Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Wednesday, June 18, 2014

Ke arah transformasi dan urbanisasi Pekan Parit : Apa pandangan anda ?


Kita tersentak dengan Bank Agro Pekan Parit akan berpindah ke Sri Iskandar, telah mencetuskan fenomena dalam FB tentang pelbagai cetusan rasa rakyat terhadap Pekan Parit dan sekitarnya. Sememangnya dengan penutupan bank ini, maka di Pekan Parit hanyalah ada Bank Simpanan Nasional sahaja. Kemudiannya dikhabarkan pula penutupan Bank Agro itu tidak menjadi kenyataan setelah rayuan dibuat oleh pelbagai pihak.

Apakah hikmah di sebalik isu ini ?

Ia sesungguhnya telah membuka mata  kepada umum tentang pentadbiran pihak berwajib yang seharusnya lebih peka terhadap isu-isu rakyat dan pembangunan Pekan Parit, dan lebih tepat ialah kawasan Parlimen Parit. Di mana Ahli Parlimennya ialah  YB. Dato' Haji Mohd. Zaim b. Haji Abu Hasan dan ADUN Belanja, YB. Drs. Mohd Nizar b. Zakaria       
                .
Contoh Bank Agro yang telah bertapak begitu lama di Pekan Parit sanggup untuk menutup operasinya di Pekan Parit dan memusatkannya di Sri Iskandar tentunya mempunyai perkiraan bahawa Parit dan sekitarnya bukanlah keutamaan lantaran sejak sekian lama kawasan ini hanya “takat tu je”.

Bank adalah satu entiti perniagaan, maka keuntungan maksima adalah perkiraan utama, manakala khidmat masyarakat di tangga kedua.



Mengimbas kembali detik-detik di masa kecil, acuan Pekan Parit tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan apa yang kita lihat hari ini. Malah ada yang mengatakan Pekan Parit persis Pekan Koboi. Jika kita mengamati keseluruhan kawasan Parlimen Parit pula, apakah kita telah berbangga dengan pencapaian yang dicipta. Kecuali pembangunan di Sri Iskandar.

Pada pentafsiran saya, di sebelah kerajaan, terdapat dua entiti yang boleh membawakan pembangunan di Pekan Parit iaitu wakil-wakil rakyat dan Pegawai Daerah. Manakala di sebelah rakyat pula ianya terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat sama ada yang menetap di Parit ataupun mereka yang berada di luar Parit tetapi jiwa mereka masih tetap di Parit.

Maka komposisi ini jika disatukan dan diambil mana-mana kelebihan daripadanya tentu akan membuahkan hasil yang sememangnya kita idamkan. Tetapi jika tidak ada koordinasi antaranya maka kawasan parlimen Pekan Parit akan terus-menerus “macam tu je hidup segan mati tak mau”.

Maka siapa yang harus mengambil inisiatif proaktif dalam mengujudkan satu jalinan antara kumpulan-kumpulan ini ? Maka peranan dua orang YB ini amatlah ditagih agar membina jambatan antara rakyat dengan kerajaan serta jalinan yang bersimpang-siur antara pelbagai agensi kerajaan.

Kini dilihat pihak YB berada di satu pihak yang tidak memahami kehendak rakyat dan begitu juga rakyat tidak mendapat akses tentang apa perancangan pihak kerajaan. Jurang informasi ini tidak telus dan kalau adapun hanya “orang sekeliling YB” sahaja yang mengetahui. Ini akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif yang mana tohmahan akan berleluasa.



Pengumpulan idea-idea dan jelajah

Maka saya mencadangkan kepada pihak wakil-wakil rakyat mengadakan siri-siri menjelajah golongan-golongan ini terutama yang berada di luar Parit ataupun di luar dari negeri Perak. Sesungguhnya mereka yang berada di luar ini adalah terdiri daripada pelbagai golongan yang mampu memberikan impak terhadap pembangunan serta sumber kewangan bagi membangunkan Pekan Parit dan sekitarnya.

Tubuhkanlah satu sekretariat atau kumpulan yang dapat mengumpulkan idea-idea dan seterusnya kita adakan satu forum atau simposium yang disertakan dengan cadangan yang konkrit terhadap pembangunan di Parlimen Parit.

