Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Sunday, June 15, 2014

Apakah penyakit gastrik lebih banyak muncul di bulan puasa sahaja ?



Dalam beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut bulan puasa atau Ramadhan. Maka penyakit yang akan timbul terutamanya di bulan puasa ialah penyakit gastrik. Ada yang memberikan alasan disebabkan gastrik untuk tidak berpuasa. 

Dalam artikel kali ini, saya akan membicarakan penyakit gastrik dari sudut perubatan agar ianya kita fahami serta melakukan sesuatu bagi mengelakkan berlakunya penyakit tersebut.

Pembicaraan ini akan meliputi beberapa sub-topik yang disertakan dengan ilustrasi dan gambarajah agar ianya dapat difahami dengan mudah.

Sila amati gambarajah ini, ia adalah sistem organ dalam perut kita. 

 Proses penghadaman

Apabila kita memakan makanan, ia akan melalui beberapa proses penghadaman. Dalam istilah perubatan, penghadaman bermakna memecahkan makanan kepada komponen yang lebih kecil agar ianya lebih mudah diserap ke dalam tubuh badan. Dalam sesetengah organ, komponen makanan yang telah diurai ini akan diserap melalui usus kecil dan kemudiannya ke saluran darah.

Penghadaman adalah satu bentuk katabolisma (catabolism) yang biasanya dibahagikan kepada dua proses berdasarkan bagaimana makanan itu dipecahkan. Iaitu proses penghadaman mekanikal dan penghadaman kimia.

Terma penghadaman mekanikal merujuk kepada pemecahan fizikal makanan yang bersaiz besar untuk dijadikan lebih kecil iaitu bermula apabila kita mengunyah makanan sebelum menelannya. Dalam penghadaman kimia pula, sejenis bahan kimia enzim pula bertindak untuk memecahkan makanan tersebut kepada molekul-molekul yang lebih kecil berbentuk protin untuk diserap ke dalam tubuh badan. Penyakit gastrik adalah berlaku dalam proses ini di bahagian perut.

Sila perhatikan gambarajah ini, ia menunjukkan lapisan struktur dalaman perut.
 
 Lapisan yang paling luar sekali bersentuhan dengan makanan yang perlu diuraikan dinamakan lapisan Mucosa. Secara semulajadi, sel perut menghasilkan sejenis cecair gastrik atau enzim terutamanya yang mengandungi asid hydroklorik dan pepsin. Enzim pepsin berguna untuk proses pencernaan protin. Kedua-dua cecair ini mungkin akan merosakkan dinding perut.

Mucosa mempunyai satu lapisan nipis yang berfungsi untuk melindung dinding perut daripada dirosakkan oleh bahan kimia ini. Dalam masa yang sama proses penghadaman protin berlaku di mana kaedah mekanikal iaitu pergerakan beralun oleh pengecutan dan pengembangan otot sepanjang dinding perut. Ini membolehkan bahan makanan berterusan dihadamkan dengan bantuan enzim.

Selepas beberapa jam ia akan membentuk satu cecair dan memasuki usus kecil serta bersatu dengan enzim yang dikeluarkan oleh pankreas iaitu sodium bicarbonate. Ia adalah berbentuk alkali. Dengan percampuran itu maka ia menjadi neutral.

Hampir 95% daripada nutrisi ini akan memasuki sistem saluran darah. Manakala air dan mineral akan disalurkan kembali ke dalam darah melalui usus besar. Sesetengah vitamin yang dihasilkan oleh bakteria di dalam usus besar juga diserap ke dalam darah. Manakala bahan-bahan yang tidak dikehendaki akan keluar dalam proses kumbuhan.

Apa itu masalah Gastrik dan Ulser Usus ?

Nama latin "Ventriculus" dan "Gaster" menjadi asas kepada istilah perubatan iaitu "gastro-" dan "gastric" yang membawa maksud berkaitan perut. Gastrik dan gaster membawa maksud yang sama.

Seseorang yang menghidap penyakit gastrik atau dalam istilah perubatan disebut ‘Penyakit Peptik Ulser’, sering mengalami pedih ulu hati.

Cuba perhatikan pula gambarajah ini, ia menunjukkan kedudukan di mana berlakunya ulser gastrik (gastric ulser) dan ulser usus (duodenal ulser).

Ulser gastrik adalah satu luka yang terbuka. Ia biasanya terdapat di antara jajaran permukaan perut. Manakala ulser usus terjadi di bahagian atas usus kecil.

Apa pula yang menyebabkan berlakunya ulser ini ?

Ramai yang beranggapan bahawa tekanan (stress) dan makanan yang pedas adalah punca utama kepada terjadinya ulser-ulser ini. Kini, kajian menunjukkan ia juga terjadi disebabkan oleh sejenis bakteria dikenali sebagai Helibobacter pylori. 

Kajian para pakar menunjukkan bakteria helibobacter pylori berupaya melemahkan lapisan mukosa melalui dua cara iaitu :

Pertama, ia akan menghasilkan enzim urea yang menguraikan urea kepada ammonia. Kehadiran ammonia dengan kuantiti yang banyak akan melemahkan lapisan pertahanan mucosa. Maka dengan itu asid hidroklorik boleh sampai ke sel perut yang menyebab keradangan.

Kedua, helibobacter pylori mempunyai bentuk berlingkar yang boleh membuat lubang pada lapisan mucosa yang akhirnya melemahkan lapisan pertahanan ini.

Secara semulajadinya ulser ini adalah disebabkan lebihan asid di dalam perut semasa pencernaan makanan manakala lapisan pertahanan mucosa menjadi lemah. Dengan yang demikian, maka asid grastrik boleh sampai ke sel perut yang menyebabkan keradangan. Sebab itulah kita akan terasa sakit.
Tabiat memakan serta jenis-jenis makanan akan menentukan seseorang itu akan mendapat penyakit ulser-ulser ini. Makan dengan tidak mengikut waktu dalam satu jangkamasa yang lama berisiko akan mendapat gastrik ulser.

Siapa pula yang mempunyai risiko menghadapi gastrik dan ulser usus ?

Daripada kajian menunjukkan bahawa wanita dan orang tua lebih mudah mendapat penyakit ulser ini daripada lelaki. Tetapi setengah kajian pula menunjukkan sebaliknya.
Mereka yang sering menghadapi tekanan (stress) secara berpanjangan lebih mudah mendapat ulser gastrik.

Kekerapan menggunakan aspirin yang diambil oleh pesakit jantung untuk mencairkan darah juga menambahkan risiko terhadap penyakit ulser. Manakala individu yang selalu mengambil ubat tahan sakit dalam tempuh yang lama seperti ubat anti keradangan bukan steroid (non-steroidal anti-inflammatory drugs - NSAID) juga tidak terkecuali. Begitu juga dengan pengambilan berlebihan terhadap alkhohol, tembakau dan kafein. 

Apakah simptom bagi orang-orang yang mendapat penyakit gastrik ?

Secara umumnya, tanda-tanda gastrik mudah dikesan kerana gastrik menyebabkan ketidakselesaan pada perut.

Antaranya ialah sakit perut di bahagian atas atau abdomen dengan rasa senak, berangin atau pedih. Ia juga membawa kepada perasaan tidak selesa, sendawa dan kerap kentut selepas makan.

Dengan yang demikian akan menyebabkan seseorang akan hilang selera makan, rasa mual yang meloyakan ataupun muntah. Jika ianya berlarutan akan menurunkan berat badan.
Kerap sakit kepala di bahagian kanan kepala terutama apabila perut kosong atau lewat makan nasi.

Demam yang dipanggil demam gastrik apabila selalu terlepas makan pagi, tengahari atau malam.

Pada peringkat kronik, pesakit akan mengalami pendarahan dan boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu najis menjadi hitam serta muntah yang mengandungi darah berwarna gelap.

Bagaimana pencegahan terhadap penyakit gastrik dan ulser usus ini ?

Makan dengan lebih kerap dan ambil makanan ringan antara makan utama. Ini untuk mengelakkan perut daripada kosong. Selain daripada membiasakan tabiat menepati waktu makan.

Tambahkan pengambilan makanan yang mengandungi sulfur seperti bawang putih, kobis, brocolli. Sulfur dapat membentuk glutathione yang melindungi lapisan perut.

Ambil vitamin C 100mg untuk mengurangkan kandungan nitrosamines yang boleh menyebabkan kaser perut. Tambahkan zat galian Zink di dalam menu pemakanan untuk proses penyembuhan. 


Antara artikel berkenaan perubatan yang boleh anda baca di dalam blog ini 





Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

15.06.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment