Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Tuesday, June 25, 2013

Isu sekolah vernakular : Ke mana haluan SJK Cina


Sejak akhir-akhir ini isu sekolah vernukular semakin hangat diperdebatkan. Terutamanya sebelum PRU 13 yang lalu. Ia menjadi agenda dalam perbualan baik di pentas-pentas ceramah maupun di media-media elektronik, media cetak dan media baharu internet.

Ia menarik perhatian kerana ia melibatakan bahasa Cina atau bahasa Mandarin yang menjadi medium bahasa pengantar di SJK Cina. Dan ianya dikaitkan dengan sentimen pilihanraya yang mengaitkan orang-orang Cina dengan parti pembangkang DAP serta kecenderungan orang-orang Cina memilih arus yang berbeza dengan hasrat menolak kerajaan kepimpinan sedia ada.

 

Maka secara tidak langsung isu sekolah vernukular khasnya SJK Cina menjadi tajuk yang diperbincangkan bukan sahaja oleh masyarakat umum malah menarik perhatian golongan professional lain yang bukan dari golongan bahasa dan pendidikan bagi membincangkan masalah tersebut.
  
 
Saya amat tertarik hati untuk mengulas dengan lebih lanjut isu yang dibawa oleh Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah seperti yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 20hb Jun 2013 yang lalu bertajuk,”SJK perlu penjenamaan semula – Jadikan ia sekolah pengajian bahasa terbuka kepada semua rakyat Malaysia”.  Rencana tersebut ditulis oleh pengarang Utusan, Faizah Izzani. Pautan tulisan tersebut boleh diikuti di sini. Klik Sini

Datuk Mohd Noor Abdullah mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Dalam kes ini, saya hanya akan memfokuskan kepada SJK Cina sahaja.

Saya tidak berapa pasti apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh beliau itu, kerana dalam rencana tersebut tidak menyorot dengan lebih lengkap melainkan Datuk Mohd Noor Abdullah sendiri sudi untuk membuat penjelasan lanjut.

Lantaran itu, saya juga mempunyai pandangan dari sudut seorang bekas pelajar sekolah Cina yang telah melalui zaman tadika dengan medium bahasa Cina di tahun 1969. Kemudiannya melalui persekolah rendah di SJK Cina sehingga tamat pengajian darjah enam. 

Saya menghabiskan zaman persekolahan menengah di sekolah menengah persendirian Cina yang secara khususnya dinaungi oleh Dong Zhong. Bolehlah dikatakan saya ini produk Dong Zhong.

Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w,”Tuntutlah ilmu walau ke negeri China”. Maka saya akhirnya memperolehi ijazah dalam Kejuruteraan Awam dari sebuah universiti terkenal di Repulbic of China, Taiwan. 

Walaupun ia bukan  pengkhususan dalam pengajian bahasa dan kesusateraan Cina namun bolehlah dikatakan keseluruhan pendidikan saya berteraskan pendidikan Cina.

Berbekalkan dengan ilmu yang saya perolehi itu serta penglibatan saya dalam komuniti Cina sehingga hari ini, saya akan cuba untuk mengupas beberapa isu yang mana tidak ramai diketahui oleh orang-orang Melayu kerana mereka tidak berada dalam kelompok ini.

Kembali kepada tajuk asal kita mengenai  cadangan Datuk Mohd Noor Abdullah agar kerajaan menjenamakan semula SJK Cina menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia, saya berpendapat begini :

Dalam pengertian saya terdapat dua definisi :

Pertama, SJK Cina sememang telah terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk mempelajari bahasa Cina. Itulah natijah pembukaan sekolah-sekolah tersebut.  Kini di SJK Cina terdapat begitu ramai pelajar-pelajar Melayu dan India yang belajar di sana. Tidak ada sekatan, jadi apa yang harus “dibuka” lagi ? Malah di beberapa SJK Cina terdapat pelajar-pelajar Melayu dan India melebihi jumlah pelajar-pelajar Cina sendiri. 

Lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa buah SJK Cina yang langsung tiada pelajar Cina, cuma yang ada ialah pelajar-pelajar Melayu dan India. Keadaan ini terjadi terutamanya di ladang-ladang getah bekas milik orang putih dahulu yang mana kini telah tiada lagi orang-orang Cina yang bekerja di ladang getah. Namun orang-orang Cina masih mahu mengekalkan sekolah Cina tersebut ataupun memindahkannya ke penempatan baru yang banyak terdapat komuniti Cina. Senario ini jarang diketahui oleh orang-orang Melayu.

 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00




Kedua, SJK Cina harus membuka kelas pengajian bahasa Cina di luar waktu persekolahan untuk orang-orang awam belajar bahasa Cina. Ini mungkin berbentuk kelas tuisyen seperti yang terdapat di mana-mana saja, tetapi ia dianjurkan oleh SJK Cina sendiri. Tenaga pengajar adalah terdiri daripada guru-guru sekolah tersebut.

Jika inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Mohd Noor Abdullah, maka saya boleh memberi jaminan bahawa ia sememangnya dialu-alukan oleh masyarakat Cina.  Bahkan Lembaga Pengelola Sekolah Cina serta pihak pengurusan sekolah sudah pasti akan memberikan kerjasama yang diperlukan.

Bukan setakat itu sahaja, saya percaya mereka akan menyumbangkan dana untuk keperluan tersebut. Cuma para pelajar haruslah memberi pembayaran yang minima sebagai saguhati dan menyumbang kepada sekolah sebagai balasan kita terhadap kesudian mereka itu. Ini kerana masyarakat Cina secara tradisinya suka membuat sumbangan kepada institusi sekolah, maka kenalah ikut resmi masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Datuk Mohd Noor Abdullah juga mempersoalkan dasar pendidikan yang membenarkan sistem persekolahan vernakular wujud di negara ini, katanya dasar itu sebenarnya yang memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam soal ini, saya yang cetek ilmu dalam undang-undang mungkin tidak mengerti sangat makna perkataan “sistem” yang ditakrifkan dalam undang-undang.  Tetapi jika ia ditakrifkan dalam sistem persekolahan, mungkin ianya berbentuk satu institusi pengajian yang merangkumi dasar-dasar, perlaksanaan, cara-cara pengajaran dan pembelajaran serta natijah pembelajaran tersebut sebagai asas kemajuan diri dan negara.

Sebagai seorang yang terdidik dalam persekitaran sekolah Cina, saya tidak berapa menyetujui  kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah itu. Yang membuatkan masyarakat berpecahbelah ialah hasil daripada pertembungan sentimen yang diapi-apikan dalam politik. Elemen ini lebih menonjol kerana ia adalah jalan pintas untuk menarik perhatian kaum-kaum Cina yang akhirnya meleret kepada isu-isu perpaduan dan sebagainya.

Namun demikian, saya juga tidak menafikan seratus peratus bahawa keujudan sekolah Cina telah menjarakkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia. Ini kerana dalam pengajian dalam bahasa Cina itu sendiri telah menerapkan kecintaan terhadap bahasa ibunda, budaya dan sejarah asal usul bangsa itu sendiri. Maka secara tidak langsung ikatan kekitaan di kalangan masyarakat Cina lebih menonjol berbanding  dengan masyarakat luar yakni dengan orang-orang Melayu dan lain-lain kaum.

Tentang membenarkan sistem persekolahan vernukular wujud di negara ini, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana di kalangan orang Melayu bahkan orang-orang Cina sendiri tidak mengetahui sejarah sistem persekolah Cina di Tanah Melayu sebelum merdeka dan yang kini selepas Malaysia merdeka.

Malah mencampur-adukkan peranan Dong Zhong dalam SJK Cina. Sebenarnya Dong Zhong adalah badan yang menyelia kesemua 60 buah sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia dan ia mengelolakan peperiksaaan yang mana sijilnya dinamakan UEC. 

Manakala SJK Cina tidak tertakluk kepada apa-apa peranan Dong Zhong kerana sistem sekolah rendah Cina adalah di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan Malaysia secara mutlak. 


Namun demikian, oleh kerana hampir kesemua SJK Cina mempunyai Lembaga Pengelola Sekolah iaitu sebuah badan yang pada asalnya adalah sebagai pembiaya dan mengelolakan sekolah rendah Cina. 

Bahkan sebahagian besar harta-harta seperti tanah, bangunan dan banyak infrasturtur sekolah bukanlah dimiliki oleh kerajaan tetapi dimiliki oleh sekolah tersebut yang mana pemegang amanahnya ialah Lembaga Pengelola Sekolah. 

Kerajaan hanya bertanggungjawab dalam pembiayaan gaji tenaga pengajar dan urusan pentadbiran sekolah sahaja. Sebab itulah SJK Cina ditakrifkan sebagai sekolah bantuan kerajaan, dan bukannya sekolah dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. 

Ianya sama sekali berbeza dengan kedudukan sekolah kebangsaan, maka kita harus memahami struktur tersebut terlebih dahulu sebelum membuat saranan yang tidak tepat. Untuk mengeluarkan kata-kata seperti "tutup saja SJK Cina" yang sering diluahkan dalam blog-blog, tetapi apakah anda sendiri telah memahami situasi ini dan apakah saranan konkrit bagi menggantikannya. Lontaran pertanyaan ini saya tujukan kepada anda ?   

Anda boleh membaca tulisan saya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 26.12.2001 iaitu kira-kira 12 tahun yang lalu bertajuk, “Contohilah kecemerlangan SJKC”. 

Dalam artikel tersebut saya memperincikan sejarah penubuhan sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu sejak zaman Negeri-negeri Selat lagi dan seterusnya setelah kemerdekaan Malaysia serta perkembangan sekolah-sekolah Cina. Ia juga menekankan bagaimana masyarakat Cina menstrukturkan pendidikan walaupun sekolah-sekolah Cina tidak mendapat bantuan penuh seperti yang dinikmati oleh sekolah-sekolah kebangsaan. Tetapi mereka mampu untuk membina infrastruktur sekolah yang begitu gah dengan bantuan masyarakat Cina dari pelbagai lapisan.

Sebenarnya sistem persekolahan Cina moden telah wujud sebelum Sistem Pendidikan Nasional lagi. Dalam  Penyata Razak (1956) yang menjadi tunggak kepada dasar pendidikan nasional hari ini juga telah memperakui keujudan sistem sekolah Cina di Malaya ketika itu. Masa itu pendidikan Inggeris adalah tunggak pendidikan, maka sekolah Melayu juga ditakrifkan sebagai sekolah nervekular bersama sekolah Cina dan Tamil. Setelah Penyata Rahman Talib (1960) maka Sistem Pendidikan Nasional diperkukuhkan lagi.

Jadi untuk mengubah sesuatu sistem yang telah wujud menjadi suatu institusi disebabkan emosional isu-isu semasa adalah  satu pemikiran yang berjangka pendek sahaja. Namun pendidkan adalah untuk jangka panjang, seperti sebuah peribahasa Cina menyebut,”pendidikan adalah pokok manusia ratusan tahun”. Ia bermakna untuk menjana pendidikan memerlukan masa yang panjang, tidak ada jalan pintas !  
Untuk merubah sistem pendidikan Cina dan menidakkan penggunaan bahasa Cina dalam sekolah Cina adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.  

Datuk Mohd Noor Abdullah juga menyatakan,”penyatuan pasti akan berlaku apabila semua rakyat Malaysia pergi ke sekolah yang sama kerana tiada lagi jurang perbezaaan antara pelbagai kaum. Masa rehat dan sekolah habis boleh bersama-sama. Bayangkan rakyat Malaysia boleh hidup begitu. Keadaan inilah yang tidak ada masa kini”.

Pada pentafsiran saya, “sekolah yang sama” akan merujuk kepada satu sistem sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan di mana orang-orang Cina dan India hanya akan belajar di sekolah kebangsaan, ataupun dengan kata lain, sekolah-sekolah Cina bertukar mengikut sistem pembelajaran dalam bahasa kebangsaan.

Benarkah teori ini akan menjadi kenyataan tanpa memandang kepada realiti sebenarnya atau hanya satu omongan sahaja ! Adakah Datuk Mohd Noor Abdullah bermimpi di siang hari ?

Saya tidak berkecil hati dengan kenyataan tersebut kerana kita orang-orang Melayu tidak mengetahui hal-hal sebenar yang melingkari pendidikan Cina itu sendiri. Kita seharusnya menyalahkan sikap sebahagian besar orang-orang Melayu sendiri yang hanya bergantung kepada kerajaan sahaja untuk menjana pendidikan anak bangsa. 

Sila baca rencana saya yang pernah tersiar di Utusan Malaysia pada 22/07/2002 yang lalu bertajuk, Perkasakan bangsa Melayu perlu perubahan mentaliti . Ianya ditulis bagi membezakan sikap sebahagian besar orang-orang Melayu berbanding dengan orang-orang Cina terhadap penjanaan pendidikan. 

Bahkan untuk membayar wang PIBG juga dipertikaikan, inikan pula untuk menyumbang wang kepada dana pembangunan infrastruktur sekolah yang dikatakan, “itu tanggungjawab kerajaan “!

Dengan omongan bahawa kerajaan seharusnya membayar semua perbelanjaan pendidikan, bahkan PTPTN juga mahu dihapuskan dengan memberikan biasiswa percuma, apakah mentaliti subsidi Melayu akan diteruskan.  Ini tidak berlaku dalam masyarakat Cina. Setiap hutang akan pasti dibayar !

Sanggupkah orang-orang Cina yang selama ini membiayai prasarana bangunan sekolah dan pelbagai kelengkapan dengan hanya sebahagiannya sahaja ditanggung oleh kerajaan, maka mereka dipaksa pula untuk menyerahkan sistem pendidikan dan semua pembangunan tersebut kepada acuan sistem pendidikan seperti sekolah kebangsaan ? 

Ini akan menjadikan suasana pergeseran antara kaum menjadi lebih meruncing. Ia bukan seperti yang “dibayangkan” oleh Datuk Mohd Noor Abdullah. Inilah yang jarang difahami oleh kebanyakan orang-orang Melayu.

Janganlah membandingkan Cina Indonesia dan Cina Thailand lalu memasukkan dalam satu bakul dengan Cina Malaysia bagi membincangkan masalah pendidikan Cina. Setiap kelompok Cina ini walaupun suatu masa dahulu berasal dari China tetapi kini dipisahkan oleh kenegaraan yang berbeza dan mempunyai dasar-dasar yang berbeza.

Dari segi populasi penduduk, orang-orang Cina di Indonesia hanya sekadar 4% daripada keseluruhan penduduknya, manakala Cina Thailand hanya lebih sedikit sahaja iaitu sekitar 6%. Manakala Cina Malaysia adalah dalam lingkungan 27% daripada keseluruhan penduduk.

Dari segi politik dan perekonomian sudah tentu mereka mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih berbanding dengan Cina Indonesia dan Cina Thailand. Di Indonesia, orang-orang Cina langsung tidak mempunyai status dalam politik tetapi menguasai hampir 80% ekonominya. Manakala orang-orang Cina di Thailand bukan sahaja menguasai ekonomi malah menguasai politik. Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinawarta dan adiknya Yingluck Shinawarta yang kini juga Perdana Menteri adalah dari keturunan Cina.

Orang-orang Cina Indonesia dan Thailand telah melalui proses asimilasi kerana jumlah mereka terlalu kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk negara tersebut. Selain itu Cina Indonesia pada era Sukarno dan Suharto memang telah dipaksa untuk mengIndonesiakan keCinaan mereka dengan kuasa tentera yang kuat. Walaupun di Thailand orang-orang Cina tidak mengalami tekanan politik sebaliknya disebabkan majoriti orang-orang Thailand berugama Budha sama dengan orang-orang Cina maka proses asimilasi tersebut berjalan dengan aman.

Senario di Malaysia menampakkan orang-orang Cina agak dominan dalam politik, ini ditambah dengan perpecahan orang-orang Melayu sendiri. Kita harus menyalahkan perbalahan kita sendiri sebagai punca pihak ketiga mengambil kesempatan untuk menunjulkan diri. Adat dunia, jika kita lemah maka kita akan diperkotak-katikkan walaupun jumlah orang-orang Melayu melebihi 50% keseluruhan penduduk Malaysia.  Namun apa maknanya jika kita tidak bersatu !

Selain itu kek ekonomi Malaysia masih lagi terletak di tangan orang-orang Cina. Orang-orang Melayu masih terlalu lemah untuk mengejar peluang-peluang perekonomian. Di samping daya saing di kalangan graduan Melayu untuk memasuki pasaran terutamanya di kalangan syarikat-syarikat Cina masih terlalu rendah. 

Untuk menjawat sesuatu jawatan bukan sahaja kriteria ijazah dan diploma dari mana-mana IPT yang dipandang, tetapi daya saing semasa bekerja. Bukan saya ingin mengecilkan anak bangsa sendiri tetapi kita harus menerima realiti bahawa tidak ramai di kalangan anak bangsa kita yang sanggup menerima cabaran yang diamanahkan di syarikat orang-orang Cina. 

Mereka lebih memencilkan diri kepada kelompok sendiri tetapi tidak berusaha memasuki kelompok pekerja-pekerja Cina dan memahami budaya kerja mereka.  Secara tidak langsung fenomena ini telah menjadi satu trend yang mana pada anggapan umum di kalangan masyarakat Cina, bahawa orang-orang Melayu sememangnya begitu. Maka tidak hairanlah banyak resume yang dihantar berakhir di bakul sampah sahaja. 

Kita hanya pandai untuk menempelak orang lain, tetapi mengapa tidak memikirkan apakah kelemahan diri kita yang sepatutnya diperbetulkan dahulu ? Apakah kita telah memperuntukan masa dan daya usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, kalaupun tidak tahu berbahasa Mandarin ? Dan jika mengetahui bahawa bahasa Mandarin itu akan menjadi satu kriteria dalam memohon penjawatan, maka haruslah mengambil sedikit daya usaha untuk mempelajarinya walaupun hanya sedikit sahaja.

Sebenarnya untuk memperlengkapkan diri bagi menghadapi hari temuduga bukanlah bermula pada saat akhir sahaja tetapi ianya bermula sejak dari hari pertama ia memasuki IPT atau selepas saja tamat persekolahan menengah. Tabiat orang-orang Cina jika telah tidak berupaya meneruskan pengajian maka akan cepat-cepat mencari daya usaha dalam bidang perniagaan kecil-kecilan atau sebagai pelatih seperti dalam bengkel-bengkel kereta dan sebagainya. Manakala yang perempuannya pula sanggup menjadi pelatih sebagai "shampoo girl" sekalipun kerana itu adalah tangga paling bawah baginya untuk merangkak sebagai tukang saloon satu hari nanti. 

Manakala anak-anak Melayu ramai yang terjebak dalam kes tidak bermoral dan penagihan dadah dan merempit di sekeliling kampung dan kota. Siapa yang harus dipersalahkan, siapa yang menjadi contoh kepada mereka yang membuatkan mereka jadi begitu ? Tentunya komuniti Melayu yang terdahulu berbuat demikian, maka mereka mengikutnya. Apakah generasi akan datang juga akan mengikuti generasi yang sudah rosak ini ?     

Apakah orang-orang Melayu tidak sedar hal ini ? Apakah orang-orang Melayu asyik berpolitik di jalanan terutamanya anak-anak muda yang berdemostrasi di jalanan ? Apakah anak muda bernama Adam Adli harus dijadikan ikon menentang pemerintah dianggap generasi yang berani ?  Sedangkan waktu ini sepatutnya diperuntukan bagi mentelaah pelajaran dan menambah kotak pemikiran dengan idea-idea yang berguna, tetapi anak-nak muda Melayu telah diracuni oleh politik kepartian yang sempit. Yang beruntung ialah para opportunis dalam politik yang mempergunakan mereka demi kepentingan politik mereka. Anda pasti tahu siapa para opportunis ini. Lagi lagi Melayu yang rugi ! 

Senario di atas akan saya kaitkan dengan bagaimana minda orang-orang Melayu yang berpendidikan Cina dengan mereka yang berpendidikan Melayu. Bukanlah bermakna saya masuk bakul angkat sendiri. Tetapi ingin berkongsi pendapat dan idea, sementelah tidak ramai di kalangan orang Melayu yang seperti saya kerana mendapat pendidikan secara total dalam aliran Cina.  Bagi mereka yang pernah belajar setakat sekolah rendah Cina sahaja mungkin tidak dapat menyelami keseluruhannya tetapi mungkin kekadar masih dapat bertutur dengan ayat yang mudah, itupun jika sering dipraktikkan.

 
Bagi diri saya terdapat dua budaya iaitu Cina dan Melayu. Akar tunjungnya ialah Melayu Islam manakala budaya, bahasa dan pemikiran yang baik dari aliran Cina telah mencambahkan pemikiran yang kritis.  Dengan pengetahuan saya dalam aliran Cina tidak pernah menCinakan saya, tetapi lebih membentuk keMelayuan saya yang bersifat nasionalis. 

Kita harus mengambil iktibar bahawa tamadun Cina telah berusia 5000 tahun sedangkan jika dikira Kesultanan Melaka dengan kita baru 600 tahun. Jika diambil tamadun Hindu yang mendiami Lembah Bujang, kita masih lagi terlalu muda untuk menandingi tamadun Cina.  Maka apa salahnya kita mengambil sesuatu yang baik dari tamadun orang lain demi memkayakan budaya kita. Sementelah budaya Melayu juga dipengaruhi oleh Hindu, Arab, Inggeris dan Cina.

Dengan fakta-fakta tersebut, apakah kita ingin menolak pembudayaan oleh orang-orang Cina dalam sistem kehidupan kita. ? Apakah kita ingin menolak untuk mempelajari bahasa Cina yang menjadi salah satu budaya di negara kita dan menjadi kriteria penting dalam perniagaan dan memohon pekerjaaan ? Malahan ia menjadi sebahagian daripada sistem persekolahan kita maka dengan itu sistem sekolah nervakular khususnya SJK Cina seharusnya diteruskan.

Anda juga boleh membaca artikel saya yang pernah tersiar di Utusan Malaysia bertarikh 05.07.2006 , iaitu kira-kira enam tahun yang lalu bertajuk, “Di sebalik jaringan buluh”.    Klik Sini    Ianya juga boleh dibaca dalam Blog saya, di mana saya telah membuat penambahan grafik dan tulisan-tulisan Cina yang menjadi sumber asas tulisan tersebut agar memudahkan pembacaan. Klik Sini

Mengapa saya mengesyorkan anda berbuat demikian, ini adalah kerana artikel tersebut memberikan anda satu pengertian tentang struktur masyarakat Cina di Asia Tenggara serta bagaimana mereka membentuk jalinan yang akhirnya menjadi satu komuniti yang kuat terutamanya dalam perniagaan. Pembentukan komuniti ini dikenali sebagai Jaringan Buluh atau lebih dikenali sebagai bamboo networks.

Jika saya tidak bersekolah Cina dan mendalami pengajian bahasa Cina hingga ke peringkat universiti,  maka tidak mungkin saya mampu untuk menyelami struktur sosial masyarakat Cina yang boleh dibuat perbandingan oleh orang-orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya punyai peranan sebagai jambatan untuk menyalurkan pemikiran yang baik dari tamadun dan kemajuan komuniti Cina. 

Ini saya lakukan dalam beberapa penulisan saya sejak beberapa tahun lalu yang disiarkan dalam akhbar-akhbar dan majalah tempatan yang banyak berkisar kepada pemikiran antara Cina dan Melayu. Akhir-akhir ini banyak saya curahkan dalam blog saya. 

Kesimpulannya, daripada kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah itu, saya tidak nampak di mana rasionalnya penjenamaan SJK Cina perlu dilakukan. Kenyataannya yang mengatakan sekolah vernakular tidak selari dengan artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan maka SJK Cina dan SJK Tamil perlu ditutup yakni menukar bahasa pengantar kepada bahasa Melayu adalah tidak melambangkan fakta-fakta sebenar dalam kedudukan dan fungsi sekolah itu diujudkan dan peranannya dalam pembangunan negara. 

Jika benar ianya bertentangan dengan perlembagaan, maka apakah tindakan susulan dan apakah syor-syor yang lebih konkrit bagi mengatasi kemelut ini. Kita tidak boleh melemparkan persoalan tanpa menyediakan jawabannya. Ini bukan forum atau ceramah yang berdegar-degar tetapi dunia realiti. Cubalah fahami dahulu sistem pendidikan Cina sedia ada sebelum membuat kenyataan. Minta Datuk Mohd Noor Abdullah fikir-fikirkan ! 

Bertitik-tolak daripada isu sekolah vernakular, isu lain yang timbul ialah bagaimana kita menjenamakan sekolah kebangsaan agar dapat diterima oleh orang-orang Cina sebagai pilihan utama mereka. Inilah keutamaan yang sepatutnya dibawa oleh Datuk Mohd Noor Abdullah serta NGO lain yang lantang menentang SJK Cina. Mereka seharusnya menyediakan pelan dan usul yang konkrit bagaimana meyakinkan masyarakat Cina bahawa sekolah kebangsaan itu setanding dengan SJK Cina daripada menghantar memorandum kepada pihak-pihak tertentu atau ceramah yang hanya bersifat emosional. Cabaran ini harus disambut oleh Datuk Mohd Noor Abdullah !

Ini kerana pada pandangan orang-orang Cina bahawa sekolah kebangsaan tidak menepati citarasa dan suasana pembelajaran yang kurang daya saing. Kita harus memperkasakan sekolah kebangsaan agar pencapaian akademik pelajarnya setanding dengan SJK Cina. kerana orang-orang Cina adalah golongan opportunis yang akan mengambil kira masa depan anak-anak mereka. Jika di peringkat sekolah rendah anak-anak mereka tidak memperolehi asas yang baik, maka mereka lebih rela menghantar ke SJK Cina.

Walaupun kini telah ada beberapa buah sekolah kebangsan terpilih yang mengajar bahasa Mandarin bagi menarik golongan tersebut manghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan namun ia baru di tahap permulaan. Kita juga menghadapi masalah tenaga pengajar dari kalangan guru-guru Cina bagi mengajar matapelajaran bahasa Mandarin. Malah di SJK Cina sendiri menghadapi masalah yang semakin meruncing.

Maka pendekatan serampang dua mata seharusnya dilakukan iaitu : 

Pertama, memperkukuhkan pembelajaran bahasa Malaysia di SJK Cina sebagai ajen perpaduan dan menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia di kalangan masyarakat Cina. Agar mereka juga fasih dalam berbahasa Malaysia.

Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, kerajaan telah menambah masa pembelajaran bahasa Malaysia dari 180 minit kepada 240 minit seminggu.

Kedua, menggalakkan usaha pembelajaran bahasa Mandarin dari segenap lapisan. Kerana kini bahasa Mandarin bukan lagi sebagai bahasa bagi orang-orang Cina sahaja tetapi telah melangkaui batas-batas kenegaraan dan bangsa kerana ia dipertuturkan dalam kalangan komuniti antarabangsa. Untuk berurus niaga di negara China juga memerlukan kita mempelajari bahasa Mandarin setidak-tidaknya menyebut beberapa patah perkataan apabila membuat tawar-menawar. Bagi mereka yang sering berurus-niaga di China kini tentunya amat memahami situasi ini.

Ia bertujuan dengan sedikit kelebihan saya dalam penguasaan bahasa Mandarin dan minat saya dalam penulisan dalam bahasa Malaysia, dapatlah saya memberi sumbangan bakti kepada orang-orang Melayu khasnya yang ingin belajar setapak demi setapak dalam bahasa Mandarin.  




Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

25.06.2013


------------------------------***** -----------------------------------------------

Anda disyorkan membaca rencana-rencana saya yang pernah tersiar di Utusan Malaysia berkaitan dengan tajuk di atas.


-------------------------------**** -----------------------------------

Nota : Tulisan saya yang tersiar di Utusan Malaysia pada 26/12/2001



ARKIB : 26/12/2001


Contohi kecemerlangan SJKC

Isu pendidikan kembali hangat. Ia dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk N. Siva Subramaniam. Isunya ialah pengasingan pelajar-pelajar mengikut kaum dalam kelas. Lanjutan daripada itu NUTP juga mendedahkan terdapat 60,000 pelajar-pelajar Melayu kini mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

Sehubungan itu beliau menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji secara menyeluruh tentang pengaliran pelajar-pelajar Melayu dan India ke SJKC. Di samping itu kita memang telah mengetahui bahawa kemasukan pelajar-pelajar Cina ke sekolah kebangsaan semakin merosot.

Saya lebih berminat untuk memberikan sedikit pandangan mengapa terdapatnya kemerosotan kemasukan pelajar-pelajar Cina ke sekolah kebangsaan dan pengaliran pelajar-pelajar Melayu dan India ke SJKC. Di samping itu saya ingin mengutarakan beberapa isu dalam pendidikan Cina di negara ini.

Bagi pelajar-pelajar Cina mereka ingin mendapatkan asas pendidikan dalam bahasa ibunda dan memelihara bahasa dan budaya Cina, di samping itu belajar di sekolah Cina lebih menampakkan suasana persaingan dalam pembelajaran. Sekolah Cina juga mempunyai prasarana yang lebih lengkap terutamanya di bandar berbanding dengan sekolah kebangsaan. Selain itu faktor cara pengajaran dan pembelajaran serta identiti pengurusan sekolah Cina yang tidak terdapat di sekolah kebangsaan.

Bagi ibu bapa Melayu dan India yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar di SJKC juga mempunyai sebab mengapa mereka berbuat demikian. Sebab utama ialah ingin mempelajari bahasa Mandarin yang merupakan salah satu alat komunikasi dalam bidang ekonomi masa kini.

Jika mereka mendalami lebih jauh ke dalam bahasa dan budaya Cina, mereka akan dapat memahami budaya kerja, pemikiran dan falsafah Cina yang berusia lebih 5,000 tahun. Di samping itu mereka tertarik dengan cara pengajaran dan suasana pengurusan SJKC.

Sebagai seorang bekas pelajar di sekolah Cina, saya ingin mengajak para pembaca melihat bagaimana orang-orang Cina menstrukturkan pendidikan Cina di negara ini. Moga-moga ia dapat memberi gambaran dan contoh yang patut diikuti dalam menjana pendidikan di kalangan orang-orang Melayu.

Untuk memahami pendidikan Cina di negara ini dan bagaimana ia diuruskan, kita perlulah menyingkap sejarah penubuhan sekolah-sekolah Cina itu sendiri. Sesungguhnya sekolah-sekolah Cina telah wujud sejak zaman penjajahan British di Negeri-negeri Selat lagi. Bagaimanapun sistem persekolahan moden hanya bermula pada awal kurun ke 20 dengan tertubuhnya sekolah-sekolah seperti Chunghwa, Pulau Pinang (1904), Confucian, Kuala Lumpur (1906) dan Yuk Choy, Ipoh (1907). Kebanyakan sekolah-sekolah Cina pada awal penubuhannya adalah atas biayaan persendirian dan persatuan kaum-kaum Cina. Di mana kurikulumnya berasaskan pendidikan di negeri China.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, perkembangan sekolah-sekolah Cina semakin ketara. Namun demikian isu-isu utama pendidikan yang menyebabkan orang-orang Cina lebih bersatu-padu dari pelbagai peringkat ialah dengan adanya Akta Pendidikan 1961 (21) yang memberi kuasa kepada menterinya untuk mengubah status sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan.

Kebimbangan inilah yang menjadi salah satu impak kepada masyarakat Cina untuk terus mempertahankan sekolah Cina walau dengan apa cara sekalipun. Mereka sanggup mengetepikan perbezaan politik dan latar belakang dengan mengembelengkan tenaga dan wang ringgit untuk terus memajukan sekolah-sekolah Cina. Inilah faktor utama yang jarang difahami oleh masyarakat bukan Cina apabila isu-isu pendidikan Cina ditimbulkan.

Akibat daripada akta tersebut juga memperlihatkan sekolah-sekolah Cina terbahagi kepada dua iaitu yang menerima bantuan kerajaan dipanggil sekolah jenis kebangsaan manakala yang lainnya ialah sekolah Cina persendirian. Walau bagaimanapun sekolah-sekolah Cina masih mengekalkan struktur pengurusan sekolah iaitu mempunyai Lembaga Pengelola Sekolah. Peranan Lembaga Pengelola Sekolah lebih ketara di sekolah Cina persendirian.

Impak kedua dalam isu pendidikan sekolah-sekolah Cina berlaku pada tahun 1970 di mana semua sekolah jenis kebangsaan Inggeris ditukar bahasa pengantarnya ke bahasa Melayu. Ini jelas membimbangkan masyarakat Cina tentang Akta Pendidikan 1961 (21) dan kesannya kepada pendidikan Cina keseluruhannya. Ini menyebabkan pengaliran besar-besaran pelajar-pelajar Cina yang dahulunya ke sekolah jenis kebangsaan Inggeris ke sekolah Cina. Pada masa yang sama memperlihatkan pengembangan yang ketara sekolah-sekolah Cina persendirian.

Isu pendidikan sekolah Cina bukan sahaja dimainkan oleh aktivis pendidikan Cina bahkan ia menjadi agenda politik bagi parti-parti yang berteraskan kaum Cina. Seawal tahun 1952 selepas tertubuh MCA, ia bersama Persekutuan Guru-guru Cina dan Lembaga Pengelola Sekolah-sekolah Cina dari beberapa negeri telah berjaya menubuhkan satu organisasi peringkat kebangsaan bagi mempertahankan pendidikan Cina. Pertubuhan yang lebih dikenali dengan Dong Jiao Zhong itu sesungguhnya adalah benteng bagi pendidikan Cina di negara ini.

Dan sehingga kini pun mana-mana parti politik yang berteraskan kaum Cina akan menjadikan isu pendidikan sebagai salah satu agenda perjuangan mereka. Maka tidak hairanlah sama ada parti-parti dalam kerajaan ataupun pembangkang akan sentiasa meniupkan isu-isu pendidikan seperti pelaksanaan sekolah wawasan, pemindahan SJKC Damansara dan sebagainya dalam rutin politik mereka.

Pada amnya keseluruhan masyarakat Cina tidak menganggap urusan pembiayaan prasarana sekolah adalah hak kerajaan semata-mata tetapi adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu mereka akan memberi sokongan moral, wang ringgit dan tenaga terhadap kemajuan pendidikan. Secara tidak langsung sekolah-sekolah Cina mudah mendapat sokongan dana dari pelbagai peringkat samada dari petani, peniaga kecil, tauke, tokoh-tokoh korporat, ahli-ahli politik, tokoh-tokoh masyarakat dan sebagainya.

Selain daripada itu, pelbagai persatuan Cina yang mewakili sesuatu kaum, dewan perniagaan, persatuan alumni, persatuan penjaja kecil, persatuan kesenian dan kebudayaan dan sebagainya adalah tulang belakang kepada kemajuan pendidikan Cina itu sendiri. Salah satu cara yang sering digunakan untuk mengumpul dana ialah dengan mengadakan malam amal dan selalunya ia dapat mengumpul ratusan ribu hingga jutaan ringgit.

Baru-baru ini di sebuah sekolah Cina tempat anak-anak saya bersekolah telah berjaya mengumpul hampir lima juta Ringgit Malaysia bagi mendirikan sebuah bangunan tambahan lima tingkat dengan dilengkapi dengan makmal komputer, perpustakaan, dewan serbaguna dan pejabat pentadbiran yang serba canggih!
Dari segi pentadbiran, sekolah-sekolah Cina sering mengamalkan corak tiga serangkai yang menggabungkan Lembaga Pengelola Sekolah yang biasanya terdiri daripada tokoh-tokoh masyarakat setempat, pihak pengurusan sekolah yang diketuai oleh guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Diharap serba-sedikit penjelasan yang disebutkan di atas dapat memberi jawapan terhadap kemerosotan kemasukan pelajar-pelajar Cina ke sekolah kebangsaan dan pengaliran pelajar-pelajar Melayu ke SJKC. -

MOHD HISEMUDIN, Subang Jaya, Selangor


------------------------------***** -----------------------------------

Nota : Tulisan saya yang tersiar di Utusan Malaysia bertarikh 22/07/2002



ARKIB : 22/07/2002



Perkasakan bangsa Melayu perlu perubahan mentaliti

SAYA melihat usaha untuk memperkasa orang-orang Melayu terutama dalam pendidikan mestilah lahir daripada keinsafan dan kesedaran bahawa tanggungjawab untuk meningkatkan tahap pendidikan bukanlah hak kerajaan semata-mata.

Kita tidak mahu dilabelkan lagi sebagai bangsa yang bermentaliti subsidi sehingga apa jua bentuk bantuan, dana dan biasiswa haruslah datang dari kerajaan.

Kita juga berharap Deklarasi Putra yang dibuat sempena Kongres Pendidikan Melayu yang diadakan pada 2001 tidak hanya tinggal deklarasi sahaja.

Tiga deklarasi melibatkan penyelidikan pendidikan, pembangunan Melayu serta Tabung Pendidikan dan Pembangunan Melayu seharusnya telah mempunyai mekanisme sendiri dan bergerak sejajar dengan keperluan negara.

Ia juga harus mengkorporatkan Tabung Pendidikan dan Pembangunan Melayu dengan mendapatkan sumbangan dana terutamanya daripada golongan korporat Melayu. Manakala tokoh-tokoh korporat juga haruslah dengan rasa keinsafan memberi balik sumbangan kepada tabung tersebut atau mana-mana tabungan yang menjurus kepada peningkatan pendidikan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan tokoh perniagaan dari kaum Cina.

Sesungguhnya untuk membudayakan pendidikan dalam kehidupan seharian memerlukan perubahan mentaliti, sikap dan pendirian. Mungkin ia agak sukar dan mengambil masa yang lama.

Secara amnya kita akui bahawa kebanyakan orang Melayu memang kurang bijak dalam pengurusan dan perancangan kewangan keluarga terutama yang melibatkan peruntukan kewangan untuk pendidikan. Mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan premier dan sekunder serta yang mana pula harus dibelanjakan untuk pendidikan, tabungan, insurans pendidikan anak-anak dan sebagainya. Tidak hairan jika ada yang sanggup membayar bulanan untuk membeli TV, hi-fi, barangan kemas dan perabut tetapi tiada peruntukan untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Kita juga agak terkilan dengan berita yang mengatakan terdapat segelintir pelajar Melayu yang terpaksa menolak tawaran untuk memasuki IPTA dan bertambah ramai lagi yang menolak untuk memasuki IPTS.
Benarkah perbelanjaan permulaan untuk memasuki IPTA itu sungguh membebankan lalu menolak tawaran tersebut? Apakah ini disebabkan tiadanya persediaan awal dan tabungan oleh ibu-bapa yang menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang itu? Selepas berada di IPTA tentunya pinjaman PTPTN boleh digunakan untuk perbelanjaan pendidikan.

Dalam banyak hal pendidikan, kita harus melihat bagaimana orang-orang Cina membelanjakan wang mereka untuk pendidikan anak-anak. Seperti orang-orang Melayu, tidak semua orang Cina yang kaya-raya tetapi mereka dapat memberikan komitmen dalam hal-hal pembiayaan pendidikan sama ada untuk anak-anak sendiri atau awam.

Ahli-ahli masyarakat dari semua golongan memberikan sumbangan terhadap pendidikan sama ada dalam bentuk tenaga atau kewangan. Sebab itulah sekolah-sekolah Cina mempunyai prasarana yang lebih lebih lengkap daripada sekolah kebangsaan walaupun mereka memperoleh bantuan yang kurang daripada kerajaan.

Saya telah menulis di Utusan Malaysia pada 26 Disember 2001 dengan tajuk Contohi kecemerlangan SJKC dengan memfokuskan bagaimana orang-orang Cina menstrukturkan pendidikan Cina di negara ini. Sedikit sebanyak pendekatan mereka dapat dijadikan contoh dalam usaha kita mempertingkatkan tahap kesedaran terhadap pendidikan.

Strategi kerajaan membuka pintu MRSM dan Matrikulasi kepada bukan bumiputra ialah ingin melihat kaum bumiputra bersaing dengan bukan bumiputra dalam satu medan. Ia tidak harus dianggap sebagai mengurangkan tempat bagi bumiputra di kedua-dua institusi tersebut. Jika itulah alasannya, kerajaan harus membina lebih banyak MRSM untuk memberi peluang kepada lebih banyak bumiputra.

Persaingan dengan bukan bumiputra akan dapat melahirkan satu masyarakat bumiputra yang lebih agresif, bekerja dengan lebih gigih bagi merealisasikan integrasi nasional di mana semua kaum dapat berjalan seiring dalam menjayakan Wawasan 2020.

Sesungguhnya persaingan dengan bukan bumiputra khususnya kaum Cina yang bermula dari alam persekolahan akan diterjemahkan kemudiannya apabila mereka memasuki alam pekerjaan. Penerimaan mereka dalam masyarakat terutamanya masyarakat perdagangan bukanlah berasaskan kepada hak atau ras tetapi adalah dari kualiti dan merit. Sesiapa yang mempunyai kelebihan sama ada bahasa atau apa-apa kepakaran tentunya akan beroleh kemenangan.

Nilai-nilai dan etika murni yang dimiliki oleh kaum Cina khususnya amat bernilai untuk membentuk satu masyarakat perdagangan Melayu yang dinamik dan perkongsian sejati di kemudian hari. Selain daripada itu ia dapat membentuk ketahanan diri dalaman yang tidak dapat dipelajari di atas kertas melainkan dengan berinteraksi secara fizikal untuk satu jangka masa.

Proses perubahan sikap, percaya kepada diri sendiri, berdikari, tekun, rajin adalah bentuk perubahan paradigma yang berterusan.

Sesungguhnya peluang untuk bersaing dengan bukan bumiputra dalam pendidikan adalah satu rahmat. Sebagai seorang yang terdidik dalam sekolah Cina sejak dari kecil hingga dianugerahkan ijazah dalam universiti yang menggunakan bahasa Cina, saya amat maklum dengan erti persaingan dengan kaum Cina.
Ketika negara dikejutkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, saya baru saja memasuki darjah satu di sebuah sekolah rendah Cina.

Jika diturutkan sentimen perkauman pada ketika itu dan pandangan serong dari kalangan orang-orang Melayu sendiri, tentu saja saya telah bertukar ke sekolah kebangsaan.

Namun demikian berkat kesabaran dan disiplin diri saya meneruskan pelajaran di sekolah Cina. Satu pelajaran yang sukar dilupakan ialah erti persaingan dengan rakan-rakan dari kaum Cina.

Namun demikian persaingan yang lebih hebat berlaku ketika saya berada di sebuah univeristi awam yang ternama di Taiwan dalam jurusan kejuruteraan. Kesemua kepayahan dan erti persaingan itulah yang membuatkan saya dapat menilai kesungguhan dan keikhlasan kerajaan agar kaum bumiputra dapat bersaing secara berdepan dengan bukan bumiputra. -

 MOHD. HISEMUDIN, Subang Jaya, Selangor.


------------------------------------*****----------------------------------------


Nota : Tulisan saya yang tersiar di Utusan Malaysia pada 05/07/2006




ARKIB : 05/07/2006



Di sebalik jaringan buluh




SAYA bergerak aktif selama hampir 10 tahun dalam persatuan bekas siswazah universiti yang ditakrifkan sebagai persatuan Cina. Kini saya terjun secara sepenuh masa dalam keusahawanan yang meniru cara perniagaan orang Cina.

Oleh itu saya akan cuba untuk memperincikan apa yang dimaksudkan dengan ‘jaringan pohon buluh’ dan bagaimana ia terbentuk dan berkembang. Di samping itu ditekankan beberapa ciri-ciri struktur perniagaan dan rahsia kejayaan orang-orang Cina dalam perniagaan untuk panduan kita bersama.

Dalam membincangkan perkara ini, kita memfokuskan kaum Cina’sebagai mereka yang telah berhijrah keluar daripada negara China sejak sekian lama dan menjadi warganegara tempat mereka bermastautin serta keturunan mereka.

Dalam erti kata yang luas kaum Cina adalah ‘Cina seberang laut’ atau dalam bahasa Cina disebut sebagai Hua Chiao. Oleh yang demikian, kita perlulah menoleh ke belakang sejarah penghijrahan kaum Cina itu sendiri dan struktur pembentukan kelompok-kelompok imigran ini yang banyak berasaskan kedaerahan atau wilayah dari mana tempat asal mereka.

Sebenarnya orang-orang Cina telah pun berdagang dan bertapak di Tanah Melayu sejak sekian lama tetapi gelombang penghijrahan besar-besaran adalah pada sekitar tahun 1850 - 1910 yang mewakili golongan buruh atau pekerja. Mereka ini tergolong dalam lima kumpulan kaum terbesar yang bertutur dalam bahasa daerah yang berlainan.

Apabila orang Cina ini datang dan bekerja di Tanah Melayu, mereka yang bercakap dalam dialek yang sama atau datang dari daerah yang sama atau mempunyai nama keluarga yang sama akan membentuk puak-puak atau persatuan-persatuan.

Sesungguhnya keperluan untuk mendapatkan bantuan dan keselamatan daripada puak-puak yang sama merupakan satu perkara yang amat penting bagi setiap pendatang Cina itu. Ini adalah kerana setiap puak akan menjaga kepentingan puak-puak mereka sendiri.

Kewujudan persatuan-persatuan ini merupakan satu struktur masyarakat yang unik dalam membentuk jalinan atau jaringan terutamanya pada peringkat awal. Jalinan perhubungan ini disebut sebagai ‘guanxi’.
Sesungguhnya asas rangkaian kerja di kalangan orang-orang Cina telah bermula setibanya mereka di Tanah Melayu lebih 150 tahun yang lalu.

Manfaatkan jaringan dalam persatuan, kaum Cina terutamanya para peniaga Cina telah mengambil kesempatan daripada jalinan ‘guanxi’ bagi mengumpul dana-dana untuk mengembangkan perniagaan sesama mereka terutamanya sebelum dan selepas Perang Dunia II.

Jual beli dilakukan melalui cara-cara atau perjanjian yang tidak formal seperti di meja mahjung atau pertemuan sosial. Ikatan perjanjian jual beli lebih berteraskan kepada xing yong atau kepercayaan antara satu sama lain.

Sesungguhnya guanxi dan xing yong adalah dua elemen teras yang membentuk jalinan lebih besar dipanggil jalinan pohon buluh.

Bangsa Cina yang terdiri daripada rakyat negara China sendiri, Taiwan, Hong Kong dan orang-orang Cina seberang laut kebanyakannya adalah berketurunan bangsa ‘Han’ atau ‘Han Ren’. Sejak 2500 tahun yang lalu, falsafah dan budaya orang-orang Cina ditunjangi oleh fahaman Konfucianisme.

Dalam ajaran Confucian, terdapat lima asas perhubungan antara manusia yang menjadi teras bagi orang-orang Cina. Maka dalam perniagaan juga, unsur-unsur ini turut memainkan peranan dalam pembentukan hubungan dan jaringan atau struktur atau model pengurusan mereka.

Lima asas perhubungan antara manusia itu dimulai dengan pembentukan diri sendiri dan kemudiannya kepada keluarga, daripada keluarga kepada pemerintahan negara.

Dalam masyarakat Cina, keluarga adalah unit asas yang menjadi tunjang kepada struktur masyarakat. Sesungguhnya ia telah menjadi satu kuasa pentadbir yang bersifat ‘menegak’ iaitu mengikut hierarki dari atas ke bawah.

Dalam hal ini, bapa adalah ketua keluarga yang biasanya mempunyai kuasa mutlak terhadap perkara-perkara berkaitan dengan keluarga dan harta benda. Manakala anak-anak dikehendaki menghormati ketua keluarga dan orang-orang yang lebih tua.

Kemudiannya, model kuasa dan hierarki ini diterjemahkan kepada perniagaan keluarga. Dalam hal ini bapa akan memainkan dua peranan iaitu sebagai bapa di rumah dan ‘bos’ dalam perniagaan keluarga. Perlu diingatkan bahawa hampir 80 peratus daripada perniagaan orang-orang Cina di Asia Tenggara diasaskan daripada perniagaan keluarga. Sesungguhnya struktur hierarki inilah yang menjadi rahsia kejayaan perniagaan kaum Cina.

Seperti yang telah dijelaskan di atas, bahawa keluarga adalah unit asas kepada struktur masyarakat Cina. Manakala kekeluargaan adalah pembesaran daripada unit keluarga.

Ini diterangkan dengan perhubungan ‘melintang’ ataupun perhubungan sama rata. Ia meliputi hubungan antara abang dengan adik dan diperluaskan kepada hubungan antara kawan dengan kawan.

Asas-asas inilah antara elemen terpenting membentuk struktur masyarakat Cina hari ini yang telah dianjurkan oleh Confucian sejak lebih 2,500 tahun yang lalu.

Apabila orang-orang Cina tiba di Asia Tenggara, kelangsungan kehidupan dan keselamatan adalah perkara mutlak.

Keperluan untuk keselamatan dan perhubungan sosial ini akhirnya telah membentuk satu jaringan yang amat berguna untuk tujuan ekonomi.

Kemudiannya gabungan ini yang biasanya disebut association atau dalam bahasa Cina gong hui atau hui guan telah menjadi satu entiti yang amat penting dalam struktur masyarakat Cina sehingga ke hari ini.

Contoh-contoh yang dapat kita lihat adalah seperti Fujian Hui Guan’ atau Fujian Association yang berasaskan wilayah Fujian, Lee Shi Hui Guan atau persatuan yang berasaskan nama keluarga Lee. Mereka yang datang dari daerah yang sama akan membentuk persatuan yang dinamakan tongxiang hui.

Dalam perniagaan pula, mereka membentuk gabungan yang mempunyai jenis perniagaan yang sama atau gabungan peniaga setempat. Dari sekecil-kecil perniagaan seperti persatuan peniaga kedai kopi, persatuan pemborong binaan sehinggalah kepada persatuan yang mengendalikan perniagaan berjuta-juta ringgit.

Sesungguhnya ikatan dan kesepakatan dalam ‘Gong Hui’ inilah yang merapatkan serta menjadi benteng kekuatan kepada peniaga-peniaga kaum Cina dalam memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya.
Ciri-ciri pembentukan masyarakat dan perniagaan bagi orang-orang Cina seberang laut banyak dipengaruhi oleh sejarah datuk nenek mereka semasa memulakan penghidupan baru di rantau Asia Tenggara.

Sesungguhnya kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu ketika itu adalah disebabkan oleh kemiskinan dan ketidakstabilan politik di negara Cina. Oleh kerana kebanyakan daripada mereka itu datang dengan hanya berbekalkan tulang empat kerat dan tambang pelayaran mereka juga hanya akan dibayar selepas mereka ditempatkan di lombong-lombong bijih atau ladang-ladang milik orang-orang Inggeris atau tauke-tauke Cina, maka permulaan penghidupan mereka bolehlah dikatakan amat daif sekali. Dalam bahasa Inggeris, mereka digelar coolies dalam bahasa Melayu disebut kuli, tetapi dalam bahasa Cina ‘ku li’ (dibaca khu li) bermakna bekerja keras. Nilai-nilai ku li inilah yang menjadi salah satu ciri-ciri kuat bekerja dalam masyarakat Cina terutamanya dalam perniagaan mereka.

Sebenarnya yang membuatkan orang-orang Cina suka berniaga bukanlah lahir daripada ajaran Confucian yang asal. Ini adalah kerana dalam sistem sosial Confucianisme, golongan sarjana dan ilmuwan menduduki hierarki yang paling tinggi dalam masyarakat.

Manakala golongan peniaga tidak dihormati dan tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya kerana mereka dianggap suka mengambil untung yang berlebihan dan menindas.

Setelah ajaran Confucian ditafsirkan semula maka ia telah mencetuskan satu semangat baru yang menjurus kepada pembentukan kapitalisme Cina.

Berniaga adalah satu kerjaya yang amat mulia dan golongan peniaga menjadi satu simbol kejayaan dan kekayaan bagi seseorang serta sering diangkat sebagai pemimpin masyarakat.

Tradisi orang Cina adalah untuk memperkayakan keluarga dan segala harta benda akan diwarisi oleh anak cucu. Hanya dengan berniaga sahaja maka perniagaan tersebut akan diwarisi oleh generasi seterusnya.

Konsep perniagaan orang Cina adalah mudah, mereka akan menumpukan satu-satu perniagaan itu terlebih dahulu. Setelah ia berjaya dan kadang-kadang menjadi monopoli, maka barulah ia mengembangkan kepada perniagaan yang lain.

Manakala di antara peniaga-peniaga Cina, mereka suka lengkap melengkapi sesama mereka dan sedaya mungkin mengelak berlakunya pertembungan atau lebih tepat perniagaan yang sama.

Justeru, ia mewujudkan satu kitaran. Jika seseorang peniaga itu telah menjual sesuatu barang, maka orang-orang lain akan cuba menjual barang atau perniagaan yang tidak ada kena-mengena dengan perniagaan kawannya itu. Jika terpaksa menjual barang yang sama atau hampir sama, mereka akan menggunakan pendekatan yang lain pula dalam persaingan.

Persaingan digalakkan dalam masyarakat perniagaan Cina, ini adalah kerana melalui persaingan ia akan meningkatkan kecekapan, produktiviti, kemahiran dan kreativiti.

Dalam persaingan tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang tidak semestinya dapat membolot segala-galanya, manakala yang kalah tidak hilang segala-galanya. Sebaliknya mereka akan bekerjasama dalam satu situasi menang-menang dan segala faedah akan dinikmati bersama.
Dalam masyarakat perniagaan Cina jarang terdapat perasaan hasad dengki seperti apa yang sering kita lihat dalam masyarakat Melayu.

Mereka percaya seseorang peniaga itu tidak boleh wujud tanpa mengambil kira peranan peniaga lain terutamanya untuk mendapat bekalan daripada peniaga lain dan memelihara hubungannya dengan para pelanggan.

Mereka membantu antara satu sama lain dan sering mewujudkan satu komuniti yang berteraskan kepercayaan antara ahli-ahli perniagaan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang melanggar etika perniagaan, biasanya mereka akan dihukum dan dipulaukan terutamanya dalam mendapatkan bekalan.

Dalam terjemahan yang ringkas, ‘guanxi’ bermakna ‘perhubungan’ atau ‘connections’. Tetapi dalam konteks praktikalnya, ia didefinisikan sebagai satu sistem perhubungan sosial dan komersial yang berteraskan kepada ‘xingyong’ atau kepercayaan antara satu sama lain.

Perlu ditekankan bahawa ‘guanxi’ adalah perhubungan peribadi yang diasaskan kepada perhubungan kawan dan kawan seperti yang telah dianjurkan oleh Confucian.

‘Guanxi’ berperanan untuk membina perhubungan peribadi dan dalam masa yang sama ‘guanxi’ juga digunakan untuk membina perhubungan jaringan yang lebih besar dikenali sebagai ‘guanxiwang’. Dalam bahasa Cina ‘wang’ bermakna jaring atau jaringan.

Biasanya ‘guanxi’ yang paling rapat ialah di kalangan ahli keluarga sendiri kerana ia percaya kepada keluarganya atau elemen ‘xingyong’ lebih diutamakan.

Sebab itulah orang-orang yang di luar ‘quanxiwang’ adalah begitu sukar untuk menembusi benteng yang telah dibina sekian lama oleh orang-orang Cina sama ada di kalangan mereka sendiri ataupun dengan pihak birokrasi.

‘Guanxi’ yang lebih lebih besar dikenali sebagai atau ‘jaringan pohon buluh’. Tidaklah dapat dipastikan mengapa ia dikenali sebagai “bamboo networks”, tetapi mengikut tafsiran saya ia mungkin berasaskan kepada dua fakta:

i. Buluh adalah pokok yang paling hampir dengan masyarakat Cina. Buluh menjadi inspirasi pelukis Cina yang sering dicoretkan di atas kanvas. Sejak dari asal huruf dicipta, orang-orang Cina menulis di atas buluh. Buluh juga menjadi asas untuk membuat kertas oleh orang-orang Cina. Manakala setiap waktu makan, orang-orang Cina akan menggunakan chopstick yang diperbuat daripada buluh.

ii. Atas sifat buluh itu sendiri ia tumbuh menjadi perdu yang besar, yakni membiak sebagai keluarga yang besar. Ciri-ciri ketahanannya memang diakui kuat. Manakala setiap ruas buluh disambungkan dengan sendi-sendi (atau buku) iaitu melambangkan jalinan yang padu antara satu sama lain. Ia bertepatan dengan istilah ‘quanxi’.

Kewujudan Bamboo Networks yang melangkaui batas-batas kenegaraan lebih ketara semasa era Deng Xiao Peng kerana polisinya membuka bahagian persisiran selatan negara China untuk menerima pengaliran modal dalam bentuk kapitalis. Sejak itu ramai Cina seberang laut terutamanya dari Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong melabur ke negara Cina. Melalui jaringan dan peluang yang tersedia, ramai di kalangan Cina seberang laut ini juga telah membentuk usaha sama antara satu sama lain.
Begitu juga bagi peniaga-peniaga kaum Cina di Malaysia, mereka telah lama membuat jalinan dengan rakan-rakan mereka sama ada di Taiwan, Hong Kong, Singapura ataupun negara Cina.

Selain daripada memiliki persamaan budaya dan bahasa, mereka telah menjalin hubungan ‘guanxi’ sebagai bangsa serumpun walaupun ia dari negara-negara yang berlainan.

Jalinan ini juga telah teruji dapat membantu para usahawan Cina keluar daripada kemelut ekonomi tahun 1997 sedangkan ramai peniaga atau usahawan Melayu gulung tikar.

Sebagai kesimpulannya, tidaklah mudah bagi orang-orang Melayu untuk meniru bulat-bulat ‘jaringan pohon buluh’ seperti yang diamalkan oleh peniaga Cina. Kerana di sebalik terdapat elemen sejarah, budaya, bahasa, pemikiran, kefahaman, kepercayaan, struktur masyarakat dan sebagainya yang agak berlainan dengan orang-orang Melayu.

Oleh itu kita haruslah memikirkan apakah model yang sesuai untuk orang Melayu di samping tidak meminggirkan elemen-elemen murni tertentu dalam ‘jaringan pohon buluh’.

Bagaimanapun saya optimis bahawa akan terdapat interaksi antara kelompok-kelompok masyarakat perniagaan Cina dan Melayu dan saling tolong menolong antara satu sama lain.





Post a Comment