Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Wednesday, May 15, 2013

Pasca PRU 13 : Tsunami Cina dari perspektif media-media berbahasa Cina

Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik "Send" terus ke kotak mesej Facebook rakan anda


Keputusan PRU 13 diangkat sebagai Tsunami Cina. Perkataan Tsunami yang pada asalnya menggambarkan gelombang air laut yang tercetus kerana ledakan gempa bumi di dasar lautan dan semakin membesar apabila menghampiri daratan. Maka ia akan membadai apa jua yang berada dalam lingkungannya tanpa peri kemanusiaan. 
Maka keputusan PRU 13 yang membadai sesiapa jua tidak kira pemimpin tertinggi maupun pemimpin bertaraf tempatan, rebah satu-persatu.  Ia dikatakan tercetus dari ledakan dari hati orang-orang Cina.
Dalam artikel saya kali ini, saya akan mengupas ledakan yang terkumpul dari media-media arus perdana dan media-media baru yang ditulis dalam bahasa Cina. Sementelah tidak ramai di kalangan orang-orang Melayu yang membaca akhbar-akhbar tersebut, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mencungkil permasalahan yang terbuku di hati orang-orang Cina. Samada ianya diterima sebagai pandangan positif atau negatif, ia harus diambil sebagai pertimbangan dalam merangka strategi atau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di masa akan datang.
Sebuah negara majmuk seperti Malaysia, setiap rakyat perlu-memerlukan antara satu sama lain. Di peringkat fizikal memang menampakkan persamaan serta berganding bahu dan terukir senyuman, tetapi apakah di hati boleh tampak ke mana arah tujuan. Perasaan curiga masih tidak terhakis, kepentingan kelompok atau kaum sendiri-sendiri masih melingkari pemikiran. Keuntungan kaum sendiri serta bahasa dan budaya dijadikan taruhan. Kemakmuran ekonomi negara masih sukar lagi dibahagikan sama-rata dan begitu juga politik serta pentadbiran kerajaan masih dibelenggu dengan birokrasi dan kaum-kaum tertentu.
Jika keadaan ini berterusan, apa akan terjadi dengan negara kita yang hanya tujuh tahun saja lagi bakal menjadi negara maju. Kita hanya ada satu saja lagi PRU sebelum tarikh keramat itu. Apakah kerajaan sedia ada mampu untuk bertahan dan melepasi halangan yang pada mutakhir ini dilihat amat membimbangkan. Ia telah wujud satu garisan pemisah bahawa kebanyakan orang-orang Melayu lebih mirip menyokong pemerintah tetapi orang-orang Cina lebih memihak kepada pembangkang. Dari segi pembinaan negara, ia adalah unsur terkebelakang.
Sebelum kita melaksanakan apa-apa perubahan drastik, apakah kita perlu merangka satu Akta Perhubungan Kaum  dan Intergrasi Nasional yang menggabungkan definasi undang-undang dalam perlaksanaannya serta menyemaikan unsur-unsur muhibbah dan menyuburkan jati diri sebagai bangsa Malaysia yang hidup aman dan tenteram. Memperkenalkan matapelajaran sejarah di sekolah yang memaparkan hubungan dan pertentangan kaum serta mengaitkan peritiwa-peristiwa lampau sebagai iktibar dalam usaha memupuk perpaduan yang lebih utuh.
Walaupun kita telah banyak aktiviti-aktiviti dan juga kementerian yang menjaga hal-ehwal yang sedemikian, namun, saya rasa ada perlunya diujudkan akta yang sedemikian sebagai landasan yang konkrit di segi undang-undang. RUKUNEGARA yang terujud selepas peristiwa 13 Mei 1969 walaupun telah menjadi satu ideologi negara namun penghayatannya tidak diresapi oleh rakyat berbanding PANCASILA yang didokong oleh rakyat Indonesia.
Peranan media-media arus perdana dalam bahasa Cina serta media-media baru yang sejak dahulu lagi tidak seimbang dalam melaporkan perkara-perakara yang berlaku dalam masyarakat Cina, khususnya dalam konteks pemikiran mereka. Ini membentuk satu kelompok pembaca yang berfikiran secara keCinaan. Tambahan pula tidak ramai daripada mereka yang membaca akhbar-akhbar berbahasa Melayu. Begitu juga orang-orang Melayu yang kebanyakannya cuma membaca akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris.  Maka terjadilah dua aliran pemikiran yang berlainan. Apabila diapi-apikan sentimen yang memihak kepada kelompok sendiri, maka dengan sendirinya kelompok-kelompok ini semakin nyata pendiriannya.
Walaupun di akhbar Utusan Malaysia telah terdapat satu ruangan yang melaporkan pemberitaan dari akhbar-akhbar berbahasa Cina, namun ia dilihat masih di tahap yang minima kerana laporannya dibuat seminggu sekali serta terfokus kepada 2-3 tajuk sahaja. Mungkin kekerapan siaran harus di buat 3 kali seminggu agar apa yang berlaku di persekitaran masyarakat Cina dapat diketahui dan difahami oleh masyarakat Melayu. Walaupun di pihak kerajaan terutamanya kementerian yang agak sensitif dengan isu-isu kaum, memang telah terdapat segelintir penterjemah dalaman tetapi bagi kebanyakan ajensi-ajensi kerajaan dan khalayak ramai masih tidak mendapat akses yang demikian.  Maka peranan Utusan Malaysia dalam hal ini dipandang penting.
Kembali memperkatakan apa yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina, samada ianya ditulis oleh pengarang, wartawan ataupun kolum pembaca, ia banyak meluahkan inspirasi orang-orang Cina dalam pelbagai bidang. Oleh kerana tajuk perbincangan kita  lebih menjurus kepada politik dan pembentukan gelombang  penolakan terhadap kepimpinan kerajaan masa kini, maka kita harus menoleh ke belakang beberapa tahun dahulu. Apa yang telah terjadi dalam parti-parti politik Cina dan isu-isu yang dibawa oleh mereka sehingga sampai “meletup” pada 5hb Mei 2013 yang lalu seperti yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.
Isu-isu penting nasional yang sering dibangkitkan oleh orang-orang Cina yang diwakili oleh pelbagai jenis pertubuhan dan parti-parti politik ialah tentang isu  pendidikan terutamanya pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar Cina yang cemerlang dan penggunaan bahasa Cina di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan serta masalah guru-guru yang tidak pandai berbahasa Cina mengajar di sekolah-sekolah rendah Cina. Inilah isu yang paling kritikal sekali. Mereka juga pernah membuat tuntutan melalui memorandum antaranya ialah Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1983), Perisytiharan Bersama (1985) yang dibentangkan bagi meraihkan undi orang-orang Cina dalam pilihanraya tahun 1986 dan tuntutan Suqiu dalam tahun 1999.  
Walaupun beberapa tuntutan mereka telah dianggap melampau dan sepi seketika tetapi mereka tidak padam dengan itu sahaja. Pertentangan antara “justice” dan “racist” samada di lihat dari kacamata orang-orang Cina di satu pihak, manakala orang Melayu di satu pihak tidak pernah ada satu kompromi yang menjurus ke arah penyelesaian. Ini semakin membuak apabila isu-isu lain yang berkaitan diapi-apikan.  Maka undi pilihanraya dijadikan suara protes.
Walaupun di kalangan mereka men-idolakan Anwar Ibrahim sebagai “penyelamat” dan seolah-olah bergandingan bahu dengan orang-orang Melayu dan India, tetapi di dalam hati masih menyimpan niat asal mereka. Bagi orang-orang Melayu dan India yang tidak memahami isi hati dan apa yang terbuku di hati orang-orang Cina, akan terus mempercayai bahawa yang dizahirkan melalui fizikal itulah yang terlekat di hati. Sebenarnya siapa yang dikuda, dan siapa yang duduk berkuda. Anda harus membaca artikel saya sebelum ini iaitu Pasca PRU 13 : PKR Pas dikuda DAP duduk berkuda untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Klik Sini.
 Jika kerajaan masih tidak dapat menangani isu-isu ini secara berkesan, ia akan melanda dalam PRU 14 nanti. Mungkin bukan sahaja Tsunami, bahkan terdapat satu pepatah yang terkenal dalam bahasa Cina yang berbunyi,  败如山倒 [Bīng bài rúshān dǎo] . [Bīng] bermakna askar, [bài] bermakna kalah, [rú] bermakna seperti, [shān] bermakna bukit atau gunung, [dǎo] bermakna runtuh. Terjemahannya ialah askar kalah seperti runtuhnya gunung. Tsunami hanya melanda pantai tetapi jika runtuhnya gunung, bermakna kerajaan akan tumbang !
Namun demikian perlu dingat, bahawa sebelum kemerdekaan dan jauh sebelum itu lagi. Orang-orang Cina yang pada asalnya dianggap pendatang semasa pentadbiran British telah diberikan taraf kerakyatan secara berperingkat-peringkat seawal tahun 1947 lagi dalam apa yang dinamakan sebagai Jus Soli. Selepas tahun 1962 mereka diberikan kerakyatan secara automatik berdasarkan taraf pemastautin kedua ibu-bapa mereka.
Sebagai timbal balas, orang-orang Melayu yang menjadi peribumi di Tanah Melayu akan mengekalkan beberapa ciri-ciri dan keistimewaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan yang dinamakan sebagai kontrak sosial ini harus difahami oleh orang-orang Cina terutamanya bagi generasi baru yang kini telah mengecapi kemakmuran, kekayaan tetapi melupai apa yang telah dipersetujui oleh datuk-nenek mereka dahulu apabila mempersetujui tentang taraf kerakyatan untuk anak-cucu mereka kemudiannya.

Dalam beberapa tulisan media-media baru berbahasa Cina yang terutamanya ditulis dari luar negara mendapati, mereka tidak pernah mengaitkan perkara ini dalam apa jua tulisan mereka. Mereka cuba menggambarkan kes di negara Singapura, Amerika Syarikat dan bebepara negara Eropah yang lain. Mendakwa bahawa orang-orang Cina seberang laut yang kini menjadi rakyat di mana mereka tinggal telah menikmati kebebasan dan taraf yang sama dalam apa jua bidang. Mereka menempelak mengapa terjadi double standard bagi orang-orang Cina yang menjadi rakyat Malaysia.
Serangan yang membabi-buta dan bertali-arus ini tanpa melihat dalam konteks sejarah dan sosio politik serta struktur masyarakat Malaysia yang unik, telah menerjah ke dalam minda orang-orang Cina Malaysia terutamanya bagi generasi muda. Inilah salah satu penjajahan minda oleh media-media asing berbahasa Cina yang telah merosakkan keharmonian rakyat Malaysia amnya.
Ini ditambah pula dengan serangan yang serupa dilakukan oleh media-media baru tempatan melalui Facebook. Ia dapat dilihat dengan jelas bahawa mereka adalah terdiri daripada sekumpulan pemikir dan penggerak yang sangat aktif atau juga mungkin dibiayai untuk tujuan provokasi yang pada permukaannya diam-diam tetapi diam-diam ubi  berisi di akhirnya terutama di saat-saat genting semasa kempen pilihanraya.  Malah dalam satu lakaran grafik yang disiarkan dalam laman Facebook telah menggambar imej Superman dalam berwajah hitam dengan tertera tulisan, “Inilah sebenarnya hero di belakang tabir”. Apakah halimunan Superman yang berkeliaran di alam siber tidak dapat dikesan oleh pihak kerajaan dan membiarkan ianya bermaharajalela ?
Maka kita tidak terkejut dengan sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara seperti di Taiwan dan Jepun telah mengadakan demontrasi “blackout 505” yang menggambarkan negara Malaysia tidak telus dalam PRU 13. Tetapi sebenarnya PRU 13 hanyalah sebagai sumbu untuk meledakkan isi hati yang sebenarnya. Oleh itu kita jangan terfikir di permukaan sahaja, sebenarnya di bawah ombak Tunami itulah yang lebih bahaya. Jika tidak dibendung dari awal dan diberikan “counter attact” yang berupa pendedahan media baru dengan menyertakan fakta-fakta dan “permainan” yang mengikut arus generasi muda, maka generasi muda Cina akan terus dihambat oleh media-media ini.  
Dalam analisa-analisa yang disiarkan dalam beberapa buah akhbar tempatan berbahasa Cina menyebut, bagaimana orang-orang Cina dapat memberikan undi kepada parti Pas yang selama ini dilabelkan sebagai parti yang bakal menjalankan undang-undang “potong tangan”. Apakah justifikasi orang-orang Cina boleh menerima kerjasama ini.
Sebenarnya ia bertitik-tolak dari  kegagalan parti-parti yang berteraskan orang-orang Cina dalam kerajaan bagi menjaga kebajikan orang-orang Cina. Mereka menganggap bahawa parti MCA dan Gerakan cuma menjadi pelengkap dalam susunan kabinet sahaja tetapi tidak berani melawan “abang besar” yang ditakrifkan sebagai Umno.  Tambahan dalam MCA sendiri tidak terdapat pemimpin yang benar-benar boleh meyakinkan masyarakat Cina bahawa ia adalah pembela mereka. Malahan ia dianggap sebagai percaturan politik yang amat memalukan.
