Monday, April 15, 2013

Permatang Pauh : Betul ke Papagomo lawan Anwar Ibrahim ?




Dalam siri 5 Bicara Politik Menjelang PRU 13 yang lalu, kita telah ke selatan menjenguk Lim Kit Siang yang bakal berentap di sana. Siapa yang bakal menjadi lawannya akan ditentukan hari ini setelah PM menyerahkan watikah calon-calon BN  yang dikatakan memecah tradisi kerana membuat pengumuman calon lebih awal daripada pilihanraya yang dulu-dulu. Namun cakap-cakap politik bagai mengesahkan Menteri Besar Johor, Ghani Othman akan berhadapan dengan Lim Kit Siang di Gelang Patah. 

Manakala dalam siri 6 kali ini, kita akan ke utara pula untuk melihat ikon Ketua Pembangkang,  Anwar Ibrahim yang bakal bersilat di gelanggang PRU 13 menentang bukan sahaja calon BN bahkan dikatakan seorang calon bebas yang telah menyatakan kesediaannya untuk melawan Anwar di sana. Perkhabaran yang menyatakan blogger, Papagomo akan masuk gelanggang di Permatang Pauh terus hangat diperkatakan dalam blog-blog alam siber, tetapi apakah ianya akan terus hangat sepanjang berkempen di dunia nyata, begitu juga apakah beliau akan terus berada di persada politik pula dan masih hangat selepas PRU nanti. Persoalannya timbul dimanakah justifikasinya beliau ingin menentang  Anwar di sana. Saya akan mengupas persoalan ini di akhir tulisan ini nanti.


Perhatian ! Perhatian ! Ini adalah iklan ! Anda disyorkan untuk membaca entri terbaru saya Mampukah Anwar Ibrahim pertahankan Permatang Pauh ? Anda boleh membacanya kemudian, kerana ia dianggap sambungan kepada tulisan ini. Selamat membaca.


Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang pembicaraan yang saya utarakan dalam siri-siri Bicara Politik Menjelang PRU 13 ini, saya syorkan anda membaca dari siri 1 hingga 5. Kerana ianya berkait-rapat antara satu sama lain.






Membicarakan tentang PRU di Permatang Pauh, kita tidak boleh lari dari memperkatakan pergolakan Umno Permatang Pauh yang menjadi isu pada setiap piliharaya umum atau pilihanraya kecil. Malah ianya juga dikatakan isu politik peribadi antara orang-orang kuat dalam Umno Bahagian Permatang Pauh itu sendiri.  Sudah tentu juga isu peribadi Anwar Ibrahim sendiri yang menjadi tumpuan bagi menghangatkan suasana di Permatang Pauh dalam PRU 13 nanti.

Kita juga harus menyingkap sejarah pilihanraya yang dulu-dulu di Permatang Pauh. Kerana dengan mengetahuinya barulah kita dapat memberikan justifikasi tentang peratusan peluang atau kebangkalian bagi calon-calon untuk memenangi kerusi panas P44  Permatang Pauh.

Mengikut rekod, disenaraikan pemenang piliharaya Permatang Pauh sejak tahun 1969 :

1 .  1969 Mohd Nor Bakar (Perikatan) kalahkan Musa Mohd Yatim (Pas)

2.  1974 Ariffin Md Daud (BN-Umno) kalahkan Abu Bakar Mumi (Pekemas) dan Baharuddin Ibrahim(PSRM)

3.  1978 Zabidi Ali (Pas) kalahkan Ariffin Md Daud (BN-Umno)

4.  1982 Anwar Ibrahim (BN-Umno) kalahkan Zabidi Ali (Pas)

5.   1986 Anwar Ibrahim (BN-Umno) kalahkan Mohamad Sabu (Pas)

6.  1990 Anwar Ibrahim (BN-Umno) kalahkan Mahfuz Omar (Pas)

7.  1995 Anwar Ibrahim (BN-Umno) kalahkan Abdul Rahman Manap (DAP)

8.  1999 Wan Azizah (PKR) kalahkan Ibrahim Saad (BN-Umno)

9.  2004 Wan Azizah (PKR) kalahkan Firdaus Ismail (BN-Umno)

102008 Wan Azizah (PKR) kalahkan Firdaus Ismail (BN-Umno)

11. 2008 Anwar Ibrahim (PKR) kalahkan Arif Shah (BN-Umno) dan Hanafi Mamat (AKIM)

Permatang Pauh mencacatkan jumlah pilihanraya kecil terbanyak dalam satu-satu penggal pilihanrayara di Malaysia.  Kali pertamanya ialah Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 2008 yang  diadakan  setelah Ahli Parlimennya yang juga Ketua Pembangkang Malaysia ketika itu,  Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding di situ.  Pilihan raya kecil ini digelar sebagai "Ibu Segala Pilihan Raya Kecil" oleh media disebabkan oleh kemungkinan implikasi pilihan raya kecil tersebut dan juga profil Anwar Ibrahim yang tinggi. Pada 28 Ogos 2008, Anwar Ibrahim telah memenangi pilihan raya ini dengan menewaskan Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Mamat  (AKIM).

Dalam parlimen P44 Permatang Pauh terdapat tiga DUN iaitu DUN Seberang Jaya yang dimenangi oleh Arif Shah Omar Shah dari BN dalam PRU 12 dahulu dengan majoriti tipis. Hanya DUN ini sahaja yang kekal dengan tiada pilihanraya kecil sehinggalah pembubaran DUN.

Manakala dua lagi DUN iaitu DUN Penanti pula jatuh kepada PKR pada 1999 dan dirampas BN pada 2004 tetapi kembali kepada PKR pada 2008 melalui Mohammad Firdaus Khairuddin. Beliau meletakkan jawatan dalam kerajaan campuran Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan ADUN Penanti serta akhirnya keluar dari PKR dan kemudiannya menyertai Umno. Dalam pilihanraya kecil Penanti tahun 2009 memperlihatkan BN tidak menurunkan calonnya. Ini memberi peluang kepada Mansor Othman untuk memenangi kerusi itu dengan mengalahkan bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah.

DUN Permatang Pasir merupakan satu-satunya DUN yang dimenangi oleh Pas di Pulau Pinang melalui Hamdan Abd. Rahman. Beliau meninggal dunia dalam tahun 2009 dan dalam pilihanraya kecil yang diadakan tidak lama selepas itu, Pas masih mengekalkan kerusi tersebut melalui Pesuruhjaya Pas Negeri iaitu Mohd Salleh Man.

Yang agak unik dalam parlimen Permatang Pauh ini ialah ketiga-tiga DUN diwakili oleh parti yang berbeza. Maka percaturan untuk meraih undi bagi Parlimen sukar untuk ditentukan. Apakah unsur keahlian parti perlu diambil kira. Apakah kesetiaan dalam parti dengan tiada sebotaj difikirkan masak-masak. Apakah sudut karisma dan ikon Anwar serta masalah moral dan justifikasinya tentang ugama dan gender menjadi percaturan. Apakah unsur lain desakan perubahan politik secara total di Permatang Pauh dengan mengambilkira mencabut akar pembangkang dan gagasan tamatkan karier politik Anwar perlu dipertimbangkan. Hanya pengundi-pengundi Permatang Pauh yang akan memberikan jawaban di peti undi.
  
Walaupun sejak tahun 1999 hingga PRU 12 dalam tahun 2008, kerusi Permatang Pauh disandang oleh Wan Azizah, tetapi ia adalah bayangan Anwar Ibrahim. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa sejak tahun tahun 1982 hingga sekarang, Permatang Pauh adalah kubu kuat bagi Anwar.  Setelah beliau dipecat dari Umno dan menubuhkan Parti Keadilan dan kemudian bergabung dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) maka membentuk Parti Keadilan Rakyat atau ringkasnya PKR. Sebahagian daripada penyokong setianya dalam Umno dahulu dan PSRM secara tidak langsung menjadi penyokong setia PKR.

Manakala Umno bahagian Permatang Pauh sejak dari dulu dianggap bermasalah dan bukanlah disebabkan PKR terlalu kebal tidak boleh dirobohkan tembok kotanya. Kini Ketua Umno Bahagian,  Abdul Jalil Abdul Majid dan Timbalan Ketua bahagian itu,  Muhammad Nasir Abdullah dan  Arif Shah Omar Shah dikatakan telah menyelesaikan konflik antara mereka dan menumpukan untuk kemenangan bagi BN.

Dalam dua pilihanraya parlimen dahulu, iaitu PRU 2008 serta Piliharaya kecil 2008, Ketua bahagian Umno Permatang Pauh, Abdul Jalil Abdul Majid telah tercicir sebagai calon parlimen pilihanraya walaupun telah dicalonkan oleh pihak bahagian. Beliau merupakan orang lama dalam politik Permatang Pauh dan pernah menjadi ADUN Penanti selama satu penggal dari 2004-2008. Beliau memperolehi kerusi sebagai Ketua bahagian Umno Permatang Pauh dalam dalam satu persidangan Umno yang sengit dan seterusnya memperlihatkan berlakunya “masam muka” dan puak-puak antara beberapa tokoh utama Umno bahagian itu terutamanya dengan Arif Shah Omar Shah. Apakah dalam PRU 13 ini nanti, Abdul Jalil Abdul Majid akan dicalonkan menentang Anwar ? (Klik berita terbaru : Dr Mazlan calon BN lawan Anwar)

Umno atau BN Permatang Pauh sudah sah akan menyertai PRU 13 ini. Jika benar pula blogger, Papagomo yang berminat masuk gelanggang memanglah tidak ada siapa yang melarang. Kerana kita mengamalkan sistem demokrasi kecualilah seseorang itu telah hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU disebabkan oleh sekatan undang-undang sivil atau jenayah. Jika keputusannya kekal sehingga hari penamaan calon, maka gelanggang Permatang Pauh akan memperlihatkan pertandingan tiga penjuru. Namun demikian, pada pandangan saya, suasana ini hanyalah pertandingan gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati terpijak di tengah ! (Klik utk berita terbaru : Papagomo tarik diri dari bertanding dan menyatakan sokongan kepada calon BN)

Kita tidak kenal siapa Papagomo dalam arena politik. Beliau lebih dikenali sebagai blogger professional yang berani mendedahkan keaiban kisah moral dan seks Anwar Ibrahim. Tetapi jika ingin terjun ke dalam arena politik, maka nama Wan Muhammad Azri Wan Deris haruslah digunakan. Beliau terpakasa terjun dari awangan alam siber yang dipenuhi awan kelabu dengan tidak menunjukkan muka, tetapi kini terpaksa berdepanan di alam nyata dan bertemu manusia di daratan dalam istilah “face to face fight”. Dan jika menang PRU 13, ia merupakan satu kejutan dalam sejarah pilihanraya Malaysia.

Pelbagai spekulasi berlegar, apakah justifikasinya Papagomo ingin menentang Anwar di Permatang Pauh.  Kita bukanlah memperlekehkan kebolehan Papagomo di dunia baru politiknya. Dan kita juga tidak mempertkaikan keikhlasannya untuk bertanding serta dana yang bakal digunakan olehnya dalam PRU itu nanti. Namun demikian, orang akan bertanya-tanya juga apakah cukup kemampuanya dari segi itu serta struktur organisasi kempen bagi melawan arus, apatah lagi belum pernah memasuki gelanggang dan tidak mengetahui keadaan sebenar operasi di sebalik pilihanraya.

Apakah Papagomo akan mengikuti jejak seorang selebriti kepo yang dikatakan akan menentang Perdana Menteri di parlimen Pekan ? Kita hanya tersenyum sinis !  Mungkin kepuasan untuk menjadi calon pilihanraya menentang ikon negara menjadi kebanggaan dan taruhan wang ringgit dan keringat adalah “no hal”.  Mungkin kita masih mengingati seorang pengarang buku,  “Dare to Fail”, Billy Lim yang pernah menjadi calon bebas bagi parlimen Bukit Bintang dalam PRU tahun 1999 dan 2004 serta parlimen Kelana Jaya dalam tahun 2008. Pengalaman dan kecekalannya dalam menghadapi pilihanraya menjadi inspirasi untuknya menulis dalam buku-bukunya, akhirnya beliau menjadi lebih terkenal dan jualan buku-bukunya melonjak.

Dalam kenyataan akhbar yang dibacakan oleh wakilnya, Mohamad Rafi Awang Kecik  yang juga Presiden Media Nadi Rakyat Malaysia (MNRM) sewaktu membeli  borang pencalonan dalam PRU, beliau mengatakan keputusannya  itu menunjukkan beliau benar-benar serius meminta Anwar berundur secara terhormat dari arena politik negara seperti diminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih sedekad lalu. Katanya, beliau sebelum ini sudah memberi amaran supaya Anwar berundur bagi mengelak video aksi homoseksual yang dikaitkan beliau dengan Anwar dipaparkan kepada umum, namun Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berdegil.

Dalam pada itu, Mohamad Rafi menambah, keputusan Papagomo tersebut bagi mendedahkan sepenuhnya kepada rakyat watak sebenar Anwar dan berpendapat pilihan raya umum kali ini merupakan platform paling sesuai berbuat demikian. Menurutnya, Papagomo mempunyai lebih daripada satu video membabitkan Ketua Pembangkang itu untuk didedahkan kepada umum sepanjang tempoh berkempen nanti. Sementara itu, katanya, MNRM mempunyai kira-kira 7,000 ahli di seluruh negara yang akan digerakkan bagi membantu kempen Papagomo menentang Anwar.


