Wednesday, March 27, 2013

Menyingkap suasana menjelang PRU 12 di tahun 2008




 
Dah letih kita buat ramalan, bila PRU 13 nak tiba. PM tak juga bubarkan parlimen. PM tentunya ada strategi. Nak masuk perang mesti lengkap dengan taktik. Tak cukup dengan perang saraf dan saikologi, ditambah dengan perang material. Tuk tuk betul-betul ada perang di Lahad Datu. Ia bukan lakonan seperti dakwaan Tian Chua. Tapi angkara si Kiram durjana. Mungkin itu cuma intronya saja yang datang secara kebetulan, kata orang sebagai sumbu peledak. Bom akan meletus, kita tunggu Najib untuk memetik suis peledak saja. Tapi bila dan kita masih tertunggu-tungu !

Sementara menunggu bom meletus, apa kata kita menyingkap kembali suasana menjelangnya PRU 12 di tahun 2008 yang lalu. Kata orang, tak ada yang dulu, mana ada sekarang. Apa beza yang dahulu dan apa yang kita lalui sekarang. Sekurang-kurang bolehlah dibuat perbandinga. Maka siri 1 dalam Bicara Politik Menjelang PRU 13 ini, saya akan mula berbica di laman FB ini. Siri-siri seterusnya akan menyusul secara berkala.

Masa antara PRU 11 di tahun 2004 dan PRU 12 di tahun 2008, kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri diwarnainya dengan pelbagai suka dan duka. Pak Lah begitu selesa dengan mandat besar yang diperolehinya ketika pertama kali mengetuai jentera pilihanraya dalam tahun 2004. Namun harapkan panas hingga ke petang, hujan turun di tengah hari. Di hujung-hujung mandat Pak lah, langit petang tidaklah secerah seawal pagi. Guruh halilintar menggegar ekonomi negara dan dunia di ambang kemelesesatan. Politik dalaman digoncang oleh sekutu Anwar Ibrahim. Maka dalam suasana itulah negara menempuh PRU 12 di tahun 2008. Saya akan cuba memperincikan dari sudut sebagai pemerhati politik, walaupun akan sedaya upaya bertindak sebagai pihak ketiga yang neutral, namun tidak dinafikan kecenderungan terhadap politik peribadi.

Waktu berbulan madu Pak Lah di Putrajaya cuma bertahan tak sampai dua tahun selepas PRU11 dahulu. Dua tahun terakhirnya menyaksikan Pak Lah terpaksa bergelut dengan suasana suram dek kemelut ekonomi dan kewangan dunia yang mencabar. Negara menerima tempias yang bukan sedikit.

Masalah Kewangan Global & Krisis Bahanapi dan Makanan Dunia :

Krisis Kewangan Amerika Syarikat yang merujuk kepada keruntuhan ekonomi, perdagangan, gadai janji subprima perumahan di Amerika Syarikat yang semakin parah sejak 2007 dan berlarutan pada tahun 2008. Industri hartanah merudum. Bursa saham di seluruh dunia menjunam dan beberapa syarikat gergasi di Amerika Syarikat terjerumus ke dalam masalah kewangan akibat krisis kredit perumahan . Keadaan ini dilihat sama dengan Krisis Kewangan Asia 1998 yang melanda Thailand, Indonesia, Malaysia, dan lain-lain.

Krisis harga makanan dunia semakin melambung. Bahan makanan utama dunia seperti beras dan tepung diperdagangkan di bursa saham untuk mendapatkan keuntungan lebih besar. Pemanasan global memberi kesan rantaian kepada harga barang makanan yang melambung yang secara kebetulan beberapa blok negara ketiga mengalami kemarau yang berpanjangan .

Oleh kerana negara masih banyak bergantung kepada import bahan makanan utama seperti tepung, gula, makanan haiwan terutamanya jagung, racun dan baja pertanian dan yang lain-lain, maka secara tidak langsung harga-harga makanan menjadi lebih mahal. Walaupun kesemua masalah ini bukan dijana di dalam negara tetapi asas politik kedai kopi, maka apa saja modal yang menguntungkan sesuatu pihak, maka ia tetap akan dipolitikkan. Inilah senario berpolitik yang mewarnai menjelangnya PRU 12 dahulu.

Malaysia tidak menerima kesan langsung kerana sejak dahulu Malaysia tidak menerima pakej pinjaman kewangan perumahan dan subprima dari Amerika. Namun kesan masih ada kerana import dan eksport antara kedua-dua negara serta negara-negara yang berdagang dengan Amerika menjadi lebih lembab. Ini menyebabkan banyak pengeluaran untuk eksport dari kilang-kilang tidak dapat dilakukan, ia secara tidak langsung mengurangkan pendapatan pekerja kilang. Rantaian daripada itu ia menyebabkan ekonomi negara menjadi lemah dan tidak bermaya.

Bagaimanapun beberapa komuditi makanan utama Malaysia seperti minyak sawit, koko mendapat manfaat yang besar kerana didagangkan ke pasaran dunia dengan harga yang lebih tinggi.

Walaupun harga minyak mentah dunia melambung naik pada sekitar USD62 setong pada tahun 2006 dan meningkat kepada USD121 setong pada 2008. Kerajaan masih mengekalkan harga RM1.92 seliter untuk petrol bagi Semenanjung sebelum PRU 12 dahulu. Namun ketika itu telah kedengaran khabar-khabar angin bahawa kerajaan akan menaikkan harga runcit petrol, dan ia dijadikan isu nasional yang paling hangat didebatkan oleh pelbagai pihak. Tetapi kenaikan harga minyak mentah dunia dapat diseimbangkan dengan pendapatan Petronas yang melonjak, maka subsidi yang besar juga telah disalurkan kepada pengguna. Walaupun akhirnya kerajaan terpaksa mengalah juga selepas PRU12 dengan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter, sebelum ia distabilkan kembali pada harga sekarang.

Oleh kerana Pak Lah adalah kepala negara, maka beliau terpaksa menerima hentakan kepalanya oleh rakyat walaupun masalah ini bukanlah lahir daripada kelemahan pentadbirannya. Rakyat kebanyakan tidak dapat menerima analisa seperti ini, yang rasional, tetapi hanya menerima kesimpulan dari pentas-pentas ceramah yang penuh emosional dan menuding jadi bahawa seluruh team Pak Lah dalam kerajaan tidak membuat perkara yang sepatutnya. Dalam ceramah politik, fakta-fakta tidak penting, cuma yang penting ialah penceramah telah dapat menerjah ke dalam benak hati pendengar dengan lengguk bahasa dan cacian dan maki hamun yang berapi-api. Itulah realiti.

Kesepakatan Parti-parti Pembangkang & isu kaum-kaum :

Pak Lah mungkin terdesak untuk mendapat mandat baru dari rakyat. Jika tarikh pengundian dijadikan ukuran, tarikh pembuangan undi PRU 11 ialah pada 21 Mac 2004, manakala PRU 12 ialah pada 8 Mc 2008. Jadi mandat Pak Lah sebenarnya baru nak mencecah empat tahun. Jika diikutkan amalan dewan, bahawa umur setiap mandat adalah dikira dari tarikh permulaan persidangan parlimen yang pertama, bukannya dari tarikh pengundian.

Oleh kerana goncangan politik dalaman yang begitu hebat dihadapi oleh Pak Lah terutamanya dari Anwar Ibrahim serta sekutu-sekutunya, maka Pak Lah terpaksa membuat perhitungan masa yang sesuai untuk mengadakan PRU12. Kegetirannya ialah untuk menidakkan penyertaan Anwar Ibrahim dalam PRU 12. Ini adalah kerana peraturan setiap bekas pesalah penjara akan dikenakan batas-batas tempuh masa tertentu yang mensyaratkan ia tidak boleh bertanding dalam pilihanaraya. Jika PRU 12 dilanjutkan sehingga membolehkan Anwar bertanding, maka landskap politik Malaysia harus ditulis semula. Maka Pak Lah terpaksa melakukannya. Sesungguhnya faktor inilah yang menjadi key point mengapa Pak Lah mempercepatkan PRU 12 selain masalah kewangan global dan krisis bahanapi dan makanan dunia.

Walaupun Pak Lah mengakui bahawa kerusi Permatang Pauh akan kekal milik PKR melalui Dr. Wan Azizah, tetapi impaknya tidaklah besar berbanding dengan yang bertanding ialah Anwar Ibrahim sendiri. Kerana jika dibenarkan Anwar Ibrahim bertanding masa PRU 12, sudah tentu panglima perang PRU 12 secara sah akan digalas oleh Anwar Ibrahim. Pak Lah sudah nampak risiko besar yang bakal menanti. Maka sebelum maut mendatang, lebih elok kita mengelak.Itulah strateginya.

Walaupun Anwar Ibrahim tidak dibenarkan bertanding dalam PRU 12 secara sah dan nyata, tetapi Anwar Ibrahim terpaksa menggunakan puppet iaitu isterinya sendiri, Dr. Wan Azizah untuknya menggerakkan operasi Pakatan Rakyat. Akhirnya demi kasih adinda kepada kekanda, Dr Wan Azizah merelakan kerusi Permatang Pauh ditandingi Anwar dalam pilihanraya kecil pada bulan Julai, 2008 beberapa bulan selepas PRU 12.

