Tuesday, September 10, 2013

Obama dalam dilema : AS gagal pujuk dunia serang Syria


Krisis politik Syria telah meningkatkan suhu percaturan kuasa-kuasa asing di Asia Barat terutamanya dari Blok AS dan Blok Rusia. Ini berikutan penggunaan senjata kimia oleh Rejim Bashar as-Assad yang telah mengorbankan ramai orang terutamanya kanak-kanak pada 21hb Ogos lalu. Desakan daripada negara-negara Barat dan Dunia Arab supaya Syria dihukum semakin lantang.

Namun apakah satu peperangan akan berlaku di Asia Barat khasnya yang melibatkan Syria ? Begitu juga apakah jiran-jiran Syria terutama Israel yang menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS) akan berdiam diri ? Selain itu apakah Iran yang selama ini mempunyai pertalian fahaman Syiah dan kerjasamam tentera dengan rejim Damsyik juga akan berdiam diri ?

Sudah tentunya penentangan terbuka antara Amerika Syarikat dan Blok Barat dengan Rusia yang disertai oleh China akan menjadi mengimbang.  Jika gajah sama gajah berjuang, tentu pelanduk yang hancur berkecai !

Maka mungkinkah Barack Obama akan mengenepikan kesemua halangan dan protokol dunia serta bertindak sendirian dengan sokongan senat serta 19 buah daripada 20 negara G20. Atau apakah Obama kini sedang dalam dilema setelah melihat Presiden Rusia, Vladimir Putin  benar-benar hendak berentap dengannya di perairan Laut Mediterranean ?

Pada pandangan saya, peperangan ini tidak mungkin akan terjadi ! Akhirnya Amerika Syarikat akan malu sendiri dan mengundurkan kapal-kapal perangnya lebih jauh dari Syria tetapi tidak akan meninggalkan Laut Mediterranean kerana strateginya memanglah untuk menempatkan lebih banyak ketumbukan tentera laut di rantau ini. 

Selain untuk menunjukkan kegagahannya dengan berselindung di sebalik kejadian penggunaan senjata kimia oleh rejim Bashar, AS dilihat mahu menjadi dominan di perairan ini sementelah kesemua negara-negara yang dahulunya pro-Moscow tetapi kini telah berkiblat ke Washington. Hanya yang tinggal ialah Syria. Sesungguhnya hanya Syria sahaja menjadi benteng air muka kepada Rusia di rantau ini. Maka sebab itulah Rusia sanggup berbuat apa saja demi mempertahankan Syria.

Setelah tumbangnya Muamar Ghadafi di Libya dan suasana kemelut politik Mesir yang masih belum reda, dan kedudukan Erdogan di Turki yang dicabar oleh puak penentang, maka Amerika Syarikat melihat inilah peluangnya untuk bertapak semula di Laut Mediterranean.  

Secara tidak langsung mendekatkan lagi dengan Israel. Kerana jika Syria diserang oleh AS, sudah tentu Syria juga akan bertindak  ke atas Israel.  Puak-puak Hezbullah di Lubnan yang bersekutu dengan Syria serta mendapat bekalan persenjataan dari Iran sudah tentu juga menghalakan meriam ke arah utara Israel.  Kita juga jangan lupa, beberapa bulan yang lalu ketegangan telah berlaku kerana jet pejuang Israel telah menembak lokasi tempat simpanan persenjataan Syria.

Selama ini, persenjataan ketenteraan Syria diperolehi dari Rusia . Senjata-senjata ini digunakan untuk memperlengkapkan pertahanannya setanding dengan Israel yang diperlengkapkan oleh Amerika Syarikat. Ia menjadi alasan kukuh pihak Damsyik untuk mendapatkan pelbagai jenis persenjataan Rusia.  

Di samping Syria menggunakan kedudukan ketenteraannya untuk melumpuhkan gerakan pemberontak yang menentang rejim Bashar. Kini dilihat angkatan tentera udara Syria telah digunakan untuk mengebom kedudukan tentera pemberontak samada yang bernaung di bawah  Tentera Pembebasan Syria  (FSA) atau pun yang tidak bersekutu dengan FSA.

Perang saudara Syria yang kini telahpun memasuki ke 26 bulan.  Namun kejayaan di pihak pemberontak nampaknya masih samar-samar apabila banyak kawasan-kawasan yang ditawan pemberontak dahulu kini telah berjaya dikuasai semula oleh tentera Syria. 

Malah banyak kejayaan di pihak pemberontak bukanlah dari tentera FSA yang mendapat bekalan persenjataan dari Barat, Turki dan Arab Saudi. Tetapi adalah dari puak-puak yang tidak bersekutu dengan FSA, dimana mereka adalah pejuang tulin yang mirip kepada perjuangan Islam sealiran dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Strategi AS juga melihat jika Syria berjaya ditumbangkan, maka ia tidak ubah akan menjadi seperti Iraq dan Afghanistan yang berpecah kepada beberapa puak. Harapkan peperangan hanya beberapa minggu atau bulan akan berlarutan hingga bertahun-tahun.  Dan jika rejim Bashar dapat digantikan, apakah puak-puak yang sekutu dengan FSA akan berkuasa atau puak-puak yang lebih mirip kepada Ikhwanul Muslimin akan membentuk kuasa baru di Syria.  

Malah Rusia dan China juga tidak menginginkan puak-puak sealiran Ikhwanul Muslimin lebih dominan di Syria jika benar-benar Bashar dapat ditumbangkan.  Ini kerana Rusia juga menghadapi masalah yang sama dengan puak Islam Chechnya dan China pula dengan pemberontakan Islam Xinjiang

Turki pula akan berada dalam keadaan serba-salah, kerana ketika ini Turki adalah disebelah pihak FSA serta memberi segala bentuk bantuan kepada mereka. Malah senjata-senjata yang dibekalkan kepada pemberontak juga disalurkan melalui Turki. Namun demikian, dalam kes Mesir, pentadbiran Erdogan memihak kepada Ikhwanul Muslimin.
























Akibat daripada krisis politik Syria, kini dianggarkan 2 juta orang menjadi pelarian. Bancian dari Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati kira-kira 5,000  orang akan menjadi pelarian setiap hari dan 5000 orang mati setiap bulan. Negara-negara jiran Syria, seperti Jordan menerima 515,000 orang pelarian, Turki 460,000 orang, Iraq 168,000 orang Lubnan 716,000 orang  dan Mesir 110,000 orang.

Sekurang-kurangnya 93,000 nyawa sudah terkorban sejak tahun 2011 hingga 2013. Manakala 6.8 juta warga Syria kini memerlukan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera, termasuk lebih 4.2 juta yang telah kehilangan tempat tinggal.

Sebagai rujukan, akibat peperangan ini,  PBB telah mengkategorikan krisis pelarian Syria ini adalah yang terburuk dalam sejarah moden sejak tragedi pembunuhan etnik di Rwanda, Afrika pada tahun 1994. Di mana lebih 2 juta penduduk Rwanda menjadi pelarian apabila puak radikal Hutu melakukan pembunuhan kejam terhadap etnik Tutsi dalam masa kira-kira tiga bulan.

Maka bagi menghentikan krisis kemanusiaan ini, apakah yang kita harus lakukan. Apakah dengan cara ketenteraaan seperti yang hendak dilakukan oleh Amerika Syarikat ? Ataupun dengan usaha-usaha perdamaian oleh PBB dan sebagainya. Atau pun dengan kedua-dua kuasa dunia iaitu As dan Rusia memerlukan masa yang lebih panjang untuk mencari formula bagi mencari titik persamaan yang boleh diterima oleh pelbagai pihak.

Amerika Syarikat terpaksa menghantar kapal-kapal perangnya ke perairan Laut Mediterranean bagi menunjukkan kesungguhannya. Ini kerana pentadbiran Obama sebelum ini telah menyatakan jika Syria benar-benar menggunakan senjata kimia bagi memerangi pemberontak, maka Amerika Syarikat akan menyerang Syria. Maka mahu tak mahu, Amerika Syarikat terpaksa mengkotakan cakap-cakapnya. Samada ia benar-benar perbuatan regim Bashar atau tidak, itu tidak penting, kerana agenda Amerika Syarikat bertapak kembali di Laut Mediterranean harus didahulukan.

Namun Obama terpaksa mendapatkan kebenaran senat terlebih dahulu, dan kini halangan pertama telahpun diperolehi setelah senat berada di belakang Obama. Bagaimanapun dengan syarat ianya haruslah dilakukan dalam masa 90 hari sahaja dan tidak menggunakan kekuatan tentera darat.  Usul penggunaan ketenteraan itu akan dibentangkan di Dewan Perwakilan (Kongres) untuk diluluskan.

Namun demikian, sekutu kuat AS semasa Perang  Teluk Desert Storm menentang Saddam Hussein dahulu iatu Britain enggan memberi kerjasama dengan AS. Bahkan Perdana Menteri Britain,  David Cameron,  semasa Sidang Kemuncak G20 di Saint Petersburg,  Rusia minggu lalu masih berdolak-dalik tidak mahu mengikut rakan-rakan Eropahnya yang bersetuju dengan cadangan Obama itu bagi menggunakan cara ketenteraan terhadap Syria

Dalam keadaan Sidang Kemuncak G20 diadakan di Rusia yang mana Putin menentang cadangan Amerika Syraikat itu, sudah tentulah hasrat Obama masih lagi terhalang.  

Ketika Desert Storm , Kuwait yang pernah ditakluki oleh Saddam Hussein dijadikan tempat untuk melancarkan serangan terhadap Iraq.  Namun dalam kes untuk melancarkan serangan ke Syria pula, Iraq telah siang-siang lagi tidak mahu ruang udaranya digunakan untuk serangan ke atas  Syria. Maka jika AS mahu melakukan serangan ke atas Syria, maka ia hanya dilakukan dari kapal-kapal perang yang mengangkut pelbagai jenis persenjataan dan kapal terbang penggempur. Selain daripada serangan dari pengkalan-pengkalan udara di Turki.

< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my


Negara-negara Arab dikatakan telah bersetuju untuk membiayaai sepenuhnya kempen ketenteraan menyerang Syria bagi menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dengan syarat usaha iatu diketuai oleh Amerika Syarikat.

Para penganalisis menjangkakan keseluruhan perbelanjaan akan menelan kos AS$5 hingga AS$21 bilion (RM17.5 hingga RM73.5 bilion).

Selama ini kuasa barat yang hanya membiarkan negara lain seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turki bertindak sebagai proksi membantu tentera pemberontak.  Namun ternyata sekali kerajaan Bashar langsung tidak dapat dilumpuhkan, maka dengan kejadian penggunaan gas beracun oleh rejim Bashar, maka pihak Barat mendapat nafas baru untuk dijadikan alasan kukuh bagi menyerang Syria.

Rusia pula telah memberi amaran kepada AS dan blok barat bahawa Rusia akan mempertahankan sekutunya daripada diserang itu.  Dan jika serangan AS ke atas lokasi loji atom Syria, ia akan membawa bencana nuklear di rantau ini.


Sebagai komitmen setiakawan Rusia terhadap Syria, kapal perang Rusia, Nikolai Filchenkov telah meninggalkan pelabuhan Sevastopol di Ukraine untuk membawa “kargo khas” ke Syria. Kremlin semakin meningkatkan kehadirannya di perairan Mediterranean.  Kemungkinan besar juga kapal-kapal selam Rusia telah berada di situ bagi tujuan pengumpulan maklumat dan misi-misi khas.

Kehadiran kapal-kapal perang Rusia ini bertujuan mengimbangi peningkatan jumlah kapal tentera laut AS di perairan Laut Mediterranean. Selain daripada Nikolai Filchenkov, kapal pemusnah Smetlivy dan armada anti kapal selam Admiral Panteleyev juga telah memasuki zon operasi.

Rusia juga menghantar sebuah kapal pengangkut pesawat lebih besar iaitu Novocherkassk dan Minsk, selain kapal membawa peluru berpandu Moskva. Kapal pengiring, Neustrashimy sudah pun berada di timur Mediterranean.

Dengan sokongan armada laut Rusia ini, ia menunjukkan betapa Rusia bukan sahaja akan menunjukkan belangnya selepas kejatuhan Kesatuan Soviet Union dahulu, bahkan legasi Soviet itu bakal kembali berperanan di Laut Mediterranean. Ketika ini kebanyakan ketumbukan armada laut Russia di sebelah sini berpengkalan di Laut Hitam.

Sesungguhnya ia bukan sahaja medan untuk mempertahankan Syria, tetapi ia mahu pihak barat memperakui bahawa Rusia hari ini adalah bayangan Soviet yang digeruni terutamanya semasa era Perang Dingin tahun 50-70an dahulu. Maka kekuatan tentera laut Rusia haruslah dihormati serta rakan-rakan sekutunya tidak boleh diperkotak-katikkan.

Rusia sesungguhnya tidak bersendirian, ini kerana sekutunya dalam PBB yang sentiasa menyokong Syria iaitu China juga bertindak serupa. China dilaporkan telah menghantar kapal perangnya untuk “melihat” kapal-kapal AS dan Rusia dan dalam masa yang sama membina persediaan untuk kemungkinan berlakunya serangan ke atas Syria oleh Amerika Syarikat.

Kapal pendaratan dok amfibia iaitu Jinggangshan dilihat melalui Laut Merah ke arah Terusan Suez, dan mengarah ke perairan timur Mediterranean. Walaupun ianya tidak dilengkapi persenjataan berat, tetapi ia memperlihatkan kehadiran China sebagai sokongan terhadap setiakawan antara China dan Syria.

Meneliti garisan pemisah antara blok AS dengan blok Rusia dalam krisis Syria ini, kita dapati krisis Syria bukan lagi sebagai krisis dalaman perang saudara atau krisis proksi tetapi lebih nyata ialah penentangan antara Amerika Syarikat dengan Rusia secara berdepanan.

Dengan AS mempamerkan kekuatan angkatan lautnya, dan ianya “disambut” oleh Rusia dengan armada laut yang serupa. Maka ini memberi signifikan bahawa jalan ketenteraan bukanlah cara yang sesuai bagi menamatkan konflik yang berpanjangan di Syria.

Sekurang-kurangnya ia mengingatkan kepada AS bahawa ini bukanlah duplikasi kepada serangan seperti terhadap Iraq dahulu yang mana ianya boleh dilakukan tanpa sebarang tentangan. Kerana ketika itu Saddam Hussein bersendirian. Dan Presiden Bush pula menggunakan temberang bahawa Saddam Hussein membangunkan senjata pemusnah besar-besaran sebagai alasan untuk menyerang Iraq. Namun sehingga AS keluar dari bumi Iraq sekalipun, senjata-senjata itu tidak diketemukan.

Kini belum dapat dikenalpasti pihak manakah yang menggunakan gas beracun di Syria. Walaupun dari lojik dan pendapat umum bahawa tentera rejim Basharlah yang menggunakannya. Tetapi ianya dinafikan oleh kerajaan, dan sebaliknya menuduh pihak pemberontak sengaja menggunakan gas beracun bagi memberi persepsi kepada dunia bahawa ianya sebenarnya dilakukan oleh tentera kerajaan. Akhirnya ia dijadikan alasan untuk melancarkan serangan terhadap Syria.

Kini masih belum terdapat bukti kukuh daripada analisa saitifik yang mengaitkan pihak-pihak yang terlibat dalam penggunaaan gas beracun itu. Tetapi Amerika Syarikat telahpun berada di Laut Mediterranean sebelum pengesahan diperolehi.

Namun apakah benar Amerika Syarikat dengan ikhlas ingin menyerang Syria disebabkan oleh penggunaan gas beracun ini yang didakwa digunakan oleh tentera Syria, ataupun mempunyai agenda tersirat iaitu untuk mengukuhkan kehadiran angkatan lautnya di Laut Mediterranean ?

Di samping mempercepatkan peralihan kuasa di Syria walaupun dalam apa cara sekalipun. Ia juga bagi mengukuhkan agenda barat di negara-negara Arab yang baru saja melepasi gelombang Arab Spring seperti Tunisia, Libya dan Mesir.

Diharapkan dengan pameran gajah dengan gajah, maka pelanduk-pelanduk di Syria akan beransur-ansur mengendurkan ketegangan. Lama kelamaan atas satu inisiatif antarabangsa diharap mereka akan dibawa ke meja rundingan. Jika berkeras juga maka hanya kehancuran saja yang akan menanti mereka.

Pihak pemberontak harus diberi peranan dalam sebuah kerajaan perpaduan di mana regim Bashar juga tidak dipinggirkan. Ini bermakna proksi AS dan Rusia masing-masing diberi tanggungjawab dalam sebuah dimensi baru kerajaan Syria.  Kestabilan hanya boleh diperolehi jika pihak dan sekutu masing-masing diberikan kuasa tertentu serta keadilan yang lebih seimbang.

Maka satu perlembagaan baru haruslah digubal dengan sistem demokrasi menjadi tunjang utama. Peralihan kuasa juga harus disertakan oleh peranan AS dan Rusia sebagai penjamin. Setelah terbentuknya kerajaan baru dan peralihan kuasa, maka peranan kuasa-kuasa asing haruslah dikeluarkan secara beransur-ansur.

Dengan ini akan menjamin air muka AS dan begitu juga Rusia. Penglibatan negara-negara Arab dalam membangunkan semula negara yang hampir musnah ini bolehlah dilakukan dengan menyalurkan bantuan terutamanya dari negara-negara Arab yang kaya. Daripada mengeluarkan belanjan AS$5  hingga AS$21 bilion untuk memusnahkan Syria, mengapa tidak ianya digunakan untuk kos pembangunan semula Syria.

Perlu diingat, kes kemusnahan Beirut, Lubnan semasa era perang saudara  antara lewat tahun 1970 hingga 1980an yang juga dicaturkan oleh Syria, Israel, Cruze, Sunni dan Syiah  satu ketika dahulu boleh dijadikan model, di mana kini Lubnan telah muncul sebagai sebuah kota yang indah dengan prospek kemajuan yang lebih baik. Ia membangun kembali dari tinggalan kemusnahan perang.

Maka kita mengharapkan satu Syria yang lebih baik terutamanya dengan peranan OIC dan Liga Arab serta Majlis Kerjasama Teluk yang akan membuahkan hasilnya yang positif. Di samping tidak menafikan peranan PBB dalam mencorakkan Syria sebagai negara yang berdaulat serta bebas dari cengkaman kuasa-kuasa asing.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

10.09.2013


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang hangat diperkatakan sekarang ! Klik pada imej.  : 



Nota 1 : 11.09.2013 - Petikan berita dari Utusan Malaysia

Bukti sahkan Syria lancar serangan kimia - HRW NEW YORK 10 Sept. - Tentera Syria kemungkinan besar adalah dalang di sebalik serangan menggunakan senjata kimia yang mengorbankan beribu-ribu orang di pinggir Damsyik pada bulan lalu, menurut Human Rights Watch (HRW) hari ini.

Laporan setebal 22 halaman yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi manusia itu merumuskan bahawa terdapat bukti 'kuat yang menunjukkan' tentera Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan itu. Laporan itu dikeluarkan selepas HRW menganalisis kenyataan saksi, maklumat daripada sumber serangan, sisa-sisa senjata yang digunakan dan mangsa serangan di Ghouta pada 21 Ogos itu.

"Sisa roket dan gejala dialami mangsa memberikan bukti kukuh tentang penggunaan senjata kimia. "Bukti ini dengan kuat menunjukkan bahawa tentera Syria melancarkan serangan roket yang dilengkapi dengan peledak kimia,

" kata Pengarah Kecemasan HRW, Peter Bouckaert. Menurut HRW, jenis roket dan pelancar yang digunakan dalam serangan itu turut dikenal pasti 'hanya dimiliki dan digunakan oleh' tentera Syria.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam melihat satu peluang kejayaan dalam krisis Syria selepas Rusia mencadangkan sekutunya itu menyerahkan senjata kimia mereka untuk dimusnahkan, sekali gus boleh menghentikan tindakan ketenteraan oleh AS.

Katanya, persetujuan Rusia untuk menyerahkan senjata kimia Syria untuk dikawal oleh antarabangsa mungkin tidak dapat menyelesaikan konflik dalaman di negara itu.

"Namun, jika usul itu dapat dilaksanakan tanpa mengambil tindakan ketenteraan, ia akan menjadi pilihan saya," kata Obama dalam temu bual dengan CNN. Pemimpin Parti Demoktratik di Dewan Senat, Harry Reid dalam pada itu menangguhkan undian berhubung campur tangan tentera oleh AS di Syria yang sebelum ini dijadual diadakan esok.

Menurut Reid, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang anggota dewan menilai cadangan Rusia tersebut. Beliau tidak memberikan tarikh baharu, tetapi menyatakan undian tetap akan diadakan pada minggu ini. - AFP/REUTERS

Post a Comment