Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Thursday, February 20, 2014

Pilihanraya Kecil N25 Kajang : Mungkinkah Anwar Ibrahim kalah di Kajang ?

Terlebih dahulu, kita harus berfikir mengapa kita perlu mengadakan Pilihanraya Kecil (PRK) N25 Kajang ?

Dalam kebiasaannya diadakan PRK adalah kerana kekosongan DUN atau Parlimen disebabkan kematian wakil rakyat ataupun wakil rakyat keuzuran serta tidak mampu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

Selain itu wakil rakyat yang disabitkan dengan kesalahan undang-undang serta memaksanya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat. Jika setelah melalui pelbagai rayuan di mahkamah, masih lagi tidak memihak kepadanya. Maka perletakan jawatannya kita terima sebagai mengikut prosedur. 

Rakyat tiada pilihan lagi selain mencari wakil rakyat yang baru. Itu adalah amalan demokrasi.

Tetapi PRK N25 Kajang, adakah ia satu amalan demokrasi atau mempermainkan demokrasi demi kepentingan peribadi atau parti ?

Rakyat masih keliru !

Tindakan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Chih seorang peguam muda yang ditabalkan sebagai wakil rakyat dari PKR dalam PRU 13 yang lalu dengan mudah dan sewenang-wenangnya melepaskan jawatan wakil rakyat setelah bergelar YB selama tujuh bulan 21 hari.





Apakah justifikasinya meletak jawatan ?

Kita tidak mahu tahu apa hukuman yang terpaksa beliau tanggung selepas ini yang disenaraihitamkan oleh SPR bagi mewakili mana-mana parti sebagai calon dalam pilihanraya Malaysia buat satu jangkawaktu tertentu. Itu pilihan dia.

Tetapi apakah hak rakyat yang memilih beliau sebagai wakil rakyat yang dinafikankannya dengan begitu mudah ?! Apakah rakyat diperbodohkan dengan satu tindakan oleh permainan dalaman  parti ?! 

Inilah yang rakyat mahukan penjelasan.

Apakah tindakan untuk menggantikan seorang wakil rakyat lain dengan mengosongkan kerusi DUN sebagai satu tindakan bermaruah ?

Di manakah amanah serta janji-janji yang ditaburkan oleh beliau dan parti PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya kepada pengundi di Kajang dalam PRU 13 dahulu telah dilunaskan ?

Apakah satu PRK mahu dijalankan semudah sebagai menukar baju di badan ? Menurut SPR bahawa kos yang terpaksa ditanggung oleh SPR ialah pada anggaran RM1.6 juta. Ini tidak termasuk kos-kos yang ditanggung oleh mana-mana agensi kerajaan seperti pihak polis dan sebagainya.

Bagaimana pula rakyat yang terpaksa membuat satu pilihan lagi yang sepatutnya tidak perlu. Apakah ia satu tindakan membazirkan tenaga, masa dan wang sahaja. Tetapi ia hanyalah untuk satu permainan politik yang dihalalkan dalam undang-undang. Satu “lubang” undang-undang yang memperbodohkan rakyat !

Cerita mengenai pertelingkahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bukanlah satu perkara baru. Bahkan ianya telah lama terjadi iaitu sebelum PRU13 lagi.

PKR Selangor yang diterajui oleh Azmin Ali memang mengidamkan jawatan Menteri Besar Selangor, sementelah beliau juga adalah ADUN Bukit Antarabangsa. Tetapi dalam percaturan parti PKR, PAS dan DAP untuk jawatan MB selepas PRU 13 yang lepas, Azmin tidak terpilh.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri Selangor sebagai sebuah syarikat sendirian berhad bukanlah satu rahsia. Ini didorong oleh latarbelakang beliau sebagai tokoh korporat semasa berada dalam Guthrie dan PNB dahulu. Tetapi apabila menjawat jawatan eksekutif dalam kerajaan sebagai MB, beliau masih terbawa-bawa imej korporat dalam mengendalikan isu-isu rakyat dan parti.

