Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Saturday, September 21, 2013

Calon-calon Saingan Kerusi Naib Presiden UMNO

Saingan semakin sengit bagi perebutan tiga kerusi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Disember  di PWTC nanti. Kini yang menyandang kerusi Naib Presiden UMNO ialah Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafei Apdal.

Yang menawarkan diri untuk menduduki kerusi ini termasuklah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Mohd Rustam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan akhir sekali legasi Tun Dr. Mahathir iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Sebelum kita membuat analisa dan sejauh mana “kebolehpasaran” mereka dalam memikat   ahli-ahli UMNO untuk mewakili mereka terutamanya sebagai barisan pelapis UMNO khasnya dan Barisan Nasional amnya serta kepimpinan negara keseluruhnnya.

Eloklah kita meneliti profil setiap calon-calon yang bakal mewarnai pemilihan UMNO kali  ini.

Dato' Seri Dr.  Ahmad Zahid bin Hamidi

Dilahirkan pada 1953 di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak. Mendapat pendidikan awal di kampong kelahirannya dan kemudian menyambung persekolahan menengah di Sekolah Menengah Agama Izudin Shah, Ipoh. Berkelulusan bidang sastera dari universiti Malaya. Kemudiannya memperolehi Certificate in Banking dan Diploma in Marketing Communication. Lulusan Sarjana dari UPM dalam bidang Komunikasi Korporat serta memperolehi PhD dari UPM.  

Latar belakang beliau dalam korporat seperti menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (1995-1998) dan pada tahun 1999 menjadi Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Dalam kerjaya politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.  Dan semasa itu juga beliau ditahan mengikut ISA kerana menyokong kegiatan Reformasi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau kembali ke persada kepimpinan UMNO dalam tahun 1999. Selepas PRU 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi. Setelah memenangi kembali kerusi Parlimen Bagan Datoh dalam PRU 2008, beliau dilantik menjadi menteri penuh sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan kemudiannya sebagai Menteri Pertahanan dalam tahun 2009. Kini menyaksikan beliau bertukar kementerian dengan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dengan mengambilalih Kementerian Dalam Negeri.

Dalam kepimpinan tertinggi Ummo, beliau memenangai kerusi MT dalam tahun 2000 dengan memenangi undi kelima tertinggi. Selangkah demi selangkah, beliau akhirnya memenangi kerusi Naib Presiden Umno dalam Pemilihan Agung UMNO yang lalu. Kini Beliau berdepan dengan lima lagi calon yang akan berentap bagi mempertahankan kerusi tersebut dalam pimilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2013 nanti.


Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein

Dilahir dalam tahun 1961 yang merupakan anak kepada Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn serta cucu kepada Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO dalam tahun 1946 dahulu. Legasi politik Malaysia untuk generasi ketiganya.

Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar dan memperolehi ijazah Undang-undang dalam tahun 1984 dan kemudiannya ke pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-undang Komersil dan Korporat dari England.

Dalam politik, pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor sebelum meniti ke Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Bermula dengan kerusi Parlimen Tenggara dan kini mengekalkan kerusi Parlimen Sembrong, Johor setelah persempadanan semula kawasan pilihanraya. Dalam kepimpinan tertinggi UMNO, beliau berjaya dalam usaha pertamanya menduduki kerusi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan yang lalu.

Dalam kabinet, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 1995.  Kemudiannya sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1997. Sejak tahun 1999 hingga 2004 pula, memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Selepas PRU  2004, beliau mempunyai tanggungjawab sebagai Menteri Pelajaran. Kemudian beralih ke Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan akhir sekali bertukar kemenenterian dengan Dato’ Seri Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan.


Datuk  Seri Shafei Apdal

Dilahirkan di Semporna, Sabah dalam tahun 1957.  Beliau memperolehi Diploma dalam Pengurusan Perkapalan dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian dari England.

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Ahli Ekonomi dalam Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 1982 dan kemudian ke Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah untuk memegang jawatan Pegawai Pentadbir Kanan. Kemudiannya sebagai Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah.

Dari tahun 1991 - 1993, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Datuk Hj. Sakaran bin DandaiMenteri Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Pembabitannya dalam politik bersama USNO dalam tahun 1900. Ketika USNO dibubarkan dan UMNO mula bertapak di Sabah, beliau terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO Sabah.  Pada tahun 1995 beliau telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Semporna dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah. Antara tahun 1996-2003, beliau adalah ahli MT UMNO. Dalam perhimpunan UMNO tahun 2009, beliau berjaya merebut salah satu kerusi Naib Presiden UMNO.

Pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan dan kemudiannya sebagai Timabalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan antara tahun 1999-2004.

Dilantik sebagai menteri penuh bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunana. Sebelum menerajui Kementerian Pembanguan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah masa kini, beliau adalah menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.



Datuk  Seri Ali Mohd Rustam

Dilahirkan dalam tahun 1949 di Kampong Bukit Katil, Melaka. Menerima pendidikan awal di tempat kelahirannya dan kemudian ke Sekolah Tinggi Melaka. Memperolehi ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari USM pada tahun 1984.

Berasal daripada perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Pengarah dan kemudiannya Pengarah KEMAS yang membawanya menjelajah ke Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan akhirnya kembali ke Melaka.

Karier politiknya bermula pada tahun 1984 apabila diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Pada PRU tahun 1986, beliau bertanding untuk kerusi DUN Ayer Molek dan seterusnya sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar. Di peringkat negeri, beliau juga pernah memegang jawatan exco Perindustrian, Sains dan Teknologi.

Beliau mula dibawa ke pusat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan setelah memenangi kerusi parlimen Batu Berendam dalam PRU 1995. Kemudiannya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dalam satu rombakan kabinet.

Beliau kembali ke DUN dengan memenangi kerusi Paya Rumput dan dilantik sebagai Ketua Menteri dalam PRU 1999. Berbekalkan perancangan dan kesinambungan daripada pemimpin awal di Melaka, maka Datuk Seri Ali Mohd Rustam telah mencernakan Melaka dengan pelbagai visi dan misi yang meletakkan Melaka sebagai Negeri Maju menjelang 2010. Sehingga kini Melaka walaupun diketahui tidak banyak sumber asli dan keluasan tanah pertanian yang terhad, tetapi Melaka kini muncul sebagai destinasi pelancungan yang unggul di Malaysia dan di persada dunia.

Beliau telah hilang kelayakan bertanding sebagai calon Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun 2009 setelah Lembaga Disiplin UMNO mendapati beliau melanggar tataetika parti. Akhirnya jawatan ini dipertandingkan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin memenanginya.

Tan Sri Dato’ Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad

Dilahirkan di Melaka dalam tahun 1949 dan mendapat pendidikan awal di Port Dickson. Kemudiannya ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan kemudiannya memulakan karier sebagai guru.

Tan Sri Isa memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi DUN Linggi dan dilantik sebagai exco.  Beliau pernah bertanding mencabar Tan Sri Rahim Tamby Chik dalam tahun 1993 untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia tetapi tewas.

Di peringkat yang lebih tinggi, beliau juga kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO dalam tahun 2000. Namun beliau berjaya mendudukinya bagi penggal 2004-2007. Tetapi kemudiannya didapati bersalah melanggar disiplin parti berhubung amalan politik wang dalam pemilihan tahun 2004. Beliau digantung keahlian UMNO sehingga tahun 2008.

Tan Sri Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 1982-2004 selama 22 tahun. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2005 apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO.  Kini beliau adalah Pengerusi Felda.



Datuk Mukhriz Tun Mahathir

Datuk Mukhriz Tun Mahathir adalah calon termuda dalam perebutan kerusi Naib Presiden UMNO dan yang terakhir mengumumkan pencalononnya.  Berumur 49 tahun dan merupakan satu-satunya legasi Tun Mahathir dalam politik.

Pendidikan menengahnya ialah di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan. Kemudiannya Tun Mahathir telah menghantarnya ke Jepun untuk mendalami pengajian di bidang pentadbiran perniagaan. Ini sesuai dengan Dasar Pandang Ke Timur oleh Tun Mahathir. Beliau juga memperolehi Sarjana dalam bidang pemasaran di Boston, Amerika Syarikat.

Di bidang korporat, beliau memulakan karier di Bank of Tokyo sebagai perunding.  Setelah kembalinya ke Malaysia, beliau memulakan karier sebagai ahli perniagaan.

Dalam politik, Mukhriz bermula dengan memenangi jawatan exco Pemuda UMNO Malaysia dalam tahun 2004. Dalam tahun 2006 menjadi Ketua Bahagian UMNO bahagian Kubang Pasu, yang diwarisi dari Tun Mahathir sejak sekian lama.

Dalam PRU 2008, beliau bertanding di Parlimen Jerlun dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Mukhriz kembali ke negeri Jelapang Padi untuk bertanding di DUN Ayer Hitam  dalam PRU 2013 dan memenanginya. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah setelah mengalahkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul razak.  



Gendang Pemilihan Agung UMNO Bermula

Pemilihan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 2-7 Disember 2013 nanti merupakan satu titik sejarah baru dalam UMNO kerana ia dianggap amat penting sebagai survival parti dan orang-orang Melayu setelah menerima asakan yang amat dahsyat dalam PRU 13. Ia juga merupakan tempat untuk memilih saf yang akan memimpin UMNO khasnya dan Barisan Nasional amnya dalam menghadapi PRU 14 nanti.

Setelah kita melihat Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding, maka hariki parti yang ketiga ialah memilih tiga orang Naib Presiden untuk diisi. Ketiga-tiga Naib Presiden kini ditentang oleh tiga muka-muka yang amat favourite dalam kepimpinan UMNO. Maka lahirlah pertandingan enam penjuru bagi memilih tiga calon yang memperolehi undi teratas bagi kerusi Naib Presiden UMNO.

Setelah meneliti enam profil calon-calon bagi kerusi Naib Presiden UMNO, manakah satu pilihan anda ? Anda tidak semestinya seorang ahli UMNO ataupun yang menjadi perwakilan dalam pengundian itu nanti. Mungkin anda seorang rakyat biasa atau menjadi ahli bagi parti-parti lain juga, mungkin akan berminat untuk mengetahui siapa yang bakal menduduki kerusi itu nanti.

Kerana melihatkan kepada senario politik hari ini, UMNO pasti akan mencorakkan pentadbiran negara di masa akan datang. Jadi pemilihan Naib Presiden UMNO bolehlah dilihat sebagai memilih bakal pemimpin negara.


Pilihan Penulis

Mungkin ramai yang setuju, Dato' Seri Dr.  Ahmad Zahid bin Hamidi adalah calon favourite yang akan menduduki undi teratas. Ini berdasarkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin pelapis yang diyakini boleh bekerjasama dengan kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden Parti.

Maka siapa pula yang akan menghuni undi kedua dan ketiga teratas ? Ini akan dicaturkan oleh lima calon-calon lain berdasarkan kredibiliti masing-masing.

Pada pandangan saya, yang pasti akan terkeluar dari ketiga-tiga calon yang mempertahankan kedudukan kerusi Naib Presiden ialah Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein. Maka kita akan ada empat lagi calon yang bakal berentap. Jika diikutkan teori Mathematik, kesemua mereka memperolehi 50 peratus peluang untuk dipilih.

Antara Dato’ Seri Shafei Apdal, Dato’ Seri Ali Mohd Rustam, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Mukhriz masing-masing ada peluang. Tetapi mengikut pertimbangan saya, yang akan menghuni tangga kedua dan ketiga ialah Dato’ Seri Ali Mohd Rustam dan Dato’ Seri Shafei Apdal.

Mengapa saya membuat pilihan begitu ?

Saya terpaksa membuat “penyingkiran” seperti dalam pertandingan realiti TV berdasarkan kriteria calon-calon dan melihat kepada senario politik serta sokongan akar umbi di peringkat sokongan asas serta sokongan yang diperolehi dari seluruh negara.

Melihatkan Datuk Mukhriz adalah calon yang paling muda dan masih belum boleh diketengahkan dalam hariki kepimpinan negara berbanding calon-calon  lain yang lebih senior. Lagipun Mukhriz masih punyai masa yang panjang untuk mencuba jika tidak terpilih kali ini. Jika tewas, Mukhriz masih lagi menduduki kelompok MT sebagai ahli MT automatik kerana menduduki jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Ia tidak lebih sebagai test market untuk menguji di mana kedudukan beliau ! Orang politik memang membuat percaturan begitu !

Setelah ditolak Mukhriz, kita mempertimbangkan antara Dato’ Seri Ali Rustam, Dato’ Seri Shafei Apdal dan Tan Sri Isa Samad. Saya melihat Tan Sri Isa Samad ingin mencuba untuk kali terakhir setelah kehilangan jawatan yang sama kerana terpaksa akur dengan peraturan parti yang menggugurkannya dari jawatan Naib Presiden UMNO yang dimenanginya pada pemilihan tahun 2004 dahulu.

Walaupun telah memenangi kerusi Parlimen Jempul dengan mengalahkan penyanyi Aisyah dalam PRU 13 dahulu, tetapi beliau tidak diberikan sebarang kedudukan dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.  Namun sebagai membalas jasanya, beliau diberikan jawatan sebagai Pengerusi FELDA. Untuk beliau pergi lebih jauh dalam kepimpinan tertinggi parti, dirasakan agak sukar untuk menungkah anak tangga di usia yang telah menjangkau 64 tahun !

Lagipun kepimpinannya di peringkat pusat dalam kabinet dahulupun  tidak sampai dua tahun walaupun telah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun. Kes Tan Sri  Ramli Ngah Talib yang menjadi Menteri Besar Perak selama 16 tahun tetapi apabila diangkat ke pusat hanya menduduki kerusi Timbalan Menteri Pengangkutan bolehlah dijadikan iktibar. Jika gah di peringkat negeri tidak semestinya diangkat sebagai pemimpin di peringkat pusat. Lagipun masa telah berubah, Tan Sri Isa Samad harus menerima realiti ini.

Dato’ Seri Shafei Apdal harus diberi kedudukan dalam hariki kepimpinan sebagai Naib Presiden UMNO bukan sahaja atas kapasiti beliau yang cemerlang dalam kepimpinannya samada dalam parti maupun sebagai menteri kabinet pusat. Atas pertimbangan yang sama, maka Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga menarik diri bagi pencalonan jawatan yang sama bagi mencerahkan peluang wakil Sabah dalam kepimpinan UMNO.  Sudah tentu undi Sabah akan tetap memihak kepada beliau.

Dari dari federalisma, peranan UMNO Sabah adalah amat penting dalam penentuan survival UMNO keseluruhannya. Ini dibuktikan dengan kesetiaan orang-orang Sabah memberikan undi kepada BN semasa PRU 13 dulu. UMNO tidak ingin bermain sentimen dengan menolak peranan dan kepimpinan orang-orang Sabah dalam UMNO pusat. Maka atas sifat itu, dipercayai para perwakilan akan mengundi Dato’ Seri Shafei Apdal dalam menentukan kedudukannya dalam barisan Naib Presiden UMNO.

Saya menjangkakan Dato’ Seri Ali Mohd Rustam akan menduduki tangga kedua teratas dalam pemilihan Naib Presiden UMNO nanti. Setelah berjaya membawa Melaka ke arah negeri kecemerlangan maka beliau sepatutnya telahpun menduduki kerusi penting dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak selepas PRU 13 dahulu. Namun tsunami politik melanda lagi dengan kekalahannya di tangan calon PKR yang mana beliau merasakan kekalahannya disebabkan undi Cina yang berpaling tadah. Maka Melayu khususnya UMNO harus menaikkannya kembali ke pusat.

Kini dengan ketiadaan jawatan kerajaan di peringkat negeri dan pusat maupun parti, maka kita merasakan telah mensia-siakan kredibiliti seorang pemimpin besar yang terpaksa menerima hakikat pertandingan dalam pilihanraya  telah hampir memusnahkan karier politiknya. Namun saya percaya, para perwakilan akan berfikiran waras bahawa Dato’ Seri Ali Mohd Rustam harus diberikan peranan yang lebih besar dalam kepimpinan UMNO dan negara.

Bukan itu sahaja, saya percaya beliau akan diangkat sebagai Senator selepas ini. Jika MCA masih lagi tidak mahu menduduki kerusi Menteri Pengangkutan  seperti yang telah di”reserve”kan untuk MCA, yang kini jawatan itu dipangku oleh Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein, maka ada kemungkinan jawatan ini akan diberikan kepada Dato’ Seri Ali Mohd Rustam. Kita jangan lupa yang beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dalam tahun 1995 ketika beliau pertama kali diangkat sebagai anggota kabinet pusat.

Kesemua ramalan di atas adalah “permainan atas kertas”, adakah ia akan diterjemahkan dalam realiti sebenar ? Hanya para perwakilan yang mengundi sahaja yang akan menentukannya.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
21.09.2013



Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.



Ini adalah sebahagian daripada artikel-artikel mengenai politik yang disyorkan untuk anda ! Anda boleh membaca lebih banyak lagi artikel-artikel lain yang berkaitan di dalam blog ini.


Post a Comment