Kita tidak mempertikaikan apa jua keinginan dan alasan Papagomo dalam menentang Anwar. Namun demikian, apakah dengan hanya bermodalkan isu-isu tersebut sahaja dapat menarik pengundi untuk memberikan undi keramat mereka kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris. Inilah yang harus difikirkan oleh Papagomo serta kumpulannya. Kita jangan hanya syok sendiri tetapi tidak mengambilkira realiti politik dan kemampuan diri sendiri dalam membuat perhitungan.


Selama ini Papagomo hanya berkokok di alam siber tetapi tidak pernah turun di alam nyata untuk bertemu bakal pengundi dan menyatakan isu-isu nasional,  antarabangsa, kewangan, pembangunan material dan insan, hal-ehwal ugama dan sebagainya. Isu-isu di Permatang Pauh juga banyak berlegar-legar dari segi kepimpinan samada PKR, Pas dan Umno di mana ianya amat jauh dari lingkungan Papagomo.  Perlu diingatkan bahawa merencana strategi pilihanraya adalah laksana seorang panglima perang mengatur strategi dengan orang-orangnya bagaimana untuk menguasai dan melemahkan pihak lawan seterusnya menawan mereka.  Ia adalah perang daratan dengan daratan, bukannya perang daratan dengan perang siber.


Pada pandangan saya, strategi Najib untuk memenangi PRU 13 dengan jumlah kerusi sekurang-kurang 160 kerusi bagi membolehkan BN mencapai 2/3 majoriti, ia amat memerlukan calon-calon yang boleh menang. Dalam situasi PermatangPauh, sudah tentu PM inginkan suara yang kuat dari dalam dan akar umbi yang akan memberikan undi kepada BN. Saya percaya PM tidak akan membuat kejutan dengan mambawa calon payung terjun kerana Umno bahagian Permatang Pauh sudah letih dengan isu-isu ini dan tidak mahu perpecahan berlaku lagi. Telahan ramai, calon popular ialah Ketua bahagian Permatang Pauh sendiri.


Bertolak dari itu, BN Permatang Pauh akan menentang segala usaha untuk memecahkan undi bagi membolehkan BN menang. Oleh itu kedatangan  Wan Muhammad Azri Wan Deris ke sana bolehlah dianggap sebagai penghalang niat. Maka secara langsung beliau akan menjadi musuh yang perlu dicantas. Bukan sahaja PKR inginkan beliau hilang wang pertaruhan, malah BN juga berniat demikian.  Kalau sudah jadi begitu, apa makna kita membuang wang dan tenaga. Sudah sah gajah sama gajah berjuang, apakah pelanduk ingin juga duduk di tepian gelanggang ? kalau tidak kena pijak, kena tempikannya juga sudah kecut perut !


Peluang BN untuk merampas kembali kerusi Permatang Pauh amat cerah sekali. Jika dinilai dari kenyataan Anwar Ibrahim sendiri bahawa beliau pada awalnya ingin keluar dari kepompongnya selama ini dan ingin berpindah ke Perak atau Selangor. Dalam pemikiran sesetengah penganalisa politik dan ahli-ahli politik, Anwar berbuat demikian kerana merasakan dirinya mungkin tidak berapa selamat lagi di Permatang Pauh. Ada juga mengatakan bahawa tujuan beliau menguar-uarkannya adalah kerana ingin membuat “test market’.  Apakah beliau masih kuat di Permatang Pauh atau membuat kubu baru di luar Pulau Pinang. Akhirnya Anwar membuat U turn dan kembali mempertahankan Permatang Pauh. Namun dalam kegusaran itu Anwar kelihatan goyang. Ikutilah versi pantun Tanya sama Anwar.



Tanya sama Anwar,
Apa sebab goyang,
Nanti jawab Anwar,
Pauh nak melayang.

Nanti jawab Anwar,
Pauh nak melayang,
Hatiku dah tawar,
BN datang Permatang.

Hatiku dah tawar,
BN datang Permatang,
Mai Perak  diuar-uar,
Tamu tak diundang.

Mai Perak  diuar-uar,
Tamu tak diundang,
Hati debar-debar,
U turn balik Permatang.

Hati debar-debar,
U turn balik Permatang,
Bisik dengar-dengar,
Anwar pasti kecundang.


Di tulis : Hisemudin Kasim
15.04.2013







Post a Comment