Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Saturday, July 20, 2013

Alvin dan Vivian hina Islam : Mahkamah larang ikat jamin ditahan hingga hari perbicaraan


Ketika umat Islam di Malaysia baru mengerjakan ibadah puasa, kita dikejutkan dengan dua insiden menghina Islam.

Pertamanya, yang dilakukan oleh duta Vatican City, Bishop Joseph Marino  yang baru memulakan tugas di Kuala Lumpur tetapi telah berani mencampuri urusan dalam negara Malaysia dengan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Kes  yang keduanya ialah penghinaan Ramadan dan kesucian Islam  oleh pasangan Cina, Alvin dan Vivian. 

Gelombang bantahan terhadap kedua-dua kes ini berjalan serentak dan telah menaikkan suhu kemarahan orang-orang Islam yang sejak beberapa bulan lalu telah menampakkan suasana yang tidak harmoni apabila isu kalimah Allah diusik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. 


Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, Bishop Joseph Marino digesa meletakkan jawatan secara sukarela agar dapat digantikan dengan individu lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak mencampuri urusan dalaman negara.  Di samping memohon maaf secara rasmi dan terbuka. Kenyataan ini dikeluarkan selepas beliau mengetuai beberapa NGO berarak menghantar memo bantahan di Kedutaan Vatican City, Kuala Lumpur semalam.

Isu yang dibangkitkan oleh duta Vatican City itu biarlah Wisma Putra sendiri yang menyelesaikannya melalui saluran diplomatik.  Kita bukannya bermusuhan dengan Vatican City tetapi cara dutanya membuat kenyataan yang  tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman negara lain seperti yang tercatit dalam Perkara 41 Konvension Viena tentang Hubungan Diplomatik 1961 tentang larangan tersebut.

Klik pada imej untk membesarkannya

Tetapi isu Alvin dan Vivian pula akan diadili oleh mahkamah dan kita mengharapkan agar keadilan dan hukuman yang setimpal haruslah dikenakan kepada pasangan tersebut sebagai pengajaran kepada mereka yang sengaja mencuba untuk menjolok sarang tabuan.

Dalam masa yang sama, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Islam kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak tertentu yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam.  

Muzakarah khas berkenaan berpandangan, siri-siri penghinaan yang dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab itu semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Dalam dua tiga tahun yang lalu, kita juga telah digemparkan oleh kebiadapan Namawee yang menghina Lagu Negaraku dengan mengubahnya berbentuk rap dengan menggelar Negarakuku. Beliau juga telah menghina Melayu dan agama Islam. Tetapi masyarakat Islam Malaysia seolah-olah memaafkan beliau setelah  beliau memohon maaf. Yang peliknya Pak Menteri, Nazri Aziz menerima kunjungan beliau di bangunan Parlimen. Apakah pasangan Alvin dan Vivian juga cuba mengambil jalan yang sama dengan mengeluarkan video di Youtube bagi memohon maaf .

< Klik > di sini untuk ke www.cikgumatematik.com.my


< Klik > di sini untuk ke www.ebookmandarin.com

Pada awal tahun ini pula, pelakon Patrick Teoh juga mengeluarkan kenyataan dalam Facebook dengan menghina agama Islam dan Kitab Suci Al-Quran. Ianya juga berakhir dengan memohon maaf. Ia seolah-olah telah menjadi budaya pula, apabila kejadian menghina agama Islam di Malaysia akan selesai dengan memohon maaf.

Siapakah Alvin dan Vivian ? Nama sebenarnya ialah Alvin Tan Jye Yee berusia 25 tahun berasal dari Kuala Lumpur. Pasangannya pula ialah Vivian Lee May Ling, 24 tahun berasal dari Johor Bahru. 

Mereka dikatakan adalah bekas penuntut National University of Singapura (NUS). Sebagai bekas pelajar NUS, tentulah mereka dikategorikan sebagai otak bergeliga, lantaran untuk diterimamasuk ke universiti kedua terbaik Asia dalam QS Ranking Asia 2013 itu memerlukan pencapaian akademik yang tinggi di peringkat sekolah menengah. Namun mereka menyalahgunakan kegeligaan otak mereka untuk membuatkan Masyarakat Islam Malaysia marah kegilaan terhadap perbuatan mereka itu. 

Sebelum kejadian menghina Ramadan yang dilakukan oleh pasangan tersebut melalui Facebook, mereka telah terlebih dahulu dikenali di dalam blog mereka yang memaparkan aksi-aksi seks bebas. 

Sesuatu yang melanggar norma-norma agama dan nilai ketimuran serta penonjolan yang bakal merosakkan nilai-nilai sosial dengan mempromosikan seks bebas di negara ini. 

Ia sesungguhnya telah menyalahgunakan keterbukaan dalam polisi langit terbuka bagi akses internet dalam negara. Maka akhirnya mereka terjerat setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak mengikut akta-akta SKMM.

Semasa kempen PRU 13 dahulu, pasangan ini dilihat lebih condong kepada Pakatan Rakyat dengan mempromosikan kebaculan mereka. Vivian dilihat begitu mesra dengan calon PKR Lembah Pantai ketika itu, iaitu Nurul Izzah.  Malah gambarnya bersama
Nurul Izzah telah dicanangkan di dalam pelbagai media terutamanya blg-blog dan media sosial Facebook.

Insiden Vivian yang memegang bendera Barisan Nasional dalam keadaan yang sengaja menampakkan seolah-olah berbogel di belakang bendera tersebut bolehlah ditafsirkan bahawa beliau cuba menelanjangi Barisan Nasional.  Akhirnya Ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin  telah membuat  satu laporan polis.

Sekali lagi mereka telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf. Lagi-lagi senjata yang sama digunakan. Apakah tindakan kediadapan dan kelucahan itu patut dibiarkan berleluasa serta meracuni fikiran terutama golongan remaja ?

Maksud tersirat tersebut merupakan sesuatu taktik kotor dan kelucahan yang cuba dikaitkan dengan perjalanan pilihanraya umum. Walau atas alasan apa sekalipun, kelucahan yang dipamirkan oleh beliau samada atas niat peribadi mahu menelanjangi BN atau sebagai proksi pihak lain,  ia tidak dapat diterima oleh masyarakat Malaysia.

Kegemparan yang berlaku sekarang ialah apabila pasangan tersebut memuat naik gambar di laman sosial Facebook “Alvin dan Vivian Alvivi”,  yang mereka sedang menikmati sup tulang babi (bak kut teh) kira-kira dua minggu yang lalu.  Beliau mengatakan posting berkenaan dibuat tanpa apa-apa niat dan hanya bahan jenaka sahaja.

Posting tersebut telah mendapat lebih 500 komen pembaca yang mengecam tindakan pasangan berkenaan yang langsung tidak mempunyai senitiviti terhadap masyarakat berbilang kaum malah menghina agama Islam.

Seorang anak tadika bukan Islam sekalipun dapat membezakan makanan haram itu tidak sepatutnya dipromosikan kepada orang-orang Islam. Inikan pula oleh mereka yang dianggap genius boleh melakukan sesuka hati tanpa merasakan ia adalah satu kesalahan dan melanggar etika hubungan kaum di Malaysia. Maka tindakan mahkamah adalah jalan yang sebaik-baiknya bagi memberi pengajaran kepada pasangan tersebut.

Ia juga terpakai kepada mana-mana pihak atau kumpulan yang cuba mengadu-dombakan perpaduan negara dengan sentimen perkauman yang melampau seperti yang pernah ditunjukkan oleh Red Bean Army semasa kempen PRU 13 dahulu. Namun demikian, kita masih tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan siasatan terhadap Red Bean Army ? 

Yang menjadi isu kepada Alvin dan Vivian bukanlah perbuatan mereka makan makanan tersebut, tetapi ialah menyelitkan kata-kata yang mempersendakan Ramadan, “Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.,  wangi, enak, menyelerakan!!!)” yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta,  Kuala Lumpur pada 17-07-2013 mengikut subseksyen 4(1)( c ) Akta Hasutan 1948.


Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.



Tuduhan kedua, mereka juga didakwa memuat naik penerbitan itu di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi, yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan agama berlainan. 


Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minima dua tahun dan maksima lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di www.alviviswingers.tumblr.com

Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minima RM10,000 atau maksima RM50,000 atau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan

Jika mengikut tafsiran saya, pertuduhan kedua mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minima dua tahun, jika disabitkan kesalahan, apakah bermakna mereka akan menerima minima dua tahun penjara ? Itupun jika kesemua hukuman bagi kesalahan tersebut disatukan serta berjalan serentak ? Atas sebab yang sama maka masa penahanan yang mereka lalui sekarang di penjara akan menjadi sebahagian daripada tempuh dipenjarakan, yang biasanya kita dengar hukuman berjalan selepas tarikh penahanan pesalah. Atas sebab itulah mereka juga tidak dibenarkan dijamin dan terus dihantar ke penjara.

Bagaimanapun ia hanya tafsiran saya yang cetek ilmu undang-undang dan prosiding mahkamah. Bagaimana pandangan anda ? Apakah ianya betul begitu ? Kita tunggu penghakimannya nanti.

Sebelum itu, pasangan tersebut telah hadir untuk disoal-siasat di Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas menerima tiga laporan polis daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Hakim juga membuat keputusan tidak membenarkan mereka diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan. Alvin dihantar ke penjara Sungai Buloh, sementara Vivian pula  dihantar ke penjara Kajang. Kini mereka terpaksa menjalani kehidupan sebagai tahanan di penjara sementara menunggu perbicaan yang bakal diadakan pada 23hb Ogos depan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Ishak Md Yusoff turut meminta hakim agar ketiga-tiga pertuduhan dibicarakan serentak.


Setelah sebutan kes di mahkamah, maka diharap isu-isu yang melingkarinya dapat dipendamkan buat sementara waktu bagi menghormati sebagai tidak prejudis terhadap kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.
  
Bertitik-tolak dari kes Alvin dan Vivian ini, kita masih terasa bahawa kecenderungan remaja keturunan Cina terutamanya, telah berani untuk membuat kenyataan yang lebih celupar hanya berpandukan kepada suasana semasa dan sementelah orang-orang Cina lebih dominan dalam politik dan suara-suara pemimpin terutamanya dari parti-parti pembangkang telah mencorakkan pemikiran ke arah untuk merubah struktur yang dipersetujui dalam Perlembagaan Negara.

Mereka langsung tidak memikirkan dan memahami sejarah serta stuktur masyarakat majmuk Malaysia dan anutan agama juga sikap toleransi yang ditunjukkan oleh orang-orang Melayu khasnya. Mereka telah melupai ikrar datuk-nenek mereka dahulu yang menerima aku janji bahawa keturunan mereka akan hidup di bumi ini bersama rakyat pribumi dan menghormati Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan Ugama Islam sebagai agama rasmi negara. Itulah semangat kontrak sosial dan pemberian kerakyatan kepada orang-orang Cina dan India dalam satu program yang dinamakan Jus Soli antara tahun 1947-60an dahulu.

Maka adalah wajar remaja Cina dan India menerima pendidikan yang bercorak ketatanegaraan dan memahami budaya serta ugama yang dianuti oleh rakyat berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak sewajarnya mempertikaikan  subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) yang kini pula akan diajar di IPTS setelah dimulai di IPTA .

Subjek tersebut bukanlah langkah untuk mengIslamkan pelajar bukan Islam tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Dengan memahami nilai-nilai murni setiap agama, kita dapat mengikis sebarang rasa prejudis terhadap penganut agama yang lain.

Subjek Titas akan meningkatkan pemahaman terhadap tamadun yang utama di Asia termasuk tamadun Islam, Hindu dan China agar pelajarnya dapat menghargai nilai agama yang murni, memahami pencapaian dan kemajuan dalam membentuk satu tamadun yang hebat dalam bidang sains teknologi, astronomi, kimia serta fizik perubatan.
    
Di peringkat sekolah menengah pula, murid-murid yang dididik daripada latar belakang, kaum dan agama yang berbeza perlu dibimbing supaya mereka menghormati adat resam, budaya dan agama yang dianuti semua. Bagi pelajar bukan Islam, pendidikan moral yang menekankan nilai-nilai murni harus dipupuk supaya menjadi manusia bijak pandai, nilai-nilai hidup tinggi, budi perkerti, dan berakhlak mulia yang dituntut rakyat Malaysia.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan terus menekankan aspek keharmonian dalam hubungan antara agama serta mendedahkan pelajar kepada nilai murni agar boleh dikongsi bersama. Cabaran besar yang kita hadapi dari dahulu sehingga kini ialah bagaimana untuk menjadikan pendidikan sebagai satu wahana perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
  

Seperti subjek kenegaraan, tujuan untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah, nilai dan aspek utama. Membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban dan kedua; memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.


Perhatian ! Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda.




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

20.07.2013

Post a Comment