Penyaluran maklumat yang tidak sampai ke sasaran menyebabkan wakil-wakil rakyat dilihat sebagai “tak buat kerja”. Rakyat tidak mendapat akses tentang aktiviti dan perancangan yang telah lalu, kini dan masa akan datang. Apakah hanya cukup dengan memberitahu sesuatu kepada sekelompok kecil orang ramai dalam sesuatu program yang tidak menyeluruh ? Sedangkan yang lainnya hanya terpinga-pinga terutamanya yang berada di luar.

Apakah pihak wakil rakyat tidak mengambil inisiatif untuk menerbitkan “news letter” setiap suku tahun atau setengah tahun untuk di edarkan ke kawasan parlimen. Sekurang-kurangnya rakyat diberitahu akan perkembangan semasa.

Dalam zaman ICT dan kecanggihan multimedia di mana setiap orang menjadikan Facebook dan portal berita dalam talian sebagai akses untuk mendapatkan informasi. Adakah di parlimen Parit mempunyai laman sesawangnya sendiri bagi menyalurkan maklumat. Ia harus dilakukan dengan cara interaktif dan tidak sebagai “website mati”.


Pertanian sebagai asas komuditi 

Secara tradisinya kawasan Parlimen Parit adalah berasaskan kepada pertanian terutamanya kelapa sawit dan padi. Manakala tanaman lainnya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Kita masih berada di tangga asas iaitu penghasilan pertanian yang kemudiannya dijual kepada peraih. Belum nampak adanya usaha-usaha untuk menghasilkan produk-produk sekunder iaitu pemerosesan hasil-hasil pertanian yang dijadikan pelbagai produk-produk hiliran.

Masalah harga hasil-hasil pertanian yang ditentukan oleh pihak orang tengah telah menghantui kita sejak sekian lama. Begitu juga ketiadaan sistem pemasaran dan pembelian yang tetap telah menyebabkan kesukaran untuk para pekebun bagi mendapatkan harga yang maksimum. Dalam hal ini, apakah kita harus mendapat kerjasama FAMA ?

Jika dibandingkan antara para pekebun Melayu dengan pekebun Cina, para pekebun Cina lebih proaktif untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam pertanian. Orang Melayu lebih sinonim dengan sistem 3T. Dalam penanaman durian misalnya, orang-orang Melayu hanya Tanam-Tebas-Tuai manakala pekebun Cina akan melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan penghasilan yang maksimum.

Kita berbangga kerana Stesyen Penyelidikan Pertanian Titi Gantung dan MARDI berada di kawasan kita. Namun sejauh mana ia dimanfaatkan untuk menjadikan kawasan parlimen Parit sebagai hab pertanian yang gah. Apakah pihak wakil rakyat tidak punyai masa untuk mengadakan kunjungan hormat ke sini serta berbincang dengan mereka bagi merangka pelan pembangunan pertanian yang berskala besar serta mempunyai impak terhadap penghasilan negara. Perkembangan seterusnya haruslah diserahkan kepada pihak-pihak tertentu. Maka peranan para YB adalah sebagai pembuka jalan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggesa semua kerajaan negeri diminta bekerjasama dengan memberi kawasan tanah yang sesuai kepada agensi kerajaan, syarikat swasta dan orang perseorangan untuk melaksanakan projek pertanian. Ia boleh diberikan secara sewa atau mengeluarkan lesen tumpangan sementara (TOL). 

Kini teknik pertanian fertigasi dikenalpasti mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada pekebun. Antaranya ialah penanaman cili dan rock melon yang mendapat tempat di kalangan pengusaha. Saya melihat potensi kawasan Parlimen Parit bakal muncul sebagai pembekal rock melon yang unggul di Perak jika adanya kerjasama dari kerajaan negeri, pihak wakil-wakil rakyat serta pelabur-pelabur yang mungkin juga terdiri daripada anak-anak tempat yang berada di sini ataupun di luar.


Pemerosesan produk hiliran dan membangunkan komplek PKS

Apakah pihak YB tidak pernah merancang untuk membina satu kawasan atau komplek PKS yang mengumpulkan pelbagai jenis produk-produk pertanian yang kemudiannya diproses ataupun bentuk pemerosesan kuih-kuih tradisional maupun moden untuk dipasarkan ke luar daerah.

Kompleks PKS tidak hanya terhad kepada pertanian sahaja tetapi boleh menempatkan industri kraf, kayu dan sebagainya.

