Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Wednesday, July 10, 2013

Perang Saudara di Syria : Perang proksi AS dan Russia



Syria atau nama rasminya Syrian Arab Republic adalah sebuah negara yang terletak di Asia Barat yang bersempadanan dengan Lubnan di barat, Turki di bahagian utara, di timur pula bersempadanan dengan Iraq, dengan Jordan di selatan  dan manakala di bahagian baratdayanya pula dengan Israel.
Dalam skop negara-negara Arab pula, Syria sering dikaitkan pula dengan negara Iran di Timur dan Mesir di bahagian selatan. 


Kini krisis yang melanda dunia Arab yang melibatkan Turki, Syria dan Mesir di mana saya gelarkan negara-negara ini sebagai Pergolakan Segi Tiga Arab.  Sila rujuk kepada peta negara-negara Asia Barat yang bersempadanan dengan Syria. 

Dalam pergolakan-pergolakan ini, sudah tentu pemain-pemain yang mencaturkan keporak-perandaan ini ialah dari blok Amerika Syarikat dan blok Russia yang mempunyai kepentingan dan proksi di rantau ini.
 
Sesungguhnya krisis yang melanda Syria hari ini bukanlah semudah yang terdapat di Turki dan Mesir kerana ia lebih menampakkan krisis dalaman dan penentangan rakyat terhadap cara politik yang dibawa oleh parti-parti pemerintah yang baru mengecapi sistem demokrasi.
Kerana politik Turki dan Mesir kini lebih menampakkan satu proses ke arah kematangan berpolitik oleh rakyatnya dalam menerima sistem baru demokrasi oleh rakyat setelah begitu lama diperintah oleh regim tentera.

Sesungguhnya sistem demokrasi liberal yang dipaksa terhadap rakyat Mesir hari ini dengan tidak dibajai dengan teliti telah memporak-perandakan negara tersebut.
Namun krisis di Syria telah melangkaui batas-batas negara dan ia menjadi percaturan kuasa-kuasa besar dunia. Ia ditentang kerana masih lagi dipimpin oleh regim yang berasaskan undang-undang tentera, dan Barat menjadikan ia sebagai alasan itu untuk camputangan dalam urusan dalam negara Syria lalu membantu gerakan yang menentang kepimpinan Syria. Maka akhirnya Syria telah terjerumus dalam kancah perang saudara sejak awal tahun 2011 lagi.
Namun di sebalik campurtangan asing itu terserlah niat sebenar blok Amerika Syarikat yang ingin menguasai Syria yang menjadi ancaman berterusan kepada Israel. Ia juga untuk menyekat pengaruh Iran yang menjadi sekutu Syria yang memang diketahui Iran adalah  musuh utama Amerika Syarikat.
Di pihak blok Russia pula, ia perlu mempertahankan regim Syria kerana hanya inilah satu-satunya lagi benteng yang menjadi simbol pengaruh Moscow di Asia Barat setelah beberapa negara-negara pro Moscow sebelum ini telah mengubah kiblat ke Washington. 
Ini termasuklah Libya yang awal-awal lagi telah keluar dari pengaruh Moscow lalu membuat blok sendiri yang mengikut acuan revoluniser Muarmar Ghadafi. Di Mesir pula, pada era Anwar Sadat telah mengubah haluan yang dirintis oleh Gamal Abdel Nasser yang pro Moscow kepada Washington.








Kini blok Amerika Syarikat telah menguasai Turki, Jordan dan Israel yang terang-terang menjadi mini Amerika Syarikat di rantau ini.  Manakala Arab Saudi dan Mesir menjadi sekutu yang begitu rapat dengan Amerika Syarikat.  
Lubnan pula setelah mengalami berpuluh tahun perang saudara tetapi kini telah mengorak langkah untuk membina semula negara yang hancur dek sengketa dalaman.  Dari segi pengaruh politik, Lubnan masih mempunyai pengaruh Hizbullah yang pro Iran di mana ia menjadi pengimbang dan benteng bagi kemaraan Israel terhadap Syria.
Dalam tulisan yang selanjutnya, saya akan memecahkan kepada bebarapa sub-title atau tajuk-tajuk kecil bagi membicarakannya secara berasingan.

Sejarah Kemerdekaan Syria dan Ketenteraannya

Syria telah mencapai kemerdekaan dari Perancis dalam tahun 1946. Namun demikian ia tidak menampakkan keamanan lantaran berlaku beberapa siri rampasan kuasa tentera terutamanya dari tahun 1949-1971. Sejak tahun 1963 hingga 2011,  Syria melaksanakan Undang-undang Darurat dan perlembagaan digantung.
Syria kehilangan Bukit Golan kepada Israel dalam Peperangan Enam Hari yang juga dikenali sebagai Perang Arab-Israel dalam tahun 1967. Dalam masa yang sama Semenanjung Sinai ditawan Israel daripada Mesir.
Dalam tahun 1973 pula, Syria telah bersama Mesir telah berperang sekali lagi dengan Israel dalam apa yang dinamakan sebagai Perang Yom Kippur. Syria tidak mendapat kembali Bukit Golan malah jajahan Israel telah lebih jauh masuk ke dalam wilayah Syria.
Namun demikian dalam Perjanjian Camp David dalam tahun 1978 antara Presiden Mesir,  Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Manachem Begin yang ditaja oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Jimmy Carter, akhirnya Semenanjung Sinai dipulangkan kepada Mesir dengan balasan pengiktirafan Israel oleh Mesir. Namun demikian, Bukit Golan sehingga hari ini masih menjadi kawasan strategik ketenteraan bagi Israel.
Syria juga menjadi power broker di rantau Asia Barat dengan menduduki Lubnan dalam tahun 1976. Dalam perang saudara di Lubnan selama 15 tahun, Syria menguasai Lubnan dengan tujuan mengekang kemaraan Israel daripada menguasai bahagian selatan Lubnan sehinggalah Syria keluar daripada Lubnan dalam tahun 2005.

Perkembangan politik dan permulaan perang saudara

Sejak tahun 1963 lagi, Syria diperintah oleh Parti Ba’ath. Pemilihan Presiden dilakukan melalui referendum dan tidak membenarkan mana-mana calon pembangkang dalam pilihanraya.  Dalam tahun 1970, Hafez al-Assad mengetahui rampasan kuasa tentera dan menjadi Presiden selama 30 tahun.
Dalam tahun 1982 telah berlaku pemberontakan Islam Sunni terhadap Hafez al-Assad dan akibatnya beliau melakukan dasar bumi hangus terhadap Bandar Hama serta mematahkan penentangan terhadapnya. Kejadian ini mencatatkan penentangan dengan korban berpuluh-puluh ribu  di kalangan masyarkat Islam Sunni.
Bashar al-Assad telah mengambil tampuk pemerintahan daripada bapanya Hafez al-Assad dalam tahun 2000 sebagai Presiden setelah melakukan pindaan dalam Perlembagaan yang mengurangkan syarat umur Presiden dari 40 ke 34 sahaja. Ini membolehkan Bashar al-Assad menjadi Presiden dalam usia yang muda.
Setahun selapas Bashar menjadi Presiden, beliau mendapat tentangan daripada aktivis yang mendesaknya mengadakan pilihanraya yang lebih demokratik namun ianya berakhir dengan penangkapan 10 orang aktivis dalam apa yang dinamakan sebagai Damsyik Spring.
Ini disusuli dengan pihak pembangkang mengadakan Deklarasi Damsyik dalam tahun 2005 yang sekali lagi mendesak diadakan reformasi demokratik. Namun demikian keadaan bertambah tegang dengan rusuhan oleh puak Kurdish-Arab terutamanya di kawasan Kurd di Syria.
Komposisi rakyat Syria terbentuk daripada golongan Sunni yang berjumlah 70%, manakala selainnya ialah puak Syiah dan minoriti Kurd. Namun demikian, puak keluarga al-Assad yang terdiri dari mazhab Alawite yang merupakan cabang Syiah menguasai perkhidmatan keselamatan Syria. Secara tidak langsung ia menambah kebencian puak Sunni yang merupakan majoriti penduduk Syria.
Asas yang menjadi penentangan terhadap Hafez al-Assad ialah reformasi terhadap sistem politik yang pelbagai parti dan kebebasan bersuara yang lebih serta hak sama-rata bagi puak-puak Kurd. Di samping penjanaan ekonomi yang lebih baik serta kehidupan sosial yang lebih terjamin sealiran dengan pemodenan negara-negara di rantau teluk.  Ini tidak ditangani oleh Hafez al-Assad dengan baik yang mana ia terus mencengkam rakyat terutamanya golongan miskin dan petani. Golongan muda juga tidak mendapat pekerjaan dan kadar penganguran yang tinggi serta kekurangan sokongan terhadap industri tempatan.
Rakyat sudah tidak tertahan hidup dalam kongkongan tentera dan undang-undang darurat serta mutu kehidupan yang tidak menyebelahi mereka, lalu terjadilah pemberontakan yang bermula dengan batahan pada Januari 2011 dan meningkat pada Mac 2011.
Ini didorong oleh bantahan-bantahan oleh rakyat-rakyat Arab di negara-negara serantau yang bermula dari Tunisia,  Mesir dan akhir merebak ke Syria, Libya dan Yaman. Inilah yang dinamakan sebagai Arab Spring. Mengapa ia dinamakan sebagai Spring ialah mengambil sempena musim bunga yang dalam bahasa Inggeris disebut sebagai spring yang bermula pada awal tahun.
 

< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my


Sebenarnya cara yang hampir sama dilakukan di negara-negara Mesir dan juga Turki bagi menangani penunjuk perasaan yang membantah kerajaan. Cuma kerajaan Syria menggunakan pendekatan yang lebih keras iaitu menggunakan kereta kebal dan penembak tepat dari atas bangunan untuk memaksa penunjuk perasaan berundur.
Kemelut ini akhirnya membentuk satu gelombang yang lebih besar dengan penunjuk perasaan dan pembelot tentera mula bersatu dan membentuk satu unit perang di bawah panji Tentera Pembebasan Syria. Ia akhirnya menjadi satu kuasa pembangkang yang besar hari ini.
Dengan penyertaan lebih banyak tentera yang berpangkat tinggi berpaling tadah menyertai kumpulan ini, maka ketumbukan ketenteraan ini telah disusun begitu rapi.  Dalam masa yang sama, beberapa pemimpin yang dulunya hidup dalam buangan telah bersama dengan pemimpin-pemimpin dalam negara Syria telah menaikkan imej dan semangat perjuangan mereka.  Secara tidak langsung mereka begitu mudah untuk mendapatkan sokongan dana serta persenjataan dari negara-negara asing.
Sesungguhnya pucuk dicita, ulam mendatang.  Masa yang dinanti-nanti dan peluang yang diintai oleh blok terutamanya dari Amerika Syarikat telah sampai. Maka senjata-senjata dibekalkan dengan begitu mudah kepada pihak pembangkang melalui Turki yang bersempadanan dengan Syria.
Penentangan bersenjata ini akhirnya telah mencetuskan perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua pihak serta kemusnahan harta-benda yang sukar untuk dinilaikan.
Maka rakyat terbanyak menjadi mangsa dengan melarikan diri ke negara-negara yang bersempadanan dengan Syria seperti Jordan, Turki, Iraq dan Lubnan. Pelarian Syria di Jordan yang paling ramai dan memaksa kerajaan Jordan memohon bantuan kecemasan daripada dunia bagi menampung keperluan makanan dan tempat tinggal yang asas kepada pelarian-pelarian ini.
Ia menjadi satu krisis dunia dengan mendapat liputan yang meluas oleh negara-negara asing serta pertubuhan-pertubuhan dunia seperti PBB, EU, Liga Arab, Majlis Kerjasama Teluk dan sebagainya. Malah dalam tahun 2011, Liga Arab telah menggantung keanggotaan Syria.

