Wednesday, May 29, 2013

Memahami Sistem Perbekalan Air Di Lembah Kelang Dan Projek Langat 2 Serta Isu-isu Berkaitan

Manusia boleh hidup tanpa makanan selama beberapa hari, tetapi tanpa air manusia akan mati. Kerana air adalah nadi kehidupan !

Bagi penduduk di Lembah Kelang, jika air dicatu atau keputusan bekalan air disebabkan masalah kerosakan sistem perbekalan air, sudah pasti akan menerjah ke Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang merupakan syarikat pengagihan air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kini bulan Mei hingga September setiap tahun adalah musim panas dan kemarau terutamanya bagi Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Penggunaan air semakin meningkat tetapi sumber air dari empangan dan kawasan tadahan air semakin menyusut. Loji rawatan air tidak mempunyai air yang mencukupi untuk diproses dan akhirnya pengguna terpaksa menerima catuan bekalan.

Namun kita jarang sekali terfikir bagaimana Syabas membekalkan air itu kepada kita. Sebagai pembekal utiliti utama, Syabas juga tertakluk kepada bekalan sumber air terawat oleh loji-loji rawatan air. Itupun Syabas masih bernasib baik kerana dari 34 buah loji rawatan air di Selangor, 29 buah daripadanya dikendalikan oleh Puncak Niaga, iaitu syarikat induk Syabas. Selebihnya dikendalikan oleh tiga buah syarikat lain. Peranan Syabas sebagai orang tengah antara pembekal air terawat dan pengguna menyebabkan ia sering tersepit kerana pengguna tidak mengenali dari mana Syabas mendapatkan air, kerana mereka hanya mengetahui Syabas sahaja.

Dalam artikel kali ini, saya akan cuba untuk memperincikan sistem perbekalan air di Lembah Kelang dan Projek Langat 2 dari sudut Kejuruteraan Awam dan Hidrologi. Bagaimanapun saya sedaya-upaya akan mempermudahkan bahasa penyampaian agar tidak terlalu mirip kepada teknikal yang boleh difahami oleh kebanyakan pembaca. Ini termasuklah tentang nama-nama, terma-terma teknikal dan proses perjalanan sesuatu perkara yang berkaitan.

Cuba telitikan gambarajah di bawah terlebih dahulu sebelum anda meneruskan pembacaan. Ia akan menolong anda memahami keseluruhan sistem perbekalan air mentah.

Secara umumnya, sistem perbekalan air mentah dan air terawat terbahagi tiga peringkat.


Peringkat Pertama, sumber air mentah diperolehi dari sungai-sungai dan takungan air atau tasik yang dibuat empangan. Antara tasik dan empangan di Selangor adalah Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates, Empangan Batu, Empangan Sungai Tinggi dan Empangan Sungai Selangor. 

Klik pada imej untuk membesarkannya



Empangan-empangan ini berfungsi sebagai penakung air hujan yang disalurkan oleh anak-anak sungai yang berhampiran. Selepas itu air akan disalurkan secara sistematik ke dalam sungai-sungai yang lebih besar di mana terdapatnya loji-loji rawatan air. Sebab itu kebanyakan loji-loji rawatan air terletak berhampiran dengan sungai-sungai utama.

Dari terma hidrologi, sumber air dari takungan atau kolam ini akan menyusut dengan cepat apabila penggunaannya meningkat tetapi aliran dari anak-anak sungai yang melimpahinya tidak datang setara. Tambahan pula di musim kemarau yang panas, kadar pemelowapan air ke udara semakin tinggi, maka kadar penurunan bacaan di kolam atau tasik dilihat semakin menurun. Sebab itulah di musim-musim kemarau ini, sumber air mentah yang berkurangan akan menjejaskan operasi loji rawatan air.

Apakah dalam masa akan datang kesemua empangan dan tasik-tasik ini mampu untuk membekalkan air bagi Lembah Kelang ? Jawapannya sudah tentu tidak.

Kita harus memahami antara terma tasik atau kolam dengan kawasan tadahan air. Dari sudut ilmu hidrologi, kolam atau tasik adalah sebahagian dari kawasan tadahan air tetapi kawasan tadahan air tidak bererti kolam atau tasik. Kerana ia meliputi kawasan yang lebih luas dan termasuklah anak-anak sungai yang mengalir ke dalam tasik.

Kini kita berdepanan dengan pencemaran dan pembangunan yang tidak seimbang di kawasan tadahan air. Kawasan tadahan air semakin mengecil disebabkan oleh pembangunan dan pembalakan. Secara tidak langsung air yang mengalir ke tasik atau kolam semakin menyusut. Begitu juga kadar resapan air ke dalam tanah yang menjadi sumber mata air berkurangan kerana permukaan tanah dilitupi oleh jalanraya, konkrit rumah dan pelbagai pembangunan lagi. Jadi air hujan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
 
 
Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin
Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

 

Jika dikirakan pencemaran oleh pembalakan, sisa-sisa pembuangan kimia, pemendapan tanah oleh kerana hakisan di hulu sungai dan sebagainya, maka anak sungai juga akan menjadi cetek. Dengan itu, apakah kolam tadahan akan mendapat sumber yang mencukupi bagi menjana air mentah untuk disalurkan ke loji rawatan air ? Baru-baru ini, kes yang melibatkan pencemaran ammonia di loji rawatan Sungai Semenyih adalah salah satu penyebab loji terpaksa dihentikan buat sementara.

Ramai yang beranggapan bahawa semua empangan dipenuhi air dalam setiap masa. Mengapa pula kita sibuk untuk mencari alternatif sumber air ? 

Di sini kita harus melihat dari dua sudut. Disamping itu, saya juga ingin bertanya, apakah jika kita berkunjung melihat ke kolam atau tasik itu di musim monson Timur Laut antara bulan November hingga Mac atau waktu peralihan monson antara Mac dan Mei yang biasanya hanya ada hujan perolakan. Ataupun kunjungan kita di waktu monson Barat Daya antara Mei hingga September / Oktober yang biasanya kering dan kemarau ? Tentu sekali jawaban yang diberi akan berbeza. 

Musim hujan, kolam tadahan penuh hingga melimpah. Tapi di musim kemarau, kolam tadahan akan menyusut dengan begitu ketara sekali.


Jika air yang banyak di tasik atau empangan bahkan melimpah ruah di waktu-waktu tertentu juga tidak signifikan kerana ia adalah air mentah. Kerana loji rawatan air hanya mampu untuk memproses pada kadar tertentu sahaja agar ia menjadi air terawat yang akan disalurkan kepada pengguna. Maka selebihnya air mentah terpaksa juga disalurkan keluar ke dalam sungai. Manakala dalam musim kemarau loji-loji akan kekurangan air pula.

Maka terjadilah suasana tidak konsisten dalam perbekalan air mentah dari sumber-sumber sungai dan tasik atau kolam di Lembah Kelang. Dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan permintaan terhadap air, tetapi sumber air semakin mengecil. Itulah realiti yang kita hadapi hari ini.

Peringkat Kedua, pembinaan dan pengoperasian loji rawatan air adalah nadi utama dalam sistem perbekalan air. Di Selangor terdapat 34 buah loji rawatan air. Ia dikendalikan oleh empat buah syarikat operator air iaitu :
  1. Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang mengendalikan 3 buah loji  
  2. Konsortium ABASS Sdn Bhd yang mengendalikan sebuah loji .
  3. Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) yang mengendalikan 29 buah loji  
  4. Konsortium Air Selangor Sdn Bhd yang mengendalikan sebuah loji 

Kesemua loji-loji rawatan air tersebut hanya mampu untuk membekalkan ke tahap 4638 juta liter sehari (JLH) mengikut rekabentuk asalnya. 

Namun oleh kerana permintaan yang semakin meningkat, maka sesetengah loji-loji rawatan air tersebut telah beroperasi melebihi kapasiti dan membekalkan air terawat dan boleh diagih (kapasiti boleh agih) iaitu 4661 JLH.

Dalam keadaan overloaded, sistem rumah pam yang berfungsi menyalurkan air dari pusat loji rawatan air ke tangki atau kolam imbangan dan tangki perkhidmatan juga telah telah dikerah siang dan malam bagi memenuhi permintaan.

Manusia juga perlukan kerehatan yang mencukupi untuk berkerja di hari esoknya. Inikan pula sistem elektik dan mekanikal yang menjadi komponen dalam sistem rumah pam. Ia perlukan juga rehat untuk diservis dan penggantian komponen. 

Kejadian kerosakan sistem dalam rumah pam Wangsa Maju yang mengakibatkan beberapa kawasan di Ulu Kelang dan Ampang terganggu bekalan air mentah beberapa bulan dahulu adalah akibat dari permasalahan ini.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib mendakwa, bekalan air di Lembah Kelang hanya mampu untuk bertahan sehingga pertengahan tahun 2014 sahaja. Sebab itulah kerajaan Persekutuan sejak awal-awal lagi telah mengarahkan Projek Langat 2 yang dilaksanakan bagi menghadapi krisis air ini.

Namun demikian cadangan ini mendapat tentangan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan ia berhak untuk membuat penstrukturan air bagi Negeri Selangor. 

Tetapi sehingga sekarangpun tiada siapa yang tahu apa bentuk penstrukturan itu yang jelas kerana kerajaan negeri Selangor tidak pernah membentangkan cadangan tersebut kepada umum. Kecuali beberapa bulan yang lalu sebelum PRU 13, kerajaan Negeri Selangor telah menghantar surat kepada semua operator pengeluaran air bagi tujuan penyusunan dan pengambilalihan (M&A). Namun demikian, pada pandangan saya, akhirnya industri air Selangor akan berada pada status quo seperti sedia ada.
 
Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bahawa sumber-sumber air di Negeri Selangor mencukupi sambil menyarankan bekas-bekas lombong bijih timah juga dijadikan takungan air mentah. Di samping itu cuba untuk mendapatkan sumber air bawah tanah sebagai alternatif. Cadangan yang paling ditonjolkan ialah teknik membrane yang diperolehi dari Kanada untuk dijadikan alternatif bagi menolak Projek Langat 2. 

Momokan bahawa dengan terlaksananya Projek Langat 2 akan meningkatkan tarif air di Lembah Kelang. Konon bagi melindungi kepentingan rakyat dan pengguna maka Projek Langat 2 ditentang habis-habisan.

Namun demikian kesemua cadangan-cadangan ini tidak pernah disertakan dengan data-data teknikal dan saintifik yang boleh menyokong dan dipercayai melainkan retorik politik sahaja. Pelik bin ajaib apabila pihak kerajaan negeri Selangor yang dapat berkuasa kembali setelah PRU 13, telah menyatakan persetujuan pula kepada Projek Langat 2. Dengan alasan ia harus dilakukan secara menyeluruh bagi industri air Selangor. Ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim setelah selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 14hb Mei 2013 yang lalu mengesahkan perkara ini.


   Menteri Besar Selangor Setuju Projek Langat 2


Yang menghairankan ialah sebelum PRU 13 tidak langsung menyatakan bahawa Projek Langat 2 akan dipersetujui perlaksanaannya walau dalam apa keadaan sekalipun. Oleh itu dapatlah ditafsirkan bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengheret rakyat bagi mempercayai bahawa Projek Langat 2 membebankan rakyat dan sebagai modal politik bagi meraih undi dalam PRU 13. Dari segi intergriti ia boleh dipertikaikan.


Sedutan dari akhbar-akhbar :
Tarikh : (27/02/2014) 


Projek Langat 2 diteruskan serta merta KLIK SINI


Tarikh : 23/05/2014

Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) siap Disember 2014   Klik Sini




Memandangkan kajian menunjukkan bahawa Lembah Kelang akan mengalami krisis bekalan air dalam masa terdekat dan sebelum ini tiada ketentuan dan persetujuan oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Projek Langat 2, maka kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sejumlah RM702 juta bagi 11 projek mitigasi yang bertujuan sebagai pelan kecemasan untuk menambah kapasiti pengeluaran air terawat sehingga tahun 2016.

Terma projek mitigasi ialah menambahbaik fasiliti sedia ada di loji-loji rawatan air sama ada ianya bersangkut-paut dengan sistem perolehan air mentah, rumah pam, sistem rawatan air atau menggantikan komponen yang perlu. Namun demikian, projek ini tidak akan menambahkan kapasiti pengeluaran air secara mendadak kerana sekatan rekabentuk loji sedia ada dan sumber air mentah yang terhad.

Peringkat Ketiga, ialah di mana pihak pembekal air iaitu Syabas dipertanggungjawabkan bagi menyalurkan air dari loji-loji rawatan  kepada pengguna-pengguna domestik ataupun industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Orang ramai akan beranggapan, apabila sahaja gangguan bekalan air disebabkan oleh pencemaran atau gangguan loji, maka Syabas akan "ditembak" terlebih dahulu. Sedangkan yang mengusahakan operasi loji dikendalikan oleh 4 buah syarikat lain. Oleh kerana para pengguna tidak kenal siapa operator pengendali loji, maka Syabaslah yang akan menjadi mangsa terlebih dahulu. Maka anda haruslah memahami situasi ini dan tidak menuding jadi secara melulu kepada Syabas.

Secara umumnya sistem agihan air terawat bermula dari tangki imbangan yang juga menyediakan rumah pam. Kebiasaannya ia terletak di tempat yang strategik dan tinggi. Di mana air berkeadaan mempunyai tenaga keupayaan dan akan menerjah dengan tenaga kinetik ke tangki-tangki perkhidmatan dan paip-paip agihan yang besar. 


Kemudiannya barulah disalurkan ke paip-paip yang lebih kecil. Seterusnya ke paip-paip berukuran kurang dari 2 inci yang sampai ke rumah kita.

Tekanan air dengan konsep graviti adalah unsur penting dalam sistem pengagihan air di mana-mana jua di seluruh dunia. 

Masalah yang sering kita hadapi ialah apabila air yang berada di tangki perkhidmatan telah berkurangan dan tekanan air juga semakin menurun. Ini disebabkan penggunaan air yang banyak dalam sesuatu masa terutamanya di musim panas atau musim-musim perayaan tetapi tidak dapat ditampung oleh loji rawatan. 

Masalah ini juga disumbangkan oleh rezab air yang rendah di loji-loji rawatan air di mana paras takungan air di kolam tadahan menjadi kritikal disebabkan cuaca panas dan ketiadaan hujan.

Rungutan sering diutarakan di akhbar-akhbar tentang kegagalan pihak Syabas untuk mengeluarkan notis pemberitahuan lebih awal tentang catuan atau gangguan bekalan air di sesuatu tempat. Baru-baru ini Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh melahirkan kekecewaan terhadap sistem penyampaian maklumat dari Syabas kepada pengguna harus juga diambil iktibar. Ini terutamanya ko-ordinasi dalaman Syabas di bahagian perkhidmatan perhubungan awam disaran lebih peka dengan pengguna agar ianya tidak merosakkan keseluruhan imej korporat disebabkan oleh kegagalan sistem penyampaian maklumat yang tidak efisien.

Beliau juga mengatakan penduduk khususnya di kawasan SS14, SS15, SS17, SS18 dan SS19 sering mengalami kesukaran apabila tiada maklumat awal diberitahu tentang gangguan air akan berlaku. Namun, kadang-kadang kealpaan pengguna sendiri yang tidak mengambil endah tentang notis tersebut juga yang menyebabkan suasana menjadi kelam-kabut.

Namun demikian, pihak wakil rakyat dan orang ramai juga harus memahami keseluruhan sistem pengagihan air yang melibatkan cuaca lalu tiada hujan dan mengakibatkan paras air kolam takungan menjadi rendah, kerosakan dan membaikpulih utiliti dan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan awam.

Kita ambil contoh pengeluaran air di tahun 2012 dan dari Jan-April 2013 yang diperolehi dari sumber Syabas sebagai perbandingan :


Tahun

Kapasiti Boleh Agih (JLH)
Permintaan Air (JLH)
Rezab Air (JLH)
Rezab Air (%)

Purata 2012


4,392

4,315.05

76.95

1.75




Tahun
Kapasiti Boleh Agih (JLH)
Permintaan Air (JLH)
Rezab Air (JLH)
Rezab Air (%)

Purata dari Jan- Apri 2013


4,556

4,528.75

27.25

0.60



Berdasarkan angka-angka tersebut, menunjukkan bahawa kapasiti boleh agih air ialah 4,556 JLH berbanding dengan angka rekabentuk asal kesemua loji ialah 4,638 JLH. Ini bermakna ia telah beroperasi hampir kepada maksimum. Namun rezab air masih lagi berlegar-legar di bawah 2% dan keadaan ini amat kritikal serta membimbangkan terutamanya jika berlaku sesuatu yang diluar jangkaan.

Apa pula akan terjadi selepas pertengahan tahun 2014 sekiranya tiada projek mitigasi sebagai pelan kecemasan sementara menunggu siapnya Projek Langat 2 di hujung tahun 2016 nanti.

Projek Langat 2 mesti diteruskan kerana ia bakal menyelamatkan pengguna-pengguna air di Lembah Kelang daripada menghadapi krisis air terawat sekurang-kurangnya untuk 50 tahun akan datang. Kerana kebiasaannya setiap projek infrastruktur mega tidak direkabentuk untuk keperluan masa kini sahaja tetapi akan melangkaui masa yang agak panjang.

Kita ketahui, sejak tahun 1998 lagi, negara kita telah mengalami krisis bekalan air yang kronik ekoran fenomena El Nino di seluruh dunia di mana bacaan taburan hujan di Malaysia terlalu rendah. Hujan yang turun di Pantai Timur tidak dapat dimanfaatkan oleh negeri-negeri di Pantai Barat kerana halangan Banjaran Titiwangsa dan sungai-sungai yang membawa air akan terus ke kuala menuju Laut China Selatan. Maka lahirlah idea mengapa tidaknya air sungai yang berada di Pantai Timur itu dapat disalurkan ke Pantai Barat menggunakan kaedah moden.

Dalam kajian EPU Jabatan Perdana Menteri yang dibuat dalam tahun 1992 mendapati negeri Pahang mampu untuk membekalkan air mentah kepada Lembah Klang. Bagaimanapun ketika itu tidak ada keperluan bagi perlaksanaannya sehinggalah di tahun 1998 dan selepas kejadian El Nino, maka ianya harus menjadi kenyataan. Kajian terperinci kemudiannya telah terarah kepada pembinaan terowong melalui Banjaran Titiwangsa bagi menyalirkan air dari Pahang ke Selangor.

Saya masih mengingati semasa menuntut di universiti tahun 2 dan 3 dalam fakulti Kejuruteraan Awam dahulu di mana ilmu hidrologi juga diajar sebagai subjek pilihan. Kami diajar bagaimana untuk membuat analisa data-data taburan hujan bagi sekurang-kurangnya 50 tahun bagi sesuatu kawasan untuk mencari satu rumusan tentang kejadian-kejadian bilakah akan berlakunya kemarau sederhana dan kemarau panjang. Begitu juga data-data itu amat berguna untuk menjangka bilakah akan terjadi banjir sederhana dan banjir besar. Sudah tentu perubahan iklim global dan tempatan serta fenomena seperti El Nino juga diambil kira.

Kesimpulan data-data itu pula akan digunakan oleh para jurutera untuk merekabentuk sesuatu empangan bagi tujuan pencegahan banjir, pengairan pertanian, penjanaan letrik dan perbekalan air mentah. Dalam kes Projek Langat 2, sudah tentulah pihak EPU dan jurutera perunding telah mengambilkira kesemua elemen-elemen tersebut sebelum menetapkan skop kerja dan rekabentuk seperti Empangan Kelau yang menakung air dari lembangan sungai-sungai yang mengalir ke tasik Kelau dan rekabentuk terowong dari Karak ke Hulu Langat.

Maka Projek Langat 2 yang melibatkan pembinaan terowong sepanjang 44.6Km yang merupakan terowong terpanjang di Asia Tenggara dan yang keenam di dunia merentasi Banjaran Titiwangsa yang bermula dari Karak, Pahang terus ke Hulu Langat dibuat oleh kerajaan Persekutuan adalah merupakan satu inisiatif yang terkehadapan. Tindakan Kerajaan Negeri Selangor menolak cadangan projek tersebut pada awalnya dilihat tidak berasaskan fakta teknikal serta terkebelakang.

Sebahagian terowong telahpun dalam pembinaan tetapi bahagian loji rawatan yang berada di Hulu Langat tidak dapat diteruskan. Namun demikian, dengan komitmen Kerajaan Negeri Selangor kini telah mengubah senario tersebut bahawa Projek Langat 2 akan diteruskan mengikut jadual dan dijangkkan Loji Rawatan Air Langat 2 akan siap di penghujung tahun 2016.

Sebelum anda meneruskan pembacaan, anda disyorkan melihat gambarajah yang disediakan sebagai panduan terhadap Projek Langat 2. 

























Projek Langat 2 yang dianggarkan berharga RM8.65 billion dijangka membekalkan sebanyak 1.89 bilion liter air mentah akan disalurkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.

Jika dibandingkan dengan kos efisien untuk membina Projek Langat 2 berbanding untuk mengurangkan kehilangan air di Lembah Kelang sebanyak 10% yang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM7.2 billion yang kini kadar air tidak terhasil (non-revenue water atau NRW) berada dari 32.3% kepada 20.3%, tetapi ianya hanya mampu untuk menghasilkan tambahan air sebanyak 500 JLH sahaja. Padahal penyaluran air mentah dari Pahang adalah pada kapasiti 1,890 JLH.

Untuk pengetahuan, non-revenue water atau NRW adalah air terawat yang dihasilkan oleh loji-loji rawatan tetapi telah hilang dalam proses pengagihan kerana kebocoran paip-paip besar atau kecil, kecurian air oleh pihak industri terutamanya dan lain-lain lagi.

Namun demikian, perancangan Syabas untuk proses menaiktaraf dan menggantikan paip-paip usang yang berkarat serta bocor memerlukan perbelanjaan yang besar. Tetapi, geran dalam peruntukan kerajaan persekutuan dalam perbelanjaan modal atau capital expenditure (CAPEX) telah dibekukan oleh kerajaan Negeri Selangor. Dalam keadaan kaki tangan terikat dan meminta pula Syabas membuat kerja-kerja serta tohmahan yang pelbagai, apakah adil untuk mempersalahkan Syabas ?

Dari sudut kejuruteraan awam, Projek Langat 2 terbahagi kepada beberapa segmen. Kini yang rancak dalam pembinaan ialah terowong sepanjang 44.6 Km bersaiz bulatan 5.2 m diameter. Selain itu terdapat juga pembinaan empangan Kelau, muka sauk (inlet portal) dan stesyen pam di Sungai Semantan dan akhir sekali saluran paip berkembar dari rumah pam Sungai Semantan menghala ke Karak di mana permulaan terowong bermula di sini. Terowong akan berakhir di Hulu Langat di mana akan dibina sebuah loji rawatan air yang berskala besar.