Krisis MCA dalam tahun 2008-2010 telah memperlihatkan parti itu mengalami kemerosotan pengaruh lantaran parti berada dalam suasana kucar-kacir. Selepas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting melepaskan jawatan yang kemudiannya dimenangi oleh Datuk Seri Ong Tee Keat. Sesuatu perkara yang amat aneh berlaku kerana Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soil Lek yang berasal dari Johor tidak diberikan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri tetapi disandang oleh Ong Tee Kiat. Ini menyebabkan beliau dan penyokongnya tidak berpuas hati. Maka berlakulah perpecahan yang mengakibatkan kegagalan jentera MCA tidak berfungsi dengan baik, akhirnya MCA menerima tamparan hebat apabila ditolak oleh pengundi dalam PRU 12 dahulu.
Dalam pertelingkahan yang semakin memuncak, Ong Tee Kiat telah memecat Chua Soi Lek  dalam tahun 2009 dari MCA dan semua jawatannya digugurkan serta melantik orang-orangnya bagi menguasai perhubungan negeri. Namun demikian setelah EGM diadakan maka keahlian Chua Soi Lek dipulihkan.  Dalam pemilihan dalam tahun 2010 Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden MCA. Namun demikian beliau memilih untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan bagi tujuan memulihkan imej MCA yang tercalar. Namun kewibawaan MCA di kalangan orang-orang Cina sukar untuk dipulihkan.
Dalam PRU 13, MCA menerima bahana yang lebih teruk daripada PRU 12. Ini membuatkan veteran MCA telah membuat kenyataan bersama meminta Chua Soi Lek meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA. Rentetan itu, Chua Soi Lek bersetuju untuk mengundurkan diri seawal bulan Jun ini. Apakah selepas ini MCA mampu kembali mewarnai politik nasional dan menawan hati orang-orang Cina ?
Manakala dalam Gerakan pula tidak banyak krisis dalaman yang membabitkan kepimpinan yang tertinggi, namun prestasinya kian menurun sejak PRU 12 lagi. Gerakan yang selama ini menjadikan Pulau Pinang sebagai kubu mereka tidak mampu untuk menerima asakan dari DAP. Walaupun Gerakan merupakan parti multi kaum tetapi didominasikan oleh kaum-kaum Cina. Suasana yang ditimpa oleh Gerakan adalah hampir sama dengan MCA yang dianggap tidak dapat memertabatkan kedudukan orang-orang Cina dalam politik dan menonjolkan kepentingan orang-orang Cina dalam kerajaan.
Kekecewaan ini telah diambil kesempatan oleh DAP yang meniupkan sentimen perkauman Cina yang mengatakan bahawa mereka adalah pembela orang-orang Cina. Kita sangat memahami cara DAP berpolitik tanpa berasa takut dan “langgar” apa saja.  Maka ia telah menarik minat orang-orang Cina untuk bersama DAP bagi memperjuangkan hasrat orang-orang Cina yang selama ini tidak berupaya dilakukan oleh MCA dan Gerakan. Bagi kebanyakan orang-orang Cina untuk menukar baju MCA dan Gerakan kepada baju DAP adalah seperti sebelum mandi pakai baju kerajaan, selepas mandi pakai baju pembangkang. Semudah itu saja ! Tidak ada rasa bahawa ia ada kerugian atau rasa berterima kasih kepada baju yang dipakainya sebelum itu.
Bagaimana pula orang-orang Cina dapat menerima kerjasama dengan Pas ? Ini banyak dikaitkan dengan perubahan imej Pas itu sendiri. Di samping itu DAP begitu bijak untuk mengambil kesempatan dalam kekalutan dan perpecahan parti-parti musuh bagi mengembangkan pengaruh samada secara bersendirian atau gabungan dengan rakan-rakan parti yang memusuhi Barisan Nasional.
Kerjasama antara Pas dan DAP dapat dilihat semasa mereka bersama Parti Semangat 46 yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam pembentukan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif (BA) ketika bersama parti keAdilan Nasional (KeAdilan)  di awal tahun 1990 dahulu. Namun demikian, oleh kerana penentangan dari akar umbi dan DAP yang mahukan sistem sekular diteruskan manakala Pas ingin menegakkan negara Islam, maka akhirnya kerjasama dalam BA terkubur. Namun demikian, DAP juga telah memberi sumbangan terhadap kejayaan Pas menumpaskan Barisan Nasional dan berjaya membentuk kerajaan Pas di Kelantan.
Sebelum PRU 12, kerjasama DAP, Pas dan PKR yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat telah mengubah persepsi orang Cina terhadap Pas. Dengan gabungan itu pakatan pembangkang telah berjaya mengenepikan kemenangan 2/3 kerajaan Barisan Nasional buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Sekali lagi orang-orang Cina telah mempercayai Pas bahawa Pas  tidak mampu untuk melakukan system  hukum hudud dan maka kerjasama harus dilakukan lagi. Jadi benteng pemisah semakin mengecil.
Apabila Pas dengan rasminya telah menggugurkan niat untuk melaksanakan negara Islam sebagai natijah perjuangan dan menggantikannya dengan negara kebajikan. Maka itulah yang dinanti-nantikan oleh orang-orang Cina. Di satu pihak iaitu Pas yang telah terpaksa berkorban prinsip selama ini yang dipertahankan demi menegakkan negara Islam sebagai landasan perjuangan tetapi terpaksa tunduk dengan desakan terutamanya DAP dalam mengejar kuasa. Namun demikian di pihak DAP merasakan ia satu kemenangan dan daya tarikan terhadap orang-orang Cina semakin memuncak.
Sedangkan Pas yang selama ini dianggap menakutkankan pun boleh dijinakkan oleh DAP, inikan pula apabila Pas, DAP dan PKR telah bergabung, maka daya impak tersebut mampu untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Maka dengan rasional inilah orang-orang Cina telah memberikan kepercayaan penuh kepada DAP sebagai wakil mereka yang mutlak untuk memerintah negara apabila kerajaan Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya.
Orang-orang Cina juga beranggapan bahawa kematangan mereka dalam berpolitik telah mencapai satu tahap yang amat tinggi. Di mana undi dalam pilihanraya dapat mengubah keadaan kehidupan serta memiliki kekuasaan. Ini dapat dilihat dari jumlah peratusan pengundian di kalangan orang-orang Cina semakin meningkat.
Ia juga telah ditiupkan semangat dan harapan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Sekaligus menaikkan kekuasaan orang-orang Cina di Malaysia yang selama ini telahpun menguasai ekonomi, maka dengan kekuasaan politik akan melengkapkan agenda bagi mengubah landskap pentadbiran negara. Mereka juga telah ditanamkan dengan dotrin bahawa kerajaan sedia ada terlalu korup maka perlu diubah.
Natijah akhirnya ialah untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan yang memihak kepada orang-orang Cina. Salah satu yang mereka cemburui selama ini ialah artikel 153 yang melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak. Namun demikian, mereka telah tertipu bahawa artikel 153 dan ugama rasmi Islam tidak boleh diubah walaupun mempunyai majoriti 2/3 kerusi parlimen. Ia kekal kebal walau apa pun yang terjadi kecuali satu revolusi atau rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Maka perlembagaan baru akan ditulis semula.
Tentang keengganan MCA menyertai kabinet persekutuan, pandangan yang dikutip dari beberapa akhbar agak berbeza. Ada yang mengatakan MCA harus mempertimbangkan kembali keputusan tidak menerima lantikan demi kelangsungan hubungan antara kerajaan dan masyarakat Cina. Ini kerana MCA yang selama ini walaupun tidak dapat menepati aspirasi masyarakat Cina sepenuhnya, tetapi ia masih mempunyai “cakar” walaupun agak tumpul dalam kerajaan. Sekurang-kurang “tali” perhubung tidak putus langsung.
Ada pula akhbar yang melaporkan buat apa menyertai kabinet jika hanya untuk melengkapkan susunan kabinet sahaja. Namun demikian pada pandangan saya ia tidak mewakili sebahagian besar kehendak masyarakat Cina.  Manakala dalam satu pemberitaan, bahawa orang-orang Cina tersintak juga dengan cadangan Tan Sri Zainuddin Maidin (ZAM) bahawa DAP patut mempertimbangkan untuk menyertai kabinet bagi mewakili orang-orang Cina. Namun demikian ia adalah satu cadangan yang agak mustahil untuk dilaksanakan dalam senario politik masa ini.     
Kesimpulannya, media-media berbahasa Cina samada ianya berbentuk akhbar arus perdana atau media-media baru telah memainkan peranan sebagai medium yang membangkitkan kesedaran kepada orang-orang Cina agar bersatu dalam menuntut keadilan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun demikian, pada pengamatan saya, media-media ini agak berat sebelah dalam pemberitaan dan laporan mereka. Lebih-lebih lagi apabila jarang sekali menyentuh aspek kenegaraan yang bersatu-padu dan keharmonian kaum yang berteraskan sejarah serta keunikan masyarakat majmuk Malaysia. Apa yang mereka pentingkan ialah kesamarataan dalam pelbagai bidang termasuklah penghapusan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.

Ditulis Oleh : Hisemudin Kasim
15.05.2013

Post a Comment