Thursday, September 26, 2013

Gelora Wanita UMNO : Maznah lawan tokeh

Petang Sabtu 21hb September 2013, jam antara 4,40 – 4.45 petang mencetuskan gelora dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Ketika semua tumpuan ditujukan kepada penyandang jawatan iaitu Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil yang hanya berdepan dengan laluan mudah apabila yang sah menentang beliau ialah Raihan Sulaiman Palestin. 

Namun di minit-minit terakhir itu borang pencalonan dari wakil Senator Datuk Maznah Mazlan dihantar ke meja Urusetia Pencalonan. Tercetus hingar-bingar ! Sah pertandingan tiga penjuru antara Sharizat, Maznah dan Raihan !

Sebelum itu, hanya gendang kecil dipalu, memandangkan saingan daripada Raihan Sulaiman Palestin bukanlah dianggap sebagai satu perang.  Namun perubahan mendadak yang memperlihatkan kematangan Wanita UMNO Malaysia dalam usaha pencarian pemimpin yang dilakukan dengan bijaksana dan suasana kekeluargaan dalam sistem demokrasi telah mencapai kemuncaknya. Kini terpaksa langkah besar dipercepatkan, taboh rebana ubi dan pelbagai gendang bakal mewarnai dalam kempen perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia itu.

Namun demikian, kesemua mereka haruslah mendengar nasihat dan amanat Presiden parti agar berkempen secara berhemah. Biarpun pemimpin datang dan pergi, namum keutuhan parti dan semangat kekeluargaan haruslah diutamakan, yang menang tidak akan membolot semuanya, yang kalah tidak akan rugi segalanya. Ianya akan dilakukan dalam suasana menang-menang. Bertaut kembali setelah penentuan nakhoda ditentukan. Bersifat “gentlemen” dan akur jika kekalahan di mana-mana pihak. Ingatlah pertandingan bukannya berakhir dengan perpecahan tetapi bagi menguatkan lagi perpaduan dalaman parti.

Menyusuri pertandingan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO bagi UMNO (baru) selepas UMNO di”mati”kan dari segi teknikal berikutan perebutan jawatan Presiden parti antara Tun Dr.  Mahathir Mohammad dan Tunku Razaleigh Hamzah dahulu, jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia terus diungguli oleh Datuk Seri Rafidah Aziz buat sekian lamanya.

Perebutan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO mula dicabar oleh Datuk Dr. Zaharah Sulaiman pada tahun 1996 yang menyaksikan Siti Zaharah mengalahkan Rafidah Aziz dengan kelebihan 27 undi sahaja.  Ia merupakan kes pertama timbalan lawan tokeh dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Bagaimanapun Siti Zaharah tidak mampu untuk bertahan setelah Rafidah Aziz merampas semula jawatan itu empat tahun kemudiannya dengan kelebihan 12 undi sahaja ! Ini tercatit sebagai perebutan jawatan Ketua Wanita UMMO Malaysia yang paling sengit pernah dihadapi oleh Wanita UMNO.

Selama Rafidah menerajui Wanita UMNO Malaysia, beliau seolah-olah tidak meninggalkan bakal penggantinya dengan satu pelan transformasi yang licin. Tidak menentukan bilakah beliau sepatutnya berundur agar bakal penggantinya disiapsiagakan dengan kedudukan yang baik samada dari sudut parti maupun kerajaan. Malah beliau ingin terus menerajui Wanita UMNO Malaysia walaupun sokongan terhadapnya semakin menurun.

Maka lahirlah ketidakpuasan hati dari kalangan Wanita UMNO Malaysia sendiri, bahkan atas dorongan inginkan perubahan pemimpin maka Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menawarkan diri untuk bertanding melawan tokehnya. Ketika itu Sharizat yang menjadi timbalan kepada Rafidah akhirnya berjaya menumbangkan Rafidah pada pemilihan tahun 2009 dengan memperolehi 507 undi berbanding 280 yang diperolehi oleh Rafidah. Sejumlah undi yang amat selesa bagi menunjukkan sokongan terhadap Sharizat.  Rafidah tidakpun muncul ketika pengumuman keputusan. Mungkin kecewa atau dikatakan tidak “gentlemen”. Sejak itu Rafidah memencilkan diri.

Shahrizat, anak mummy Pulau Pinang membina kerjaya politiknya setelah beberapa lama bergiat dalam bidang perundangan dengan memiliki firma guaman sendiri. Kemudiannya beliau terjun ke dalam bidang korporat dan menempa sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Pengerusi di dua buah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. 

