Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Tuesday, May 21, 2013

Survival Melayu : Ke mana Haluan Kita Setelah Cina Bersatu ?


Apakah tajuk ini satu sindiran atau realiti kepada kita orang-orang Melayu khususnya selepas pasca PRU 13 ?  Ke mana arah hala tuju kita ? Sedangkan orang-orang Cina yang memandang jauh ke hadapan telahpun memulakannya di  awal di PRU 12 dahulu lagi, tetapi sesetengah golongan orang-orang Melayu lebih rela berpecah sehingga mahu diseretkan lagi sehingga ke PRU 14 nanti ? Selepas PRU 14 nanti, apakah Melayu akan dapat bersuara di tanah air sendiri ?

Tun Tuah pernah berkata, “Tak Melayu hilang di dunia”. Memang benih Melayu akan terus berada di sini, tetapi apakah berdirinya Melayu dengan memegang kuasa atau berdirinya Melayu kerana terpaksa setelah kehilangan kuasa ? Tun Tuah bercakap kira-kira 500 tahun yang lalu. Apakah kita mampu untuk bertahan walau untuk 30 atau 50 tahun lagi ? Apa yang akan kita bekalkan kepada anak cucu kita akan datang. Pada ketika itu, mereka akan bertanya, apa datuk dan nenek aku buat dahulu sehingga aku jagi begini ? Sebagaimana kita bertanya kepada datuk nenek kita, apa yang mereka persetujui tentang pemberian taraf kerakyatan kepada pendatang Cina dan India sejak tahun 1947 lagi ?

Walaupun suasana politik akan berubah, mungkin proses asimilasi antara kaum dan intergrasi nasional akan lebih matang, maka istilah kaum-kaum sendiri akan beransur-ansur pudar dan yang menjelma ialah identiti satu bangsa yang tidak mengenal kaum-kaum tetapi penonjolan indentiti satu bangsa Melaysia yang wujud.

Contoh di Indonesia dan Thailand amat jelas sekali.  Proses asimilasi telah menghilangkan identiti kaum-kaum pendatang khususnya orang-orang Cina dalam masyarakat Indonesia. Mereka bercakap dalam bahasa Indonesia dan Thai. Orang-orang Cina Indonesia walaupun hanya terdiri daripada empat peratus dari populasinya tetapi menguasai hampir 80% kepentingan ekonomi Indonesia. 

Di Indonesia, orang-orang Cina tidak dapat menerjah ke dalam politik, tetapi di Thailand, orang-orang Cina menguasai politik, hatta Perdana Menterinya sendirinya adalah berketurunan Cina.  Di Thailand, politiknya yang pelbagai dan secara tradisinya pihak tentera memainkan peranan, maka jawatan Perdana Menteri  juga pernah disandang oleh seorang Melayu Islam dari tentera yang merampas kuasa.

Persamaan dan perbezaan antara Indonesia, Thailand tidak boleh disamakan dengan negara kita. Di Malaysia yang mana populasi orang-orang Melayu adalah lebih kurang 51% manakala kaum kedua terbesar  iaitu orang-orang Cina berjumlah 25%.  Jika tidak dengan kuasa politik yang ada pada orang-orang Melayu sejak merdeka, maka serba-sedikit penguasaan ekonomi dan pendidikan orang-orang Melayu telah dapat dimertabatkan. Kalau kuasapun dah tiada, apakah penguassan orang-orang Cina dalam ekonomi tidak melepasi seperti di Indonesia ? 

Kini dalam beberapa pilihanraya terutamanya dalam PRU 12 dan 13, orang Cina telah bersatu dan inginkan kekuasan politik pula, dan jika kuasa politik telah melangkaui kuasa ekonomi, maka orang-orang Melayu nak ke mana ? Sanggupkah hanya bagai itek di kepuk kelaparan ? Untuk mengibas-ngibas kepak di luar kepuk juga akan ditegur kerana sempadan yang itek ada ialah hanya di dalam kepuk sahaja. Maka apakah itek hanya mampu menyorokkan kepala dalam jerami di kepuknya sahaja. Sungguh dayus !

Maka Melayu perlu bersatu. Persoalannya, Melayu perlu bersatu atas platform apa ? Adakah atas nama  ugama iaitu Islam ? Atau atas sifat sama ras bernama Melayu yang mana takrifannya juga harus diperluaskan merangkumi bumiputra Islam dan bumiputra bukan Islam. Serta mereka yang telah “masuk Melayu” walau dalam apa keadaan sekalipun. Kita juga mengetahui dalam Perlembagaan Malaysia, Melayu itu ditakrifkan sebagai orang yang berugama Islam, bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.

Atau apakah kita harus bersatu dalam politik ? Kini yang mendominasikan politik ialah orang-orang Melayu dalam Umno, Pas dan PKR. Namun dalam banyak perkara, penyatuan harus dirintis oleh Umno dan Pas yang hampir 99% ahlinya adalah Melayu Islam. Di satu sudut pula apakah akan menjadi realiti penyatuan Umno dan Pas atau hanya satu retorik politik sahaja ? Apakah kekuasaan memiliki “kerusi” dalam parlimen dan DUN menjadi natijah dalam penyatuan ini ?

Atau penyatuan kita hanya setakat persamaan tentang isu-isu sahaja, samada ianya melibatkan isu ugama atau isu-isu sejagat ?

Namun demikian, kita jangan lupa bahawa Pas dan Umno pernah bersatu dalam kerangka pemuafakatan antara parti dalam Barisan Nasional dalam tahun 1973-1978 dahulu. Ini adalah gara-gara orang-orang Melayu telah terhakis kuasa politik selepas pilihanraya tahun 1969 dan kejadian peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Dengan kebijaksanaan Tun Abdul Razak maka tercatatlah Perjanjian 13 perkara yang jarang dihebahkan kepada umum yang  melibatkan Pas dan Umno seperti di bawah ini :


  1.  Sebuah kementerian akan diberi kepada Pas, iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas yang akan bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah, pembukaan dan kemajuannya, dan juga perkara-perkara yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri dari satu masa ke satu masa.

  2. Menteri tersebut akan dilantik dengan dengan persetujuan Raja-raja menjadi Timbalan Pengerusi Majlis kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

  3. Jawatan-jawatan timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan sebagainya bolehlah dipenuhi setelah memberi berkenan berunding dan mendapat persetujuan Perdana Menteri.

  4. Perdana Menteri akan menimbang calon-calon yang ditunjuk oleh parti Pas bagi menjadi anggota Dewan Negara apabila ada kekosongan.

  5. Perdana Menteri akan menimbang pemimpin-pemimpin Pas yang layak untuk menyertai rombongan-rombongan rasmi keluar negara dan juga jawatan-jawatan perkhidmatan di luar negara yang difikirkan sesuai, perlu dan munasabah.

  6. Kerajaan akan menimbang mana-mana ahli Pas yang difikirkan sesuai untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa-jawatankuasa, lembaga-lembaga dan perbadanan-perbadanan bagi pertimbangan Perdana Menteri. Begitu juga sebaliknya di Kelantan, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin akan diberi pertimbangan yang sama oleh kerajaan negeri Kelantan untuk mengambil bahagian dalam jawatankuas-jawatankuasa, lembaga-lembaga dan perbadanan-perbadanan dalam negeri itu.

  7. Dua orang anggota Dewan negeri Kelantan dan Parti Perikatan yang ditunjuk oleh parti akan dilantik menjadi ahli exco negeri.

  8.  Dua orang anggota Dewan Negeri Kedah dan Terengganu dari parti Pas di tiap-tiap negeri itu yang ditunjuk oleh partinya akan dilantik menjadi ahli-ahli exco negerinya masing-masing.

  9. Selama kerajaan campuran Perikatan-Pas ini wujud tiada sebarang pertanding antara Pas dengan Perikatan di dalam pilihanraya kecil di dalam kawasannya masing-masing kecuali kawasan-kawasan di mana telah dimenangi oleh parti yang lain maka perundingan hendaklah diadakan terlebih dahulu.

  10. Begitu juga kawasan-kawasan pilihanraya yang dimenangi oleh Pas dalam pilihanraya umum 1969 yang kemudiannya Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan berhenti daripada menjadi ahli Pas, maka sekiranya berlaku pilihanraya kecil dalam kawasan yang tersebut, maka satu perundingan hendaklah diadakan, jika sebarang persetujuan tidak tercapai maka pertandingan seperti biasa bolehlah diadakan.

  11. Hendaklah tiada sebarang ikatan atau perjanjian untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Segala sesuatu dibincangkan kelak, apabila tiba waktunya.

  12. Kebebasan anggota Pas dalam Kabinet Pusat, Exco negeri, Parlimen dan Majlis Undangan Negeri untuk membangkang sebarang cadangan atau undang-undang yang berlawanan dengan Islam hendaklah terjamin.

  13. Sesebuah jawatankuasa penyelaras hendaklah ditubuh dengan anggota-anggota terdiri sama banyak antara Pas dengan Perikatan.

Begitulah perjanjian ini telah merintis ke arah perpaduan orang-orang Melayu khususnya dalam memperkasakan politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya  terutama di era Tun Abdul Razak dan kemudiannya diteruskan oleh Tun Hussein Onn. Namun demikian, perpecahan dalaman parti Pas dalam tahun 1977 yang memperlihatkan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir disingkirkan dari jawatan dalam undi tidak percaya oleh Pas sendiri. Dalam krisis yang berlarutan sehingga menyebabkan Yang Dipertua Agong Pas (sekarang jawatan ini dipanggil Presiden), Datuk Muhd Asri juga dipecat dari Pas. Perjanjian 13 Perkara diakhiri dengan trajis dan seterusnya Pas menjadi pembangkang.

Sejarah berulang kembali dan hampir menemui titik pertemuan selepas PRU12 di tahun 2008 yang lalu. Ketika itu kuasa orang-orang Melayu hampir terhakis dengan perpecahan yang hampir nyata di mana tunggak kuasa orang-orang Melayu ketika ini di tangan Umno telah dirobek oleh parti-parti Pas dan PKR yang ditakrifkan sebagai parti yang didominasikan oleh orang-orang Melayu. Walaupun PKR adalah parti multi bangsa, tetapi masih berteraskan orang-orang Melayu


< Klik > di sini untuk ke www.ebookmandarin.com


    
Ketika itu satu ketetapan telah dibuat dalam satu mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas Pusat yang telah memutuskan selepas satu kajian dibuat tentang landskap politik Malaysia, keperluan Pas ketika itu untuk mengujudkan perbincangan dan sessi dialog dengan mana-mana parti politik dalam usaha untuk memperkasakan Islam dan Melayu. Maka dengan itu lahirlah gagasan kerajaan perpaduan yang digembar-gemburkan dalam media di mana ia juga telah diperakui oleh Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang. Di mana peneraju usaha ini dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas ketika itu iaitu Ustaz Nasharuddin Mat Isa bersama Datuk Dr. Hassan Ali. Namun demikian, kuasa veto yang kuat diterima dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Maka kelangsungan gagasan ini patah di tengah jalan.

Selepas PRU 13, sekali lagi gagasan penyatuan Melayu menjadi tajuk-tajuk utama dalam perbincangan dan wacana ilmu di mana-mana. Samada di buat secara terang-terangan di dewan yang dihadiri oleh penonton atau dibahaskan dalam medium akhbar-akhbar arus perdana maupun media-media baru internet.

Kita harus berlapang dada dan berdiri dengan keinsafan bahawa masa depan bangsa Melayu dan Islam tergugat kerana perpecahan Melayu dalam dimensi atau kerangka politik. Jangan lagi beretorik dan berdendam yang tak sudah bahawa di satu pihak merasakan ada keperluan untuk bersatu atas landasan ummah Melayu Islam tetapi di satu pihak pula memperlekehkan kerana menyangka bahawa Melayu tidak hilang kuasa dengan “bersatu’”pula dengan bukan Melayu yang secara terang-terang telah mencabar Melayu dan Islam. 

Sentimen semasa dan pre-judge telah menguasai fikiran bahawa ada pihak yang terhegek-hegek hendakkan perapaduan dengan alasan untuk mengukuhkan kekuasaan politik puak. Namun kita harus memandang juga kepada diri sendiri dan parti sendiri, apakah di pihak sana tu semuanya syaitan, dan apakah di pihak sini semuanya malaikat ?! Kita manusia biasa, bukan maksum. Setiap manusia pernah membuat salah dan apa salahnya kita cuba menyelongkar permasalah ini dalam kotak pemikiran yang baru, yakni berfikir di luar kotak yang biasa, mungkin yang luar biasa !

Satu anjakan paradigma diperlukan dalam memikirkan permasalahan ini. Maka satu titik persamaan yang ada ialah persamaan ugama iaitu Islam.  Sudah tentu bertitik-tolakkan dari penyatuan ummah Islam yang kemudian diikuti oleh penyatuan bangsa dan akhirnya penyatuan bangsa Malaysia.

Melayu yang menjadi teras dan tunggak pemerintahan di Malaysia adalah kuncinya. Jadi tidak salah jika kita mengatakan penyatuan bangsa Melayu itu adalah penting demi menyatukan juga kaum-kaum yang lain, selagi kita bercakap dalam kerangka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tidak salah kita mempertahankan artikel 153 dalam Perlembagaan yang memberi keistimewaan kepada hak orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah & Sarawak. Kerana orang-orang Melayu juga telah berkorban dengan memberikan hak taraf kewarganegaraan kepada pendatang Cina dan India dahulu dalam apa yang dinamakan sebagai Jus Soli. Maka kontrak sosial yang terjalin juga harus dipelihara selagi adanya matahari dan bulan, kecuali ada satu keketapan baru kemudiannya. Hanya masa menentukannya, tetapi bukan sekarang !

Kini menampakkan seolah-olah artikel 153 menjadi penghalang ke arah penyatuan dan kesejahteraan bangsa Malaysia yang mana dipersetujui pula oleh mereka di kalangan orang-orang Melayu sendiri yang buta sejarah. Kebanyakan generasi muda yang merupakan pelapis terutamanya mereka yang berada dalam umur 30-40an tidak melihat isu ini kerana mereka tidak pernah berjuang dalam era tersebut tetapi hanya sebagai penerima imbuhan dari hasil perjuangan orang-orang Melayu yang terdahulu. 

Bagi mereka yang berada di bawah 30 tahun dan lebih tepat lagi yang kini berada di alam pusat pengajian tinggi maupun baru memasuki pasaran pekerjaan diakui memang agak lemah dalam pentafsiran sejarah dan perjuangan bangsa. Maka tidak hairanlah golongan inilah yang dijadikan sasaran oleh mereka yang ingin mengaut keuntungan daripada emosi dan iadealis golongan muda yang memberontak ini.

Golongan muda yang berinteraksi dengan internet dan media-media baru haruslah diikut gelombang mereka dengan menyalurkan lebih banyak informasi yang berbentuk fakta-fakta dan hujah-hujah yang kukuh. Sesuai dengan taraf pemikiran mereka yang lebih liberal dan inginkan kekebasan bersuara. 

Dalam konteks untuk penyatuan Melayu Islam bagi golongan ini harus ditangani oleh golongan sebaya. Maka peranan seperti Ulama Muda samada yang berasal dari teknokrat atau yang beraliran ugama dan begitu juga dari pelbagai NGO serta mereka yang berlatarbelakangkan parti-parti Umno dan Pas khususnya harus duduk semeja bagi merangka satu pelan tindakan susulan yang konkrit. Mereka tidak harus dibiarkan bersendirian mencari arah tuju untuk masa depan mereka dan negara, maka bimbingan dari golongan ini amatlah diperlukan.

Dengan penyatuan Melayu dalam perkongsian politik akan menjamin kelangsungan Melayu dalam pelbagai bidang ekonomi, pendidikan, sosial, taraf hidup, kerjaya dan sebagainya. Secara tidak langsung Islam dapat dipertahankan dan tidak diperkotak-katikkan oleh bukan Islam. Contoh saranan oleh Lim Guan Eng yang mahukan kerajaan memberikan kebenaran penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh bukan Islam dalam media mereka serta dicetak dalam kitab Injil adalah satu malapetaka yang nyata dipamerkan di depan mata kita.

Pada mulanya, Tuan Guru Haji Hadi Awang telah terperangkap dengan permainan ini bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun setelah mendapati tentangan dari orang-orang Islam, maka ia ditarik balik. Perangkap profil tinggi ini pun kita sudah dijarumi oleh elemen kuasa politik terhadap mereka yang sepatutnya menjaga amanah Islam, maka kalau tiada ummah yang bersatu di belakang atas nama Islam, apakah kita mampu untuk mengubah senario dan mengorbankan akidah ?  

Islam tidak melarang kita berbeza pendapat, sebab itulah adanya ijtimak yang menghimpunkan para ulama dan membincangkan sesuatu isu berpandukan Al Quran dan Hadis bagi mencari satu ketetapan yang dipegang oleh majoriti penganutnya.  Dengan perbezaan pendapat juga maka lahirlah beberapa Mazhab yang mana kita secara umumnya patut mengikuti Mazhab yang empat sahaja. Dalam konteks yang lebih besarpun kita pernah berbeza pendapat, maka dalam konteks orang-orang Melayu Islam yang kecil dan tinggal di Malaysia ini, apakah perbezaan perdapat itu akan menjadi penghalang pula kepada penyatuan ummah ?

Penyatuan ummah di Malaysia boleh dikatakan penyatuan umat Melayu Islam. Walaupun dari segi pengertian yang lebih besar ialah penyatuan umat Islam dari pelbagai bangsa dan etnik. Seperti India Muslim, Cina Muslim dan pelbagai etnik lain yang beragama Islam. Namun, oleh kerana umat Melayu Islam merupakan komposisi majoriti dan hampir menguasai landskap politik di Malaysia, maka ia terarah kepada penyatuan Melayu Islam.

Ada yang mempertikaikan tidak penting dilahirkan sebagai Melayu tetapi berugama Islam. 
Kerana Melayu itu adalah bangsa dan Islam itu ialah agama. Namun dalam konteks kenegaraan dan definasi Melayu itu dalam Perlembagaan Malaysia, Melayu ditakrifkan sebagai orang yang berugama Islam, bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Jadi Melayu itu seharusnya Islam dan orang-orang Melayu seharusnya melindungi ugama Islam. Maka antara Melayu dan Islam adalah sinonim. Kecuali mereka yang tidak mengamalkan ajaran Islam itu adalah kekufuran mereka terhadap ugama, dan kita tidak akan membincangkannya di sini. Kerana kita lebih mementingkan majoriti ummah daripada membincangkan keimanan individu.

Jadi sudah sah dalam apa jua dimensi, bahawa Melayu, Islam dan pentadbir negara yang didokong oleh orang-orang Melayu adalah menjadi satu entiti yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Jika di zaman Nabi Muhammad s.a.w pernah menekankan bahawa pemerintah ketika itu patutlah diterajui oleh orang-orang Quraish,  kerana kaum Quraish menguasai pelbagai bidang dalam pentadbiran dan ugama. Maka dalam konteks negara kita, orang-orang Melayu haruslah ditunjukkan sebagai pentadbir. Kerana Quraish itu adalah bangsa, sama juga dengan Melayu. Apakah kita tidak bangga menjadi Melayu ?

Apakah perasaan kita apabila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata yang beliau akan meludah orang yang membawa idea penyatuan Melayu. Dengan membawa persepsi bahawa pengalaman lama sebagai iktibar bahawa Umno menolak Islam dan permasalahan dalaman parti Pas dalam krisis dalam tahun 1977 sebagai permainan Umno maka membuat ketetapan bahawa apa perlunya Umno dan Pas bersatu sekarang.

Kita kurang mengerti cerita sebenarnya dalam pergolakan tersebut yang menyaksikan Pas berpecah kepada tiga, iatu Datuk Muhammad Nasir yang dipecat dari Pas lalu menubuhkan parti Berjasa lalu bersama Umno bagi meneruskan pentadbiran di Kelantan sehingga tahun 1990. Manakala Yang Dipertua Agong Pas yang dipecat, Datuk Mohd Asri menubuhkan parti Hamim yang kemudiannya menyertai Umno.

Apakah sejarah silam yang generasi kini tidak faham sangat susur galurnya hendak di tanamkan kebencian itu sebagai halangan utama kepada penyatuan bangsa Melayu. Kerana itu adalah versi cerita Datuk Nik Abdul  Aziz sendiri. Apakah dendam kesumat itu harus menjadi tembok penghalang bagi kita untuk melupai sesuatu yang menjadi igauan beliau, sedangkan generasi sekarang tidak memandang itu sebagai batu penghalang.

Kita juga memahami bahawa Datuk Nik Abdul Aziz telahpun melepas jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, dan dijangka melepaskan juga jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri kepada Menteri Besar Kelantan yang baru. Dalam Majlis Syura Pas Pas pula, tidak diketahui apakah beliau akan berbuat perkara yang sama di mana beliau adalah Pengerusinya. Apakah dengan secara beransur-ansur pengaruh Datuk Nik Abdul Aziz dalam Pas akan berkurangan maka gagasan penyatuan Umno dan Pas akan terlaksana.

Pada pandangan umum berpendapat, untuk penyatuan Umno dan Pas dari segi parti adalah sesuatu yang mustahil. Untuk membubarkan Umno dan ahli-ahlinya masuk Pas atau membubarkan Pas dan ahli-ahlinya menyertai Umno, satu perkara yang tak mungkin berlaku. Namun demikian, seperti yang kita katakana di atas bahawa kita tidak salah berbeza pendapat dan pegangan fahaman parti masing-masing. Namun demikian apa salah kita bekerjasama seperti yang pernah dirintis oleh Tun Abdul Razak dahulu dalam kerajaan Barisan Nasional.

Dari dahulu yang menyebabkan perpecahan ialah isu kafir-mengkafir yang pada kemuncaknya ialah Amanat Haji Hadi. Ini kita tolak ke tepi dahulu. Kita terima sebagai kesilapan manusia dan tidak dipanjang lagi. Begitu juga kerjasama dalam parti Perikatan antara Umno, MCA dan MIC yang dikafirkan dahulu. Selepas itu Pas pula bekerjasama dengan parti DAP yang terang-terang menolak Islam tidak ditakrifkan sebagai kafir. Ini juga kita ketepikan. Kerana kedua-dua kes ini melibatkan kepentingan politik bagi Umno dan juga bagi Pas. Jika kedua-duanya pernah bekerjasama dengan parti kafir demi kuasa, maka apakah penghalangnya bagi Umno dan Pas yang sama-sama mengucap LA ILA HA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH untuk duduk semeja merangka penyatuan Melayu Islam ?

Kita hanya mampu berdoa dan berusaha bagi mengecilkan jurang yang semakin membesar. Penyatuan Melayu walau dalam apa jua dimensi sekalipun harus diteruskan. Kelangsungan politik orang-orang Melayu yang menjadi teras kepada “tanah ini” yang dimiliki oleh orang-orang Melayu harus menjadi agenda samada mereka yang berada di dalam kedudukan kepartian atau tidak, atau mereka yang merasakan kepentingan Melayu itu telah tergugat dan perlu dikembalikan kepada yang asalnya. Maka adalah menjadi tanggungjawab bersama menyuburkan agar Melayu Islam masih bertahan di Malaysia, tanah air tercinta.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

21.05.2013

  

Nota 1 :

Selepas PRU 13, Raja-raja Melayu telah menggunakan kuasa mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Tubuh Negeri yang mana raja-raja atau sultan telah memberi perkenan atau tidak melantik seseorang Adun itu sebagai Exco. 

Begitu juga dalam PRU 12 dalam tahun 2008 yang lalu, Raja Perlis campurtangan dengan tidak melantik Shahidan Kasim sebagai Mentari Besar tetapi meminta Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar. Di Terengganu pula memperlihatkan Sultan Terengganu mengenepikan Idris Jusuh yang menjadi MB sebelum PRU tetapi melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dalam kes Kerajaan Negeri Selangor, sehingga catatan ini ditulis (23.05.2013), barisan exco Selangor masih lagi belum diumumkan. Sesuatu yang paling menarik ialah Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dikehendaki mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dengan memegang tongkat Diraja sambil melapazkan Akujanji 10 Perkara. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Antara akujanji tersebut ialah memelihara Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu. Dengan ini jelas menunjukkan bahawa pihak istana sendiri melihat perpecahan orang-orang Melayu dalam politik membimbangkan sultan yang menjadi payung bagi orang-orang Melayu Islam khasnya dan seluruh rakyat amnya.

Tidak setakat itu sahaja, Sultan Selangor telah mengarahkan Menteri Besar untuk melantik barisan exco berdasarkan komposisi 6 Islam dan 4 bukan Islam. Ini memandangkan dalam beberapa insiden kerajaan Selangor sebelum ini, pihak kerajaan PR yang dinominasikan oleh PKR dan DAP telah sewenang-wenangnya mengenepikan peraturan Islam dan mencabar institusi raja-raja dan Melayu.

Antara kes yang menjadi perhatian ialah tentang rampasan minuman keras dalam tin di kedai 7-eleven di Seksyen 8, Shah Alam yang mana kedai tersebut betul-betul berada di depan pintu Masjid Seksyen 8. Dengan campurtangan exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu maka barang-barang rampasan itu dikembalikan kepada kedai 7-Eleven. Ia mendapat bantahan ramai yang mana diketuai oleh Exco ugama iaitu Datuk Dr. Hassan Ali.

Kes serbuan oleh JAIS terhadap gereja di Damansara yang terdapat orang-orang Melayu Islam dalam upacara keugamaan di situ telah membangkitkan kemarahan yang meluap-luap oleh orang-orang Islam. Serbuan ini diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ali. Namun demikian, kerajaan Selangor yang komposisi exconya banyak dibarisi oleh penganut-penganut Kristian dari DAP dan PKR, maka ianya sedaya-upaya ditutup oleh kerajaan Selangor. Di akhir rentetan ini Datuk Dr. Hassan Ali dipecat dari Pas. Sebagai simbolik, Pas yang bersekongkol dengan DAP dan PKR telah menggunakan kaedah lain sebagai cara pemecatan itu.

Sebab itulah bagi mengelakkan perkara yang lebih parah berlaku, maka Sultan Selangor terpaksa menggunakan kuasa yang ada padanya untuk melindungi Melayu Islam. Secara simbolik, Sultan Selangor berkehendakkan orang-orang Melayu Islam supaya bersatu walaupun berlainan fahaman kepartian.

Di Kelantan pula, Sultan Kelantan masuk campur dengan tidak melantik Husam Musa sebagai exco yang pada mulanya beliau digembar-gemburkan akan dilantik juga sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan. Kita harus memahami bahawa walaupun rakyat berhak melantik wakil mereka sebagai YB, tetapi kuasa rakyat hanya setakat itu sahaja. Bagi melantik kerajaan, Menteri Besar dan barisan exco adalah hak mutlak sultan yang pada pertimbangannya siapakah yang layak untuk menerajui kerajaan bagainda.

Di Johor lain pula ceritanya, oleh kerana MCA tidak mahu menerima lantikan sebagai exco sebagaimana ketetapan parti, maka Sultan telah menitahkan seorang wakil MCA sebagai wakil bagainda dalam kerajaan untuk mewakili masyarakat Cina.  

Ini nyatalah peranan raja-raja Melayu dalam mengimbangi kuasa seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. 


Nota 2 :

Perpecahan ummah Islam yang lebih besar sebenarnya berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w lagi, di mana cucu baginda Saidina Ali telah dibunuh di Qarbala. Akhirnya paksi ini telah membentuk fahaman Syiah yang terkenal di Iran. Manakala lain-lain tempat di dunia banyak yang mengamalkan Sunni.

Semalam (22.05.2013), Dr. Mahathir Mohammad bersama bekas Presiden Iran, Sayyid Muhammad Khatami dalam kenyataan bersama mereka di Putrajaya telah menggesa dan merayu kepada kedua-dua penganut fahaman ini agar menghentikan pertelingkahan dan perbalahan yang mengorbankan banyak nyawa. sesungguhnya perpecahan ini telah menguntungkan musuh-musuh Islam.  

Jadi kita sebagai orang-orang Melayu Islam yang tinggal di Malaysia, apakah kita tidak terasa pentingnya perpaduan ini direalisasikan secepat mungkin. Apakah ianya dilihat sebagai retorik politik semata-mata atau hanya ingin mengukuhkan cengkaman di kerusi parlimen dan DUn sahaja.

Fikr-fikirkanlah wahai saudara-saudaraku yang sebangsa dan seugama. 

Ustaz Nasaruddin – Penyatuan Melayu

Tuan Guru Nik Aziz - Ludah Muka Orang Yg Cakap Penyatuan Melayu

Post a Comment