Dalam satu lawatan kerja bersama dengan anggota Dataran Usahawan Selangor ke daerah Muar dan Batu Pahat beberapa tahun dahulu, yang juga disertai oleh pengusaha-pengusaha kerepek dari daerah Banting dan Sungai Besar di Selangor, telah memberikan gambaran bahawa industri pemerosesan PKS memang mampu untuk melonjakkan kemajuan kampong-kampong.

Kami sempat melawat beberapa kilang pemerosesan kerepek di Muar contohnya, di mana penyertaan orang-orang kampong dalam pembekalan ubi keledek dan ubi kayu kepada kilang-kilang ini.

Apakah kita tidak mampu lakukan di Parit ? Jika tidak ada orang perseorang yang mampu melakukannya, maka tubuhkan sebuah koperasi yang menjurus kepada pemerosesan makanan seperti ini. Dengan galakan kerajaan melalui MARDI yang menyediakan kaedah pemerosesan dan bantuan mesin pastinya ia dapat menembusi pasaran tetapi haruslah dilakukan dengan “packaging” yang menarik serta sistem pemasaran yang efektif.

Dengan sebuah traktor, koperasi mampu membajak tanah-tanah terbiar di kawasan kampong yang kemudian menjadi “ladang kontrak” kepada kilang untuk mendapatkan bekalan ubi keledek dan ubi kayu.

Dalam beberapa hari yang lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah melancarkan kerjasama produk PKS Kedah dan Johor yang mana produk-produk PKS antara kedua-kedua negeri akan di pasarkan secara timbal-balas. Terdapat kontena yang berulang-alik antara Johor dan Kedah. Kita yang berada di tengah-tengah hanya melopong sahaja. Maka apakah Parit tidak mahu mendahului daerah-daerah lain dalam negeri Perak untuk muncul sebagai hab PKS di negeri Perak ?



Penubuhan Koperasi Pembangunan Parit Berhad

Ia hanyalah satu contoh nama sahaja, tetapi membawa maksud bahawa kita seharusnya mengembelingkan sumber kewangan untuk kemajuan Parit. Saya percaya penubuhan koperasi ini yang disasarkan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang tinggal di Parit ataupun di luar akan mendapat sambutan. Cuma kerangka prospektus dan ciri-ciri yang dimahukan hendaklah digariskan dengan teliti.

Sebagai contoh, jika saham koperasi ditawarkan dengan harga RM50 bagi satu unit untuk keahlian individu manakala RM500 untuk badan-badan korporat, maka bagi mengumpulkan dana minima sebanyak RM500,000 atau pun RM1 juta tidak menjadi masalah. Malah kini ramai anak-anak yang berada di rantauan dijangka akan menjadi penyumbang besar dalam koperasi ini. 

Nota : Penubuhan koperasi memerlukan sekurang-kurangnya 50 ahli, manakala pegangan saham boleh melibihi satu unit. Namun akan ditetapkan pegangan maksima. Kini kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM) telah memperuntukan sejumlah wang untuk penubuhan koperasi. Maka langkah awal ialah menubuhkan jawatankuasa penaja yang bertindak dalam membuat draf Perlembagaan koperasi. 

Penyertaan kawan-kawan kita dari kaum Cina dan India harus digalakkan. Yang menjadi “trauma” kepada kita ialah pengalaman lalu oleh kebanyakan koperasi yang tidak diuruskan dengan betul serta berakhir dengan gulung tikar tidak seharusnya menjadi ukuran. Maka tata-cara audit dalaman dan pengurusan yang betul haruslah menjamin hak-hak ahli.

Apakah peranan koperasi dalam pembangunan Parit ? Dengan modal yang sedemikian, cara yang paling pantas untuk mendapat keuntungan ialah dengan pembinaan taman-taman perumahan. Kita perlu merancakkan pertumbuhan penduduk di sini dan menambah kuasa beli di kalangan rakyat.

Selain itu haruslah difokuskan kepada sektor pertanian, pemerosesan dan pemasaran produk-produk pertanian. Secara tidak langsung koperasi mempunyai kenderaan seperti lori dan van bagi memasarkan produk-produk pertanian dan PKS sehingga ke luar kawasan.



Membangunkan sektor pelancungan

Apakah benar di Parit tiada tempat-tempat untuk dilawati ? Dalam kalendar Tourism Perak, tempat yang paling hampir dicatatkan ialah Kellie’s Castle, berada di luar Parit. Tidak ada usaha untuk menarik pelawat untuk datang ke Parit. Rumah tumpangan dan home stay hanya akan penuh di masa-masa tertentu sahaja.



