Wednesday, October 16, 2013

Benarkah PCA 2013 adalah versi ke dua ISA ?

Sejak Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) diuar-uarkan  akan dipinda bagi menggantikan ketiga-tiga ordinan yang telah dimansuhkan, maka PCA 1959 perlu diberi nafas baru serta dibentangkan di Parlimen, sudah kedengaran suara-suara sumbang terutamnya dari blok pembangkang dan NGO, bahawa sesungguhnya PCA adalah versi ke 2 ISA. Sesudah ianya diluluskan oleh Parlimen, isu mengenai PCA tidak pernah reda.

Pindaan akta tersebut dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada awal petang Selasa 3hb Oktober  dan perbahasan berlarutan sehingga 8.30 malam itu. Ianya disambung pada keesokan harinya bermula dari jam 11.30 pagi. 

Perbahasan semakin hangat terutamanya tentangan datangnya dari pihak pembangkang.
Bayangkan jam di dalam Dewan Rakyat terpaksa “diberhentikan” pada detik 12 tengahmalam Rabu.  

Waktu itu sidang Dewan Rakyat dikira masuk ke dalam “no time zone” yang bermakna walaupun telah memasuki hari Khamis tetapi tetap dikira hari Rabu.  Akhirnya Akta Pencegahan Jenayah 2013 (PCA 2013)  diluluskan dengan suara majoriti pada pukul 12.50 pagi hari Khamis, namun pada teknikalnya ia dianggap hari Rabu.

Mengapa tentangan yang begitu hebat oleh pihak pembangkang yang mengatakan ia adalah versi ke 2 ISA dengan intipati bahawa PCA mempunyai elemen tahanan tanpa bicara. Namun demikian, betulkah tahanan tanpa bicara dalam ISA sama dengan PCA.
Nampak dari segi elemen memang sama tetapi pelaksanaan serta golongan sasar yang ditujukan adalah berlainan. 

Dalam artikel kali ini , saya akan mengupas isu ini bermula dari perspektif undang-undang pencegahan ISA yang kemudiannya membawa kepada beberapa Akta yang lain yang dikaitkan dengan jenayah politik dan jenayah kemanusian.

Tanpa mengetahui intipati ISA adalah sukar bagi kita untuk membuat perbandingan antara ISA dengan PCA.

ISA adalah kependekan daripada Internal Security Act 1960. Dalam bahasa Melayunya disebut Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah digubal dalam tahun 1960.  Seksyen yang memperuntukan  ISA  adalah seperti berikut :

Section 73(1) Internal Security Act 1960: "Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."

Sect 8. Power to order detention or restriction of persons. "(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the economic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that
that person be detained for any period not  exceeding two years."

Secara definisinya bahawa polis boleh menahan seseorang selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan dengan mempercayai bahawa suspek dijangka mengancam keselamatan negara atau mana-mana daripadanya.  Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Sejak tahun 1960 lagi, ISA telah digunakan untuk kuasa-kuasa pencegahan terutamanya dari militan dan pelampau ugama, fahaman politik yang menyalahi undang-undang, menghalang perbuatan subversif dan propaganda komunis, menghalang aktivis dan NGO yang boleh mengancam keselamatan. Yang yang paling menonjol ialah digunakan untuk menyekat saingan politik parti pemerintah yang ditujukan kepada para pemimpin pembangkang.

Antara yang terawal pernah ditahan dalam ISA ialah Anwar Ibrahim dalam tahun 1974. Beliau ditahan selama 20 bulan ekoran demonstrasi jalanan di Universiti Malaya berhubung kemiskinan tragis di Baling, Kedah. Rakannya, Hishamudin Rais sempat melarikan diri ke luar negara.

Dalam tahun 1976 telah menggemparkan politik tanahair dengan penahanan “Tiga Abdul”, iaitu Tan Sri Abdullah Ahmad yang merupaka bekas Setiausaha Politik kepada Tun Abdul Razak, Tan Sri Abdul Samad Ismail, bekas Ketua Pengarang News Straits Times Press dan Abdullah Majid. Penahanan mereka ada kaitan dengan kegiatan subversif komunis.  Dalam masa yang sama Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali juga ditahan kerana kegiatan politik kiri.

Dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 , ramai  ahli-ahli politik dan aktivis Cina telah ditahan seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang ditahan selama 2 tahun di Kem Kemunting, Taiping.  Bagaimanapun Ibrahim Ali yang ditahan dan kemudiannya dibebaskan dengan syarat.

Dalam tahun 1998, sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah ditahan ekoran gerakan Reformasi setelah dipecat dari kabinet dan UMNO kerana kes rasuah dan liwatnya yang pertama. Sementara itu Menteri Dalam Negeri sekarang ini, Datuk Seri Zahid Hamidi juga pernah ditahan ISA bersama DSAI dalam tahun 1998 yang ketika itu beliau menjawat sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Turut ditahan selama 2 tahun ialah aktivis Hindraf, M. Manoharan dan P. Uthayakumar selepas protes Hindraf di Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Namun penahanan yang lebih panjang sehingga 6 tahun dilakukan ke atas lapan orang  suspek pengganas Jemaah Islamiah.

Penahanan yang pendek pernah dilakukan terhadap blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin selama 52 hari dalam tahun 2001 dan 2008. Manakala Teresa Kok hanya ditahan selama 7 hari ekoran kes menghina Islam.

Daripada kes-kes penahanan ini dengan jelas memperlihat bahawa kuasa penahanan seterusnya selepas 60 hari adalah terletak pada kuasa eksekutif yang dimiliki oleh Menteri Dalam Negeri. 

Manakala suspek selain daripada yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti pelampau yang menggugat keselamatan negara, ialah mereka yang terlibat dalam politik kepartian. Khususnya yang menjadi saingan kepada pemerintah, yakni ahli-ahli politik pembangkang.

Ekoran ISA juga telah digunakan untuk mengekang penglibatan orang-orang politik dan NGO, maka gelombang kritikan yang besar  dari dalam dan luar negara telah memberikan imej kurang elok bagi Malaysia. Di samping desakan dari parti-parti politik dalam negeri, maka pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak telah melihat isu ISA  sebagai satu transformasi undang-uandang yang perlu ditangani segera.

Maka pada September, 2011 kerajaan telah mengumumkan pemansuhan ISA. Ini diikuti oleh Akta Buang Negeri 1959 dan Akta kediaman Terhad 1933. Kerajaan berjanji akan menggubal akta lain yang lebih konprehensif bagi menggantikan ketiga-tiga akta tersebut.

Setelah pemansuhan ketiga-tiga akta tersebut, memang diakui kerajaan mendapat pujian dan pengiktirafan bahawa atas keberanian Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merobak sistem perundangan yang lapuk. Namun demikian, keikhlasan kita untuk melihat yang baik berlaku tetapi sebaliknya pula berlaku dalam landskap keselamatan negara dengan kejadian tembak-menembak makin berleluasa.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 

 Puncanya ialah para penjenayah yang dahulunya ditahan di penjara-penjara di bawah Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 kini telah dibebaskan. Ke manakah mereka akan mencari sara hidup. Untuk kembali sebagai orang normal sudah tiada siapa yang dapat menerima bekas penjenayah untuk tinggal atau bekerja bersama kita. Maka mereka terpaksa kembali menjalani kehidupan lama yang penuh dengan kegiatan jenayah, kongsi gelap, terlibat dengan penjualan dadah dan pemerdagangan manusia.

Rakyat dikejutkan dengan kegiatan pembunuhan demi pembunuhan yang banyak dilakukan oleh pembunuh upahan. Kejadian Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim  yang ditembak mati semasa beliau dalam perjalanan untuk pergi ke pejabat di Putrajaya telah membuka mata rakyat Malaysia.  Kes pembunuhan berprofil tinggi terhadap pengasas Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi di kawasan letak kereta Jalan Ceylon, Kuala Lumpur telah lebih menaikkan suhu ketakutan rakyat terhadap penjenayah ini.

Maka desakan semakin kuat supaya Pejabat Peguam Negara segera menggubal undang-undang bagi mengekang kejadian yang seumpama itu berlaku. Dengan fokus ialah menangkap dan menahan penjenayah ini supaya ia dapat dibawa ke muka pengadilan.

Namun demikian, undang-undang sedia ada tidak mampu untuk memberikan perlindungan kepada saksi-saksi agar memberikan keterangan di mahkamah.  

Dengan yang demikian, kita hanya dapat menangkap ikan bilis tetapi jerung terlepas. Maka rakyat mahukan satu undang-undang yang boleh dijadikan sandaran bahawa jika mereka memberikan keterangan di mahkamah maka satu perlindungan haruslah diberi.  Dan keterangan saksi ini tidak diketahui oleh suspek.

Maka lahirlah Akta Pencegahan Jenayah 2013 atau PCA yang ditujukan kepada penjenayahan terancang dan bukannya kepada ahli-ahli politik. Namun ahli-ahli politik pembangkang begitu fobia kerana ramai di antara mereka pernah meringkuk di Kem Tahanan Kemunting, Taiping.  Maka tidak hairan merekalah yang menjadi batu penghalang terhadap penggubalan dan kelulusan akta tersebut.

Perbezaan paling ketara ialah dari segi kuasa. Dalam pelaksanaan ISA, Menteri Dalam Negeri memiliki kuasa eksekutif bagi mengarahkan penahanan. Manakala dalam PCA, kuasa badan kehakiman dan Lembaga Pencegahan Jenayah yang akan mengarahkan penahanan.  Lembaga ini terdiri daripara tiga orang panel yang mengendalikan kes. Pengerusi Lembaga juga wajib dijawat oleh bekas atau orang yang berkelayak setaraf dengan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Tangkapan awal suspek dilakukan dalam 24 jam, kemudian direman 21 hari di hadapan Majistret. Kemudian reman 38 hari di hadapan Presiden Mahkamah Sesyen, kemudian ke Lembaga. Bila ada perkara atau ada pihak yang tidak berpuas hati boleh membawanya ke mahkamah.

Penahanan untuk tempuh dua tahun haruslah diluluskan terlebih dahulu oleh Lembaga ini.  Pada peringkat ini, adalah dihujahkan bahawa representasi kesahihah tahanan sedemikian dapat dipertikaikan sama ada oleh tahanan sendiri atau melalui khidmat perguam berserta pemanggil saksi-saksi tahanan jika diperlukan. Peringkat ini bolehlah didefinisikan sebagai peringkat cabaran substantif atau peringkat perbicaraan intipati kebolehpercayaan tuduhan-tuduhan tehadap tahanan.

Ini secara terang-terangan bahawa kuasa penahanan adalah terletak pada bahu pihak kehakiman tanpa campur tangan dari kuasa eksekutif yang dimiliki oleh Menteri Dalam Negeri seperti ISA.

Penahanan dalam PCA juga tidak dibuat secara automatik. Tapisan akan dibuat oleh Lembaga selepas melalui proses pengadilan seperti perbicaraan di mahkamah dengan laporan siasatan yang lengkap. Tambahan pula, prasyarat penahanan dua tahun ini adalah setelah tahanan melanggar perintah pengawasan yang telah dikenakan terdahulu ataupun tahanan penjenayah berdaftar telahpun melakukan dua atau lebih jenayah berat beserta siasatan yang mempunyai keterangan kukuh untuk menyokong intipati kesalahan.

