Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Thursday, February 20, 2014

Pilihanraya Kecil N25 Kajang : Mungkinkah Anwar Ibrahim kalah di Kajang ?

Terlebih dahulu, kita harus berfikir mengapa kita perlu mengadakan Pilihanraya Kecil (PRK) N25 Kajang ?

Dalam kebiasaannya diadakan PRK adalah kerana kekosongan DUN atau Parlimen disebabkan kematian wakil rakyat ataupun wakil rakyat keuzuran serta tidak mampu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

Selain itu wakil rakyat yang disabitkan dengan kesalahan undang-undang serta memaksanya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat. Jika setelah melalui pelbagai rayuan di mahkamah, masih lagi tidak memihak kepadanya. Maka perletakan jawatannya kita terima sebagai mengikut prosedur. 

Rakyat tiada pilihan lagi selain mencari wakil rakyat yang baru. Itu adalah amalan demokrasi.

Tetapi PRK N25 Kajang, adakah ia satu amalan demokrasi atau mempermainkan demokrasi demi kepentingan peribadi atau parti ?

Rakyat masih keliru !

Tindakan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Chih seorang peguam muda yang ditabalkan sebagai wakil rakyat dari PKR dalam PRU 13 yang lalu dengan mudah dan sewenang-wenangnya melepaskan jawatan wakil rakyat setelah bergelar YB selama tujuh bulan 21 hari.





Apakah justifikasinya meletak jawatan ?

Kita tidak mahu tahu apa hukuman yang terpaksa beliau tanggung selepas ini yang disenaraihitamkan oleh SPR bagi mewakili mana-mana parti sebagai calon dalam pilihanraya Malaysia buat satu jangkawaktu tertentu. Itu pilihan dia.

Tetapi apakah hak rakyat yang memilih beliau sebagai wakil rakyat yang dinafikankannya dengan begitu mudah ?! Apakah rakyat diperbodohkan dengan satu tindakan oleh permainan dalaman  parti ?! 

Inilah yang rakyat mahukan penjelasan.

Apakah tindakan untuk menggantikan seorang wakil rakyat lain dengan mengosongkan kerusi DUN sebagai satu tindakan bermaruah ?

Di manakah amanah serta janji-janji yang ditaburkan oleh beliau dan parti PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya kepada pengundi di Kajang dalam PRU 13 dahulu telah dilunaskan ?

Apakah satu PRK mahu dijalankan semudah sebagai menukar baju di badan ? Menurut SPR bahawa kos yang terpaksa ditanggung oleh SPR ialah pada anggaran RM1.6 juta. Ini tidak termasuk kos-kos yang ditanggung oleh mana-mana agensi kerajaan seperti pihak polis dan sebagainya.

Bagaimana pula rakyat yang terpaksa membuat satu pilihan lagi yang sepatutnya tidak perlu. Apakah ia satu tindakan membazirkan tenaga, masa dan wang sahaja. Tetapi ia hanyalah untuk satu permainan politik yang dihalalkan dalam undang-undang. Satu “lubang” undang-undang yang memperbodohkan rakyat !

Cerita mengenai pertelingkahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bukanlah satu perkara baru. Bahkan ianya telah lama terjadi iaitu sebelum PRU13 lagi.

PKR Selangor yang diterajui oleh Azmin Ali memang mengidamkan jawatan Menteri Besar Selangor, sementelah beliau juga adalah ADUN Bukit Antarabangsa. Tetapi dalam percaturan parti PKR, PAS dan DAP untuk jawatan MB selepas PRU 13 yang lepas, Azmin tidak terpilh.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri Selangor sebagai sebuah syarikat sendirian berhad bukanlah satu rahsia. Ini didorong oleh latarbelakang beliau sebagai tokoh korporat semasa berada dalam Guthrie dan PNB dahulu. Tetapi apabila menjawat jawatan eksekutif dalam kerajaan sebagai MB, beliau masih terbawa-bawa imej korporat dalam mengendalikan isu-isu rakyat dan parti.

Tambahan pula dalam PKR beliau tidak ada apa-apa jawatan kecuali lantikan sebagai Menteri Besar sahaja. Dalam senario politik Malaysia, seseorang ahli politik hanya boleh berdiri dengan kukuh jika ada jawatan dalam parti serta mendapat mandat dari para penyokong parti.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal dalam mentabdir “anak-buah” di Ijok, di mana asal-usulnya. Apatah lagi di cabang PKR Kuala Selangor. Setelah itu “dihilirkan” ke Pelabuhan Kelang dalam PRU 13 yang lalu. Hanya jawatan ADUN Pelabuhan Kelang sajalah tempat beliau bergayut sekarang !

Sebab itulah dalam harieki PKR Selangor, nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kalangan ADUN PKR dan pembuat dasar parti, beliau terpinggir. Beliau diperkotak-katikkan. Tambahan pula Azmin Ali, yang menjadi seteru politiknya dalam PKR adalah orang yang paling berkuasa dalam PKR Selangor.

Maka dalam menghadapi kemelut antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali, kedua-duanya telah menggunakan saluran yang berbeza.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan saluran kerajaan untuk “menindas” lawannya. Ini terbukti dalam kes pengguguran Azmin Ali sebagai pengarah PKNS. Walaupun MB kemudiannya menafikan ia adalah atas arahannya, tetapi siapa lagi yang berkuasa di pihak kerajaan melainkan Menteri Besar.

Apakah mana-mana pihak dalam PKNS yang boleh “melangkau” MB lalu mengeluarkan surat memecat Azmin Ali dalam PKNS. Inilah punca yang menghangatkan krisis antara kedua-duanya.

Azmin Ali hanya mampu “membalas” melalui saluran politik. Dengan memorandum yang dihantar kepada MB oleh para ADUN PKR yang menyatakan ketidakpuasan hati ADUN PKR terhadap corak pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Ini termasuklah isu kenaikan gaji sehingga hampir 400% bagi sesetengah jawatan dalam pentadbiran kerajaan yang berkaitan dengan jawatan eksekutif berasaskan parti. Begitu juga desakan dari kepimpinan PKR Selangor yang mendesak MB melepaskan jawatannya tetapi tidak diendahkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam kes pemecatan serta-merta pekerja anak syarikat PKNS pula, Azmin Ali membela mereka tetapi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap dengan keputusannya. Begitu juga dengan kes dana dan penyalahgunaan kuasa dalam PKNS yang disiasat ke atas dua orang kanan PKNS termasuk Pengurus Besar PKNS yang ditukarkan serta-merta ke Pejabat Menteri Besar menjadikan isu-isu ini lebih panas.

Dalam kes rampasan Bible bahasa Melayu oleh JAIS telah memuncakkan suhu pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kerana tekanan daripada pemimpin DAP dan PKR yang bukan beragama Islam, maka MB dalam keadaan dilemma.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 




Akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan dua arahan kepada JAIS iaitu meminta JAIS memulangkan semula kesemua Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah itu. Arahan kedua pula meminta JAIS merombak kembali prosedur jika ingin membuat serbuan yang sedemikian. Ia seolah-olah mencabar JAIS dan Sultan Selangor yang menjadi ketua Agama Islam Selangor.

Dalam soal ini, rakyat Selangor terutamanya yang beragama Islam tidak memihak kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi menyokong tindakan JAIS yang direstui pula oleh MAIS yang secara khususnya di bawah DYMM Sultan Selangor.

Dalam kemelut yang melibat Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali, maka lahir pula Anwar Ibrahim. Ketiga-tiga ini membentuk satu Kemelut 3A.

Jadi secara khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mencelah dalam kemelut ini dengan meminta pengundi Kajang menentukan nasib mereka bertiga. Maka apakah pengundi Kajang sanggup diperkudakan demi menyelesaikan pertelingkahan ini ?

Apa rasionalnya kes rumah-tangga PKR khususnya diheret agar diselesaikan melalui satu pilihanraya kecil ?

Maka siapa pula yang menjadi “kambing hitam” dan dikorbankan terlebih dahulu ? Dalam satu perancangan yang licik, maka ADUN Kajang iaitu Lee Chin Chih terpaksa dikorbankan bagi membuka satu peluang kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai calon ADUN.

Dalam sidang akhbar pertama oleh Azmin Ali mengenai pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam PRK N25 Kajang ini, beliau telah “melambong” Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kelas dunia yang perlu diberikan kemenangan. Maka jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai pemimpin kelas dunia, mengapa pula hendak menjadi seorang ADUN di Selangor ?

Bukankah status Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebaris dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kini sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bukannya kita tidak mahu menerima hakikat seperti pepatah Melayu mengatakan, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.  

Apakah tak dapat kerusi Perdana Menteri maka kerusi Menteri Besar pun cukuplah. Dimana kredibiliti dan keampuhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu mentadbir negeri Selangor pula, sedangkan perancangan besarnya seperti 16 September dahulu bagi membentuk kerajaan pusat dari pintu belakang begitu gah. Kini pula mahu mengikut pintu belakang sekali lagi untuk “menyahturunkan” Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kita tidak tahu apakah ini sifat-sifat orang yang suka mengikut “pintu belakang”.

Dengar-dengar Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun demikian dari segi moral, apakah sesuatu yang molek untuk dihebuh-hebuhkan sedangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun tidak disenangi oleh kepimpinan parti tetapi tidaklah seteruk sangat dalam mentadbir negeri Selangor.

Jika dalam hal-hal ekonomi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga melambongkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mentadbir Selangor. Ini secara jelas juga mengiktiraf beliau sendiri sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Jadi apa yang tak kena pula dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ?

Maka rakyat Selangor sendiri mahu tahu apakah agenda sebenar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mencaturkan PRK N25 Kajang ini ?

Rakyat Selangor juga tidak nampak mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu digantikan oleh calon lain. Jika kem Azmin Ali tidak sukakan beliau sebagai MB, maka bolehlah berpakat dengan PAS dan DAP bagi mengusulkan satu undi tidak percaya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Jika diluluskan oleh DUN maka MB terpaksa meletakkan jawatan.

Azmin Ali bolehlah dicalonkan sebagai MB yang baru jika diperkenankan oleh Sultan Selangor. Mengapa perlu rakyat diheret dalam penentuan PRK N25 Kajang ? Ini menampakkan seolah-olah rakyat khususnya pengundi Kajang hanya dicucukkan hidung sahaja, tak lebih macam lembu. Yang jadi gembala ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Apakah taraf Dato' Seri Anwar Ibrahim sama dengan seorang gembala lembu ?! Namun pengundi Kajang tentu tidak rela diperlembukan.

Jika benar PRK N25 Kajang sebagai natijah Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal ataupun bagi sesetengah pihak pula mengatakan ia hanya sebagai tempuh peralihan sahaja bagi memberi laluan ada Azmin untuk mengepalai negeri Selangor sebagai Menteri Besar.

Kalaulah demikian gayanya, apakah ia hanya satu permainan politik kotor yang membelakangi prinsip demokrasi dengan menghalalkan cara. Namun demikian apakah perlantikan untuk jawatan Menteri Besar Selangor boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya ?

Walaupun peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dalam Artikel 51 yang mengatakan bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara iaitu perlantikan Menteri Besar dan membubarkan DUN tanpa perlu nasihat sesiapa. Maka jika Sultan Selangor memikirkan ia akan memudaratkan rakyat Selangor, tentu baginda tidak akan memperkenankan sebarang perlantikan baru atau menerima perletakan jawatan oleh MB sekarang.

Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar yang baru, maka seharusnya dalam Kad Pengenalan beliau tercatat alamat sebagai “orang Selangor”. Setahu kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah pengundi Permatang Pauh, Pulau Pinang, bila pula beliau menukar alamat di Selangor. Kecuali dari awal sudah dirancangkan sedemikian.

Kini yang dalam dilemma ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Jikapun Dato' Seri Anwar Ibrahim menang di Kajang, dan jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan meletakkan jawatan, maka sudah tentu akan ribut lagi Pakatan Rakyat di Selangor. Tentu PAS tidak sewenang-wenangnya merelakan perubahan dalam kepimpinan negeri.

Jika akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dari PKR lantaran beliau kini sudah "busuk" lunyai dicincang oleh kem Azmin dan Anwar. Apakah ia satu malapetaka bagi Pakatan Rakyat yang kononnya tujuan Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang adalah untuk mengukuhkan PR tetapi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran !

Sebenarnya perancangan licik untuk mengadakan PRK oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukanlah pertama kali dilakukan. Yang pertama ialah “oleh kerana kasih adinda maka adinda korbankan kerusi Permatang Pauh untuk kekanda tandingkan”.

Manakala PRK yang kedua pula ialah dengan mengorbankan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang iaitu Mohd Fairus bagi kerusi DUN Penanti bagi memberi ruang kepada orang kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Dr. Mansur Othman memasuki harieki yang lebih tinggi seterusnya menggantikan Mohd Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Begitu juga dengan PRK Bukit Semambu. Akhir sekali kita dihidangkan dengan PRK Kajang. Jika dihidangkan satey Kajang tidak mengapa. Kita makan bersama-sama, tetapi apakah selepas PRK Kajang nanti, kita kenduri satey. Bagaimanapun apakah cukup dengan sekali kenduri satey ?

Rakyat tidak boleh dimomokkan dengan diberi “makan” untuk kenyang sekali. Mereka mahukan wakil rakyat yang sebenar-benarnya wakil rakyat. Bukannya wakil rakyat yang hanya mahukan undi rakyat tetapi tidak memperdulikan rakyat atau hanya mempunyai agenda tertentu bagi kepentingan peribadi dan parti.

Dalam percaturan onak dan duri ini,  sebenarnya peluang untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang atau kalah juga adalah 50-50.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim pertamanya harus memberikan justifikasi mengapa perlu diadakan PRK ini. Jika tidak, undi yang ditagih tidak semestinya memihak kepadanya. Rakyat bijak untuk menilai siapa calon itu. Bersih atau tidak calon itu. Apakah akan jadi jika calon ini menang dan apa yang rakyat dapat.


Dalam kerancakan berkempen (sebenarnya tidak dibolehkan kerana kempen hanya dibolehkan selepas hari penamaan calon) Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat bekas Menteri Besar Selangor yang terpaksa melepaskan jawatannya kerana skandal membawa keluar wang RM2.4 juta ke Brisbane, Australia iaitu Tan Sri Mohammad Taib. Selepas kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO melawan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu, beliau telah "cool" dan akhirnya menyertai PAS.


Dato' Seri Anwar Ibrahim juga telah melambongkan Tan Sri Mohammad Taib yang bakal dibawa kembali dalam pentadbiran Selangor kerana Tan Sri Mohammad Taib begitu "pakar" dalam pembangunan luar bandar. Namun orang-orang yang dilantik sebagai Pegawai Khas dalam pembangunan luar bandar iaitu Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution sehingga kini masih tidak ada pejabat di SUK. Apa dah jadi ?


Apa akan terjadi jika Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor, apakah ia akan menjadi tunggang terbalik dibuatnya sistem pentadbiran yang kini begitu licin.

Begitu juga apakah beliau diterima oleh orang-orang PKR sendiri dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat yang tentunya akan merombak kembali Exco dan portfolio kerajaan. 


Apakah Mungkin Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa akan terjadi dengan pentadbiran kerajaan, kaki-tangan kerajaan dan rakyat. Maka apakah kita yang tinggal di Selangor ini sanggup diperKUDAkan ??!!

Begitu juga para pegawai dan kaki-tangan kerajaan Selangor yang makan gaji tetapi tidak terlibat dalam politik sanggup menerima perubahan yang tidak sepatutnya berlaku.


Dalam Pakatan Rakyat, hanya DAP secara amnya menyokong penuh pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam PAS secara prinsipnya menyokong untuk memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dasar dalam satu kem pakatan dalam PRK ini.

Namun PAS secara jelas tidak akan berkompromi jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim ingin “merebut” kerusi Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Khalid Ibrahim.Ini kerana jika Tan Sri Khalid Ibrahim ingin dikorbankan maka jawatan sebagai Menteri Besar bukanlah hak mutlak kepada PKR. Memandangkan jumlah kerusi PAS dengan DAP adalah sama banyak iaitu 15 kerusi, tetapi PKR hanya 14 sahaja. Jadi mengapa PAS dengan semudah itu melepaskan peluang untuk merebut kerusi MB pula.

Atas dasar inilah maka PAS tidak bersedia untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan MB, sementelah sehingga sekarang PAS lebih selesa bekerjasama dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mengapa pula orang luar yang tidak faham dengan suasana Selangor tiba-tiba dibiarkan menjadi kepala negeri.

Maka apakah perancangan dan motif sebenar Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mencalonkan dirinya di N25 Kajang. Jika sekalipun PAS ditundukkan, apakah beliau mendapat perkenan Sultan Selangor ?

Kita telah melihat senario perlantikan Menteri Besar Selangor dan Exco sebaik sahaja PRU 13 yang lepas, ianya telah berlarutan agak lama berbanding negeri-negeri lain. Ini kerana Sultan Selangor telah menggunakan kuasa yang dimilikinya serta tidak pernah berlaku sebelumnya. Begitu juga akujanji 10 Perkara yang dilapazkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disediakan oleh pihak istana dengan memegang tombak kebesaran negeri Selangor.


Apakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap telah menderhaka kepada Sultan kerana melepaskan jawatan dengan sewenang-wenangnya. Sedangkan beliau sudah mentadbir negeri baginda dengan sempurna. Begitu juga apakah sultan pula akan memperkenankan perletakan jawatan itu.

Jika diperkenankan oleh Sultan, apakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dilantik sebagai MB, sedangkan beliau bukan anak negeri dan mungkin kriteria peribadi menjadi pertimbangan pula. Walaupun ia memenuhi syarat asas dalam peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan 1959 perkara 51 itu.

Sebagai MB terpaksa mengadap Sultan pada setiap pagi Rabu bagi mempersembahkan taklimat kerajaan negeri kepada Tuanku. Apakah Dato' Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berbuat demikian. Apakah hari-hari itu akan bertentangan dengan hari-harinya yang terpaksa berada di mahkamah bagi kes-kes liwatnya yang tak pernah habis ? 

Apakah Tuanku berkenan untuk melantik seseorang yang pada pandangan rakyat Selangor ada "masalah" moral untuk mentadbir negeri Baginda ? Berapa harikah Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat bagi membereskan masalah rakyat Selangor ? Berapa harikah beliau akan memperuntukan masa bagi menyelesaikan masalah sebagai Ahli Parlimen di Permatang Pauh ? Berapa harikah beliau akan berada di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang ? Berapa harikah beliau akan berada di luar negara seperti yang sering dilakukannya ?

Saya percaya 100% jika beliau menang sekalipun di Kajang, halangan daripada pihak istana akan membantutkan hasratnya untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Maka apakah sebenarnya percaturan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ? Pengundi Kajang jangan jadi bodoh. Jangan diperlembukan. Jangan letak loceng lembu di leher anda ! 

Jika Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dapat perkenan istana, maka sudah tentu calon lain yang lebih layak ialah sama ada dari PKR iaitu Azmin Ali atau Pesuruhjaya PAS Selangor iaitu, YB Iskandar Samad. Sesungguhnya inilah yang dinanti-nantikan oleh PAS. Sebab itulah dari awal lagi PAS tidak mahu membicarakan soal siapa MB Selangor selepas PRK Kajang.

Itulah cerita dalaman dari PKR dan Pakatan Rakyat sendiri. Sebenarnya dalam hal ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat keistimewaan walaupun dilambong oleh Azmin Ali sebagai pemimpin kelas dunia. Kriteria sebagai Ketua Pembangkang tidak menjamin beliau mendapat laluan yang selesa. 

Sebaliknya jika Azmin Ali bekerja keras untuk kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim tetapi Sultan tidak memperkenankan beliau menjadi MB, maka inilah saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh Azmin Ali. Peluangnya untuk diangkat sebagai MB adalah 50-50 bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Iskandar Samad.

Komposisi pengundi di Kajang lebih memihak kepada orang-orang Melayu dan diikuti oleh pengundi Cina. Lain-lain kaum tidak begitu signifikan tetapi mampu untuk menentukan kemenangan.

Secara tradisinya kerusi Kajang yang dahulunya adalah kubu kuat MCA. Dalam PRU 13 yang lalu, calon PKR iaitu Lee Chin Chih telah memperolehi majoriti sekitar 6,800 undi dalam satu pertandingan 6 penjuru yang berat sebelah. Sebenarnya ia adalah pertarungan antara Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PKR dan Barisan Nasional melalui calon MCA. Manakala empat orang calon lain dianggap kacau daun sahaja dan kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Berita yang kita dengar, bahawa calon Barisan Nasional adalah dari MCA. Kemungkinan besar yang akan dipertaruhkan ialah Naib Presiden MCA yang baru dilantik iaitu Chew Mei Fun. Namun ada juga ura-ura untuk meletakkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Presiden MCA iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong. Namun kecenderungan lebih memihak kepada Chew Mei Fun.

Chew Mei Fun adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal. Beliau adalah regu utama bagi Presiden MCA iaitu Liew Tiong Lai semasa perebutan jawatan dalam Kongres MCA yang baru lalu.


Cara berpolitik dan intergriti beliau disanjung dalam MCA. Dikatakan beliau kuat berpegang kepada janji. Begitu juga dengan caranya semasa meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA serta jawatan timbalan menteri semasa era Presiden MCA yang lalu iaitu Chua Soi Lek kerana tidak bersetuju dengan Chua.

Maka kini orang-orang Cina di Kajang akan berfikir dua kali sama ada untuk memberikan undi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim ataupun peluang sekali lagi kepada Chew Mei Fun yang mewakili MCA.

Ini kerana calon MCA ini bukanlah calang-calang calon, dan jika dimenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apakah orang Cina dapat. Tambahan pula Kajang adalah dimana letaknya ibu pejabat Dong Zhong iaitu badan yang mempertahankan pendidkan Cina di Malaysia.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga sudah tentu tidak dapat memenangkan hati orang-orang Cina yang berpendidikan Cina jika dikaitkan dengan Dong Zhong. Tambahan pula ada beberapa orang tertentu dalam Dong Zhong pernah disumbat ke dalam ISA semasa “Operasi Lalang” yang juga direstui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa beliau berada dalam kabinet Tun Dr. Mahathir dahulu.

Calon-calon bebas yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding ialah bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) iaitu Datuk Zaid Ibrahim. Ketika beliau dijemput untuk mengangotai PKR setelah “dinyahkan” dari UMNO dan dicalonkan dalam PRK Hulu Selangor, beliau telah disanjung sebagai seorang ahli politik yang berintergriti kerana berani mengkritik UMNO.

Sebagai calon PKR  Hulu Selangor setelah kematian Allahyarham Datuk Zainal Abidin, beliau telah berganding bahu dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri S. Nallakaruppan. Namun kini ia hanya tinggal sejarah sahaja. Kini walaupun Datuk Zaid Ibrahim agak "cool" tetapi beliau tetap akan membuka rahsia Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Begitu juga dikhabarkan bahawa Senator Dato’ Seri S. Nallakaruppan yang kini sebagai Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) bersedia untuk menawarkan diri. Jika beliau tidak bertanding sekalipun, tetapi ia tetap musuh poltik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada itu beberapa fraksi yang dahulunya adalah regu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini telah berada di luar pula bersedia sama ada untuk bertanding sebagai calon bebas ataupun hanya kacau daun sahaja bagi memberikan satu tekanan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mereka bersedia untuk menelanjangi Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari luar dan dalam. Maka sesungguhnya jalan yang dirintis oleh beliau untuk menuju ke puncak bukan sahaja agak runcing bahkan mungkin terbantut.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa para penyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam PKR serta para penyokong PAS yang tidak menyetujui pelan peralihan kuasa ini akan mengundi BN. Ini bagi membolehkan Tan Sri Abdul Khalid kekal menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.

Dikatakan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan berusaha memujuk undi atas pagar yang menjadi penentu survival bagi kedua-dua calon mereka. 

Kita juga jangan lupa dengan undi protes terhadap PKR kerana mempermainkan pengundi dengan perletakan jawatan ADUN oleh Lee Chin Chin dan mengadakan PRK baru semata-mata untuk melampias agenda politik Dato' Seri Anwar Ibrahim sahaja. 

Kemungkinan juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan kalah di Kajang tetap ada. Harapkan dapat menyelesaikan krisis dalaman antara MB Selangor dengan Azmin Ali, yang akan berakhirnya ialah dengan tersungkurnya Ketua Pembangkang itu di medan satey ! 




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
20.02.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Tuesday, February 18, 2014

Hubung-kait perubahan iklim dunia dengan cuaca tempatan : Mentafsir Sabah banjir manakala Semenanjung panas dan kering


Dalam artikel kali ini, saya akan mengupas mengenai perubahan iklim dunia dan kaitannya dengan cuaca tempatan. 

Di akhir artikel ini pula, saya akan mengaitkan bagaimana perubahan cuaca dan fenomena alam telah menyebabkan kejadian banjir di Sabah tetapi kita di Semenanjung mengalami panas terik dan kering.

Antara intipati artikel ini ialah :
  •            Apa asas-asas penyebab perubahan iklim ?
  •            Apa perbezaan antara cuaca dengan iklim ?
  •             Bagaimana iklim berubah ?
  •            Bagaimana sumber air memainkan peranan penting dalam memanas dan menyejukkan iklim ?
  •            Apa kesan terhadap rumah hijau dan penggunaan tenaga berasaskan fosil ?
  •           Apakah kesan letusan gunung berapi terhadap perubahan iklim ?


Iklim dunia kini berubah dan perubahan ini telah memberikan impak yang sangat besar terhadap kehidupan manusia di planet bumi. Purata suhu global telah naik 1.40 F berbanding pada permulaan abad ke 20, dan kenaikan 1.10 F dalam masa 30 tahun yang lalu.

Mengikut laporan daripada Intergovernment Panel on Climate Change (IPCC), purata perubahan suhu global telah naik 2 hingga 11.50 F dalam tahun 2011. Jika kita mengambil tindakan agresif bagi mengurangkan pelepasan korbon dioksida, maka perubahan suhu mungkin dapat dikurangkan.

 
Apa pula yang dikatakan sebagai iklim ? Dalam tafsiran saintifik, iklim adalah purata atau keadaan suhu tipikal, relative humidity (nisbah ketumpatan air terpelowap sebenar berbanding dengan ketumpatan air terpelowap dalam keadaan tepu), arah angin dan kelajuannya serta faktor-faktor meteorologikal yang berlaku di sesuatu kawasan yang luas atau benua.

Manakala cuaca pula ditakrifkan sebagai perubahan yang berlaku pada setiap jam atau hari seperti hujan, berangin, mendung, panas dan sebagainya. Ia hanyalah bagi sesuatu kawasan yang kecil sahaja.

Perubahan cuaca boleh berlaku dengan waktu yang singkat dan manusia kadang-kadang boleh mengubahnya daripada berlaku perubahan cuaca tersebut.
Namun kita tidak mudah untuk mengubah iklim. Ini kerana perubahan iklim berlaku dalam keadaan yang berbeza di tempat-tempat yang berlainan. Seperti mengalami hari-hari yang sangat sejuk atau sangat panas dan kadang-kadang dibadai oleh ribut taufan. 

Yang pentingnya kedudukan magnitude utara atau selatan sesuatu lokasi itu sama ada ianya berada di kawasan tropika, sub-tropika, kawasan sederhana ataupun kawasan sejuk
Sebenarnya terdapat perubahan jangka panjang dan perubahan jangka pendek yang dialami oleh planet bumi sejak berjuta-juta tahun yang lalu. 

Banyak perubahan iklim itu terjadi secara dramatik dan berulang-ulang. Sebahagiannya adalah kerana impak daripada pelanggaran komet atau asteroid. Ia juga mungkin mengubah paksi bumi yang menyebabkan berlakunya perubahan terhadap kecepatan atau kelambatan pusingan orbit bumi dan kedudukan magnitude sesuatu kawasan itu.

Secara tidak langsung akan mengubah corak dan arah tiupan angin yang disebabkan oleh tarikan daya graviti bumi. Maka tidak hairanlah kini terdapat perubahan tiupan angin terutamanya yang berlaku di kawasan tropika dengan kejadian ribut taufan yang dahsyat seperti ribut taufan Haiyan yang melanda kepulauan Pasifik barat terutamanya Filipina baru-baru ini.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 

Begitu juga baru-baru ini kita dikejutkan dengan sejuk “melampau” yang tidak pernah dialami oleh rakyat negara ini bagi sesuatu kawasan dengan kesejukan mencecah 170 Celcius. Namun demikian ia tidak ada kena-mengena dengan perubahan iklim. Ia adalah disebabkan tiupan angin Monson Timur Laut yang membawa angin sejuk dari Negara China yang dalam musim sejuk. Tambahan pula pada bulan Januari dan awal Februari  sering mencatatkan suhu yang agak rendah.  

Menurut laporan IPCC yang dibentangkan dalam tahun 2006-2007, satu persefahaman telah dicapai bahawa perubahan iklim yang berlaku secara mendadak di planet bumi kini adalah disebabkan oleh faktor kemanusiaan itu sendiri. Kebanyakan dari aktiviti-aktiviti yang dilakukan di masa-masa dahulu telah menyebabkan kuasa pra-dominan yang menyebabkan kita sekarang terpaksa menerima kesannya. Begitu juga apa yang kita lakukan sekarang akan menyebabkan generasi akan datang juga akan merasai kesannya.

Apa pula yang kita namakan sebagai pemanasan global ? Manusia telah melakukan perubahan iklim dengan membakar lebih banyak bahan-bahan bakar fosil iaitu arang batu, petrol, diesel dan gas asli. Ini akan menyebabkan kandungan karbon diokside semakin banyak dan tepu di atmosfera.

Faktor lain ialah dengan penebangan kawasan hutan.  Maka mana pula karbon dioksida itu akan pergi kerana pohon-pohon yang sepatutnya menyerap karbon dioksida dalam proses fotosistesis bagi mengeluarkan pula oksigen dapat melakukannya dalam suasana keseimbangan.

Lapisan karbon dioksida berperanan pula sebagai selimut yang memerangkap kepanasan di atmosfera. Maka ini menyebabkan atmosfera sentiasa dalam keadaan suhu yang panas. Kini kandungan karbon dioksida di atmosfera lebih tinggi berbanding beribu-ribu tahun yang lalu. Mengikut rekod, tahun 2010 adalah tahun yang paling panas di seluruh dunia.
  
Mana pula kawasan-kawasan yang menerima impak paling besar dalam perubahan iklim ?  Mengikut kajian ahli sains, impak paling ketara berlaku di Kutub Utara dan paling kurang ialah di Kutub Selatan. Dengan pemanasan di Kutub Utara maka kawasan Artik yang dipenuhi dengan lapisan gunung-gunung ais akan mula mencair. Sebab itu bandar-bandar utama di hemisfera utara akan terlebih dahulu mengalami kenaikan air laut yang disebabkan oleh limpahan kecairan air batu daripada Kutub Utara.

Bagaimana pula peranan air dalam memanaskan dan menyejukkan iklim ? Air adalah kunci utama bagi setiap kehidupan di planet bumi, tetapi tidak pula bagi planet-planet lain dalam sistem solar.

Di bumi, air berada dalam tiga keadaan iaitu dalam bentuk cecair, wap ataupun ketulan ais. Air apabila berada dalam keadaan cecair, ia adalah asas kepada segala kehidupan di muka bumi ini. Transformasi air kepada wap iaitu air yang terpelowap di angkasa serta yang membeku di kutub utara dan selatan memainkan peranan utama dalam fungsi sistem ekologi.
 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


Kandungan air yang tepu di atmosfera juga menjadi penyebab kepada pemanasan global. Ini kerana molekul air akan memanaskan atmosfera dengan menyerap cahaya matahari. Walaupun dalam setiap masa, kandungan air di atmosfera hanya sedikit iaitu pada kadar 0.001% daripada kandungan air di muka bumi, tetapi ia berupaya menyerap 70% cahaya matahari yang menembusinya.

Kesan rumah hijau secara semulajadinya adalah fenomena di mana seolah-olah terdapat satu selimut yang menyaluti bumi dan memanaskannya. Ia menjaga suhu yang diperlukan oleh setiap kehidupan di planet bumi.  Yang menghairankan, di atmosfera terdapat gas-gas terbuang seperti nitrogen, oksigen dan argon tidak pula menyebabkan perubahan iklim.

Pembebasan gas-gas ke dalam rumah hijau dalam beberapa dekad ini menyebabkan ianya semakin tepu, dan dalam tahun 1970-2004 keseluruhannya terdapat pertambahan sebanyak 70%. Menurut laporan dari IPCC, jumlah karbon diokside sahaja telah bertambah sebanyak 31%.

Dengan ini dapat ditakrifkan bahawa perubahan pemanasan iklim global adalah disebabkan oleh konsentrasi karbon diokside di atmosfera. Sebagai hasil daripada pertambahan itu, maka purata suhu di atmosfera telah bertamah 10 Celcius setiap tahun.

Apabila gunung berapi meletuskan laharnya, maka debu-debu dan partikel memasuki ruang angkasa. Sebahagian daripadanya ialah sulphur dioksida. Ia mampu untuk membantu dalam penyejukan suhu di atmosfera kerana ia dapat membiaskan cahaya matahari daripada memasuki ruang udara bumi. Ia hanyalah satu satu fenomena sementara sahaja.

Namun pelepasan karbon dioksida dalam kuantiti yang banyak dalam atmosfera dan akan memberikan impak terhadap rumah hijau bagi satu jangkawaktu yang amat panjang. Dalam kes Gunung Kelud di Indonesia yang kini memuntahkan lahar dan debu-debu ke atmosfera bukan sahaja memberikan impak terhadap ekologi tempatan bahkan menyumbang  kepada perubahan iklim dunia.

Apabila karbon dioksite dilepaskan ke dalam rumah hijau, maka molekul karbon dioksida akan berada di situ selama sekitar 100 tahun. Ianya akan hilang  sama ada diserap oleh pokok-pokok dalam proses fotosintesis atau melalui reaksi kimia dengan molekul-molekul yang lain.

Kini dikenalpasti China adalah penyumbang utama kepada gas-gas ke rumah hijau. Diikuti oleh Amerika Syarikat. Adalah penting untuk diketahui, bahawa Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah adalah penyumbang 2/3 daripada gas-gas ke dalam rumah hijau sejak dari era Revolusi Industri sehingga kini.

Apakah benar yang menyebabkan perubahan iklim adalah disumbangkan oleh segala aktiviti-aktiviti manusia di planet bumi ini sahaja? Namun para saintis pula berpendapat ia juga disebabkan oleh apa yang dinamakan sebagai “Sun Cycles” dan “Sunspot”.

Sun Cycle adalah satu perubahan bagi satu pusingan selama 11 tahun terhadap pancaran matahari. Sunspot secara relatifnya, ia adalah titik-titik hitam yang terdapat di permukaan matahari. Sebenarnya ia bukanlah titik-titik hitam, cuma jika dibandingkan dengan cahaya matahari yang lebih terang, maka ia kelihatan seolah-olah “hitam”. Titik-titik hitam ini akan datang dan pergi dalam satu putaran.

Mengikut teorinya ia adalah kesan dari kuasa magnetik pancaran cahaya matahari. Suhu di permukaan sunspot lebih rendah dan ia akan menyebabkan pancaran matahari terhalang dan yang sampai ke bumi didapati kurang terang. Secara tidak langsung ia juga menyebabkan perubahan suhu di planet bumi seterusnya menyebabkan perubahan iklim dalam satu jangkawaktu tertentu.

Maka dengan itu kita akan dapati perubahan  iklim dunia adalah dalam bentuk pusingan yang akan berulang-ulang.  Manakala dalam jangka waktu yang panjang pula ia akan mengubah iklim sedikit demi sedikit. Setelah berjuta-juta tahun maka kita dapati perubahan yang nyata sejak dari era zaman ais dengan kehidupan dinasour  sehinggalah kepada hari ini.

Kembali kepada keadaan iklim dan perubahan cuaca di negara kita amnya. Kedudukan Malayasia adalah dalam magnitude 100 utara dari garisan Khatulistiwa. Maka kita ditakrifkan sebagai negara yang mempunyai iklim Khatulistiwa dengan di kelilingi oleh laut.

Maka kesan daripada angin monson iaitu Monson Timur Laut dan Monson Barat Daya telah membentuk satu taburan hujan yang tidak sekata. Ini adalah kerana di Semenanjung terdapat Banjaran Titiwangsa yang memisahkan antara negeri-negeri Pantai Barat dan Pantai Timur. Maka ia juga telah menerima hujan dari angin monson yang berbeza.

Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak pula, ia banyak dipengaruhi oleh bentuk muka buminya yang besar kerana ia adalah sebahagian daripada kepulauan Borneo. Namun di bahagian timur Sabah juga banyak dipengaruhi oleh keadaan Lautan Pasifik terutamanya di Pasifik Barat yang menjadi punca utama kepada ribut taufan tropika.

Angin monsoon yang bertiup di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak memberi impak yang berbeza. Bagi Semenanjung, secara amnya terdapat empat angin yang bertiup. Yang utama ialah Monson Timur Laut yang bertiup dari bulan November    hingga  Mac. Ia biasanya membawa hujan yang lebat kerana melalui Laut China Selatan yang luas. Ia ditakrifkan sebagai musim tengkujuh di Pantai Timur.  Ia lebih memberti kesan kepada negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
  
Manakala angin Monson Barat Daya pula bertiup dari bulan Mei atau Jun  hingga September. Oleh kerana angin ini dihadang oleh Pulau Sumatera maka ia dalam keadaan lemah dan hanya berupaya membawakan hujan dari Selat Melaka yang sempit.

Perubahan angin antara angin Monson Timur Laut dengan Monson Barat Daya atau daripada Monson Barat Daya ke Monson Timur Laut adalah dipanggil peralihan monson. Ia tiada angin yang kencang melainkan angin setempat sahaja. Maka ia ditakrifkan sebagai musim kering

Manakala bagi Sabah dan Sarawak pula, tiupan angin Monson Timur Laut memberikan hujan yang banyak bagi kedua-dua negeri ini, tetapi tidak pula bagi Monson Barat Daya kecuali bagi kawasan-kawasan tertentu sahaja. Oleh kerana kedudukan bahagian timur Sabah yang berdepanan dengan Lautan Pasifik, maka taburannya hujan juga banyak dipengaruhi oleh perubahan angin dan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik.

Kita lihat sekarang, banjir telah berlaku di kawasan-kawasan timur negeri Sabah terutamanya Beufort dan Tenom. Bagaimanakah kita mentafsirkan fenomena ini ? Apakah ianya disebabkan oleh peralihan monson yang datang lebih awal atau saki-baki Monson Timur Laut ?

Daripada imej yang diperoleh daripada satellite melalui Jabatan Meteorologi Malaysia yang dirakamkan pada 17hb dan 18hb Februari 2014 menunjukkan bahawa kini angin bertiup dari Tenggara.

Ia bukanlah daripada kelaziman angin yang bertiup daripada timur laut ataupun barat daya. Ini menampakkan bahawa monson timur laut telah berada di penghujung manakala yang tiba ialah peralihan monson di mana arah angin sukar untuk diramalkan.

Oleh kerana kawasan timur dan tenggara Sabah terdedah dengan kawasan laut Sulu di mana angin yang membawa hujan telah
terhalang di daratan, maka kawasan Beufort dan Tenom telah mengalami hujan lebat dengan mengakibatkan banjir.

Namun bagi di Semenanjung, hanya kawasan tenggara dan selatan Johor serta Pahang akan menerima hujan. Lain-lain kawasan adalah panas dan kering.

Kini kita berdepan dengan kekurangan bekalan air di empangan atau tasik yang menyalurkan air mentah untuk diproses menjadi air terawat. Walaupun terdapat hujan sekali-sekali di sesuatu tempat, namun ia tidak berlaku di kawasan tadahan air, maka  sebab itulah logi-logi memproses air kini berada dalam keadaan kritikal.


Apakah penyelesaian ini boleh dilakukan dengan cara pembenihan awan ? Sebenarnya teknik pembenihan awan agak sukar dilakukan kerana kita mengalami arah angin yang sekata iaitu bertiup dalam satu arah bagi sesuatu masa.

Untuk melakukan pembenihan awan diperlukan angin yang bertiup dari pelbagai arah. Ia adalah amat penting agar kebangkalian wap air akan ditolak di udara hasil dari arah angin yang bertentangan. Maka dengan itu akan terhasillah awan-awan.

Pembenihan awan akan dilakukan ke atas awan-awan ini dengan menggunakan kapal terbang yang dilengkapi dengan sistem penyemburan sebatian garam. Dalam keadaan cuaca yang terang tanpa angin serta awan yang sedikit sudah tentu ianya tidak mampu untuk menghasilkan hujan. 

Sebagai kesimpulannya, perubahan cuaca dan iklim bagi sesuatu kawasan atau negara kini semakin banyak berubah. Ia disumbangkankan oleh “kemajuan” manusia yang semakin rakus dalam mengejar  pembangunan namun ia tidak diseimbangkan dengan sistem ekologi.

Apakah generasi akan datang semakin terdesak oleh kerana ketumpatan karbon diokside semakin menepu di atmosfera. Sedangkan kini “gudang oksigen” yang ditakrifkan sebagai hutan-hutan di Brazil khususnya semakin menyusut. Begitu juga hutan-hutan tropika seperti di negara kita juga kian hari kian menyusut.







Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  :





Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

18.02.2014



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Wednesday, February 12, 2014

Sebuah sketsa video klip Pilihanraya Kecil DUN N25 Kajang

Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N25 Kajang akan diadakan pada 23hb Mac 2014. Ini ekoran perletakan jawatan oleh bekas ADUN Kajang Lee Chin Chih pada 27hb Januari yang lalu.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan sebarang alasan mengapa beliau berbuat demikian.

Namun kemudiannya diketahui bahawa ia adalah perancangan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar kerusi itu dapat dipertandingkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ini memandangkan pertelagahan daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PRK, Azman Ali semakin memuncak. Ia juga menampakkan perpecahan kepada dua kem yang menyokong Menteri Besar dan kem yang menyokong Azmin Ali.

Ini lanjutan daripada beberapa insiden yang melibatkan kedua-duanya. Pemecatan Azmin Ali daripada menjadi pengarah PKNS telah menyemarakkan lagi pertelingkahan ini. Azmin Ali juga menempelakkan cara Menteri Besar Selangor itu dalam mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Oleh kerajaan kepimpinan PKR Selangor adalah di bawah pengawalan Azmin Ali, akhirnya PKR Selangor telah mendesak agar kerusi Menteri Besar Selangor digantikan oleh seseorang yang lebih berkaliber. Namun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus enggan berundur. Akhirnya beliau menyetujui dengan beberapa syarat.

Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pada mulanya menyangkal terdapat perancangan dalaman tersebut akhirnya terpaksa mengaku. Timbul pula ura-ura beliau akan dilantik sebagai Men
teri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Namun rakan PKR dalam Pakatan iaitu Pas hanya akan membantu Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam PKR N25 Kajang, namun tentang kesediaan Pas untuk melepaskan peluang melantik ADUN Pas sebagai Menteri Besar tidak pernah dilupakan. Ini kerana jumlah ADUN Pas juga tinggi dalam DUN Selangor. Jadi mengapa mesti hanya Menteri Besar lahir dari PKR dan tidak dari Pas ?

Jika sekalipun Dato' Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi DUN Kajang, apakah beliau diberikan peluang yang senang untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Apakh kedua-dua kem Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali dengan mudah menerima Dato' Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya PKR Selangor dapat disatukan ? Inilah persoalannya.

Kita tidak tahu pula apa kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nanti setelah menyerahkan kedudukan Menteri Besar kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. Apakah beliau rela untuk hanya menjadi exco sahaja ataupun hanya sebagai ADUN biasanya sahaja. 

Apakah kemungkinan beliau juga akan meletakkan jawatan sebagai ADUN Selangor, ini ada kemungkinannya kerana daripada menanggung "aib" diperlakukan demikian, adalah lebih baik keluar secara "terhormat". Walaupun ia akan menjadi cemuhan rakyat yang terpaksa memilih ADUN baru melalui satu lagi PRK.

Kita sebenarnya tidak tahu apa agenda Dato' Seri Anwar Ibrahim yang beria-ia sangat membayangkan bahawa beliau adalah bakal Menteri Besar Selangor selepas ini. Dari segi moral, apakah tidak menghormati Menteri Besar selangor yang sedia ada. Ia seolah-olah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim betul-betul tidak mampu mentadbir Selangor. 

Kita tunggu keputusan PRK Kajang sama ada Dato'  Seri Anwar Ibrahim dapat menawan hati pengundi Kajang dan kemudiannya untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Di pihak Barisan Nasional pula, diuar-uarkan bahawa yang bakal diturunkan menentang Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Naib Presiden MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal.

Ikutilah sketsa pilihanraya kecil D25 Kajang :





Ditulis oleh : Hisemudin Kasim 

12.02.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.