Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Friday, January 10, 2014

Isu kalimah Allah dan rampasan Bible : Tersepit antara kepentingan politik dan pegangan agama Islam

Pada 8hb Januari 2014,  Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah mengeluarkan dua arahan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung tindakan jabatan itu yang menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia, di Jalan Gasing, Petaling Jaya Khamis lalu yang menimbulkan persoalan yang lebih meluas.

Arahan pertama, keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri mengarahkan JAIS segera memulangkan 351 naskah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas, jika kitab penganut Kristian itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Arahan kedua, meminta JAIS mengeluarkan operasi standard (SOP) yang baharu, di mana JAIS wajib mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan exco-exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain dilakukan.

Alasan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ialah kita harus mematuhi resolusi 10 perkara berkaitan penganut Kristian yang diputuskan oleh kerjaan pusat sebelum ini.

Antara perkara yang terkandung dalam resolusi itu ialah membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak Bible bahasa Melayu.

Apakah dangkal sangat pada pemikiran Menteri Besar Selangor itu bahawa selama ini JAIS tidak mempunyai SOP yang lengkap, maka ia perlu merangka SOP yang baru ? Lagipun JAIS telahpun diberikan kuasa untuk tujuan yang sama. Apakah MB mahu campurtangan lagi ?

Jika sesuatu operasi itu dihebahkan terlebih dahulu, apakah ia masih dinamakan sebagai “operasi” ? Tambahan pula jika diberitahu kepada exco yang beragama Kristian, apakah mereka hanya berdiam diri tanpa “mengarahkan” pihak yang “di sana” agar segera menyorokkannya. 

Apakah Menteri Besar mahu mengheret Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor itu dalam kes-kes operasi ? Peranan MAIS dan JAIS adalah berbeza. MAIS adalah badan penggubal undang-undang Islam dan memelihara kesucian Islam. Ia tidak terlibat dalam sebarang operasi dan penguatkuasaan.

Manakala JAIS pula adalah sebuah jabatan di bawah Exco Ugama. Ia diberikan kuasa penguatkuasaan. Seperti juga dalam tangkapan orang-orang Islam yang berkhalwat atau tidak berpuasa di bulan puasa. Ia dilakukan oleh JAIS dan bukannya MAIS.  
JAIS melakukan serbuan itu berasaskan peruntukan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri ini.

Antara Resolusi 10 Perkara oleh kerajaan pusat yang hanya satu polisi dan bukannya satu undang-undang, berbanding Enakmen Agama Bukan Islam yang merupakan satu ketetapan undang-undang, jadi apakah MB Selangor itu sudah dibutakan hati dan matanya oleh tekanan DAP dan pluralisasi ugama PKR untuk membezakan antara polisi yang longgar dengan undang-undang ? Manakah yang lebih besar ?




Tambahan pula setiap enakmen kerajaan-kerajaan negeri mengenai ugama, ia adalah di bawah kuasa DYMM sultan atau Raja bagi sesebuah negeri. Maka jika ia digubal oleh undang-undang di parlimen sekalipun, ia tetap tidak mengatasi enakmen negeri-negeri. Oleh itu apalah besar sangat Resolusi 10 Perkara itu yang menjadi alasan Menteri Besar Selangor !


Semasa beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua, beliau telah diberikan AKUJANJI oleh DYMM Sultan Selangor dengan 10 Perkara. Salah satu daripadanya ialah menjunjung kesucian agama Islam.

Menteri Besar Selangor sudah lupa !

Antara alasan yang diberikan oleh Menteri Besar dan alasan JAIS yang merupakan sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan Negeri Selangor, nampaknya tidak ada keserasian. Apakah ia melambangkan keseluruhan pentadbiran kerajaan Selangor yang tidak selari dan cakap tak serupa bikin!

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi pula dikatakan mempertahankan tindakan JAIS itu. Apakah dengan ini telah berlaku perpecahan dalam pendirian kerajaan sebenarnya ? Apakah ibarat kepala ular mengarah ke kiri tetapi ekor melibas ke kanan !

Dalam pada itu MAIS memutuskan tindakan penguatkuasa JAIS menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas 351 naskah Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada agensi tersebut.

 
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, tindakan itu adalah mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.Ia juga satu pemeriksaan dan penyiasatan setelah menerima aduan orang ramai diperolehi berkaitan kegiatan penerbitan kitab Bible menggunakan kalimah Allah yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 enakmen sama. Maka JAIS tidak perlu mengikut arahan dari Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi memulangkan semula Bible yang dirampas.

Yang jelasnya, kini apa jua tentang Kristian dan bukan Islam serta penentangan oleh orang-orang Islam terhadap penyebaran agama Kristian di Malaysia mendapat campurtangan politik khususnya di negeri Selangor.

Kita sebenarnya tersepit antara kepentingan politik dan pematuhan terhadap kehendak pegangan agama Islam.

Mungkin kita masih teringat lagi semasa Dato' Dr Hasan Mohamed Ali yang menjadi Exco ugama dalam Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor dahulu mengenai rampasan arak yang dijual di sebuah kedai serbaneka yang berhadapan dengan Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor.

Beberapa bulan selepas serbuan itu dilakukan, saya didatangi oleh seorang pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mengetuai sendiri serbuan itu. Sebenarnya pertemuan itu berlaku secara tidak sengaja di pejabat saya di Shah Alam.

Menurut cerita pegawai tersebut, sebaik sahaja perkara rampasan arak itu sampai ke pengetahuan Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, beliau segera memanggil pegawai tersebut. Maka apa yang diterima ialah maki-hamun serta meminta kesemua arak-arak tersebut dipulangkan pada petang hari itu juga!

Begitulah besar dan angkuhnya Ronnie Liu dan siapa yang di belakang Ronnie Liu.

Pegawai tersebut juga terpaksa turun naik ke Putrajaya dan Istana Sultan Selangor di Kelang dalam memberikan statement.

Ketika itu para exco kerajaan negeri Selangor dibarisi oleh 6 orang bukan Islam dan 5 orang Islam. Majoriti bukan Islam ialah penganut Kristian. Exco agama, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali akhirnya tenggelam punca dek tekanan oleh Kerajaan Selangor. 

Kes kedua ialah serbuan ke atas sebuah gereja di Damansara yang ketika serbuan itu dilakukan terdapat orang-orang Islam yang menghadiri upacara keugamaan Kristian di dalam gereja. Serbuan ini disertai sendiri oleh Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.

Sekali lagi campurtangan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga menyalahkan Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.

Sehingga hari ini, kita tidak tahu apa status akhirnya terhadap perkara ini. Demi kesucian Islam, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali tidak mendapat keserasian dengan pentadbiran kerajaan negeri serta parti yang diwakilinya. 

Atas alasan yang sungguh dangkal,beliau dipecat oleh partinya sendiri iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan tanpa satu prosedur pemecatan yang mengikut tatacara perlembagaan parti.

Dalam rombakan exco setelah pemecatan Dato' Dr Hasan Mohamed Ali, Menteri Besar sendiri memegang portfolio ugama. Apakah kredibiliti Menteri Besar Selangor itu dalam memegang jawatan ini ? Kerana kita faham siapa dan latarbelakang MB itu.

Nampak benar bahawa pentadbiran kerajaan Selangor sebelum ini tidak mengambil langkah-langkah dari pencemaran kecusian Islam. Bahkan atas kapasiti exco sendiri membenarkannya berleluasa. 

Sebab itu selepas PRU 13 dahulu, kemelut perlantikan exco kerajaan negeri Selangor mendapat perhatian yang serius daripada Sultan Selangor. Baginda Sultan Selangor mahukan formula exco dari kalangan orang-orang Islam mengatasi exco bukan Islam.

Ianya disertakan dengan akujanji semasa mengangkat sumpah exco baru bagi melindungi kesucian agama Islam.  Maka kita lihat sekarang dalam isu rampasan Bible versi bahasa Malayu dan kebaculan pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew mahu menggunakan kalimah Allah di gereja seluruh negeri di Selangor, nampaknya ia masih bersendirian. Exco-exco kerajaan negeri Selangor yang beragama Kristian (kini bilangannya sedikit) nampaknya seperti tikus !

Tetapi yang peliknya Menteri Besar, Tan Sri Kalid Ibrahim sendiri yang lebih menonjol. Apakah sebagai boneka kepada para exco sendiri serta penyokong partinya? 

Dalam percaturan antara kepentingan politik dan pertimbangan terhadap kesucian agama Islam, di manakah pertimbangannya ?

Dalam isu yang lebih besar di peringkat nasional, cuba kita imbas kembali punca tercetusnya gelombang penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kira-kira setahun yang lalu.

Perangkap yang dipasang oleh Lim Guan Eng telah mengena kepada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang. Melalui Majlis Presiden Pakatan Rakyat, Datuk Seri Hadi Awang mengiakan penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian. Ianya diangggukkan oleh Mat Sabu. Secepat kilat ianya disanggah oleh Datuk Dr. Harun Din yang merupakan Timbalan Mursyidul Am Pas dan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Harun Taib.

Apakah pertimbangan Datuk Seri Hadi Awang pada mulanya adalah pertimbangan politik ataupun pertimbangan pegangan ugama Islam. Jika golongan tuk-tuk guru agama boleh dipesongkan, apakah kita yang hanya tahu mengaji sedikit serta ilmu agama yang cetek mampu untuk menahan terjahan oleh dakyah Kristian ? 
Akhirnya Datuk Seri Hadi Awang dan Mat Sabu terpaksa buat U-turn. Namun sehingga kini polemik ini terutamanya dalam parti PAS masih tidak karuan lantaran perpecahan pendapat oleh para pemimpinnya. Apatah lagi tidak ada kenyataan rasmi dari PAS Pusat yang jelas menyatakan pendiriannya.  

Kita pula ingin bertanya, apakah pula justifikasi Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dengan promosi yang menggalakkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Kita sebenarnya keliru antara kepentingan politik dengan pegangan agama Islam.

Sebab itulah kita tidak mahu penggunaan kalimah Allah diberikan “hak” kepada orang-orang selain daripada orang-orang Islam. Kita tidak mahu “rumah Allah” yang bererti masjid disamakan dengan “rumah Allah” yang bererti gereja. Apakah kita mahu seperti di Indonesia yang sudah ada Gereja Allah yang dipasangkan salib.

Kita tidak mahu Allah yang esa dan tunggal disamakan dengan Allah berbentuk trinity oleh orang-orang Kristian. Generasi yang baru adalah negerasi yang penuh pancaroba dan majoritinya tidak mendapat didikan agama yang kukuh. Apakah kita mampu mengelak dakyah Kristian yang mengatakan bahawa “Tuhan” kita sama iaitu “Allah”.

 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


 

Memang dari segi tauhidnya Tuhan yang sama iaitu Allah hanya satu untuk sekalian alam. Kerana ia adalah Pencipta tidak kira yang melata di muka bumi ini ialah Nasrani, Majusi, Islam, Budha, Hindu dan Taoism dan lain-lain. Tetapi dari teologi dan parktikalnya tidak begitu!

Maka apakah isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah itu ada dalilnya ?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.
Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. 
Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan :
1.       Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa”.

2.      Lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
 
3.      Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.

4.      Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
 
5.      Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
 
6.      Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.
 
7.      Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
 
8.     Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
 
9.      Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
 

Dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian dalam penerbitan The Herald pula, beberapa hujahan adalah seperti berikut :

Mereka mendakwa Bible dalam Bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.

Kita menolak kerana :

Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada Bahasa Arab.  Ia tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain.  

Dari segi struktur linguistik, kalimah allah lebih superior daripada apa jua perkataan apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan  makna  ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah. 

Oleh itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan Allah kepada apa jua bahasa 
melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.

Penggunaan kalimah Allah dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama Islam.  Ia diiktiraf oleh kamus-kamus serta ensiklopedia terkemuka di dunia seperti :

  • Kamus Oxford—Allah:  Name of God among Muslims.

  • Ensiklopedia Britannica—Allah:  God, the one and only God in the religion of Islam

  • Ensiklopedia Katolik—Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the name of God.


Dalam konteks Malaysia, kalimah Allah tidak diterjemahkan kepada Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan.  Oleh itu kalimah Allah di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa mengubahsuaian pada lafaz mahupun maksud kalimah tersebut.

Oleh itu kalimah Allah tidak boleh dianggap sebagai terjemahan  tuhan  dalam Bahasa Melayu  atau god dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz Bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab  suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.

Bible Bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia.  

Faktor perundangan menegah penggunaan kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam.  Oleh itu, alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible Bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.

Mereka mendakwa bahawa terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelbagai  etnik  dan Bahasa yang ada di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.

Kita menolak kerana :

Alasan penterjemahan kepada  Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima.  Perlu diketahui Bahasa Bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu.  

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi Malaysia. 

Perlu   diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah Malaysia belum wujud.  Oleh itu, apabila kita merujuk kepada Bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekali  gus  merujuk  kepada masyarakat Melayu Islam.  Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.

Memaksakan penggunaan kalimah Allah dengan kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam Bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian.

Bukanlah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian Berbahasa Melayu sendiri?

Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti Tuhan sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi  menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.

Kalimah Allah di Sabah & Sarawak ?

Dalam kemelut penggunaan kalimah Allah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang dahulunya adalah Borneo Utara, memang telah terdapat kelonggaran bagi penggunaannya. Ini adalah tradisi penduduk pribumi yang terlebih dahulu menerima Kristian sebelum termeterainya Perjanjian 20 Perkara bagi kemasukan Sabah dan Sarawak ke gagasan Malaysia pada 16hb September 1963.

Jika diteliti dengan Perkara 20 itu memang terdapatnya autonomi tertentu yang tidak sama dengan Semenanjung. Maka dalam apa jua keadaan sekalipun ia tidak boleh dipertikaikan. 

Lagipun penggunaan kalimah Allah di kalangan orang-orang di Sabah dan Sarawak juga merupakan satu pembudayaan. Tambahan pula mereka bersempadanan dengan Kalimantan, Indonesia. Daripada dahulunya pendudk di kedua-dua wilayah ini disatukan dalam satu rumpun dan sudah tentunya apa jua jenis Kristianiti di Indonesia akan dipraktikkan di Borneo Utara.

Sebab itulah penduduk pribumi di Borneo Utara pada lazimnya menggunakan Bible yang ditulis dalam bahasa Indonesia di mana terdapatnya kalimah Allah. Kini pula diubah kepada bahasa Melayu yang secara amnya adalah diadaptasikan daripada bahasa Indonesia.

Maka penentangan kita terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian walaupun dari segi teks undang-undangnya meliputi seluruh negara, tetapi ia tidak dapat dipraktikkan di Sabah dan Sarawak.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

10.01.2014


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Monday, January 6, 2014

Reda isu kenaikan tol : Apa yang kita patut tahu tentang lebuhraya di Malaysia

Sejak sebulan yang lalu, kita dihebohkan bahawa tol bagi kesemua lubuhraya yang diswastakan akan dinaikkan caj tol bermula 1h. Januari 2014. Ini berdasarkan kenyataan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun 2014 dengan mengambilkira perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya.
Kemudiannya, ia ditambah oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang mengatakan telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan kenaikan terakhir ialah pada tahun 2011. Jika kadar tol tidak dinaikkan mengikut perjanjian konsesi, maka kerajaan perlu membayar pampasan RM400 juta jika mahu mengekalkan kadar tol sedia ada.
Maka kerajaan berada dalam dilemma. Apakah mahu dituruti terma perjanjian konsesi dengan pengendali lebuhraya dengan menaikkan kadar tol mengikut formula yang tertentu. Atau mendengar rintihan rakyat yang tersepit lantaran kenaikan sara hidup yang tinggi disebabkan oleh kenaikan harga bahan bakar terutamanya petrol & diesel, tariff letrik dan sebagainya.
Bagaimanapun, kenyataan akhbar oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof pada 1hb. Januari 2014 yang menyatakan kerajaan masih dalam pertimbangan bagi menangani isu tersebut. Malah menekankan ianya akan dibawa ke makmal Unit Pengurusan dan Pelaksaan (Pemandu) untuk diteliti.
Maka isu kenaikan tol telah reda. Tetapi ia bukan penamat kepada kemelut ini.
Dalam artikel kali ini, saya akan mengupas mengenai lebuhraya di Malaysia dahulu dan sekarang dari perspektif sebagai seorang bekas jurutera awam yang pernah terlibat dalam pembinaan lebuhraya terutamanya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Sebenarnya saya adalah salah seorang daripada jurutera awam yang terawal terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Lembah Kelang Baru (NKVE) sejak tahun 1990 lagi. Setelah bermulanya projek-projek NKVE maka barulah diteruskan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menyambungkan Lembah Kelang ke utara sehingga ke Bukit Kayu Hitam. Manakala di bahagian selatan pula dari Tol Sungai Besi ke Johor Baru.
Projek NKVE yang mempunyai tiga pakej pembinaannya iaitu, dari Tol Bukit Raja di Kelang hingga ke Tropiccana di Damansara merupakan pakej terawal dalam pembinaan lebuharaya. Manakala Pakej kedua ialah dari Tropiccana hingga ke persimpangan Bukit Lanjan, seterusnya disambung sehingga ke Tol Sungai Buluh. Pakej ketiga ialah dari Persimbangan Bukit Lanjan hingga ke Tol Jalan Duta.
Saya terlibat dalam pakej kedua iaitu dari Tropiccana ke Tol Sungai Buluh. Walaupun atas title sebagai “fresh graduate engineer” yang memiliki kelulusan Kejuruteraan Awam tetapi peranan saya lebih sebagai computer programmer untuk membina sistem automasi kejuruteraan awam.  Tambahan pula ketika itu tidak ramai di kalangan jurutera bahkan penganalisa sistem komputer yang mampu untuk menghasilkan program untuk kegunaan kejuruteraan. Ini kerana penggunaan komputer tidaklah begitu meluas seperti sekarang dan ia melibatkan “computer programming”.
Saya berjaya menghasilkan sistem yang menggantikan seorang pelukis pelan yang secara asasinya melukis secara manual ataupun menggunakan AutoCad, tetapi sistem yang saya bangunkan mampu merekabentuk “cross-section” lebuharaya secara automatik dan melakarkannya di atas plotter. Ia juga menggantikan seorang Quantity Suveyor dalam pengiraan kuanti dan begitu juga menggantikan seorang jurutera dalam pengiraan “hauling distance” dalam kerja-kerja tanah. Oleh kerana ianya “Three in  One”, maka terdapat “pasaran” yang “demand” terhadap sistem yang saya bangunkan itu.
Projek lebuhraya dari Tropiccana ke Sungai Buluh ini telah dianugerahkan kepada sebuah firma dari Taiwan. Setelah itu saya dipelawa pula oleh sebuah firma Jepun yang ketika itu memulakan pakej Projek Lebuhraya Utara Selatan dari Rawang ke Sungai Selangor. Mereka tertarik dengan sistem yang saya bangunkan itu maka telah ditawarkan dengan begitu lumayan. Keseluruhan sistem ini telah digunakan dalam empat pakej Lebuhraya Utara Selatan.
Dengan berbekalkan pengalaman selama empat tahun dalam pembinaan lebuharaya NKVE dan PLUS, maka tulisan saya ini akan berkisar kepada teknik pembinaan lebuhraya yang lebih memfokuskan kepada Lebuhraya Utara Selatan.
Bagaimanapun sebelum kita memasuki topik yang berbentuk teknikal ini, eloklah saya menerangkan sistem lebuhraya Malaysia secara amnya.
Secara umumnya jalanraya di Malaysia terbahagi kepada dua jenis iaitu jalanraya yang dipunyai dan dilelenggara oleh kerajaan, manakala yang kedua ialah yang diswastakan kepada syarikat-syarikat konsesi.
Jalanraya milik kerajaan pula dikategorikan kepada dua pihak iaitu Jalanraya Persekutuan yang dimiliki dan diselenggarakan oleh KerajaanPusat melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Ia biasanya adalah jalanraya utama bagi menghubungkan antara negeri-negeri. Kategori kedua ialah Jalan Negeri yang dimiliki dan diselenggakan oleh Kerajaan Negeri termasuklah bagi Kerajaan Tempatan. Jalan-jalan ini biasanya adalah “percuma” kerana pengguna jalanraya telahpun membayar cukai jalan yang diperbaharui di JPJ dengan kadar yang minima.

Untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalanraya, kerajaan tidak mampu untuk membina dan memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat dengan membina jalanraya yang lebih canggih. Ini kerana kutipan cukai jalan oleh JPJ tidak mampu untuk menampung kos pembinaan dan selenggara jalanraya-jalanraya ini. Maka jalanraya yang lebih canggih dengan kos pembinaan yang besar telah diserahkan kepada pihak swasta. Maka lahirkan konsep konsesi. Sebahagian daripada projek konsesi ini adalah menaiktaraf jalanraya kerajaan sedia ada kepada lebuhraya swasta.
Apa itu konsesi perjanjian lebuhraya ?
Pihak berkuasa yang mengendali lebuhraya-lebuhraya di Malaysia sama ada di punyai oleh kerajaan maupun swasta ialah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Maka penganugerahan bagi projek-projek konsesi kepada syarikat-syarikat juga adalah di bawah bidang kuasa LLM.
Biasanya konsesi lebuhraya ialah meliputi tiga bidang utama iaitu :
1.       Rekabentuk (design)
2.      Bina (built)
3.      Operasi (operate)
Walaupun rekabentuk diserahkan kepada syarikat konsesi sendiri berdasarkan keperluan dan kajian serta bajet yang mereka ada, tetapi ia perlu memenuhi kriteria pembinaan lebuhraya standard bagi seluruh dunia. Kebiasaannya kita mengikut standard Amerika iaitu ASHTO dan British Standard (BS). Rekabentuk akan diserahkan kepada syarikat Perunding Kejuruteraan yang biasanya akan mengawasi keseluruhan pembinaannya.
Kos pembinaan lebuhraya biasanya datang dari dua sumber, iaitu di pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan wang sebagai pampasan kepada pemilik tanah yang mana tanah mereka diambil untuk pembinaan lebuhraya. Manakala di pihak swasta yang diberi konsesi pula akan mendapat sumber kewangan sendiri melalui pinjaman bank dalam dan luar negeri. Kadang-kadang ia dilakukan dengan pengeluarkan bon untuk selama 20 atau 30 tahun.
Pembayaran balik bagi pinjaman ini akan dibayar melalui kutipan tol. Oleh kerana dalam “cash flow projection” dalam setiap projek adalah mengikut tahunan, maka sudah tentulah dalam tahun-tahun tertentu ia perlu dinaikkan bagi membayar segala pinjaman pokok dan faedahnya. Di samping itu syarikat konsesi pula bukanlah mendapat tanah secara percuma untuk membina lebuhraya, kerana ia juga perlu memberi komitmen kepada kerajaan. Ini kerana kerajaan telah mendahulukan pembayaran pampasan kepada rakyat semasa pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan itu. Namun perkara ini jarang diketahui umum.

< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my

Oleh kerana pelaburan untuk mendapatkan konsesi memerlukan dana yang amat besar bergantung kepada saiz sesuatu projek, maka ia sering melibatkan pelbagai pihak. Antaranya ialah seperti GLC, agensi pelaburan Kerajaan Negeri, institusi kewangan, tabung-tabung kewangan seperti KWSP, PNB,  Tabung Haji, Tabung Angkatan tentera dll. Ia juga dimiliki oleh pelabur-pelabur asing serta individu yang memegang saham di BSKL jika ianya sebuah syarikat berhad.
Oleh kerana kerajaan terikat dengan terma-terma perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi, maka jika kerajaan tidak dapat mematuhi terma-terma ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjuta-juta ringgit. Kerajaan bukannya berdepan dengan satu nama, misalnya “PLUS”, tetapi berapa namakah di belakang nama PLUS itu.
Kini dikenal pasti pemegang saham utama PLUS ialah Khazanah dan KWSP serta para pelabur individu dan dana-dana tempatan dan asing di BSKL. Manakala bagi konsesi lebuhraya lain misalnya, KESAS dimiliki saham utama oleh Gamuda dan agensi pelaburan Kerajaan Selangor. Bagi Lebuhraya Karak dimiliki oleh MTD dan lain-lain pemegang saham.
Walaupun mengikut kenyataan kewangan bagi syarikat-syarikat berhad ini, seperti PLUS dikatakan untung bersih 61%. Tetapi ia adalah dilakukan mengikut tatacara perniagaan dan korporat yang bersih. Memang ia seharusnya memperolehi keuntungan, itulah natijah dalam pengkopratan. Dengan keuntungan yang dibuat oleh PLUS, ia menyumbang dalam sistem percukaian kebangsaan.
Cuma kita sebagai pengguna lebuhraya, hanya mampu “merayu” agar PLUS mempertimbangkan kadar kenaikan yang paling minima kerana ia sememangnya “telah kaya”. Tambahan pula saham majoritinya ialah Khazanah, tetapi kita yang mencarum dalam KWSP haruslah “reda” jika faedah dalam caruman kita dikurangkan kerana kita “merelakan” PLUS tidak menaikkan kadar tol yang tinggi. Tepuk dada fikir-fikirkanlah !
Mengikut Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof jika kerajaan tidak membuat pematuhan dalam terma-terma kontrak, maka kerajaan terpaksa membayar sehingga RM400 juta kepada syarikat-syarikat konsesi. Sepatutnya wang ini dapat diselamatkan untuk keperluan yang lain. Manakala pengguna lebuhrayalah terpaksa membayarnya.
Cara kedua yang biasanya dilakukan ialah dengan memanjangkan tempuh konsesi. Misalnya jika tempuh konsesi asal ialah selama 30 tahun, oleh kerana kerajaan gagal dalam pematuhan terma-terma kontrak, maka mungkin tempuh konsesi akan menjadi 32 atau 35 tahun. Namun biasanya ia masih “P&C” antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi.
Sebagai pengguna lebuhraya, kita mungkin selesa buat masa ini jika kerajaan berpakat dengan syarikat-syarikat konsesi agar tidak menaikan kadar tol atau mengurangkan kadar yang sepatutnya. Sebagai ganjaran, tempuh konsesi dilanjutkan.  Tambahan pula jika tamat tempuh perjanjian konsesi, sepatutnya lebuhraya itu akan diserahkan kepada kerajaan.
Namun demikian, kita jangan terlalu teruja jika ianya telah menjadi milik kerajaan. Siapa pula yang akan mengeluarkan belanja bagi operasi penyelenggaraan lebuhraya itu. Apakah kita akan mengharapkan cukai jalan JPJ bagi menampung kos penyelenggaraan itu ?
Maka sebab itulah biasanya dalam setiap konsesi terdapat Klaus Opsyen, yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk memanjangkan tempuh konsesi. Sebagai contoh, jika kontrak asal konsesi PLUS selama 40 tahun (andaian sahaja) dan jika dikira pengganugerahannya dilakukan sekitar pertengahan tahun 1980an dahulu (contohnya 1985). Maka tempuh matang konsesi ialah pada tahun 2025.
Ianya hanya kira-kira 10 tahun sahaja lagi dari sekarang, apakah dengan pembesaran lebuhraya dan kadar penggunaan lebuhraya naik kira-kira 8% setahun. Maka apakah PLUS hanya akan memikirkan perancangan untuk sehingga tahun 2025 sahaja ? Jika tanpa satu-satu opsyen yang menghendakinya meneruskan tempuh konsesi, apakah yang kita harapkan dalam beberapa tahun ini kita akan menikmati perkhidmatan yang lebih baik dari PLUS ?
Di samping jika “talian hayat” PLUS hanya sampai tahun 2025 sahaja untuk mengutip tol, apakah akan jadi kepada korporat besar ini yang menjadi ikon kepada index Bursa Saham Kuala Lumpur dan imej korporat di Malaysia amnya dan di mata dunia. Kita jangan lupa PLUS adalah penyumbang yang agak besar dalam sistem percukaian Malaysia. Begitu juga para pelaburnya adalah dari dana-dana asing.
Sebagai pengguna lebuhraya, kita dapati di Lebuhraya Lembah Kelang Baru (NKVE) di sesetengah tempat telah dibesarkan menjadi empat lorong bagi menampung pertambahan kenderaan terutamanya di waktu puncak. Bagi kita yang melalui lebuhraya ini di waktu pagi dan waktu lepas pejabat, apakah yang kita rasa terutamanya di antara Persimpangan Bukit Lanjan ke Tol Damansara dan dari Damansara ke Tol Kelana Jaya, begitu juga ke Tol Shah Alam. Tentu kita merasakan ada keperluan untuk PLUS memperuntukankan perbelanjaan bagi pembesaran lebuhraya ini.

Semasa saya terlibat dalam pembinaan lebuhraya Utara Selatan dahulu, hanya dari NKVE sehingga ke Rawang sahaja yang terdapat tiga lorong sehala. Dari Rawang hingga ke Bukit Kayu Hitam hanyalah dua lorong sahaja. Kemudian beberapa tahun yang lalu, PLUS telah membesarkan menjadi tiga lorong dari Rawang ke Slim River. Kini kita perhatikan terdapat kerja-kerja pembesaran yang berterusan dari Slim River ke utara.
Begitu juga dari Tol Sungai Besi ke Seremban yang mengalami pembesaran, kerana jaluran ini sudah tidak mampu lagi untuk menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat.  Seterusnya pembesaran diteruskan ke selatan.
Selain kelebaran lebuhraya ditambah, PLUS juga menitik-beratkan perkhidmatan kepada pengguna dengan menyediakan kawasan R&R yang begitu selesa terutamanya bagi R&R Tapah contohnya. Ianya tidak terdapat dalam pelan asal semasa lebuhraya itu mula dibina dahulu.
Maka kita jangan terlupa bahawa keuntungan PLUS sebanyak 61% akan digunakan juga dalam “business development” mereka. Salah satu daripadanya ialah untuk kos pembesaran lebuharaya. Banyak pihak yang tidak memandang hal ini dari perspektif yang betul. Sebenarnya keuntungan itu bukanlah disumbangkan sahaja oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan tetapi juga dari konsesi yang lain seperti Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Linkedua dan lain-lain.
Di sini saya tekankan bahawa kos pembinaan, pembesaran dan penyelenggaran adalah amat tinggi. Bayangkan bagi Lebuhraya Utara Selatan yang sepanjang lebih 775 Km dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru. Berapakah kos penyelengaraan dan pembesaran serta tenaga kerja yang diperlukan.
Sebagai contoh, saya terangkan teknik penurapan lebuhraya terutamanya bagi bahagian utara dari NKVE. Ia mungkin agak teknikal kepada sesetengah pembaca.
Teknik penurapan (pavement) lebuhraya biasanya menggunakan dua kaedah iaitu :
1.       Penurapan rigid (Rigid pavement)
2.      Penurapan fleksibel (Flexible pavement)

Penurapan Rigid     
Penurapan rigid adalah menggunakan konkrit dan tetulang besi yang diletakkan selari dengan arah lebuhraya. Teknik ini dinamakan sebagai Continuously Reinforcement Concrete Pavemant atau dikenali sebagai CRCP. Cara penurapan ini memerlukan ketelitian yang tinggi dan keadaan asas tapak (foundation) jalanraya yang kukuh. Ia biasanya diturap bagi bahagian lebuhraya dari tanah bukit berjenis laterite kerana ia kurang berlaku pemendapan. Ianya amat sesuai di kawasan Lembah Kelang hingga utara Perak.
Ini kerana teknik CRCP tidak membenarkan pemendapan yang akan mengakibatkan lebuhraya konkrit menjadi patah. Sebab itulah di kawasan yang mengalami pemendapan di lembangan padi di Negeri Kedah dan selatan Johor dengan tanah gambut tidak dilakukan penurapan cara ini.
Dari segi kos pembinaan awal, ia adalah berkali-kali amat tinggi daripada penurapan fleksibel. Ianya direkabentuk untuk ketahanan selama 30 tahun. Sebab itulah jika kita melalui Lebuhraya Utara Selatan yang menggunakan penurapan jenis ini, keadaan permukaan jalanraya yang agak sekata serta cengkaman tayar yang rigid. Ia sesungguhnya amat menjimatkan penggunaan bahan api kenderaan.
Dari segi keselamatan pengguna terutamanya di waktu malam dan waktu hujan, permukaan lebuhraya yang cerah dan pantulan cahaya amat memudahkan fokus pandangan. Dengan kos penyelenggaraan yang amat minimum kerana jarang sekali didapati konkrit yang pecah atau pemendapan.
Setakat ini, hanya Lebuharaya Utara Selatan sahaja yang menggunakan teknik penurapan cara ini. Lain-lain lebuhraya menggunakan teknik penurapan fleksibel.

Penurapan Fleksibel
Penurapan fleksibel pula ialah dengan menggunakan bitumen ataupun tar. Ia adalah teknik penurapan yang biasa dilakukan di mana-mana jalanraya. Namun bagi standard lebuhraya, biasanya  ia direkabentuk untuk ketahanan awal sehingga 5-6 tahun. Selepas itu kita akan dapati permukaan lebuhraya akan mula berubah disebabkan beberapa perkara.

Antaranya ialah pemampapan batu-batu dengan campuran bitumen yang berasaskan minyak menjadi semakin kering. Maka ikatan antara batu-batu dan bitumen menjadi longgar dan mudah rosak. Jika berlaku pemendapan tanah disebabkan bebanan oleh laluan kenderaan yang banyak, maka akan berlakukan keadaan ketidakseimbangan jalanraya serta permukaan yang beralun. Ini membahayakan kenderaan.
Sebab itulah, kita sering melihat pihak penyelenggaraan lebuhraya terpaksa menukar turapan ini secara berkala. Biasanya ia akan menyebabkan kesesakan kenderaan di situ.
Dari segi keselamatan pula, penggunaan bitumen ini memberi dua implikasi kepada pengguna lebuhraya :
Pertamanya, permukaan lebuhraya lebih licin setelah beberapa tahun digunakan. Ini berlaku kerana pemampapan permukaan lebuhraya yang mengandungi batu-batu dan bitumen. Maka  ia tidak memberi satu cengkaman yang rigid kepada tayar, maka kenderaan sering menggelonsor terutamanya ketika waktu hujan. Tambahan pula asas bitumen ialah minyak yang secara sifatnya ialah licin.
Keduanya, permukaan bitumen ialah berwarna hitam. Dari segi pantulan cahaya amatlah rendah. Apatah lagi jika di waktu malam serta waktu hujan. Pemandangan akan menjadi lebih sukar. Sebab itulah kemalangan lebih mudah berlaku di kawasan yang diturap dengan cara ini.
Oleh kerana penurapan cara ini adalah lebih murah pada awal pembinaanya, tetapi kos penyelenggaraannya adalah berkali-kali amat tinggi daripada penurapan rigid.

Secara kesimpulannya, isu tol walaupun telah reda, tentunya kerajaan telah mengambil pandangan umum serta timbal balas dari syarikat-syarikat konsesi, maka kita akan menanti satu pengumuman yang dianggap menang-menang di antara pihak kerajaan, syarikat konsesi serta pengguna lebuharaya. Lantaran rakyat kini telah penat untuk memikirkan bagaimana untuk menyara keluarga di samping keluar rumah sahaja maka tol yang menanti.
Kita tidak mahu disebabkan TOL, maka akan jadi bala TOLak kerajaan !

 Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

06.01.2014






Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.

Saturday, January 4, 2014

Marilah Bersama Belajar Bahasa Mandarin Siri 30












Belajar bahasa Mandarin adalah amat penting terutamanya bagi orang-orang Melayu jika mereka ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan serta meniru cara-cara orang-orang Cina berniaga. Kerajaan juga menggalakan kita mempelajari bahasa Mandarin.

Pengumunan :  

Kepada anda yang telah mengikuti siri-siri Marilah Bersama Belajar Bahasa Mandarin di dalam blog ini yang telah bersiaran dari 23/04/2013 sehingga 04/01/2014 untuk selama 30 siri, saya memohon maaf kerana kesemua tulisan-tulisan tersebut telah dikeluarkan daripada blog ini.

Silakan untuk memiliki DVD Mandarin versi English- Mandarin atau Bahasa Melayu-Mandarin

< Klik > di sini untuk ke www.ebookmandarin.com



Hisemudin Kasim