Friday, November 1, 2013

Memahami kontrak niaga hadapan komoditi gula dunia dan kesannya kepada harga gula tempatan


Sejak belanjawan 2014 dibentangkan pada 25hb Oktober 2013 yang lalu, di mana subsidi gula sebanyak 34 sen telah dimansuhkan. Maka kedengaran beberapa ketidakpuasan hati di kalangan rakyat yang mengatakan ia bukanlah disebabkan elemen kesihatan penyakit kencing manis tetapi mempunyai agenda tertentu.

Dalam artikel kali ini, saya akan cuba menyingkap apa itu kontrak niaga hadapan komoditi gula dunia bagi merungkaikan permasalahan ini. Kita tidak boleh hanya melihat daripada kata-kata provokasi Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang mengatakan kerajaan membeli gula lebih mahal sedangkan gula di pasaran dunia kini lebih murah.  Benarkah apa yang didakwa ?

Seperti komoditi utama negara yang lain terutamanya minyak sawit yang diniagakan secara kontrak niaga hadapan di Bursa Komoditi Kuala Lumpur untuk dipasarkan ke negara luar. Manakala kita pula membeli gula di pasaran antarabangsa juga menggunakan kontrak niaga hadapan yang biasanya dilakukan di New York Mercantile Exchange (NYMEX) dan Intercontinental Exchange (ICE) yang terletak di New York.

Dalam pemasaran dan dagangan minyak sawit, ianya dilakukan sepanjang tahun dan penghantaran ke negara luar juga tidak ada batas waktu. Namun demikian bagi kontrak gula dunia, ia hanya dilakukan pada bulan Mac, Mei, Julai dan Oktober setiap tahun. Ini kerana penghasilan gula dari tebu adalah bermusim.

Negara hanya mampu mengeluarkan kira-kira satu peratus gula untuk keperluan domestik yang mana kita memerlukan kira-kira 1.3 juta tan setahun. Kini negara terpaksa mengimport 99% gula dari luar iaitu Brazil 41%, Australia 36%, Thailand 14% dan Nicaragua 8%  di Amerika Tengah.


Dalam penghasilan gula dunia, terdapat 10 buah negara yang mengungguli carta. Namun demikian, bagi sesetengah negara seperti China walaupun pengeluaran gulanya tinggi tetapi penggunaan domestik oleh rakyatnya juga amat tinggi. 

Antara negara-negara tersebut ialah Brazil, India, China, Thailand, Pakistan, Mexico, Colombia, Filipina, Australia dan Argentina.



Namun demikian, tidak kesemua penghasilan gula ini digunakan untuk keperluan industri makanan dan keperluan harian, kerana ia juga digunakan juga untuk
penghasilan bahan bakar ethanol terutamanya di Brazil. 

Ini kerana di Brazil telah menggunakan 30% daripada bahan bakar kenderaan yang menggunakan ethanol melalui proses penapaian air tebu. Oleh itu harga pasaran gula dunia sentiasa tidak stabil tetapi kita di Malaysia memerlukan kestabilan dalam harga dan pembekalan sentiasa berterusan kepada rakyat.  



Namun demikian, kita bergantung hampir 99% daripada keperluan gula yang diimport. Untuk menstabilkan harga bagi satu jangka waktu yang panjang, maka mekanisma kontrak niaga hadapan bagi satu kontrak yang panjang diperlukan antara pembekal dengan pembeli.



Sebagai negara pembekal komoditi yang lain seperti minyak sawit, kita juga tertakluk kepada kontrak niaga hadapan.

Contohnya, jika kita telah menandatangani sesuatu kontrak pembekalan minyak sawit dengan harga yang tinggi untuk satu jangka waktu yang panjang, tiba-tiba pula harga pasaran minyak sawit dunia jatuh merudum. Tetapi kita masih lagi menikmati harga jualan yang tinggi. Itulah dinamakan pasaran derivatif yang melindungi pembekal dan pembeli dengan satu ikatan harga bagi satu jangkawaktu yang telah dipersetujui dalam kontrak.

 
Dalam pengimportan gula, ianya dilakukan oleh syarikat-syarikat yang telah diberi permit import dengan harga yang telah dipersetujui oleh kerajaan. Perbezaan antara harga belian oleh syarikat-syarikat ini dengan harga jualan runcit akan dibayar oleh kerajaan melalui mekanisma subsidi.

 


Syarikat-syarikat ini haruslah mempunyai kilang memproses gula sendiri. Ini kerana gula yang diimport dari luar bukanlah gula putih seperti yang kita gunakan seharian. Ia adalah gula mentah yang keperangan warnanya serta masih mempunyai unsur-unsur lain yang perlu dinyahkan terlebih dahulu sebelum menjadi pelbagai bentuk gula seperti gula pasir, gula halus atau gula kuib.



Kini terdapat empat buah kilang memproses gula iaitu Central


Sugar Refinery Sdn Bhd di Shah Alam yang dimiliki oleh Tradewinds yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Gula Padang Terap Sdn Bhd di Kedah yang dimiliki oleh Felda Global Ventures (FGV) masing-masing memegang 45% kuota import gula mentah. 

Manakala Malayan Sugar Manufacturing Company (MSM) di Prai, Pulau Pinang dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd di Chuping, Perlis milik penuh FGV memegang 55% kuota. Sesungguhnya Felda Global Ventures kini adalah Raja Gula Malaysia menggantikan legenda Keluarga Kuok yang melepaskan kesemua kepentingan perniagaan gula kepada Tradewinds dan FGV.



Tidak seperti pengimportan beras atau lain-lain komoditi yang boleh terus digunakan tanpa perlu melalui proses pengilangan lagi, maka jika permit pengimportan gula dibuka kepada syarikat-syarikat lain, maka ia juga perlu mendirikan kilang untuk pemerosesan terlebih dahulu. Kini keempat-empat kilang tersebut mampu untuk memproses sehingga 2.0 juta tan gula setahun. Ianya telah melebihi keperluan negara. Namun demikian, di Sarawak bakal memiliki kilang memproses gula setelah syarikat Admuda Sdn Bhd diberikan permit import dan mendirikan kilangnya.

 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00



Jika pengimportan gula bertapis yakni gula pasir yang sudah siap diproses dibenarkan, harganya tentulah lebih mahal serta tidak konsistan. Namun demikian, ia hanya diperlukan pada waktu-waktu singkat sahaja terutamanya untuk pasaran Sabah dan Sarawak.
Oleh kerana penanaman tebu di seluruh dunia terdedah dengan pelbagai keadaan cuaca yang menyebabkan banjir ataupun kemarau. Maka penghasilannya juga dari tahun ke tahun tidak menentu. Sebab itulah apabila permintaan melebihi penawaran maka harganya akan naik, sebaliknya berlaku jika penawaran melebihi permintaan maka harga akan menurun.

Dunia telah menyaksikan harga gula yang amat kompetatif bermula dengan US$220  per metrik tan dalam tahun 2008 yang kemudiannya naik menjadi US$440  dalam tahun 2009 dan akhirnya menjadi US$660 dalam tahun 2010. Ketika itu jika tiada mekanisma subsidi harga gula, tentu rakyat Malaysia tidak dapat menikmati kadar harga gula yang rendah.

Amalan normal dagangan apabila penawaran yang rendah tetapi permintaan yang tinggi maka harga akan melambung. Ketika itu keseluruhan stok pengeluaran gula dunia berada pada 30.50 juta metrik tan dalam tahun 2008/2009, ianya menurun kepada 29.0 juta metric tan pada tahun 2009/2010. Akhirnya kembali kepada 30.10 juta metrik tan dalam tahun 2010/2011. Namun demikian, tiada siapa yang dapat meramalkan ketika itu, apakah pengeluaran gula dunia akan kembali stabil ataupun menurun maupun meningkat.

Maka sistem risiko akan diambil kira dalam mengambil sebarang keputusan untuk membida harga gula dunia yang ketika itu amat kompetatif. Kerajaan Malaysia ketika itu telahpun menandatangani perjanjian kontrak niaga hadapan dari tahun 2009 yang berakhir pada Disember 2011 pada harga US$23.42 bagi setiap 100lbs.

Manakala kita terpaksa membuat tawaran yang lebih baik agar memperolehi kontrak perbekalan lantaran ketika itu untuk mendapatkan harga yang sama adalah mustahil dalam suasana perebutan setiap pihak mahukan juga komoditi itu. Maka akhirnya kita menawarkan harga US$26.00 bagi setiap 100lbs. Itu adalah keputusan terbaik ketika itu bagi pembekalan gula yang bermula dari Januari 2012 selama tiga tahun.

Selepas sahaja kita menandatangani perjanjian perbekalan dalam urusniaga hadapan, pengeluaran gula dunia tiba-tiba melonjak. Dalam tahun 2011/2012, telah memperlihatkan stok gula dunia mencapai 36.20 juta metrik tan. Seterusnya tahun 2012/2013 pula meningkat lagi ke paras 38.30 juta metrik tan. Pengeluaran gula kembali normal bahkan berlebihan. Oleh sebab penawaran melebihi permintaan, maka harga gula dunia kini menurun kepada US$18.73 per 100 lbs yang dicatatkan pada 30.10.2013.

Untuk pengetahuan, dalam urusniaga kontrak hadapan gula di ICE, kontrak ini dikenali sebagai Kontrak No.11.  Definisi Kontrak No. 11 ialah satu kontrak niaga hadapan untuk penghantaran fizikal gula mentah termasuklah kos untuk penghantaran ke kapal pembeli di pelabuhan dalam negara pengeluar gula. Penghantaran ini dikenali sebagai “Free On Board” atau F.O.B. Satu-satu kontrak ini adalah mewakili 112,000 lbs gula mentah.
 
Ini bermakna dalam setiap kontak penghantaran, jika perbezaan harga US$0.01 maka ia akan melibatkan US$1,120. Kini walaupun harga turun sehingga US$18.73 per 100 lbs dan jika kita memperolehi kontak perbekalan, maka penghantaran juga tidak dibuat sekarang. Ia akan dapat dilakukan pada masa hadapan kerana kontrak sedia ada masih sah sehingga penghujung tahun 2014.

Mengikut atas kertas, memanglah kita kerugian US$(26.00 – 18.73)=US$7.27 per 100lbs (US$0.0727/lbs)  ataupun berjumlah US$8,142.40 per kontrak. Namun demikian, ia adalah satu permainan dalam urusniaga kontrak hadapan. Ianya juga berlaku dalam kontrak niaga hadapan bagi kebanyakan komoditi Malaysia.

Apakah jika kita telah memperolehi satu kontak pembekalan minyak sawit dengan harga yang tinggi, tiba-tiba harganya merudum di pasaran. Apakah kita mahu menjual dengan harga sekarang yang murah ataupun mahu mengikut harga kontrak yang lebih tinggi ? Tentu anda dapat memikirkannya kerana minyak sawit begitu sinomim dengan kehidupan kita dan ekonomi negara.

Dari segi tukaran asing yang menggunakan Dollar Amerika ketika menandatangani perjanjian itu, nilai tukarannya ialah sekitar RM3.10 berbanding US$1.00, dan kini pula nilai tukaran adalah sekitar RM3.17/US$. Memandangkan kekukuhan Ringgit Malaysia berbanding US$ di masa akan datang, ianya semakin menghampiri RM3.10/US$ atau lebih rendah. Maka dari segi perbezaannya tidaklah terlalu ketara.

Oleh kerana kontrak niaga hadapan gula adalah berbentuk F.O.B yang kita beli dengan kos US$26/100lbs ataupun RM1.81/kg daripada pembekal, maka kos penghantaran dari pelabuhan asal pengeluar gula sehingga sampai ke pelabuhan di Malaysia serta kos pengilangan gula mentah untuk dijadikan gula bertapis adalah kos tambahan utama.

Oleh itu dapat ditafsirkan bahawa harga gula sebelum ini ialah pada sekitar RM2.50/ kg dan setelah ditarik balik subsidi yang berjumlah RM0.34 yang akhirnya gula menjadi RM2.84/ kg.

Maka perbezaan harga jualan runcit dengan harga belian asal iaitu RM2.84 – RM1.81= RM1.03  Maka perincian di bawah adalah satu andaian yang lebih realistik :

1.       Kos penghantaran dengan kapal dari negara pengeluar & 2 kali caj pelabuhan
2.      Kos sewaan gudang bagi penyimpanan gula dan pengendalian di pelabuhan
3.      Kos penghantaran dengan lori dari pelabuhan ke kilang penapisan gula
4.      Kos pengilangan gula dan segala operasinya termasuk keuntungannya
5.      Kos penghantaran dengan lori atau kereta api ke pihak pemborong
6.      Kos penghantaran oleh pemborong kepada peruncit dan keuntungannya
7.      Kos operasi peruncit dan keuntungannya.
8.     Cukai yang dikenakan oleh kerajaan.


        No
Perkara
Peratus
RM
         1
       Kos sewaan kapal & caj pelabuhan
35%
0.3605
         2
       Kos gudang & pengendalian
5%
0.0515
         3
       Kos penghantaran ke kilang
5%
0.0515
         4
       Kos pengilangan & keuntungan
30%
0.3090
         5
       Kos penghantaran ke pemborong
5%
0.0515
         6
       Kos penghantaran ke peruncit &  keuntungan
8%
0.0824
         7
       Kos operasi peruncit & keuntungan
5%
0.0515
         8
       Cukai kerajaan
7%
0.0721

Jumlah
100%
1.03




Berpandukan kepada andaian ini, kos utama disumbangkan oleh pengendalian kapal dari negara-negara seperti Brazil, Australia dan Nicaragua.  Ini termasuk caj untuk kedua-dua pelabuhan yang amat tinggi. Manakala kos kedua tertinggi ialah bagi pengilangan gula. 

Seperti yang kita ketahui bahawa gula adalah barangan kawalan, maka keuntungan bagi setiap peringkat telah diatur sebegitu rupa. Di peringkat peruncitan pula, mereka juga hanya memperolehi sekitar 10 sen sahaja bagi setiap paket  gula. (Nota : Paket utk 2kg keuntungan peruncitan RM0.051 x 2kg = RM0.10 @ 10 sen)  

Cuba kita fikirkan dengan 1Kg gula yang dibeli dari pembekal dengan kos RM1.81/kg, manakala kita pula terpaksa berkongsi RM1.03/kg untuk diagihkan kepada sekurang-kurangnya 8 tingkat urusan seperti carta di atas. 

Maka secara rasionalnya, di manakah keuntungan besar yang diperolehi oleh pengimport/pengilang gula seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak ? Selama ini, jika tanpa mekanisma subsidi ke atas gula maka sudah tentu rakyat negara kita terpaksa membeli gula seperti di negara-negara Indonesia, Filipina dan Singapura dengan kos yang amat tinggi.

Dalam kes Singapura yang menjual gula dengan harga yang tinggi disebabkan mereka tidak memiliki kilang penapisan gula seperti Malaysia, oleh itu gula yang diimport oleh Singapura adalah gula bertapis yang sudah siap sedia untuk dimakan. Sudah tentulah kos gula bertapis jauh lebih tinggi harganya daripada gula mentah.


Melihat kepada negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Mereka adalah negara-negara pengeluar gula. Malah Thailand merupakan negara pengeluar gula ke 4 terbesar dunia dan Malaysia memperolehi 14% keperluan gula daripada Thailand. 

Namun harga gula yang dijual  kepada rakyat Thailand sendiri tidak mencerminkan sebagai sebuah negara pengeksport gula yang sepatutnya jauh lebih murah. 

Tetapi kita juga harus memahami jika perbezaan harga yang sangat ketara antara negara-negara yang bersempadan dengan Thailand seperti Myanmar, Laos, Vietnam dan Malaysia akan menggalakkan pula penyeludupan gula secara haram. Demi untuk menjaga industri gula, maka Thailand terpaksa merasionalkan harga gula tempatan dengan negara jiran agar perbezaannya tidak terlalu jauh.

Manakala negara-negara jiran yang lain juga menjual gula dengan harga yang tinggi. Yang menyakitkan hati ialah apabila satu ketika dahulu kita kekurangan gula di pasaran, tetapi gula Malaysia dijual di sempadan Thailand dengan begitu berleluasa dalam harga yang lebih tinggi melalui kegiatan penyeludupan haram. 

Dengan menarik balik subsidi 34 sen yang menjadikan gula Malaysia lebih mahal akan menyebabkan gula tidak diseludup lagi ke Thailand. Bukankah sesuatu yang aneh di mana Thailand adalah pengeksport gula mentah ke Malaysia tetapi diseludup balik ke Thailand setelah dijadikan gula putih ! Keadaan yang sama berlaku apabila petrol dan diesel diseludup ke Thailand kerana harganya di Malaysia lebih murah berbanding di Thailand.

Tujuan kerajaan menarik balik kesemua RM0.34 per kg gula di pasaran adalah ingin mengubah tabiat rakyat Malaysia terhadap penggunaan gula yang begitu tinggi. Kini penyakit kencing manis yang dihadapi terutamnya oleh orang-orang Melayu begitu kronik. Maka niat kerajaan agar pengambilan gula dikurangkan dengan menarik balik subsidi gula. Secara tidak langsung harga gula dinaikkan menjadi RM2.84/kg.

Satu sumber yang diperolehi dari akhbar Suara Keadilan keluaran 29hb Oktober 2013, yang hanya menyatakan kenaikan gula dari tahun 2009-2013 seperti yang tertera di sebelah adalah disebabkan oleh penguasaan kroni kerajaan terhadap pemonopolian pengimportan gula. 

Secara rambang, ia memang menampakkan kenaikan harga yang menyusahkan rakyat. Namun realiti di sebalik pernyataan itu tidak pula dinyatakan tentang berapa harga belian dan stok pengeluaran gula dunia. Ia hanyalah sebagai propaganda politik dan memanipulasi emosi rakyat, sedangkan yang nyata adalah seperti di dibawah ini :

1hb Jan 2010 : Harga gula RM1.65 / kg
Stok pengeluaran gula dunia mulai meruncing pada tahun 2008/2009 dengan 30.50 juta metrik tan setahun dan harga gula berada pada US$220 per metrik tan. Kerajaan menandatangani perjanjian pembelian kontrak niaga hadapan dengan harga US$23.42 /100lbs untuk selama 3 tahun pada Januari 2009. Namun ia tidak mencakupi kesemuanya pembelian gula dari pelbagai sumber yang datangnya dari pelbagai negara serta pelbagai kontrak. Mungkin ada kontrak yang dibeli dengan harga yang lebih mahal. Seperti pembelian gula dari Thailand kemungkinan besar tidak melalui kontrak hadapan ICE atau NYMEX.

16hb Julai 2010 : Harga gula RM1.90 / kg
Stok pengeluaran gula semakin kritikal dengan penurunan kepada 29.0 juta tan setahun bagi tahun pengeluaran 2009/2010. Pasaran harga gula dunia meningkat kepada US$440 per metrik tan iaitu meningkat sekali ganda dari tahun sebelumnya. Namun demikian, kerajaan masih selamat kerana kita masih memperolehi kebanyakan daripada sumber bekalan gula dengan harga US$23.42/100lbs berdasarkan perjanjian kontrak niaga hadapan yang ditandatangani pada Januari 2009.

Tetapi sebahagian daripada kontrak perbekalan gula terpaksa dibeli daripada harga pasaran. Sebab itu kerajaan terpaksa mengimbangi antara harga pembelian kontrak hadapan yang lebih murah beserta harga pasaran yang melambung, maka sebab itulah kerajaan terpaksa menaikkan harga gula menjadi RM1.90/kg.

4hb Disember 2010 : Harga gula 2.10 / kg
Kerisauan daripada pengguna di seluruh dunia dan spekulasi di kalangan broker menyebabkan harga gula semakin meningkat. Pada tahun 2010/2011 telah menampakkan pengeluaran gula dunia tidak banyak berubah walaupun terdapat sedikit kenaikan menjadi 30.10 juta metrik tan. Namun ianya masih kurang dari 30.50 juta tan pada tahun 2008/2009. Harga gula dunia melonjak kepada US$660 per metrik tan.

Jika dibandingkan kenaikan harga gula di pasaran dunia dari awal tahun 2009 sehingga penghujung tahun 2010, perbezaannya adalah seperti berikut:

Harga Gula Dunia
Harga Pembelian Kontrak Hadapan
Stok pengeluaran gula dunia
Harga gula tempatan
US$220/Mt
US$23.42/100lbs
30.50 juta tan
RM1.65/kg
US$440/Mt
US$23.42/100lbs
29.00 juta tan
RM1.90/kg
US$660/Mt
US$23.42/100lbs
30.10 juta tan
RM2.10/kg

Pembelian dari sumber bukan ICE dan NYMEX tidak diketahui, yang pastinya melebihi daripada US$23.42 kerana harganya mengikut pasaran semasa. Namun kenaikan harga gula tempatan adalah RM2.10 – RM1.65=RM0.45. Ini bermakna kenaikan ialah 0.45/1.65 =0.27 atau pun bersamaan 27% sahaja.

Sedangkan perubahan harga pasaran gula dunia ialah US$660 per metrik tan berbanding dengan US$220 per metrik tan iaitu sebanyak US$440. Ia kenaikan (440 / 220 ) x 100% = 200%.

 10 Mei 2011 : Harga gula 2.30/kg
Harga pasaran gula dunia masih meneruskan kenaikan namun belum menampakkan penurunannya kerana stok pengeluaran gula dunia masih belum nyata lagi. Ketika itu kita hanya mempunyai baki beberapa bulan lagi kontrak niaga hadapan yang bakal tamat pada penghujung tahun 2011.

Sekali lagi ingatkan, bahawa kontrak niaga hadapan bagi komoditi gula hanya dilakukan dalam empat musim sahaja setiap tahun iaitu pada bulan Mac, Mei, Julai dan Oktober. Jika kita tidak membuat perhitungan dalam masa yang sesuai dan harga yang sesuai, sudah kita tidak memperolehi perbekalan gula yang konsisten.

Harga pasaran gula dunia US$660/Mt bersamaan US$29.95/100lbs, kita bida US$26.00/100lbs. Kerajaan bijak atau Tony Pua yang kelentong !

Dalam kekalutan harga pasaran yang tinggi iaitu US$660 /Mt yang bersamaan dengan US$29.95 /100lbs. Tetapi kita dapat mengunci satu kontrak niaga hadapan dengan harga US$26.00/100lbs adalah dikira berada di bawah harga sebenar pasaran. Saya percaya ia dilakukan pada sesi urusniaga bulan Oktober 2011. Akhirnya satu perjanjian telah ditandatangani pada bulan Januari 2012 bagi penghantaran selama tiga tahun lagi.

Dalam urusan spekulatif dan derivatif seperti ini, biasanya penjual dan pembeli yang diwakili oleh broker masing-masing akan melihat konteks perbekalan yang panjang amatlah menguntungkan kedua-dua pihak.

Pihak penjual akan melihat jika harga pasaran menurun di masa akan datang, sudah tentulah menguntungkannya kerana ia dapat menjual dengan harga yang ditetapkan dalam terma kontrak.

Manakala di pihak pembeli pula akan menyasarkan jika berlaku kenaikan lagi, maka ia masih dapat memperolehinya dengan harga yang sama seperti termaktub dalam kontrak. Ini telah berlaku apabila kita menandatangani perjanjian dalam tahun 2009 telah menyelamatkan kita dari kenaikan harga gula lantaran kontrak perbekalan kita adalah antara tahun 2009 -2011.

29hb September 2012 : Harga gula RM2.50
Kenaikan harga gula tempatan sebanyak 20 sen menjadi RM2.50 adalah hasil kenaikan harga kontrak pembelian gula yang ditandatangani pada Januari 2012. Kenaikan dari US$23.42/Mt ke US$26.00/Mt adalah bersamaan 11%, namun kenaikan harga gula bagi pasaran tempatan ialah sekitar 9% sahaja.

Selepas tahun 2012 telah memperlihatkan penstabilan pengeluaran gula dunia. Bahkan berlaku lambakan stok yang menyebabkan harga gula di pasaran dunia jatuh merudum. Walaupun harga gula semakin mencemburui kita, tetapi kita terpaksa menerima hakikat telah menandatangani satu perjanjian selama tiga tahun dengan harga US$26.00/100lbs.

Apakah kenyataan Tony Pua yang mengatakan kita membeli gula dengan harga yang tinggi tanpa melihat fakta-fakta sebenar atau hanya ingin mencari publisisti murahan untuk memanipulasi emosi rakyat.

26hb Oktober 2013 : Harga gula RM2.84  
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 bahawa harga gula pada teknikalnya bukanlah dinaikan tetapi adalah menghapuskan subsidi sebanyak RM0.34 yang selama ini ditanggung oleh kerajaan.

Kerajaan menyasarkan penggunaan gula akan berkurangan demi faktor kesihatan rakyat. Penyakit kencing manis terutamanya adalah disumbangkan oleh penggunaan gula yang tinggi dalam kehidupan kita seharian selain daripada faktor genetik.

Dengan kupasan ini, diharapkan kita dapat melihat isu gula dari perspektif yang positif dengan tidak mengheret kenyataan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memanaskan emosi rakyat.


Ditulis Oleh : Hisemudin Kasim
 01.11.2013







Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment