Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Saturday, May 4, 2013

Menyusuri PRU Malaysia 1955-2013 : Apa yang kita harus tahu

Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda Klik "Send" terus ke kotak mesej Facebook rakan anda


Dalam menanti detik-detik keputusan PRU 13 ini, eloklah kita mengimbas dan menyusuri piliharaya umum dari tahun 1955 – 2013. Sekurang-kurangnya ia dapat memberikan kita pencerahan bagaimana suburnya sistem demokrasi di Malaysia. Kita juga tidak boleh lari dari memperkatakan tentang parti-parti politik yang pernah mewarnai arena siasah dan kepimpinan negara. 

Dengan artikel ini juga, maka saya menutup siri Bicara Politik Menjalang PRU 13 yang telah bersiri selama 11 kali. Selepas keputusan PRU 13 nanti, diharap kita akan bertemu dalam siri lain pasca PRU 13 pula.

Pihak British yang telah menjajah negara sejak beberatus tahun dahulu terpaksa memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu untuk ditadbirkan oleh orang-orang tempatan . Ini memandangkan gerakan kemerdekaan telah memuncak terutamanya di Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua. Indonesia telah mengisytiharkan  kemerdekaan sebaik saja tamat  Perang Dunia Kedua di tahun 1945 namun pengiktirafan dari Belanda hanya diperolehi beberapa tahun kemudian. Di Filipina, rakyatnya telah diberikan kemerdekaan oleh Amerika Syarikat dalam tahun 1946. Di Burma yang sekarangnya dikenali sebagai Mynmar telah memperolehi kemerdekaan daripada British dalam tahun 1948. Yang peliknya walaupun ia sebagai sebuah bekas  tanah jajahan British, ia tidak menganggotai Commonwealth.

Di Tanah Melayu ketika itu, gerakan puak kiri dan kanan yang menentang penjajahan Britih telah mewarnai politik orang-orang Melayu khususnya. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO).

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Mereka akhirnya terpinggir dan terkeluar dari arus perdana politik kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu. Namun, satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu ini telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka menyertai perjuangan bersenjata mulai 1948 bersama Parti Komunis Malaya (PKM).  Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989 di Haadyai.

Menyusuri selepas Indonesia, Filipina dan Burma maka tibalah giliran Tanah Melayu pula . Berbeza dengan ketiga-tiga negara tersebut yang memperolehi kemerdekaan melalui pertumpahan darah, tetapi Tanah Melayu telah memilih jalan lebih aman iaitu melalui pilihanraya demokrasi.  Maka pilihanraya umum Tanah Melayu yang pertama dikenali sebagai Pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan telah diadakan pada tahu 1955.  Ia adalah pilihanraya tunggal yang diadakan di Persekutuan Tanah Melayu sebelum kemerdekaan pada tahun 1957.

Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan yang berlambangkan kapal layar terdiri daripada:
·         Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO);
·         Persatuan Cina Malaya (MCA); dan
·         Kongres India Se-Malaya (MIC)
Perikatan ini yang mewakili tiga kaum  utama di Persekutuan Tanah Melayu telah memenangi 80% daripada jumlah undi, dengan 51 daripada 52 kerusi yang ditanding. Parti Islam Se-Malaysia (Pas)  memenangi satu kerusi di kawasan pilihan raya iaitu di KrianPerak. Manakala Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh  Dato’ Onn yang keluar daripada Umno dengan bertanding di 30 kerusi tetapi tidak mendapat apa-apa kerusi walaupun mencapai undi popular yang lebih tinggi daripada Pas. Bagaimanapun pada ketika itu Dato’ Onn tidak lagi bersama IMP lantaran beliau telah menubuhkan sebuah lagi  parti baru iaitu Parti Negara namun masih tidak mendapat sokongan daripada orang-orang Melayu.
Sebelum itu, PAS merupakan sebuah persatuan yang bernama "Persatuan Islam Se-Malaysia" dan telah memainkan peranan politiknya sebagai sebahagian daripada sayap UMNO. Kekuatan PAS berasal daripada daya tarikannya untuk menjadikan agama Islam sebagai dasar perjuangan terhadap orang-orang Melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu yang mengalami tahap pembangunan ekonomi yang terendah di negara. Berbanding dengan Umno yang lahir dari selatan tanah air iaitu Johor.
Tunku Abdul Rahman yang mendapat mandat besar dalam pilihanraya tersebut telah  mengetuai Parti Perikatan yang  menggunakan taktik perpaduan antara kaum di Tanah Melayu ketika bagi menggambarkan bahawa orang-orang tempatan telah boleh mentadbir negara sendiri maka layak diberikan kemerdekaan. Maka dengan itu rombongan Tunku telah berangkat ke London untuk mengadap Queen bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Sekembalinya Tunku ke tanah air dan mengisytihar kemerdekaan Tanah Melayu di Dataran Pahlawan Melaka, seterusnya melakukan yang sama di Stadium Merdeka Kuala Lumpur  pada 31hb Ogos 1957.
Inilah hasil yang sangat besar setelah mendapat mandat daripada Pilihanraya  Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1955. 

PRU Pertama 1959
Pilihanraya umum kedua telah berlangsung dalam tahun 1959 yang merupakan pilihanraya umum pertama selepas Malaysia merdeka. Kiraan yang kita gunakan sekarang bagi PRU 13 adalah bermula dari pilihanraya umum tahun 1959.
Dalam piliharaya ini,sekali lagi Parti Perikatan telah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan. Di mana Umno menjadi tunjang pemerintahan yang mana memenangi 52 kerusi daripada 74 kerusi, manakala MCA 19 dan MIC 3. Dalam masa yang sama parti-parti politik yang tidak terikat dengan perikatan antara satu sama lain, seperti Pas, PPP, Barisan Sosialis, Parti Negara, Parti Malaya serta bebas berkongsi bagi baki 30 kerusi. Di sini menampakkan dominasi Parti Perikatan yang menjadi teras kepada pembentukan Barisan Nasional hari ini.

PRU Kedua 1964
Setelah pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam tahun 1963, maka telah diadakan pilihanraya umum kedua pada tahun 1964. Namun demikian pilihanraya ini tidak melibatkan Sabah, Sarawak dan Singapura, maka jumlah kerusi parlimen masih kekal 104 kerusi. Dalam piliharaya ini memperlihatkan Parti Perikatan mencapai kedudukan yang lebih baik dengan memenangi 89 kerusi berbanding pembangkang yang hanya dapat 15 kerusi sahaja.

PRU Ketiga 1969
Pilihanraya ketiga ini mencatitkan banyak persitiwa. Buat pertama kalinya Sabah dan Sarawak telah menyertai pilihanraya ini. Manakala Singapura tidak ikut serta kerana telah keluar dari Malaysia dalam tahun 1965 dan membentuk negara merdeka sendiri.  Kerusi parlimen telah bertambah menjadi 144 kerusi di mana peruntukan kepada Sabah ialah 16 kerusi dan Sarawak 24 buah kerusi. 
Tempuh berkempen yang terlalu panjang selama 35 hari telah mencetus satu fenomena yang tidak sihat dan menghangatkan ketegangan kaum disebabkan DAP dan Gerakan yang pertama kali menyertai pilihanraya umum telah memainkan isu penentangan terhadap  Hak Keistimewaan Bumiputra dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
DAP, Gerakan dan PPP telah memenangi 25 kerusi parlimen, manakala Pas memperolehi 12 kerusi, dan Parti Perikatan telah mengalami kekalahan paling teruk lantaran orang-orang Cina telah menarik balik sokongan mereka yang diberikan kepada MCA selama ini kepada DAP. Walaupun Parti Perikatan memperolehi kerusi 95 buah tetapi secara keseluruhannya apabila mengambilkira kerusi-kerusi dari Sabah dan Sarawak, maka ia telah kehilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pusat buat kali pertamanya.
Di Pulau Pinang pula, parti Gerakan telah berjaya menubuhkan kerajaan pembangkang.  Di Kuala Lumpur, DAP dan Gerakan telah membuat hiruk-pikuk lantaran kemenangan besar mereka yang menaikkan suhu perkauman antara Melayu dan Cina. Akhirnya tercetuslah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Darurat telah diisytiharkan lantaran kekacauan yang melanda Kuala Lumpur dan beberapa tempat yang lain. Kemudiannya negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Dalam masa sama juga telah berlaku peralihan kuasa antara Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein.
  
