Thursday, March 28, 2013

Di sebalik Lahat Datu, apa kita harus tahu ( I )



Al Fatihah untuk Allahyarham Ins Zulkifli Mamat dan Allahyarham Koperal Sabarudin Daud yang gugur di medan perang demi mempertahankan maruah negara dari pencerobohan asing. Ketika kita masih menyayat hati dengan pemergian kedua-keduanya, kita dikejutkan dengan berita enam lagi anggota keselamatan yang terkorban di Semporna. Moga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan syuhada yang berjuang demi bangsa, ugama dan negara yg tercinta.

Menyingkap kembali kronologi dan mengapa kes pencerobohan ini tidak ditangani lebih awal, saya percaya ramai di antara kita telahpun disebarkan di internet tentang fakta-fakta mengapa pihak tentera dan polis terpaksa menunggu hingga ke saat-saat akhir baru melakukan serbuan bagi menamatkannya. Oleh itu tidak perlulah saya untuk memanjangkannya di sini.

Bagaimana pun saya ingin mengajak anda untuk berkongsi ilmu berdasarkan senario dan perpsektif geopolitik dan perhubungan antarabangsa khasnya yang melibatkan percaturan kuasa di kalangan negara-negara ketiga serta melihat apakah permasalahan akar umbi yang dihadapi oleh puak-puak atau golongan-golongan ini dalam memperjuangkan identiti sendiri yang akhirnya banyak menumpahkan darah.

Secara umumnya perbincangan ini akan melibatkan tiga negara yang menghadapi masalah yang hampir sama iaitu Filipina, Thailand dan Indonesia. Persamaan yang ada ialah orang-orang Islam menuntut kehidupan yang lebih baik dan konsesi politik yang memihak kepada mereka. Di Filipina dan Thailand memperlihatkan penentangan orang-orang Islam terhadap pemerintahan yang berlainan ugama. Manakala di Indonesia yang melibatkan Acheh adalah penentangan terhadap kerajaan pusat di Jakarta yang berugama Islam. Walaupun kini Acheh telah memperolehi autonominya, tetapi adalah lebih baik bagi kita cuba menyingkap sejarah penentangannya bagi merungkaikan dan mengaitkan ketiga-tiganya dalam satu skop.

Walaupun di Filipina dan Thailand pernah dikaitkan dengan sejarah pemerintahan Islam Melayu, yakni Kesultanan Sulu yang memerintah sebahagian Filipina hingga ke Borneo dan Kesultanan Patani yang memerintah Patani, Narathiwat, Yala, Songkla dan Satun, namun dalam senario politik hari ini adalah mustahil bagi mereka untuk mendapatkan apa-apa hak jika dituntut di mana-mana mahkamah timbangtara antarabangsa. Bagitu juga dalam kes Acheh, mereka tidakpun mengaitkan Kesultanan Acheh dalam tuntutan mereka terhadap Jakarta. Namun penentangan mereka terhadap pemerintah mempunyai satu persamaan iaitu berkisar kepada ugama Islam sebagai asas perjuangan.

Perjuangan persenjataan pejuang-pejuang ini pada peringkat awalnya mendapat tajaan Muammar Gaddafi yang menjadikan Libya sebagai kilang “independent fighters” bagi seluruh dunia. Ia bukan sahaja menaja persenjataan dan kewangan bahkan melatih pejuang-pejuang gerila. Contohnya, pejuang-pejuang gerila Rhodesia telah dapat menumbangkan kerajaan Apartied yang pertama di dunia dengan bantuan Libya. Akhirnya Rhodesia telah merdeka lalu menukar nama kepada Zimbabwe yang terkenal dengan presidennya iaitu Robert Magabe. Kemudian diikuti oleh parti ANC pimpinan Nelson Mandela bagi membebaskan Afrika Selatan. Di Asia Tenggara pula ialah Gerakan Acheh Merdeka (GAM) pimpinan Hassan Tiro dan Moro National Liberation Front (MNLF) pimpinan Nur Misuari. Malah Nur Misuari telah tinggal dalam buangan di Libya untuk menggerakkan perjuangannya dari sana.

ACHEH, INDONESIA :

Gerakan pembebasan di Acheh telah bermula sejak Indonesia mencapai kemerdekaan lagi. Namun kemuncak penentangan bersenjatanya terhadap Tentera Nasional Indonesia (TNI) berlaku ketika Gerakan Acheh Merdeka (GAM) pimpinan Hasan Tiro yang menggerakkannya dari Sweden, tempat suaka politiknya. Kedudukan geografi Acheh yang terletak di penghujung Sumatra dengan kesepakatan penduduk Acheh yang menyokong GAM serta mempunyai organisasi yang tersusun, maka tuntutan mereka akhirnya termeterailah perjanjian Helsinki dalam tahun 2005 yang menyaksikan Acheh mendapat taraf autonomi dari Indonesia. Bagaimanapun Hasan Tiro tidak dapat menikmati erti kebebasan wilayah yang diperjuangkannya lantaran ia meninggal dunia sehari selepas beliau mendapat taraf kewarganegaraan Indonesia.

SELATAN THAILAND :

Orang-orang Islam di selatan Thai adalah berketurunan Melayu dan mereka yang mendiami wilayah Narathiwat, Yala dan Songkla merupakan kelompok majoriti. Namun pemerintahan Thailand adalah dari kaum Thai serta asimilasi dari bangsa-bangsa lain yang berugama Budha. Penduduk Islam tidak mendapat konsesi politik yang diharapkan serta pembangunan di selatan Thai tidak serancak di utara yang didiami oleh kaum Thai. Maka penduduk islam telah menggerakkan perjuangan persenjataan untuk memperolehi autonomi dari Bangkok.

Namun demikian, penentangan mereka tidak seperti di Acheh yang memperlihatkan hanya satu organisasi sahaja iaitu GAM. Di selatan Thai, para pejuangnya tidak bersatu dan diketuai oleh kelompok-kelompok tertentu. Yang peliknya, ketua-ketua pejuang berselindung dan sukar untuk diketahui siapa sebenarnya ketua mereka. Walaupun kumpulan-kumpulan ini pernah disatukan dalam Patani United Liberation Organisation (PULO), namun keberkesanannya tidak diketahui secara nyata.

Baru-baru ini begitu galak dilakukan penentangan bersenjata terhadap tentera kerajaan. Ini mungkin juga ingin menaikkan suhu penentangan dengan harapan mendapat perhatian yang lebih besar dari Bangkok dan antarabangsa. Mungkin mereka telah mencium cadangan kerajaan Thailand ingin berdamai dan meminta Kuala Lumpur menjadi pengantara seperti yang dilakukan di Filipina.

Akhirnya termeterailah perjanjian persetujuan untuk menggerakkan proses perdamaian di selatan Thai. Ini adalah satu inisiatif dan bukanlah perjanjian penamat. Kumpulan pemberontak diwakili oleh Ketua Pejabat Perhubungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia, Hassan Taib. Apakah Hassan Taib akan dapat menjejaki Hasan Tiro yang membawa Acheh ke arah autonomi. Walaupun kedua-dua anak Hasan ini mempunyai satu matlamat, namun autonomi selatan Thai masih jauh di persimpangan.

SELATAN FILIPINA :

Seperti di Thailand, penduduk di selatan Filipina majoritinya adalah berugama Islam. Sejak dahulu lagi mereka mengatakan kawasan tersebut adalah jajahan takluk kesultanan Sulu yang merangkumi sebahagian Borneo dan selatan Filipina. Dan yang nyata ialah Sabah. Namun demikian, kesultanan Sulu telah memberi pajakan kekal Sabah kepada Inggeris dalam satu perjanjian pada tahun 1878. Mengikut takrifan undang-undang, pajakan kekal bermakna tidak boleh diambil balik. Kemudiannya Inggeris telah menyerahkan Sabah kepada Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya membentuk Malaysia selepas melalui satu pungutan suara. Yakni ia tidak melalui kekerasan tetapi mandat dari rakyat Sabah sendiri.

Keujudan pejuang-pejuang Islam di selatan Filipina banyak dibayangi oleh MNLF yang diketuai oleh Nur Misuari. Mereka pernah menandatangani perjanjian Tripoli tajaan Libya dalam tahun 1987 untuk pemberian semi autonomi bagi bangsa Moro. Namun demikian pentadbiran Nur Misuari yang agak lemah dan dipenuhi dengan skandal kewangan dan akhirnya ia disisihkan oleh Manila sendiri. Perjanjian ini sejak dari awalnya memang mendapat tentangan dari sebahagian komander MNLF sendiri. Akhirnya menyaksikan MNLF berpecah dan salah seorang komandernya Hashim Selamat membentuk kumpulannya sendiri yang dinamakan Moro Islamic Liberation Front (MILF). Setelah Hashim Selamat meninggal dunia, anak didiknya Murad Ebrahim mengambil alih tampuk MILF sehingga berjaya menandatangani perjanjian dengan Aquino di Manila yang disaksikan oleh Dato Seri Najib Tun Razak atas peranan Malaysia sebagai pendamai bagi MILF dan Manila.