Satu ketika dahulu nama Pulau Cempaka Sari begitu gah meniti di bibir-bibir. Malah beberapa produksi filem antarabangsa dan tempatan pernah menjadikan keindahan pulau ini sebagai set lokasi penggambaran. Ianya hanya nampak pada pandangan orang lain, tetapi kita di sini “buat dek” saja.

Dahulu pernah diadakan sukan air dan pertandingan berakit di Sungai Perak di mana Pulau Cempaka Sari dijadikan pusat rekreasi. Apakah tiada perancangan pihak berwajib untuk menghidupkan kembali sukan air di sini secara tahunan ?

Setelah diadakan secara konsisten selama 2-3 tahun, maka kita bolehlah memohon kepada Tourism Perak agar dijadikan acara Melawat Parit dalam kalendar mereka. Kalau kita sendiri “buat dek” saja apa orang lain nak peduli !

Sektor pelancungan tidak terhad di pekan sahaja, malah mungkin terdapat di mana-mana ceruk rantau dalam Parlimen Parit yang ada potensi untuk dimajukan sebagai tempat-tempat rekreasi.

Begitu juga bentuk-bentuk kesenian lama ataupun dari orang-orang Asli Sg. Perah yang boleh dipertontonkan dengan mengadakan pesta kesenian di mana boleh diselaraskan dengan pesta air.

Perak Tengah kaya dengan dengan pelbagai juadah dan masakan. Apakah tiada usaha-usaha untuk mengenengahkannya. Maka apakah menjadi kesukaran bagi mengadakan acara masakan atau pertandingan memasak bersempena dengan sukan air ?

Setelah ketiadaan bot penambang Pak Din dan kini telah digantikan dengan jambatan konkrit, apakah tiada usaha-usaha untuk mengabadikan sejarah dan mengingati jasa-jasa Pak Din. Jika didirikan satu tiang sekalipun atau batu peringatan di tepi tebing Sungai Perak khasnya di mana terletaknya bekas jeti penambang itu, ia akan mengingati noltalgia kepada ramai orang.


Cadangan menubuhkan galeri di Pekan Parit

Apakah benar di Pekan Parit tiada benda bersejarah yang harus ditonjolkan kepada warga tempatan dan luar ? Setiap kali kita akan menunjukkan Jam Besar Parit sebagai ikon di Parit. Selainnya adalah panorama yang segar di waktu pagi tetapi layu di waktu senja maupun di hujung minggu.



Apakah tidak ada inisiatif untuk mendirikan satu galeri yang mengumpulkan bahan-bahan bersejarah di Parit dan sekitarnya. Pada pandangan saya terdapat 3 tempat yang boleh dicadangkan iaitu :

1.  Tempat asal jeti penambang bot di mana boleh didirikan galeri, jualan produk-produk kraf serta antik. Lebih elok di satu sudut terdapat ruang yang menyediakan masakan tradisional Parit di mana para pengunjung dapat juga menikmati panorama Sungai Perak yang ditemani oleh angin sepoi-sepoi bahasa yang datang menyapa.

2.  Mana-mana bangunan lama yang terdapat di Pekan Parit

3.  Di dirikan di atas Pulau Cempaka Sari. Namun demikian aspek keselamatan haruslah dititik-beratkan dengan membuat pagar agar sebarang kecelakaan dapat dielakkan. 

Sebagai susulan daripada gambar Istana Sultan Ismail Mua'bidin Riayat Shah yang boleh dipamerkan di galeri yang dicadangkan. Maka di lokasi asal iaitu di Kampong Raja haruslah didirikan satu monumen bagi peringatan tersebut.  

Jika ada peruntukan yang lebih dari kerajaan negeri maka seelokkan didirikan sebuah replika bangunan yang menyerupai bentuk asal istana tersebut. Ataupun meminta sekumpulan pelajar-pelajar seni-bina dari mana-mana IPT untuk membuat replika mini dan diletakkan di dalam galeri. Ini memandangkan kebiasaannya pihak IPT akan mencari-cari sesuatu bahan untuk dibuat kajian.



Menaiktaraf Jalan Parit-Seputih

Dikhabarkan jalan ini tidak banyak dinaiktaraf kecuali beberapa bahagian yang diluruskan. Namun kelebarannya serta “corner baring” bagai ular dipalu menyesakkan dada. Kalau naik bas General pastinya terhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Kes bas General yang terbabas serta beberapa kecelakaan jalanraya di sini menuntut pembaharuan.

