PETALING JAYA: Kelulusan bagi Jajaran Kedua Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dijangka dikeluarkan menjelang akhir tahun ini, tertakluk kepada kelulusan kerajaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Jajaran Kedua MRT atau Aliran MRT SBS Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya itu ialah jajaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi bagi MRT Lembah Klang ke Pelabuhan Klang, dan kini ia dirancangkan dari Sungai Buloh, Selayang ke Pandan, bukan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.
"Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (Spad) sudah menjalankan kajian ke atas Jajaran Kedua untuk memuktamadkan penjajaran dan ia telah mengemukakannya kepada kerajaan.


"Jadi, saya rasa bila tiba masanya, ia akan mengumumkannya kepada orang ramai," katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa penjajaran itu dipersetujui mengikut konsensus.

Sebahagian besar Jajaran 1 beraras tinggi kecuali bahagian bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer yang merentasi pusat bandar dari Semantan di Jalan Duta ke Maluri di Cheras.

"Projek MRT penting diteruskan kerana ia pastinya akan memberi faedah kepada orang ramai serta memastikan Kuala Lumpur bebas daripada kesesakan," katanya.
Dilaporkan sebelum ini bahawa Spad juga akan menjalankan kajian ke atas Jajaran Ketiga untuk memuktamadkan penjajarannya.
Bagaimanapun, belum diputuskan sama ada Jajaran 2 dan Jajaran 3 akan dilaksanakan serentak atau satu persatu. - BERNAMA