Monday, April 1, 2013

Apakah Najib akan menjadi Perdana Menteri lagi selepas PRU 13 nanti ?



Debaran dari hari ke sehari.  Mungkin esok mungkin lusa parlimen akan dibubarkan. Hati para ahli politik lebih mencengkam, apakah mereka akan terpilih untuk jadi calon. Rakyat tertanya-tanya, yang menyokong PM akan berharap Najib akan menang. Bukan menang sikit, bahkan mahu 2/3 kerusi majoriti. Yang menentang Najib lain pula tafsirannya,  mereka mengharapkan PR menyapu bersih tujuh negeri seperti yang diuar-uarkan. Mereka nak tabalkan Anwar sebagai PM di Putrajaya. Yang duduk atas pagar atau tak mahu langsung fikir tentang politik, cuma mengharapkan, siapa menangpun aku tak kira, asalkan periuk nasi aku terjamin.

Bagi Najib sendiri pula masih seperti  biasa, tenang dalam kesibukan mengatur strategi,” aku akan pastikan selepas PRU 13 nanti, aku masih jadi Perdana Menteri.”

Begitu juga telahan penulis ! Anda bagaimana ?

Seperti sebelum PRU 12 yang lalu, “ Daim yang Diam”  tapi kini "Daim tidak Diam" lagi. Daim telah bersuara.  Dahulu beliau meramalkan  negeri-negeri di utara Pantai Barat Semenanjung hingga ke tengah akan jatuh macam Teori Domino ke tangan pembangkang.  Ramalan Daim hampir tepat. Empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor hanyut dek Tsunami politik PRU tahun 2008. Namun suara Daim kali ini bertentangan dengan ramalannya dahulu. Daim kata,”Najib jauh lebih baik dari Anwar”. Apa simbolik di belakang kenyataannya itu. Tentunya Daim meramalkan Najib akan memang PRU 13. Bukan saja menang, bahkan beliau mahu Najib meneruskan agenda transformasinya.

Sebagai seorang pemikir yang tajam, seorang ahli politik yang cool tetapi menyengat, seorang ahli kewangan dan banker yang ingin melihat kesinambungan pembangunan negara yang akan menguntungkan semua pihak ,  maka Daim mengakui bahawa tiada pilihan lain kecuali mengundi bagi parti yang mewakili Najib.

Negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohammad bukan sahaja telah kembali masuk saf yang mana tidak dilakukannya semasa Pak Lah terkial-kial menghadapi lawan dari luar dan juga dari dalam partinya sendiri semasa PRU 12 dulu, bahkan kini Tun turut sama berkempen untuk Najib.  Sesetengah pihak mengatakan ia berbuat demikian bagi menyediakan jalan yang lebih lurus untuk Mukhriz, tetapi Tun bukannya orang seperti Anwar yang mana beliau sendiri, isteri dan anak serta anak didikannya menjuarai parti dan politik. Tun melihat terutamanya orang-orang Melayu harus diberi kesedaran baru dan tidak tinggal dalam “Dilemma Melayu”.

Pak Lah yang dihentak kiri kanan atas bawah sebelum PRU 12 dahulu telah dihukum oleh pengundi yang bukan sahaja dari parti lawan bahkan diberi undi protes oleh pengikut-pengikutnya. Itu dulu, Pak Lah tak berdendam. Negarawan tak mudah merajuk, kalau iapun hanya seketika sahaja. Kini nada-nada Pak Lah telah kembali menyokong Najib walaupun suaranya tidaklah sehebat dahulu. Tapi cukuplah agar tidak ada suara yang sumbang.

Inilah antara suara-suara yang dianggap kuasa ghaib yang sedikit-sebanyak boleh menaikkan imej dan kepercayaan rakyat kepada Najib. Masa Pak Lah dulu, suara-suara ini tidak menyebelahinya, malah memberi indikasi dan persepsi bahawa Pak Lah tak layak lagi diberikan mandat. Perlu dingat, dalam menterjemahkan maksud kepada rakyat atau pengundi terutamanya dalam masa yang amat genting semasa  kempen pilihanraya, persepsi memainkan peranan penting.  Jika persepsinya positif bermakna peluang ada “1”, jika tidak akan diberi “0”.

