Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Friday, April 5, 2013

PRU 13 : Kuda Tua Vs Darah Muda


Yang ditunggu-tunggu dah tiba. Teka-teki pembubaran parlimen sudah terjawab. Tugas Najib dah selesai untuk mandat PRU 12 yang lalu. Yang menanti ialah tugas SPR. Dalam masa 60 hari selepas pembubaran parlimen pasti ada pilihanraya ke 13. Nanum ia harus mengambil kira pembubaran awal DUN Negeri Sembilan yang dibuat pada 27hb Mac yang lalu. Untuk menyelaraskan pilihanraya serentak bagi semua DUN dan parlimen, maka tarikh akhir dalam peruntukan Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, PRU 13 ialah pada tanggal 28hb Mei 2013. Bagaimanapun mengikut tradisi, SPR tidak menunggu sebegitu lama untuk mengendali pilihanraya baru. Oleh itu kita kena tunggu keputusan SPR.
  
Sementara menunggu tarikh keramat bila penamaan calon dan tarikh mengundi, sudah gak gempita parti-parti yang akan menyertai PRU 13 dengan pelbagai menyuarat dan menyusun strategi. Yang paling penting ialah memuktamadkan pemilihan calon-calon. Manifesto-manifesto akan diumumkan serta diedarankan. Sudah pasti manifesto BN yang akan dilancarkan pada hari Sabtu di Stadium Bukit Jalil akan menjadi tumpuan bukan sahaja oleh seluruh rakyat Malaysia bahkan media-media antarabangsa. Apa yang kurang dan apa yang lebih jika dibandingkan manifesto PR. Sudah tentu BN telah mengambil kira apa yang terkandung dalam manifesto PR, jika ada yang kurang pada PR tentunya ada counter offer yang lebih baik. Dari segi strategi tentulah BN mempunyai kelebihan lantaran PR telah mengumumkannya terlebih dahulu.

 Apa yang kita boleh buat telahan ialah mengenai pengundi-pengundi dan bakal-bakal calon yang akan mewarnai PRU 13. Hanya dua kelompok inilah yang menjadi sasaran perbincangan walau di mana atau dalam apa jua medium komunikasi. Tanpa pengundi tiada undi. Tiada calon, nak undi siapa ? Jadi eloklah kita berbicara tentang dua makhluk ini dalam siri 4 Bicara Politik Menjelang PRU 13 ini. Saya memilih esklusif dari aspek calon darah muda Vs kuda tua.

 Sistem peralihan kuasa yakni melibatkan pembuat dasar bagi pihak persekutuan dan negeri, peranan para YB adalah menjadi tumpuan. Maka kriteria pemilihan mereka bukan setakat memegang title YB sahaja bahkan YB yang boleh bekerja serta menyumbang idea kepada pembangunan negara samada ianya datang dari kem pembangkang ataupun kerajaan.  Kita sudah muak dengan kerenah para YB yang terpilih dalam PRU 12 dahulu terutamanya dari kem pembangkang. Apakah mereka sekadar “Yang berhormat’ atau “Yang Bekerja”. Inilah yang kita sebagai pengundi mahu lakukan tanggungjawab dalam memilih mereka nanti.
  
Sebelum kita berbicara calon-calon kuda tua yang heavyweight, mari kita senyum tersengeh tentang bakal calon di Terengganu, ya diumumkan ….. Tok Mun tidak serik bertanding lagi ! Tok Mun, 94 tahun atau Maimun Yusof, nenek tua yang mengayuh basikal semasa berkempen sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu mungkin dapat dilihat semula pada PRU 13 ini. Tok Mun menang atau kalah, itu tak penting. Tetapi jika beliau betul-betul jadi bertanding dalam PRU 13 ini nanti, mungkin Malaysian Book of Records patut mencatatkan beliau sebagai calon bebas tertua dan terbanyak bertanding di Malaysia. Apa pendapat anda ? (Klik utk berita terbaru : Tuk Mun tanding guna lambang kunci)
  
Najib belumpun mengumumkan senarai bakal-bakal calon tetapi melalui bisik-bisikan telah tersebar luas beberapa orang masih mengekalkan tempat lama untuk bertanding. Pihak lawan pula telahpun awal-awal lagi mengumumkan calon-calon mereka. Ada yang tua dan ada yang muda. Ada yang orang lama dan ada yang baru. Ada juga dari kalangan selebriti. Dikatakan Aisyah yang popular dengan lagu Janji Manismu, apakah akan memberi janji yang manis kepada pengundi Jempol. Namun dikatakan Pas Negeri dan Pas Pusat tidak sekata dalam pemilihan Aisyah di Jempul.  Begitu juga dengan ustazah mee segera dan ustaz mee segera, apakah mereka juga menjadi taruhan dalam PRU 13 nanti ? Atau sebagai penyending untuk menyedapkan ceramah-ceramah saja. Kita belum dengar desas-desusnya.

 Kuda tua pembangkang yang mula-mula telah mengesahkan tempat untuk bertanding ialah Lim Kit Siang. Beliau beralih angin dari Ipoh Timur ke Gelang Patah. Ini adalah strategi pembangkang yang bercita-cita untuk menawan Johor yang diketahui sebagai kubu kuat BN.  Apakah kubu BN dapat dirobohkan ataupun beliau terkubu di Gelang Patah atau dengan bahasa yang lebih jelas terkubur di Gelang Patah ! Ini tidak sama dengan strategi beliau semasa merobohkan Bandar Melaka (1969-1974) dan Kota Melaka (1974-1978). Sifat beliau yang tidak mahu “duduk diam” dalam kubunya, maka beliau telah beralih angin ke Petaling Jaya (1978-1982). Sekali lagi beliau berpatah balik ke Kota Melaka (1982-1986). Lim Kit Siang main pusing-pusing lagi dan terus mai Penang, dalam Projek Tanjong I, beliau berjaya di Tanjong (1986-1999). Selepas itu beliau terpaksa berehat selepas kalah dalam Projek Tanjong II. Sehinggalah beliau bangkit semula di Ipoh Timur (2004-2013). Sifatnya yang tak pernah lekat dikubu, beliau menonong ke selatan mahu menerjah Gelang Patah di PRU 13. Mampukah beliau mematahkan orang-orang Gelang Patah yang pasti tak rela dipatahkan daripada gelang-gelang yang berkait antara sama lain.
  
Kuda tua yang mahu bertanding lagi dan tidak mahu mengaku bahawa fikiran, kuderat dan daya ingatan yang semakin lemah ialah Nik Aziz. Beliau menyertai Pas dalam tahun 1967 dan dalam tahun yang sama memenangi pilihanraya kecil bagi parlimen Pengkalan Chepa (dahulunya dinamakan Kelantan Hilir) sehinggalah tahun 1982. Nik Aziz kembali ke DUN dengan memenangi pilihanraya tahun 1986. Dalam pilihanraya tahun 1990 beliau berjaya menumbangkan kerajaan BN lalu membentuk kerajaan Pas sehinggalah ke hari ini.

 Setelah lebih 23 tahun memerintah Kelantan yang tidak nampakpun pembangunan yang signifikan kepada rakyat Kelantan, Nik Aziz masih mahu bertanding lagi. Dalam usia 82 tahun, apa yang dimahukan lagi dalam karier politik ? Apakah orang-orang bawahan masih tidak boleh memimpin Pas maka mahu Tok Guru menjadi sumber inspirasi. Inilah kegagalan beliau melatih barisan pelapis yang sepatutnya telah boleh mengambil-alih tempat beliau. Tetapi Nik Aziz yang perasan sendiri.  Apakah Nik Aziz mampu untuk bertahan, walaupun mungkin kerusi beliau selamat, tetapi apakah Kelantan dalam Pas akan selamat ? Terjehan yang dibuat oleh orang-orang Tok Pa dengan dibantu oleh gerakan Ibrahim Ali dengan pelbagai sokongan daripada golongan ilmuan pondok dan NGO-NGO, diyakini Kelantan bukan milik Pas lagi selepas PRU 13 ini nanti.

 Lim Kit Siang dan Nik Aziz dianggap kuda tua, maka Anwar Ibrahim mungkin dianggap kuda sedang tua. Tidaklah tua sangat !  Ketiga-tiga ini menjadi sasaran oleh Tun Dr Mahathir Mohammad yang mahu mereka ini ditamatkan karier politik mereka dalam PRU 13 ini.  
  
Sudah sah Anwar Ibrahim meninggalkan Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat sejak beliau menceburkan diri dalam politik. Sungguh mulia orang Permatang Pauh, selepas Dr. Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dalam PRU 12 dahulu, demi kasih adinda kepada kekanda, maka Wan Azizah merelakan kerusi itu dipertandingkan dalam satu pilihanraya kecil pada bulan Julai 2008. Tetapi selepas kekanda memiliki Permatang Pauh, kekanda terpaksa mengikut naluri hati untuk meninggalkan orang-orang Permatang Pauh. Kekanda terpaksa turun ke Perak dan kini tengah menjenguk-jenguk kerusi mana yang selamat. Setelah pauh di tinggalkan di permatang, anak-anak berkecil hati, apakah ayahanda tidak menghargai kami di permatangan ini. Apakah ayahanda dapat bersarang macam tempua di Perak tanpa sokongan anak-anak Permatang Pauh. Sesungguhnya kami tidak merestui perbuatan ayahanda ini. Inilah pantun kami untuk ayahanda, entah jadi entahkan tidak !

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Anwar nak cari tapak yang baru,
Demi nyawa nadi Pakatan.
  
Anwar nak cari tapak yang baru,
Demi nyawa nadi Pakatan,
Putrajaya menggamit hati terharu,
Apa carapun pasti nak dapatkan.
  
Putrajaya menggamit hati terharu,
Apa carapun pasti nak dapatkan,
Putrajaya  tak jauh beribu batu,
Hilang di mata hilang harapan.

Selain TRIO Lim Kit Siang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim yang wajar ditamatkan karier politik mereka, kuda tua yang lain pula ialah Karpal Singh. Saya rasa kita orang-orang Melayu Islam lebih terjamin dengan ketiadaan Karpal Singh. Beliau pernah mengatakan langkah mayatnya jika nak tegakkan negara Islam. Tetapi anehnya Nik Aziz sambut hari jadi dengan potong kek di rumah Karpal Singh. Hari ini keluar pula kenyataan dari Nik Aziz bahawa solat orang Umno tiada pahala kerana tolak Islam. Dah tak larat nak senaraikan ada aje kenyataan yang menyanggah bahawa Umno itu tidak Islamik dari kacamata Nik Aziz. Biarlah beliau terjun dengan labu-labunya ! Dalam PRU 13 ini kita tentukannya.

Sesungguhnya Pakatan Pembangkang tiada pemimpin yang berkarisma untuk ditonjolkan bagi gagasan menawan Putrajaya. Ia hanyalah ilusi yang tak mungkin terjadi. Untuk memimpin sebuah kerajaan persekutuan bukanlah calang-calang orang yang boleh dipertanggungjawabkan. Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam era beliau semasa mudanya. Yang lain berada di sekelingnya sekarang adalah orang-orang yang jika berjaya mendapat Putrajaya, laksana memberi bunga kepada kera.

Apakah contoh Kelantan ingin ditonjolkan kerana ia kerajaan yang bertunjangkan parti Pas. Apa yang telah dibuat oleh kerajaan Kelantan semasa pemerintahan Nik Aziz selama 23 tahun. Kedah sudah sah gagal dalam serba-serabinya, malah diakui sendiri oleh para exconya sendiri. Apakah kerajaan Selangor yang diterajui oleh Khalid Ibrahim ingin diikuti dan sebagai acuan dalam model pentadbiran negara. Begitu juga dengan kerajaan Dap Pulau Pinang yang tidak dapat mentadbir seperti yang dislogankan. Hanya lebih bunyi dari dalam tin kosong daripada air yang penuh.  Maka siapakah orang-orang yang bertanggungjawab menggalas dalam misi pembangunan negara jika diberikan peluang kepada pembangkang untuk memerintah ?

Maka kita terpaksa akur bahawa kita perlukan darah muda dalam membangunkan negara. Lebih berkarisma dan lebih tenaga serta daya pemikiran yang kreatif. Kerajaan kini ditadbir oleh Najib yang merupakan Perdana Menteri yang ditakrifkan dari darah muda. Beliau digandingkan dengan TPM yang juga masih muda, berdarah muda. Sebahagian ahli kabinetnya juga adalah terdiri daripada orang-orang muda.

Mengikut kenyataan PM hari ini, beliau akan melakukan kejutan terhadap senarai calon-calon pilihanraya. Sudah sah beliau akan mengambil sebahagian darah muda untuk dicalonkan. Oleh itu sudah pasti ianya akan menjadi inspirasi golongan muda yang menjadi pengundi pertama kali akan menyokong mereka selaras dengan kehendak golongan tersebut.  Manakala orang-orang lama yang masih menyengat akan dikekalkan. Kombinasi ini adalah penting bagi menyelaraskan kesinambungan kepimpinan negara.

Perlu diingat bahawa dalam PRU 13 ini terdapat 3.75 juta pengundi baru, ia merupakan satu sejarah yang tidak tercatat dalam mana-mana PRu yang terdahulu. Johor menyaksikan peningkatan pengundi sebanyak 267,757 orang sementara Perak pula dengan peningkatan sebanyak 201,117 pengundi. Kelantan pula mempunyai sebanyak 154,604 pengundi baharu.  Yang menariknya ketiga-tiga negeri yang mana kuda tua dan kuda sedang tua akan berentap adalah antara negeri-negeri yang mempunyai begitu ramai pengundi baru. Apakah inspirasi orang muda ini sama dengan pembawakan oleh kuda tua. Apakah dengan kriteria ini akan membunuh karier politik mereka seperti yang diramal dan diminta oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad.  Kita nantikan keputusan PRU 13 nanti.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
05-04-2013
Post a Comment