Teknik pengorekan terowong adalah sesuatu yang menarik perhatian. Ini kerana ia menggunakan kaedah New Austrian Tunneling Method (NATM) dan juga dilaksanakan oleh tiga buah mesin Tunnel Boring Machine (TBM). Mesin TBM ini adalah bersaiz lebih kecil daripada yang digunakan dalam projek SMART Tunnel di Kuala Lumpur. 

Anda juga boleh mendapatkan infor lanjut mengenai kerja-kerja pengorekan terowong melalui tulisan saya, “Pembinaan terowong Pulau Pinang dari sudut teknikal” dalam blog saya. Sila Klik Sini

Sebagai perbandingan, di Malaysia terdapat sebuah lagi terowong panjang yang berfungsi sebagai penyalur air iaitu terowong sepanjang 24 Km di Projek Hidro Letrik Sungai Piah, Sungai Siput, Perak. Dalam projek ini, saya terlibat sebagai seorang jurutera awam yang bermula di tahun 1988 dahulu.

Perbezaannya dengan Projek Langat 2 ialah air yang mengalir dari anak-anak sungai di pergunungan akan disalirkan ke janakuasa letrik yang berada jauh di bawah. Maka terjahan tenaga kinetik dari sumber air dalam terowong akan menggerakkan turbine bagi menjana letrik. Bagaimanapun dalam projek ini, kami tidak menggunakan mesin TBM sebaliknya teknik konvensional yang menggunakan bahan peledak dinamit untuk kerja-kerja pengorekan terowong.

Dalam Projek Langat 2 pula, sumber-sumber air diperolehi dari pergunungan Banjaran Titiwangsa. Antara sungai-sungai yang membekalkan sumber air ialah Sungai Bentong, Sungai Telemong, Sungai Kelau dan berakhir di Sungai Semantan. Sungai Semantan akhirnya bertemu dengan Sungai Pahang.

Air akan disalirkan ke stesyen pam yang terletak berhampiran dengan Sungai Semantan. Kemudiannya air akan dipamkan ke saluran paip berkembar dan terus ke terowong yang akhirnya mengalir ke loji rawatan air di Hulu Langat dengan cara graviti.

Setelah Loji Rawatan Langat 2 berperasi nanti di akhir tahun 2016, kita yang tinggal di lembah Kelang akan berasa lena kerana bekalan air akan sentiasa berterusan, kecualilah jika terdapat kerosakan mekanikal dan penyambungan paip, maka gangguan tetap akan berlaku. Atau di mana kawasan tersebut bukan berada dalam lingkungan agihan dari Loji Rawatan Langat 2.



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

29.05.2013



Perhatian ! Ini adalah Promo untuk catatan yang berkaitan dengan tajuk yang anda sedang baca ini.  :




---------------------------------- Petikan Akhbar ------------------------------

Nota 1 : 05.09.2013 - Petikan Dari Utusan Malaysia

MB akui gagal pantau kawasan rizab


Khalid Ibrahim
SHAH ALAM 4 Sept. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui pemantauan yang lemah oleh kerajaan negeri di kawasan rizab sungai merupakan antara punca berlakunya pencemaran diesel di Sungai Selangor sehingga menyebabkan bekalan air hampir sejuta pengguna terjejas minggu lalu.

Beliau berkata, kelemahan tersebut perlu dilihat dengan serius dan dijadikan pengajaran kepada kerajaan negeri, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa depan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Satu pengajaran yang sangat penting dan perlu kita (kerajaan negeri) terima ialah pemantauan tidak begitu mantap seperti diperlukan (sepatutnya).

"Memandangkan pencemaran itu telah menjejaskan begitu ramai penduduk, adalah tanggungjawab negeri untuk menyediakan satu pasukan khas bagi menyelesaikan masalah seperti ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, kerajaan mengeluarkan arahan kepada semua PBT di negeri ini supaya membekukan mana-mana permohonan untuk menjalankan sebarang aktiviti di kawasan rizab sungai, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, selain pembekuan aktiviti dan pemberian lesen, PBT di negeri ini juga diarah melaksanakan pemantauan lebih menyeluruh di kawasan rizab sungai termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana premis yang tidak mempunyai lesen.

Katanya, kerajaan negeri bersama agensi-agensi terlibat seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan semua PBT di negeri ini perlu memastikan kes-kes pencemaran sungai dapat dielakkan agar tidak mengganggu bekalan air sehingga menyusahkan rakyat.

Jumaat lalu, empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) di negeri ini terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Penutupan sementara operasi itu melibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang itu dianggarkan menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Tumpahan diesel yang dipercayai berpunca daripada sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong berkata, pihak yang menyebabkan tumpahan diesel itu sedang disiasat oleh JAS berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bengkel terbabit mempunyai lesen perniagaan, namun bukan untuk tujuan perkilangan dan beroperasi di atas tanah berstatus pertanian.


Ulasan penulis blog : Sudahlah Khalid Ibrahim ! Benda yang kecilpun tak dapat nak pantau, inikan pula nak buat penstrukturan air Selangor, yakni untuk memiliknegerikan indusstri air. Biarlah orang yang pakar dalam urusan air sahaja yang mengendalikannya. Khalid Ibrahim duduk baek-baek kat kerusi empuk MB jaga benda lain !



Nota 2 : 18.09.2013 - Petikan dari Utusan Malaysia

Dua pemilik bengkel didakwa

SHAH ALAM 17 Sept. - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan menyebabkan pencemaran air dan tanah yang dikaitkan dengan tumpahan minyak diesel sehingga mengakibatkan kira-kira sejuta pengguna di Lembah Klang mengalami masalah bekalan air, 30 Ogos lalu.

Ng Kim Bok, 55, dan isterinya, H'ng Soo Chiew, 56, yang merupakan pemilik tiga buah syarikat bengkel kenderaan, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa kepada mereka.

Kim Bok dan Soo Chiew didakwa bersama-sama atas 20 pertuduhan sebagai pemilik dan pengarah syarikat Muhibbah Mok Sdn. Bhd. dan Ng Kim Bok Realty Sdn. Bhd.

Lelaki itu turut didakwa atas 10 lagi pertuduhan sebagai pemilik dan pengarah kepada syarikat Muhibbah Mok Workshop.

Kedua-duanya didakwa melakukan pencemaran melalui pembuangan minyak secara ditanam, tumpahan di tanah dan tumpahan ke sungai antara pukul 9.50 pagi dan 11.40 pagi, 30 Ogos lalu di premis di Sungai Gong, Lot 35222, Sungai Bakau, Bandar Kundang, Gombak, dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 24(1) dan Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul turut mengemukakan pertuduhan terhadap mereka mengikut Enakmen Lembaga Urus Negeri Selangor (LUAS) yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tidak lagi mempunyai pendapatan setelah kilang mereka ditutup.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar kemudian membenarkan Kim Bok dijamin RM150,000 manakala isterinya RM100,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 10 Oktober ini.

Berdasarkan laporan akhbar pada 30 Ogos lalu, empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) di negeri ini terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.
Menurut kenyataan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ketika itu, penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, serta Rantau Panjang menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Operasi empat loji terlibat terpaksa dihentikan bermula pukul 8 pagi kerana tumpahan minyak diesel yang dipercayai berpunca dari sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan.
Katanya, keempat-empat LRA itu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) iaitu 57 peratus daripada jumlah permintaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.



Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send



Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.



Nota :

Terdapat 5 artikel yang berkaitan kejuruteraan awam di dalam blog ini. Sila Klik pada imej utk ke catatan tersebut

”smile”/

”smile”/

”smile”/

”smile”/

”smile”/

Post a Comment