Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Monday, October 7, 2013

Isu-isu Di sebalik Penutupan Kerajaan Amerika Syarikat

Dalam artikel ini saya akan memfokuskan tentang penutupan kerajaan Amerika Syarikat serta beberapa isu lain yang dikaitkan dengan fenomena keruntuhan imej Amerika Syarikat di mata dunia. Ia menampakkan Amerika Syarikat sesungguhnya mempunyai muka yang cacat tetapi cuba diselindungi dengan topeng-topeng bagi mengabui pandangan.
Kerajaan Amerika Syarikat sehingga tarikh artikel ini ditulis masih lagi berhempas-pulas bagaimana untuk menyelamatkan negara dari terus terjerumus dalam kancah kebangkrapan. Dalam istilah yang lebih diplomasi dikatakan Government Shutdown ataupun Penutupan Kerajaan, tetapi dari istilah teknikalnya membawa maksud negara tidak mampu untuk berbelanja lantaran ketiadaan bajet bagi menguruskan pentadbiran.
Ini berlaku kerana pertelagahan yang berlarutan antara dua parti iaitu Demokrat dan Republikan yang sememangnya ego dan tidak mahu mengalah dalam isu pelan kesihatan rakyat Amerika Syarikat yang dinamakan ObamaCare. Walaupun undang-undang telah diluluskan tetapi pemberian bajet disekat. Inilah permainan demokrasi yang dikatakan sungguh matang dalam negara yang menjadi jaguh demokrasi pada pandangan umum tetapi sesungguhnya sangat menjijikan lantaran rakyat dijadikan tebusan !

Apa itu yang dinamakan ObamaCare ?
ObamaCare juga dikenali sebagai Reformasi Penjagaan Kesihatan yang merupakan satu pelan kesihatan kebangsaan yang bertujuan membuat reformasi kepada sistem kesihatan rakyat Amerika Syarikat. Fokus utama pelan ini ialah memberi lebih banyak akses kepada kemampuan penjagaan kesihatan, memperbaiki kualiti penjagaan kesihatan, transformasi regulasi dalam indiustri insuran kesihatan dan mengurangkan perbelanjaan dalam penjagaan kesihatan.
Kini terdapat 44 juta rakyat Amerika Syarikat yang tidak mampu untuk memperolehi insuran kesihatan.  Maka dengan ObamaCare akan membantu individu-individu ini untuk memperolehi insuran kesihatan dengan melalui penyaluran dana ke pelan Medicaid danMedicare serta menawarkan bantuan kos kepada rakyat Amerika yang tidak mampu langsung memiliki insuran kesihatan.
Dari segi perundangan, ObamaCare adalah nama tidak rasmi bagi The Patient Protection and Affordable Care Act  atau Akta Perlindungan Pesakit dan Kemampuan Penjagaan  yang telah ditandatangani Obama dan menjadi undang-undang pada bulan March tahun 2010. Pada 1hb Januari, 2014 nanti, semua rakyat Amerika Syarikat dikehendaki mempunyai insuran kesihatan.
Jika ia satu pelan untuk kebajikan kesihatan bagi seluruh rakyat Amerika Syarikat, jadi mengapa Republikan menentangnya pula ?

Sebenarnya ia bukanlah semata-mata penentangan terhadap pengeluaran bajet ObamaCare, tetapi merupakan penentangan kedua-dua parti untuk mendapatkan pengaruh dalam politik Amerika Syarikat.
Ia adalah kemuncak kepada pertentangan dan permusuhan politik selama 3 tahun di Washington ke atas akta yang tersebut di atas.  Sebelum ini Republikan telah berhempas-pulas berkempen ke seluruh negara untuk menidakkan pelan ObamaCare. Namun akhirnya ia dimenangi oleh kem Obama dari parti Demokrat dan ianya menjadi satu undang-undang.
Pelan kesihatan ini juga menjadi isu utama dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat dalam tahun 2012. Ia ditentang oleh calon Presiden  dari parti Republikan, Mitt Romney.
Kemenangan Obama dalam pilihanraya ini juga banyak bergantung kepada popularitinya dari kalangan orang-orang kebanyakan yang terdiri daripada penduduk kulit hitam, imigran dari negara-negara Amarika Latin dan Asia. Mereka kebanyakannya bukan dari golongan yang berada serta kurang mampu untuk memperolehi insuran kesihatan.
Tambahan pula polisi parti Demokrat lebih condong kepada sosialis  dan menjaga kebajikan rakyat. Maka ahli-ahli parti ramai yang terdiri daripada golongan rendah dan pertengahan. Mereka inilah yang memberikan kemenangan kepada Obama untuk penggal keduanya dahulu. Salah satu tarikan penyokongnya ialah ObamaCare.
Di pihak parti Repulikan pula dikenali sebagai parti orang kaya. Mereka mengamalkan sistem pasaran bebas yang ditujukan kepada golongan korporat serta pemilik-pemilik gedung besar-besar. Jadi mereka tidak perlukan apa-apa lagi dari ObamaCare. Bahkan mengatakan dengan pelaksanaan ObamaCare akan menjejaskan kewangan negara melalui pelbagai subsidi dan bantuan kerajaan.
Pertembungan ideologi dan kepentingan untuk menarik sokongan rakyat akhirnya telah menjerat Amerika Syarikat ke kancah yang lebih buruk. Walaupun sebelum ini telah banyak kali diadakan rundingan dalaman tetapi kedua-dua kem ini tidak mahu mengalah sehingga di bawa ke pengundian dewan senat.
Jika Senat gagal menaikkan had pinjaman berjumlah AS$16.7 trilion, Amerika Syarikat akan menuju ke arah kegagalan membayar hutang, kemungkinan mencetuskan gelombang kejutan pasaran kewangan di seluruh dunia. Republikan memohon untuk menangguhkan undang-undang penjagaan kesihatan dan melampirkan peruntukan yang akan mengancam undang-undang penjagaan kesihatan Obama. Dan di pihak Presiden Obama dari parti Demokrat pula enggan berunding bagi menaikkan had hutang dan meminta diluluskan bajet tanpa sebarang syarat.
Akhirnya, Dewan Senat yang dikuasai oleh parti Republikan telah memperolehi kemenangan iaitu 54%, ini bermakna cadangan dari kem Obama dari parti Demokrat yang mendapat 46% telah KALAH ! Kekalahan ini bermakna bajet yang dibentangkan oleh Obama tidak mendapat kelulusan. Inilah yang terjadi mengakibatkan kerajaan tidak punyai wang untuk dibelanjakan. Ia berkesudahan penutupan kerajaan dari segi teknikalnya. Tetapi dalam realitinya ia masih berfungsi.
Dengan penutupan kerajaan Amerika Syarikat, ia menjejaskan lebih 800,000 orang kakitangan kerajaan pusat. Mereka diberikan cuti tanpa gaji, hanya mereka yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja dipanggil bertugas. Gaji para tentera akan ditangguhkan, manakala pihak imigresen meminimakan petugas yang hanya memproses untuk visa kemasukan pelawat asing sahaja.
Antara lain yang terlibat ialah penutupan tempat-tempat bersejarah dan pelancungan seperti muzium, Statue of Liberty, taman-taman negara, zoo dan lain-lain lagi. Mengikut satu laporan jika ia berlarutan sehingga dua minggu, Amerika Syarikat akan kehilangan lebih AS$50 billion. Di samping melambatkan pertumbuahn ekonomi di mana pada asalnya pertumbuhan ini dijangkakan berada pada 2,5% pada suku ke 4 tahun 2013. Sudah tentu penguncupan ekonomi akan dirasakan selepas ini.
Mengikut rekod, ini adalah kali ke 18 Amerika Syarikat menghadapi krisis penutupan kerajaan sejak tahun 1976. Yang paling kritikal ialah semasa pentadbiran Bill Clinton di mana ianya berlarutan selama 21 hari iaitu di tahun 1995.
Di sebalik insiden penutupan kerajaan Amerika Syarikat, juga memperlihatkan penelanjangan agenda kedua-dua parti dalam kempen pilihanraya Presiden yang bakal diadakan pada tahun 2016 nanti.  Di samping berkempen untuk pilihanraya dewan perwakilan yang memilih ahli kongres. Ini kerana mengikut sistem demokrasi di Amerika Syarikat, pilihanraya Presiden dan pilihanraya untuk memilih ahli kongres dilakukan berasingan dalam masa yang berlainan.
Sebab itulah di Amerika Syarikat kuasa legislatif iaitu yang menggubal undang-undang dengan kuasa eksekutif iaitu pihak yang dikuasai oleh Presiden boleh berada di pihak yang berasingan. Kini Dewan Senat yang menggubal undang-undang dikuasai oleh parti Republikan tetapi kuasa eksekutif dipimpin oleh Presiden Obama dari parti Demokrat. Maka nampaklah sangat penentangan antara kedua-dua parti ini telah menggunakan sistem demokrasi untuk memperjudikan kebajikan rakyat terutamanya bagi ObamaCare.
Kejadian yang hampir serupa tapi tidak sama pernah berlaku di negara kita. Parlimen Malaysia pernah menghadapi saat-saat getir apabila ramai ahli-ahli politik kerajaan tidak hadir dalam pengundian bajet tahun 2010 yang dibentangkan di hujung tahun 2009 dahulu. Di mana kelalaian ini telah diambil  peluang oleh pihak pembangkang dan cuba untuk menidakkan kelulusan bajet. Akhirnya kerajaan berjaya juga meluluskan bajet tersebut dengan majoriti yang amat tipis. 
Dikatakan,  jika penolakan bajet bermakna ia satu undi tidak percaya kepada kerajaan, maka kerajaan dengan sendirinya akan tumbang. Itulah akibatnya ! Namun dalam sistem demokrasi Malaysia, pihak legislatif dan eksekutif adalah dari satu parti. Ini kerana sistem kita ialah pihak yang memenangi kerusi terbanyak di dewan rakyat akan memilih Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif.
Kembali kita memperkatakan tentang bajet Amerika Syarikat yang telah mendapat “Veto” dari Republikan, sebenarnya ia juga memperlihatkan beberapa “wayang” Amerika Syarikat sebelum babak-babak pengundian dilakukan.  
Obama telah cuba untuk mengalihkan pandangan Republikan dan rakyat Amerika Syarikat sendiri tentang percubaannya menyerang Syria. Ia menggambarkan keseriusan Amerika Syarikat tentang keperihatinannya kepada mangsa serangan senjata kimia yang mengorbankan ramai mangsa di Syria.
Maka Obama tanpa perlu sangat mendapat kelulusan Majlis Keselamatan PBB serta sekutunya di Eropah lalu menghantar bala tentera yang berupa armada laut untuk ke Laut Mediterranean.  Akhirnya Obama terpaksa malu sendiri lalu berkompromi dengan Rusia bagi satu pelan  penyelesaian dengan penyerahan stok senjata kimia Syria. Sebenarnya ia jalan keluar bagi Amerika Syarikat dengan muka yang sedikit tercalar !

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 

Pada pandangan saya, Obama mempunyai strategi supaya Republikan akan menaikkan had hutang pinjaman negara bagi membolehkan kelulusan ObamaCare bersama dengan bajet peperangan. Namun Obama gagal memujuk dunia menyerang Syria terutamanya tentangan dari Rusia. Dalam negara pula, Obama akhirnya kecundang di tangan Republikan atas isu ObamaCare.
Wayang ini dipertontonkan kepada dunia yang sebenarnya Amerika Syarikat sudah tiada gigi lagi. Kecuali kekuatan armadanya di Lautan Pasifik, Amerika Syarikat bukanlah lagi kuasa hemogenous  iaitu mempunyai kuasa mutlak di sesuatu rantau. Ini berlaku terutamanya sejak tiga  dekad dulu.
Kekuasaan Amerika Syarikat baik dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan mendapat saingan dari kuasa-kuasa yang baru muncul seperti di Asia Timur dengan kemunculan China dan Jepun. Di Asia Selatan memperlihatkan kebangkitan India. Di Amerika Selatan pula Brazil mampu menjadi pencatur. Di Eropah pula, Kesatuan Eropah menjadi saingan ekonomi kepada Amerika Syarikat. 

Dan sudah tentu di Baltik dan Mediterranean menjadi kubu kuat kepada Rusia dari segi ketenteraan. Ini kerana ketumbukan armada Rusia banyak ditempatkan di Ukraine iaitu di Laut Hitam.  Dengan itu kekuasaan Amerika Syarikat berubah daripada hemogenous menjadi multilateral.
Amerika Syarikat telah melepasi zaman Polis Dunia dan kini perlu berunding dengan kuasa-kuasa lain bagi mencapai sesuatu konsensus. Pengekangan ini juga berlaku di dalam Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpuanan Agong PBB. Kekalahan blok Amerika Syarikat dalam pengundian di PBB bagi pengiktirafan Palestin yang menjadi negara ke 194 di dunia melalui pengundian yang dipelopori oleh negara-negera Islam serta disokong oleh bekas sekutu Amerika Syarikat telah memperlihatkan bahawa Amerika Syarikat telah lesu dalam kuasa lobinya.
Maka dengan itu Amerika Syarikat sudah tidak berupaya menjadi seperti dahulu, dan ini menjadi kebaikan kepada negara-negara lain untuk mengambil bahagian dalam percaturan yang lebih seimbang.  Maka kini kes perundingan antara Israel dan Palestine yang melalui perantaraan Amerika Syarikat mungkin membuahkan hasil lantaran Amerika Syarikat sendiri tidak mampu selamanya mempertahankan Israel kerana diri sendiri juga agak sukar untuk diuruskan. Tambahan pula pengaruh Rusia semakin meningkat kembali terutamanya di Syria dan Iran.
Begitu juga dalam negara Amerika Syarikat sendiri, perpecahan yang nyata dari blok Republikan dan Demokrat yang hampir seimbang telah menyukarkan sesuatu rang undang untuk diluluskan. Pertembungan kuasa legislatif dan eksekutif dari parti yang berlainan tidak memungkin satu pentadbiran yang licin.
Setelah penutupan kerajaan Amerika Syarikat, maka Obama telah berbincang dengan pihak perbankan bagi mencari penyelesaian. Apakah batas-batas waktu sehingga 17hb Oktober ini bakal membuah hasil bagi penyelesaian yang konkrit ? Ini kerana pada tarikh tersebut, Republikan dan Demokrat akan bertemu dan membuat keputusan akhir  sama ada untuk meluluskan bajet atau ada lain-lain opsyen yang boleh diterima. 

Jika jawabannya negatif, maka dunia bakal menempuh krisis baru yang membimbangkan bagi sektor kewangan. Dengan keruntuhan ekonomi Amerika Syarikat, ia akan membawa bersama kemelesetan ekonomi dunia. Kemungkinan besar pengaliran wang dari firma-firma kewangan dari Amerika Syarikat ke negara-negara lain akan lebih memburukkan keadaan. 

Kesan spontan yang kita lihat ialah sehari selepas kerajaan Amerika Syarikat mengumumkan penutupannya, dengan tiba-tiba Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menunjukkan lonjakan indek (KLSI) yang tinggi. Selain itu kekukuhan ekonomi Malaysia dan pasaran sahamnya semakin menarik minat pelabur-pelabur asing. Manakala bursa-bursa saham seluruh dunia tidak menunjukkan signal yang negatif, ini bermakna pasaran kewangan dunia tidak panik, kerana ia hanyalah masalah teknikal dalam urusan bajet Amerika Syarikat sahaja.

Tetapi apakah ia akan menimbulkan masalah besar kepada Malaysia secara amnya ? Mengikut pandangan saya, ia tidak banyak memberi impak kepada Malaysia lantaran kita hanya banyak berurusan atas dasar perdagangan sahaja. Lagi pun di pihak Amerika Syarikat sendiri berupaya untuk menyelesaikannya secara dalaman dalam masa yang terdekat. Ini memandangkan reputasi Amerika Syarikat akan lebih tercalar jika ianya berlaruan.

Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
07.10.2013 


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment