Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Friday, July 26, 2013

Palestin 1948 - 2013 : Perjuangan yang belum selesai ........

 
Perjuangan rakyat Palestin masih belum selesai ! Berapa lamakah lagi mereka harus menanti untuk keamanan yang berkekalan. Bila lagikah permusuhan dalaman antara Fatah dan Hamas akan berakhir ? 

Jika dari dalam masih berantakan, apakah kuasa di luar yakni Israel dan Amerika Syarikat akan tunduk kepada bangsa yang tidak bersatu ?

Semakin lama konflik diheret, semakin banyak tanah rakyat Palestin dirampas oleh regim Yahudi untuk dijadikan penempatan pendatang Yahudi. Maka semakin kabur juga Baitulmuqaddis akan menjadi Ibukota bagi orang-orang Palestin.   


Klik pada imej untuk membesarkanya !

Dalam tulisan saya kali ini, masih mengekalkan pergolakan di Asia Barat. Di dalam beberapa tulisan terdahulu saya telah menyentuh mengenai krisis politik di Mesir yang menumbangkan Mursi, perang saudara di Syria yang menampakkan perang proksi AS dengan Russia, di Turki pula, Erdogan masih kukuh walaupun diasak oleh puak sekular. Ketiga-tiga krisis bagi negara-negara Mesir, Turki dan Syria, saya gelarkan sebagai Pergolakan Segi Tiga Arab.

Secara tidak langsung pergolakan di Segi Tiga Arab telah mempengaruhi perkembangan di Palestin. Ini kerana hubungan Palestin terutama di Genting Gaza yang bersempadanan dengan Mesir telah menyaksikan sekatan yang lebih ketat terhadap penduduk Palestin kerana Mesir telah menutup serta menimbus banyak terowong-terowong penyeludupan barang-barang harian ke Palestine oleh pemerintah tentera Mesir. 


Perhatian ! Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda.



Untuk membicarakan perjuangan rakyat Palestin, maka kita haruslah menyorot sejarahnya sebelum tahun 1948 lagi. Lebih tepat lagi sebelum dan selepas Perang Dunia Pertama dalam tahun 1914-1918.




Namun demikian tahun 1948 adalah titik tolak bagi segala konflik yang melanda Palestin hari ini iaitu selepas tamatnya Perang Dunia ke dua. Selepas Perang Arab-Israel tahun 1967 yang juga  dikenali sebagai Perang Enam Hari semakin memburukkan keadaan. Konflik antara Fatah dan Hamas membahagikan Palestine kepada dua pentadbiran di Tebing Barat dan Genting Gaza. Dan kini diura-ura rundingan damai tajaan Amerika Syarikat masih menemui jalan buntu.

Adalah lebih mudah untuk membicarakan persoalan ini dengan mengaitkan peta-peta yang menunjukan perubahan wilayah mengikut tahun-tahunnya.



Sesungguhnya sebahagian daripada wilayah-wilayah Lubnan, Jordan, Syria ,Palestin dan Israel hari ini yang dahulunya dikenali sebagai Palestine  adalah bekas jajahan takluk Empayer Uthmaniyyah yang memerintah di tahun 1517-1917.  Dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Turki yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Uthmaniyyah telah bersama Jerman memerangi negara-negara Berikat. Jerman akhirnya telah kalah, maka Turki juga  semakin lemah.

Akhirnya dalam tahun 1916 melalui satu perjanjian rahsia yang dinamakan Perjanjian Sykes-Picot, penguasaan Empayar Uthmaniyyah terhadap wilayah-wilayah bahagian selatan terpaksa dipindah mandat kepada Perancis yang menduduki Lubnan dan Syria. Dan wilayah Palestine (asal) yang mengandungi Jordan, Israel dan termasuklah Tebing Barat diberikan kepada Inggeris.

Dalam masa yang sama Menteri Luar Inggeris yang berketurunan Yahudi ketika itu, Athur James Balfour melalui deklarasi Balfour dalam tahun 1917 dan menjadi tulang belakang bagi menyokong pembentukan tanah air Yahudi di Palestine. Maka selepas itu imigrasi Yahudi ke Palestine semakin bertambah kerana dasar Inggeris yang menggalakannya.

< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my


Dalam tahun 1922, Kerajaan Empayar Kesultanan Uthmaniyyah digulingkan, lalu Turki membentuk negara republik yang menjadikan Mustafa Kemal Ataturk sebagai Presidennya. Di tahun yang sama juga, British memberikan kemerdekaan kepada Mesir tetapi melantik Raja Fuad yang juga memerintah Sudan dan jajahan Darfour sebagai Raja Mesir.  Keadaan yang sama juga telah merubah struktur pentadbiran di Palestine.

Dalam tahun 1923, British membahagikan Palestin (asal) kepada dua pentadbiran iaitu di timur Sungai Jordan yang dikenali sebagai Jordan sekarang ini. Manakala orang-orang Yahudi hanya dibenarkan bertapak di barat Sungai Jordan yang kini meliputi Israel dan Palestine sekarang. Ianya kekal sehingga tahun 1947 iaitu sebelum perang Arab-Israel tahun 1948.

Dalam tahun 1938, Nazi Jerman pimpinan Hitler, telah menganggap bahawa orang-orang Yahudi di Jerman mengjadi pengkhianat terutamanya semasa Perang Dunia Pertama dan  yang telah menghancurkan ekonomi Jerman maka mereka haruslah dihapuskan.

Penghapusan ini lebih dikenali sebagai “Holocaust“ terutamanya dalam Perang Dunia Kedua. Maka ratusan ribu keturunan Yahudi dianiaya ataupun melarikan diri ke luar negeri terutamanya ke Amerika Syarikat. Akhirnya golongan Yahudi inilah yang sekarang ini menjadi kaya raya dan menguasai ekonomi Amerika Syarikat terutamanya media-media besar dan sebagai pelobi kepada dasar-dasar Amerika Syarikat terhadap Israel serta menderma untuk pembangunan komuniti Yahudi di Israel dan seluruh dunia.

Manakala di dalam wilayah Yahudi di Palestin pula, para nasional Yahudi telah membentuk pasukan pentahanan mereka yang dikenali sebagai Hagana bagi menentang nasionalis Palestine. Ini adalah permulaan pembentukan unit ketenteraan bagi negara Israel kemudiannya.  Disamping itu kumpulan bawah tanah yang dikenali sebagai Irgun dipimpin oleh Menachem Begin yang akhirnya menjadi Perdana menteri Israel. Tetapi rakyat Palestine tidak membentuk pertahan mereka sendiri.


Selepas tamat Perang Dunia Kedua dan dengan penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) , maka pada tahun 1947, PBB telah mengeluarkan satu Resolusi 181 (II) yang membahagikan Palestin kepada dua iaitu untuk Arab dan Yahudi serta Inggeris keluar dari bumi Palestine. Ianya dinamakan sebagai United Nation Partition Plan 1947. Namun demikian, ia ditentang keras oleh negara-negara Arab kerana kaum Yahudi yang hanya merupakan 30% daripada penduduk di situ mendapat 55% walayah. 

Maka sehari sebelum berakhirnya mandat British pada 14hb Mei 1948, orang-orang Yahudi telah mengisytiharkan kemerdekaan lalu menamakannya sebagai negara Israel.  Dan sehari kemudiannya pula iaitu pada 15hb Mei 1948, tentera-tentera dari negara-negara  Arab iaitu Mesir, Lubnan, Syria, Jordan, Arab Saudi, Yaman dan Iraq telah memasuki wlayah yang bergolak ini.

Peperangan akhirnya meletus antara negara-negara Arab yang menyokong rakyat Palestine untuk memerangai Israel. Ini dikenali sebagai Perang Arab-Israel tahun 1948.  Ianya berlarutan selama 9 bulan 3 minggu dan 2 hari.  Ini diakhiri dengan perjanjian tamat perang pada 20 Julai 1949 dengan kemenangan berpihak kepada Israel.

Dengan itu Israel menguasai kesemua  wilayah yang diperuntukan dalam pembahagian tahun 1947, dan tambahan 50% daripada wilayah yang diperuntukan kepada Arab. Manakala Jordan menguasai Tebing Barat dan Mesir menguasai Genting Gaza. Ramai rakyat Palestin yang akhirnya menjadi pelarian di negara-negara Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria.

Di tahun 1964, para pemimpin Liga Arab membentuk Palestine Liberation Organization (PLO) yang disasarkan penubuhannya untuk memerdekakan negeri bagi orang-orang Palestine. Ia juga sebagai badan tunggal yang sah bagi mewakili rakyat Palestin di pentas dunia. Keunikan PLO ialah ia sebuah organisasi politik yang mempunyai angkatan bersenjatanya sendiri. Pemimpin ulung PLO ialah Yasser Arafat yang juga merupakan pemimpin pergerakan Fatah.

Walaupun dalam tahun 1991, Amerika Syarikat dan Israel melabelkan PLO sebagai pertubuhan pengganas, namun dalam tahun 1993 PLO mengiktiraf Israel “hak untuk wujud” dengan aman. Sebagai balasannya Israel dengan rasminya mengiktiraf PLO sebagai wakil yang sah kepada rakyat Palestin.

Perang Arab-Israel tahun 1967  juga dikenali sebagai Perang Enam Hari telah merubah sekali lagi peta Palestine.  Ini adalah kemuncak kepada ketegangan yang berterusan antara Israel dengan jiran-jiran Arabnya. Israel telah melancarkan pengeboman mengejut ke atas tentera udara Mesir dengan bantuan informasi dari CIA. Akhirnya tentera udara Mesir telah lumpuh dalam masa dua jam sahaja !

Peperangan dengan Israel ini melibat Mesir, Jordan dan Syria. Dengan kekalahan di pihak Arab, Israel menawan Semenanjung Sinai dan Gaza daripada Mesir. Ia juga menakluki Tebing Barat dan Jurusalem Timur daripada Jordan. Israel menawan Bukit Golan daripada Syria.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah bersidang dan mengeluarkan Resolusi 242 pada 22 Nov 1967 yang meminta Israel keluar dari wilayah-wilayah yang ditaklukinya semasa Perang Enam Hari tersebut.  Namun demikian, Israel tetap berdegil.

Tidak serik dengan kekalahan dalam peperangan yang dahulu, Mesir dan Syria telah bersama menyerang Israel di Sinai dan Bukit Golan pada hari kemuliaan penganut Yahudi yang berpuasa dan dikenali sebagai Yom Kippur pada 6 Oktober 1973. Mereka beranggapan bahawa orang-orang Yahudi sedang berpuasa 25 jam dan melakukan sembahyang maka tentulah tidak cukup bersedia untuk melawan. Namun telahan mereka meleset ! Peperangan ini dikenali sebagai Perang Yom Kippur ataupun Perang Oktober 1973.

Pada peringkat awalnya Mesir dan Syria hampir menang tetapi akhirnya dengan bantuan Amerika Syarikat, maka kemenangan masih lagi berpihak kepada Israel. Sebagai tindakbalas dari negara-negara Arab, maka negara-negara Arab telah menaikkan harga minyak dan pasaran menjadi kelam-kabut. Inilah permulaannya minyak dijadikan sebagai senjata oleh negara-negara Arab maupun Iran bagi menyekat pengaruh barat.

Dalam tahun 1978, Perdana Menteri Israel, Manachem Begin menandatangani perjanjian damai dengan Presiden Anwar Sadat dari Mesir yang dikenali sebagai Perjanjian Camp David tajaan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter. Israel memulangkan Semenanjung Sinai kepada Mesir dan sebagai balasannya, Mesir mengiktiraf keujudan Israel. 

Namun demikian Genting Gaza dan Tebing Barat masih dalam genggaman Israel. Manakala Bukit Golan masih menjadi kawasan strategik bagi tentera Israel.

Perjanjian damai ini mendapat tentangan dari negara-negara Arab dan memulaukan Mesir. Bahkan sebahagian rakyatnya sendiri menolak untuk berdamai dengan Israel. Akibatnya Anwar Sadat telah ditembak mati oleh askar-askarnya sendiri yang keluar dari trak-trak tentera yang mengambil bahagian dalam satu perarakan tentera.

Di pihak rakyat Palestin pula, perjanjian ini menyelitkan autonomi terbatas kepada mereka bagi wilayah-wilayah Genting Gaza dan Tebing Barat yang diduduki oleh Israel. Inilah akhirnya yang menjadi asas kepada mengujudkan Pihak Berkuasa Tempatan bagi Tebing Barat dan Gaza hari ini. Namun demikian yang betul-betul merealisasikan pembentukan Pihak Berkuasa Tempatan  ialah semasa Perjanjian Oslo dalam tahun 1993.

Sebenarnya penentangan rakyat Palestin terhadap Israel banyak dibayangi oleh pergerakan PLO yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Sejak awal tahun 1970an, PLO sering dikecam sebagai pertubuhan pengganas yang dikaitkan dengan rampasan kapalterbang demi menaikkan imejnya di pentas dunia.  Kecaman ini datangnya  terutamanya dari Amerika Syarikat. Dalam masa yang sama pergantungan ekonomi Jordan terhadap Amerika Syarikat yang  begitu rapat, maka Raja Hussein dari Jordan telah mengusir PLO yang berpusat di Jordan ke Lubnan.

Israel begitu angkuh terhadap bumi Palestin kerana ia mendapat “backup” yang kuat daripada Amerika Syarikat dan blok-blok Barat. Manakala rakyat Palestine sendiri tidak mempunyai pasukan bersenjata sendiri bagi mempertahankan diri melainkan sayap bersenjata PLO yang dianggap Barat sebagai pertubuhan pengganas.

Maka Israel telah melakukan pencabulan antarabangsa yang mana dipandang sebelah mata oleh Blok Barat walaupun ditentang oleh negara-negara Islam dan Blok Soviet Union. Dan pada tahun 1980, Israel secara sebelah pihak telah dengan rasminya menamakan Jurusalem sebagai  Ibukota Israel.

Kelancangan Israel semakin mengganas dengan apabila melancarkan serangan ke atas Lubnan yang disasarkan kepada kem-kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila yang terletak di Beirut, Lubnan dalam tahun 1982.  Orang-orang Palestin ini telahpun berada di kem-kem pelarian ini sejak Perang Arab-Israel tahun 1948 lagi.

Sebenarnya ketika itu, Lubnan dalam perang saudara yang amat rumit dengan melibatkan banyak kumpulan militia yang berperang sesama sendiri samada di pihak Islam, Kristian, Cruze dan lain-lain. Salah satunya ialah kumpulan Phalangist yang mendapat bantuan persenjataan dan latihan dari Israel. Manakala kumpulan militia Palestine yang menganggotai sayap bersenjata PLO juga berada di Lubnan. 

Ianya bermula apabila Perdana Menteri Israel Ariel Sharon menuduh bahawa terdapat kira-kira 2000 pengganas yang maksudnya ditujukan kepada pejuang PLO mendiami kem-kem pelarian ini. Dalam masa yang sama, Presiden Lubnan Bashir Gemayel yang merupakan Ketua Parti Phalangist telah terbunuh apabila pejabatnya diletupkan. Lubnan dan Israel menuduh ia angkara sayap bersenjata PLO. 

Selepas empat hari kejadian tersebut, Israel menguasai Beirut Barat dan mengepung Kem Sabra dan Shatila. Akhirnya terjadilah apa yang dinamakan sebagai Penyembelihan Sabra dan Shatila pada 16-18 September 1982, dianggarkan 3,000 orang terkorban. Ia diingati sebagai detik hitam dalam tragedi penghapusan etnik Palestin yang paling dahsyat yang didalangi oleh Ariel Sharon.

Semangat rakyat Palestin semakin membuak dan sokongan dari negara-negara Islam khasnya semakin banyak agar penyelesaian Palestine dibawa ke meja rundingan. Namun demikian, dengan kuasa Veto dari Amerika Syarikat, kebanyakan resolusi yang dibawa ke Majis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu berakhir dengan kekecewaan.

