Monday, April 29, 2013

PRU 13 : Satu analisa dan meramal keputusan awal pilihanraya

Anda boleh "SHARE" artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda
Klik "Send" terus ke kotak mesej Facebook rakan anda


Mungkin masih terlalu awal untuk merumuskan parti manakah yang akan menguasai kerajaan pasca PRU 13 nanti, begitu juga kita tidak dapat menjangkau apa yang terdetik di hati para pengundi. Kerana masa meraih undi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti ceramah masih rancak lagi dijalankan. Undi mungkin akan beralih dalam sekelip mata dek kerana emosi dan tanpa penerangan yang secukupnya  atau mungkin ianya juga telah dibuat ketetapan di hati walau apa pun perubahan keadaan sekeliling ataupun pertimbangan rasional yang menjadi pilihan berdasarkan fakta-fakta dan realiti semasa.

Waktu berkempen sebenarnya telah lama bertahun-tahun, tanpa ada titik nokhtah. Namun demikian, sejak PRU 12 yang lalu, telah ditetapkan waktu berkempen hendaklah ditamatkan sehari lebih awal. Maka para pengundi mempunyai masa bertenang sehari untuk membuat pertimbangan yang rasional.  Pada keesokan harinya barulah memangkah parti dan calon yang benar-benar pada dirinya akan memberikan sesuatu yang baik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jangan salah pilih, jika tidak merana 5 tahun !

Dalam Bicara Politik Menjelang PRU 13 siri ke 10 kali ini, ia dianggap hampir klimaks dalam penulisan siri ini. Jadi ia harus ada kesimpulan, sementelah hari mengundi masih ada 5 hari lagi, maka saya menganggap tulisan ini bolehlah dikatakan sebagai check list dan juga untuk mengetahui kekuatan sendiri dan apa pula strategi lawan. Seperti dalam pertandingan larian 4x400 meter, kini ia berada pada pelari yang ke 4 dan akan menghabiskan larian 100 meter. Pelari yang mempunyai daya pecutan yang paling laju sudah pasti akan jadi pemenang pertama. Dalam pilihanraya, pemenang pertama saja dikira pemenang, tiada pemenang kedua, ketiga dan seterusnya. Mereka digelar orang yang kalah !

Dalam PRU, kemenangan mutlak adalah kemenangan parti dan bukannya kemenangan individu yang bergelar YB. Perlu dingat YB bermakna Yang Bekerja didahulukan, Yang Berhormat dikemudiankan. Ia patut dijadikan slogan bagi setiap individu yang bergelar YB. Jika diterbalikan maka itulah yang berlaku pada mana-mana YB yang selalu tunjuk eksyen pada pengundi tapi tak tahu buat kerja, akhirnya ditolak sebelum pencalonan oleh parti atau ditidakkan oleh pengundi di peti undi.

Mengikut kajian, terdapat tiga pola bentuk mengundi oleh rakyat Malaysia. Pertama, yang memilih parti dari segalanya. Kerana mengikut perlembagaan kita, DYMM Di Pertuan Agong dan raja-raja bagi negeri-negeri  akan memberi perkenan kepada parti yang mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan. Oleh itu calon-calon yang walaupun tidak disukainya  tetapi mendahulukan parti maka ia akan mengundi calon tersebut.  Bagi mereka yang mengundi berpandukan pegangan dan fahaman masing-masing serta mengikut kaum juga dikategorikan dalam golongan ini.

Kedua, yang memilih calon berbanding parti. Ini biasa bersifat lokaliti. Mungkin calon tersebut mempunyai karisma tersendiri atau calon favourite yang amat disenangi dan disayangi oleh pengundi. Maka jika calon tersebut bertanding atas tiket bebas sekalipun yang mungkin disebabkan disingkirkan oleh parti sendiri ataupun tidak tercalon, maka ia juga akan berjaya memenangi kerusi. Namun ianya tidak menjadi trend di Malaysia kecuali sesekali terutamanya di Sabah dan Sarawak.  

Mata akan terarah ke Pasir Mas di mana Ibrahim Ali akan bertanding sebagai calon bebas menentang Nik Abduh, anak Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz. Ini berlaku kerana calon BN, Che Johan telah memberikan laluan kepada Ibrahim Ali walaupun telah berada di bilik penamaan calon tetapi mengambil keputusan drastik menarik diri. Ini memandangkan Ibrahim Ali memang calon favourite dan tidak mahu berlaku perpecahan undi yang akan mengakibatkan calon Pas memenanginya. Ibrahim Ali dijangka akan mengulangi kejayaan memenangi kerusi parlimen Pasir Mas.

Kes pembelotan parti kerana tidak tercalon sebagai calon parlimen membawa kepada pencalonan diri sendiri sebagai calon bebas oleh Kamila Ibrahim, bekas Naib Ketua Wanita Umno Malaysia untuk bertanding di parlimen Kuala Kangsar. Pada pengamatan ramai, Kamilia sudah pasti akan hanyut bersama labu sayung di Sungai Perak tepian Kuala Kangsar ! Ini memandangkan Kuala Kangsar adalah kubu kuat Umno dan bekas penyandangnya ialah  Rafidah Aziz.  

Ketiga, yang mengundi berpandukan check & balance dalam situasi politik semasa. Biasanya mereka ini adalah golongan berpendidikan dan atas pagar. Mungkin mereka berpendapat tidak boleh sesebuah kerajaan itu dibiarkan terlalu kuat tanpa mempunyai satu suara oposisi yang akan menjadi mata dan telinga rakyat. Maka dalam keadaan ini, yang terjadi mungkin di peringkat parlimen memilih calon yang pro kerajaan tetapi di peringkat DUN memilih calon yang pro pembangkang. Ataupun sebaliknya.

Dalam masa yang sama, kita mungkin akan dikejutkan dengan keputusan PRU nanti yang melihat pola ini mungkin terjadi. Jangan terkejut jika ada mana-mana calon BN terutamanya di kawasan majoriti Melayu akan kalah di peringkat parlimen tetapi menang di peringkat DUN, ataupun sebaliknya. Apa yang kita dengari dari sesetengah risikan mengatakan, calon si polan-si polan telah lama sangat berada sebagai YB, terutamanya sebagai ADUN. Oleh kerana inginkan sangat sebagai YB di peringkat parlimen, maka terpaksa mencantas yang lain untuk dicalonkan. Walaupun diberi keizinan bertanding tetapi penolakan terhadap calon oleh pengundi maka ia akan dikalahkan ! 

Antara isu-isu semasa yang banyak melingkari politik nasional hari ini ialah masalah yang diterbitkan dari pihak pembangkang berbanding dengan kerajaan. Tidak seperti dalam PRU 12 yang lalu, pihak kerajaan dilihat berada di kedudukan tertekan dengan pentadbiran Pak Lah dilihat tidak bermaya bagi menepis segala asakan pembangkang. Yang akhirnya berlakulah Tsunami politik yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan majoriti di parlimen dan hilang lima negeri ke tangan pembangkang.

Namun demikian, dalam PRU 13 ini tidak banyak isu yang boleh dikaitkan dengan kerajaan melainkan isu basi yang digoreng semula. Tidak habis-habis cerita korupsi dan penyelewengan dana yang tidak tentu hujung pangkalnya.

Sebaliknya di pihak pembangkang, satu demi satu krisis dan pertelagahan dipentaskan kepada umum. Strategi untuk mengubah persepsi rakyat melalui perang siber yang digunakan dalam PRU 12 dahulu tidak menjadi kerana para blogger telah berada di pihak kerajaan.

Pengumunan Manifesto Pakatan Rakyat Terlalu Awal Adalah Satu Kesilapan 

Salah percaturan dan salah timing, itulah yang dapat kita ungkapkan dengan tarikh pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat yang berlangsung di SACC, Shah Alam pada 25hb Febuari yang lalu sempena Konvensyen Pakatan yang dihadiri oleh para pemimpin tertinggi parti. Manifesto ini dibentangkan oleh Pengarah Stategi PKR, Rafizi Ramli, seorang anak muda yang agak agresif tetapi masih mentah dalam sepak terajang politik serta belum teruji di peti undi.

Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang apa yang terkandung dalam manifesto tersebut yang pada anggapan sesetengah rakyat Selangor, “Manifesto itu bukan janji”, tetapi persoalannya ialah “timing” tidak betul. Pada anggapan PR bahawa Perdana Menteri akan mengumuman pembubaran parlimen sebaik sahaja selepas Tahun Baru China. Maka mereka akan mengepalai pertempuran dalam PRU dengan mendahulukan pelancaran manifesto. Harapkan selepas pelancaran itu maka gendang PRU akan dipalu, secara tidak langsung manifesto PR akan menjadi bualan dan dihangatkan di mana-mana. Percaturan PR nampaknya meleset ! Perdana Menteri tidak mengumumkan pembubaran parlimen sehinggalah pada 23hb Mac yang lalu. 

Maka dari tarikh pelancaran manifesto PR sehingga tarikh pembubaran parlimen atau dengan lebih spesifik sebagai perbandingan “apple to apple” ialah tarikh pelancaran Aku Janji Barisan Nasional oleh Perdana Menteri pada 6hb April yang lalu di Stadium Tertutup Bukit Jalil.  Maka ruang waktu antara keduanya, PR tidak banyak boleh mengaitkan janji-janji manifestonya dan secara tidak langsung manifesto PR telah membeku di peti sejuk. Harapkan panas membahang tetapi kesejukan yang mendatang. Berlainan pula dengan pelancaran manifesto BN yang lebih dimengertikan sebagai “Aku Janji” dibuat selepas pembubaran parlimen, maka ia terus-menerus dihangatkan sehinggalah ke tarikh pengundian.

Selain daripada timing tak betul, manifesto PR yang dirangka oleh sekumpulan “young ciku” yang diketuai oleh Rafizi Ramli sendiri, telah menjadi bahan gurauan dan krikitan yang amat panas di warung-warung kopi, akhbar-akhbar, televisyen, Facebook dan juga blog-blog dalam durasi yang agak lama juga. Bukan yang terbaik dipaparkan tetapi kandungannya yang agak dangkal dan tidak realistik. Ini menggambarkan mereka yang terlibat dalam merangka manifesto itu adalah dari kalangan yang belum pernah mentadbir negara.  

Yang peliknya para blogger pro PR atau mereka yang sendiri terlibat dalam kepartian dalam PR tidak banyak membuat “self defence” atau “counter attact” bagi membetulkan presepsi tersebut. Maka ia menjadi “senjata makan tuan” sebelum peluru dimuntahkan dalam PRU !

Apakah manifesto PR harus dijadikan janji apabila berjaya memperolehi Putrajaya nanti ? Jika betul seperti dikata, apakah negara akan lebih baik atau terjerumus ke dalam kancah kebangkrapan lantaran lebuhraya tol free, PTPTN tak payah bayar balik dan beberapa jenis gula-gulaan yang tidak realistik dari sudut ekonomi. Namun tidak dinyatakan dari mana pula sumber wang untuk membiayai “lompong” itu.  Ia hanya satu andaian yang tidak berpijak di bumi nyata. Apakah ianya juga satu “janji yang tak perlu ditunaikan”.

Sedangkan dalam pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang sekalipun tidak mampu untuk menghapuskan tol Sungai Nyior dalam kawasan Parlimen Bagan yang mana Lim Guan Eng sendiri adalah ahli parlimennya yang masih  dikenakan tol 50 sen, inikan pula bagi memansuhkan tol Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Timur Barat dan semua lebuhraya lain di Malaysia. Seseorang yang separuh rasional sekalipun akan bertepuk dahi, betul ke begitu ? Belumpun reda isu tol, Lim Guan Eng timbul dengan idea untuk membina  terowong Pulau Pinang yang bakal dikenakan tol pulak ? Apakah ini tidak kelakar ?


Perhatian ! Ini adalah iklan :
Saya telah menulis mengenai teori pembinaan terowong Pulau Pinang dari sudut teknikal, di mana saya sendiri pernah terlibat sebagai seorang jurutera awam dalam pembinaan terowong di tempat lain. Klik sini 



Kekalutan dalam pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat

Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sejak beberapa bulan dahulu telah mendabik dada bahawa Pakatan Rakyat telah habis membuat pembahagian kerusi di mana katanya 90% telah dapat diselesaikan, hanya yang tinggal 10% dalam pertikaian. Ia bukan sahaja melibatkan DAP, PKR dan Pas serta sekutu tidak rasminya iaitu PSM serta yang melibatkan parti-parti tempatan pembangkang di Sabah dan Sarawak. Namun demikian, sehingga di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon masih lagi bertekak.

Akhirnya Pas dan PKR terpaksa bertembung di enam kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Ini tidak termasuk pertikaian antara PSM dan Pas serta PKR dan PSM bagi merebut kerusi DUN Kota Damansara dan Semenyih. Walaupun akhirnya terdapat beberapa kerusi yang calonnya menarik diri sebagai kompromi parti selepas penamaan calon, tetapi ia menampakkan kerakusan setiap parti dalam Pakatan Rakyat bagi menambah kerusi masing-masing serta mencurigai rakan parti lain.

Pada khalayak ramai berpendapat, belumpun mendapat kuasa di Putrajaya sudah berebut kerusi antara sama sendiri untuk menjadi calon, apakah tidak akan ada pertelingkahan dalam pembahagian portfolio kementerian jika benar-benar diberikan peluang ?  Ini tidak terjadi kepada Barisan Nasional yang mempunyai 14 buah parti komponen tetapi telah membuat agihan yang lancar, bahkan telah memecah tradisi dengan mengumumkan calon-calon lebih awal daripada biasa.

Habis madu sepah dibuang

Kita digegarkan dengan demostrasi dalam siri BERSIH di Kuala Lumpur serta beberapa tempat di seluruh negara bahkan ada yang membuat bantahan yang serupa di Mekah serta Kota London. Siapa yang agak menonjol di barisan hadapan dalam BERSIH ? Kita amat kenal dengan nama S. Ambiga. Selepas “jasanya” diperah untuk mengepalai BERSIH yang dikatakan anjuran NGO tetapi di belakangnya ialah Pakatan Rakyat. Namun nama Ambiga tidak tersenarai dalam mana-mana NGO yang dicalonkan bagi kerusi parlimen ataupun DUN dalam PRU 13 ini. Bahkan dikatakan Ambiga merajuk kerana diketepikan, cuma membuat penampilan yang kecil di sana sini bagi merawat hati yang rajuk.  Ia tidak sama dengan peluang yang diberikan kepada Tenaganita melalui Irene Fernandez dalam PRU ke 11 tahun 2004 dahulu.

Begitu juga di mana perginya sastrawan negara  A.  Samad Said ketika negara dalam rancak berkempen. Apakah A. Samad Said dilesukan dalam “Sungai Mengalir Lesu”. Ketika BERSIH beliaulah diheret ke sana sini, bahkan orang tua ini dijadikan ikon orang seni dalam bantahan politik. Tetapi akhirnya yang diangkat ialah bukan sastrawan yang membina minda bangsa tetapi artis yang terkinja-kinja di pentas sebagai calon. Aisyah yang popular dengan Janji Manismu bertanding di Jempul melawan Isa Samad dan Dayangku Intan di Pengerang melawan Azalina Othman Said. 

Bukanlah kita berhajat sangat agar A. Samad Said diketengahkan sebagai calon, bahkan beliau sendiri mungkin tidak berniat demikian, namun yang menjadi mushkil ialah tidak nampak sangat “jasanya” dalam BERSIH diangkat dalam PRU oleh Pakatan Rakyat. Mereka telah merompak hasilnya lalu membiarkan dia di tepi jalan ! Kesian, itulah nasib seorang sastrawan negara yang tersalah pilih jalan. Apakah kita juga mahu tersalah pilih ? Tepuk dada tanya akal !

 Apakah ini dinamakan habis madu sepah dibuang ? Siapa menggunakan siapa ? Siapa dikuda dan siapa duduk berkuda ? Apakah ini telatah Pakatan Rakyat ? Jika mereka sanggup mengenepikan “ikon” yang mereka sanjungkan dalam BERSIH maka jika dapat memerintah nanti, apakah “rakyat” akan mendapat pembelaan ?

Pertembungan maut Lim Kit Siang Lwn Ghani Othman, Anwar Ibrahim Lwn Mazlan Ismail, Zulkifli Noordin Lwn Khalid Samad

Lim Kit Siang turun ke Johor mahu cari kubu baru ! Setelah kubu lamanya yang berselerak dari Bandar Melaka, Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjung, Ipoh Timur semuanya tak lekat lama. Apakah di hujung usia karier politiknya ingin mencari suaka di negeri kelahirannya ?  Yang menjaga kubu di Gelang Patah ialah tuannya sendiri iaitu Ghani Othman.  Apakah orang Johor khususnya orang-orang Melayu Johor yang memang kuat sentimen menjunjung pemimpin serta di mana Umno dilahirkan di Istana Johor dan dikatakan sebagai kubu kuat Umno  rela melihat tuannya gugur di bumi sendiri ? Biar berputih tulang, jangan berputih mata ! Sebenarnya Lim Kit Siang telah tersalah percaturan, yang sedia menunggu ialah kuburnya di Gelang Patah !

Karier Anwar Ibrahim mungkin akan bertukar sebagai pensyarah seperti yang diuar-uarkan olehnya sendiri. Memandangkan yang akan merobek kerusi Permatang Pauh ini walaupun anak jati Permatang Pauh yang merupakan muka baru tetapi ia harapan parti dan penduduk Permatang Pauh sendiri. Dengan berbekalkan kelulusan akademik PhD dan ketokohannya dalam korporat GLC di TNB, ia menjadi igauan Anwar Ibrahim. Ini ditambah latar belakang Mazlan sebagai bekas Naib Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang dan pernah menjadi Pengarah Pilihanraya Pas bagi tahun 1999 dan 2004. Jika Anwar menang sekalipun ia hanyalah cukup makan sahaja. Tetapi jika Mazlan menang, ia satu sejarah kejatuhan pembangkang dan beliau dianggap sebagai giant killer !

Keputusan meletakkan Zulkifli Noordin sebagai calon BN di Shah Alam walaupun beliau tidak menganggotai mana-mana parti Barisan Nasional, namun ketokohan beliau sebagai ahli parlimen PKR yang kemudiannya menjadi anggota bebas tetapi menyokong BN telah menjadikan beliau satu aset besar untuk menumbangkan penyandang kerusi dari Pas iaitu Khalid Samad. Tambahan pula Naib Presiden Perkasa ini mendapat dokongan padu daripada penduduk Melayu yang menjadi majoriti pengundi Shah Alam. Daripada risikan yang didengari memang Khalid Samad dah kecut perut.

Jika Lim Kit Siang terkubur di Gelang Patah, Anwar Ibrahim Pauh melayang dan Khalid Samad tersungkur di Shah Alam, maka di tempat-tempat lain bolehlah dikira menuai hasil padi menguning !

Pertentangan dasar parti menimbulkan kecelaruan hala-tuju Pakatan Rakyat

DAP masih menebal dengan Malaysian Malaysia ala sosialis. Didokongi oleh ahli-ahli, pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang majoritinya dari keturunan Cina walaupun terdapat juga sedikit dari kalangan India dan Melayu. Susah untuk mengatakan kesepakatan mereka dalam Pakatan Rakyat demi satu Malaysia yang adil dan saksama. Mereka inginkan kesamarataan dalam hak dari segi undang-undang seperti peribumi tetapi tidak mahu memberikan hak kek ekonomi untuk diberikan samarata kepada orang lain. Itulah DAP.

Pas yang diasaskan sebagai parti yang bertunjangkan Islam tetapi telah melalui pengubahsuaian bagi menerima fahaman sekular dan sosialis serta pluralisme ugama yang diterapkan oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Namun demikian  ia mendapat tentangan dari sebahagian ulama dan pucuk pimpinannya sendiri serta akar umbi yang mahukan Pas kembali kepada asal. Lantaran itu Pas dalam dilemma krisis jati diri samada ingin terus mengikat dengan PKR dan DAP untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat atau keluar sendiri seperti yang dahulunya.

Pas telah rosak kredibilitinya terutama selepas Hadi Awang bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Walaupun telah buat U turn tetapi ia tidak berhenti di situ. Bahananya ditanggung oleh Pas bukan sedikit.

PKR adalah sebuah parti yang tidak bertunjangkan apa-apa ideologi atau keugamaan maka ia mudah untuk menerima apa jua fahaman yang berbentuk duniawi. Maka ia berbentuk pluralism dalam keahlian parti yang pelbagai bangsa, ugama dan fahaman hidup yang mirip human right seperti mengiakan LGBT, transgender dan lain-lain. Dalam politik ia pada asalnya ialah untuk mengangkat kembali Anwar Ibrahim yang dikatakan dianiaya oleh Umno khususnya Tun Dr. Mahathir. Seterusnya Gerakan Reformasi  dan yang akhirnya menonjolkan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Semasa DAP menghadapi krisis dan saat-saat genting dua hari sebelum hari penamaan calon disebabkan surat dari ROS yang telah disalahertikan oleh DAP sendiri, ia telah memohon Pas dan PKR agar membenarkan penggunaan logo mereka untuk calon-calon DAP. Pas telah mendabik dada mengatakan DAP telah lebih Islamik, dan dikhabarkan DAP telah bersetuju jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya maka Hadi Awang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri dan bukannya Anwar Ibrahim.

Namun seperti melepaskan anjing tersepit atau si kerbau melepaskan buaya yang dihempap batang pokok seperti yang pernah kita baca dalam cerita rakyat, DAP tidak pernahpun berterimakasih kepada PAS yang mana setiap calon DAP di Semenanjung juga telah diberikan watikah PAS sebagai pelan kecemasan sekiranya logo roket tidak boleh digunakan dalam PRU 13. Selepas sahaja DAP melepasi halangan itu, Karpal Singh telah menyanggah Pas bahawa tujuan mereka meminta kebenaran dari Pas bagi penggunaan logo Pas dalam PRU bukanlah bermakna DAP menyokong dasar-dasar Pas terutamanya dalam isu hukum hudud. Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Lim Kit Siang yang menyokong Karpal.

Dalam kekalutan itu Ustaz Haron Din telah bersuara, jika begini Pas akan terus kepada asal penubuhannya iaitu mengikut hukum hudud. Dan Pas lebih rela keluar Pakatan. Pas terasa telah dimainkan oleh sekutunya sendiri. Apatah lagi Karpal memang dari dulunya tidak pernah menyetujui hasrat Pas itu dan pendirianya tetap konsten. Karpal Singh tidak berhenti di situ sahaja, bahkan telah mencabar agar “bakal Perdana Menteri”, Anwar Ibrahim menyatakan pendirian PKR dalam isu ini. Sehingga hari ini Anwar masih membisu ! Jawab mati anak, tak jawab mati bapak !

Peluru sudah meledak, cuma bagaimana Anwar nak taici. Dalam kekalutan yang menyelubungi Pakatan Rakyat di saat-saat menghadapi separuh masa kempen pilihanraya, kita pening kepala, jika benarlah Pakatan Rakyat diberi mandat untuk ke Putrajaya, bagaimana agaknya halu-tuju negara di masa hadapan ?

Peluang BN untuk merampas Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor

Hanya Datuk Mustapa Mohamed sahaja dari kalangan pemimpin BN yang bertanding dalam dua kerusi. Di peringkat parlimen Tuk Pa mempertahankan kerusi Jeli, manakala DUN menerjah ke Air Lanas. Gelombang Merah dikatakan mampu untuk merobek Pas Kelantan dan membawa Kelantan ke pangkuan Barisan Nasional. Tuk Pa disediakan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Nik Aziz. Yang penting suasana “cah keting” di Kelantan tidak berlaku lagi.

Di Kedah sudah pasti Datuk Azizan mengucapkan selamat tinggal kepada kerusi Menteri Besar. Yang bakal duduk di sana ialah Mukhriz Mahathir. Tun Dr. Mahathir Mohammad dilihat begitu bersemangat berada di belakang BN dengan berkempen di seluruh negara dan sudah tentu menjadi impak yang cukup kuat bagi menawan Kedah. Ini tidak berlaku semasa PRU 12 dahulu kerana Pak Lah “bermasam muka” dengan Tun.

Pulau Pinang sukar untuk diramal kerana pengaruh DAP yang kuat di kalangan kaum Cina. Di kawasan Melayu, Umno dijangka menambah kerusi dan Pas tidak akan diberi peluang untuk bertapak. Melihatkan parti-parti Cina, MCA dan Gerakan yang semakin agresif maka dijangka kerusi BN akan bertambah. Secara tidak langsung, jika sekalipun DAP masih dapat mencengkam Pulau Pinang, pada pendapat saya ia adalah sebuah kerajaan tergantung, yakni sebuah kerajaan yang lemah dengan majoriti kerusi yang tipis. Jika sebaliknya berlaku pada Barisan Nasional, keadaan yang sama mungkin berlaku. Bolehlah dikatakan 50:50.

Kita gembira kerana Selangor dijangka kembali diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional. Bagi mereka yang tinggal di Selangor telah merasai betapa dalam lima tahun di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim yang kononnya bekas tokoh korporat tetapi tidak berupaya menterjemahkannya dalam pentadbirannya. Malah Anwar Ibrahim yang menjadi penasihat ekonomi kerajaan Selangor juga tidak mampu berbuat apa-apa. Masalah demi masalah timbul. Khalid Ibrahim yang diusir dari Ijok telah dibiarkan mengalir ke DUN Pelabuhan Klang. Apakah Khalid Ibrahim akan hanyut di pelabuhan dalam PRU 13 nanti ?

Sabah dan pencerobohan Lahad Datu oleh durjana Kiram

Semasa pencerobohan oleh askar-askar Kiram ke atas Lahad Datu, seluruh dunia khususnya rakyat Malaysia memberi perhatian kepada pergolakan ini. Yang dikaitkan ialah Tian Chua, Anwar Ibrahim dan beberapa nama lagi, mereka dianggap punyai nama busuk dalam krisis ini dan secara tidak langsung terpalit dalam karier politik mereka. Perancangan dan strategi ATM dan PDRM dalam menangani krisis ini telah menaikkan semangat patriotism di kalangan rakyat khusunya di Sabah. Kerja-kerja membangunkan semula penempatan yang baru memberi harapan kepada rakyat.  Ini diikuti oleh penubuhan Esscom yang bertujuan memperkasa kedaulatan di perairan timur Sabah serta memberi rahmat kepada rakyat Sabah khususnya.

Dalam perebutan kerusi-kerusi DUN dan parlimen di Sabah, Barisan Nasional dijangka akan mengekalkan fixed deposit dari sini, bak kata orang Sabah, TATAP BN !

Kesimpulan ramalan awal keputusan PRU 13

Saya bukan Tuk Nujum moden atau bukan Pak Belalang moden yang boleh memberikan ramalan. Namun “ramalan” saya adalah berpaksikan beberapa hujah dan senario semasa terutamanya selepas hari penamaan calon minggu lepas.

Tidak syak lagi, pada pandangan saya Barisan Nasional akan kembali berkuasa di Putrajaya. Bukan sahaja akan memperolehi Kedah dan Selangor, malah kalau tak silap kira-kira, Kelantan dan Pulau Pinang juga masih terbayang-bayang ! Dalam simple mathematik, setelah diambil kira kerusi-kerusi parlimen dari negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, adalah tidak sukar untuk menambah jumlah kerusi kepada sekurang-kurangnya 160 kerusi. Jika dapat lebih daripada itu dikira bonus. Jika minima 148 kerusi pun sudah dikira menang majoriti 2/3. 

Kempen yang dijalankan oleh Barisan Nasional khususnya yang berskala kempen perdana yang dibuatkan oleh Perdana Menteri dan timbalannya telah memberi impak yang sangat besar terhadap deman pilihanraya yang menggegarkan Kelantan dengan Gelombang Merah dan lain-lain tempat dengan Gelombang Biru.

Nasib Lim Kit Siang sudah pasti terkubur di Gelang Patah. Ini kerana Lim Kit Siang bukan sahaja berdepan dengan Ghani Othman di Gelang Patah tetapi juga jentera BN khususnya Umno dari Johor Bahru pimpinan Shahrir Samad dan Khaled Nordin dari Pasir Gudang. Ketiga-tiga ini membentuk segi tiga bagi mempertahankan Gelang Patah.  Khaled Nordin pula dijangka akan diangkat sebagai Menteri Besar Johor yang baru. Bolehlah dikatakan seluruh Tanjung Puteri akan membirukan awan supaya roket tidak nampak bulan lalu jatuh kembali menyembah bumi !

Khalid Samad bakal berputih mata di Shah Alam. Nampaknya nasib penyandang kerusi DUN Batu Tiga yang juga bekas Exco Kerajaan Negari Selangor, Rodziah Ismail  akan serupa dengan Khalid Samad apabila BN mempertaruhkan Datuk Ahmad Nawawi sebagai calon, yang merupakan calon favourite untuk menduduki kerusi Menteri Besar selepas era Khalid Ibrahim. 

Nasib parti-parti politik pembangkang dijangka bertambah suram. Sudah pasti DAP akan menghadapi krisis yang berpanjangan selepas PRU 13 nanti ekoran persidangan agongnya tahun 2012 yang mana AJK tertinggi  tidak diiktiraf oleh ROS.  Sudah pasti DAP terpaksa memanggil semula persidangan yang baru atau menghadapi kemungkinan diharamkan seperti yang pernah terjadi kepada Umno dahulu. Di samping prestasi DAP dalam PRU 13 dijangka menjunam !

Di Selangor DAP nampaknya kehilangan taring. Bekas Exco Kerajaan negeri Selangor,  Terresa Kok dan Ronnie Liu digugurkan dari bertanding kerusi DUN. Begitu juga dengan Jenice Lee bagi DUN Teratai tidak tersenarai lalu bertindak menjadi calon bebas yang akhirnya dipecat dari DAP. Manakala Teo Nie Ching yang menyandang kerusi parlimen Serdang lari ke Kulai, Johor setelah menyedari calon popular Datuk Yap Pian Hon dari BN menjadi calon di situ. 

Pemimpin Hindraf, Manoharan yang ditahan di bawah ISA gara-gara demonstrasi Hindraf dahulu dan menjadi calon DAP dan memenangi DUN Kota Alam Shah pada PRU 12 yang lalu walaupun masih berada dalam tahanan ketika itu, tetapi kini beliau digugurkan oleh DAP. Para penyokongnya bangun memberontak lantaran DAP tidak menghargai peranan beliau dan semasa penamaan calon yang mewakilkan isterinya dan berkempen semasa PRU 12 dahulu.  Seorang lagi pemimpin Hindraf, iaitu presidennya, P. Uthayakumar telah bertanding sebagai calon bebas di DUN Sri Andalas bagi menentang bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PKR, Dr. Xavier Jayakumar. Beliau juga menentang seorang lagi bekas Exco Kerajaan Negeri dari Pas iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud  di parlimen Kota Raja. Nampaknya perpecahan demi perpecahan dalam Pakatan Rakyat semakin terserlah. Akhirnya undi akan mengalir ke Barisan Nasional.

PKR akan bertambah pecah mencari belah, dan sekiranya Anwar Ibrahim kalah di Permatang Pauh, apakah benar Anwar Ibrahim akan mengkotakan janjinya untuk berundur dari politik dan menjadi penstarah universiti ? Jika benar apa yang dikata, apakah nasib PKR akan serupa dengan Semangat 46 yang juga merupakan parti serpihan Umno.

Pas akan berada di persimpangan ! Isu video seks Mustafa Ali tidak akan reda walaupun selepas PRU 13 nanti. Jika ramai pemimpin Pas yang kecundang dalam PRU 13 nanti, apakah golongan Anwarinas akan lebih menonjol dalam AJK Pas pusat atau golongan ulama akan kembali menjadi penyelamat serta Pas kembali ke landasan asal.

Jika ketiga-tiga parti yang menganggotai Pakatan Rakyat menerima bahana yang amat sangat dalam PRU 13 nanti, apakah nasib dan survival Pakatan Rakyat akan berterusan ? Kita tunggu lewat malam 5hb Mei nanti apabila semua keputusan PRU 13 diumumkan. 

Selamat mengundi. Tunaikan kewajiban untuk negara !



Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

29.04.2013


Post a Comment