Selain daripada kerja-kerja Najib yang menjadi kayu ukur bagi menilai prestasinya untuk diberi mandat sekali lagi oleh rakyat, prestasi dan perbandingan pihak lawan juga dijadikan penghitung samada nak pangkah BN atau pangkah parti-parti yang mewakili PR.

Rakyat bijak menilai. Rakyat bukan sahaja berliterasi bahkan celik IT. Semasa PRU 12 dahulu, BN bukan sahaja kalah di peti undi, bahkan telah lebih awal dikalahkan dalam perang siber, perang blogger.  Tetapi Najib cepat bingkas, kini Najib menerajui sebagai panglima perang siber, perang blogger, perang Facebook dan perang Twitter.  Najib bukan berseorangan, tetapi dikuti oleh bala tentera siber yang cukup ramai.  Ia adalah perang saraf alaf moden  yang tidak menumpahkan darah tetapi melemahkan minda, mengeksploitasi isu, menggerakkan massa.  Ada peluang,  counter attact.   Tidak cukup dengan itu, Najib mengambil hati rakyat keturunan Cina dengan Facebook  Ajib GorJib.

Dalam beberapa tahun ini, Najib berusaha untuk mengembalikan undi dan kepercayaan masyarakat Cina yang telah semakin terhakis.  Undi masyarkat Cina memang sukar diramal. Berbeza dengan undi Melayu yang boleh “diteka” dengan pendirian dari selok belok ugama, kecenderungan keluarga, kecenderungan berpolitik, puak-puak, kenegerian, pengaruh pekerjaan, taraf hidup dan sebagainya. Undi masyarakat Cina macam cips more, kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Kadang-kadang apabila kita memerlukannya, dia tiada. Apabila kita tidak memerlukannya, dia datang menagih.

 Jadi Najib terpaksa bermain tarik tali, you give I take.  I give you take. Tetapi antara give and take, ada satu perjanjian yang tidak tertera di mana-mana kertas perjanjian. You know I know, and everybody know.  Nampaknya strategi Najib mengena, umpan dihulur, ikan mengena. Nak dapat  ikan besar tak tahu lagi, tapi sekurang-kurangnya ikan telah datang mengerumuni umpan.  Najib senyum sinis.

Jika ada yang tak ingat atau tak tahu, tak apa.  Sebelum pilihanraya tahun 1982, para aktivis-aktivis berpendidikan  Cina yang memperjuangkan penubuhan  Universiti Merdeka telah membuat suatu kejutan. Mereka telah menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa mereka akan menyokong kerajaan. Memang betul, masyarakat Cina mengundi calon-calon kerajaan.

Slogan mereka, masuk BN, perbaiki BN.  Dengan itu masuklah Dr. Koh Tsu Koon, Kerk Choo Ting dan beberapa aktivis Cina ke dalam Gerakan. Dr. Koh memang dalam pilihanraya tahun 1982. Selepas itu aktivis Cina dengan kerajaan ada pasang surutnya. Tetapi yang menariknya ialah pada 23hb Mac yang lalu, PM bersama bintang Hong Kong, Jackie Chan telah memukul gendang bersama dalam perasmian Majlis Makan Malam bagi mengutip dana bagi penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa, Kuantan. Sekali lagi para aktivis pendidikan Cina telah memberikan sokongan terhadap Najib. Apakah ia kemuncak sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan telah kembali.  Sesungguhnya salah satu kunci sokongan masyarakat Cina ialah dengan isu pendidikan Cina.  Lebih manis ianya dilakukan di kampong halaman Najib sendiri.

Dalam menangani isu kaum India tidaklah serumit dalam masyarakat Cina. Masyarakat India yang komposisinya kecil tetapi telah dipisahkan dengan pelbagai parti dan ikutan NGO yang telah mencucuk hidung agar mengikut telunjuk mereka. Dalam kerajaan mereka tertumpu dalam MIC  dan PPP serta sedikit dalam Gerakan. Hampir keseluruhan ahli dalam IPF yang bukan gabungan BN tetapi mengambil sikap menyokong BN. Keadaannya sama juga dengan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) yang diterajui oleh Senator Datuk S. Nallakaruppan yang bersengketa dengan Anwar Ibrahim.

Dalam pembangkang, mereka bersama DAP dan PKR.  Manakala dalam parti-parti serpihan yang lain seperti Makkal Sakti yang merupakan bekas ahli-ahli HINDRAF. Ahli-ahli HINDRAF juga berjuang dalam DAP. Masih ada lagi pecahan dan serpihan kaum India yang berada dalam parti-parti kecil yang lain, hinggakan kita sendiripun tak pernah dengar.  Itulah lagak jika masing-masing nak jadi bos walau dalam parti yang kecil.

Jadi macamana Najib nak kumpulkan mereka agar menyokong BN.  Ia mengambil masa yang lama dan menggunakan strategi. Najib berjaya lakukan.  Sebelum PRU 12 dahulu, penentangan kaum India terhadap BN berpunca dari dalam dan luar. Dari dalamnya ialah perpecahan yang berpunca daripada penolakan terhadap Presiden MIC, Samy Velu.  Mr. Samy kalah di Sungai Siput dan diminta berundur secara terhormat bagi mengembalikan sokongan masyarakat India terhadap MIC.  Ia berhasil.

Kita masih ingat, beberapa bulan sebelum PRU 12, hubungan kaum antara Melayu dan India telah menampakkan bibit-bibit pergeseran.  Perkelahian yang dianggap rusuhan kecil di Kampung Medan, dekat Sg Way, Selangor telah mencetuskan ketidakpuasan hati antara kaum. Diikuti dengan ketegangan yang berlaku di Kampung Jawa, Klang ekoran perobohan sebuah kuil India. Kemuncaknya ialah perhimpunan HINDRAF yang didalangi oleh pembangkang di Kuala Lumpur. 

Dalam keadaan yang hampir mencetuskan huru-hara, polis terpaksa  menyuraikan perhimpunan haram itu dengan gas pemedih mata dan pancutan senapang air.  Maka gelombang penolakan terhadap BN semakin memuncak. Tidak lama selepas itu Pak Lah memohon mandat dari rakyat yang akhirnya memperlihatkan pengaliran undi kaum India ke kem pembangkang.

Najib terpaksa mententeramkan masyarakat India dengan pelbagai insentif. Peluang dalam perniagaan, pendidikan, latihan vokasional, isu kerakyatan dan pendaftaran lewat ditangani secara berhemah.  Ahli-ahli HINDRAF telah berpecah dan ada yang datang menyokong kerajaan. Isu pokok yang menyelingkari kaum India ialah soal kuil. Dalam beberapa tahun ini Najib telah berada di Batu Caves bersama penganut Hindu semasa perayaan Thaipusam. Jalan-jalan di Brickfield yang sinonim dengan kaum India telah dinaiktaraf dan dijadikan Little India yang cukup menarik. Kini sudah tidak kedengaran lagi rungutan kaum India. Kecuali mereka yang betul-betul berada dalam kem pembangkang. Najib puas hati. Sokongan kaum India sudah kembali.

Yang tinggal ialah bagaimana nak dapatkan sokongan yang lebih besar dari orang-orang Melayu sendiri.  Najib sedar orang Melayu secara amnya tak kurang pecah lima.  Pecah kepada UMNO, PAS, PKR dan kumpulan yang berada dalam parti-parti seperti DAP, Berjasa, KITA  dan sebagainya. Selain itu ialah yang atas pagar.

Najib lebih tertumpu kepada pengukuhan parti sendiri, UMNO. Walaupun kocakan dalam cawan tidak melimpah, namun Najib akan pastikan ianya tidak merebak keluar.  Sekurang-kurang tidak berlaku sabotaj yang berleluasa seperti yang berlaku semasa era Pak Lah dahulu. Orang Umno sendiri memenangkan pihak lawan.  Dalam politik, kita sukar untuk meramalkan perkara-perkara begini akan berlaku, tetapi telah ada usaha untuk menanganinya. Strategi telah ada.

