Monday, August 12, 2013

Pemansuhan Ordinan Darurat punca kejadian tembak gunakan senjata api makin berleluasa

Mengerikan ! Nyawa berada di hujung senjata api ! Itulah persepsi kebanyakan rakyat Malaysia yang tersintak dengan gejala tembak-menembak yang berlaku dalam beberapa bulan ini. Tetapi benarkah situasi itu di luar kawalan pihak keselamatan negara ? Maka kita tiba-tiba dikejutkan dengan satu-demi satu kes yang terpampang di kaca-kaca TV maupun di dada-dada akhbar.

  

Malah menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak 90 peratus kejadian jenayah berat kebelakangan ini terutamanya kes bunuh dilakukan bekas tahanan penjara Simpang Renggam yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat.
  
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara memahami permasalahan polis yang disifatkan beliau sebagai ‘tidak bergigi’  selepas ordinan itu dihapuskan.

 Polis menghormati transformasi undang-undang tetapi Jabatan Peguam Negara juga tidak seharusnya melihat aspek perundangan semata-mata sehingga terlepas pandang kaedah membanteras jenayah.

Ini yang pentingnya kerana akta yang ada ketika ini hanya memperuntukkan undang-undang dan hukuman terhadap pesalah jika kejadian jenayah sudah pun berlaku. Sedangkan kita semua menuntut agar PDRM menangani jenayah-jenayah berat ini dengan lebih berkesan lagi. Apa lagi mekanismenya sekarang dari aspek penahanan pencegahan?

Maka Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia berharap akta baru yang bakal menggantikan Ordinan Darurat kelak perlu mempunyai unsur menyamai ordinan itu sekalipun tiada penangkapan pencegahan. Ini berikutan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak menyokong sebarang pembentukan undang-undang yang membenarkan penahanan untuk pencegahan (preventive detention).


< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my


 Menurut Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun tidak dipersetujui oleh beberapa pihak, apa yang penting dalam sebarang perundangan ialah perlu ada keseimbangan dalam melindungi hak individu, di samping menjaga kepentingan masyarakat. Ia juga perlu memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.
  
Selain pandangan umum, maka pandangan polis, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam juga perlu diambil kira.
  
Polis juga berpendapat perkara ini juga menyentuh keperluan saksi hadir dan memberi keterangan di mahkamah ketika pendakwaan dilakukan. Masalah utama kes tembak tidak dapat diselesaikan adalah kerana saksi takut untuk tampil bekerjasama sehingga membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
  
Saksi takut kerana bimbang akan menerima ancaman atau balas dendam oleh ahli kumpulan yang terlibat. Undang-undang yang ada sekarang memerlukan saksi memberi keterangan di mahkamah dan tentu sekali membuka peluang kepada penjenayah mengenal mereka.  Sekarang ini disebabkan saksi enggan memberikan keterangan di mahkamah maka penjenayah-penjenayah semakin berani untuk melakukan jenayah yang radikal serta agresif seperti tembak-menambak yang berleluasa sekarang.

 Oleh itu kita memerlukan undang-undang yang menyamai Ordinan Darurat yang boleh memberi kuasa untuk merakam keterangan saksi dan mereka tidak perlu hadir ke mahkamah.

Kesan daripada pemansuhan Ordinan Darurat, penahanan suspek-suspek bagi kes-kes baharu yang dahulunya disiasat di bawah Ordinan Darurat 1969 tidak lagi dapat dijalankan. Malah, suspek-suspek yang sedang ditahan terpaksa dibebaskan walaupun tempoh tahanan masih belum tamat.



Ketika pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dikuatkuasakan pada 21 Jun 2012, hampir 1,500 orang ditempatkan di empat pusat tahanan di seluruh negara iaitu di Simpang Renggam dan Muar, Johor; Batu Gajah, Perak dan Machang, Kelantan. Selain itu, hampir 2,500 orang yang menjalani hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad 1933.

Itu tidak masuk lagi kes-kes membabitkan kira-kira 300 orang yang sedang menunggu untuk ditangkap dan dalam proses mendapatkan perintah penahanan ke atas mereka sebelum dihantar ke pusat-pusat tahanan berkenaan. Kes-kes tersebut akhirnya diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lagi’ (NFA).

Menurut perangkaan polis, kes jenayah kekerasan yang dilakukan oleh bekas tahanan Ordinan darurat sepanjang enam bulan pertama tahun ini telah meningkat sekali ganda menjadikannya 67 kes  berbanding 33 kes dalam tahun 2012.