Dalam politik beliau merangkak selangkah demi selangkah yang akhirnya berjaya dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong dan dipilih menduduki barisan Exco Wanita UMNO Malaysia. Inilah platform beliau yang akhirnya diangkat sebagai Timbalan Ketua Wanita UMNO Malaysia di bawah Rafidah. Setelah Rafidah dilihat payah untuk berundur, maka Sharizat terpaksa berentap dengannya yang menyaksikan Rafidah kecundang.

Shahrizat  dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan setelah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai dalam tahun 1995 setelah mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohammad Salleh Abas yang mewakili Semangat 46 ketika itu.

Dalam PRU 1999, beliau berjaya mempertahankan kerusi Lembah Pantai dengan mengalahkan seorang peguam besar dari parti KeAdilan yang  pernah mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya iaitu Zainur Zakaria. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Selepas PRU 2004, Shahrizat dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini berikutan kemenangannya ke atas Dr. Sanusi Osman, Setiausaha Agong Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding atas tiket parti KeAdilan.

Semasa  tsunami politik Pak Lah, akhirnya Sharizat ditumbangkan oleh legasi Anwar Ibrahim sendiri iaitu Nurul Izzah dari PKR dalam PRU 2008. Ini berikutan dua cubaan proksi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Zainur Zakaria dan Dr. Sanusi Osman gagal menumbangkan Shahrizat dalam PRU 1999 dan 2004 di Lembah Pantai.

Shahrizat kembali ke Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga atas tiket senator menggantikan Datuk Dr. Ng Yen Yen sehinggalah beliau tamat tempuh penggal senatornya dan meletak jawatan sebagai menteri. Di akhir-akhir penggalnya, beliau tidak senang tidur lantaran pembabitan suaminya, Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail dalam kes Projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bernilai RM250 juta serta kaitannya dengan pembelian dua buah kondominium mewah.

Pada perkiraan Shahrizat, laluannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia tidaklah terlalu getir. Ini kerana pada awalnya yang bakal menentangnya ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said. Namun akhirnya Azalina mengambil pendirian untuk menarik diri setelah apa yang dikatakan sebagai “another arrangement” dibuat. Walaupun kita tidak tahu “betul atau tidak” ianya benar-benar berlaku, namun dalam suasana berkempen, kesemua elemen ini akan sentiasa menjadi satu tanda tanya.

Lagipun kelibat Azalina di dalam Wanita UMNO Malaysia bukanlah sesuatu yang menjadi isu, lantaran “kehadirannya” dalam kelompok kepimpinan tertinggi Wanita UMNO Malaysia seolah-olah tidak dialu-alukan. Yang menjadi tradisi kepimpinan Wanita UMNO Malaysia ialah mereka haruslah datang dari dalam Wanita UMNO Malaysia sendiri. Sedangkan Azalina selama ini hanyalah pinggiran sahaja ! Maka cabarannya jika menentang Sharizat, ia bukanlah satu tentangan yang hebat.

Setelah senyap dengan pengunduran Azalina, maka Shahrizat semacam mendapat semangat baru. Beliau melaungkan siapa saja boleh menentangnya dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Tidak semena-mena, Raihan Sulaiman Palestine menyambut cabaran Shahrizat. Ramai terpinga-pinga, siapa Raihan Sulaiman Palestine ?

Tetapi ramai yang masih mengingati siapa itu Sulaiman Palestine. Beliau adalah ultra Melayu Islam dalam UMNO pada era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn dahulu . Beliau sebagai pemidato yang berucap berapi-api terutamanya berhubung isu Palestine. Maka lekatlah namanya sebagai Sulaiman Palestine.

Semangat Sulaiman Palestine mengalir dalam tubuh Raihan. Kekentalan Sulaiman Palestine menentang Tun Hussein Onn untuk perebutan jawatan Presiden UMNO dalam perhimpunan Agung UMNO dalam tahun 1978 dianggap sebagai “berani mati”. Walaupun ketika itu beliau tidaklah dikenali sangat di peringkat pusat. Maka keberanian Raihan untuk menentang Shahrizat bolehlah dianggap sebagai ulang tayang versi kedua legasi Sulaiman Palestine.

Kebiasaannya yang menjadi cabaran kepada jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia adalah lahir daripada timbalannya. Namun dalam PRU 13 yang lalu, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim bertindak keluar parti bagi memprotes kepimpinan pusat kerana tidak memberikannya laluan untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Kangsar tetapi menawarkan kerusi DUN kepadanya. Akhirnya Kamilia hanyut bersama air Sungai Perak di Kuala Kangsar setelah menjadi calon bebas di parlimen Kuala Kangsar. Maka terdapat kekosongan bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia. Sekali lagi Sharizat terlepas dari kemungkinan dicabar oleh timbalannya.

Kamilia mendapat kedudukan sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia adalah disebabkan kegawatan dalam pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia antara Rafidah Aziz dengan Shahrizat. Malah cara Kamilia menawarkan diri untuk jawatan tersebut tidak disenangi oleh kebanyakan Exco Wanita UMNO Malaysia sendiri. Maka akhirnya Kamilia walaupun menduduki kerusi nombor dua dalam kepimpinan Wanita, tetapi beliau seolah-olah “lone ranger”. 

Kerakusan Kamilia untuk mencapai citi-cita politiknya dianggap terlalu tamak.  Dalam persepsi analisis politik, Kamilia mungkin mencaturkan bahawa Shahrizat tidak bertanding dalam PRU 13, maka sudah pasti kepimpinan pusat akan memberikan tiket kepada orang kedua dalam Wanita untuk bertanding bagi kerusi parlimen. Jika beliau menang, sudah tentu akan diangkat menjadi menteri, satu kedudukan yang menjadi impian setiap ahli politik. Tetapi kepimpinan pusat tidak berfikiran begitu kerana telah menyediakan “calon boleh menang” di parlimen Kuala Kangsar bagi menggantikan Rafidah Aziz.

Maka Kamilia disediakan kerusi DUN, namun Kamilia bertegas tidak menerima. Akhirnya yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran. Berkerat rotan dengan UMNO. Berkelana akhirnya. Itulah alkisah orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang.

Rupa-rupanya keriangan Shahrizat untuk melalui pertandingan mempertahankan kerusi Ketua Wanita UMNO Malaysia tidak berakhir dengan senyum lebar tetapi terpaksa menerima dengan senyum sinis apabila pencalonan Maznah Mazlan hadir di meja Urusetia Pencalonan di minit-minit terakhir sebelum penutupan pencalonan sekitar jam 4.40 – 4.45 petang pada hari Sabtu 21hb  Sepetember 2013. Borang pencalonannya dihantar oleh wakilnya, Mohamad Baba.

Kita mengenali Maznah Mazlan sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia yang juga anggota DUN Muadzam Shah, Pahang. Diangkat ke pusat dengan tiket Senator serta dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia sehingga April tahun ini.

Di peringkat negeri, Maznah amat cemerlang sebagai exco kerajaan Negeri Pahang dengan jawatan terakhirnya sebagai Exco Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Kesenian dan Warisan. Dalam politik, beliau adalah Ketua Wanita UMNO Rompin dan Ketua Wanita UMNO Pahang. Maka dengan kedudukan itu, sebenarnya pertandingan bagi perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia bolehlah dikatakan antara Sharizat dan Maznah. Manakala Raihan sebagai kacau daun sahaja !

Menurut yang empunya tubuh, keputusan untuk bertanding bukan dibuat atas dorongan pihak tertentu tetapi ianya diilhamkan secara spontan pada jam 12 tengahari pada hari penamaan calon ketika beliau berada di Rompin, Pahang. Namun ramai yang mengaitkan keputusan beliau itu sebagai proksi Rafidah Aziz yang kalah kepada Shahrizat dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam pemilihan tahun 2008/2009 dahulu. Di mana Maznah adalah berada dalam regu Rafidah Aziz. 

Sesungguhnya keputusan beliau untuk mencabar Shahrizat sebagai satu lambang kematangan dalam Wanita UMNO Malaysia bagi pencarian pemimpin. Ia bukan dikatakan merendahkan kepimpinan sekarang, tetapi setiap pemimpin dan gaya kepimpinan ada perbezaan dan tentunya ada ruang untuk pembaikan demi parti amnya dan Wanita UMNO khasnya. Oleh itu cabarannya terhadap Shahrizat bukan satu pertarungan hidup mati, tetapi dalam proses kematangan Wanita UMNO untuk diikuti oleh cawangan dan bahagian serta di pusat.

Dari segi umur, mereka hampir sebaya. Malah menceburi UMNO dalam usia yang hampir sama. Cuma perbezaan latar belakang dan pengalaman di peringkat pusat yang membezakannya.

Berbeza dengan perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia antara Rafidah Aziz dengan Shahrizat dahulu, di mana dilihat Rafidah Aziz begitu liat untuk melepaskan jawatan yang disandang begitu lama serta tidak menyediakan pelan transformasi yang tersusun bagi timbalannya untuk mengambilalih jawatan. Sehinggalah di saat-saat terakhir barulah diadakan pelan antara kem Rafidah dan kem Sharizat bagi mengendurkan ketegangan. Namun Kamilia berdegil dan ingin terus menawarkan diri untuk jawatan Naib Ketua Wanita UMNO dan memaksa Shahrizat meneruskan perjuangan menentang tokehnya.

