara dan merupakan Pengerusi Majlis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang pertama.

Faktor kedua ialah Kampung Belanja Kiri yang dahulunya dinamakan sebagai Kampung Permatang Pauh adalah menjadi titik pertemuan bagi orang-orang kampung yang ingin menyeberangi Sungai Perak kerana dahulunya di sinilah terletak jeti bot penambang yang menghubungkan antara Kampung Belanja Kiri dengan Pekan Parit.

Di Pekan Parit inilah penduduk keempat-empat kampung ini menimba ilmu terutamanya di Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar Shah, SMK Iskandar Shah, SMK Pengantar Melayu (kini dikenali SMK Sultan Muhamad). Ada juga yang bersekolah di SJKC Chung Hwa. Nostalgia “Bot Pak Din” telah meninggalkan kesan yang mendalam terutama bagi mereka yang kini berusia dari 20an sehingga yang setua-tuanya.

Namun nostalgia bot penambang kini hanya tinggal kenangan setelah sebuah jambatan yang dikenali sebagai Jambatan Cempaka Sari dibina merentasi Sungai Perak bagi menghubungkan Kampung Belanja Kiri dengan Pekan Parit.  Kini jambatan konkrit yang dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang rosak akibat banjir beberapa tahun lalu telah menjadi nadi penghubung bagi penduduk-penduduk di kedua-dua belah tebing Sungai Perak.

Pulau Cempaka Sari yang terletak di tengah-tengah pembahagian jambatan adalah merupakan satu ikon kepada Pekan Parit. Panorama indah di Pulau Cempaka Sari telah menjadi tarikan kepada para pelancong dan pengusaha industri perfileman yang pernah mengangkat martabatnya sebagai lokasi pelbagai penggambaran filem dan drama.


Secara amnya para ahli kariah Belanja Kiri dan anak-anak rantau yang berasal dari sini akan mengaku, “aku orang Parit”, atau dalam loghat Parit, “keme oghrang Paghit”. Begitu juga bagi saya yang berasal dari Kampung Sadang adalah anak kariah Belanja Kiri yang telah merantau lebih 25 tahun di Lembah Kelang.

Walau tinggal di mana saja dan jarak waktu yang memisahkan antara mereka, namun ikatan kekitaan serta ramai yang mempunyai pertalian persaudaraan masih berhubung antara satu sama lain.

Dahulunya cara komunikasi hanya terhad kepada penggunaan telefon bimbit dengan cara perhubungan individu. Fenomena Facebook juga telah mendekatkan ahli-ahli dengan kumpulan masing-masing. Bagi Kariah Belanja Kiri pula terdapat Group Yahoo yang dikenali sebagai Permatang Pauh, mengambil nama asal bagi Kampung Belanja Kiri.

Fenomena group whatsApp dan Telegram lebih menyeluruh dengan mengambil kira hampir setiap orang mempunyai telefon bimbit. Malah penggunaan telefon pintar yang dilengkapi dengan pelbagai gajet dan aplikasi telah menyemarakkan lagi komunikasi sosial ini. Walaupun dalam banyak situasi, komunikasi dalam kumpulan ini yang betul-betul ada “isi” mungkin cuma 10% saja, yang lainnya mungkin sampah !!

Fenomena whatsApp dan Telegram Belanja Kiri telah menghubungkan ratusan anak-anak kariah sama ada yang menetap di keempat-empat kampung dan juga yang berada di rantauan. Daripada perhubungan alam maya ini telah lahirlah satu idea bagi mengumpulkan “secara fizikal” anak-anak kariah dalam satu perjumpaan yang besar.

Maka satu perjumpaan khas telah diadakan pada 25 Oktober 2014 (1 Muharam 1436) serta membentuk sebuah jawatankuasa bagi merealisasikan satu perjumpaan yang besar ini. Akhirnya Cikgu Mohd Nasir b. Yeop Ahmad telah dilantik sebagai Pengerusi dengan 8 orang Ahli Jawatankuasa (AJK). Hampir kesemua AJK adalah berasal dari Kampong Belanja Kiri yang merupakan Tuan Rumah kepada perjumpaan ini. Manakala wakil-wakil dari Kampong Sadang, Kampong Changkat Banjar dan Kampung Tua juga telah dinamakan wakil-wakilnya.

Penetapan tarikh telah dibuat bahawa perjumpaan besar ini akan diadakan pada 27hb Disember 2014. Maka bermulalah siri “penjelajahan” whatsApp dan Telegram bagi menghebahkan perjumpaan ini serta memohon derma dari anak-anak kariah walau di mana mereka berada.

Namun penetapan nama majlis perjumpaan ini masih memeningkan kepala. Pelbagai nama telah diusulkan. Akhirnya nama, “SUE MESRE” telah dipilih. Serentak dengan itu, nama kumpulan whatsApp dan Telegram juga diubah kepada “SUE MESRE”.

Setelah itu barulah dengan rasminya segala hebahan dibuat termasuklah melalui radio Perak FM. Bukan calang-calang, setiap kampung digantungkan dengan banner dan bunting.

Acara disusun. Ramai yang mahukan pelbagai acara “nostalgia” iaitu permainan tradisi anak-anak semasa era 70 – 80an dahulu. Kerana ramai yang berusia dalam 50an sekarang  begitu aktif dalam  group whatsApp dan Telegram ini adalah mereka yang membesar atau melalui zaman remaja pada sekitar tahun 70 – 80an.

Usul-usul yang mahukan perlawanan bola sepak di adakan, mungkin dalam format berbeza daripada dahulu. Kerana dahulunya merekalah jaguh-jaguh kampung yang menjelajah ke kampung-kampung lain bagi mengadakan perlawanan bola sepak.

Ada usul-usul yang melucukan seperti “terjun Sungai Perak” dari Jambatan Cempaka Sari. Ini mengingatkan nostalgia anak-anak kampung yang mandi dan terjun di Sungai Perak. Namun ramai yang berpengalaman “terjun” ke dalam Sungai Perak gara-gara kena tolak dari belakang di jeti bot penambang kerana berebut-rebut untuk menaiki bot. Mungkin ada juga yang ‘sengaja’ jatuh ke dalam air untuk ‘ponteng’ sekolah.


Tak lupa ialah permainan lastik getah di mana getah-getah bulat pelbagai warna dianyam yang dijadikan “tagan gundu” yakni sebagai peluru. Kemudiannya digunakan untuk melastik getah-getah bulat yang disusun di atas palang yang juga diperbuat daripada getah bulat.

Manakala permainan “tayad” pula ialah dengan melemparkan objek, mungkin daripada serpihan tembikar atau pasu bunga. Ada juga yang menggunakan selipar. Sesiapa yang paling hampir dengan target yang ditentukan akan dikira pemenang. Kedua-dua permainan ini adalah rutin bagi anak-anak yang membesar ketika itu.

Permainan rebana juga tidak lekang dengan penduduk di kampong-kampung, ia adalah satu kemestian bagi memeriahkan suasana.

Bagaimanapun tidak semua usul-usul itu dapat dilaksanakan.

Untuk menjayakan satu majlis yang besar di mana jumlah yang bakal hadir pula tidak diketahui. Maka perbelanjaan juga dijangkakan amat tinggi. Semakin hari semakin banyak derma yang diterima. Bahkan ada yang menderma seekor lembu dan dua ekor kambing.

Dianggarkan sebanyak RM3000 berjaya di kumpul secara tunai dalam akaun bersama di Bank Simpanan Nasional. Ada juga individu yang mengeluarkan zakat bagi penduduk empat kampung yang layak menerima zakat.

Debaran untuk menyajikan lauk-pauk serta segala persiapan seperti khemah, kerusi dan meja semakin memuncak. Bahkan jemputan kepada para jemputan khas juga telah diedarkan.

Di sebaliknya, kekhuatiran juga terasa kerana ia adalah penganjuran majlis yang pertama bagi yang seumpama ini.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 



Debaran demi debaran !

Namun kekuasaan Allah tiada siapa yang dapat menahannya. Semakin menghampiri hari majlis Sue Mesra, semakin galak hujan yang turun. Air Sungai Perak semakin naik dan menandakan di Hulu Perak hujan tidak berhenti !

Negeri Kelantan diberitakan telah banjir. Bukan calang-calang banjir, ia adalah banjir besar. Maka Hulu Perak akan kena tempiasnya. Kini di Hulu Perak telah ada empat buah empangan Hydro iaitu Chenderuh, Bersia, Temenggor dan Kenering. Apakah empangan-empangan ini mampu untuk menahan lebihan air hujan yang banyak ?

Pada 23hb pula telah diberitakan bahawa pihak TNB yang mengawal selia empangan akan melepaskan air secara terkawal. Tak sampai 12 jam, air telah pun naik mendadak. Sesetengah kawasan di pinggir Sungai Perak sudah mula ditenggelami air.

Ahli kariah Belanja Kiri hanya mampu melihat Pulau Cempaka Sari mula ditelan oleh air bah. Manakala Jambatan Cempaka Sari masih boleh dilalui dan perhubungan antara Belanja Kiri dan Pekan Parit tidak terputus.

Keresahan semakin memuncak pada hari Khamis, 25hb iaitu Hari Krismas. Apabila DYMM Sultan Perak mengisytiharkan semua bentuk majlis keramaian dibatalkan kerana Negeri Perak sedang mengalami banjir.

Sebahagian kawasan di Kampong Sadang sudah mula ditenggelami air dan begitu juga jalan perhubungan ke Changkat Banjar telah terputus. Air juga mula naik di Kampung Belanja Kiri.

Jalan raya utama yang menghubungkan Bota Kiri dan Tanjung Belanja terjejas dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja. Ini kerana air telah melimpahi jalan terutamanya di perbatasan antara Kampung Sadang dan Kampung Sadang Tengah.

Dalam suka ada duka, dalam riang nak ber”sue mesra” tetapi kekhuatiran air bah akan datang menjenguk.

Akhirnya dalam kecamukan suasana dan kesuntukan masa serta kepastian yang tak menentu, keputusan dibuat untuk meneruskan Majlis Sue Mesre walaupun beberapa acara yang sepatutnya dijalankan terpaksa dibatalkan.

Acara bermula selepas sembahyang Jumaat pada 26hb, dua ekor lembu “ditumbangkan”. Ianya telah disembelihkan oleh Saudara Shahrun Nizar b. Kadir. Kemudian diikuti dengan gotong-royong melapah dan memotong daging. Seterusnya sesi memasak pelbagai lauk-pauk hingga ke malam.

Bagi mendapatkan keberkatan majlis dan memohon keredhaan Illahi, pada malamnya diadakan majlis tahlil selepas solat Maghrib berjemaah di masjid Jauhariah.

Saudara Tahirudin b. Yaakub kemudiannya mengetuai gotong-royong meneruskan acara memasak. Ia diselang seli dengan gelak tawa dan senda gurau, lebih meriah lagi ianya adalah seperti majlis jejak kasih pertemuan ahli kariah yang lebih 30 tahun tidak berjumpa sambil menghirup sup tulang lembu dan makan kambing bakar. Selepas kekenyangan dengan menu malam, tayangan slaid berkaitan peristiwa lama dipersembahkan.

Pada malam tersebut juga beberapa buah lagu daripada kitab berzanji telah dinyanyikan sambil memukul rebana oleh veteran pasukan Seri Batik dan Seri Pauh. Kedua-dua pasukan rebana ini amat terkenal di Blanja Kiri.

Esoknya, 27hb suasana lebih meriah lagi dengan kehadiran golongan wanita, remaja dan ahli keluarga masing-masing. Petugas dan jawatankuasa utama dapat dikenali dengan pemakaian baju T berjenama “JR” yang pelbagai warna.

Hidangan ubi kayu rebus colek nyor kukur yang didatangkan khas dari Terengganu oleh Saudara Zulkifli b. Bodin sungguh menyelerakan pada pagi itu. 

Kemeriahan ini diserikan lagi dengan kelas penjagaan wajah dan pertandingan gubahan serta permainan Kerusiku Sayang bagi wanita.

Golongan lelaki pula terlibat dengan permainan tayad dan melastik getah dengan tagan gundu. Acara yang tidak kurang meriahnya ialah penglibatan kanak-kanak dalam pertandingan melukis.

Bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Iman Zakaria. Semua ahli kariah yang dianggarkan seramai 800 orang berpuashati menikmati juadah makan tengah hari hasil gotong-royong dan kerja keras golongan pelapis. 

Sudah tentulah menu kebanggaan penduduk Parit khasnya dan orang-orang Perak amnya ialah masakan rendang tok. Ia ditambah dengan nasi minyak. Tak ketinggalan nasi putih dan pecal. Tentu menggamit selera !

Program Sue Mesre pada pagi itu turut dimeriahkan dengan temu bual ringkas tentang pengalaman dahulu dan sekarang serta harapan mantan ketua kampung Blanja iaitu Hj. Bakaruzi b. Mat Nali (Pak Zi) dan Hj. Ismail (Pak Mai).

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah dan dikuti dengan ucapan penutup oleh pengerusi program. Gotong royong membersihkan kawasan telah diselesaikan sebelum masuk waktu Asar.


Penghargaan : diucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr Mohd Idrus, Sdr Dwan Rani,  Sdr Mohd Ikram dan lain-lain kerana telah memberikan banyak infor dalam penulisan ini. Terima kasih juga kepada group whatsApp dan Telegram  Sue Mesra di atas celoteh anda. Kerana banyak infor diperolehi secara langsung mahupun tidak langsung.

Maaf keampunan kerana saya tidak dapat menghadiri perjumpaan ini, segala catitan ini adalah untuk semua ahli kariah. Mana-mana catitan yang tercicir atau tersilap lapor jua pohon perbetulkan.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

20.01.2015


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment