Thursday, March 28, 2013

Di sebalik Lahad Datu, apa kita harus tahu (III)



Ini adalah kesinambungan bagi siri I & II atas tajuk yang sama. Dalam siri I, saya telah mengupas mengenai sejarah pemberontakan orang-orang Islam di Acheh, Selatan Thailand serta Selatan Filipina bagi mendapatkan konsesi pemerintahan yang lebih adil daripada pemerintah pusat . Manakala siri II memaparkan sejarah kesultanan Sulu serta b...agaimana Borneo Utara terlepas ke tangan Malaysia lalu dan dinamakan Sabah.

Manakala dalam siri ke III ini, saya akan menumpukan perbincangan dari aspek perundangan, politik, perhungan antarabangsa dan taktikal ketenteraan dalam menyelesaikan kes pencerobohan ini. Di samping membuat perbandingan terhadap kes Lahad Datu dengan kes Al-Ma’unah di Sauk, Perak. Juga saya akan selitkan apa yang terjadi dengan lirik, “Tanya sama Anwar, ngapa Sabah tidak hilang…… Nanti jawab ……………..”

Dikatakan bahawa pihak Wisma Putra, ATM dan polis terpaksa berhati-hati bagi menangani kes ini sejak di hari pertama lagi. Selain daripada mengambilkira soal-soal keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam yang di bawah tanggungjawab polis dan soal keselamatan negara dari pencerobohan dalam dan luar negeri yang digalas oleh ATM, kita harus juga mengingatkan bahawa kita terikat dengan beberapa perundangan antarabangsa dan protokol yang perlu diikuti. Salah satunya ialah Konvensyen Geneva.

Konvensyen Geneva mengandungi empat perjanjian yang dibuat di Geneva, Switzerland, yang mana Malaysia turut menandatangani nya pada 24 Ogos 1962 dan merupakan negara ke 89 mengesahkannya.

Semua negara telah setuju :

a. Menjaga mereka yang cedera, sama ada kawan atau musuh.

b. Melindungi orang awam , menghormati maruah mereka, hak keluarga dan hak agama mereka.

c. Mengharamkan penyiksaan, kekejamam, pembunuhan, pengambilan tawanan sebagai tebusan, membuang negeri serta memusnahkan harta-benda orang awam

d. Membenarkan wakil-wakil dari JAPM melawat tawanan perang dan berbincang dengan mereka tanpa saksi ditetapkan dalam piawai bagi undang-undang antarabangsa berkaitan kemanusiaan.

Di samping itu kenyataan Setiausaha Agong PBB, Ban Kin-moon yang mahukan usaha “damai” telah di”veto” oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai reaksi tegas bahawa Malaysia tidak inginkan sebarang campurtangan asing dalam kes ini.

Oleh kerana pada awal pencerobohan ini, penceroboh telah ditaksirkan sebagai “tentera” iaitu tentera kepada kesultanan Sulu yang mungkin dikaitkan dengan sebahagian daripada tentera negara Filipina. Maka ia boleh mengundang kepada pencerobohan kuasa negara asing terhadap sebuah negara berdaulat.

Dan jika peperangan berlaku, maka ia akan disabitkan dengan Konvensyen Geneva. Musuh yang ditangkap akan ditakrifkan sebagai “tawanan perang”. Inilah yang cuba dielakkan oleh Malaysia tambahan pula ia melibatkan negara Asean yang terkandung juga pemuafakatan dan kesetiakawanan Asean.

Selepas diselidiki oleh perisikan tentera dan polis serta kenyataan daripada Manila, mereka didapati adalah tentera kesultanan Sulu yang tidak diiktiraf oleh Manila. Maka pendekatan ketenteraan terpaksa menjadi sekunder, manakala akta-akta polis bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri lebih praktikal.

Tambahan pula terdapat beribu-ribu rakyat negara kita terdedah dalam zon peperangan yang luas dan keselamatan mereka perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan ketenteraan dilakukan. Kesukaran dalam mobilisasi penduduk dan kerosakan harta benda harus dielakkan. Mereka tidak boleh dijadikan perisai dan mangsa konflik atau dijadikan tebusan oleh pihak musuh.

Disamping itu kerajaan sedaya-upaya untuk mengelakkan pertumpahan darah sesama Islam dan merumitkan lagi permasalahan etnik Suluk di Sabah yang sekian lama menjadi duri dalam daging terhadap keselamatan negara. Sebab itulah strategi ‘berunding” tanpa kekerasan dimulakan terlebih dahulu dan memakan masa yang agak lama.

Jika perlaku tangkapan semasa operasi, maka mereka ditakrifkan sebagai “tahanan” polis dan tidak “tawanan” tentera. Sebab itulah polis terpaksa dikerahkan terlebih dahulu sebelum bantuan tentera dihantar kemudiannya. Tentang takrifan “penceroboh” yang akhirnya diklasifikasikan sebagai “pengganas” telah dipersetujui oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert del Rosario yang membuat kenyataan bersama dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman di Kuala Lumpur. Maka caj yang akan dikenakan nanti adalah tertakluk kepada kesalahan keganasan dan bukan kesalahan perang di Malaysia.

Tentang pendakwaan yang yang bakal dikenakan kepada penceroboh termasuk Jamalul Kiram III, sehingga kini pihak pendakwaan masih menganalisa kes ini. Bagaimanapun Manila telah terlebih dahulu mengumumkan akan mengambil tindakan berasaskan undang-undang negaranya kepada mereka yang terlibat dan yang masih berada di Filipina.

Kemudian bergantunglah kepada persetujuan bersama Malaysia-Filipina samada untuk mengekstradisi Jamalul Kiram III ke Malaysia. Kerana Malaysia dan Filipina tidak mempunyai perjanjian ekstradisi namun mungkin jika dilakukan ialah menerusi saluran semangat Asean. Contoh yang pernah dibuat menggunakan kaedah ini ialah semasa pentadbiran Presiden Gloria Aroyo agar Nur Misuari yang ditangkap kerana memasuki Sabah diekstradisi ke Filipina dalam tahun 2001 boleh diaplikasikan.

Apa yang berlaku di “medan perang” berlainan pula yang berlaku di “medan politik” tanahair. Apa yang jelas kes Lahad Datu dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang untuk memburuk-burukkan pihak berwajib dan menteri yang terlibat lantaran terlalu banyak masa diberikan untuk berunding. Sampai ke satu tahap pembangkang memperlekehkan cara penghantaran askar-askar ke Lahad Datu dengan menggunakan penerbangan komersial yang dianggap sebagai permainan politik yang kurang matang. Lebih dahsyat lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua sanggup melabelkan insiden tembak-menembak ini adalah konsiparasi UMNO yang dilakunkan. Ia amat menjijikkan !

Dari segi taktikal ketenteraan dan kerahsiaan di lapangan perang bukanlah menjadi isu kerana pihak ATM dan polis lebih arif dengan tugasan mereka. Pihak pembangkang terutamanya tidak seharusnya menunjuk pandai padahal mereka sendiri tidak pernah menunjukkan semangat patriotik terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang berkorban demi keselamatan kita.

Dengan terkorbannya 8 orang perwira dan beberapa orang anggota yang cedera serta para isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi yatim, sudah cukup untuk kita menilai apakah “lakunan” sedemikian semata-mata demi mengejar populariti politik peti undi dalam PRU akan datang.

Bagaimanapun kita juga mengakui bahawa dengan kes pencerobohan ini, telah menelanjangi beberapa kelemahan keselamatan negara terutamanya di sempadan perairan negara yang luas dan panjang sejauh 1400 Km di timur Sabah. Daripada strategi perang, kita juga mendapat pengalaman yang mungkin tidak terfikir oleh pihak perisikan dan perancang taktikal ketenteraan bahawa pihak musuh menggunakan taktik perang gerila yang sungguh licik dalam kumpulan yang kecil.

Contohnya apabila semua ketumbukan tentera tertumpu di Lahad Datu, tiba-tiba yang meletus pertempuran ialah di Semporna. Selain daripada itu timbul persoalan di manakah ketua kumpulan pengganas iaitu Raja Muda Azzimuddie Kiram berada ketika ini. Mungkinkah beliau telah meloloskan diri dan bersembunyi di Filipina sebelum serangan ketenteraan dilakukan. Dan beliau berhubung dengan orang kanannya, iaitu Jeneral Haji Musa melalui telefon satelit setelah komunikasi gelombang darat ke darat disekat oleh tentera.

Perbezaan antara kes Al-Ma’unah di Sauk, Perak dengan kes Lahad Datu:

Kes pencerobohan nekad ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah Temenggur, Grik pada subuh 2 Julai 2000 oleh kumpulan Al-Ma'unah yang diketuai oleh Muhammad Amin Mohamed Razali dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia.

Ia merupakan kejadian pertama dilakukan oleh segelintir ahli-ahli kumpulan tersebut yang menyamar sebagai pegawai tentera serta menggunakan kenderaan yang dicat seakan-akan kenderaan tentera bagi merampas senjata di kem tersebut. Kumpulan tersebut yang hanya terdiri daripada 29 orang kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan Bukit Jenalik, berhampiran perkampungan di Sauk, Negeri Perak dan bersedia untuk melancarkan serangan terhadap kerajaan.

Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi.

Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma'unah telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan. Kumpulan Al-Ma'unah kemudiannya menyerah diri, dan dianggarkan tiga orang telah terkorban dan ia hanya melibatkan pengepungan oleh 59 anggota polis dan tentera.

Sungguh menghairankan kerana ada bekas pegawai tertinggi angkatan bersenjata negara yang menyertai pembangkang ketika ini cuba mengaitkan kes Al-Ma’unah dengan kes Lahad Datu. Mereka mengatakan bahawa dalam kes Al-Ma’unah, pihak polis dan tentera cuma mengambil masa empat hari sahaja untuk menumpaskan pemberontakan itu tetapi mengapa kita terpaksa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengusir pengganas di Lahad Datu.

Daripada keterangan dan fakta-fakta yang saya utarakan di atas telah menjawab semua tuduhan itu. Sesungguhnya kes Al-Ma’unah adalah kes menangkap seorang ketua militant pengganas iaitu Muhammad Amin serta 28 orang pengikutnya sahaja dan mereka hanya berkubu di sebuah bukit yang terkepung.

Apakah layak untuk dibandingkan dengan kes Lahad Datu ini. Itulah mentaliti pembangkang yang sentiasa membangkang walaupun ianya melibatkan keselamatan negara. Jadi apakah mereka layak untuk dipertaruhkan kepercayaan untuk memimpin negara jika benar-benar negara diancam oleh tentera asing. Fikir-fikirkan lah !

Tanya sama Anwar, ngapa Sabah tak hilang …… nanti jawab Hisemudin Kasim …….

Apakah selepas kejadian Lahad Datu ini Anwar akan mengulangi lagu “Tanya sama Najib, apa sebab goyang …..”. Tetapi lagu itu akan berbalik kepadanya, “Tanya sama Anwar, ngapa Sabah tak hilang…..”. Sesungguhnya dengan kes Lahad Datu akan menambahkan kepercayaan dan sokongan rakyat mencanak naik, ditambah lagi selepas lawatan turun padang Perdana Menteri ke medan perang Lahad Datu, menjenguk sendiri kesiapsagaan pasukan keselamatan tanpa menghiraukan keselamatannya sendiri seperti yang telah ditunjukkannya semasa berada di Gaza dahulu.

Semangat rakyat terhadap kecintaan kepada negara diluahkan dalam pelbagai cara samada melalui media-media sosial facebook dan twitter dan sebagainya. Manakala cemuhan yang tak terhingga dari pelbagai lapisan masyarakat serta tunjuk perasaan membantah kenyataan biadap Tian Chua semakin lantang. Secara tidak langsung pakatan yang diterajui oleh Anwar akan menerima padah yang amat besar terutamanya di peti undi dalam PRU akan datang. Rakyat Sabah sudah tentunya akan menyanggah hasrat Anwar itu, dan menyanyikan lagu…… Sabah tak hilang.

Tanya sama Anwar, ngapa Sabah tak hilang,
Nanti jawab Anwar, Kiram yang halang.

Tanya sama Kiram, ngapa buat halang,
Nanti jawab Kiram, Misuari yang dalang.

Tanya sama Misuari, ngapa jadi dalang,
Nanti jawab Misuari, Anwar nak belakang.

Oleh : Hisemudin Kasim
11.3.2013 8.00 pm

 
Nota : Artikel ini telah disiarkan dalam FB saya pada 11.03.2013
Post a Comment