Wednesday, April 30, 2014

Apakah sumber-sumber air di Semenanjung cukup untuk masa akan datang ?



Krisis air yang melanda negara terutamanya di Lembah Kelang sekarang telah sampai ke tahap yang kritikal. 

Kerajaan Negeri Selangor pimpinan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah melahirkan idea  mengepam air lombong bagi menaikkan paras air sungai Selangor bagi tujuan memudahkan penyedutan air sungai di loji-loji rawatan. 

Namun pada pandangan saya dari sudut ilmu hydraulogi ianya hanya membuang wang dan tenaga sahaja kerana paras air Sungai Selangor sesungguhnya tidak banyak berubah. Kecaman juga dilemparkan lantaran kandungan mineral berat dalam air lombong boleh membahayakan kesihatan.

Kerajaan Negeri Selangor pernah ditawarkan agar mendapatkan bekalan air mentah terawat daripada Negeri Sembilan tetapi ditolak. Begitu juga cadangan agar air mentah daripada Sungai Pahang kini telah boleh disalurkan melalui terowong Projek Langat 2 yang dilencungkan ke loji rawatan sedia ada untuk dirawat. Ini kerana loji rawatan Langat 2 hanya baru saja dimulakan beberapa hari yang lalu. Kedua-dua cadangan ini berakhir dengan kata “tidak” oleh kerajaan Selangor. Alangkah bertuahnya jika projek pembinaan Loji Rawatan Langat 2 ini dipersetujui terlebih awal, maka kita tidak akan mengalami krisis seperti ini. Maka untuk jangka panjang, apakah sumber air dari Sungai Pahang ini mampu untuk membekalkan air di masa akan datang.

Daripada kajian yang dibuat oleh EPU di Jabatan Perdana Menteri dalam tahun 1992 yang menghasilkan rumusan pembekalan air dari Sungai Pahang adalah mencukupi untuk memberi tambahan kepada sumber air yang diperolehi dari negeri Selangor. Ini kerana terowong yang direkabentuk mampu untuk membekalkan 1,890 juta liter (JHL) air sehari.

Persoalannya apakah jika suatu hari nanti Sungai Pahang pula tidak mampu mencapai sasaran tersebut. Di samping sungai-sungai di Selangor juga kekeringan.

Ia harus dijawab menerusi ilmu meteorologi, hydraulogi dan kejuruteraan air.

Dari sudut ilmu meteorologi yakni yang berkaitan dengan ilmu kajian iklim, cuaca, taburan hujan dan sebagainya, bahawa sungai-sungai di Malaysia mampu bertahan untuk membekalkan sumber air yang mencukupi. 

Ini kerana kedudukan Semenanjung yang dikelilingi oleh laut serta menerima air hujan dari dua monson iaitu Monson Timur Laut yang bertiup dari bulan November – Mac dan Monson Barat Daya yang bertiup dari bulan April/Mei – Oktober setiap tahun.

Sebenarnya di antara kedua-dua monson itu terdapat masa yang mana tiada angin. Ataupun angin dalam keadaan lemah. Maka jika ada hujan sekalipun ianya adalah dari jenis “hujan perolakan” yakni hujan setempat yang tidak disebabkan oleh tiupan angin monson.


Kini dunia telah mengalami perubahan iklim yang mendadak. Perubahan suhu dan tiupan angin yang tidak menentu masanya. Ini terutamanya berlaku di negara-negara yang beriklim khatulistiwa ataupun tropika. 

Kejadian ribut taufan tropika Haiyan yang dahsyat melanda Filipina di tahun 2013 adalah satu fenomena alam yang dikaitankan dengan perubahan iklim.

 
Manakala rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian “sejuk melampau” di beberapa negeri. Ini kerana biasanya kita menerima tiupan angin musim sejuk terutama dari Tanah Besar Negeri China di awal tahun. 

Tetapi fenomena “sejuk melampau” tahun ini mungkin satu petanda yang mana dunia kini telah mengalami perubahan iklim yang amat nyata.

Selepas itu pula, kita terpinga-pinga mengapa ketika Semenanjung dalam keadaan panas dan kurang hujan di antara bulan Februari – Mac yang lalu, di bahagian timur Sabah pula dilanda banjir yang amat besar.

Daripada penyelidikan saya melalui gambar-gambar satelit yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, ketika itu angin adalah bertiup dari Tenggara yang membawa banyak hujan ke timur Sabah. 

Manakala angin tenggara tidak banyak mempengaruhi taburan hujan di Semenanjung kecuali di pantai timur Johor dan Pahang. Sebab itulah kita di negeri-negeri pantai barat khususnya di Lembah Kelang tidak “didatangi” oleh angin tenggara lantaran dihalang oleh Banjaran Titiwangsa. Tambahan pula angin tenggara tidaklah sekuat seperti angin monson.

Oleh itu jawapannya mengapa kita di Semenanjung tidak banyak menerima hujan diantara bulan Februari hingga awal April ialah kerana “perubahan iklim” yang telah menjarakkan waktu tiupan angin lazim. Apakah ianya akan berulang di tahun-tahun akan datang ? 

Ketika itu angin monson Timur Laut telah berada dipenghujung dengan tiupan angin yang lemah. Manakala monsoon Barat Daya baru nak “warm-up” dengan suam-suam kuku. Fenomena ini di”curi” oleh angin tenggara yang tidakpun sampai ke Lembah Kelang.

Inilah yang menyebabkan kita berlakunya KRISIS AIR.


Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  :


Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


Namun jawapan kepada apakah Sungai Pahang mampu menjadi pembekal air secara berterusan untuk 50 – 100 tahun datang. Saya percaya ianya MAMPU. 

Ini kerana air yang dibekalkan menerusi terowong ke Projek Langat 2 adalah diperolehi daripada Sungai Sementa iaitu anak sungai Sungai Pahang yang terletak di hulu Sungai Pahang.

Air-air ini dikumpulkan terutamanya pada musim monson Timur Laut di mana air hujan yang turun di pergunungan Banjaran Titiwangwa akan mengalir melalui anak-anak sungai ke Tasik Kelau. Dengan terbinanya Empangan Kelau maka air akan dilepaskan secara sistematik ke Sungai Sementa di mana terdapatnya pusat pengepaman untuk disalur melalui paip besar yang kemudiannya disalir ke pintu terowong di Karak. Akhirnya air dipindahkan ke loji Langat 2 mengikut konsep graviti.

Air terawat dari loji Langat 2 secara amnya akan membekalkan sebahagian besar air kepada pengguna di bahagia tengah dan selatan Lembah Kelang. Manakala sebahagian lain terutamanya di utara Lembah Kelang masih menagih air dari sumber dari sungai-sungai di Selangor.


Apakah suatu hari nanti sungai-sungai di Selangor juga akan “kering” seperti yang kita hadapi sekarang ini. Maka apakah alternatif terhadap sumber-sumber air ini.

Sebenarnya kita tidak banyak meneroka sumber air dari bawah tanah. Kerana selama ini kita banyak bergantung kepada air sungai. Maka apabila diperkatakan tentang air bawah tanah maka sebahagian besar daripada kita telah melahirkan “idea penolakan” lantaran kita jarang sekali mengetahui potensinya. 

Sebenarnya kita telahpun begitu lama dengan meminum air bawah tanah iaitu “air mineral”. Tetapi oleh kerana mengetahui bahawa ianya telah “diproses” maka ia dianggap selamat. 

Bagaimanapun untuk mendapatkan sumber air bawah tanah untuk dijadikan sumber air minum yang diproses di pusat-pusat rawatan air bukan sesuatu yang ganjil, kerana banyak negara-negara luar telah melakukannya.

Cuma pemilihan lokasi yang sesuai agar ianya bebas daripada pencemaran bahan kimia dan elemen-elemen bakteria.


Dari segi teknikalnya apa yang dinamakan sebagai air bawah tanah dan air permukaan ?

Air bawah tanah dan air permukaan (khususnya air sungai, kolam dsb) adalah saling bergantung antara satu sama lain dan merupakan sebahagian daripada putaran hyraulogi.

Sungai pada asalnya bermula dari anak-anak sungai dan akhirnya membentuk sungai yang besar. Sebahagian daripada air sungai ini adalah berasal dari air bawah tanah melalui mata-mata air.

Bagaimana terjadinya air bawah tanah ?

Air bawah tanah adalah terletak di antara lapisan permukaan tanah yang tidak tepu air dan lapisan kerikil batan-batan. Air bawah tanah ini terjadi apabila air menembusi lapisan tanah yang tidak tepu air dan mengalir ke lapisan tepu air yang terdapat rongga-rongga. Lapisan ini adalah terdiri pasir-pasir,batu-batan atau tanah yang poros di mana air sentiasa bergerak melaluinya

Sebenarnya sumber air bawah tanah adalah lebih banyak daripada air yang terdapat di permukaan daratan (tidak termasuk laut) iaitu di sungai-sungai dan tasik. Sebagai contoh di bahagian tengah Afrika yang bersempadan dengan Kenya yang sering kita takrifkan sebagai kering-kontang telah dikenalpasti terdapat simpanan air bawah tanah yang mampu untuk memberikan sumber air untuk selama 400 tahun ! 

Pergerakan air bawah tanah ialah biasanya menuju kepada kawasan yang lebih rendah atau tekanan semakin rendah di mana terletak anak-anak sungai dalam bentuk mata air.

Ia juga terjadi jika di adakan perigi atau tubewell sama ada dengan kaedah graviti atau tarikan pam.

Bagaimana pula kita untuk mengeksploitasikan air bawah tanah sebagai sumber air minuman ataupun untuk keperluan industi maupun pertanian ?

Sebenarnya di negara jiran kita seperti Indonesia telah lama menggunakan sumber air bawah tanah untuk keperluan harian. Ini bukanlah kerana mereka punyai teknologi yang tinggi tetapi kerana sistem bekalan air mentah terawat tidak mampu disediakan oleh pemerintah.

Maka alternatif kepada sistem bekalan air ini telah diambil-alih oleh perigi tube atau tubewell yang dipamkan menggunakan pam letrik. Tidak hairanlah setiap rumah di kampung-kampung mempunyai perigi tube sendiri. Namun mereka tidakpun menyediakan proses rawatan air untuk kegunaan harian. 

Jika di Indonesia dapat melakukannya dan jarang kita dengar penyakit yang pelik-pelik disebabkan bakteria dari meminum sumber air bawah tanah, maka kita di Malaysia apakah tidak boleh melakukannya. Tambahan pula ramai di kalangan masyarakat kampong dahulunya mempunyi perigi sebagai sumber air mentah.

Mungkin agak janggal dan dianggap “ulu” oleh kita terutamanya di Semenanjung jika ada yang menggunakan air perigi. Namun ia mungkin boleh dipraktikkan bagi sesetengah kawasan yang tidak mendapat bekalan air mentah yang baik.

Dalam sektor pertanian sama ada yang berskala kecil atau besar seharusnya menyediakan sistem bekalan air bawah tanah sebagai alternatif. Di negara-negara Asia Selatan seperti India, Bangladesh dan Pakistan banyak menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber air untuk pengairan.

Kita sering mendengar keluhan dari para pesawah padi seperti di KADA Kelantan, MADA Kedah dan utara Perak seperti Kerian yang sering menghadapi musim kemarau. Tanah sawah kering-kontang dan ada yang telah menjadi seperti padang bola sepak padahal masa itu sepatutnya padi telah subur ataupun menguning. 

Namun kita mengetahui bahawa sumber air bawah memang banyak, cuma kita hanya mengharapkan air sungai untuk mengairi tanah bendang. Apakah selepas ini kerajaan akan memikirkan alternatif menyediakan Pelan B bagi membina rumah pam yang menyedut air bawah tanah untuk keperluan di musim kemarau atau ketika air sungai tidak mencukupi.

Dalam sektor industri pula, selain daripada sektor pemakanan dan minuman yang 
semestinya memerlukan air yang cukup bersih dan terawat dalam penyediaannya, maka industri lain yang menggunakan air sepatutnya digalakkan menggunakan air bawah tanah. 

Maka dalam usaha kita untuk menambah sumber air sungai yang dipamkan ke loji-loji rawatan, maka adalah lebih baik kerajaan menyediakan juga Pelan B di mana air bawah tanah dipam ke dalam loji rawatan.

Cara kerajaan negeri Selangor mengepam air lombong untuk disalirkan ke sungai-sungai Selangor bagi menaikkan paras air sungai dirasakan tidak menepati teori dan praktikalnya.

Maka adalah lebih baik jika kawasan berhampiran loji rawatan air dibuatkan rumah pam yang menyedut air bawah tanah. Ia hanya akan digunakan ketika dalam keadaan yang kritikal sahaja.




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

30.04.2014



Cara menggerudi telaga tube bagi skala besar

  

Cara yang mungkin boleh kita lakukan sendiri tanpa peralatan yang canggih bagi mengairi kawasan tanah pertanian.










Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment