. Karya terbaru oleh penulis Blog ini. DVD Belajar Bahasa Mandarin versi English-Mandarin
”smile”/
. Sangat sesuai bagi para siswa di IPT yang mengambil subjek Mandarin sebagai subjek pilihan.KLIK DI SINI

Saturday, August 24, 2013

Apa peranan OIC dalam kemelut politik Mesir sekarang.

Seringkali OIC dilabelkan sebagai Ooh I See ! Sebenarnya ia tidak keterlaluan. Memandangkan badan dunia Islam itu dianggap sebagai harimau lapar yang telah tiada taringnya. Hanya mencuit-cuitkan ekornya jika ada isu-isu panas yang melingkari dunia Islam. Untuk mengaum bak raja hutan sudah tiada yang takut.  Apatah lagi untuk mengepalai bala tentera demi mempertahankan negara-negara Islam sendiri.
 Dalam kemelut di Mesir, apakah OIC masih berperanan sekurang-kurangnya menjadi platform bagi negara-negara Islam menyuarakan kebimbangan serta memberi pertolongan.  Juga menjadi perantaraan bagi pihak-pihak yang bertelagah agar dibawa ke meja perundingan.
Dalam membicarakan masalah ini, kita tidak boleh hanya memfokuskan kepada Mesir sahaja, kerana masalah politik Mesir adalah masalah Asia Barat khususnya dan negara-negara Arab secara keseluruhannya.  Maka kita juga harus mengambilkira peranan kuasa-kuasa asing yang menjajahi pemikiran dan percaturan politik dunia Arab. 

. Karya terbaru oleh penulis Blog ini. DVD Belajar Bahasa Mandarin versi English-Mandarin
”smile”/
. Sangat sesuai bagi para siswa di IPT yang mengambil subjek Mandarin sebagai subjek pilihan.KLIK DI SINI
Di samping perluasan kuasa dari kalangan negara-negara Arab sendiri,  pertembungan mazhab, gerakan nasionalis, kebimbangan terhadap ancaman sistem monarki serta kebangkitan rakyat menerusi sistem demokrasi yang baru dinikmati oleh rakyat di rantau ini,  menjadikan ianya tempat untuk “experiment” bagi segala bentuk ideologi dan kefahaman bagi kepentingan sesuatu pihak. Malah tidak dinafikan ia juga satu bentuk penjajahan halus dari Yahudi yang ingin melihat kehancuran dunia Islam jiran-jirannya.
 Selain daripada OIC yang majoriti ahlinya terdiri dari negara-negara Islam di rantau ini,  kita juga harus mengambilkira peranan dua buah lagi entiti yang berkaitan iaitu Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk. Maka untuk merungkaikan permasalahan di Mesir, maka saya babitkan ketiga-tiga badan tersebut di samping peranan yang dimainkan oleh badan yang lebih besar seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Liga Negara-negara Arab atau biasanya disebut Liga Arab sahaja, mengandungi 21 buah negara Arab Teluk dan di benua Afrika yang secara amnya ditakrifkan sebagai negara-negara Arab. Matlamat pertubuhan itu ialah bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang di samping mengelakkan penggunaan kekerasan terhadap negara-negara anggota. Ibu pejabat Liga Arab terletak di Kaherah, Mesir.
Negara-negara yang menganggotai Liga Arab ialah Mesir, Iraq, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria, Yaman, Libya, Sudan, Magribi, Tunisia, Kuwait, Algeria, Amiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Oman, Mauritinia, Somalia, Palestin, Djibauti dan Comoros. Kesemua negara-negara Liga Arab adalah juga anggota OIC.

Majlis Kerjasama Teluk merupakan sekumpulan negara-negara Arab Teluk yang mengamalkan sistem pemerintahan monarki atau beraja.  Keanggotaannya ialah Amiriah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait
Oleh kerana negara-negara ini diperintah oleh kerajaan beraja, maka sistem pentadbirannya tidak terlalu mendedahkan kepada hak-hak rakyat seperti dalam bentuk sistem demokrasi sebaliknya mencengkam rakyat dengan undang-uandang yang lebih ketat. Walaupun terdapat gelombang inginkan pembaharuan namun ianya masih di peringkat terkawal. Secara tidak langsung polisi negara yang menyekat pengaliran fahaman atau gerakan anti raja menjadikan negara-negara ini membentuk satu blok yang berkonfrantasi dengan negara-negara yang kini terdedah dengan Arab Spring.
Pertubuhan Persidangan Islam atau Organisation of Islamic Cooperations (OIC) ditubuhkan dalam tahun 1969 yang ketika itu sedang memuncaknya serangan ganas puak Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa. Tindakan biadab puak Zionis itu mendorong para pemimpin Islam menubuhkan sebuah pertubuhan bagi memperjuangkan umat Islam dalam segenap bidang di seluruh dunia.
Di samping itu memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, budaya, sosial dan pelbagai bidang lain yang dianggap penting serta mengaturkan perundingan di kalangan mereka dalam membabitkan pertubuhan antarabangsa. Mengambil langkah perlu bagi menyokong usaha ke arah melahirkan keamanan dan keselamatan di kalangan negara-negara anggota.
 Kini keanggotaan OIC ialah 55 buah negara iaitu :
Afghanistan, Albania, Algeria, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Benin, Bosnia and Herzegovia, Brunei, Burkina Faso, Cameroon, Chad, Comoros, Djibouti, Mesir, Gabon, Gambia, Guinea, Guinea Bissau, Indonesia, Iran, Iraq, Jordan, Kuawait, Kyrghstan, Lebanon, Libya, Malaysia, Maldives, Mali, Mairitania, Maghribi, Mozambique, Niger, Nigeria, Oman, Pakistan, Palestine, Qatar, Arab Saudi, Senegal, Sierra Leone, Somalia, Sudan, Surinam, Syria, Tajikstan, Tunisia, Turkmenistan, Turki, Uganda, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Yaman.
OIC juga menerima beberapa negara yang mempunyai penduduk berugama Islam sebagai pemerhati seperti Afrika Tengah, Thailand, Russia dan Negeri Turkish Cyprus serta termasuklah pertubuhan seperti Barisan Pembebasan Islam Moro.
Pertubuhan OIC mempunyai struktur yang lengkap dengan mempunyai tiga badan utama iaitu :
      1.       Pembuat dasar iaitu Sidang kemuncak Ketua-ketua Negara Kerajaan OIC
2.      Persidangan Menteri-menteri Luar OIC
3.      Sekretariat OIC
Setiap badan-badan ini mempunyai peranan masing-masing mengikut keperluan. Maka setiap perlakuan yang menjadi isu masyarakat Islam haruslah ditangani oleh mana-mana badan ini mengikut kepentingannya.
 Sekretariat OIC yang berpejabat di Jeddah diketuai oleh seorang Setiausaha Agung yang bertanggungjawab melaksanakan semua keputusan yang dibuat oleh Persidangan Islam. Kini Setiauasaha Agung OIC ialah  Ekmeleddin Ihsanoglu dari Turki.
Apakah benar OIC hanya sekadar Ooh I See ? Hanya melihat sesuatu yang berlaku di negara-negara Islam dengan sebelah mata tanpa sebarang saranan atau tindakan konkrit seperti yang berlaku di Syria dan Mesir sekarang ini ?
Kita harus memahami suara Setiausaha Agong OIC tidak sama dengan Setiausaha Agong PBB, Ban Kee Moon. Malah suara Ban Kee Moon juga tidak diendahkan oleh blok Amerika Syarikat jika isu yang dibawa tidak menyebelahi bloknya. Sama juga kesnya jika sesuatu resolusi atau perbincangan di PBB tidak menyebelahi blok Russia, maka ia akan memvetonya.






Talk to Al Jazeera - Ekmeleddin Ihsanoglu: Combating Islamophobia


Maka kedudukan untuk menyuarakan isu-isu seperti di Mesir dan Syria dalam kalangan negara negara OIC harus dibangkitkan dalam peringkat mana ? Apakah hanya disuarakan oleh Setiausaha Agong yang tidak punyai apa-apa kapasiti cuma hanya sebagai jurucakap sahaja ?  Atau lontaran itu harus dilangsungkan oleh Persidangan Menteri-menteri Luar OIC ? Mungkin juga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan OIC ? Maka saluran haruslah betul bagi mendapatkan mandat yang betul-betul dapat diperakui dan diterima oleh pihak-pihak yang bertelagah.
Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah menulis surat kepada ketua-ketua kerajaan OIC bagi mendapatkan reaksi seterusnya mencadangkan satu persidangan bagi mencari penyelesaian bagi isu ini. Malaysia dikatakan akan memainkan peranan aktif dalam penyelesaian kemelut politik Mesir ini.

Perhatian ! Artikel ini membincangkan peranan yang dimainkan oleh PBB & Liga Arab  : 

Sebelum ini, Turki dan Iran juga telah menyuarakan agar OIC melancarkan inisiatif bagi mencari penyelesaian perdamaian. Ini memandangkan hanya OIC sahaja yang mempunyai status penghormatan bagi mengendalikan perundingan. Ini memandangkan Majlis Kerjasama Teluk tidak berada dalam lingkungan ini, manakala Liga Arab dikhuatiri tidak dapat bertindak adil, lantaran di kalangan negara-negara anggotanya terlibat secara langsung dalam konflik ini iaitu, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turki.

Pada pendapat saya, makanisma untuk mengadakan saluran perbincangan haruslah dirintis dari peringkat menteri-menteri luar OIC.  Melalui resolusi-resolusi ini haruslah memberi mandat samada menyerahkan kepada Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan OIC  ataupun kepada duta-duta khas yang dipercayai mempunyai kewibawaan sebagai pendamai di peringkat dunia. Ianya adalah atas kapasiti duta khas OIC yang mungkin dianggotai oleh sekumpulan negarawan negara-negara Islam.
Maka jika Malaysia mengusulkannya, maka saya berpendapat orang yang paling layak untuk ditonjolkan ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Negarawan Malaysia ini bukan sahaja diterima oleh negara-negara Islam, negara-negara Selatan, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) bahkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pengalaman beliau dalam menggerakkan inisiatif dalam mendamaikan antara pengganas Komunis di Malaysia dengan kerajaan Malaysia adalah satu contoh pertama di dunia.
Malaysia dipandang tinggi sebagai negara pengantara perdamaian terutamanya selepas kita berjaya membawa perdamaianan ke atas Moro Islamic Liberation Front (MILF) dengan kerajaan Filipina. Kejayaan ini telah memberi kepercayaan kepada pihak kerajaan Thailand agar Malaysia memainkan peranan yang sama bagi mencari perdamaian dengan antara kerajaan Thailand dengan pemberontak di Selatan Thai. Apakah kita tidak mampu untuk mendamaikan puak-puak yang bertelagah di Mesir ?
Namun demikian, senario di Filipina dan Thailand tidak serupa dengan yang berlaku di Mesir. Ia lebih kompleks dengan campur tangan asing terhadap pergolakan ini selain pertentangan yang serius antara pihak tentera dan Ikhwanul Muslimin.
Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang hangat diperkatakan sekarang ! Klik pada imej.  : 


Ini kerana Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Presiden  Mursi yang digulingkan oleh tentera haruslah dikembalikan ke kedudukan asal dan diberi mandat untuk memerintah kembali. Pun begitu, tentera sudah nyata tidak akan menerima permintaan tersebut kerana menganggap tentera sebagai penyelamat negara dengan melakukan rampasan kuasa bagi mengelakkan negara dari kancah perang saudara atau pertempuran antara penyokong Ikhwanul Muslimin dengan pihak pembangkang yang pro sekular dan puak kiri.

Ikhwanul Muslimin yang kental semangat mereka adalah sebuah pergerakan yag tersusun dari peringkat akar umbi yang telah diasaskan oleh Hassan al-Bana dalam tahun 1928.  Mereka pernah menghadapi saat-saat genting melawan tentera sejak tahun 1954 lagi. Ketika itu ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin ditangkap serta digantung sehingga mati, antaranya ialah Abdul Qadir Audah, Abd al-Fattah Ismail, Muhammad Al-Faghati dan lain-lain. Mereka dikatakan berkomplot untuk menggulingkan Presiden Muhammad Naguib dalam satu rampasan kuasa yang gagal. Akhirnya Ikhwanul Muslimin juga turut diharamkan. Manakala dalam tahun 1966 pula, Sayyid Qutb pula dihukum gantung. Maka bolehlah dikatakna Ikhwanul Muslimin adalah satu pergerakan yang amat radikal terutamanya bila berlaku saat-saat genting seperti sekarang.


Pihak tentera juga sejak mengambilalih kuasa dalam rampasan kuasa tentera bagi menggulingkan Raja Farouk dalam Revolusi Rakyat tahun 1952, sehinggalah beberapa orang presiden silih berganti, semuanya dari kalangan tentera. Maka rakyat Mesir telah biasa dengan hidup di bawah undang-undang tentera, jika berlakupun kebangkitan rakyat, hanya muncung senapang dan kereta kebal sahaja yang dapat mengawal keadaan. 


Maka jika diadakan rundingan damai, apakah Ikhwanul Muslimin masih bertegas dengan mempertahankan semua ini, sedangkan perkara yang lalu tidak akan kembali. Maka mereka seharusnya menerima ketetapan bahawa keamanan haruslah berteraskan keadaan semasa di mana tentera seharusnya diberi peluang untuk menguruskan pentadbiran negara buat sementara waktu, kemudiannya menjalankan pilihanraya yang adil sekali lagi.


Krisis politik di Mesir tidak mendapat perhatian di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu. Amerika Syarikat yang bersekongkol dengan pihak tentera begitu enggan mengeluarkan sebarang kenyataan keras yang mengutuk keganasan tentera terhadap rakyat Mesir. Begitu juga blok Russia dan China hanya memandang sepi kerana mereka juga sedang terlibat dalam konspirasi mengukuhkan kedudukan Bashar al-Assad di Syria.


Melihatkan kepada situasi yang berlaku di Mesir sekarang ini, pihak Ikhwanul Muslimin memang tidak gentar untuk melawan pihak tentera, lantaran pengalaman masa-masa lalu dan selama enam dekad ditekan di bawah pemerintahan tentera. 
Dalam suasana sekarang, dari segi rasionalnya apakah pihak Ikhwanul Muslimin tidak mengukur di badan sendiri bahawa sokongan yang diperolehi mereka sebenarnya berdasarkan emosi sahaja. Apakah jika diberikan peluang sebenar untuk Mursi kembali berkuasa, apakah beliau dapat mengawal keadaan, sedangkan semasa menjadi  presiden pun beliau tidak mampu untuk meraih sokongan serta melakukan perubahan dalam landskap politik serta ekonomi. Dalam pilihanraya Presiden pun, Mursi hanya memperolehi 51.7% peratus sokongan. Ia dilihat suatu sokongan majoriti yang tipis.

Kini senario yang semakin genting kerana pihak tentera telah membebaskan Hosni Mubarak dari tuduhan rasuah tetapi masih lagi menjalani tahanan dalam rumah. Suasana ini akan memberi sokongan moral kepada puak-puak yang masih setia dengan Hosni Mubarak. Dan jika Ikhwanul Muslimin masih terus berkeras dengan pendirian mereka, apakah puak-puak yang menyokong Hosni Mubarak ini akan berdiam diri ? Maka lambat-laun ia akan menjadi pertembungan yang nyata, maka dikhuatiri peristiwa seperti sebelum tumbangnya Mursi akan berlaku. Inilah yang cuba dielakkan !

Manakala dalam negara-negara OIC sendiri terdapat konflik kepentingan di Mesir. Semasa pentadbiran Mursi, hanya Turki dan Qatar sahaja yang menyalurkan bantuan AS$30 billion untuk menyelamatkan ekonomi Mesir.  Tetapi Arab Saudi enggan berbuat demikian kerana takutkan gerakan Ikhwanul Muslimin juga akan menjalar ke Arab Saudi serta menggugat sistem monarki berajanya. Setelah Mursi ditumbangkan, Arab Saudi dan Kuwait pula menyalurkan AS$12 billion kepada kerajaan sementara tentera. Sesungguhnya di sini memperlihatkan pertembungan kepentingan dan kuasa antara Riyard dan Doha.
Jadi apakah semua negara-negara ini akan mengenepikan kepentingan mereka dan bersatu membantu Mesir demi ummah dan Islam. Pihak tentera pula dijangka akan mengendurkan ketegangan ini jika mendapat jaminan bahawa pihak-pihak yang bertelagah ini sanggup berkompromi dan memilih jalan demokrasi serta satu pilihanraya akan dijalankan.
Kita juga mengharapkan pihak OIC dapat memainkan peranan mereka secepat mungkin. Maka ketegasan Malaysia mengutuskan surat kepada ketua-ketua kerajaan negara OIC juga diharap mendapat reaksi yang positif. Menurut YAB Peradana Mentari, beliau berharap akan menerima panggilan dari ketua-ketua kerajaan OIC dalam masa terdekat. Maka langkah seterusnya sudah pasti akan dimainkan oleh OIC dengan peranan aktif dari Malaysia.

Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

24.08.2013




Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Post a Comment