Tambahan pula dalam PKR beliau tidak ada apa-apa jawatan kecuali lantikan sebagai Menteri Besar sahaja. Dalam senario politik Malaysia, seseorang ahli politik hanya boleh berdiri dengan kukuh jika ada jawatan dalam parti serta mendapat mandat dari para penyokong parti.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal dalam mentabdir “anak-buah” di Ijok, di mana asal-usulnya. Apatah lagi di cabang PKR Kuala Selangor. Setelah itu “dihilirkan” ke Pelabuhan Kelang dalam PRU 13 yang lalu. Hanya jawatan ADUN Pelabuhan Kelang sajalah tempat beliau bergayut sekarang !

Sebab itulah dalam harieki PKR Selangor, nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kalangan ADUN PKR dan pembuat dasar parti, beliau terpinggir. Beliau diperkotak-katikkan. Tambahan pula Azmin Ali, yang menjadi seteru politiknya dalam PKR adalah orang yang paling berkuasa dalam PKR Selangor.

Maka dalam menghadapi kemelut antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali, kedua-duanya telah menggunakan saluran yang berbeza.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan saluran kerajaan untuk “menindas” lawannya. Ini terbukti dalam kes pengguguran Azmin Ali sebagai pengarah PKNS. Walaupun MB kemudiannya menafikan ia adalah atas arahannya, tetapi siapa lagi yang berkuasa di pihak kerajaan melainkan Menteri Besar.

Apakah mana-mana pihak dalam PKNS yang boleh “melangkau” MB lalu mengeluarkan surat memecat Azmin Ali dalam PKNS. Inilah punca yang menghangatkan krisis antara kedua-duanya.

Azmin Ali hanya mampu “membalas” melalui saluran politik. Dengan memorandum yang dihantar kepada MB oleh para ADUN PKR yang menyatakan ketidakpuasan hati ADUN PKR terhadap corak pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Ini termasuklah isu kenaikan gaji sehingga hampir 400% bagi sesetengah jawatan dalam pentadbiran kerajaan yang berkaitan dengan jawatan eksekutif berasaskan parti. Begitu juga desakan dari kepimpinan PKR Selangor yang mendesak MB melepaskan jawatannya tetapi tidak diendahkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam kes pemecatan serta-merta pekerja anak syarikat PKNS pula, Azmin Ali membela mereka tetapi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap dengan keputusannya. Begitu juga dengan kes dana dan penyalahgunaan kuasa dalam PKNS yang disiasat ke atas dua orang kanan PKNS termasuk Pengurus Besar PKNS yang ditukarkan serta-merta ke Pejabat Menteri Besar menjadikan isu-isu ini lebih panas.

Dalam kes rampasan Bible bahasa Melayu oleh JAIS telah memuncakkan suhu pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kerana tekanan daripada pemimpin DAP dan PKR yang bukan beragama Islam, maka MB dalam keadaan dilemma.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 




Akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan dua arahan kepada JAIS iaitu meminta JAIS memulangkan semula kesemua Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah itu. Arahan kedua pula meminta JAIS merombak kembali prosedur jika ingin membuat serbuan yang sedemikian. Ia seolah-olah mencabar JAIS dan Sultan Selangor yang menjadi ketua Agama Islam Selangor.

Dalam soal ini, rakyat Selangor terutamanya yang beragama Islam tidak memihak kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi menyokong tindakan JAIS yang direstui pula oleh MAIS yang secara khususnya di bawah DYMM Sultan Selangor.

Dalam kemelut yang melibat Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali, maka lahir pula Anwar Ibrahim. Ketiga-tiga ini membentuk satu Kemelut 3A.

Jadi secara khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mencelah dalam kemelut ini dengan meminta pengundi Kajang menentukan nasib mereka bertiga. Maka apakah pengundi Kajang sanggup diperkudakan demi menyelesaikan pertelingkahan ini ?

Apa rasionalnya kes rumah-tangga PKR khususnya diheret agar diselesaikan melalui satu pilihanraya kecil ?

Maka siapa pula yang menjadi “kambing hitam” dan dikorbankan terlebih dahulu ? Dalam satu perancangan yang licik, maka ADUN Kajang iaitu Lee Chin Chih terpaksa dikorbankan bagi membuka satu peluang kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai calon ADUN.

Dalam sidang akhbar pertama oleh Azmin Ali mengenai pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam PRK N25 Kajang ini, beliau telah “melambong” Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kelas dunia yang perlu diberikan kemenangan. Maka jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai pemimpin kelas dunia, mengapa pula hendak menjadi seorang ADUN di Selangor ?

Bukankah status Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebaris dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kini sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bukannya kita tidak mahu menerima hakikat seperti pepatah Melayu mengatakan, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.  

Apakah tak dapat kerusi Perdana Menteri maka kerusi Menteri Besar pun cukuplah. Dimana kredibiliti dan keampuhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu mentadbir negeri Selangor pula, sedangkan perancangan besarnya seperti 16 September dahulu bagi membentuk kerajaan pusat dari pintu belakang begitu gah. Kini pula mahu mengikut pintu belakang sekali lagi untuk “menyahturunkan” Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kita tidak tahu apakah ini sifat-sifat orang yang suka mengikut “pintu belakang”.

Dengar-dengar Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun demikian dari segi moral, apakah sesuatu yang molek untuk dihebuh-hebuhkan sedangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun tidak disenangi oleh kepimpinan parti tetapi tidaklah seteruk sangat dalam mentadbir negeri Selangor.

Jika dalam hal-hal ekonomi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga melambongkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mentadbir Selangor. Ini secara jelas juga mengiktiraf beliau sendiri sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Jadi apa yang tak kena pula dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ?

Maka rakyat Selangor sendiri mahu tahu apakah agenda sebenar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mencaturkan PRK N25 Kajang ini ?

Rakyat Selangor juga tidak nampak mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu digantikan oleh calon lain. Jika kem Azmin Ali tidak sukakan beliau sebagai MB, maka bolehlah berpakat dengan PAS dan DAP bagi mengusulkan satu undi tidak percaya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Jika diluluskan oleh DUN maka MB terpaksa meletakkan jawatan.

Azmin Ali bolehlah dicalonkan sebagai MB yang baru jika diperkenankan oleh Sultan Selangor. Mengapa perlu rakyat diheret dalam penentuan PRK N25 Kajang ? Ini menampakkan seolah-olah rakyat khususnya pengundi Kajang hanya dicucukkan hidung sahaja, tak lebih macam lembu. Yang jadi gembala ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Apakah taraf Dato' Seri Anwar Ibrahim sama dengan seorang gembala lembu ?! Namun pengundi Kajang tentu tidak rela diperlembukan.

Jika benar PRK N25 Kajang sebagai natijah Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal ataupun bagi sesetengah pihak pula mengatakan ia hanya sebagai tempuh peralihan sahaja bagi memberi laluan ada Azmin untuk mengepalai negeri Selangor sebagai Menteri Besar.

Kalaulah demikian gayanya, apakah ia hanya satu permainan politik kotor yang membelakangi prinsip demokrasi dengan menghalalkan cara. Namun demikian apakah perlantikan untuk jawatan Menteri Besar Selangor boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya ?

Walaupun peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dalam Artikel 51 yang mengatakan bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara iaitu perlantikan Menteri Besar dan membubarkan DUN tanpa perlu nasihat sesiapa. Maka jika Sultan Selangor memikirkan ia akan memudaratkan rakyat Selangor, tentu baginda tidak akan memperkenankan sebarang perlantikan baru atau menerima perletakan jawatan oleh MB sekarang.

Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar yang baru, maka seharusnya dalam Kad Pengenalan beliau tercatat alamat sebagai “orang Selangor”. Setahu kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah pengundi Permatang Pauh, Pulau Pinang, bila pula beliau menukar alamat di Selangor. Kecuali dari awal sudah dirancangkan sedemikian.

Kini yang dalam dilemma ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Jikapun Dato' Seri Anwar Ibrahim menang di Kajang, dan jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan meletakkan jawatan, maka sudah tentu akan ribut lagi Pakatan Rakyat di Selangor. Tentu PAS tidak sewenang-wenangnya merelakan perubahan dalam kepimpinan negeri.

Jika akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dari PKR lantaran beliau kini sudah "busuk" lunyai dicincang oleh kem Azmin dan Anwar. Apakah ia satu malapetaka bagi Pakatan Rakyat yang kononnya tujuan Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang adalah untuk mengukuhkan PR tetapi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran !

Sebenarnya perancangan licik untuk mengadakan PRK oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukanlah pertama kali dilakukan. Yang pertama ialah “oleh kerana kasih adinda maka adinda korbankan kerusi Permatang Pauh untuk kekanda tandingkan”.

Manakala PRK yang kedua pula ialah dengan mengorbankan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang iaitu Mohd Fairus bagi kerusi DUN Penanti bagi memberi ruang kepada orang kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Dr. Mansur Othman memasuki harieki yang lebih tinggi seterusnya menggantikan Mohd Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Begitu juga dengan PRK Bukit Semambu. Akhir sekali kita dihidangkan dengan PRK Kajang. Jika dihidangkan satey Kajang tidak mengapa. Kita makan bersama-sama, tetapi apakah selepas PRK Kajang nanti, kita kenduri satey. Bagaimanapun apakah cukup dengan sekali kenduri satey ?

Rakyat tidak boleh dimomokkan dengan diberi “makan” untuk kenyang sekali. Mereka mahukan wakil rakyat yang sebenar-benarnya wakil rakyat. Bukannya wakil rakyat yang hanya mahukan undi rakyat tetapi tidak memperdulikan rakyat atau hanya mempunyai agenda tertentu bagi kepentingan peribadi dan parti.

Dalam percaturan onak dan duri ini,  sebenarnya peluang untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang atau kalah juga adalah 50-50.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim pertamanya harus memberikan justifikasi mengapa perlu diadakan PRK ini. Jika tidak, undi yang ditagih tidak semestinya memihak kepadanya. Rakyat bijak untuk menilai siapa calon itu. Bersih atau tidak calon itu. Apakah akan jadi jika calon ini menang dan apa yang rakyat dapat.


Dalam kerancakan berkempen (sebenarnya tidak dibolehkan kerana kempen hanya dibolehkan selepas hari penamaan calon) Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat bekas Menteri Besar Selangor yang terpaksa melepaskan jawatannya kerana skandal membawa keluar wang RM2.4 juta ke Brisbane, Australia iaitu Tan Sri Mohammad Taib. Selepas kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO melawan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu, beliau telah "cool" dan akhirnya menyertai PAS.


Dato' Seri Anwar Ibrahim juga telah melambongkan Tan Sri Mohammad Taib yang bakal dibawa kembali dalam pentadbiran Selangor kerana Tan Sri Mohammad Taib begitu "pakar" dalam pembangunan luar bandar. Namun orang-orang yang dilantik sebagai Pegawai Khas dalam pembangunan luar bandar iaitu Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution sehingga kini masih tidak ada pejabat di SUK. Apa dah jadi ?


Apa akan terjadi jika Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor, apakah ia akan menjadi tunggang terbalik dibuatnya sistem pentadbiran yang kini begitu licin.

Begitu juga apakah beliau diterima oleh orang-orang PKR sendiri dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat yang tentunya akan merombak kembali Exco dan portfolio kerajaan. 


Apakah Mungkin Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa akan terjadi dengan pentadbiran kerajaan, kaki-tangan kerajaan dan rakyat. Maka apakah kita yang tinggal di Selangor ini sanggup diperKUDAkan ??!!

Begitu juga para pegawai dan kaki-tangan kerajaan Selangor yang makan gaji tetapi tidak terlibat dalam politik sanggup menerima perubahan yang tidak sepatutnya berlaku.


Dalam Pakatan Rakyat, hanya DAP secara amnya menyokong penuh pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam PAS secara prinsipnya menyokong untuk memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dasar dalam satu kem pakatan dalam PRK ini.

Namun PAS secara jelas tidak akan berkompromi jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim ingin “merebut” kerusi Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Khalid Ibrahim.Ini kerana jika Tan Sri Khalid Ibrahim ingin dikorbankan maka jawatan sebagai Menteri Besar bukanlah hak mutlak kepada PKR. Memandangkan jumlah kerusi PAS dengan DAP adalah sama banyak iaitu 15 kerusi, tetapi PKR hanya 14 sahaja. Jadi mengapa PAS dengan semudah itu melepaskan peluang untuk merebut kerusi MB pula.

Atas dasar inilah maka PAS tidak bersedia untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan MB, sementelah sehingga sekarang PAS lebih selesa bekerjasama dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mengapa pula orang luar yang tidak faham dengan suasana Selangor tiba-tiba dibiarkan menjadi kepala negeri.

Maka apakah perancangan dan motif sebenar Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mencalonkan dirinya di N25 Kajang. Jika sekalipun PAS ditundukkan, apakah beliau mendapat perkenan Sultan Selangor ?

Kita telah melihat senario perlantikan Menteri Besar Selangor dan Exco sebaik sahaja PRU 13 yang lepas, ianya telah berlarutan agak lama berbanding negeri-negeri lain. Ini kerana Sultan Selangor telah menggunakan kuasa yang dimilikinya serta tidak pernah berlaku sebelumnya. Begitu juga akujanji 10 Perkara yang dilapazkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disediakan oleh pihak istana dengan memegang tombak kebesaran negeri Selangor.


Apakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap telah menderhaka kepada Sultan kerana melepaskan jawatan dengan sewenang-wenangnya. Sedangkan beliau sudah mentadbir negeri baginda dengan sempurna. Begitu juga apakah sultan pula akan memperkenankan perletakan jawatan itu.

Jika diperkenankan oleh Sultan, apakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dilantik sebagai MB, sedangkan beliau bukan anak negeri dan mungkin kriteria peribadi menjadi pertimbangan pula. Walaupun ia memenuhi syarat asas dalam peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan 1959 perkara 51 itu.

Sebagai MB terpaksa mengadap Sultan pada setiap pagi Rabu bagi mempersembahkan taklimat kerajaan negeri kepada Tuanku. Apakah Dato' Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berbuat demikian. Apakah hari-hari itu akan bertentangan dengan hari-harinya yang terpaksa berada di mahkamah bagi kes-kes liwatnya yang tak pernah habis ? 

Apakah Tuanku berkenan untuk melantik seseorang yang pada pandangan rakyat Selangor ada "masalah" moral untuk mentadbir negeri Baginda ? Berapa harikah Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat bagi membereskan masalah rakyat Selangor ? Berapa harikah beliau akan memperuntukan masa bagi menyelesaikan masalah sebagai Ahli Parlimen di Permatang Pauh ? Berapa harikah beliau akan berada di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang ? Berapa harikah beliau akan berada di luar negara seperti yang sering dilakukannya ?

Saya percaya 100% jika beliau menang sekalipun di Kajang, halangan daripada pihak istana akan membantutkan hasratnya untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Maka apakah sebenarnya percaturan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ? Pengundi Kajang jangan jadi bodoh. Jangan diperlembukan. Jangan letak loceng lembu di leher anda ! 

Jika Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dapat perkenan istana, maka sudah tentu calon lain yang lebih layak ialah sama ada dari PKR iaitu Azmin Ali atau Pesuruhjaya PAS Selangor iaitu, YB Iskandar Samad. Sesungguhnya inilah yang dinanti-nantikan oleh PAS. Sebab itulah dari awal lagi PAS tidak mahu membicarakan soal siapa MB Selangor selepas PRK Kajang.

Itulah cerita dalaman dari PKR dan Pakatan Rakyat sendiri. Sebenarnya dalam hal ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat keistimewaan walaupun dilambong oleh Azmin Ali sebagai pemimpin kelas dunia. Kriteria sebagai Ketua Pembangkang tidak menjamin beliau mendapat laluan yang selesa. 

Sebaliknya jika Azmin Ali bekerja keras untuk kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim tetapi Sultan tidak memperkenankan beliau menjadi MB, maka inilah saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh Azmin Ali. Peluangnya untuk diangkat sebagai MB adalah 50-50 bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Iskandar Samad.

Komposisi pengundi di Kajang lebih memihak kepada orang-orang Melayu dan diikuti oleh pengundi Cina. Lain-lain kaum tidak begitu signifikan tetapi mampu untuk menentukan kemenangan.

Secara tradisinya kerusi Kajang yang dahulunya adalah kubu kuat MCA. Dalam PRU 13 yang lalu, calon PKR iaitu Lee Chin Chih telah memperolehi majoriti sekitar 6,800 undi dalam satu pertandingan 6 penjuru yang berat sebelah. Sebenarnya ia adalah pertarungan antara Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PKR dan Barisan Nasional melalui calon MCA. Manakala empat orang calon lain dianggap kacau daun sahaja dan kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Berita yang kita dengar, bahawa calon Barisan Nasional adalah dari MCA. Kemungkinan besar yang akan dipertaruhkan ialah Naib Presiden MCA yang baru dilantik iaitu Chew Mei Fun. Namun ada juga ura-ura untuk meletakkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Presiden MCA iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong. Namun kecenderungan lebih memihak kepada Chew Mei Fun.

Chew Mei Fun adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal. Beliau adalah regu utama bagi Presiden MCA iaitu Liew Tiong Lai semasa perebutan jawatan dalam Kongres MCA yang baru lalu.


Cara berpolitik dan intergriti beliau disanjung dalam MCA. Dikatakan beliau kuat berpegang kepada janji. Begitu juga dengan caranya semasa meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA serta jawatan timbalan menteri semasa era Presiden MCA yang lalu iaitu Chua Soi Lek kerana tidak bersetuju dengan Chua.

Maka kini orang-orang Cina di Kajang akan berfikir dua kali sama ada untuk memberikan undi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim ataupun peluang sekali lagi kepada Chew Mei Fun yang mewakili MCA.

Ini kerana calon MCA ini bukanlah calang-calang calon, dan jika dimenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apakah orang Cina dapat. Tambahan pula Kajang adalah dimana letaknya ibu pejabat Dong Zhong iaitu badan yang mempertahankan pendidkan Cina di Malaysia.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga sudah tentu tidak dapat memenangkan hati orang-orang Cina yang berpendidikan Cina jika dikaitkan dengan Dong Zhong. Tambahan pula ada beberapa orang tertentu dalam Dong Zhong pernah disumbat ke dalam ISA semasa “Operasi Lalang” yang juga direstui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa beliau berada dalam kabinet Tun Dr. Mahathir dahulu.

Calon-calon bebas yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding ialah bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) iaitu Datuk Zaid Ibrahim. Ketika beliau dijemput untuk mengangotai PKR setelah “dinyahkan” dari UMNO dan dicalonkan dalam PRK Hulu Selangor, beliau telah disanjung sebagai seorang ahli politik yang berintergriti kerana berani mengkritik UMNO.

Sebagai calon PKR  Hulu Selangor setelah kematian Allahyarham Datuk Zainal Abidin, beliau telah berganding bahu dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri S. Nallakaruppan. Namun kini ia hanya tinggal sejarah sahaja. Kini walaupun Datuk Zaid Ibrahim agak "cool" tetapi beliau tetap akan membuka rahsia Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Begitu juga dikhabarkan bahawa Senator Dato’ Seri S. Nallakaruppan yang kini sebagai Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) bersedia untuk menawarkan diri. Jika beliau tidak bertanding sekalipun, tetapi ia tetap musuh poltik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada itu beberapa fraksi yang dahulunya adalah regu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini telah berada di luar pula bersedia sama ada untuk bertanding sebagai calon bebas ataupun hanya kacau daun sahaja bagi memberikan satu tekanan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mereka bersedia untuk menelanjangi Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari luar dan dalam. Maka sesungguhnya jalan yang dirintis oleh beliau untuk menuju ke puncak bukan sahaja agak runcing bahkan mungkin terbantut.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa para penyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam PKR serta para penyokong PAS yang tidak menyetujui pelan peralihan kuasa ini akan mengundi BN. Ini bagi membolehkan Tan Sri Abdul Khalid kekal menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.

Dikatakan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan berusaha memujuk undi atas pagar yang menjadi penentu survival bagi kedua-dua calon mereka. 

Kita juga jangan lupa dengan undi protes terhadap PKR kerana mempermainkan pengundi dengan perletakan jawatan ADUN oleh Lee Chin Chin dan mengadakan PRK baru semata-mata untuk melampias agenda politik Dato' Seri Anwar Ibrahim sahaja. 

Kemungkinan juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan kalah di Kajang tetap ada. Harapkan dapat menyelesaikan krisis dalaman antara MB Selangor dengan Azmin Ali, yang akan berakhirnya ialah dengan tersungkurnya Ketua Pembangkang itu di medan satey ! 




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
20.02.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Post a Comment