Era pertama intifada rakyat Palestin bermula dalam tahun 1987. Namun apakan daya, rakyat Palestine bagai tangan diikat kerana meraka tiada pertahanan diri untuk melawan melainkan menjadikan batu-batu yang dilemparkan kepada tentera sebagai simbolik untuk melawan regim Zionis. Ia juga merupakan titik permulaan pergerakan Hamas yang juga terlibat sebagai aktivis pendidikan, sosial dan sayap ketenteraan.

PLO akhirnya telah berpindah ke Algeria dari Lubnan, dan pada 15hb November 1988 merupakan titik bersejarah bagi Palestin. Negara Palestin diumumkan penubuhannya di Algiers, ibu kota Algeria. Jurusalem Timur ditetapkan sebagai ibukota bagi negara Palestin. Perkataan Jurusalem adalah dari bahasa Ibrani iaitu bahasa orang-orang Yahudi, manakala orang-orang Islam memanggilnya sebagai Baitulmuqaddis ataupun Baitulmaqdis. Di sini terletaknya kota suci Islam ketiga yang terdapat Masjid Al-Aqsa. 

Manakala Yasser Arafat dinamakan sebagai Presiden pertama bagi negara Palestin.  Namun demikian ia tidak mendapat pengiktirafan daripada Israel yang masih menjajahnya, begitu juga di PBB.



Pada tahun 2000, maka tercatit sejarah sebagai permulaan gelombang era kedua Intifada rakyat Palestin yang berlarutan sehingga tahun 2004. Ini berikutan kematian pemimpin PLO, Yasser Arafat pada bulan November 2004. Palestin kehilangan seorang negarawan, pemimpin agong revoluniser berjiwa rakyat dan pencetus dalam pembentukan negara Palestin. Kemudiannya Mahmood Abbas dilantik sebagai Presiden Pihak Berkuasa Palestin menggantikan Yasser Arafat.

Dalam Intifada kedua ini, kumpulan-kumpulan bersenjata rakyat Palestin semakin berani untuk melancarkan serangan mortar terhadap wilayah-wilayah Israel. Namun demikian, mereka menerima tamparan lantaran Israel akan membalasnya pula dengan serangan roket dari pesawat-pesawat tentera udara. Antara kumpulan-kumpulan ini ialah Hamas, Jihat Islam Palestin, Barisan Popular Pembebasan Palestin dan Jihat al-Aqsa.

Namun demikian, pada 29hb November 2012, Perhimpunan Agong PBB telah mengundi untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara ke 194 di dunia. Dengan 138 buah negara mengundi memihak kepada Palestin termasuk kebanyak negara-negara Eropah seperti Perancis, Sepanyol, Belgium, Ireland dan Sweden. 

Negara-negara Islam merupakan  pelopor kepada pengundian ini di mana Malaysia bersama-sama Arab Saudi, Turki, Syria, Brunei, Mesir, Indonesia serta beberapa negara lain seperti India dan Thailand juga mengundi menyokong. Ini merupakan satu langkah utama kea rah keamanan dan keadilan di Timur Tengah.

Amerika Syarikat dan Kanada menentang, manakala United Kingdom dan Singapura mengambil sikap berkecuali. Sebelum ini Amerika Syarikat dan Israel begitu agresif meningkatkan kempen untuk menggagalkan undian di Perhimpunan Agong PBB ini.

Yang merealisasikan pengiktirafan ini adalah kerana Palestine telahpun mempunyai pusat pentadbirannya sendiri iaitu di Ramallah, Tebing Barat. Berbanding semasa pengisytiharan kemerdekaannya dahulu ketika PLO berada dalam buangan di Algeria. Ini adalah hasil dari Perjanjian Oslo, di Norway  yang ditandatangani oleh Mahmood Abbas yang mewakili PLO dan Shimon Peres yang mewakili Israel pada 13hb September 1993. Ianya disaksikan oleh Pengerusi PLO Yasser Arafat dan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton.

