Thursday, April 25, 2013

Mampukah Anwar Ibrahim pertahankan Permatang Pauh ?


Anwar Ibrahim, satu nama besar dalam politik tanahair dan dijaja oleh media antarabangsa. Di Tanahair beliau dilihat sebagai ikon pembangkang yang berupaya menyatukan parti-parti yang berlainan aliran dalam satu ‘main stream’. Menawan Putrajaya dan niat terpendamnya ialah untuk menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia. Disamping membawa rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bagi membentuk sebuah Malaysia yang berimej baru. Slogan mereka, “Inilah Kalinya”. Secara tidak langsung, Pakatan Rakyat macamana pun akan berhempas-pulas bagi merealisasikannya, jika tidak “tiada lain kalinya”.  Atau mungkin kerana “tiada lain kalinya” maka Pakatan Rakyat akan menemui nokhtah dipinggirkan oleh rakyat Malaysia selepas PRU 13 nanti.

Dalam PRU 13 ini akan menentukan karier politik insan ini, maka dalam siri ke 9 Bicara Politik Menjelang PRU 13, saya akan mengupas dari aspek biografi dan perjalanan hidupnya yang penuh ranjau dan kontroversi dalam politik tanahair serta isu-isu panas yang mengelilingi beliau. Apakah Anwar akan dapat mempertahankan kerusi Permatang Pauh dalam pertembungan sengit dengan Dr. Mazlan Ismail juga akan dibicarakan.

Anak pasangan Ibrahim Abd Rahman dan Hajah Che Yan dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.  Lalu diberikan nama Anwar Bin Ibrahim. Dikatakan Anwar bermaksud “bercahaya”. Dalam carian di internet, Anwar dimaksudkan sebagai A (Amanah), N(Naif), W(Warak), A(Alim), R(Ramah). Dalam media Cina memberikan namanya sebagai (an hua),  (an) bermakna tenang, tetap, senyap dan selamat. Manakala (hua) bermaksud cerdik, fantastik, kebesaran, indah dan yang berbunga-bunga. Itulah tafsiran nama yang didatangkan dari pelbagai sudut dan budaya. Namun apakah pengertian  nama yang baik-baik itu akan memberi erti yang sinonim. Kita hanya boleh membuat telahan, Allah jua yang menentukan ! 

Mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya dan kemudian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Seterusnya menamatkan pengajian di Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu di tahun 1971. Aktif sebagai aktivis dan menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).  Dijemput menganggotai Umno dan dalam tahun 1982 terpilih sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan dilantik sebagai timbalan menteri. Pada tahun yang sama mengalahkan Haji Suhaimi Kamaruddin dan mengambilalih kepimpinan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan timbalannya ialah Najib Tun Abdul Razak.

Datangnya Anwar secara mengejut, bahkan mengejutkan kepimpinan Umno ketika itu. Dikatakan beliau naik secara mendadak kerana memperolehi “backup” yang cukup ampuh iaitu dari Tun Dr. Mahathir sendiri. Kerana Tun melihat anak muda ini adalah permata yang akan menyinari pelusuk alam maka ia harus disediakan platform yang ditatang bagai minyak yang penuh. Yang lain terpaksa dicantas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk naik mencodat. Begitulah baiknya Tun Dr. Mahathir melayan karenah Anwar Ibrahim.

“Untold story” yang jarang kita dengari dari media ialah bagaimana Anwar Ibrahim memanjat ke jawatan kedua tertinggi dalam parti dan kerajaan.  Diceritakan oleh  Tan Sri Isa Samad bahawa bapa saudaranya, Tun Ghafar Baba, telah bersetuju dengan usaha supaya beliau tidak ditandingi oleh Anwar Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan membuat satu surat perjanjian untuk melantik Anwar, dan tidak orang lain, menjadi timbalannya jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Tawaran ini dibuat kerana ada khabar angin yang menyatakan Anwar Ibrahim berhasrat untuk bertanding dengan Tun Ghafar Baba kerana Anwar takut jika Tun Ghafar Baba jadi Perdana Menteri beliau tidak akan melantik dirinya sebagai timbalannya. Mengikut sumber yang boleh dipercayai Anwar tidak melayani tawaran ini. Kononnya beliau takut kawan-kawannya akan memarahi beliau jika beliau menarik diri dari bertanding menentang Tun Ghafar Baba. Namun ramai berpendapat bahawa kegelojohan Anwar sendiri ingin memanjat tangga tertinggi dan tidak mahu duduk di bawah Ghafar Baba menjadi punca beliau menolak kompromi ini.

Melihat kepada keadaan semasa, dan memandang kepada amalan politik wang yang berjalan rancak, Tun Ghafar yang punyai pendirian sebagai seorang pejuang kemerdekaan seangkatan dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak telah menjangkakan bahawa glamour, kemewahan dan kedudukan bukanlah haknya, kemudiannya lebih rela untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Disebabkan rencana permainan politik yang licik,  maka Ghafar Baba tidak cukup pencalonan untuk menjadi calon Timbalan Presiden UMNO.  Akhirnya Tun Ghafar Baba telah meninggalkan jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk dimenangi oleh Anwar Ibrahim tanpa bertanding. Begitu drastik, satu drama pementasan yang melayakkan Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang akan dicalonkan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Anwar Ibrahim telah dipecat dari Jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pada 1998 atas sebab-sebab kesalahan moral dan penyalahgunaan kuasa. Dalam tahun 1999 beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun. Dan pada tahun 2000,pula dikenakan sembilan tahun penjara kerana didakwa melakukan kesalahan seks di luar tabii. Walau bagaimanapun, pada tahun 2004, mahkamah telah mengugurkan sabitan kesalahan liwat kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh.
Anwar Ibrahim telah dibebaskan. Pada Julai 2008 beliau telah ditahan sekali lagi atas tuduhan dakwaan bahawa beliau telah meliwat pembantu peribadinya iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Namun pada tanggal Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah atas kes liwat 2 yang dihadapi oleh beliau, dan melepaskan beliau dari sebarang pertuduhan liwat.
Penglibatan Anwar Ibrahim dalam politik dipenuhi dengan dua muka. Muka pertama beliau semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional, manakala muka keduanya ialah apabila beliau disingkirkan dari Umno dan kerajaan lalu menentang kerajaan Barisan Nasional. Adat berpolitik, langit tidak selalu cerah, harapkan panas hingga ke petang, hujan turun di tengah hari. Begitu juga musuh hari ini tidak semestinya seteru selamanya, mungkin esok, mungkin di lain pentas dan waktu, musuh itu adalah rakan seperjuangan.
Selepas dipecat dari Umno, maka lahirlah gerakan Reformasi Anwar. Anwar Ibrahim mencari satu platform agar beliau dan para penyokongnya dapat bergerak atas sebuah organisasi yang teratur. Dalam kebuntuan untuk mendaftarkan sebuah parti baru yang tentunya menghadapi masalah disebabkan situasi yang tidak menyebelahi mereka, maka para penyokongnya telah mengambil alih sebuah parti kecil nyawa-nyawa ikan sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia lalu mengubahnya menjadi Parti KeADILan Nasional pada tahun 1999. Mungkin sejarah ini tidak diketahui oleh kebanyakan ahli-ahlinya sendiri.
Dalam tahun 2003, Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang merupakan salah sebuah parti tertua di negara ini yang pernah mewarnai politik tanahair sebagai parti berhaluan kiri dan berideologi sosialis  telah bergabung dengan Parti KeADILan Nasional lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ahli-ahli yang diserapkan dari PRM termasuklah Syed Husin Ali, R. Sivarasa dan ramai lagi.
Semasa dalam penjara dan selepas dibebaskan sehinggalah Anwar Ibrahim mendapat kebebasan mutlak pada pertengahan tahun 2008, segala urusan parti didepani oleh isterinya, Dr. Wan Azizah. Namun demikain, Wan Azizah hanyalah puppet secara sah tetapi yang sebenarnya berkuasa adalah tangan ghaib Anwar. Sehingga sekarang, walaupun Wan Azizah masih duduk di kerusi Presiden tetapi yang berkuasa juga  ialah Ketua Umum PRK iaitu Anwar Ibrahim.
Kita tidak tahu apakah dalam perlembagaan parti-parti ini, bahawa Ketua Umum mempunyai kuasa yang melebihi dari Presiden. Begitu juga dalam DAP yang mana Setiausaha Agong mempunyai kuasa mengatasi Pengerusi. Dalam Pas pula, apakah kuasa Musridul Am lebih tinggi harieki kuasanya dari Presiden.  Tetapi yang nyata dalam Umno, kuasa Presiden adalah yang tertinggi.
Mengapa Pak Lah terpaksa memendekkan mandat PRU 11 tahun 2004 yang tidak sampaipun empat tahun lalu memanggil PRU 12 dalam tahun 2008. Selain daripada masalah ekonomi dan kredit subprima Amerika Syarikat serta  kegawatan harga petroleum dan bahan mentah dunia, masalah yang paling digeruni oleh Pak Lah ialah jika dilewatkan PRU 12 sehingga Anwar Ibrahim boleh bertanding dalam PRU itu, maka sejarah politik Malaysia terpaksa diubah kembali !
Namun demikian, Anwar Ibrahim walaupun tidak boleh secara sah mengepalai jentera PRU 12 dahulu disebabkan sekatan undang-undang sebagai bekas banduan penjara, tetapi tangan-tangan ghaib Anwar masih melangkaui batas-batas tersebut. Sebagai strateginya, Wan Azizah masih lagi bertanding dan memenangi kerusi Permatang Pauh dalam PRU 12 yang lalu.
Demi kasih adinda kepada kekanda, maka Wan Azizah telah melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membuka jalan bagi satu Pilihanraya Kecil diadakan. Anwar Ibrahim akhirnya mengalahkan Arif Shah Omar Shah dari BN dan Hanafi Mamat dari AKIM untuk menduduki kerusi Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam tahun 2008.
Kini satu episod baru akan terlakar pada 5hb Mei nanti, apakah Anwar Ibrahim akan dapat mempertahankan kerusi panas ini. Yang menanti di Permatang Pauh ialah Dr. Mazlan Ismail yang akan memberikan tentangan hebat.
Siapa Dr. Mazlan Ismail ? Anak jati Permatang Pauh berusia 53 tahun itu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Komunikasi Elektronik dari Universiti Salfort, England dan Ijazah Sarjana Operasional Telekom dari Universiti Coventry, juga dari England. Beliau memperolehi Ijazah Doktorat PhD dalam 'Intelectual Capital Management' dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pengajian bagi kedua-dua ijazah Sarjana  dan PhD di bawah biasiswa Telekom Malaysia Berhad.    
Mengulas mengenai latar belakangnya, Dr. Mazlan berkata: "Saya bekas naib ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, dan pernah menjadi pengarah PRU PAS negeri pada PRU 1999 dan 2004. Saya yakin pengalaman itu dapat menjadi bekalan dalam menempuh perjuangan politik di Permatang Pauh".
   
Bukan setakat itu sahaja, pengalaman Dr. Mazlan di bidang korporat dengan menyandang jawatan naib presiden Telekom Malaysia sebelum ini, turut dilihat memberi kelebihan kepadanya. Sambil berikrar untuk mendedahkan kepincangan dalam pakatan pembangkang yang diterajui Anwar. Dr. Mazlan berkata: "Insya-Allah, saya yakin menang, dan telah bersedia berkhidmat untuk masyarakat sebagai ahli politik sepenuh masa."
Ini memandangkan penduduk Permatang Pauh telah muak dengan karenah Anwar Ibrahim dan Wan Azizah yang menjadi Ahli Parlimen di situ selama berbelas-belas tahun tetapi jarang sekali menjenguk kawasan, apatah lagi untuk membantu mereka menyelesaikan masalah.  Anwar Ibrahim yang lebih selesa tinggal di Kuala Lumpur dan kerap berulang-alik ke luar negeri berbanding balik ke Permatang Pauh. Beliau dikatakan tidak menyelami denyut nadi pengundi setempat yang menaikkan dirinya dan juga Wan Azizah selama ini, namun kerana tiada calon yang lebih baik, maka mereka terpakas akur untuk memilih Anwar Ibrahim dan Wan Azizah.
PRU 13 menjadi saksi apakah Anwar Ibrahim dapat mempertahankan Permatang Pauh seperti dalam PRU yang dulu-dulu. Dalam PRU 12 yang dulu, Wan Azizah berjaya di sini dan hampir seluruh Malaysia digegarkan dengan Tsunami politik yang memperlihatkan BN hampir tumbang di peringkat nasional dan kehilangan lima negeri ke tangan pembangkang. Namun demikian gegaran itu adalah kerana faktor dalaman dan luaran. Faktor luarannya ialah kerana kegawatan ekonomi dan kewangan Amerika Syarikat dan Eropah hampir meruntuhkan struktur kewangan dan perbankan. Manakala faktor dalaman ialah ketidakupayaan Pak Lah dalam mengemudikan pentadbiran negara dengan baik maka satu gelombang penolakan terhadap Pak Lah sendiri dari dalam parti dan penyokongnya sendiri serta diapikan  oleh pembangkang, maka Pak Lah hampir menemui nokhtah dalam karier politiknya.
Namun berbeza keadaan dengan era Najib. Ia digambarkan sebagai era kebangkitan dan kegemilangan BN selepas dibadai Tsunami. Personaliti Najib menjadi taruhan. Setiap agenda transformasi Najib menjadi-jadi. Ia menjadi bualan rakyat. Rakyat senang dengan pendekatan Najib. Malah Tun Dr. Mahathir yang menempelak pentadbiran Pak Lah dahulu tapi kini adalah aset yang besar di belakang Najib. Kekuatan ekonomi dengan pertumbuhan KDNK melebihi unjuran sebanyak 5.6% dan prestasi kewangan korporat meningkat serta petunjuk ekonomi yang biasanya digambarkan dalam indeks BSKL yang kini berlegar-legar di paras tertinggi 1700 mata. Disamping kemasukan pelaburan asing secara berterusan telah merancakkan ekonomi negara sedangkan banyak negara luar yang cuma menikmati KDNK negatif, kosong peratus, atau antara 2-3%, maka ia dilihat Malaysia mampu untuk merealisasikan Wasasan 2020 yang hanya tinggal tujuh tahun saja lagi.
Najib berjaya dalam konsep 1Malaysia bagi menyatupadukan rakyat dan parti-parti kompenannya terutamanya dalam agihan kerusi seminggu sebelum penamaan calon PRU 13, malah ia mencatat sejarah apabila mengumumkan calon-calon lebih awal daripada yang terdisinya dibuat di saat-sat akhir. Manakala Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Anwar Ibrahim masih bercelaru dengaan ketidakpuasan hati di antara rakan-rakan parti walaupun hanya dianggotai oleh tiga buah parti sahaja. Berbanding BN yang dianggotai oleh 14 buah parti komponen.  
Maka pertindihan calon-calon antara Pas dan PKR, antara DAP dan PKR, serta di Sabah dan Sarawak yang lebih gawat. Maka rakyat melihat sebelum masuk gelanggang untuk bertarung dengan pihak lawanpun sudah bercakaran, maka apakah ia tidak akan terjadi jika diberi mandat untuk menerajui Putrajaya. Ini tidak termasuk calon-calon yang tidak berpuashati dengan tidak terpilih untuk menjadi calon maka bertindak menjadi calon bebas dan menentang calon-calon dari partinya sendiri. Anwar Ibrahim yang mengatakan dalam Pakatan Rakyat dan sekutu-sekutunya sudah 90% siap  pengagihan kerusi dan hanya tinggal 10% sahaja yang dalam pertikaian. Memandangkan suasana ini, sudah jelas Anwar Ibrahim berbohong !
Namun demikian, Anwar Ibrahim masih berangan-angan untuk jadi PM menggantikan Najib. Dalam satu ceramah di Parit, Perak (tempat kampong saya) pada 22hb yang lalu, Anwar Ibrahim telah mencipta skrip ucapan sebaik saja sah bergelar Perdana Menteri nanti. Katanya,”Mereka umum (kemenangan) lewat 2 pagi, jadi tidak boleh angkat sumpah sebab Yang di-Pertuan Agong sudah tidur, kena buat esoknya. Lepas (angkat sumpah) itu, TV3 dan RTM datang beratur nak temuramah. Saya kata pergi belakang dulu, kasi pengajaran sikit”
Saya juga telah mencipta satu pantun yang asalnya termuat dalam entri blog saya bertajuk Permatang Pauh: Betul ke Papagomo lawan Anwar Ibrahim ?  kini saya ulangkan lagi. I ulang U tak saman ! Sebab I sendiri yang cipta !
Tanya sama Anwar,
Apa sebab goyang,
Nanti jawab Anwar,
Pauh nak melayang.

Nanti jawab Anwar,
Pauh nak melayang,
Hatiku dah tawar,
BN datang Permatang.

Hatiku dah tawar,
BN datang Permatang,
Mai Perak  diuar-uar,
Tamu tak diundang.

Mai Perak  diuar-uar,
Tamu tak diundang,
Hati debar-debar,
U turn balik Permatang.

Hati debar-debar,
U turn balik Permatang,
Bisik dengar-dengar,
Anwar pasti kecundang.


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
25.04.2013


gggggggggg
 ggg 
ggg ggg
Post a Comment