Antara jenayah kekerasan yang dilakukan mereka seperti membunuh dan cubaan membunuh, samun bersenjata, ugutan jenayah termasuk merusuh.

Walaupun alamat bekas tahanan itu diserahkan kepada polis, namun tidak ada undang-undang yang memberi kuasa kepada polis untuk mengarah atau memastikan mereka kekal menetap di alamat berkenaan. Ini kerana selepas dibebaskan, mereka juga perlu mencari pekerjaan dan berpindah.  

Tambahan pula, pada pandangan masyarakat, siapakah yang berani menggaji bekas tahanan ini, maka demi kelangsungan hidup mereka terpaksa kembali melakukan pekerjaan lama dengan terbabit dengan jenayah. Ada sebahagian pula kembali menganggotai kongsi gelap atau sebagai pembunuh upahan bagi pihak-pihak yang berkepentingan dalam perniagaan. Ia mungkin juga mensasarkan pegawai-pegawai kerajaan yang sering menggagalkan urusan perniagaan haram atau apa-apa transaksi yang menyalahi undang-undang.

Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  : 

Setelah berkumpulnya mereka dalam kumpulan-kumpulan tertentu, maka gerombolan penjenayah ini kembali merebut kawasan untuk kembali berkuasa. Maka akan berlakulah pertelingkahan sama sendiri yang pastinya melibatkan penggunakan senjata api. Ini berlaku terutamanya dalam urus niaga dadah.

Berikut adalah senarai jenayah tembak-menembak yang berlaku dalam beberapa bulan ini sehinggalah ke tarikh catatan ini ditulis :


Tarikh TempatMangsaMaklumat
9/8/2013ChemorSeorang cedera parahSeorang lelaki Cina cedera parah ditembak ketika memandu di Taman Klebang Putra, dekat Chemor. Suspek menaiki motorsikal menghampiri kereta mangsa dan melepaskan sekurang-kurangnya 6 das tembakan.
9/8.2013Pulau PinangSeorang cedera parahSeorang ‘bouncer’ di sebuah pusat hiburan cedera parah di paha akibat ditembak oleh seorang suspek yang memakai topi keledar. Ketika itu beliau baru turun dari kereta BMW yang dipandunya. Polis mensyaki ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.
9/8/2013Pulau PinangTiada kecederaan dilaporkanSebuah keluarga Cina di Pulau Tikus, Pulau Pinang dikejutkan daripada tidur dengan 6 das tembakan di luar kediaman mereka. Tembakan hanya mengenai bahagian rumah mangsa sahaja.
9/8/2013Kuala LumpurSeorang cedera di pahaSeorang pemandu teksi cedera di tapak tangan dan paha selepas tertembak diri sendiri dengan pistol yang didakwa dijumpai dalam beg sandang di tempat belakang duduk kenderaannya. Dia tertembak diri sendiri ketika cuba mengeluarkan kelongsong peluru dari senjata terbabit.
9/8/2013Kubang PasuSeorang cedera parahSeorang anggota tentera, Mohd Azamuddin Azizan cedera parah terkena tembakan dipercayai dilepaskan oleh penyeludup ketika membuat rondaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.
7/8/2013George TownSeorang matiVeerappan Kanapathi ditembak mati di persimpangan lampu isyarat di Jalan Anson, George Town oleh dua orang lelaki bermotorsikal. Mangsa mempunyai tiga rekor jenayah berkaitan Akta Dadah Merbahaya.
4/8/2013Kota BharuSeorang mati dan seorang cederaAmirul Tajo Nasir, seorang penoreh getah maut ditembak di sebuah kedai makan di Pasir Putih manakala seorang wanita cedera. Ia dikaitkan dengan urus niaga dadah.
1/8/2013Kuala LumpurSeorang cedera parahWong Foo Yui, seorang pekerja kedai emas ditembak dua individu bermotorsikal di Pandan Indah ketika mangsa memperlahankan kenderaannya menghampiri persimpangan
31/7/2013 Parit Buntarseorang matiN. Jeevandran, yang dikehendaki polis kerana mempunyai empat rekod jenayah lampau mati ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang kemudian melarikan diri.
29/7/2013 Bukit Mertajamseorang tercederaG Santhanasamy, cedera di betis ditembak di persimpangan lampu isyarat.
29/7/2013Kuala Lumpurseorang mati dan seorang tercederaPengasas Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi, 75, ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur manakala isterinya cedera . Seorang lelaki Cina bersenjata menuju ke arah mereka dan melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan Hussain Ahmad terbunuh di tempat kejadian .
29/7/2013Ipohseorang mati dan dua orang tercederaJasrafveenderjeet Singh, mati di akibat terkena tembakan di leher, manakala dua lagi mangsa cedera. Mangsa-mangsa sedang minum di restoran dekat Kampung Simee bersama kawan dan dua lelaki bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
27/7/2013Jempolseorang tercederaPengerusi badan pemantau jenayah, Mywatch Sri Sanjeevan Ramakrishan ditembak dekat Bahau, Negeri Sembilan. Mangsa ditembak oleh dua lelaki kaum India ketika sedang memandu kereta jenis BMW.
26/7/2013 Temerlohseorang tercederaSeorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut.
24/7/2013Kluangseorang tercederaSeorang lelaki cedera parah ditembak di bahagian badannya di kawasan tempat letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang. Mangsa yang baru selesai berjoging didatangi suspek ketika dia sedang menaiki keretanya.
19/7/2013Semanggolseorang matiSeorang lelaki ditemui mati dipercayai ditembak dalam kejadian bunuh di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol.
18/7/2013 Kulimseorang matiSeorang guru K. Shanmugan, mati terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaannya ketika berhenti di lampu isyarat.
15/7/2013Kampardua orang tercederaDua beranak parah ditembak ketika sedang berehat selepas berbuka puasa dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman Sejahtera, mangsa berusia 51 tahun bersama anak lelakinya, 13 tahun, cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua perompak yang memecah masuk kediaman mereka.
12/7/2013 Pulau Pinangseorang tercederaSeorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa selepas ditembak seorang lelaki ketika dia menemani bapanya berjumpa rakan.
8/7/2013Bachokseorang matiGuru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, Hashim Mat Zin, 43, mati selepas terkena tiga das tembakan di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu. Kereta yang dipandu terbabas dan terhenti di halaman sebuah rumah.

4/7/2013Pulau Pinangseorang matiKuganeswaran ditembak dari jarak dekat oleh dua suspek yang memakai topi keledar dengan melepaskan empat das tembakan.
4/7/2013Pasir Masseorang tercederaSeorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher.
14/6/2013Kuala Kurauseorang tercederaSeorang peniaga, Lim Kong Hai cedera parah di bahagian perut setelah ditembak dalam kejadian samun berhampiran Stesen Bas Kuala Kurau.
6/6/2013Muarseorang matiMayat Tan Chai Heng ditemui terbaring tidak jauh dari rumahnya. Dipercayai ditembak dengan senjata pistol dari jarak dekat.
4/6/2013Taipingseorang mati dan seorang tercederaSeorang pemilik bengkel kereta Govindaraju @ Murthy mati sementara rakannya cedera selepas ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya. Suspek dipercayai telah melepaskan tiga das tembakan.
29/5/2013Sungai BuluhSeorang cedera parahSeorang ahli perniagaan parah ditembak tujuh kali oleh dua lelaki bermotosikal di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh.
25/5/2013Pasir PutihSeorang matiSeorang peraih ikan, Zahari A. Razak, ditembak mati ketika memandu kereta keluar dari masjid di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.
12/5/2013 Bukit Tambundua orang mati dan dua orang tercederaDua lelaki India maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, dipercayai berkaitan perniagaan.
11/5/2013 Serembandua orang mati dan dua orang tercederaDua lelaki India maut manakala dua rakan mereka parah ditembak dari jarak dekat ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat pusat bandar.
11/5/2013Lunasseorang matiSeorang pembantu kedai barang-barang lusuh, Thangaraja, 31 ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.
10/5/2013 Alor Setarseorang matiSeorang penarik kereta, M. Nagenthiran maut akibat terkena tiga das tembakan berhampiran rumahnya di rumah pangsa Taman Setia Jaya.
9/5/2013Tangkakseorang matiSeorang jurutera, Muthu Pillai dijumpai mati dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang sawit.
7/5/2013 Nibong Tebalseorang tercederaSeorang ahli Ronda Keselamatan Sukarela kawasan taman – taman perumahan, Tan Hock Chin ditembak di kepala oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
30/4/2013Taipingseorang tetapi tidak apa-apa.Seorang peniaga barang hampir maut terkena tembakan daripada individu tidak dikenali di hadapan rumahnya. Tembakan yang dilepaskan tersasar , kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.
26/4/2013 Cherasseorang mati dan seorang cederaR. Karikaalan mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
26/4/2013Putrajayaseorang matiTimbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan pejabatnya di Putrajaya. Mangsa ditembak tiga das dari jarak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.



25/4/2013Luar pejabat JPJ, Jalan Seremban-Tampinseorang matiSeorang runner bagi JPJ, N. Ragunathan ditembak mati dalam keretanya oleh salah sorang daripada dua orang yang bermotosikal.
16/4/2013 Taipingseorang matiMangsa, K Muthazagen maut ditembak dari jarak dekat menembusi kepalanya.
14/4/2013Serembanseorang matiTan Kok Soon ditembak dari jarak dekat ketika makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland.
12/4/2013 Serembanseorang matiJames John ditembak mati dalam keretanya di sekitar lampu isyarat Taman Sri Labu oleh dua orang penembak yang bermotosikal.

Meneliti senarai panjang kejadian tembak-menembak yang dipercayai didalangai oleh penjenayah-penjenayah bekas tahanan Ordinan Darurat ini, maka kita mengharapkan kerajaan dapat menyegerakan perlaksanaan undang-undang baru.  Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan berkemungkinan akan membentangkan draf undang-undang tersebut pada bulan September ini untuk bacaan di parlimen bagi dibahaskan sebelum diluluskan.

Dari segi pencegahan untuk mendapatkan senjata api, ramai pihak menyarankan agar diperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand yang merupakan sumber utama bagi mendapatkan senjata api. Ia mungkin dapat dilakukan dengan memastikan setiap kenderaan yang melalui pintu masuk dan keluar di sempadan dilengkapi dengan sistem imbasan yang canggih. Ini memandangkan dalam persepsi masyarakat, bahawa senjata api begitu mudah diseluduh melalui lori-lori ikan terutamanya yang berulang-alik setiap hari.

Namun demikian, walaubagaimana bijak sekalipun pihak berkuasa menangani hal ini, licik lagi penjenayah yang sejak dari dulunya menjadikan jalan tikus di sempadan sebagai laluan utama untuk menyeludup senjata api dan dadah.

Oleh itu jalan yang paling nyata untuk dinantikan ialah dengan mengembalikan undang-undang pencegahan yang menyerupai Ordinan Darurat yang telah dimansuhkan itu.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

12.08.2013


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab.




Nota 1:    13.08.2013 - Petikan dari Berita Harian

Kuantan: Seorang janda beranak empat cedera selepas ditembak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Haji Ahmad, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi. 

Ketika kejadian mangsa berada di dalam kereta Toyota Alphard dan bernasib baik hanya cedera ringan terkena serpihan kaca


Nota 2 : 14.08.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia

DUNGUN 13 Ogos - Seorang peniaga nasi kukus maut dengan dua kesan tembakan di dada dan bahu dalam satu kejadian samun di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaannya di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka di sini awal pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Lutfi Mansor, 50, baru menutup kedai dan bersiap untuk pergi ke bank bagi urusan penyimpanan wang hasil perniagaan yang menjadi rutin hariannya.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh adik iparnya, Mohd. Zulrophia Umar, 21, kira-kira tiga jam kemudian sebelum dia memaklumkannya kepada isteri mangsa, Norzuedawati Umar, 25.
Peniaga itu dipercayai ditembak ketika menuju ke trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya yang dilarikan penjenayah bersama beberapa barang dalam kenderaan termasuk beg tangan, kasut serta telefon bimbit.

Nota 3 :  14.08.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia

KUANTAN 13 Ogos - Seorang ibu tunggal beranak empat cedera selepas terkena tembakan seorang lelaki yang cuba merompaknya di sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Ruzelawati Basri, 35, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard mengalami luka kecil di muka berikutan terkena serpihan kaca daripada cermin kenderaan tersebut



Nota 4 : 15.08.2013 - Peikan dari Berita Harian

Kapar: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri apabila ditembak oleh sekumpulan lelaki di depan sebuah bank di Jalan Besar, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Jani Ahmad, berkata mangsa bersama tiga rakannya itu sedang minum di depan sebuah restoran berhampiran sebelum ditembak oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z warna merah. 
"Siasatan awal polis mendapati, suspek berpakaian jaket hitam dan bertopi keledar berlegar di depan restoran itu dalam keadaan mencurigakan sebelum melepaskan tembakan," katanya.








Post a Comment