Perjanjian Oslo juga disebut sebagai “Perisytiharan Prinsip-prinsip Persediaan Pemerintahan Sendiri Secara Sementra” iaitu batu asas dalam penyelesaian konflik Israel-Palestin. Ia merupakan persetujuan bersemuka secara langsung yang pertama antara Israel dan Palestin.

Dengan Perjanjian Oslo, maka terbentuklah Pihak Berkuasa Palestin (PBP)  pada tahun 1994 iaitu sebuah badan sementara yang ditubuhkan untuk mentadbir Tebing Barat (West bank) dan Genting Gaza (Gaza Strip) . Ia seolah-olah sebagai pihak berkuasa autonomi terhadap pentadbiran dalaman bagi rakyat Paletin  namun Israel masih menguasai bidang ketenteraan. 

Pemisahan antara Tebing Barat dan Genting Gaza yang terpaksa melalui wilayah Israel juga merupakan taktik British sebelum meninggalkan Palestin dalam tahun 1947 dahulu dianggap sebagai permainan "divide and rules". 

Ia memperlihatkan kelicikannya agar orang-orang Arab / Palestin tidak mudah bersatu. Kaedah yang sama juga digunakan oleh British terhadap beberapa tanah jajahannya termasuk Malaya ketika itu.

Menurut Perjanjian Oslo, sebenarnya ia memperuntukan lima tahun untuk kedua-duan pihak merangka dan merundingkan status akhir bagi kedudukan Palestin. Namun Israel masih berdolak-dalik terhadap penyelesaian yang menyeluruh dan mencabulinya terutamanya meluaskan penempatan haram di Tebing Barat. Sehingga hari ini pun, isu penempatan haram Yahudi adalah penghalang terbesar kepada penyelesaian Israel Palestin khasnya dan dunia Arab amnya.

Dalam pilihanraya perundangan tahun 2006, Hamas menjadi parti majoriti di parlimen dan merebut kuasa daripada Fatah. Ismail Haniyeh dari Hamas telah menjadi Perdana Menteri yang berpusat di Gaza. Namun demikian, Hamas bukanlah yang disukai oleh Amerika Syarikat kerana ia dilabelkan sebagai pertubuhan pengganas.  

Seterusnya bantuan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat disekat kepada PBP.  Hamas juga telah mengumumkan bahawa kerajaannya tidak akan mengiktiraf negara Israel, dan sebagai balasannya Israel mengetatkan kawalan terhadap Genting Gaza.

Pada tahun 2007, akibat pertempuran antara Hamas dan Fatah di Genting Gaza.Presiden Mahmood Abbas telah membubarkan parlimen dan memecat kerajaan Haniyeh. Namun demikian, Mahmood Abbas sesungguhnya hanya berkuasa di Tebing Barat, manakala Ismail Haniyeh masih berkuasa di Genting Gaza.

Satu perjanjian perdamaian antara Fatah dan Hamas dicapai di Kaherah pada tahun 2011 dan mereka bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi menamatkan perseteruan yang berlarutan.

Sekarang telah nampak kesepakatan antara Fatah dan Hamas, maka peringkat seterusnya ialah merundingkan perdamaian antara Palestin dengan Israel. Kini usaha sedang giat dilakukan oleh Setiauasaha Negara AS, John Kerry.

Namun di pihak Palestin melalui Majlis Revolusi Palestine menolak cadangan Kerry yang dikatakan tidak banyak membawa inisiatif baru kerana ia hanya untuk memperlahankan pembinaan penempatan haram Yahudi di wailayah-wilayah yang dijajah oleh Israel dan tanpa hitam putih bagi membekukan penempatan haram itu.

Setelah sampai ke tahap ini, apa yang kita harapkan kepada dunia ialah  keamanan yang berkekakalan kepada rakyat Palestin yang telah menderita dijajah oleh kaum Yahudi tanah air sendiri. Kita rakyat Malaysia sering mendoakan agar mereka juga menikmati kebebasan dan kemakmuran.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim


23.07.2013


Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang hangat diperkatakan sekarang ! Klik pada imej.  : 
Post a Comment