Tahanan boleh mencabar di Mahkamah Tinggi melalui permohonan habeas corpus iaitu penahannya melanggar hak asasi di bawah Perlembagaaan Persekutuan. Peringkat ini adalah cabaran ketidakpatuhan tatacara atau prosedur proses tahanan yang tindak mengikut lunas undang-undang. Peringkat ini melibatkan penyeliaan ketat oleh pihak mahkamah untuk mentafsirkan hak asasi tahanan.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa badan kehakiman menjaga dan memelihara hak-hak asasi tahanan. Jika pada peringkat ini ia gagal mencabar penahannya, dia boleh meneruskan ke Mahkamah Tinggi. Begitu juga dia berhak untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penggubalan PCA juga telah merangkumi elemen-elemen yang terkandung dalam Ordinan Darurat atau EO. Tetapi peranannya kini telah diambil oleh Lembaga yang kini mengeluarkan Perintah Tahanan menurut sistem siasatan yang lebih berteraskan perbicaraan substansif.

Namun demikian, Menteri  Dalam Negeri masih mempunyai kuasa eksekutif dalam beberapa akta perundangan yang lain bagi mengekang kejadian jenayah terancang dan pengalahgunaan dadah. Ini termasuklah dalam Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985). Rang undang-undang ini masih kekal dan relevan untuk digunakan. Ia memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan arahan tahanan selama dua tahun kepada suspek yang ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak kerana aktiviti-aktiviti yang melibatkan dadah merbahaya.

Dalam senario penggubalan PCA, ianya banyak ditentang oleh pihak pembangkang yang melihat PCA lebih menjurus kepada bayangan ISA di mana ramai daripada mereka pernah menjadi tahanan di Kem Kemunting, Taiping.

Namun mereka tidak melihat ancaman penjenayah terancang yang dilakukan oleh sendiket pengedaran dadah yang sering menggunakan senjata api dalam mengiringi dadah mereka agar selamat sampai ke destinasi.  Manakala isu antara dadah dan senjata api saling kait-mengait antara satu sama lain.

Kumpulan sendiket penyeludupan dan pengedaran dadah ini sering melengkapkan ahli-ahli mereka termasuk dari kalangan ahli-ahli kongsi gelap dengan persenjataan yang lebih canggih.  Maka secara tidak langsung terjadi perebutan kawasan pengedaran dadah dan segala bentuk jenayah seperti pelacuran dan pemerdagangan manusia. 

Antara kongsi-kongsi gelap ini saling bermusuhan dan tidak hairan jika pergaduhan yang berakhir dengan kematian yang tragis di kalangan mereka. Senjata utama yang digunakan pada lazimnya ialah senjata api yang tentunya diseludup dari luar.

Pihak polis kini telah melancarkan Ops Cantas yang bermula dari 17hb Ogos yang lalu bagi menahan para penjenayah di seluruh negara.  Dengan adanya PCA, maka di Sabah dan Sarawak juga menjadi lebih aman kerana dalam akta-akta yang terdahulu tidak termasuk bagi Sabah dan Sarawak kerana ia digubal sebelum kemasukan kedua-dua negeri itu ke Malaysia. Manakala PCA adalah digubal untuk membanteras jenayah terancang bagi seluruh negara. 

Dikatakan dengan adanya PCA maka polis dikatakan telah mempunyai “taring” dalam pencegahan jenayah. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak polis, sejak Ops Cantas dilancar ke seluruh negara, kini indeks jenayah di seluruh negara menampakkan penurunannya.  Dengan mengenakan pertuduhan mengikut PCA ke atas penjenayah terancang serta mengekang kegiatan mereka, maka kita menjangkakan suasana keselamatan negara semakin aman.

Walaupun ISA dianggap satu undang-undang rimba dengan tahanan tanpa bicara. Namun ia telah berjaya mengekang kegiatan subversif komunis daripada menyusup ke dalam masyarakat. Oleh kerana kegiatan suspek sukar untuk dibuktikan dengan undang-undang kerana kelicikan mereka, namun dengan cara pemencilan mereka di Kem Tahanan Kemunting, Taiping telah menjarakkan mereka dengan dunia luar.

Mungkin bekas tahanan politik yang pernah ditahan di sana seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tetap akan membantah PCA kerana ia sentiasa menjadi igauan mereka. Walaupun mereka mengetahui peranan PCA adalah berlainan dengan ISA, namun atas dasar pembangkang,  setiap yang baik juga akan dibangkang !


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

16.10.2013



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment