Thursday, April 18, 2013

PRU 13 : PAS berada di persimpangan



Saya melihat PRU 13 adalah titik persimpangan bagi Pas. Bolehlah ditakrifkan Pas yang kini sebelum 5hb Mei dan Pas pasca PRU 13 adalah dua senario yang berbeza. Ini adalah gara-gara kerusi yang akan menentukan survival Pas dalam landskap politik Malaysia. Seterusnya ia akan digambarkan dalam struktur organisasi dan kepimpinan Pas dan hala tujunya selepas itu.

Sesungguhnya PRU 13 juga akan menentukan hidup mati karier politik bagi sesetengah ikon penting dalam harieki kepimpinan Pas sama ada di peringkat bahagian, negeri maupun pusat. Apakah golongan yang dinamakan Anwarinas akan lebih berkuasa di dalam Pas atau sebaliknya atau golongan ulama akan mengambil tempat yang lebih dominan dalam menentukan hala tuju Pas . Ini juga bergantung kepada karier politik rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat khususnya Anwar Ibrahim  dan Lim Kit Siang yang dikatakan akan bertemu buku dengan ruas dalam pertarungan di Permatang Pauh dan Gelang Patah. Jika kedua-duanya kecundang, maka secara relatifnya Pas juga akan menerima nasib yang sama.  Maka kelangsungan Pakatan Rakyat akan menjadi tandatanya.

Pas yang berteraskan Islam sebagai ideologi kepimpinan namun telah diolah kemudiannya bagi menyesuaikan dengan keadaan politik rakan-rakannya yang lebih liberal, sosialis demokratik dan keterbukaan. Namun dalam perlaksanaannya telah menemui pelbagai halangan lantaran ia telah melanggar fundamental pegangan parti yang akhirnya telah menjerumus Pas  dalam krisis kepercayaan oleh anggota-anggota  parti sendiri dan khalayak ramai. Ia digambarkan Pas telah berubah dari asas  yang dicetuskan oleh pengasasnya dahulu serta pembawakan kesederhanaan yang diterapkan oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Noor.

Pas yang didominasikan oleh orang-orang Melayu yang berideologikan keIslaman dan Umno yang berkonsepkan kebangsaan, sehingga kini masih belum menampakkan tanda-tanda satu titik pertemuan yang menguntungkan umat Melayu Islam keseluruhannya.  Walaupun pernah ada usaha yang dilakukan untuk tujuan perpaduan itu, namun ianya berakhir dengan kegagalan dan kata putus dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz. Beliau masih menebal dengan fobia terhadap pengalaman pahit kerjasama antara Umno dan Pas dahulu dalam era Tun Abdul Razak tetapi terungkai ikatan semasa era Tun Hussien Onn.

Beliau sering mengungkapkan “Pas dari satu pecah tiga” sebagai pengalaman pahit dan berkerat rotan dengan Umno yang juga mendokong Islam. Maka dengan itu beliau lebih rela bekerjasama dengan syaitan, maka apakah syaitan itu dengan jelas dimaksudkan dengan  DAP dan PKR ? Apakah ianya akal kekal selagi hayatnya atau selagi beliau berada dalam kepimpinan Pas. Mungkin tidak ramai yang mengetahui maksud sebenar “Pas dari satu pecah tiga”. Saya terangkan latar belakangnya seperti berikut.

Setelah peristiwa 13 Mei tahun 1969, kuasa Melayu makin terhakis. Negeri-negeri yang Melayu menjadi minoriti seperti Pulau Pinang semakin terhimpit. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak terpaksa berpakat dengan Yang DiPertua Agong (sekarang Presiden) Pas, Datuk Asri Haji Muda untuk menyatukan orang-orang Melayu, maka gagasan Barisan Nasional ditubuhkan dalam tahun 1973. Dalam masa yang sama, Gerakan yang dahulunya adalah pembangkang juga telah bersama dalam pembentukan kerajaan perpaduan ini.  Maka selepas pilihanraya tahun 1974, Umno dan Pas dengan rasminya  telah membentuk kerajaan campuran di peringkat persekutuan dan Kelantan.