Kini ulang tayang hampir menyerupai pertandingan antara Rafidah-Shahrizat yang kini beralih kepada Shahrizat-Maznah. Mungkin Shahrizat juga memikirkan bahawa beliau tidak lagi mengimpikan jawatan menteri yang telahpun dipegangnya. Dan keputusannya tidak bertanding dalam PRU 13 dahulu bertujuan bagi mengukuhkan parti. Maka setelah parti didapati kukuh, maka Sharizat akan berbangga “bersara” sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia dengan menyediakan pelan transformasi kepada timbalannya atau orang-orang yang boleh diharapkan. Malah inilah yang dikejarkannya dulu apabila Rafidah begitu liat untuk menyediakan barisan pelapis. 

Maka ini juga tentunya dalam perkiraaan Maznah. Shahrizat tidak begitu tamak seperti Kamilia. Dalam perkiraan saya dan mungkin juga Maznah, bahawa Sharizat akan menamatkan penggal terakhirnya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia sebaik saja selepas penggal kali ini. Maka di penggal akan datang tentunya jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia akan didapati kosong.

Melihatkan kepada potensi dalam exco Wanita UMNO Malaysia sendiri, kedudukan Maznah adalah yang paling menonjol untuk diketengahkan sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia di penggal berikutnya. Jadi dalam perkiraan saya, Maznah ada dua misi.

Pertama, perebutannya sebagai calon Ketua Wanita UMNO Malaysia adalah sebagai platform untuknya menonjolkan diri sebagai calon untuk dipilih di masa akan datang, sekalipun tewas dalam percubaan pertamanya. Secara tidak langsung meningkatkan imej beliau. Ini memandangkan beliau sendiri tidak kurang hebatnya dari segi kepimpinan kerajaan maupun dalam parti. Sekurang-kurangnya beliau sudah ada track record untuk dipertimbangkan nanti. Jika menang ke atas Shahrizat adalah satu bonus kepada beliau.

Kedua, melihatkan kepada barisan calon-calon yang akan bertanding sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia masih tidak diyakini oleh akar umbi sebagai pemimpin nombor satu Wanita sekiranya betul Shahrizat ingin bersara di penggal akan datang.

Kini calon-calon yang sah bertanding ialah Exco Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaakob dan Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Azizah Mohd Dun yang juga merupakan ahli Parlimen Beaufort, Sabah. Kedua-duanya memerlukan masa yang lama untuk bergerak di peringkat kerusi nombor dua dalam Wanita UMNO Malaysia.  Jadi sudah tentu dari segi senioriti, jika Maznah menawarkan diri untuk bertanding di pemilihan akan datang sebagai Ketua Wanita UMNO, jika ditakdirkan tewas kali ini, maka peluangnya adalah amat luas.

Saya percaya jika ditakdirkan Maznah tewas kerana dari segi populariti di akar umbi dan penampilan serta pengalaman mungkin Maznah sukar untuk menyaingi Sharizat. Lagipun Shahrizat tidak terpalit dengan apa-apa kesalahan besar yang memungkinkan beliau ditolak oleh perwakilan. Cuma orang-orang akan cuba mengaitkan pembabitan suami beliau dengan NFC, namun Shahrizat masih dikira bersih.

Wanita UMNO masih sayangkan Shahrizat secara umumnya dan beliaupun tidak seperti Rafidah yang begitu liat untuk berkompromi bagi menyediakan barisan pelapis. Dan maka dengan itu beliau akan diberikan untuk sepenggal lagi. Dan jika Shahrizat berjiwa besar ingin menyatakan inilah penggal terakhirnya maka peluang transformasi kepimpinan dapat dilakukan sebelum tamat tempuh penggalnya nanti.

Jika Maznah tewas, tetapi beliau haruslah diangkat kembali menganggotai kepimpinan Wanita UMNO Malaysia agar beliau dapat diberikan tugas-tugas sebagai barisan pelapis yang memungkinnya menjawat Ketua Wanita UMNO Malaysia selepas Shahrizat.

Jika ini dapat dilakukan, maka Wanita UMNO akan tentu dapat menyediakan satu gerak kerja yang amat besar bagi membantu Pergerakan Pemuda UMNO dan UMMO Malaysia serta Barisan Nasional khasnya dalam menghadapi PRU 14 nanti.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

26.09.2013


Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment