Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Monday, November 25, 2013

Merungkai kejadian Taufan Haiyan dan perubahan iklim dunia dari sudut ilmu Geografi dan Meteorologi

Taufan Haiyan yang juga dikenali sebagai Yolanda dalam bahasa Filipina telah melanda bahagian tengah Filipina pada 8hb November 2013 yang lalu telah meragut lebih 5,000     nyawa dan mencederakan beribu-ribu orang serta kehilangan tempat tinggal terutamanya bagi  penduduk di tepi pantai.

Ia adalah taufan yang ketiga melanda Filipina dalam masa 12 bulan.  Pada  bulan Disember tahun lalu, Taufan Bhopa melanda Pulau Mindanoa, kemudian diikuti oleh Taufan Trami yang melanda Pulau Luzon dalam bulan Ogos yang lalu.

Kerugian hartabenda dan kerosakan infrastruktur serta impak ke atas ekonomi Filipina dianggarkan berjumlah US$14 bilion. Kini kerja-kerja membaikpulih infrastruktur dan penempatan penduduk yang terjejas serta pembahagian bantuan kemanusiaan sedang giat dijalankan.

Selain daripada gempa bumi, maka malapetaka yang didatangkan oleh angin seperti ini adalah amat ditakuti oleh manusia terutamanya bagi negara-negara yang terdedah dengan bencana alam ini seperti Filipina. 

Dalam tulisan saya kali ini, saya akan merungkaikan bagaimana kejadian ribut tropika yang berakhir dengan taufan seperti Taufan Haiyan. Ia juga akan mengaitkan kejadian perubahan iklim dunia yang memungkinkan salah satu faktor terhadap kejadian-kejadian ribut tropika. 

Di samping itu akan dikaitkan dengan peredaran bumi dari barat ke timur yang menyebabkan putaran angin yang menjadi asas kepada pergerakan ribut tropika.  Pemahaman terhadap pemindahan haba dalam ilmu sains serta kejadian pemelowapan air laut untuk menjadi awam akan diterangkan.  Yang paling penting ialah bagaimana kejadian ribut tropika membentukan pusaran yang mempunyai sekurang-kurangnya 40km diameter. 

Fundamental sains terhadap kejadian bayu darat dan bayu laut bagi mentafsir kejadian taufan 

Cuba kita ingatkan kembali sabjek Geografi dan Sains yang dipelajari semasa di sekolah rendah dan menengah dahulu. Mungkin di antara kita yang pernah membuat ujikaji bagi membakar seketul batu dengan penunu gas dan dalam masa yang sama memasak air di dalam sebuah sekalang kaca.

Apabila kita membakar batu atau memamasak air, sebenarnya kita telah mengubah bentuk haba daripada api kepada batu dan air. Sebab itulah batu dan air menjadi panas. Setelah beberapa ketika dibiarkan sejuk, maka didapati air lebih cepat sejuk daripada batu. Tetapi jika dibiarkan semalaman, batu lebih sejuk daripada air dalam suhu bilik. Ini bermakna batu telah melepaskan habanya ke udara, tetapi air masih lagi meyimpan sebahagian haba yang diserap dari persekitarannya.

Apakah signifikan yang didapati daripada pengamatan ini ?

Sebenarnya ia adalah bagi menjelaskan fenomena kejadian bayu laut dan bayu darat. Ia akan dikaitkan pula dengan kejadian ribut taufan.


Dalam fenomena bayu laut, ia berlaku di waktu siang hari. Di mana matahari menyinarkan pancarannya ke atas air laut. Dengan kepanasan  tertentu maka air laut akan terpelowap dan naik ke udara menjadi awan. Dalam masa yang sama, matahari juga memanaskan permukaan bumi. Oleh kerana permukaan bumi lebih panas daripada permukaan laut, seperti yang kita buat ujikaji membakar batu dan air, maka udara di permukaan bumi telah naik lebih cepat daripada yang di laut. 

Jadi dengan kekurangan udara, maka akan terjadilah tekanan udara rendah di daratan. Oleh itu ia diambil kesempatan oleh angin di laut yang berat untuk mengisi kekosongan udara di daratan. Sebab itulah apabila kita berada di pantai pada waktu siang hari, kita akan merasai angin yang bertiup dari laut. Ia menjadi satu putaran yang dinamakan sebagai bayu laut. 

Manakala fenomena bayu darat pula berlaku di waktu malam hari. Ketika itu suhu daratan lebih sejuk daripada permukaan laut. Maka udaranya lebih berat. Bagaimanapun suhu permukaan air laut masih lagi suam-suam kerana ia masih lagi menyinpan haba yang diperolehinya di waktu siang. Dalam keadaan tertentu di lautan yang luas ketika air laut menerima kepanasan suhu melebihi 27 darjah Celcius di waktu siangnya, air masih boleh terpelowap juga di waktu malamnya.


Oleh kerana suhu di permukaan laut lebih panas maka udaranya naik ke atas lebih cepat daripada di daratan. Ia terjadilah satu tekanan udara rendah di permukaan laut, maka udara yang lebih berat di daratan akan datang mengisi kekosongan di permukaan laut. Sebab kita dapati di waktu malam, angin akan bertiup dari daratan ke laut. Akhirnya ia menjadi satu pusingan yang dinamakan sebagai bayu darat. 

Apa pula kaitannya antara bayu darat dan bayu laut dengan kejadian ribut taufan ?

Apa yang kita perhatikan fenomena bayu darat dan bayu laut adalah kejadian setempat yang kecil. Apabila kita andaikan daratan yang lebih besar iaitu tanah besar benua Asia, Afrika, Amerika, Australia dan sebagainya. Manakala kawasan air laut ialah Lautan Pasifik, Lautan Atlantik dan Lautan Hindi yang cukup besar dan luas.

Maka teori bayu laut dan bayu darat akan dipindahkan ke sini. Begitu juga konsep siang dan malam akan diubah menjadi perbezaan musim panas dan musim sejuk. Kita juga harus memahami kawasan yang mengalami suhu panas ialah di zon Khatulistiwa dan Tropika atau Sub-tropika. Di sinilah bermulanya ribut taufan yang disebabkan pergerakan angin. Oleh kerana ia bermula dari Tropika, maka ribut ini dinamakan sebagai ribut atau taufan Tropika.


Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00




Pemanasan Global menyebabkan perubahan iklim dunia.

Setelah berlakunya beberapa siri ribut taufan Tropika yang melanda Amerika Syarikat seperti  Taufan Katrina  dalam tahun 2005 yang telah membawa kerosakan besar di Louisiana dan Mississippi, ribut taufan Sandy  dalam tahun  2012 yang berlaku di timur Amerika Syarikat dan yang terakhir Taufan Haiyan di Filipina, maka perdebatan semakin hangat dibicarakan di Barat yang mengaitkan kemungkinan faktor-faktor pemanasan global telah menyumbang kepada kejadian ribut taufan Tropika.

Ini memandangkan pemanasan global telah menyebabkan kecairan bungkah-bungkah ais di Khutub Utara dan Selatan.  Maka ketinggian air laut semakin naik dari tahun ke tahun. Di samping itu kandungan air di atmosfera semakin tebu yang mengakibatkan berlakunya hujan lebat semakin kerap.

Selain itu lapisan ozon yang semakin nipis menyebabkan pancaran matahari boleh terus memancarkan cahayanya dengan lebih banyak.  Akibatnya pemelowapan air laut ke udara menjadi lebih banyak. Ia menjadi punca berlakunya ribut taufan Tropika.

Di mana kawasan yang sering berlaku ribut Tropika dan bila masanya ?

Ribut tropika berlaku di latitude 5-30 darjah di utara dan selatan Hemisfera.  Ianya berlaku di Lautan Hindi yang dikenali sebagai Tropical Cyclone yang meliputi negara-negara seperti India, Bangladesh, barat laut Australia, timur Afrika serta kepulauan Mauritius dan Madagascar.  Ribut taufan Tropika yang berlaku  barat-laut serta timur laut Lautan Pasifik dinamakan Typhoon, dan ia meliputi negara-negara seperti Mexico, Asia Tenggara, timur laut Australia dan kepulauan Pasifik Selatan.  

Manakala yang berlaku di Caribbean dan Lautan Atlantik dinamakan Hurricans yang meliputi negara-negara seperti Cuba, Bahamas dan lain-lain serta Teluk Maxico yang termasuklah negeri di selatan Amerika Syarikat terutamanya Florida.

Sebenarnya ketiga-tiga ribut taufan ini mempunyai terma yang sama iaitu ribut tropika. Pemberian nama-nama kepada ribut taufan ini lebih bercorak tempatan terutamanya bagi ribut taufan yang lebih kecil yang melanda Vietnam, China, Taiwan dan sebagainya. Mereka mempunyai nama-nama yang tersendiri.

Di Hemisfera utara, ribut Tropika berlaku antara bulan Jun  hingga November. Yang paling aktif ialah pada bulan September. Manakala kedatangan ribut taufan Haiyan tidak menentu. Di Hemispera selatan pula, ianya berlaku antara bulan November hingga April.


Pusingan bumi pada paksinya menyebabkan putaran angin

Seorang saintis Perancis telah menemui teori Coriolis Force bersempena dengan namanya sendiri dalam tahun 1835. Mengikut teori ini, angin yang sejuk dari utara akan bergerak dari barat laut ke tenggara yakni dari kawasan daratan menuju kawasan laut tropika yang panas di Hemisfera utara.

Bagi Hemisfera selatan pula, angin sejuk bergerak dari barat daya menuju timur laut Tropika. Ini adalah bagi memenuhi ruang tekanan udara rendah di lautan kawasan Tropika. Inilah yang telah kita bincangkan dalam konsep bayu darat.

Pergerakan angin ini juga adalah hasil dari tolakan putaran bumi pada paksinya yang bergerak dari barat ke timur.   


Asas-asas kejadian ribut Tropika

Asas terpenting terjadinya ribut Tropika ialah di mana air di permukaan laut mencecah melebihi 26.5 darjah Celcius.  Ia haruslah berlaku dalam kawasan yang amat luas di lautan. Maka akan terjadi pemelowapan air laut dengan kuantiti yang banyak serta berterusan.

Pemelowapan yang berterusan akan membentuk kepulan awan-awan. Apabila awan-awan bersatu antara satu sama lain, ia akan membentuk  kumpulan awan Kumulonimbus  yang sering membawa ribut petir dan hujan lebat.

Dalam keadaan ini, ia dinamakan Tropical Depression. Kerana ia adalah dalam tekanan udara rendah yang mana udara sejuk dari luar akan datang memenuhi ruang ini

Setelah dibantu oleh tolakan angin seperti dalam 
Teori  Coriolis , maka kepulan-kepulan awan ini mula bergerak mengikut pusngan jam. Semakin banyak awan-awan dikumpulkan dan membuat pusingan jam maka berlakulah satu pergerakan “spiral” yang menaik ke atas. Semakin tinggi pergerakan, ketumpatan jaluran awan semakin tinggi serta pusingan yang semakin laju. Akibatnya, permukaan laut akan bergelora dengan tiupan angin yang kencang.


Jaluran awan yang tinggi ketumpatannya akan membentuk satu selindar yang tebal, ini dinamakan eye-wall atau dinding mata. Ia mempunyai kuasa tolakan angin yang amat tinggi mengarah pusingan jam serta arah ke atas bagi di Hemisfera utara. Manakala di tengah-tengahnya dinamakan sebagai eye atau mata taufan.

Sesungguhnya di dalam mata taufan ini adalah kawasan yang paling tenang sekali serta tanpa angin dan kelihatan langit cerah tanpa awan. Ia adalah satu kawasan yang mempunyai tekanan udara rendah. Maka udara sejuk dari atas akan turun ke bawah melalui mata taufan ini. Biasanya ia mempunyai keluasan  40km diameter. Bagaimanapun antara ribut yang kecil hanya mempunyai 10km dimeter dan yang besar pula sehingga 100km diameter. Bolehlah dibayangkan betapa kuatnya angin yang digerakkan oleh ribut taufan ini.

Satu-satu bentuk ribut taufan tropika boleh mencecah ketinggian sehingga 15km dari paras laut dan manakala kelebaran pusarannya mencapai sehingga 250Km diameter. Walaupun diameternya melebihi ratusan kilometer yang mana ia adalah "spiral band"nya, yakni yang menjadi ekor pusaran, tetapi yang paling ditakuti ialah kekuatan angin pada dinding mata.

Ini memandangkan spiral band adalah terletak di kedudukan paling atas yang tidak membahayakan struktur atas bumi, kecuali ia mengakibatkan tiupan angin yang kencang. Namun jika sesuatu kawasan itu dilalui oleh dinding mata, maka ia akan mengakibatkan kemusnahan yang lebih dahsyat kerana ia datang dengan putaran puting beliung yang hampir kepada bumi. Sebab itulah banyak rumah-rumah akan musnah dan pokok-pokok tercabut atau tumbang.  


Apabila jaluran awan yang berpusing mengikut putaran jam sampai ke sesuatu tahap ketinggian tertentu maka ia melepaskan habanya dan menjadi sejuk. Ia akhirnya tidak berupaya lagi untuk naik ke atas lalu beredar mendatar bagi membentuk satu lapisan awan-awan sejuk. Selepas itu awan-awan ini akan menurunkan hujan dengan kuantiti yang banyak. Jika taufan ini melanda kawasan daratan, maka ia akan mengakibatkan banjir kilat yang boleh mengakibatkan kemusnahan besar serta tanah runtuh.

Satu karektoristik ajaib bagi pusingan angin atau wap maupun awan yang berputar, jika ia mula berputar dengan pusingan jam ketika panas, maka apabila sejuk ia akan berputar melawan arus jam.  Ini berlaku di Hemisfera utara. Manakala di Hemisfera selatan pula, ribut tropika akan mula berputar melawan arus jam. Apabila ia sejuk akan berputar menjadi arah pusingan jam.

Oleh itu apabila kita melihat kepada gambar-gambar ribut taufan Tropika yang diambil dari satelite, kita akan mendapati jika putarannya adalah melawan arus jam, maka ia adalah ribut Tropika di Hemisfera utara seperti Taufan Haiyan yang berlaku di Filipina.  Maka sebaliknya jika gambar itu adalah mengikut arus jam, ia adalah ribut Tropika di Hemisfera selatan.

Ribut taufan Tropika yang panas di Hemisfera utara akan bergerak ke arah utara yang lebih sejuk.  Dalam perjalanan itu, ia akan kehilangan kuasa. Kerana sebenarnya kuasa untuknya berputar adalah dibekalkan oleh wap air yang panas di kawasan Tropika. Maka di kawasan lautan yang sejuk dengan sendirinya taufan akan beransur lemah.

Bagi Taufan Haiyan, selepas sahaja ia membadai tengah Filipina, ia meneruskan perjalanan ke daratan menuju Vietnam. Namun demikian, ia hanya mengena sebahagian kecil pantai Vietnam yang ketika itu kekuatannya telahpun menjadi lemah.

Jika kawasan itu dilalui oleh dinding mata, maka kerosakan yang lebih dahsyat akan diterima kerana ia mampu meranapkan keseluruhan struktur bangunan yang tidak punyai asas yang kukuh. Inilah yang berlaku pada Taufan Haiyan di Filipina.

Dalam pengiraan kategori kekuatan ribut taufan Tropika, ia dibahagikan kepada 5 kategori.

Kategori
Kekuatan angin (Km/j)
Keterangan
Tahap 1
Kurang dari 125 Km/j
Kerosakan minima ke atas rumah-rumah, tumbuhan, pokok-pokok dan lain-lain.
Tahap 2
125-164 Km/j
Kerosakan kecil ke atas rumah-rumah dan papan-papan tanda serta pokok-pokok. Membahayakan aktiviti laut.
Tahap 3
165-224 Km/j
Kerosakan bumbung rumah dan strukturnya. Merosakkan kenderaan. Bekalan letrik terganggu.
Tahap 4
225-279 Km/j
Kerosakan teruk bumbung dan strukturnya. Merosakkan banyak kenderaan dan diterbangkan angin. Menyebabkan terhentinya perbekalan letrik. Menyebabkan banjir kilat.
Tahap 5
Lebih 280 Km/j
Kerosakan yang amat sangat dengan banyak bangunan yang runtuh atau diterbangkan angin. Merosakan banyak infrastruktur serta kejadian sampingan seperti banjir besar serta tanah runtuh.

 Taufan Haiyan diklasifikasikan sebagai ribut taufan Tropika tahap 5 dengan kelajuan 310Km/j.  Ia dianggap sebagai ribut Taufan yang terbesar pernah direkod di dunia.  Sebelum ini Hurricane Camille yang melanda Mississippi dalam tahun 1969 direkodkan mempunyai kelajuan 300Km/j.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 

Sesungguhnya kejadian-kejadian malapetaka alam seperti gempa bumi dan ribut taufan walaupun dikatakan "act of God", tetapi kerakusan manusia dalam pembangunan juga harus dipersalahkan.

Seperti dalam kejadian gempa bumi, salah satu faktor gegaran gempa bumi adalah disumbangkan oleh letupan dalam ujian nuklear bawah tanah. Di samping itu, para saintis dan pencinta alam tidak menyenangi pembinaan empangan yang terlalu besar seperti Empangan Three  Gorges di Sungai Yang Zhe Kiang di China. Kerana ia dikatakan mempunyai tekanan yang amat kuat terhadap kerak bumi yang membolehkan pergerakannya. 

Dalam kejadian ribut taufan pula, isu kesan pemanasan rumah hijau dan pembakakaran fosil bagi menghasilkan tenaga untuk kenderaan dan industri telah menyebabkan kandungan karbon diokside semakin bertambah di udara.  Ia juga akan mengurangkan lapisan ozon yang mengakibatkan pancaran UV matahari terus ke bumi. Secara tidak langsung permukaan laut semakin terdedah dengan pancaran matahari yang semakin terik. Akibatnya semakin banyak pemelowapan air ke udara maka akan bertambahlah kejadian ribut taufan terutamanya ribut Tropika.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

25.11.2013



Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  :



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari



Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send



Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.



Sunday, November 17, 2013

GST pro & kon : mengubah persepsi rakyat terhadap sistem percukaian Malaysia

Sejak dari zaman primitif lagi, percukaian adalah kaedah bagi pemerintah untuk mengutip wang dari rakyat. Ia sama ada dilakukan secara sukarela atau paksaan, rakyat terpaksa akur. 

Dalam sejarah tamadun dunia, terdapat beberapa kerajaan telah ditumbangkan oleh rakyat kerana kezaliman pemerintah mengenakan cukai yang melampau.

Di mana cukai digunakan untuk kepentingan pemerintah terutama raja-raja atau bagi membiayai peperangan. Ketika itu kaedah percukaian dilakukan dengan arahan mutlak raja-raja atau pemerintah tanpa ada satu-satu justifikasi. Rakyat tidak mendapatkan keadilan daripada cukai yang dibayar. Bahkan negara kecil yang dijajah juga terpaksa membayar ufti kepada negara yang lebih berkuasa.

Di zaman moden, sistem percukaian digunakan untuk mentadbir negara dalam satu kaedah yang lebih adil. Di mana cukai yang dperolehi dari rakyat akan disalurkan kembali dalam bentuk yang lain seperti perkhidmatan, utiliti, infrastruktur, pendidikan, pertahanan, kebajikan rakyat dan penstabilan harga dengan kaedah subsidi.

Sistem percukaian mendapat restu daripada akta-akta yang diluluskan oleh Parlimen untuk penguatkuasaan. Bermakna jika rakyat ingkar untuk membayar cukai, bermakna ia telah melanggar undang-undang negara. Setiap rakyat sama ada miskin atau kaya seharusnya atau sememangnya telah membayar cukai kepada negara tanpa disedari.

Apakah kita selama ini telah dapat lari dari cukai ? Apakah rakyat yang ditakrifkan tidak perlu membayar cukai pendapatan dalam sesetengah kategori maka ia ditakrifkan bebas membayar cukai ?  Apakah kita yang tinggal di pendalaman atau kampong-kampung dari golongan petani dan penoreh getah juga bebas dari membayar cukai ?

Sebenarnya semua golongan ini membayar cukai. Tetapi ianya melalui cabang-cabang percukaian yang berlainan. Yang terpenting ialah rakyat selama ini telah membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai Sales & Services Tax (SST).
 
Dalam sistem percukaian Malaysia, selain daripada cukai pendapatan perseorangan dan cukai korporat yang dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), cukai-cukai yang dikenakan oleh Kastam Diraja Malaysia meliputi Duti Import, Duti Export, Cukai Jualan yang nilainya 5%, 10%, 20% dan 25% mengikut kategori.

Juga Cukai Perkhidmatan yang dikenakan oleh restoran, hotel, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan profesional seperti arkitek, jurutera, peguam dan sebagainya. Akhir sekali ialah Duti Eksais yang dikenakan kepada produk-produk mewah seperti kereta import, arak dan produk-produk tembakau.

Kita membayar cukai setelah membeli produk atau mendapatkan sesuatu perkhidmatan itu dengan kadar cukai jualan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 6%. Dalam sistem SST tidak terdapat penyeragaman bentuk cukai malah ada kalanya ia bertindih antara satu sama lain yang mengakibatkan harga sesuatu produk atau perkhidmatan itu meningkat tinggi.

Dalam kebanyak hal pula, percukaian ini diselindungkan bagi mengautkan keuntungan dan ada yang mengelak dari membayar cukai. Oleh itu ketirisan sering berlaku di setiap peringkat. Oleh itu Malaysia dalam proses untuk menukar sistem yang baru bagi menggantikan SST. 


Trend di peringkat dunia telah memperlihatkan satu sistem percukaian yang lebih mudah dan seragam serta memberi keadilan kepada rakyat telah digunakan. Ia dinamakan GST yang bermaksud Goods & Sevices Tax ataupun Cukai Barang dan Perkhidmatan. Konsep ini mula diperkenalkan oleh seorang pegawai percukaian di Perancis dalam tahun 1950an.

Kini konsep GST telah digunakan di lebih 160 buah negara di dunia. Ianya mungkin terdapat beberapa pengubahsuaian bagi setiap negara. Maka ada negara yang menamakannya sebagai Value-Added Tax atau VAT. Ia bukan sahaja digunakan di negara-negara demokrasi bahkan di negara-negara blok komunis seperti Rusia, China dan Vietnam telah lama mengamalkannya.

Dalam kalangan negara-negara Asean, Indonesia adalah negara pertama menggunakan sistem GST dalam tahun 1984.  Kini hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei sahaja yang belum mengamalkan sistem ini.

Apakah konsep GST dalam bahasa yang mudah ?

GST adalah sejenis levi yang dikenakan ke atas barang-barang yang dibekalkan pada setiap peringkat perbekalan dari pembekal atau pembuat sehinggalah kepada peringkat peruncitan.

Walaupun GST dikenakan pada setiap peringkat perbekalan, elemen percukaian tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana dalam sistem GST akan membayar balik ke atas perniagaan input yang boleh dikreditkan kembali daripada kerajaan.

Sistem GST meliputi bidang yang luas termasuk semua barangan dan perkhidmatan termasuk pengimportan barang-barang. Kecuali barang-barang yang telah dikategorikan pengecualiannya yang ditakrifkan sebagai “zero rate supply” serta ditentukan oleh Kementerian Kewangan dan telah digazetkan.

Asas fundamental GST membolehkan dalam rantaian perniagaan untuk menerima balik pembayaran “Input Tax Credit” dengan menggunakan sistem potongan automatik dalam sitem perakaunan mereka. Ini bagi memudahkan prosedur pentadbiran bagi pihak yang menjalankan perniagaan dan juga di pihak kerajaan yang akan mengutip cukai. Maka ia secara langsung akan menambahbaik sistem penyampaian kerajaan.

Oleh kerana ianya belum lagi dilaksanakan, maka pemahaman terhadap konsep tersebut masih lagi samar-samar pada kita. GST akan mula dilaksanakan pada 1hb April, 2015.


Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


 
Apakah sistem GST agak baru bagi Malaysia ?

Sebenarnya konsep GST telah mula dibincangkan pada tahun 2005 dan dijadualkan dimulakan pada tahun 2007.  Namun demikian ianya tidak dilaksanakan kerana suasana politik negara yang tidak mengizinkan serta krisis kewangan dan ekonomi dunia yang melanda ketika itu. Tambahan pula kehangatan ura-ura pilihanraya umum akan dipercepatkan serta bantahan dari kalangan rakyat. Maka ia ditunda serta memberi masa kepada rakyat dan kerajaan untuk membuat penilaian yang lebih menyeluruh.

Selepas PRU 12 dalam tahun 2008, kerajaan telah membentangkan usul GST untuk bacaan kali pertama di Parlimen dalam tahun 2009. Namun suasana ketika itu yang memperlihatkan suara bangkangan dari parti-parti pembangkang begitu kuat serta kritikan dari banyak NGO. Cadangan untuk bacaan kali kedua di parlimen dijadualkan pada akhir tahun 2011 juga terpaksa ditunda.

Dalam pembentangan belanjawan 2014 yang dibuat pada 25hb Oktober 2013 yang lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah mengisytiharkan bahawa Malaysia akan memulakan sistem GST bermula pada 1hb April, 2015 nanti. Sebagai permulaanya, kadar cukai GST telah ditetapkan  pada 6% kepada semua rantaian perbekalan barang-barang.

Ini bermakna usul bacaan kali kedua di Parlimen bagi akta GST akan dibuat sebelum pelaksaannya. Setelah pelaksanaan GST nanti, maka sistem cukai SST akan dibatalkan.

Oleh itu, kini kerajaan sedang giat memberikan penerangan kepada rakyat tentang konsep dan pelaksanaan GST agar rakyat mempunyai persediaan yang cukup serta melengkapkan sistem infrastruktur percukaian yang baru terutamanya perisian komputer. Ini kerana ia akan memudahkan pihak yang menjalankan perniagaan dan pihak kerajaan bekerjasama dalam satu sistem yang diintergrasikan. 

Sebagai perbandingan bagi negara-negara Asean yang telah melaksanakan GST adalah seperti berikut :

No.
Negara
GDP per kapita
Tahun Pelaksanaan
Kadar mula
(%)
Kadar sekarang
(%)
1
Indonesia
3,495
1984
10
10
2
Thailand
4,972
1992
7
7
3
Singapura
46,241
1993
3
7
5
Kemboja
897
1999
10
10
6
Vietnam
1,407
1999
10
10
7
Laos
1,320
2009
10
10
Nota : GDP adalah berdasarkan laporan Bank Dunia tahun 2011 dengan nilai matawang US$

Indonesia mula melaksanakan GST pada tahun 1984 dengan kadar 10% dan mengekalkan sehingga hari ini. Singapura mula memperkenalkan GST dengan kadar 3% yang kemudiannya naik sehingga 7% sekarang. Perlu diingat, semasa Singapura mula-mula memperkenalkan GST, ia tidak memberi apa-apa pengecualian terhadap produk atau perkhidmatannya. Ini kerana ia beranggapan akan menguntungkan golongan yang lebih berada. Walaupun apapun rakyat Singapura berbelanja lebih daripada keperluan asas mereka.

Kita teliti pula negara-negara Asia yang lain seperti berikut :

No.
Negara
GDP per kapita
Tahun pelaksanna
Kadar sekarang (%)
1
Bangladesh
743
1981
15.0
2
China
5,445
1994
17.0
3
India
1,509
2005
12.5
4
Iran
-
2008
5.0
5
Jepun
45,903
1989
5.0
6
Jordan
4,668
2001
16.0
7
Kazakhstan
11,357
1991
12.0
8
Kyrgzstan
1,124
1999
20.0
9
Lubnan
9,413
2002
10.0
10
Mongolia
3,129
1998
10.0
11
Nepal
619
1997
13.0
12
Pakistan
1,189
1990
16.0
13
Papua New Guinea
1,845
2001
10.0
14
Korea Selatan
22,424
1977
10.0
15
Sri Lanka
2,835
2002
12.0
16
Taiwan
-
1986
5.0
17
Tajikstan
935
2007
20.0
18
Tukmenistan
5,497
1993
15.0
19
Uzbekistan
1,548
1992
20.0
Nota : GDP adalah berdasarkan laporan Bank Dunia tahun 2011 dengan nilai matawang US$

Berdasarkan angka-angka GDP per kapita dari negara-negara lain sebagai perbandingan, maka kita lihat pula statistik negara kita sejak tahun 2004 sehingga 2012 untuk membuat unjuran terhadap apa yang akan terjadi selepas pelaksanaan GST nanti. Apakah dengan asas fundamental ekonomi itu maka negara akan goyang atau semakin kukuh selepas itu.

Mengikut statistik, GDP per kapita negara bagi tahun 2012 ialah US$10,380. Ia adalah yang kedua tertinggi di kalangan negara-negara Asean selepas Singapura. Kini dilaporkan GDP Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5% bagi suku ketiga tahun 2013 seperti yang dilaporkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia beberapa hari yang lalu.  Maka dengan prospek itu Malaysia dijangkakan akan lebih  cepat mencapai taraf perekonomian yang lebih mapan setelah terlaksananya sistem percukaian GST.
Terdapat terma ekonomi iaitu GDP per kapita dan GDP per kapita PPP yang lebih kompleks di mana terdapat elemen "adjustment" kadar wang tukaran asing dalam pengiraannya. Namun kita hanya mengambil kira GDP per kapita sahaja. Pengiraan GDP per kapita adalah dengan mengambil asas kuasa beli yang dibahagikan dengan jumlah pendudk sesebuah negara.    
Kini rakyat marhean tidak mengendahkan sangat data-data atau terma ekonomi  itu kerana ia adalah untuk dianalisa oleh para sarjana dan ahli-ahli ekonomi sahaja. Apa yang mereka kehendaki ialah bagaimana untuk mengira percukaian dalam sistem GST. Yang paling penting bagaimana ianya diuruskan.
Untuk mengubah dari sistem SST ke GST memerlukan kefahaman. Dari dahulu lagi kerajaan memperolehi cukai barang daripada pihak pengeluar sahaja. Kemudiannya elemen percukaian dikenakan lagi di peringkat jualan yang dikenakan kepada pengguna. Di tengah-tengah rantaian pengedaran barang-barang tidak dikenakan cukai.
Dalam sistem GST, kerajaan mula memungut cukai di peringkat produk dikeluarkan dan dipasarkan kepada peniaga
yang ditakrifkan sebagai cukai barang. Begitu juga cukai dikenakan apabila pengguna membeli produk yang ditakrifkan sebagai cukai perkhidmatan.

Dalam masa yang sama pengguna juga mengetahui bahawa pengeluar telah membayar cukai perkhidmatan kepada kerajaan. Kesemua cukai-cukai dalam setiap peringkat dikenakan sebanyak 6%.
Apakah dengan setiap rantaian akan mengenakan 6% maka rakyat terbeban. Jika mengikut teori dan praktikalnya, harga barang-barang selepas GST diyakini akan lebih murah. Tetapi bagi sesetengah barang yang mempunyai rantaian yang lebih banyak, kemungkinan sesuatu barang akan lebih mahal.
Dalam pembentangan Belanjawan 2014 yang lalu, kerajaan telah mengecualikan beberapa sektor dan barang keperluan asas yang dikenakan cukai GST. Kerana ia memberi impak yang terus kepada kehidupan rakyat.

Kategori barang makanan yang dikecualikan cukai GST :
Beras dan padi, gula, tepung, minyak masak, sayuran, haiwan hidup dan dagingnya, ikan dan isi ikan, kerang, moluska, telur dan seperti anak ayam, anak lembu dan sebagainya.

Antara kategori perkhidmatan yang dikecualikan cukai GST :
1
Bekalan elektrik – pengguna domestik utk 200kWH yang pertama
2
Bekalan air – pengguna domestik 35 meter padu pertama kecuali utk industri air
3
Barang yang dibekalkan bawah Skim Pengilangan Tol diluluskan
4
Bekalan barang yang ditetapkan iaitu Langkawi, Labuan dan Tioman
5
Pengankutan penumpang
6
Perkhidmatan kesihatan
7
Perkhidmatan pendidikan
8
Bekalan emas
9
Perkhidmatan kewangan
10
Pengangkutan antarabangsa dan perkhidmatan sampingan
11
Perkhidmatan pelabuhan dan lapangan terbang
12
Telekomunikasi
13
Perkhidmatan yang disediakan oleh kelab, persatuan atau kesatuan dsb.

Dalam perbandingan antara sistem SST dan GST menampakkan perbezaan yang nyata bagi harga barang-barang keperluan seperti berikut :
Kita andaiankan sesuatu barang berhaga RM2.00 yang dikeluarkan oleh pembekal dan keuntungan peruncit ialah 10%.
Perkara
SST
GST
 Dijual oleh pembekal

2.00

2.00
Cukai
Cukai jualan 10%
0.20
Cukai GST 6%
0.12

Harga dibayar peruncit

2.20

2.12
Kredit cukai input

0
Kredit 6%
-0.12
Kos kepada peruncit

2.20

2.00
Keuntungan peruncit 10%

0.22

0.20
Harga jualan sebelum cukai

2.42

2.20
Cukai
Cukai perkhidmatan 6%
0.15

Cukai GST 6%
0.13
Harga dibayar pengguna

2.57


2.33
Jumlah cukai

0.35


0.13


Bagaiamanapun, contoh di atas adalah menggambarkan rantaian barang yang mudah dengan tingkatan pengedaran yang tidak banyak. Mungkin jika tingkatan rantaian yang lebih kompleks, maka setiap tingkat akan mengenakan 6% cukai GST, maka tentulah harga yang dibayar oleh pengguna juga semakin tinggi.
Dalam sistem konvensional SST, walaupun kerajaan hanya mengenakan cukai di peringkat pengeluaran dan peringkat akhir yang sampai kepada pengguna, dalam pandangan mata kasar ia mungkin lebih murah. Tetapi kita jangan lupa, dalam rantaian yang lebih banyak, maka lebih banyak juga cukai bertindih serta cukai yang diselindungkan.  
Oleh itu kerajaan akan melaksanakan GST bagi mengurangkan ketirisan serta setiap lapisan harus bertanggungjawab dalam membayar cukai. Di sampaing itu pihak kerajaan akan menggunakan sistem ini agar kerajaan memperolehi hasil percukaian yang berterusan.
Impak daripada sistem GST memungkinkan kerajaan akan mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
17.11.2013



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.