Percaturan Iran terhadap Syria Vs Amerika Syarikat terhadap Syria

Rebutan antara Iran terhadap Syria dengan Amerika Syarikat terhadap Syria adalah pertentangan kuasa dan proksi masing-masing. 

Sejak dari dahulunya Hizbullah adalah kumpulan politik ketenteraan bersenjata yang mendapat sokongan dari Iran dan menjadi amat berpengaruh di Lubnan.  Ia juga mendapat sokongan padu daripada puak Syiah Lubnan. Ia bukan sahaja mampu mencabar pengaruh Barat di Lubnan malahan digeruni oleh Israel.

Ia bersekutu dengan Syria di mana ketenteraan Syria dipegang oleh minoriti Syiah dari keluarga al-Assad walaupun majoriti penduduk Syria berfahaman Sunni. Maka ketiga-tiga kuasa iaitu Hizbullah, Syria dan Iran menjadi paksi kepada penentangan Barat di rantau ini.

Dengan berdiri teguhnya regim Syria sekarang ini akan menjadi benteng terhadap niat Israel dan Amerika Syarikat bagi rantau ini. Secara tidak langsung ia menjaga keselamatn Iran. Sebab itulah sokongan Iran terhadap regim Syria tidak berbelah-bagi walaupun ia dikecam oleh sebahagian besar komuniti negara-negara Arab di sekelilingnya.

Di pihak Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat pula mengharapkan apabila regim Saddam Hussein di Iraq tumbang maka seterusnya ialah menumbangkan regim  Assad di Syria. Sementelah regim Muarmar Ghadafi juga telah tumbang. Maka inilah masa yang sesuai untuk meruntuhkan benteng antara Syria dengan Iran.  Seterusnya mendemokrasikan Syria mengikut acuan barat.

Dengan cara yang demikian maka Hizbullah juga akan dapat dilemahkan kerana sudah tentu kerajaan baru Syria akan megikut telunjuk Amerika Syrikat.  Seterusnya penguasaan Hizbullah di Lubnan dikurangkan.  Ini kerana selagi Hizbullah masih kuat di Lubnan maka ia tetap menjadi ancaman kepada Israel.


Sokongan Moscow dan Beijing terhadap regim Damsyik

Tidak dapat disangkal lagi bahawa selain daripada Iran, maka Syria mendapat sokongan yang padu daripada Moscow dan diikuti oleh Beijing.  Russia telah membekalkan apa jua persenjataan yang diperlukan oleh regim Assad di Syria bagi menentang puak pembangkang
Manakala China pula walaupun tidak nyata memberikan persenjataan, namun ia menyokong regim Bashar di Perhimpunan Agong Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Dalam beberapa kali ketetapan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh regim Bashar terhadap rakyatnya, namun Moscow dan Beijing telah mengambil pendirian memveto apa jua resolusi yang dibentangkan.
Moscow memang nyata mempertahankan maruahnya di Asia Barat kerana itulah satu-satunya sekutu Moscow di rantau ini yang masih ada lagi. Dahulunya di era Soviet Union, Moscow mempunyai beberapa proksi di rantau ini terutamanya semasa perang dingin antara pakatan Warsaw dengan Nato.  Setelah pembubaran Soviet Union, maka big brother, Russia masih lagi mengaum sebagai beruang putih yang punyai taring.
China pula punyai kepentingan strategik di Iran yang menjadi sekutu rapat di Syria. Di samping itu China juga tidak mahu perluasan pengaruh Amerika Syarikat begitu bermaharajalela di rantau Asia Barat di mana China juga sedang membesarkan pengaruhnya dirantau ini. Maka dengan menyokong regim Bashar bukanlah bermakna ia menyokong keganasan tetapi lebih kepada strategi perluasan kuasa. Sesungguhnya kehadiran China ialah sebagai pengimbang kuasa pengaruh Amerika Syarikat.

Hala tuju puak pembangkang dan pendemokrasian Syria

Pihak pembangkang banyak mengharapkan sokongan material dan moral dari kuasa-kuasa asing bagi menentang regim Bashar al-Assad. Jika benar-benar mereka dapat menumbangkan regim Bashar, apakah ia dengan mudah akan menajadi proksi kepada kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat.
Jika ini terjadi, maka kekuasaan Israel sudah tentu tidak dapat dibendung lagi. Kerana selama ini yang sanggup menentang Israel ialah Syria dan proksi Syria di Lubnan iaitu Hizbullah. Secara tidak langsung nasib Palestine yang tersepit antara Jordan, Syria dan Israel semakin malap.
Kini kumpulan-kumpulan pemberontak masih lagi bergerak secara bersendirian tanpa mempunyai satu arahan dari pusat. Maka dengan yang demikian, sejak akhir-akhir ini mereka telah menerima tamparan kerana banyak tempat yang dikuasai mereka telah dapat ditawan kembali oleh tentera kerajaan Syria.

Ini ditambah dengan pergeseran antara puak-puak penentang itu antara satu sama lain telah membantutkan usaha penyatuan mereka. Ini adalah kerana puak-puak tersebut mewakili proksi yang berbeza. Ada yang mewakili sekular dengan bantuan oleh Amerika Syarikat dan Turki. Manakala puak-puak yang berhaluan keagamaan yang sealiran dengan Ikhwanul Muslimin dibantu oleh Qatar. Manakala satu pihak yang lain pula dibiayai oleh Arab Saudi, Kuwait dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Kini dilaporkan parti pembangkang utama Syria, Perikatan Nasional Syria telah menamakan bekas tahanan politik, Ahmad Aasi al-Jarba sebagai pemimpin pergerakan menentang regim Syria  dalam satu mesyuarat yang diadakan di Istanbul dengan dihadiri oleh para pemimpin pembangkang yang tinggal dalam buangan.
Jika benar mereka berupaya membentuk kerajaan di Syria dan memaksa pendemokrasian dilakukan dalam sebuah negara yang selama ini tidak pernah mengecapi apa itu demokrasi, apakah kesannya nanti akan sama dengan yang dihadapi oleh Mursi di Mesir sekarang ? Apakah keamanan yang dicari maka kehancuran yang lebih banyak akan diterima ?

Penyelesaian dari kacamata penulis

Berdasarkan percaturan politik dan kuasa-kuasa asing yang menjeromos bumi Syria ketika ini, maka satu penyelesaian yang hakiki perlulah dicari.
Untuk mengeluarkan mereka yang telah berada dan bertempur di bumi Syria adalah sesuatu yang mustahil. Manakala untuk menghentikan bantuan dan campurtangan asing juga adalah mustahil. Untuk menjatuhkan regim Bashar dalam keadaan yang memalukan seperti Saddam Hussein dan Muarmar Ghadafi juga tidak dapat diterima.
Maka apakah rancangan susulan yang difikirkan lebih konkrit dan dapat diterima oleh semua pihak ?
Saranan oleh Setiausaha Agong PBB, Ban Ki-Moon agar semua pihak yang terlibat dalam persengketaan menghentikan apa jua bentuk serangan sempena menghormati bulan Ramadhan.
Manakala parti Ba’th telah mengumumkan selain Bashar menjadi pemimpin tertinggi, mereka juga telah menstrukturkan kepimpinan parti yang mungkin boleh diterima oleh rakyat dengan trasformasi dan perubahan yang bercorak demokratik.
Kedua-dua pihak haruslah menerima gencatan senjata selama sebulan berpuasa ini untuk mengendurkan ketegangan dan di samping itu memcari formula agar rundingan perdamaian dapat diaturkan. 
Ia mungkin akan menjuruskan kepada perkongsian kuasa dan penstrukturan pentadbiran negara. Di samping mengembalikan perlembagaan dengan penyertaan rakyat yang lebih aktif serta membenarkan sistem politik kepelbagaian parti dijalan secara perlahan-lahan.  Ia tidak harus melalui satu revolusi seperti mana yang dilalui oleh Mesir dan Libya kerana ia akan mendatangkan lebih banyak kemusnahan daripada usaha membinanya kembali.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

10.07.2013


Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang hangat diperkatakan sekarang ! Klik pada imej.  : 
Post a Comment