Dalam rangkakerja perjanjian ini tidak dimasukkan terma peranan dan keujudan kesultanan Sulu. Memang pun kesultanan Sulu telah tidak diiktiraf selepas tahun 1974. Ia hanya tinggal menjadi simbol kebanggaan bangsa Sulu sahaja, dan ianya samalah dengan status Sultan Humengkubuwono di Indonesia yang hanya dilantik sebagai gabenor. Oleh yang demikian, jika pihak kesultanan Sulu tidak mengambil apa-apa inisiatif maka mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan yang sewajarnya selepas perjanjian akhir MILF dengan Manila serta pembentukan wilayah Bansamoro nanti.

Mahu tidak mahu, kesultanan Sulu terpaksa mencari helah untuk “menonjolkan diri” kepada Manila, Kuala Lumpur dan antarabangsa tentang keujudan kesultanan Sulu serta survival bangsa Sulu. Maka modal yang ada ialah dengan cara menuntut Lahad Datu walaupun tidak keseluruhan Sabah. Mereka juga menyedari tidak akan berjaya untuk menawan Sabah dengan hanya kekuatan 180 orang, tetapi cukup untuk membuat provokasi dan jika keadaan terpaksa maka yang 180 orang ini adalah “korban nyawa” demi perjuangan kesultanan Sulu.

Selain daripada itu, dengan menghangatkan tuntutan Lahad Datu yang kecil, mereka akan cuba untuk memperolehi laba yang lebih besar dari Manila. Mungkin dengan cara ini Manila akan menilai kembali tuntutannya terhadap Sabah. Maka secara tidak langsung, provokasi mereka ini mendapat “restu” dari presiden Filipina. Sebagai ganjarannya, tuntutan, peranan dan pengiktirafan kesultanan Sulu dalam rangkakerja perjanjian antara MILF dan Manila tentu akan mendapat perhatian yang lebih baik.

Mereka juga bijak untuk membuat perhitungan apabila melakukan pencerobohan ini takkala Malaysia akan mengadakan PRU. Lazimnya setiap kali PRU, isu Sabah kembali bergema. Oleh itu ia akan tumpang sekaki dalam suasana kehangatan itu bagi menaikkan lagi suhu PRU. Cakap-cakap mengatakan terdapat beberapa pertemuan antara pihak pembangkang di Malaysia dengan wakil kesultanan Sulu dan Nur Misuari dengan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Namun tidak dapat dipastikan apakah butiran perbincangan mereka itu. Memanglah dalam istilah perisikan, kertas conteng yang dibuang dalam bakul sekalipun akan dijadikan bukti, inikan pula gambar terang lagi bersuluh. Maka pelbagai spekulasi akan berterbangan.

Untuk membabitkan peranan Nur Musuari dengan sokongannya terhadap pencerobohan itu memang berasas. Ini kerana Nur Misuari adalah dari pihak yang tersisih dari pentadbiran Manila kerana Manila memihak kepada MILF yang menjadi seteru politik MNLF. Dalam kes tuntutan ke atas Sabah, jika benar seperti yang dikatakan oleh perisikan, Nur Misuari akan mencari dahan berpijak yang baru di Malaysia lantaran dia juga tidak dilayan oleh Kuala Lumpur. Oleh itu dia mengharapkan pembangkang Malaysia akan menang PRU dan isu Sabah sudah tentu menyebelahinya. Secara tidak langsung dia akan mendapat laba yang tidak sedikit hasil dari percaturannya itu.

Daripada risikan tentera terhadap keupayaan tentera penceroboh, memang mereka adalah terdiri dari warga emas dan ada yang muda. Namun demikian perlu diingat kemungkinan besar mereka adalah veteran perang gerila yang menganggotai MNLF atau MILF. Mungkin juga mereka terdiri daripada anggota kumpulan Abu Sayap yang mendiami kepulauan Jolo. Sebab itulah mereka agak mahir dalam kehidupan dan taktikal perancangan perang dalam hutan walaupun hanya mempunyai keanggotaan yang kecil.

Kesimpulannya, pencerobohan tentera kesultanan Sulu ke atas Lahad Datu bukan hanya satu provokasi atau tunjuk berani mati, tetapi ia terkandung muslihat yang lebih besar !

Oleh : Hisemudin Kasim
2hb Mac 2013 11.00 pm


Nota : artikel ini telah disiarkan di Facebook saya pada 02.03.2013


Post a Comment