Ikon Anwar Ibrahim telah mewarnai PRU 12. Strategi Anwar Ibrahim bukan sahaja berupaya menggabungkan ketiga-tiga parti PKR, DAP dan Pas dalam satu gagasan longgar yang tidak berdaftar dengan ROS, ia juga ingin merangkumkan satu gerakan massa yang terdiri daripada beberapa NGO yang mirip untuk memperjuangan kepentingan sempit kaum-kaum tertentu khususnya HINDRAF dan beberapa badan NGO Cina.

Kita tidak harus melupakan peranan Anwar Ibrahim bersama pemimpin HINDRAF dalam mencorakkan penentangan terbuka terhadap kerajaan melalui demonstarsi di Kuala Lumpur. Akibat daripada penyuraian orang-orang India dalam demonstrasi dengan menggunakan penembak air FRU dan gas pemedih mata telah menyemarakkan kemarahan mereka terhadap Pak Lah. Yang akhirnya banyak pengaliran undi ke arah pembangkang oleh kaum India termasuk oleh mereka yang dahulunya menyokong kerajaan.

Kematangan cara berpolitik di Malaysia telah menampakkan arah dua “parti”, yakni penyokong kerajaan dan pembangkang. Namun tidak seperti Barisan Nasional yang berjaya menggabungkan 14 buah parti dalam satu gagasan, satu perlembagaan dan satu lambing Dacing, pihak pembangkang tidak mampu untuk bergerak atas satu platform. Mereka masih tidur sebantal tetapi mimipi lain-lain serta enggan untuk mendaftarkan ‘perkahwinan” mereka. Namun demikian rakyat nampaknya masih belum yakin dengan kesepakatan mereka lantaran antara ketiga-tiga parti tersebut agak susah untuk mencari titik pertemuan yang ideal kecuali satu matlamat menumbangkan BN.

Perang Siber, perang Blogger :

PRU 12 telah menampakkan satu dimensi pementangan yang terbuka secara siber antara penyokong kerajaan dan pengokong pembangkang. Oleh kerana pihak pembangkang tidak mendapat liputan yang seadilnya dari media arus perdana untuk mengutarakan komen atau memasarkan idea parti atau mempromosikan calon-calon serta perbincangan isu-isu politik. Maka PRU 12 telah memperlihatkan pertambahan mendadak para blogger.

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas terhadap peranan para blogger dan isu yang telah dimainkan semasa kempen PRU 12 dahulu, mereka mendapati isu yang paling banyak ditonjolkan ialah ketelusan SPR dalam pengendalian pilihanraya. Secara tidak langsung SPR menjadi kambing hitam walaupun ia hanyalah pelaksana pilihanraya. Memang inipun yang diperjuangan oleh pembangkang terutamanya oleh group Ambiga serta beberapa NGO yang mirip menyebelahi pembangkang.

Isu kedua terbanyak ialah tentang kelemahan dan kredibiliti Pak Lah dalam pentadbiran negara. Pak Lah dilondehkan dengan aib sekali. Tiada rasa hormat langsung terhadap seorang Perdana Menteri. Kebanyakan blogger adalah menulis atas kapasiti peribadi dan selain mewakili parti-parti politik. Daripada hampir 200 posting yang terlibat dalam kajian tersebut mendapati lebih separuh daripadanya menggunakan bahasa Inggeris. Dan mereka menampakkan mirip untuk menyebelahi pembangkang.

Sesungguhnya keputusan PRU 12 banyak dipengaruhi oleh tulisan-tulisan para blogger yang lebih mirip menyokong pembangkang. Dalam masa yang singkat , walaupun pihak kerajaan baru bingkas dan menyedari bahawa perang siber lebih efisien, namun adalah sudah terlambat untuk mengubah keadaan.

Keputusan PRU 12 :

Keputusan PRU 12 sungguh tragis. BN hanya memperolehi 140 daripada 220 kerusi yang dipertandingan. Pertama kali dalam sejarah pilihanraya, BN kehilangan majority 2/3 kerusi. Pakatan pembangkang menang dengan lebih selesa di parlimen dan membentuk lima kerajaan negeri. Tsunami politik ini walaupun seakan-akan Teori Domino dengan tumbangnya Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Tetapi ia tersekat di Negeri Sembilan.

Apakah pembangkang ingin meneruskan Teori Domino ini dalam PRU 13 nanti. Nampaknya Lim Kit Siang telahpun ditawarkan untuk dicalonkan di Gelang Patah dan Salehudin Ayup untuk kerusi Pontian atau Skudai di Johor. Manakala Ust Haron Din akan mengukuh di Arau, Perlis.

Saya akan mengupas isu ini dalam Siri seterusnya dalam Bicara Politik Menjelang PRU 13 dalam tajuk yang lain pula.




Nota : artikel ini telah disiarkan dalam Facebook saya pada 23.03.2013
Post a Comment