PRU Keempat tahun 1974
Peristiwa berdarah 13 mei 1969 telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam rakyat Malaysia. Perpaduan nasional menjadi agenda dalam pentadbiran Tun Abdul Razak yang pertama kali mengepalai pilihanraya umum. Maka gagasan Barisan Nasional bagi menggantikan parti Perikatan telah diperkenalkan  dalam tahun 1973. Keahlian asal Parti Perikatan yang mengandungi Umno, MCA dan MIC telah bertambah menjadi 10 buah parti dengan kemasukan beberapa buah parti dari semenanjung, Sabah dan Sarawak. Parti Gerakan dan Pas telah menyertai Barisan Nasional. Secara tidak langsung kerajaan negeri-negeri  Pulau Pinang dan Kelantan telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Barisan Nasional.
Jumlah kerusi dalam pilihanraya ini telah bertambah menjadi 154 buah kerusi setelah melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya. Barisan Nasional telah berjaya mendapat mandat yang besar dengan memenangi 135 kerusi berbanding pembangkang yang hanya mendapat 19 kerusi. Ia merupakan kekalahan paling teruk pembangkang dalam pilihanraya umum.

PRU Kelima tahun 1978
Pilihanraya kelima mencacatkan keputusan cemerlang bagi Barisan Nasional dengan memperolehi 130 kerusi parlimen walaupun telah mengalami sedikit penurunan jumlah kerusi disebabkan oleh  Pas telah keluar dari Barisan Nasional dan menjadi pembangkang. Kali ini Tun Hussein Onn telah menjadi Perdana Menteri dan mengapalai jentera pilihanraya umum.  
Pas telah melalui titik-titik getir dengan krisis dalaman yang memperlihatkan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir dipecat dari Pas ekoran undi tidak percaya dan demonstrasi di Kota Bahru lalu kemudiannya menubuhkan parti Berjasa. Tidak lama selepas itu Yang Dipertua Agong (Presiden) Pas, Datuk Muhd Asri Haji Muda juga dipecat dari Pas lalu menubuhkan parti Hamim. Inilah yang dinamakan “Pas dari satu pecah tiga”.
Bagaimanapun Kelantan masih berada dalam Barisan Nasional kerana Umno telah bekerjasama dengan Berjasa bagi meneruskan legasi pentadbiran di sana.

PRU Keenam tahun 1982
Pilihanraya umum keenam merupakan kali pertama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad mengemudikan jentera Barisan Nasional. Satu kejutan juga apabila Anwar Ibrahim dipelawa mengangotai Umno dan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh dan memenanginya daripada penyandang Pas.  
Jumlah kerusi yang diperolehi adalah 132 bagi Barisan Nasional dan pembangkang 22 buah kerusi. Ini merupakan kejayaan kedua tertinggi selepas PRU keempat di tahun 1974 dahulu.  

PRU Ketujuh tahun 1986
Dalam pilihanraya umum kali ini, kerusi parlimen telah bertambah menjadi 177 buah kerusi. Barisan Nasional masih kekal mendapat majoriti yang tinggi dengan 148 buah kerusi, namun demikian pembangkang telah memperolehi 29 kerusi. Walaupun jumlah kerusi Barisan Nasional bertambah berbanding pembangkang, tetapi dari segi peratusannya pembangkang telah menunjukkan peningkatan.

PRU Kelapan tahun 1990
Pilihanraya umum kelapan telah mencacat sejarah sebagai pilihanraya yang paling kritikal dalam era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohammad. Ini kerana ia merupakan buat kali pertama “umno baru” bertanding dalam pilihanraya umum selepas krisis Umno yang memperlihatkan pendaftaran Umno dibatalkan ekoran perpecahan Umno kepada dua kumpulan. Ia dinamakan Team A yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir yang menubuhkan parti Umno (baru), manakala Team B yang diketuai oleh Tungku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46. Nama Semangat 46 diambil dari semangat penubuhan Umno di Istana Johor dalam tahun 1946 dahulu.
Semangat 46  kemudiannya telah menubuhkan sebuah parti campuran dengan Pas lalu membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menentang Umno(baru) bersama anggota Barisan Nasional yang lain. Kerjasama ini telah berjaya membawa APU menguasai kerajaan Kelantan dan bermulalah era Datuk Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan.
Manakala di Sabah telah berlaku pembelotan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan keluar daripada Barisan Nasional dan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Maka dari saat itu, Sabah telah berada di pihak pembangkang.
Di Pulau Pinang pula, DAP yang mendapat nafas baru ekoran kerjasama dengan Tengku Razaleigh dan berlawanan dengan Umno (baru) yang masih bertatih, maka senario poltik dan jumlah kerusi juga telah berubah dengan mendadak. DAP telah menambah kerusi menjadi 14 daripada 35 kerusi DUN.  Lim Kit Siang telah menumbangkan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Dr. Lim Chong Eu di Padang Kota. Dr. Koh Tsu Koon akhirnya mengambilalih jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun Gerakan memiliki kerusi yang lebih sikit dan MCA langsung tidak memenangi sebarang kerusi.
Walau bagaimanapun dengan kemenangan Barisan Nasional memperolehi  127 kerusi daripada 180 kerusi parlimen, ia merupakan 70.6% daripada jumlah kerusi. Ia masih dikira satu pencapaian yang hebat meskipun dihambat oleh krisis perpecahan Umno, kehilangan Kelantan kepada APU dan keluarnya kerajaan Sabah melalui PBS.  

PRU Kesembilan tahun 1995
Kebangkitan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum kesembilan berkaitan rapat dengan kecemerlangan ekonomi dan pembangunan fizikal negara yang melonjak. Ketika itu banyak projek-projek mega sudah, sedang dan akan dijalankan. Ini termasukkan projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) telahpun disiapkan. Manakala projek Linkedua yang menghubungkan Gelang Patah dan Tuas di Singapura baru nak dijalankan.
Umno yang telah pulih sepenuhnya dari krisis perpecahannya dahulu telah mendapat kembali sokongan rakyat.  Maka dalam pilihanraya ini yang dipertandingan sejumlah 180 buah kerusi parlimen, Barisan Nasional memenangi 162 buah kerusi yang mana dari segi peratusannya menyamai keputusan pilihanraya tahun 1982 dengan 84.4%. DAP mengalami kekalahan teruk, daripada 50 kerusi yang dipertandingkan hanya mendapat 9 kerusi sahaja. Manakal Pas bertanding di 45 kerusi, hanya berjaya di 7 kerusi. Saingan Umno iaitu Semangat 46 yang bertanding di 66 kerusi hanya berjaya memperolehi 6 kerusi saja. Secara amnya pembangkang menerima kekalahan teruk kedua kalinya selepas tahun 1974.

PRU Kesepuluh tahun 1999
Pilihanraya kesepuluh merupakan kali terakhir Tun Dr. Mahathir mengepalai jentera pilihanraya. Ia juga merupakan satu pilihanraya yang menyaksikan hampir terjadinya sistem dua parti dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Ini berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan lalu menubuhkan parti KeADILan Nasional (KeADILan).
KeADILan akhirnya bekerjasam dengan DAP dan Pas lalu membentuk Barisan Alternatif (BA) bagi melawan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun akhirnya BA tidak boleh bertahan lama lantaran DAP berkeras dengan prinsip sosialis secular manakala Pas ingin menegakkan negara Islam, maka akhirnya BA terkubur.
Walaupunpun Barisan Nasional memperolehi 148 kerusi bersamaan 76.7%  berbanding pembangkang yang mendapat 45 kerusi, ia sudah dikira agak menurun. Bagi pecahan kerusi yang diperolehi pembangkang pula, Pas menampakkan peningkatan empat kali ganda daripada 7 kerusi dalam PRU 9 kepada 27 kerusi parlimen serta merampas negeri Terengganu. DAP pula menurun kepada 10 kerusi sahaja, manakala KeAdilan cuma mendapat 5 kerusi. Tamparan paling hebat bagi DAP ialah Lim Kit Siang dan Karpal Singh telah tewas dan jawatan Ketua Pembangkang telah beralih kepada Pas.  

PRU Kesebelas tahun 2004
Tun Dr. Mahathir Mohammad bersara dari politik pada tahun 2003 dan mengangkat Tun Abdullah Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Beliau meninggalkan pentadbiran dalam keadaan negara yang cukup stabil dari segi politik, pembangunan negara maupun ekonomi. Maka dalam tahun 2004,  Pak Lah telah membubarkan parlimen bagi mengadakan satu pilihanraya umum sebagai mandat baru untuknya sebagai Perdana Menteri.

Dalam pilihanraya ini beliau memperolehi kejayaan yang diluar jangkaan. Di hari penamaan calon sahaja, Barisan Nasional telah mendapat 15 kerusi tanpa bertanding dan 2 kerusi lagi kemudiannya kerana pihak lawan menarik diri dari bertanding. Keputusan akhir pilihanraya menampakkan mandat besar yang diperolehi oleh Pak Lah dengan 198 kerusi atau bersamaan 90.4% berbanding pembangkang yang hanya mendapat 21 kerusi sahaja. Dengan mandat yang besar itu, maka Pak Lah memikirkan bahawa beliau telah berada dalam suasana yang cukup selesa untuk mentadbir kerajaan.
Bagaimanapun langit tidak selalu cerah. Selepas dua tahun pentadbirannya, kepincangan mula terserlah. Kemampuan Pak Lah mentadbir mendapat kritikan yang amat pedas, bahkan Tun Dr. Mahathir sendiri telah menempelak Pak Lah.
PRU Keduabelas tahun 2008
Pak Lah terpaksa memendekkan mandat yang diperolehinya dalam tahun 2004 dengan memanggil pilihanraya umum baru dalam tahun 2008. Ini disebabkan pentadbirannya dalam parti dan kerajaan mendapatkan kecaman yang bukan sedikit.
Faktor luaran ialah kegawatan kewangan dunia yang bermula dari kejatuhan perbankan Amerika Syarikat yang berpunca dari kes kredit subprime pinjaman perumahan yang akhirnya telah menggoncang system kewangan dunia. Rentetan itu maka terjadi kenaikan bahan mentah dan bahanapi yang melambung tinggi di pasaran dunia. Amerika Syarikat yang menjadi lombong pengekspotan barang-barang seluruh dunia tidak dapat menerima kemasukan import disebabkan mereka sendiri dalam krisis kewangan. Maka rantaiannya juga terpalit di Malaysia.
Dalam negara pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun masih tidak bebas secara mutlak selepas dibebaskan dari penjara tetapi masih tertakluk kepada syarat-syarat berpolitik. Namun demikian, beliau masih berupaya menggerakkan parti PKR, DAP dan Pas dalam satu landasan Pakatan Rakyat. Pak Lah terpaksa memanggil pilihanraya lebih awal kerana jika dilewatkan sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan bertanding dalam pilihanraya, maka sejarah pilihanraya terpaksa ditulis semula.
Dalam keadaan himpitan yang demikian, PRU 11 dilihat tidak memihak kepada Pak Lah. Maka akhirnya Barisan Nasional telah mengalami kekalahan yang amat teruk dan gagal memperolehi majoriti 2/3 kerusi di parlimen. Jumlah yang diperolehi ialah cuma 140 yang bersamaan 62.6% berbanding pembangkang 82 kerusi.

Kesimpulan
Setelah 12 kali pilihanraya umum selepas merdeka, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah mengunguli kerusi parlimen sehingga sebelum 5hb Mei 2013. Maka apakah dalam PRU 13 ini nanti akan ada perubahan ? Kedua-dua pihak iaitu Pakatan Rakyat yang inginkan “UBAH” apakah berjaya mengubah senario semasa  Atau Barisan Nasional yang mengekalkan imej “Transformasi” akan meneruskan agenda pembangunan negara bagi menuju ke alaf baru ?
Kita sama-sama tunggu keputusan PRU 13 nanti.
Selamat mengundi, tunaikan kewajiban untuk negara !

Ditulis Oleh : Hisemudin Kasim

04.05.2013




Post a Comment