Sekarang Umno berada di puncak. Pergolakan dalaman nampaknya minima. Cuma pergeseran untuk melobi bagi mendapatkan tempat yang satu atau dua menjadi calon PRU nampaknya sengit. Tapi itu adalah adat politik walau kita berada dalam mana-mana kem sekalipun. Najib tak risau dah ! Malah dikatakan Najib tengah memuktamatkan calon-calon dari kalangan parti-parti komponen BN. Sedangkan di pihak lawan sedang berperang sama sendiri bagi merebut kerusi untuk ditandingi oleh calon parti masing-masing. Najib tersenyum puas ! 

Strategi dimainkan bagi mendapatkan kembali sokongan dari ahli-ahli Pas dan PKR. Jika tidak dapat banyak sekalipun, ia mungkin dapat menyekat golongan atas pagar yang bersimpati dengan Pas dan PKR agar menyokong BN. Ini yang giat dilakukan.

Dalam perang antara parti ke parti. Ikon utama yang harus ditentang ialah Anwar Ibrahim. Maka seluruh jentera parti dan media bergerak seiring. Dalam PRU 12, pembangkang tidak mendapat layanan seadilnya dari media arus perdana lalu mengalih kepada media alternative seperti blog dan facebook. Tetapi kali ini nampaknya pengalaman lama pembangkang tidak dapat menyaingi  kehebatan BN yang lebih terkedepan.  Setiap isu dibangkitkan pembangkang dapat dipatahkan dengan cepat. Jadi pembangkang tidak dapat meracuni pemikiran rakyat dengan isu-isu yang dibangkit dalam perang siber seperti yang terjadi pada Pak Lah dahulu.

Isu senjata makan tuan telah menguntungkan Najib. Lim Guan Eng bercadang menggunakan senjata kalimah Allah untuk mendapat laba dari penganut Kristian khususnya di Sabah dan Sarawak akhirnya makan tuan.  Hadi Awang yang termakan senjata Lim Guan Eng telah termasuk perangkap DAP. Akhirnya DAP dan PAS telah menanggung bebanan dan kerosakan parti yang bukan sedikit. Sekurang-kurangnya disebabkan protes ini , undi kepada Pas dan DAP dapat ditarik ke kem BN.

Senjata yang dikirimkan oleh Kiram ke Lahad Datu telah memakan korban orang-orangnya sendiri.  Lebih banyak pihak pembangkang bersuara, lebih banyak sokongan yang diperolehi oleh Najib dari rakyat.  Lebih banyak pula pembongkaran isu-isu yang dikaitakan dengan pembangkang.  Pihak polis dan tentera mendapat penghargaan negara yang tertinggi. Semangat patriotik rakyat semakit tinggi lalu menenggelamkan perlekehan yang dibuat oleh pembangkang.  Secara tidak langsung imej kerajaan pimpinan Najib mendapat kredit yang bukan sedikit sebelum PRU.

Sebelum melangkah ke peti undi PRU 13, Najib telah membuat perhitungan yang wajar. Dengan melengah-lengahkan tarikh pembubaran parlimen sehingga ke saat akhir menunjukkan Najib tidak terburu-buru untuk mendapatkan mandat baru seperti yang dilakukan oleh Pak Lah.

Sesungguhnya pembangkang telah kalah perhitungan dengan beberapa kali mengatakan akan membubarkan DUN lebih awal tetapi sehingga sekarang masih belum berbuat demikian.  Pembangkang juga telah tertipu kerana telah menjangkakan parlimen dibubar awal lalu mengumumkan manifesto lebih awal. Ia memberi peluang kepada Najib untuk meneliti serta memberi counter offer yang lebih baik kepada pengundi. Itulah strategi Najib


Ditulis oleh : Hisemudin Kasim
01.04.2013 



Post a Comment