Dalam pentadbiran BN (1973-1978) yang mana kerusi banyak dimenangi oleh Pas berbanding Umno yang mana telah memperlihatkan ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin Pas termasukalah Nik Aziz yang ketika itu menjawat sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Mereka mengatakan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir begitu berlembut dan menuruti saja arahan kerajaan pusat dan Tengku Razaleigh Hamzah. Maka pada tahun 1977 berlaku krisis undi tidak percaya kepimpinan yang menyingkirkan Muhammad Nasir dan kemudiannya Datuk Asri juga telah disingkir dari Pas dalam tahun 1978. Darurat kemudian diisytiharkan yang menyaksikan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat. Di akhirnya memperlihatkan Umno dan Pas terpaksa bercerai. Maka dengan itu Kelantan terpaksa mengadakan pilihanraya kecil pada mac 1978.

Muhammad Nasir yang tersingkir dari Pas menubuhkan parti Berjasa lalu bekerjasama dengan Umno dan memenangi pilihanraya tahun 1978. Sejak dari itu Pas menjadi pembangkang. Dalam pilihanraya tahun 1982 sekali lagi Berjasa bekerjasama dengan Umno-BN. Bagaimanapun pilihanraya 1986 Berjasa tidak mengambil bahagian kerana terkeluar dari BN. Berjasa kemudiannya telah bekerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46 yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah ekoran krisis Team A dan Team B dalam Umno yang mengakibatkan pendaftaran Umno dibatalkan.

Datuk Asri kemudiannya menubuhkan parti Hamim tetapi kepimpinannya tidak lama. Kemudiannya beliau menyertai Umno. Begitulah perpecahan orang-orang Melayu dalam politik. Pada asalnya pun Pas adalah terlahir dari rusuk Umno. Dari Pas berpecah kepada Berjasa dan kemudiannya kepada Hamim. Inilah yang dimaksudkan dari Pas pecah tiga.

Dalam PRU 13 ini, parti Berjasa yang sekian lama “terpendam” dikatakan akan mengambil bahagian dengan bekerjasama dengan sebuah NGO, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) untuk bertanding dalam beberapa kerusi majoriti Melayu Islam di negeri-negeri pantai barat. Namun demikian, apakah dengan ini Melayu akan lebih berpecah sedangkan dalam kenyataan mereka bahawa penyertaannya dalam pilihanraya ini sebagai kuasa ketiga. Dakwaan yang dianggap longgar dan tidak punyai “taring” untuk menarik orang-orang Melayu bagi menyokongnya. Tidak dinafikan parti Berjasa memang pernah berjasa di Kelantan satu ketika dahulu tetapi tidak di pantai barat. Dalam masa yang sama, pada pemahaman khalayak ramai, kuasa ketiga yang lebih menonjol ialah Jalur Tiga (Jati) pimpinan Datuk Dr. Hassan Ali dan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali.

Datuk Dr. Hassan Ali sebelum ini pernah dikaitan akan ditawarkan untuk bertanding di parlimen Shah Alam tetapi tidak menjadi kenyataan. Presiden Jati itu tetap dengan pendirian bagi meneruskan perjuangan kuasa ketiga melalui Jati. Namun demikian, Naib Presiden Perkasa yang juga bekas ahli Pas tetapi bertanding atas tiket PKR yang juga bekas ahli parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin dicalonkan di parlimen Shah Alam bagi tiket BN atas kapasiti Rakan BN, satu jenama baru dalam PRU 13 ini. Ia secara tidak langsung berperanan membunuh karektor penyandang kerusi Shah Alam iaitu Khalid Samad. Jika Khalid Samad kecundang di Shah Alam, ia menambah parah bagi Pas.

Berbalik kepada Pas yang berjaya membentuk kerajaan sendiri di Kelantan  dalam pilihanraya tahun 1990 yang diketuai oleh Datuk Nik Aziz  dan telah terus-menerus mentadbir Kelantan sehinggalah pembubaran DUN baru-baru ini. Setelah 23 tahun berada dalam kerajaan Pas, gelombang “tukar” oleh rakyat Kelantan semakin memuncak.

Begitu juga kekalutan dalam pentadbiran kerajaan Pas di Kedah telah menyaksikan pelbagai andaian bahawa dalam PRU 13 ini kerajaan yang diterajui oleh Datuk Azizan akan tumbang. Ini diperkuatkan dengan pencalonon Datuk Mukhriz Mahathir di DUN Ayer Hitam. Ia dikatakan bakal Menteri Besar Kedah selepas PRU 13 ini. Jika ini berlaku, Pas makin terhimpit !

Dalam senarai calon-calon PRU 13 yang melibatkan Kelantan, hanya Datuk Mustapa Muhamed yang lebih dikenali sebagai Tuk Pa bertanding bagi kerusi parlimen Jeli dan DUN Air Lanas. Ini menguatkan lagi komited parti BN akan menawan Kelantan dan melantik Tok Pa sebagai Menteri Besar yang baru. Pada pandangan saya, sekiranya pun Pas berjaya mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan, ia hanyalah sebuah kerajaan DUN tergantung. Sebuah kerajaan yang lemah. Dan dikhuatiri juga mungkin Datuk Nik Aziz sendiri tidak berupaya menjadi Menteri Besar. Secara tidak langsung, Pas akan berada di persimpangan. Talian hayat karier politik Datuk Nik Aziz akan berada di penghujung ufuk.

Jika dilihat secara meluas selepas Pas “berkahwin” tanpa sijil nikah dengan PKR dan DAP sejak beberapa tahun lalu, perkahwinan itu walaupun ada buruk ada baiknya, tetapi ia tidak banyak memberikan impak terhadap “kerusi” Pas di peringkat nasional.  Ini kerana ketiga-tiga parti ini hanya “berpakat” untuk menumbangkan kerajaan BN tetapi tidak disatukan dalam bentuk “perikatan” yang sah disisi undang-uandang.  Mereka masih mengekalkan identiti dan polisi masing-masing serta tidak mempunyai perlembagaan serta perlambangan yang sama. Maka dengan itu dalam pilihanraya juga terpaksa menggunakan lambang parti masing-masing. Padahal bagi BN telahpun mempunyai satu ikatan yang kukuh dari 14 buah parti komponen.

Rentetan itu, maka terjadilah perebutan kerusi, yakni perebutan wilayah yang ingin ditandingi. Sehingga di saat-saat akhir 2 hari lagi sebelum penamaan calon pada 20hb ini dikhabarkan masih ada lagi kerusi-kerusi yang masih dalam pertikaian. Pakatan pembangkang juga telah menangguhkan pengumuman senarai penuh calon mereka di Negeri Sembilan sebanyak dua kali iaitu pada Sabtu dan Selasa lepas kerana dipercayai mempunyai masalah dalam pemilihan calon.  Ini menunjukkan berlaku keseriusan percanggahan dalam pembahagian kerusi. Suasana ini tidak pernah berlaku dalam kem pembangkang di masa-masa dahulu. Walaupun dalam PRU 12 dahulu, mereka masih cepat memuktamadkan calon-calon walaupun ada yang dianggap calon “batang pisang” sekalipun tetapi masih boleh menang.  

 Ini banyak melibatkan pertikaian antara Pas dan PKR. Manakala PKR pula berebut dengan DAP. Khalayak berpendapat, sebelum mendapat kuasa sudah berebut-rebut, inikan pula apabila diberi peluang ke Putrajaya. Jika Pas gagal dalam perebutan kerusi untuk dipertandingkan dari kalangan Pakatan Rakyat, maka Pas akan dianggap lemah dan tidak punyai kuasa tawar-menawar. Apatah lagi kekedukannya sekarangpun dalam Pakatan Rakyat seperti melukut di tepi gantang. Jika berlarutan, Pas yang berdiri di tepi gantang mungkin akan terjatuh ke bawah.

Di Perlis, perebutan kerusi Parlimen Kangar menyaksikan pertembungan antara calon PKR, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan Pas yang mencalonkan anggota Jawatankuasa Perhubungan negerinya, Baharuddin Ahmad. (Klik utk berita terbaru ; Juanda tidak bertanding atas tiket PKR

Kerusi DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang pula menyaksikan pertindihan calon pakatan pembangkang yang melibatkan Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin yang bertanding atas tiket PKR, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Md Piah. 

Dalam hal ini khalayak akan membandingkan BN yang dianggotai oleh 14 buah parti dapat melincinkan pembahagian kerusi dengan lancar lantaran punyai pengalaman dan pemuafakatan yang kukuh sebelum piliharaya,  dan tentunya pengalaman lama dalam pentadbiran kerajaan persekutuan menjadi taruhan.  Dari aspek ini mampukah slogan “ubah” oleh pembangkang mengubah persepsi rakyat bahawa kerajaan sedia ada perlu diubah.

Jika Pas dan sekutunya gagal untuk mengubah persepsi rakyat, maka Pas akan terpaksa “diubah’ oleh rakyat dalam PRU 13 nanti. Akibatnya jika pemimpin-peminpin utamanya tersungkur, maka Pas juga akan terpalit. Perubahan drastik pasti berlaku.  Melihat daripada senario semasa, Pas dalam kritikal. Ia berada di zone merah di penghujung simpang.

Kerosakan yang amat besar ditanggung oleh Pas adalah gara-gara persetujuan Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim  mengiakan saranan Lim Guan Eng bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan peneribitan Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah. Ia bukan sahaja mendapat tentangan yang menyeluruh dari umat Islam malah perpecahan dalaman di kalangan pemimpin Pas sendiri. Ini dilihat Pas sanggup menggadai maruah dan akidah Islam demi perjuangan politik bersama rakan-rakan pluralisme, LGBT, sosialis demokratik. Apakah Pas boleh dipertaruhkan untuk memperjuangkan Islam dalam Pakatan Rakyat jika mereka berjaya merebut Putrajaya nanti. Kredibiliti Pas dipersoalkan. 

Kekalutan dalam persidangan Agong DAP tahun lepas yang menyaksikan masalah kesilapan kira undi yang menyebabkan  kemungkinan DAP dibatalkan pendaftarannya oleh ROS telah menyebabkan Lim Kit Siang awal-awal lagi telah menyuarakan kepada Pas dan PKR agar membenarkan penggunan logonya dalam PRU 13 nanti.  Sekali lagi Hadi Awang telah membelakangi ahli parti dengan bersetuju dengan alasan Pas dan DAP mempunyai persefahaman dalam konsep resolusi yang disepakati dalam Pakatan Rakyat. Namun kenyataan itu menimbulkan keresahan dan bantahan di peringkat akar umbi. 

Namun demikian, video seks yang dikatakan menyerupai Setiausaha Agong Pas, Mustafa Ali mempunyai ranking yang paling tinggi bagi menyenakkan pemimpin Pas.  Kecelaruan dalam kepimpinan Pas mendesak diadakan siasatan dalaman serta laporan polis dibuat lagi membersihkan nama Mustafa Ali. Mengikut perkhabaran angin ianya dilakukan oleh orang-orang Pakatan Rakyat sendiri untuk menikam Mustafa dari belakang. Dalam suasana mood pilihanraya ini, Pas terpaksa berhadapan dengan isu yang amat getir melibatkan moral pemimpin tertingginya. Namun sehingga kini, Mustafa Ali masih belum membuat penafian mengikut kaedah Islam iaitu bersumpah dengan Quran di masjid tetapi cuma menafikan di pentas-pentas ceramah sahaja. Cukup ke setakat itu saja ?

Secara jelasnya sekiranya beberapa kes besar ini tidak dapat diredakan dalam mood pilihanraya, ia bakal memberi impak yang besar di peti undi. Maka lain-lain calon pasti akan terpalit. Secara tidak langsung peluang untuk meraih kemenangan juga tergugat.

Sekiranya berlaku kejutan dengan kekalahan ramai calon-calon Pas terutamanya yang berprofil tinggi  untuk  memenangi pilihanraya, maka struktur organisasi Pas juga akan berubah.  Apakah golongan Anwarinas akan lebih menonjol di dalam AJK Pas pusat atau golongan ulamak akan menjadi dominan dalam penentuan dasar-dasar Pas di masa akan datang.

Namun demikian, semua umat Melayu Islam berharap, tidak kira apa akan terjadi dalam Pas pasca PRU13, orang-orang Melayu mesti disatukan. Oleh itu kita berdoa agar suatu hari nanti Pas, Umno dan peranan NGO  seperti Jati, ISMA dan lain dapat duduk semeja demi survival politik, ekonomi, pembangunan ummah dan sebagainya.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

18.04.2013




Post a Comment