Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Monday, August 19, 2013

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) : Pengertian dan Implikasi Perdagangan Malaysia

Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi hangat dibual dan dibincangkan bahkan dalam forum-forum tertentu juga membicarakan topik yang sama dari perspektif yang berlainan. Apakah pengertian TPPA dan implikasinya terhadap perdagangan serantau dan antarabangsa yang melibatkan Malaysia?

Sebelum kita membicarakan TPPA dengan lebih lanjut, eloklah kita melihat isu perjanjian perdagangan global WTO dan serantau seperti APEC, AFTA yang sediada yang boleh dikaitan dengan TPPA.  Jika tanpa mengetahui organisasi dan perjanjian-perjanjian tersebut, dikhuatiri anda akan tersasar fokus dan tidak dapat memahami mengapa perjanjian TTPA itu amat diperlukan.

Di samping hubungkait antara beberapa klaus dalam perjanjian FTA misalnya yang dijadikan kesinambungan kepada perjanjian TPPA.  Maka penekanan juga diberikan kepada isu-isu FTA terutamanya hubungan Perjanjian FTA Malaysia-Amerika Syarikat.

Disenaraikan beberapa organisasi dan perjanjian perdagangan yang penting :

WTO – World Trade Organization atau Pertubuhan Perdagangan Sedunia.

Ia adalah sebuah organisasi perdagangan dunia yang berfungsi untuk mengatur dan mengawalselia perdagangan antarabangsa.  Diditubuhkan pada 1 Jan. 1995  bagi menggantikan General Agrement on Tariffs and Trade (GATT) yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. Kini WTO dianggotai oleh 143 buah negara termasuk Malaysia. Setiap perbincangan yang melibatkan perdagangan dunia akan dilakukan serta dirujuk melalui WTO yang beribupejabat di Genewa, Switzerland.


APEC – Asia Pacific Economic

Ditubuhkan pada tahun 1989 dengan dianggotai oleh 12 buah negara pengasas di Asia Pasifik termasuk Malaysia yang bertujuan untuk menyemarakkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara Asia Pasifik. Selepas tahun 1993, APEC menerima banyak keanggotaan baru sehinggalah kini berjumlah 21 buah negara termasuk Hong Kong sebagai entiti yang berasingan dari China.

Forum ekonomi APEC mempunyai jurang perbezaan yang luas dalam sistem politik, sosial, institusi kebudayaan dan tingkat pembangunan ekonomi yang berbeza.

Negara-negara yang menganggotai APEC ialah : Australia, Brunei, Kanada, Chile, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zeealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.


AFTA – ASEAN Free Trade Area atau Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN

Ketika perjanjian AFTA ditandatangani pada tahun 1995, ia hanya dianggotai oleh enam buah negara pengasas ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Kini AFTA mempunyai 10 keanggotaan negara-negara ASEAN yang kemudian penerimaannya dibuat antara tahun 1995 hingga 1997.

Antara tujuan perjanjian AFTA dibuat adalah untuk meningkat daya saing ASEAN sebagai pengkalan pengeluaran dalam pasaran dunia melalui penghapusan halangan tariff dan bukan tariff dalam ASEAN. Selain itu, dengan wujudnya AFTA, ia mampu menarik pelaburan asing langsung ke ASEAN. Pada masa yang sama, pengguna dapat memperoleh barang dagangan dari pengeluar yang lebih cekap di ASEAN serta mewujudkan perdagangan intra-ASEAN. Seiring dengan peningkatan persaingan harga dalam industri-industri pembuatan dan saiz pasaran yang lebih besar, pelabur-pelabur dapat menikmati pengeluran secara besar-besaran.


FTA – Free Trade Agreement atau Perjanjian Perdagangan Bebas

Ia adalah sejenis perjanjian ekonomi dua hala antara negara-negara yang terlibat. Tujuannya bagi merendahkan harga keperluan yang dikehendaki oleh pengguna. Barang-barang yang kompetatif di pasaran boleh beredar dan di pasarkan tanpa sekatan cukai bertindih iaitu percukaian satu hala dari negara asalnya.  Kebiasaan isu-isu percukaian, halangan birokrasi, perjanjian-perjanjian sediada, masalah teknikal dalam urusan kastam dan imigresen menjadi halangan.
 
 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

 
 
Pada asalnya perjanjian FTA lebih menjurus kepada penjualan dan pembelian barangan antara negara-negara yang terlibat. Tetapi akhir-akhir ini versi FTA lebih melibatkan isu-isu lain seperti import dan eksport perkhidmatan, harta intelek, pergerakan tenaga mahir dan teknokrat, pengurusan kanan dan lembaga pengarah.  Dan yang terbaru ialah hubung kait di antara perdagangan barangan dengan perkhidmatan serta pelaburan.

Antara kelebihan FTA ialah apa jua barangan boleh dimport dan dieksport ke seluruh dunia. Dalam dunia globalisasi dan ledakan internet, permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan yang berasaskan internet boleh dipasarkan ke seluruh dunia dengan pantas. 

Ia membuka peluang e-commerce  dan e-pembayaran yang tiada batasannya. Dengan teknoloji kejuruteraan dan bioteknoloji membolehkan pengeluaran produk ke tahap yang lebih tinggi. Di samping pengedaran produk yang meluas bagi meminimakan lambakan barang-barangan. Seterusnya pengguna akhir amat beruntung dengan mendapat produk dengan harga yang murah.

Malaysia telah menandatangani perjanjian FTA dengan Jepun, Pakistan, India,  Chile, New Zealand dan Australia secara dua hala. Manakala melalui ASEAN pula telah menandatangani dengan Australia, New Zealand, Korea Selatan, China, India dan Jepun. Malaysia sedang merundingkan FTA dengan Kesatuan Eropah dan Turki.

Bagi Malaysia, Perjanjian FTA dengan Amerika Syarikat yang ditandatangani dalam tahun 2010 lebih menonjol berbanding dengan blok negara-negara lain. Ini kerana Malaysia mengeksport banyak barangan perkilangan, perabot, komoditi dan sebagainya. Mengikut perangkaan tahun 2012, Malaysia menduduki tangga ke 18 sebagai negara sumber import bagi Amerika Syarikat dan negara ke 10 terbesar dalam dagangan dua hala Amerika Syarikat-Malaysia.  Malaysia adalah pengeksport terbesar dari kalangan negara-negara Asean dengan nilai RM12.6 billion, diekori oleh Thailand dan Vietnam.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdagangan AS, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat dalam dua bulan pertama 2012 bernilai AS$4.062 bilion (RM12.6 bilion), meningkat 2.63 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 
Syarikat Malaysia perlu meneroka bidang perniagaan yang menjanjikan pertumbuhan yang akhirnya akan membolehkan Malaysia, bergerak daripada pembekal komoditi kepada pengeksport produk berteknologi tinggi.


Dengan Perjanjian FTA Malaysia-Amerika Syarikat, ia menjadi landasan kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk lebih mudah memasuki pasaran Amerika Syarikat berbanding negara-negara yang tidak berbuat demikian.

Walaupun FTA Malaysia-Amerika Syarikat dikatakan banyak menguntungkan Malaysia, namun terdapat beberapa kesan negatif yang secara langsung atau tidak langsung yang memberi impak terhadap kos beberapa sektor seperti :


Perubatan
Harga ubat akan naik melambung tinggi kerana lebih banyak ubat akan dipatenkan oleh syarikat AS yang akan menentukan harga ubat bagi mengaut keuntungan. Namun sehingga kini, kita masih tidak nampak kesan yang ketara atas peraturan ini.

Pertanian
Pada masa ini petani Malaysia diberikan subsidi untuk menghasilkan tanaman dan menjualnya dengan harga berpatutan. Hasil tanaman dari luar negara dikenakan tarif import untuk melindungi petani daripada kerugian.
Selepas FTA, petani akan kerugian apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia. Namun demikian ia hanya memberi kesan yang sedikit lantaran pergantungan terutama beras yang diimport dari negara-negara ASEAN menjadi pilihan.  Walaupun Amerika Syarikat mengeksport beras dengan harga yang murah. Untuk pengetahuan, bahawa AS adalah pengeksport ketiga terbesar dunia bagi komuditi beras yang menyamai Vietnam.
Produk pertanian keluaran Amerika Syarikat yang lain lebih kepada pertanian empat musim yg tidak terdapat di Malaysia.  Jadi ia tidak membimbangkan malah memberi kebaikan kepada kita lantaran penawaran harga yang lebih murah. Ini disebabkan AS menggunakan teknologi tinggi dan memberi subsidi tinggi kepada pertanian mereka.

Perkhidmatan
AS mahukan Malaysia meliberalisasikan perkhidmatannya yang bermakna membuka sektor perkhidmatan kepada persaingan asing. AS menyasarkan syarikat telekomunikasi Malaysia, perkhidmatan kewangan, tenaga, penjagaan kesihatan, perkhidmatan pengedaran, perkhidmatan profesional seperti guaman, akauntan, jurutera dan doktor serta perkhidmatan penyiaran. 

Walaupun demikian, ia masih tidak menampakkan kesan buruk yang ketara terhadap sektor perkhidmatan negara, bahkan dari sudut pelaburan ia menjadi penyumbangkan kepada pelaburan terus asing (foreign direct investment  atau FDI).

Pekerja
Kerajaan AS mahu semua tarif Malaysia ke atas produk perkilangannya dikurangkan  yang menyebabkan barangan yang dikeluarkan oleh AS akan menjadi lebih murah dan memberi saingan sengit kepada barangan keluaran tempatan. Namun demikian, kita harus memahami, kita hanya mengurangkan tarif tetapi di pihak AS terpaksa membayar kos yang tinggi untuk pekerja-pekerja yang menghasilkan barang yang sama.

Dan jika kita dapat membuat peningkatan efisiensi terhadap kualiti dan kuantiti dengan disebabkan saingan yang hebat,  sudah tentu kita masih berada di pihak yang beruntung.  Secara tidak langsung, para pekerja Malaysia akan lebih cemerlang dengan iltizam untuk memasuki pasaran global daripada hanya memikirkan pasaran tempatan sahaja.

TPPA – Trans Pacific Partnership Agreeement atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik

Sebenarnya TPPA bukanlah berbentuk FTA yang baru walaupun mungkin sebahagian besar klausnya adalah kesinambungan daripada FTA sediada. Cuma ia lebih merangkumi negara-negara yang lebih luas di kedua-dua belah lautan Pasifik.

TPPA yang dirancang untuk ditandatangani pada bulan Oktober tahun ini di Brunei Darussalam adalah satu kelangsungan daripada rundingan TPP yang bermula dari tahun 2005 lagi,  walaupun ketika itu, mungkin atas nama yang lain tetapi mempunyai visi yang jelas bagi kerjasama negara-negara Asia Pasifik. Penghormatan untuk menandatangani perjanjian ini di Brunei Darussalam juga dibuat sebagai penghormatan terhadap Brunei yang menjadi salah sebuah negara pengasas kumpulan ini.

Ianya diasaskan oleh 4 buah negara-negara yang jauh terpencil antara satu sama lain kecuali Singapura dan Brunei. Dua negara anggota asal lain ialah Chile dan New Zealand.

Kecuali Chile yang mempunyai penduduk yang ramai di Amerika Selatan, tiga negara lain iaitu Singapura, Brunei dan New Zealand adalah negara berpendudukan kecil. Bagaimana negara-negara kecil kependudukan ini tetapi berjiwa besar dapat terfikir bahawa gagasan mereka ini boleh mendatangkan manfaat kepada negara mereka melalui satu perkongsian perdagangan global. Sudah tentunya mereka mempunyai visi yang jauh untuk menyemarakkan potensi rakyat, sumber kekayaan dan perkhidmatan serta kepakaran intelek untuk dikongsikan bersama.


Perlu diingat, akhirnya gagasan penubuhan TPPA ini telah menerima rakan-rakan baru seperti Malaysia, Australia, Peru, Vietnam, Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang berjumlah 11 buah negara.

Sebenarnya masih banyak negara yang berminat untuk menyertai rundingan TPP tersebut, malah Jepun telah mengadakan satu pungutan suara khas bagi mendapatkan mandat untuk menyertainya. Dengan kemasukan Jepun dalam forum TPPA ini yang baru saja diterima, maka jumlah keanggotaannya kini ialah 12 buah negara.

Adalah tidak benar bahawa penggubalan TPPA adalah sebuah penjajahan bentuk baru oleh Amerika Syarikat dengan kelangsungan FTA yang sedia ada, seperti yang diuar-uarkan oleh ramai pihak. Mereka sesungguhnya tidak memahami keseluruhan dimensi spectrum dan perjalanan organisasi perdagangan dunia. Janganlah melihat bahawa negara yang paling besar dan berpengaruh ialah Amerika Syarikat maka menidakkan kesebelasan negara-negara lain pula.


Apakah rakyat Malaysia masih lagi di takuk lama, masih mengimpikan beberapa kes dalam FTA dan NAFTA yang dianggotai oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada dahulu yang pernah mencetuskan fenomena negatif lalu menolak TPPA ? Malah dalam pemikiran kita masih beranggapan TPPA sama seperti FTA Malaysia-Amerika Syarikat, sedangkan yang kita rundingkan sekarang ialah perkongsian antara 12 buah negara.

Memang tidak dinafikan bahawa kempat-empat negara pengasas TPP iaitu Singapura, Brunei, New Zealand dan Chile tidak mampu untuk menggerakan momentum bagi melaksanakan gagasan yang sebesar itu, maka peranan negara-negara yang lebih besar seperti Amerika Syarikat adalah diperlukan. Untuk pengetahuan, nama asal forum ekonomi ini dinamakan sebagai Trans-Pasific Strategic Economic Partnership Agreement atau TPSEP yang bertujuan untuk meliberalisasikan ekonomi rantau Asia Pasifik.

Maka pentadbiran Barrack Obama telah memulakan inisiatif untuk mengembangkan gagasan tersebut dalam satu persidangan APEC dalam tahun 2009.  Ianya disusuli dengan mensyuarat kali pertama TPP yang diadakan pada bulan Mac 2010 di Melbourne, Australia
   
Sehingga kini mesyuarat dan rundingan TPP telahpun dijalankan sebanyak 18 kali, manakala yang ke 19 akan diadakan di Brunei Darussalam pada 23-30 Ogos nanti. Disenaraikan tarikh dan tempat mesyuarat dan rundingan yang lepas-lepas untuk rujukan. 

Ini bagi menunjukkan bahawa mesyuarat dan rundingan-rundingan telah diadakan secara sama rata di kalangan negara-negara anggota, bukanlah ianya diadakan di Amerika Syarikat sahaja. Ini bagi menempelak cakap-cakap serta perkhabaran yang tidak betul bahawa forum ekonomi ini menjadi telunjuk imperialis Amerika Syarikat. Mereka yang bercakap demikian adalah terdiri dari yang tidak suka membaca dan menganalisa sesuatu isu, lalu mengambil pendirian orang lain sebagai pendirin sendiri.

Kali pertama  : Melbourne, Australia Mac 15-19, 2010
Kali kedua :  San Francisco, California, Jun 14-18, 2010
Kali ketiga : Brunei, Oktober 4-9, 2010
Kali keempat : Auckland, New Zealand, Disember 6-10, 2010
Kali kelima : Santiago, Chile, Februari 14-18, 2011
Kali keenam : Singapore, Mac 24-April 1, 2011
Kali ketujuh : Ho Chi Minh City, Vietnam, Jun 15-24, 2011
Kali kelapan : Chicago, Illinois, September 6-15, 2011
Kali kesembilan : Lima, Peru, Oktober 22-29, 2011
Kali kesepuluh : Kuala Lumpur, Malaysia, Disember 5-9, 2011
Kali kesebelas : Melbourne, Australia, Mac 2-9, 2012
Kali keduabelas : Dallas, Texas, Mei 8 - 18, 2012
Kali ketigabelas : San Diego, California, Julai 2-10, 2012
Kali keempatbelas : Leesburg, Virginia, September 6-15, 2012
Kali kelimabelas : Auckland, New Zealand, Disember 3-12, 2012
Kali keenambelas : Singapore, Mac 4-13, 2013
Kali ketujuhbelas : Lima, Peru, Mei15-24, 2013
Kali kelapasbelas :  Kota Kinabalu, Malaysia, Julai 15-24, 2013
Kali kesembilanbelas : Brunei, 23-30, Ogos, 2013

Australia :  2 kali
Amerika Syarikat : 5 kali
Brunei : 2 kali ( +1 kali lagi semasa menandatangan perjanjian TPP pada Oktober nanti)
New Zealand : 2 kali
Chile : 1 kali
Vietnam : 1 kali
Singapura : 2 kali
Peru : 2 kali
Malaysia : 2 kali 

Dalam 5 kali perundingan terakhir dijalankan di luar Amerika syarikat iaitu di New Zealand, Singapura, Peru, Malaysia dan Brunei. Ini memperlihatkan bahawa negara-negara kecil sekalipun memainkan peranan yang besar dalam merundingkan TPP

Ianya tidak sama dengan perundingan FTA Amerika Syarikat-Malaysia yang samada di jalankan di Malaysia atau Amerika Syarikat sahaja. Di mana dalam perundingan seperti ini, kita tidak mempunyai suara lain untuk menyokong permintaan kita. Namun dalam perundingan TPP, suara-suara dari 12 negara lain telah disatukan. Apakah ini tidak cukup untuk mengatakan ia sesungguhnya satu perkongsian idea bagi kemakmuran ekonomi serta perdagangan di rantau Asia Pasifik ?  

Tidak dinafikan, seperti perjanjian FTA yang lain, kita juga mempunyai alasan untuk menzahirkan keperihatinan terhadap masa depan rakyat dan negara. Namun sudah tentu pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mewakili Malaysia dalam rundingan ini telah mengambilkira pelbagai faktor yang membabitkan hak-hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan negeri-negeri serta keperluan untuk melindungi kelompok-kelompok tertentu.

Begitu juga kita masih mengamalkan sikap dasar perlindungan terhadap beberapa skop industri, sesetengah perkhidmatan dan keperluan untuk melindungan GLC sebagai satu entiti kerajaan dalam pemerolehan negara dan mensejahterakan rakyat.  Di samping itu memberi penekanan bahawa kerajaan akan sentiasa memberi perlindungan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya dari kalangan Bumiputra.

Difahamkan pihak MITI  kini sedang bertungkus-lumus untuk mencari formula dan penyesuaian yang bukan sahaja diterima oleh rakyat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Namun kita harus memahami dalam perundingan antarabangsa yang mana setiap negara juga mempunyai kepentingan yang tidak sama, maka satu penyelesaian dan tolak-ansur serta kompromi harus diterima. Kita tidak seharusnya terus-menerus menegakkan pendirian masing-masing yang akhirnya tiada sebarang persetujuan. Inilah yang sering terjadi pada setiap kali perundingan WTO menemui jalan buntu.

Oleh itu, kita harus memahami bahawa jika kita tidak menyertainya, maka kita telah terkebelakang dan apabila menyedari nanti, orang-orang lain sudahpun merebut peluang ini. Kita kena bye bye saja !

Secara keseluruhannya, TPP sebagai sebuah perjanjian yang mencakupi pelbagai isu seperti perdagangan barang, perdagangan perkhidmatan, alam sekitar serta kelastarian sejagat, harta intelek, pelaburan dan bantuan teknikal.

Negara-negara yang menyertai rundingan TPP diberi kebebasan untuk menyenaraikan peraturan dan polisi yang tidak boleh dipatuhi sebagai sebahagian daripada perjanjian. Ini adalah satu bentuk pengecualian yang mana setiap negara mempunyai hak-hak tertentu seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Ia adalah satu pengiktirafan yang memberi jaminan bahawa kelangsungan setiap polisi yang terkecuali itu dapat diteruskan dalam negara masing-masing.

Maka apakah kelebihannya jika kita turut menandatangai perjanjian ini yang bakal diadakan di Brunei Darussalam pada bulan Oktober nanti? Dikhabarkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dijangka akan menghadiri majlis yang bersejarah ini.



Sejak beberapa bulan ini, banyak laporan dan persepsi negatif yang dilontarkan oleh segelintir blogger dan NGO yang keterlaluan, seolah-olah bahawa TPPA akan menjadi medan untuk menjual negara dan sebagai penghambaan kepada negara-negara maju.  

Namun demikian, mereka tidak nampak dari segi positif di mana kita akan meraih manfaat lebih-lebih lagi golongan usahawan Melayu dan Bumiputra untuk pergi jauh ke peringkat global dengan jumlah pasaran yang tidak terhad dalam pemasaran produk-produk berbentuk barangan ataupun perkhidmatan dari pelbagai bidang.

Kita harus memahami dalam kerangka perjanjian besar yang menyerupai WTO, negara-negara yang menyertai TPP adalah terdiri daripada negara-negara Selatan, yakni negara-negara sedang membangun, negara-negara yang hampir mencapai taraf negara maju dan juga blok negara-negara maju. Maka jurang antaranya juga adalah besar. Sebagai negara kecil yang dari blok negara-negara Selatan sekalipun tidak rela diperkotak-katikkan, dan begitu juga negara-negara maju juga tidak akan sewenang-wenangnya memperkecilkan negara-negara yang baru membangun.

Mereka akan memperluaskan konsep perkongsian menang-menang di mana pihak-pihak yang terlibat akan diajak berunding dalam suasana yang menguntungkan bersama. Sebab itulah ia juga dinamakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.  Ia juga menepati cara Malaysia melancarkan konsep perkongsian pintar Langkawi yang dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad di kalangan negara-negara Selatan dahulu.

Seperti dalam perjanjian WTO malah AFTA sekalipun yang dilakukan dalam kalangan negara-negara ASEAN, banyak kelonggaran dan pelanjutan tempuh waktu matang bagi pelaksaan sesuatu ketetapan terutamanya dari segi tariff. Ianya bertujuan sehingga satu tahap sesebuah negara itu mampu untuk bersaing dan membuka pasaran dari negara-negara yang menyertainya. 

Dalam masa yang sama, ia menjadi pemangkin kepada negara-negara ini untuk terus berusaha dengan cepat, dan jika dia gagal maka sudah tentu menggugat survivalnya. Jadi apakah ini kita jadikan alasan untuk tidak menerima TPPA ?

Antara isu-isu yang dirundingkan ialah mengenai hakcipta yang perlu diselesaikan. Malah ia juga menjadi isu bagi negara-negara lain. Jika negara-negara lain sanggup juga berkompromi, apakah kita ini terlalu banyak harta intelek yang boleh dieksport berbanding harta intelek yang akan masuk ke sini di mana akan dimanfaatkan oleh kita. 

Jika dahulunya kita memikirkan dalam masa 50 tahun nilai harta intelek itu mencapai satu target yang diingini dalam pasaran konvensional, tetapi dengan pasaran yang begitu luas dalam TPP, mungkin ia hanya memerlukan 20-30 tahun atau kurang daripadanya untuk mencapai tahap itu. Maka apakah tempuh selebihnya itu tidak dianggap sebagai satu bonus ? 

Dengan termeterainya TPPA nanti, kita juga dapat memperkembangan industri yang berasaskan pengetahuan pakar dan harta intelek. Inovasi dalam sains dan teknoloji seperti perisian komputer, penulisan buku-buku dan segala aktiviti-aktiviti berkaitan dapat disalurkan dengan lebih mudah dan pantas serta dalam kuantiti yang banyak. Akhirnya kita akan memperolehi keuntungan yang besar sementelah dunia disambungkan dengan kecanggihan teknologi internet.

Itu hanya sebahagian kecil daripada manfaat yang diperolehi daripada 29 bidang yang dibincangkan dalam TPPA. Selain daripada strategi ekonomi, ianya juga meliputi bidang kesihatan umum, alam sekitar dan sistem kehakiman. Kelima-lima bidang ini dilabelkan sebagai perjanjian perdagangan. 


Merujuk kepada sumber-sumber kerajaan, Perjanjian TPPA ini berkemungkinan besar akan ditandatangani oleh Malaysia tetapi tidak terburu-buru dengan  batas waktu tersebut lantaran masih banyak perkara yang perlu ditangani terlebih dahulu.  

Di sebaliknya juga, kerajaan  memandang pembukaan pasaran yang begitu luas untuk beberapa industri terutamanya sektor automotif yang dipelopori oleh negara seperti Proton dan Perodua. Dengan pasaran tersebut, jumlah kuantiti yang dapat dieksport boleh memberi impak bagi industri permotoran dalam skala yang lebih besar. Secara tidak langsung ia akan menurunkan harga unit pengeluaran kereta-kereta Proton dan Perodua disebabkan kos pengeluaran semakin rendah. Cara yang sama telah dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

19.08.2013



Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.





------------------------------ Nota selepas Catatan blog utama di siarkan ---------------------------------



Nota 1 :  22.08.2013 - petikan dari Utusan Malaysia

Peluang bersaing di peringkat global


Para perwakilan daripada 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam yang menghadiri Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ketika mengadakan sidang media bersama di Sabah baru-baru ini. Malaysia diwakili oleh Pengarah Kanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri J. Jayasiri (lima dari kanan).- BERNAMA

PERJANJIAN Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menjadi topik paling hangat diperkatakan ketika ini. Kritikan demi kritikan dilontarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di negara kita. Ramai yang bimbang Malaysia akan terperangkap dengan jerat yang dipasang oleh Amerika Syarikat (AS).

TPP adalah satu instrumen perjanjian perniagaan tempias daripada fahaman globalisasi. Sememangnya setiap yang buruk pastinya ada baiknya.

Persoalan-persoalan mengenai sejauh manakah hak Bumiputera dapat dipertahankan jika kerajaan menandatangani TPP adalah perkara pokok yang sering diketengahkan oleh pihak-pihak yang kurang bersetuju dengan TPP. Begitu juga sama ada TPP akan melenyapkan sama sekali industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan yang telah banyak memberi sumbangan besar terhadap ekonomi domestik negara?

Kedua-dua persoalan ini sering menjadi kebimbangan dalam kalangan pengkritik TPP. Sebagai ahli akademik, penulis juga berkongsi kebimbangan tersebut.

Namun, apabila kerajaan bersungguh-sungguh mengatakan bahawa hak Bumiputera tetap dipertahankan di samping IKS tempatan diutamakan, ia menggambarkan bahawa kerajaan tidak meminggirkan hak rakyat Malaysia.
Walaubagaimanapun untuk memastikan kedua-dua isu ini tidak berpanjangan, kerajaan perlu untuk menerangkan kepada rakyat secara jelas terutamanya kepada kaum Bumiputera dan pemain IKS. Selama ini ramai rakyat yang tidak dapat gambaran sebenar apakah itu TPP dan kesannya kepada rakyat. Apabila ini tidak difahami oleh rakyat, maka timbullah pelbagai cerita negatif mengenai TPP.

Lagi pun sepengetahuan penulis, setakat mesyuarat terkini yang diperbincangkan di kalangan ahli-ahli peserta TPP, isu-isu sensitif sebegini belum lagi diperincikan. Dengan kata lain, kerajaan masih mempunyai masa untuk membuat keputusan sama ada benar-benar ingin menyertai TPP atau tidak selagi isu-isu sensitif ini tidak dimuktamadkan. Dalam konteks ini, kerajaan tentu sekali akan berhati-hati dan berwaspada sebelum bersetuju menandatangani TPP.
Mustahil kerajaan akan memberi keputusan yang tidak menguntungkan rakyat selepas rakyat sendiri memberi pelbagai pandangan dan pendapat mengenai TPP. Jika TPP benar-benar dapat memberi manfaat besar kepada rakyat, negara kita sewajarnya menandatangani TPP, namun, jika sebaliknya, pastinya kerajaan tidak akan meneruskan perjanjian tersebut. Apa yang penting, kepentingan dan kebajikan rakyat diutamakan.

Penulis berpendapat kerajaan perlu juga melakukan satu kajian lengkap untuk melihat apakah ekonomi kita akan lebih baik selepas TPP dilaksanakan dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan dengan rakyat. Kajian ini juga sebaik-baiknya dibentangkan kepada rakyat. Platform terbaik untuk dibentangkan adalah ketika pembentangan Bajet 2014 kelak.

Antara kebaikan yang diuar-uarkan ialah TPP pada asasnya memberi ruang kepada barangan dan perkhidmatan dieksport dengan lebih luas lagi. Pasaran ekonomi negara kita terlalu kecil berbanding negara lain. Dianggarkan penduduk Malaysia hanya sekitar 30 juta orang. Dengan adanya TPP, pasaran ekonomi kita akan lebih luas.
Barangan dan perkhidmatan negara kita tidak boleh berada dalam kitaran negara sahaja. Ia perlu "dijual" merentasi negara-negara lain. Sememangnya ekonomi domestik banyak membantu negara pada masa kini, namun pada suatu hari nanti, perniagaan kecil ini juga akan semakin menjadi perniagaan besar.

Tatkala itulah, perniagaan ini perlu mencari pasaran baru. Terlalu bergantung pada pasaran domestik akan membuatkan kita terpaksa bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang kecil. Apabila ini berlaku, ada perniagaan yang tidak mampu memasarkan barangan mereka dengan jumlah yang banyak di pasaran tempatan.
Implikasinya, jualan oleh perniagaan tersebut kekal sama dan statik, keuntungan pula tidak mustahil semakin menurun akibat kos operasi semakin meningkat hari demi hari. Maka, jika ini berkekalan, banyak perniagaan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat besar seperti GLC dan akhirnya merugikan mereka. Dengan adanya TPP, syarikat-syarikat kecil mempunyai pasaran baru dan begitu juga bagi GLC. Saingan di Malaysia tidaklah begitu ketara di antara syarikat-syarikat tempatan.

Mungkin ada yang berpendapat kita terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat asing yang lebih besar dan akan kalah dengan mereka. Bagi penulis, selagi kerajaan boleh memberi jaminan hak Bumiputera dan IKS tetap dipertahankan, persaingan sihat di antara syarikat tempatan dan asing akan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Tidak mustahil harga produk dan perkhidmatan akan semakin menurun dengan persaingan yang kompetitif.

Tatkala ini banyak produk dan perkhidmatan kita terlalu dimonopoli sesuatu pihak sehingga menekan pengguna dengan harga yang tinggi. Jaminan kerajaan bahawa harga produk seperti ubat-ubatan tidak naik jika TPP dilaksanakan juga memberi implikasi positif kepada pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan terbaik pada harga yang sama dan tidak mustahil lebih murah selepas TPP dilaksanakan.

TPP juga memberi ruang kepada rakyat kita untuk berkhidmat di luar negara. Itu adalah intipati utama TPP. Penulis mengambil contoh, dalam bidang perakaunan, akauntan Malaysia dibenarkan memberi perkhidmatan di negara-negara yang terikat dengan TPP. Begitu juga dengan akauntan-akauntan di negara berkenaan dibenarkan memberi perkhidmatan di Malaysia.

Pokok pangkalnya jika akauntan Malaysia berdaya saing dan diiktiraf kepakaran mereka, maka mereka mampu memberi perkhidmatan kepada negara-negara TPP. Selama ini banyak diskriminasi dilakukan terhadap pekerja kita yang ingin menawarkan perkhidmatan kepada negara lain.

Sebaliknya, kita sudah lama menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat asing. Sebagai contoh, dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pun terdapat warga asing yang bekerja dengan kita. Penulis difahamkan mereka ini dibayar dengan gaji yang tinggi. Kita telah lama memberi peluang pekerjaan kepada warga asing, namun, adakah rakyat Malaysia diberi peluang yang sama untuk memberi perkhidmatan di negara-negara asing.

Justeru, sudah sampai masanya kita diberi peluang seadil-adilnya untuk menjual kepakaran kita. Apa yang penting, kita perlu menyiapkan diri untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Bersediakah kita?



Nota 2 : 23.08.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia




Kerajaan mungkin tidak meterai TPPA pada Oktober ini - Hamim

SUBANG JAYA 22 Ogos - Kerajaan berkemungkinan tidak memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada Oktober ini ekoran perjanjian itu memerlukan rundingan secara terperinci dan persetujuan pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, ini kerana masih terdapat perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan dan penelitian lanjut.

"Sangat sukar untuk mengatakan perjanjian itu akan ditandatangani pada Oktober ini. Saya rasa bukan sahaja Malaysia tetapi juga negara-negara lain ekoran isu ini adalah sangat teknikal dan melibatkan pendapat negara lain juga.

"Jadi, perjanjian ini perlu dibincang dengan lebih lanjut. Saya ingin menegaskan bahawa TPPA masih belum ditandatangani kerana ia dalam tahap perbincangan. Oleh itu, orang ramai diminta jangan membuat sebarang spekulasi berkenaan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Forum Kaedah Terbaik Pusat Khidmat Sehenti Global (OSS) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada usahawan, persatuan perniagaan dan wakil agensi kerajaan menyertai forum tersebut.

Ia diadakan bagi berkongsi pendekatan yang digunakan oleh negara dalam membangunkan pusat khidmat sehenti dan meneroka peluang untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negara ini.

Dalam pada itu, Hamim berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan melibatkan orang ramai dalam perkara ini ekoran negara lain juga mungkin menghadapi situasi yang sama.

"Kita perlu mempunyai penglibatan awam secara berterusan kerana terdapat banyak persepsi berbeza dalam isu ini," jelasnya.

Tambah beliau, rundingan akan diteruskan selepas Sidang Kemuncak Ke-19 di Brunei ekoran pihaknya mendapati terdapat perbezaan pandangan antara kementerian dan orang awam berhubung perjanjian tersebut.



Nota 3 : 27.08.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia

Malaysia tidak perlu TPPA

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Menurut beliau, perjanjian itu akan membawa kepada ‘penjajahan baru’ oleh negara kuasa besar memandangkan terma yang dikenakan memberi lebih banyak kerugian kepada Malaysia berbanding keuntungan.

“Saya sudah lihat sebahagian daripada draf kandungan perjanjian itu, namun banyak perkara perlu diteliti terutamanya maksud sebenar di sebalik ‘huruf-huruf kecil’.

“Kerajaan perlu mengkaji dengan teliti tentang untung rugi perjanjian ini dan jangan sembunyikan kerana kesannya akan dirasai semua rakyat Malaysia," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucap utama Persidangan Meja Bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri; Pengerusi MTEM, Datuk Syed Ali Mohamed Alattas; Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd. Nizam Mahshar dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah MTEM.

Dalam persidangan yang diadakan itu, Pengarah Eksekutif South Centre yang berpangkalan di Switzerland, Martin Khor serta pensyarah dari Universiti Auckland, Prof. Jane Kelsey turut membentangkan kertas kerja masing-masing.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr. Mahathir memberitahu, daripada segi sejarah, negara kuasa besar akan sentiasa cuba meluaskan pengaruhnya sebagaimana dilakukan dalam Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan (GATT), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Negara-negara bekas penjajah tidak dapat lagi mengakses kekayaan dari wilayah yang pernah ditakluk mereka. Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan sama ada secara langsung atau tidak langsung, sama ada secara ketenteraan ataupun ekonomi," katanya.

Jelasnya, Amerika Syarikat (AS) menjanjikan pasaran luas negara itu akan terbuka kepada Malaysia, namun pelbagai syarat ketat akan dikenakan dan syarikat dari Malaysia belum mencapai tahap kemajuan teknologi ataupun kekuatan modal untuk bersaing dalam pasaran besar tersebut.

“Kita juga melihat banyak dalam perjanjian perdagangan bebas AS mahu syarikat mereka diberi status nasional serta berhak mendapat kontrak kerajaan sebagaimana syarikat tempatan.

“Andai kata perkara ini tidak dipatuhi, maka mengikut perjanjian, syarikat asing itu boleh menyaman kerajaan di tribunal negara asing kerana tidak mematuhi perjanjian," katanya yang memberitahu syarat keistimewaan itu bukan hanya menjejaskan syarikat bumiputera tetapi syarikat Malaysia yang lain.

Menurutnya, seandainya perjanjian itu dimeterai, banyak polisi kerajaan yang melindungi kepentingan negara tidak dapat dilaksanakan termasuk kawalan ringgit yang pernah menyelamatkan ekonomi Malaysia serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menyusun struktur sosioekonomi masyarakat.
Katanya, buat ketika ini tanpa TPPA sekalipun, Malaysia sudah mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara-negara terlibat, di samping menjadi sebuah negara membangun yang berjaya mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM1 trilion.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia tidak perlu terperangkap dalam perjanjian dan terlibat dalam politik antarabangsa kerana TPPA merupakan agenda AS untuk menyekat perkembangan ekonomi China terutamanya di rantau Asia Pasifik.




Nota 4 : 28.08.2013 -Petikan Dari Utusan Malaysia

MITI kaji kos faedah TPPA


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memulakan dua lagi kajian kos faedah sebagai input yang menilai kepentingan negara dan rakyat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian kos faedah itu adalah analisis kepentingan negara dan kepentingan bumiputera serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Beliau menegaskan, walaupun dikritik oleh pelbagai pihak berhubung dengan TPPA, tetapi kerajaan bersikap terbuka dan bersedia mempertimbangkan segala input yang diberikan.

"Dua kajian itu akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi dan hasilnya akan didedahkan kepada umum. Kita bersifat telus dalam perkara (TPPA) ini,'' katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Mengulas mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, Mustapa menegaskan bahawa pendirian kerajaan adalah selari dengan kepentingan negara.

"Buat masa ini kita (kerajaan) akan meneruskan perbincangan terhadap TPPA dan kita akan mengambil kira pandangan Tun (Dr. Mahathir) dan juga pihak-pihak lain,'' jelas beliau.

Semalam, Dr. Mahathir dalam satu Persidangan Meja Bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) telah meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menandatangani TPPA.
Ini kerana, beliau menyifatkan perjanjian itu akan membawa kepada penjajahan baharu oleh negara kuasa besar kerana terma yang dikenakan memberi lebih banyak kerugian kepada Malaysia berbanding keuntungan.


Nota 5 : 07.10.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia

Najib sahkan TPPA ke Parlimen



PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyambut ketibaan Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis Santapan Malam sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di Nusa Dua, Bali, Indonesia, semalam. Turut hadir isteri Presiden Indonesia itu, Ibu Ani Yudhoyono (kanan). - BERNAMA

NUSA DUA (BALI) 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan komitmen kerajaan untuk mendapatkan mandat Parlimen terlebih dahulu sebelum memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perdana Menteri juga mengulangi bahawa tiada tekanan untuk Malaysia menandatangani perjanjian itu pada hujung tahun ini memandangkan terdapat beberapa perkara yang memerlukan lebih penelitian khususnya yang menyentuh soal hak-hak kedaulatan negara.

“Proses rundingan adalah satu hal lain. Pada masa sama, kita (Malaysia) sudah komited untuk membawa TPPA ke Parlimen.

“Kita perlu memahaminya terlebih dahulu. Sesudah itu barulah mudah untuk kerajaan membuat pertimbangan (sama ada untuk menandatangani perjanjian TPPA atau sebaliknya)," katanya pada sesi dialog ke-10 bertemakan Melabur Untuk Ekonomi Berdaya Tahan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di sini.

Najib dan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto menjadi ahli panel pada sesi dialog itu yang dikendalikan oleh Editor Kanan Bloomberg Businessweek, Diane Brady.

Menjawab soalan Brady berhubung tempoh yang tinggal hanya dua bulan sebelum akhir tahun untuk 12 negara yang menyertai rundingan TPPA menandatangani perjanjian itu, kedua-dua pemimpin menegaskan tidak ada had masa yang ditetapkan untuk memuktamadkannya.

“Apabila melihat lebih mendalam dalam bidang harta intelek, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, inilah yang rumitnya. Kerana itu kami meminta supaya diberi fleksibiliti.

“Kunci utamanya adalah fleksibiliti. Saya bersetuju dengan Presiden Mexico bahawa tidak patut ada had masa tertentu untuk memuktamadkan perjanjian," tegas Najib.

Pena Nieto bagaimanapun berkata, menjadi harapan negara anggota termasuk Mexico untuk mencapai persetujuan dan kesepakatan dalam perkara-perkara yang dirundingkan di bawah perjanjian itu.

TPPA menjadi isu yang cukup kontroversi sejak idea pembentukannya yang ketika itu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Ekonomi Trans-Pasifik atau P4 bermatlamat meliberalisasi ekonomi rantau Asia Pasifik digerakkan oleh Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura pada 2005.

Sejak 2010, rundingan tersebut diperluaskan menjadi perjanjian perdagangan bebas meliputi beberapa negara lain yang sehingga kini berjumlah 12 anggota.

Negara lain yang turut menyertai rundingan TPPA selain Malaysia dan Mexico ialah Australia, Kanada, Jepun, Peru, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Esok, Najib akan menghadiri mesyuarat TPPA yang diadakan di luar Sidang Kemuncak APEC 2013 di sini.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, John Key. - UTUSAN





Post a Comment