Friday, July 5, 2013

Krisis Politik Mesir : Tentera Rampas Kuasa redakan Arab Spring II




Beberapa hari yang lalu, saya telah menulis mengenai pergolakan di Turki di mana Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan berhadapan dengan rusuhan rakyat yang secara amnya adalah penyokong parti pembangkang. Anda boleh membaca Turki & Erdogan : Legasi bumi Uthmaniyyah kini bergolak dalam blog saya.


Dalam tulisan kali ini, ianya tidak akan lari dari memperkatakan satu lagi krisis di bumi Arab iaitu Mesir yang telahpun memasuki fasa terbaru iaitu rampasan kuasa tentera bagi meredakan apa yang dikatakan sebagai Arab Spring II.

Untuk mengenali bagaimana tentera boleh merampas kuasa dan menumbangkan kerajaan pilihan rakyat, maka kita haruslah menyingkap sejarah negara Mesir itu sendiri. Bahkan ianya boleh diluaskan pengertiannya kepada blok negara-negara Arab dari Semenanjong Anatolia yang merangkumi Turki, Semanjung Arab yang terdiri daripada Jordan, Syria, Lubnan, Yemen dan negara-negara Arab di Utara Afrika iaitu Tunisia, Mesir dan Libya.

Di negara-negara tersebut yang pada asalnya diperintah dengan kuasa tentera sejak beberapa lama. Peranan tentera dalam pemerintahan negara telah menjadi darah daging bagi rakyat mereka. Kemudiannya perubahan kuasa tentera yang disadurkan dengan sistem demokrasi kepimpinan yang didokong oleh tentera. Ataupun ada negara-negara yang diperintah secara kuku besi oleh beberapa jeneral tentera yang merampas kuasa.

Peralihan kuasa kepada rakyat dari regim tentera tidak banyak memberikan erti yang besar dalam penyusunan kepimpinan parti-parti yang memerintah secara demokrasi lantaran bayangan tentera yang masih kukuh dalam sistem pemerintahan negara. Di samping itu sistem demokrasi masih belum mencapai kematangannya. Contoh yang paling nyata ialah Mesir dan Turki.

Walaupun Turki dalam beberapa minggu ini menampakkan pihak tentera tidak mengambil bahagian dalam percaturan politik negara itu, tetapi jika keadaan semakin meruncing, tidak mustahil tentera juga akan kembali berkuasa di mana Turki pernah mengalami empat kali rampasan kuasa tentera dalam tahun 1960, 1971, 1980 dan 1997.

Di mesir pula berlainan caranya. Peranan tentera semakin ketara. Untuk mengetahui bagaimana ia berlaku, maka kita harus menjejaki Mesir secara mendalam dari sudut sejarah dan perkembangan politiknya terutama selepas ia mencapai kemerdekaan dari British dalam tahun 1922.

Mesir adalah sebuah tamadun yang didirikan kira-kira 4000 tahun Sebelum Masehi lagi. Salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia ialah piramid yang banyak didapati di Mesir. 

Salah sebuah daripadanya ialah Piramid Agong di Giza yang merupakan  piramid tertinggi di dunia yang dibina sekitar 3800 tahun SM. Ianya dibina bagi tempat pengkebumian bagi raja-raja Firaun yang memerintah Mesir kuno ketika itu.


Dalam tahun 525 SM ia ditakluki oleh orang-orang Parsi. Kemudiannya ditawan oleh Iskandar Agong dalam tahun 332 SM. Diikuti oleh Dinasti Ptolemi yang memerintah sehingga tahun 30 SM yang mana diakhiri oleh Cleopatra yang membunuh diri. Ditakluki oleh orang-orang Rom dan kemudiannya Byzantine. Khalifah-khalifah Arab kemudiannya memerintah dari tahun 641 hingga 1517. Selepas itu ia ditadbir oleh Empayer Ottoman. 

Tentera-tentera Napoleon menguasainya dari tahun 1798 hingga 1805. Selepas siapnya terusan Suez dalam tahun 1869, orang-orang Inggeris dan Perancis mula mencengkam Mesir dalam tahun 1882.   Akhirnya Mesir mencapai kemerdekaan dari British dalam tahun 1922, tahun yang sama Turki juga mencapai kemerdekaan selepas mengusir tentera-tentera Pasukan Berikat.

Dalam perjanjian kemerdekaan Mesir dalam tahun 1922, British bersetuju mengiktiraf Raja Fuad sebagai pemerintah Mesir yang ketika itu juga memerintah Sudan dan jajahan Darfur. Berbeza dengan Turki yang menamatkan pemerintahan kerajaan Kesultanan Uthmaniyyah dalam tahun yang sama dengan mendirikan sebuah negara repablik.

Raja Farouk merupakan  raja mutlak yang mewarisi tampuk pemerintahan daripada bapanya  Raja Fuad pada tahun 1936. Baginda digulingkan dalam  Revolusi Mesir 1952  yang berlaku pada 23 Julai 1952. Revolusi ini merupakan titik tolak kepada perubahan rakyat Mesir moden terhadap pemerintahan bukan beraja, yakni pemerintah ala tentera dan demokrasi.

Ikwanul Muslimin yang juga dikenali sebagai Muslim Brotherhood telah bersama menyokong tentera dalam menyingkirkan Raja Farouk.  Pergerakan ini sebenarnya telah berakar-umbi  di dalam masyarakat Mesir yang ditubuhkan dalam tahun 1928 oleh Hassan al-Banna. Ia adalah satu pergerakan yang amat tersusun sepertilah pergerakan Hammas di Palestine.
Maka pada 3hb  Julai,  2013 yang lalu yakni pada bulan Julai juga seperti Revolusi tahun 1952, tentera merampas kuasa menggulingkan Presiden Mursi.  Sebenarnya ia adalah ulangan kepada beberapa rampasan kuasa tentera yang dimulai pada tahun 1952 lagi. Ia bukanlah cerita baru dalam sejarah politik Mesir. Cuma pemainnya saja yang berbeza.

Yang mengetuai rampasan kuasa tentera di tahun 1952 ialah Muhammad Naguib dan Gamal Abdel Nasser.  Kemudiannya Muhammad Naguib  menjadi Presiden pertama Mesir. Pada Januari 1954, berlaku kejadian rampasan kuasa yang gagal terhadap Muhammad Naguib, lalu ia mengaitkan dengan Ikwanul Muslimin dan akhirnya Ikhwanul Muslimin diharamkan oleh pemerintahan tentera. Akibatnya Ikwanul Muslimin melancarkan tunjuk perasaan dan bertempur dengan tentera  serta mahu mengusir Mohammad Naguib. Ini adalah kali kedua Ikwanul Muslimin berhadapan dengan situasi tegang menentang pemerintah.

Tetapi keadaan masa kini pula,  Ikwanul Muslimin bangkit bagi kali ketiga menentang tentera setelah Presiden yang dipilih mewakili praksi Islam ditumbangkan oleh tentera pimpinan Gen. Abdoul Fatah Al Sissi. Ia juga merupakan penentangan yang paling sengit kerana lawannya bukan sahaja pihak tentera tetapi pihak parti-parti lawan yang memulakan gerakan menjatuhkan Mursi yang dikenali sebagai Pergerakan Tamarod.

Kembali menceritakan keadaan ketika kekacauan menentang Mohammad Naguib, maka Gamal Abdel Nasser akhirnya menangkap dan menahan  Muhammad Naguib dan  beliau akhirnya menjadi calon tunggal pemilihan Presiden dan menjadi Presiden Mesir yang kedua. Walaupun demikian, rakyat Mesir tidak mengecapi kebebasan bersuara lantaran kuasa tentera yang kuat. Bagaimanapun Gamal Abdel Nasser dikenang sebagai seorang negarawan ulung Mesir.

Skrip yang hampir sama dipentaskan oleh tentara dalam rampasan kuasa pada 3hb Julai  yang lalu, cuma menjadikan Ketua Mahkamah Agung Perlembagaan Negara, Adly Mansour sebagai Presiden sementara, tetapi kuasa sebenarnya terletak di tangan tentera.

Yang membezakan kini ialah Ikhwanul Muslimin pimpinan Mursi bertindak sebagai pemerintah di mana ia ditentang oleh golongan sekular dan puak kiri. Sebenarnya ia adalah pusingan roda dalam politik rakyat Mesir

Setelah kematian Gamal Abdel Nasser dalam tahun 1970, Mesir diperintah oleh Anwar Sadat sebagai Presiden ketiga.  Di bawah pemerintahan Anwar Sadat, walaupun Mesir mengecapi kemewahan ekonomi tetapi banyak kekejaman dan corak pemerintahan kuku besi yang diamalkan oleh Anwar Sadat dibenci oleh rakyat Mesir.  Gerakan pertubuhan Islam ditekan dan kebebesan akhbar disekat.

Anwar Sadat mengubah kiblat politik Gamel Abdel Nasser yang pro Moscow kepada Washington. Ia akhirnya menjadi sekutu Washington yang begitu rapat dalam blok negara-negara Arab. Pemodenan ketenteraan Mesir mendapat dana dari Amerika Syarikat.  Ianya berbeza dengan jirannya Libya yang akhirnya tidak sealiran dengan Amerika Syarikat dan membuat blok baru dengan negara-negara lain yang mengikut cara dengan sikap revolusiner Muarmar Ghadafi.  

Klik pada imej untuk membesarkannya


Detik bersejarah yang dilakukan oleh Presiden Anwar Sadat ialah Perjanjian Camp David dalam tahun 1978 antara Mesir dan Isreal yang diwakili oleh Perdana Menterinya Manachem Begin di mana perjanjian ini adalah tajaan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter. 
Terma perjanjian ialah Mesir mengiktiraf Isreal sebagai sebuah negara yang merdeka dan sebagai balasannya pula Isreal memulangkan Semenanjung Sinai kepada Mesir yang ditakluki Israel semasa Perang Enam Hari atau lebih dikenali Perang Arab-Israel dalam tahun 1967. Di samping menamatkan sengketa perang Arab-Isreal tahun 1948.

Oleh kerana jasa-jasa itu, mereka berdua telah menerima Hadiah Nobel Keamanan bagi tahun 1978.

Namun demikian, perjanjian ini tidak disukai oleh rakyat Mesir terutamanya golongan fundemantalis Islam dan dalam tahun 1981, ketika perbarisan ketenteraan, Anwar Sadat ditembak mati oleh askar-askarnya sendiri yang keluar dari trak-trak tentera yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut. Inilah pertama kali seorang Presiden Mesir dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Sebenarnya semasa pemerintahan Anwar Sadat, beliau telah beberapa kali terselamat daripada cubaan rampasan kuasa.


Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang hangat diperkatakan sekarang ! Klik pada imej.  : 

Keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya. Itulah nasib rakyat Mesir apabila pengganti Anwar Sadat iaitu Hosni Mubarak yang mengambil-alih kuasa sebagai Presiden ke empat.

Hosni Mubarak, bekas seorang juruterbang dalam angkatan tentera Mesir  yang memerintah secara kuku besi dan melebihkan nepotisma di kalangan keluarganya dan orang-orang yang berada di sekelilingnya selama 30 tahun akhirnya tumbang. 

Inilah apa yang dikatakan sebagai Arab Spring yang sebelum ini telahlah menjatuhkan jiran Mesir iaitu Tunisia dengan kejatuhan Presiden  Zine El Abidine Ben Ali.
Mursi dan Ikhwanul Muslimin serta beberapa fraksi parti-parti Islam adalah tulang belakang bagi menggulingkan Hosni Mubarak.  Ketika itu ratusan ribu umat yang berarak di Dataran Tahrir menyambutnya dengan penuh syukur dan gembira. Kebangkitan secara besar-besaran bermula pada 25 Januari 2011. Kini menjadi tarikh sambutan Hari Kebangsaan Mesir.  
Kemudian diadakan Referendum Perlembagaan ke arah Pilihanraya Parlimen dan Pilihanraya Presiden. Mesir kemudiannya  mengalami perubahan dari negara  yang dikuasai tentera kepada demokratik di bawah pimpinan Presiden yang  dilantik, iaitu Dr Mohammad Mursi dari Freedom and Justice Party (FJP).
Kemenangan parti Islam sememangnya dijangka di mana Pakatan Demokratik yang diketuai FJP menang 45% kerusi, manakala Blok Islam yang diterajui Parti Nour menguasai 25% kerusi parlimen. Baki 30% lagi dikongsi oleh pelbagai parti yang kebanyakkan dari latar belakang sekular liberal.

Jawatankuasa Khas Angkatan Tentera (SCAF) yang merupakan kerajaan sementara untuk menguruskan peralihan kuasa, telah meminda peruntukan perlembagaan dengan menyempitkan kuasa Presiden  dengan memberi lebih kuasa kepada tentera. Ini merupakan cabaran paling besar kerana SCAF terdiri dari 21 pegawai tertinggi tentera dari zaman Hosni Mubarak.

Sebaik sahaja menjawat sebagai Presiden, walaupun Mursi telah menamatkan jawatan Menteri Pertahanan Mesir ketika itu,  Field Marsyal Hussein Tantawi dan Panglima Angkatan Tentera Mesir, Gen Sami Hafez Anan. dan melantik Gen Abdoul Fatah Al Sissi, bekas Ketua Perisikan Mesir sebagai ketua tentera yang baru dan Menteri Pertahanan . Namun ancaman dari tentera masih tidak boleh dipadamkan dari pentadbiran negara.

Pentadbiran Mursi yang baru setahun jagung dengan tidak pernah mempunyai pengalaman mentadbirkan negara yang mempunyai perbagai latarbelakang kefahaman dan ugama walaupun secara amnya penduduk Mesir adalah berbangsa Arab. Ini kerana sebahagian penduduknya adalah berugama kristian ortodox Qibti telah membentuk satu aliran yang bertentangan dengan semangat pemerintahan Mursi.

Di samping itu Mursi yang selama ini hanya berupaya "mentadbir parti" iaitu Ikhwanul Muslimin sahaja, tetapi beliau tidak juga sealiran sepenuhnya dengan beberapa buah parti Islam yang lain. Kerana parti-parti ini juga  mempunyai semangat nasionalis serta tidak terlalu xtreme terhadap ugama.

Dalam setahun pentadbiran Mursi, beliau menggunakan beberapa bulan terawal untuk cuba mententeramkan politik serta mengimbangi kuasa antara tentera dan pihak awam, dan dalam masa yang sama beliau tidak pula cuba untuk membuat pendekatan ekonomi dengan polisi-polisi yang lebih baik daripada regim Hosni Mubarak. Maka ekonomi Mesir tidak berkembang bahkan mengalami penyusutan. Apabila rakyat tidak mendapat pembelaan, maka pembelotan akhirnya akan terjadi.

Rakyat gelisah setelah Mursi terus membuat dasar Islam secara drastik dan cepat tanpa mengambilkira bahawa rakyat Mesir bukanlah kesemuanya menerima konsep keIslaman tajaan Ikhwanul Muslimin. Ini dibuktikan dengan kemenangan Mursi sebagai Presiden pun hanya berbekalkan 51.7% undi yang menyokong. Ia menggambarkan penerimaan dasar-dasar Islam yang dianjurkan oleh Ikhwanul Muslimin tidak diterima oleh hampir separuh rakyatnya. 

Kemenangan Revolusi Dataran Tahrir yang menumbangkan Hosni Mubarak sepatutnya diisi dan dikongsi oleh keseluruhan rakyat Mesir. Tetapi dasar-dasar keras dan drastik Mursi menyebabkan kekecewaan dari puak pembangkang. Memang tidak dinafikan bahawa dalam masa yang sama pihak pembangkang juga menerima dana-dana asing serta sokongan tangan-tangan ghaib pihak barat yang ingin melihat kehancuran sebuah kerajaan Islam. Peranan media-media barat serta media sosial yang seperti Facebook, twitter dan blog telah menyemarakkan lagi keadaan.

Mursi tidak belajar dari kejayaan Erdogan di Turki yang menggunakan pendekatan meneruskan sistem sekular Kemal Ataturk pada peringkat awal pentadbirannya. Kemudian beliau membuat perubahan secara perlahan-lahan agar rakyat tidak menolak cara penyerapan pemerintahan ala Islam yang ditonjolkannya. Namun Mursi terlalu cepat untuk melaksanakan undang-undang Islam secara revolusi dan bukan evolusi, maka tentangannya juga agak keras. Maka akhirnya Mursi terpaksa mengakui bahawa dasar-dasarnya telah gagal untuk diaplikasikan di Mesir ketika itu.

Sempena dengan ulang tahun pertama Presiden, Mohammed Mursi menjadi Presiden, jutaan rakyat Mesir membanjiri jalan raya menuntut supaya beliau meletak jawatan. Ini merupakan cabaran terbesar kepada Mursi yang mewakili proksi kumpulan Ikhwan Muslimin Mesir. 

Mereka mengibarkan bendera kebangsaan dan melaungkan slogan “Keluar!”, hampir 500,000 rakyat Mesir berkumpul di sekitar pusat Tahrir Square, Kaherah, demonstrasi terbesar sejak revolusi 2011 yang menumbangkan Hosni Mubarak.
Jurucakap rasmi Mursi, Omar Amer, berkata Presiden telah mengakui kesilapan dan sedang dalam proses untuk membaikinya, selain itu beliau turut mengulangi tawaran Morsi untuk berdialog tetapi jelas beliau berkata Mursi tidak mempunyai niat untuk meletakkan jawatan.
Penganjur demonstrasi menggesa para penunjuk perasaan terus menjaga pusat dataran di setiap bandar dan mengepung parlimen sehingga Mursi meletak jawatan.

Ramai penunjuk perasaan melahirkan rasa marah kepada Ikhwan Muslimin yang didakwa telah ‘merampas’ revolusi Mesir dan menggunakan kemenangan pilihan raya untuk memonopoli kuasa serta menguatkuasakan undang-undang Islam. Tambahan pula kemenangan Mursi menduduki kerusi Presiden hanya berbekalkan peratusan undi 51.7 % sahaja berbanding lawannya Shafiq, mantan Perdana Menteri Mesir era Mubarak  yang mendapat undi 48.3% undi. Secara praktikalnya kedudukan Mursi memang agak goyah dengan sokongan yang minima itu.

Pemimpin-pemimpin pembangkang Mesir dari kumpulan sekular, liberal dan berhaluan kiri termasuk Mohamed El Baradei yang pernah menjadi Director General bagi Agensi Tenaga Atom  Antarabangsa PBB  (IAEA) terutamanya semasa krisis di Iraq dan Iran dahulu dan calon presiden kumpulan kiri, Hamdeen Sabahi telah menyertai perarakan bantahan di Kaherah itu.
Beratus-ratus ribu penunjuk perasaan berarak melalui pelabuhan Mediterranean Alexandria, bandar kedua di Mesir, dan merupakan bantahan besar yang berlaku serentak sekurang-kurangnya di 20 bandar-bandar di seluruh negara.

Pihak tentera akhirnya memberikan notis kepada Presiden selama 48 jam untuk meletakkan jawatan, namun Mursi bertegas akan mempertahankan jawatannya sekalipun terpaksa bergadai nyawa.

Setelah tamat batas waktu itu, tentera telah menahan Morsi dalam tahanan rumah dan pegawai-pegawai parti Ikhwanul Muslimin. Menggantung perlembagaan dan menutup beberapa stesyen radio dan TV yang pro Mursi. Daripada berita terkini melaporkan Mursi di tahan bersama bapanya di Kementerian Pertahanan.

Beratus-ratus ribu rakyat Mesir mengambil tempat di jalan-jalan seluruh Mesir dan tindakan tentera dan kumpulan anti-kerajaan pula meraikan kejatuhan presiden itu. Ketua Mahkamah Agung Perlembagaan Negara, Adly Mansour mengangkat sumpah sebagai Presiden Sementara.


Menurut ketua Tentera,  Gen Abdoul Fatah Al Sissi yang merampas kuasa, pilihan raya parlimen baru bakal diadakan dan pada masa yang sesuai, dan Mansour mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perlembagaan baru.  Gen Abdoul Fatah Al Sissi  mendakwa, pihak tentera telah memenuhi tanggungjawab mereka yang dianggap bersejarah bagi melindungi negara dengan menggulingkan Mursi.

Sesungguhnya dalam suasana tegang dan tidak terkawal, kuasa tentera memang menjadi penimbal dan menjaga ketenteraman awam.  Rakyat Mesir sesungguhnya memang mengharapkan tentera campur-tangan kembali sekurang-kurangnya sebagai pemerintah dalam peralihan kuasa kepada pihak-pihak yang bakal menerajui Mesir di masa akan datang.

Maka pihak-pihak luar khususnya ahli-ahli politik yang tidak memahami inspirasi rakyat Mesir tidak perlulah terlalu agresif bagi mengeluarkan kenyataan yang mana kita sendiri tidak berapa pasti.

Rakyat Mesir lebih memahami pemerintahan tentera dan apabila kerajaan awam yang diharapkan menjadi pelindung tidak dapat berfungsi dengan baik, maka sudah tentu pilihan utama ialah kembali kepada regim tentera. Namun demikian, pihak tentera dilaporkan tidak akan memerintah lama tetapi akan melantik kerajaan awam dan langkah melantik Ketua Mahkamah Agong Perlembagaan sebagai Presiden Sementara dilihat sebagai merintis ke arah demokrasi. Namun sudah tentu peranan tentera masih lagi utuh dalam hareiki kepimpinan baru itu nanti.

Selain daripada percaturan Amerika Syrikat yang menyalurkan berbillion dolar Amerika setiap tahun dalam pemodenan angkatan tentera Mesir dan kuasa-kuasa asing yang menjadi tangan ghaib dalam pemberontakan puak berhaluan kiri dan sekular di Mesir, kita jangan lupa bahawa ianya juga sebagai medan pengaruh bagi negara-negara Arab kaya yang lain terutamanya Arab Saudi dan Qatar di Mesir. Manakala di keseluruhan dunia Arab pula, kita dipentaskan kemarukan negara-negara ini dan juga Turki, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait dalam percaturan yang amat kompleks.

Pada era Mursi, kita lihat Qatar dan Turki menyalurkan bantuan kewangan hampir AS$30 billion kepada Mesir yang ketika itu telah keruntuhan ekonominya tetapi masih dapat bertahan selama setahun tanpa mendapat pakej bantuan kewangan dari dana Tabung Kewangan Antarabngsa (IMF).

Tetapi Arab Saudi, UAE dan Kuwait yang mengamalkan pemerintahan beraja enggan membantu Mesir, kerana mereka melihat kebangkitan Ikwanul Muslimin di Mesir akan menjalar di negara-negara mereka dan menjadi ancaman kepada sistem beraja. Namun demikian, apabila Mursi ditumbangkan oleh tentera, ketiga-tiga negara ini telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$12 billion kepada kerajaan sementara di Mesir.

Ini memperlihatkan pertembungan kuasa dan pengaruh antara Riyard dan Doha dalam kemelut di Mesir bagi mencari pengaruh di rantau ini, maka sebab itulah dunia Arab tidak pernah bersatu. Malah pertembungan ini juga berlaku dalam pergolakan di Syria sekarang. 


Melihat kepada apa yang berlaku di negara kita pula, kenyataan dari Anwar Ibrahim yang mengutuk penggulingan Mursi dan menyalahkan tentera bagai meludah ke langit tetapi akhirnya terkena batang hidung sendiri.  Dalam krisis Turki yang dihadapi oleh Erdogan, tidak nampakpun Anwar Ibrahim mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengutuk cara Erdogan mematahkan penunjuk perasaan yang jelas dengan cara kekerasan.

Malah cara beliau tidak mengiktiraf keputusan PRU 13 dahulu dengan melancarkan perhimpunan haram Blackout 505 , apakah itu selari dengan pendiriannya apabila mengutuk cara tentera menyelesaikan krisis politik Mesir.

Sesungguhnya krisis Arab Spring adalah bermula dengan tunjuk perasaan aman yang berakhir dengan keganasan.  Namun cara negara-negara Arab menangani masalah tersebut terlalu keras kerana negara-negara tersebut adalah berorientasikan undang-undang tentera. Maka lantunan dari ledakan hati rakyat juga terlalu keras serta sukar untuk dilakukan dialog. Hanya muncung senapang dan kereta kebal yang menyelinap di setiap pelusuk ibu kota kembali meredakan suasana.

Apakah yang kita dapat daripada iktibar pergolakan negara-negara blok Arab ini khususnya Turki dan Mesir.  Kita sebenarnya menghargai keamanan yang dibuat acuan dengan sistem yang telah kita pelihara sejak merdeka lagi. Kita tidak pernah diperintah cara tentera kecuali perintah berkurung semasa kekacauan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dahulu.

Maka hargailah keamanan negara kita. Jauhkan dari perhimpunan yang kecilnya bagai api, ia adalah kawan, tetapi jika merebak dan membesar  ia akan menjadi lawan. Perhimpunan di Tahrir Square juga bermula dari perhimpunan kecil yang akhirnya merebak menjadi besar. Ia telah mengorbankan dua presiden Mesir iaitu Hosni Mubarak dan juga Mursi dari tampuk kekuasaan dalam suasana yang hampir sama dan tragis. Di Turki pula menampakkan Erdogan masih kukuh berkuasa walaupun perhimpunan yang bermula dari Gezi Park tidak berakhir dengan kejatuhannya.

Jika kita berfikir secara emosional, maka kita akan mengatakan tentera bertindak kejam tanpa perikemanusiaan dengan membelakangi prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat. Ia juga menumbangkan kerajaan yang sah pilihan rakyat. 

Jika kita berfikir secara rasional, maka kita akan mengatakan bahawa dalam keadaan kerajaan pimpinan Mursi yang sudah tidak dapat berfungsi lagi untuk mengembalikan keamanan negara, dan takkala itu juga gerakan pembangkang yang begitu besar telah mengasak untuk mencetuskan huru-hara. Maka apakah tentera yang berperanan sebagai pelindung (dari konteks sejarah dan pemerintahan tentera di Mesir) negara hanya duduk diam melihat pertempuran antara penyokong Mursi dan pembangkang di hadapan mata yang akan terus mengkucar-kacirkan negara. Akhirnya tentera juga akan dipersalahkan lantaran hanya berdiam diri. Maka tindakan merampas kuasa dari Mursi adalah satu keputusan yang betul. Dengan cara yang demikian akan meredakan kedua-dua pihak yang sedang bertelagah.

Namun demikian, pihak Mursi tidak dapat menerima kenyataan bahawa kerajaan Islam mereka ditewaskan dalam rampasan kuasa maka meneruskan pula bantahan terhadap tentera. Mereka masih mahu mengembalikan kedudukan Mursi sebagai Presiden dan memerintah. 

Kita harus memahami dalam situasi ini, apakah jika Mursi dibebaskan ketika itu dan diangkat kembali menjadi Presiden, takkala negara dalam kucar-kacir mampukah beliau untuk memerintah negara ? Apakah nyawa Mursi sendiri dapat dipertahankan jika tanpa perlindungan tentera ? 

Pertanyaan ini saya lontarkan kepada pembaca sekalian.  Anda berhak untuk berfikir dan meneliti senario tersebut. 






Perhatian ! Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

05.07.2013


-------------------------------- Nota selepas Catatan Utama di siarkan -----------------------------



Nota 1 : 08-07-2013

Daripada laporan akhbar-khbar hari ini mengatakan bahawa Mohammed ElBaradei, mantan Director General Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB (IAEA)  mempunyai peluang yang cerah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir. 

Beliau dikatakan telah berunding dengan Presiden Sementara, Adly Mansour mengenai pelantikan tersebut. Namun kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

ElBaradei mempunyai karisma dan reputasi yang tinggi dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Mesir dan blok negara-negara Barat. Namun beliau tidak berapa disenangi oleh puak Islam terutamanya dari Ikwanul Muslimin. 


Laporan itu juga menyebut fraksi Islam yang lain seperti Parti Salafis al-Nour yang menguasai 25% kerusi parlimen sebelum ini disyorkan agar menyokong pelantikan tersebut.


Rundingan turut membabitkan Ikwanul Muslimin agar membenarkan pergerakan tersebut menyertai pilihanraya parlimen yang baru dan pemilihan Presiden.


Nota 2 : 09.07.2013 - 


Laporan media menyebut keadaan di Mesir semakin tegang di mana pertempuran antara kumpulan Ikwanul Muslimin dan penyokong pembangkang semakin marak. Ini mungkin akan mencetuskan krisis yang lebih besar iaitu perang saudara seperti yang berlaku di Syria sekarang ini. 

Dalam pada itu tentera telah menembak mati 51 orang penyokong Mursi, di mana 35 orang daripadanya ditembak ketika menunaikan solat subuh di tempat terbuka berhampiran dengan sebuah masjid yang menjadi lokasi perhimpunan penyokong Mursi.




Nota 3 : 15.08.2013 - Petikan dari AntaraPos


SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta merta bagi menghentikan keganasan yang berlaku di negara itu.
"Kami terganggu dengan laporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan.
"Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Juteru kami menggesa semua pihak untuk menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman," kata Najib dalam tweet beliau.
Dalam insiden semalam,  puluhan orang terbunuh apabila polis menggempur dua kem penunjuk perasaan utama penyokong bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Morsi.
Menurut koresponden agensi berita AFP di Rabaa al-Adawiya, kebanyakan mangsa terbunuh akibat terkena tembakan.
Jumlah mangsa korban itu tidak melibatkan kanak-kanak dan wanita.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin bagaimanapun mendakwa, lebih 250 penyokong Mursi terkorban dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, semua khidmat keretapi ke bandar Kaherah juga telah dihentikan dan jalan menuju ke kawasan kem berhampiran Masjid Rabaa ditutup.
Ikhwanul Muslimin mendakwa langkah itu diambil kerajaan bagi menghalang lebih ramai pengikut pertubuhan itu bergerak masuk ke bandar Kaherah.
Pihak pemerintahan semalam turut mengisytiharkan darurat apabila sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh selepas pasukan anggota keselamatan bertindak ke atas para penentang yang mahukan Morsi kembali berkuasa.
Anggota pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan dalam pertembungan dengan para penunjuk perasaan yang sekali gus mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara dan kota-kota lain di Mesir.
Suasana semakin tidak menentu dalam kalangan populasi 84 juta orang tersebut - antara penyokong Morsi dan kumpulan yang menentang pentadbirannya.







Post a Comment