Telah beberapa kali PRU dan beberapa kali RMK kita menyatakan hal ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, saya mendapat cerita yang mengatakan sebuah jalanraya akan dibina dengan jajaran baru dari Seputeh yang membelah hutan sehingga ke Parit. Dikatakan ia berakhir tidak jauh dari MRSM Parit.


Malah YB ADUN Belanja pernah bercakap di TV1 baru-baru ini. Ya, YB apa status projek ini ? Apakah ia baru di peringkat cadangan atau telah berada dalam  pertimbangan Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi perlaksanaan dalam RMK ? Atau hanya sebagai modal politik yang dijaja sehingga PRU 14 nanti. Kami berhak meminta pencerahan YB !



Anjakan Paradigma

Transformasi minda diperlukan bagi mengubah bentuk dan landskap benda-benda yang statik maupun perubahan pada diri seseorang. Jika ianya dapat dilakukan oleh kebanyakan orang-orang Parit sama ada yang menetap di sini ataupun yang berada di luar, maka kita akan ada “mentari pagi” yang cerah. Jika tidak, maka akan ada “mega mendung” yang berterusan hingga ke malam.

Kita menuntut anjakan paradigma dari segenap lapisan masyarakat. Setiap golongan dapat memainkan peranan masing-masing. Sudah tentunya para YB kita seharusnya lebih peka dan merancang terhadap pembangunan di kawasan Parlimen Parit. Ia diikuti oleh kerjasama rapat dengan Pegawai Daerah serta agensi kerajaan.

Sesungguhnya prestasi para YB akan dinilai dan sama ada mereka akan bergelar "YB" lagi di PRU akan datang adalah berdasarkan gerakerja mereka.

Anak buah di kawasan menagih untuk melihat YB berbahas dan mengeluarkan idea-idea bernas dan spontan di Parlimen. Ia adalah merupakan salah satu kriteria wakil rakyat untuk diangkat menjadi pemimpin di peringkat nasional.

Kita tidak harus hanya menjadi "jaguh kampung" di peringkat bahagian, tetapi menikus di parlimen. Jangan hanya jadi pelengkap kerusi dalam pembentukan kerajaan pusat, pelengkap korum dalam persidangan dan sebagai "rubber stamp" dalam meluluskan rang undang-undang.

Dalam carian di internet, saya hanya menjumpai satu soalan oleh YB Dato' Zaim di parlimen yang bertarikh 1hb Julai 2013, seperti berikut :


Minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan adakah Kementerian akan memantau penggunaan kipas angin di R&R di seluruh negara yang mengakibatkan berlebihan penggunaan tenaga elektrik yang boleh membawa kepada krisis tenaga di negara ini.

Anda fikirlah sendiri apa kualiti pertanyaan YB kita. Apakah soalan ini memberi impak kepada negara atau hanya sebagai "soalan yang bukan soalan" atau dah tiada idea maka lontarkan soalan yang "ape-ape je". Jika di R&R menggunakan penghawa dingin, maka mungkin ia soalan yang "gempaq".

Ya, YB minta tanyalah soalan yang lebih bernas lagi di masa akan datang. Kami anak buah agak terkilan dengan soalan yang seperti ini. 

Begitu juga UMNO Bahagian Parit yang menjadi tunggak pemilihan para YB di masa akan datang haruslah menyediakan barisan pelapis yang kritis dan punyai idea dalam barisan kepimpinan mereka.

Para pemimpin yang telah sedar "dah tua dari segi idea dan tak mampu memimpin" maka eloklah berundur secara terhormat. Berilah kepimpinan kepada yang berdarah muda serta berenovasi dan punyai idea-idea bernas bagi mencorakkan pembangunan Parit.

Sesungguhnya Parit memerlukan kerjasama yang erat antara pelbagai pihak iaitu ahli politik, pegawai-pegawai kerajaan dan agensi-agensinya, para penduduk yang menetap di Parit serta mereka yang berada di luar Parit.

Maka peranan para YB ialah menyatukan idea-idea dan sumber kewangan yang boleh kita manfaat dalam pembangunan di Parit.

Maka tidak mustahil proses transformasi dan urbanisasi Pekan Parit  akan berjalan seiring.  




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

18.06.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment