Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Saturday, February 1, 2014

Teknik penghamilan luar rahim IVF : Apakah jalan terakhir wanita yang sukar mengandung ?

Mengikut laporan klinikal sakit puan, bahawa terdapat 1 daripada 7 orang akan mengalami masalah kesuburan dalam mendapatkan zuriat apabila berkahwin. Oleh itu ia akan menjadi satu igauan apabila sesuatu pasangan itu gagal untuk mendapatkan anak walaupun telah berkahwin buat sekian tahun.
Ia mungkin berlaku disebabkan oleh keturunan ataupun masalah dalaman organ reproduksi lelaki atau wanita. Di zaman datuk nenek kita dahulu, apabila berlaku kejadian tidak hamil pada wanita yang mungkin disebabkan oleh ketidaksuburan dari pihak lelaki atau wanita, maka selain daripada meminta pertolongan dari Yang Esa, ia akan beralih pula kepada cara-cara tradisional yang mungkin ditakrifkan sebagai kurafat. 

Ini termasuklah membuat nazar di kuburan wali-wali, menziarahi telaga bunting dan berbagai-bagai lagi. Sudah tentunya cara perbomohan juga tidak ketinggalan.
Di samping itu juga, kita jangan melupakan masalah keturunan menjadi satu punca mengapa sesuatu pasangan itu tidak mendapat zuriat.
Sebagai contoh, di pihak datuk saya yang mempunyai tiga orang adik-beradik lelaki. Dua daripada saudara lelakinya gagal untuk mendapatkan zuriat. Hanya datuk saya sahaja berjaya memperolehi 6 orang anak iaitu 4 lelaki dan 2 orang perempuan.
Setelah sampai ke generasi bapa saya, 2 orang adik perempuannya gagal untuk memperolehi zuriat. Namun seorang daripadanya akhirnya berjaya memperolehi anak melalui teknik penghamilan luar rahim kira-kira 25 tahun yang lalu, iaitu ketika mula-mula “anak tabung uji” mula diperkenalkan di Malaysia. Dikatakan beliau adalah menjadi “bahan kajian” klinikal yang berjaya membuahkan hasil.

Saya ada enam orang adik-beradik, dua lelaki dan empat perempuan. Daripada pemerhatian saya, hampir kesemua adik-beradik dan sepupu atau dua pupu semuanya hanya mempunyai anak-anak yang dalam lingkungan antara 4-6 orang sehaja. Oleh itu bolehlah dikatakan, kami bukanlah keluarga yang besar.

Kelahiran kami berenam orang adik-beradik juga bukanlah semudah yang disangka. Setiap perkahwinan memang menginginkan zuriat. Kakak yang sulong lahir setelah 9 tahun perkahwinan ayah dan emak. bayangkan penantian yang begitu lama untuk mendapatkan cahaya mata pertama !

Sebenarnya emak cuma dapat mengandung setelah menjalani pembedahan, bukan sekali tetapi dua kali. Kata emak, untuk membuang ketumbuhan. Tak silap mungkin antara tahun 1957 - 1958. Kerana kakak saya lahir di tahun 1960. Bayangkan lebih 50 tahun yang lalu, teknik pembedahan untuk melancarkan kehamilan telah dilakukan.

Manakala pada generasi saya pula, ianya berlaku pada salah seorang daripada sepupu saya. Tidak dipastikan sama ada ianya berpunca dari pihak lelaki atau perempuan. Akhirnya pasangan tersebut memperolehi anak kembar lelaki dan perempuan melalui teknik penghamilan luar rahim IVF. Anak lelaki mempunyai iras ibu manakala anak perempuan mempunyai iras bapa.
Daripada perspektif sakit puan dan sakit tuan, ketidaksuburan mungkin berlaku pada lelaki dan juga wanita. Dalam artikel kali ini, saya hanya menyentuh daripada sudut wanita sahaja.
Ramai wanita sering menganggap kitaran haid yang tidak teratur sebagai perkara biasa dan tidak memberikan perhatian yang serius. Namun ia mungkin menjadi punca kesukaran untuk mendapatkan zuriat apabila berkahwin kelak.
Menurut Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari, kitaran haid yang tidak menentu antara gejala menunjukkan seseorang wanita itu mungkin mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS), punca lazim menyebabkan seseorang itu kurang subur.
PCOS adalah satu keadaan penyakit sistem reproduksi yang berlaku ketidakseimbangan hormon dalam badan yang memberi kesan terhadap kitaran haid dan ovulasi.
Kajian menunjukkan 90 peratus wanita yang mengalami haid tidak teratur mengalami PCOS dan 30 peratus yang tidak mengalami haid langsung didapati mengidap PCOS.

Ramai antara wanita di Malaysia mempunyai gejala ini tanpa disedari kerana ia tidak menunjukkan simptom awal. Bahkan gadis seusia awal 17 tahun juga boleh dijangkiti PCOS. Selain kitaran haid tidak teratur gejala seperti jerawat, kenaikan berat badan serta pertumbuhan bulu roma yang luar biasa antara simptom awal gejala ini.
PCOS boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti dari ovari, seterusnya menyebabkan wanita berkenaan mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan boleh mengganggu sistem badan yang lain seperti metabolisme dan sistem kardiovaskular.
Jika ditakdirkan wanita tersebut tidak dapat mengandung setelah berkahwin buat sekian lama. Setelah pelbagai cara diusahakan juga masih gagal, maka jalan terakhir ialah melalui proses klinikal.
Ia mungkin melalui pembedahan untuk membetulkan saluran dalaman organ reproduksi atau cara  penghamilan luar rahim.
Teknik penghamilan luar rahim yang sering digunakan ialah In Vitro Fertilisation ataupun dikenali sebagai IVF. Ia adalah satu teknik persenyawaan sperma lelaki dan telur wanita di luar rahim.
 
Sejarah Tabung Uji
Kelahiran Louise Brown yang melalui proses persenyawaan luar rahim (IVF) pada tahun 1987 telah membuka satu lembaran baru terhadap dunia perubatan reproduksi. Sejak itu teknik ini telah berkembang dengan pesat sekali.
Ini diikuti dengan teknik rawatan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) pada tahun 1992 di Belgium bagi pasangan lelaki yang mempunyai masalah sperma.
Di akhir tahun 90an pula, teknik Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) mula berkembang di Britain untuk mengesan dan merawat pasangan yang mempunyai penyakit keturunan.
Kini teknik rawatan In Vitro Maturation (IVM) yang berpotensi untuk rawatan reproduksi yang lebih selamat dan murah mula diperkenalkan di Denmark dan Kanada pada awal tahun 2000 dan ia masih lagi dalam proses penyelidikan lanjut.

Penggunaan IVF
Pada mulanya, teknik IVF ini hanya dilaksanakan dalam keadaan tiub Fallopio
wanita yang tersekat, musnah atau tiada langsung.

Kini, secara praktikal, IVF digunakan bagi mengatasi masalah kemandulan yang
berpunca dari pelbagai masalah lain. Antaranya:

(i) endometriosis (tisu rahim yang tidak nomal-wujud di luar rahim)
(ii) masalah imunisasi (daya tahan badan)
(iii) kemandulan yang tidak diketahui puncanya
(iv) kemandulan yang berkaitan dengan lelaki

Apa asas-asas teknik IVF dan proses persenyawaan
Dalam satu kitaran haid, hanya satu telur dalam ovari menjadi matang dalam setiap kitaran. Jika tiada persenyawaan dengan sperma terjadi, maka telur akan musnah dan perdarahan haid akan berlaku. Seterusnya kitaran haid akan berulang setiap bulan.
Dalam teknik IVF, matlamatnya adalah untuk meransang ovari supaya menghasilkan lebih dari dari satu telur untuk meningkatkan kebangkalian kehamilan. Ini dilakukan dengan cara memberi suntikan ubat setiap hari sehinggalah telur-telur di dalam ovari menjadi matang.





Apabila ia matang, maka telur-telur tersebut akan dikutip dengan menggunakan jarum yang halus. Dalam proses ini wanita tersebut akan diberikan pelalian yang ringan.
Setelah itu persenyawaan dengan sperma suami akan dilakukan dalam media kultur. Embrio akan terhasil dan ia akan dipindahkan kembali pada rahim sama ada pada peringkat hari kedua, ketiga atau hari kelima persenyawaan atau dipanggil peringkat blastosis.  
Proses pemindahan embrio ini dilakukan dengan teknik kepakaran yang menggunakan suatu tiub kecil yang panjang. Ia biasanya dilakukan dengan bantuan ultra sound.
Dalam menentukan jumlah embrio yang perlu dipindahkan ke dalam rahim pula, perbincangan antara pasangan dengan pihak pakar akan memastikan sama ada ia akan mendapat kandungan satu ataupun kembar.
Sebenarnya embrio yang berlebihan boleh dibekukan di bawah paras 196 darjah celcius di dalam cecair nitrogen. Ia boleh disimpan untuk kegunaan dan rawatan masa akan datang.
Dalam kehamilan semulajadi, nisbah untuk mendapatkan kandungan kembar ialah 1:70 kelahiran. Ia kerap terjadi atas faktor keturunan atau kepada etnik tertentu. 



Tetapi dalam kaedah IVF, kemungkinan untuk mendapatkan kembar adalah 1:4 ataupun 25% kebangkalian. Ini kerana embrio yang dipindahkan ke dalam rahim biasanya melebihi dari daripada satu, dan jika kesemuanya berjaya maka sudah tentulah ia akan mendapat kandungan kembar. Bagi kebangkalian kehamilan pula, ia mencatatkan kejayaan 75% dan bergantung juga kepada kepakaran tempat di mana ia dilakukan.
Di Malaysia, hanya HUKM sahaja yang menawarkan perkhidmatan ini dengan kos yang lebih murah. Namun di pihak hospital pakar swasta tentulah lebih mahal iaitu sekitar RM15,000.

Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


 
Jenis kandungan kembar
Kembar seiras adalah kembar yang terjadi apabila satu sel embrio membahagi kepada dua. Kembar seiras ini mempunyai ciri-ciri yang serupa antara satu sama lain dan mempunyai jantina yang sama.
Kembar tidak seiras pula adalah kembar yang terbentuk akibat dua embrio yang dipersenyawaan oleh dua sperma yang berasingan. Kembar ini mempunyai kelainan ciri-ciri dan mereka boleh mempunyai jantina berlainan ataupun mungkin yang sama. Kembar jenis inilah yang sering terjadi dalam kaedah rawatan IVF.
Kembar tiga atau lebih terjadi apabila tiga atau lebih embrio dipindahkan ke dalam rahim. Ia juga boleh terjadi apabila dua embrio yang mana salah satu daripadanya membahagi kepada dua. Seterusnya membentuk tiga kandungan kembar.
Dalam teknik IVF walaupun telah berjaya memindahkan embrio ke dalam rahim wanita. Namun risiko kepada ibu yang mengandung adalah lebih besar daripada ibu-ibu yang mengandung secara semulajadi.
Risiko yang paling tinggi ialah keguguran, tekanan darah tinggi, kekurangan darah, uri di bahagian bawah rahim dan juga perdarahan yang banyak semasa bersalin. Mereka berkemungkinan besar perlu menjalani pembedahan semasa bersalin.
  
Syarat-syarat persenyawaan IVF
Teknik IVF yang dibenarkan bagi Islam mestilah menggunakan sperma suami dan telur isteri sebagaimana yang ditentukan dalam undang-undang Islam.
Bagi pasangan yang ingin menjalani proses rawatan IVF juga tertakluk kepada syarat tertentu seperti bilangan sperma suami terlalu sedikit iaitu kurang daripada 15juta/ml. Saluran tiub fallopian isteri tersumbat. Ketidaksuburan pada lelaki dan wanita yang tidak dapat dikesan. Tiada anak selepas tiga hingga lima tahun berkahwin.
Bagi wanita pula perlu menjalani beberapa pemeriksaan kualiti telur dan rahim.


Pre-Implantation Genetic Diagnosis (PGD)

Iaitu teknik yang membolehkan analisis genetik dilakukan ke atas sel embrio sebelum dipindahkan ke dalam uterus wanita. Tujuannya untuk membuat penyaringan kecacatan kromosom ke atas wanita yang menghidapi penyakit keturunan, memilih embrio yang normal dan mengelakkan penyakit genetik seperti Sindrom Down dan sebagainya

Oleh kerana proses PGD jauh lebih mahal berbanding kaedah IVF itu sendiri, justeru PGD hanya disyorkan kepada pesakit yang mempunyai masalah genetik saja.

PGD juga boleh digunakan untuk proses pemilihan jantina bagi anak yang bakal dilahirkan menggunakan teknik IVF melalui satu kaedah pengasingan embrio.



Penentuan jantina dari segi saintifik

Jantina seseorang individu ditentukan oleh sepasang kromosom seks yang terkandung dalam setiap sel badan.

Lelaki mempunyai kromosom seks XY manakala wanita mempunyai kromosom seks XX.

Gamet-gamet (sperma dan telur) mempunyai hanya separuh bilangan kromosom lengkap. Jadi, keduanya mempunyai hanya satu kromosom seks, sama ada X atau Y.

Telur wanita pasti mempunyai kromosom seks X. Sperma lelaki pula membawa samada kromosom X atau Y.

Semasa persenyawaan, jika sperma berkromosom X mempersenyawakan telur, maka anak perempuan terhasil (kromosom seks XX). 

Sebaliknya jika sperma mempunyai kromosom Y mempersenyawakan telur, anak lelaki terhasil (XY).



Kesimpulannya

Dalam membina rumah-tangga, tentunya setiap pasangan akan menginginkan kelahiran anak-anak melalui proses semulajadi. Namun demikian tidak semuanya dikurniakan Allah dari cara yang sama.

Maka bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan, kesuburan atau masalah organ reproduksi maka terpaksalah mencari alternatif lain bagi mendapatkan anak-anak dari darah daging sendiri.

Dengan paparan ringkas penghamilan luar rahim IVF akan memberi satu ilmu pengetahuan kepada kita semua.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

01.02.2014



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Post a Comment