Wednesday, March 27, 2013

Apa strategi Najib melengahkan pembubaran parlimen bagi menghadapi PRU 13




Pada malam 23hb Mac PM telah berada di Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi menghadiri majlis Makan Malam dan Pertunjukan Amal untuk membina bangunan Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan yang dihadiri oleh 10,000 masyarakat Cina. Sebelum itu PM juga telah menamatkan siri terakhir jelajah Janji Ditepati di perkarangan Padang Majlis Perbandaran Kuantan dengan dihadiri oleh kira-kira 80,000 orang. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional pimpinannya akan memohon mandat daripada rakyat untuk tempuh lima tahun akan datang berdasarkan penawaran janji-janji ditepati sebaik parlimen dibubar.

Sah parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat. Hari esok (27.03.2013), DUN Negeri Sembilan secara teknikalnya akan tamat mandatnya dan terbubar pada keesokkan harinya . DUN Selangor yang diuar-uarkan oleh Khalid Ibrahim masih terkial-kial untuk mengisytiharkan pembubaran, walaupun telah beberapa kali ‘main acah-acah” kebudakan yang dianggap tidak matang politik oleh sesetengah penganalisa dan penulis politik.

Untuk rujukan, tarikh dewan undangan negeri-negeri yang terbubar dengan sendirinya sebelum 30hbb April ialah : Negeri Sembilan (27 Mac), Pahang (7 April), Melaka (21 April), Johor (21 April), Selangor (22 April), Perak ( 25 April), Perlis (28 April), Kelantan (28 April). Parilmen akan tamat tempohnya pada 28hb April, tetapi oleh kerana keesokan harinya ialah Sabtu, maka mengikut tafsiran undang-undang maka tarikh pembubaran secara teknikal ialah pada 30hb April. Tarikh ini juga terpakai pada negeri-negeri Perlis dan Kelantan yang jatuh pada hari yang sama.

Sesetengah orang berpendapat apabila DUN atau parlimen di bubarkan, maka akan terjadi kekosongan kuasa atau vocum power dalam kerajaan. Sebenarnya tidak, hanya terbubar ialah kuasa perundangan sahaja, yakni dewan tidak boleh membuat undang-undang dan semua wakil rakyat terlucut sebagai YB. Yang ada ialah PM dan jemaah kabinet di peringkat pusat, manakala MB atau Ketua Menteri serta exco yang menjalankan tugas atas kapasiti penjawat awam.

Sebelum saya membuat analisa seterusnya tentang strategi PM melengah-lengahkan tarikh pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada PRU 13, saya ingin meminjam kata-kata hikmah dan pengajaran dari sebuah cerita epik yang amat bersejarah dalam strategi peperangan di Negeri China. Ianya juga telah difilemkan dalam Battle of Red Cliffs atau Battle of Chibi (赤壁之战 Chìbì zhī zhàn). Saya telah menonton filem tersebut pada tahun lepas dan tentunya pemahaman saya lebih mendalam kerana saya mengetahui sejarahnya.

Epik sejarah ini termuat dalam The Three Kingdoms ( 三国演义) yang wujud sebelum penyatuan China oleh
Qin Shi Huang (秦始皇) lagi yang membina tembuk besar Negeri China. Dalam epik sejarah ini memaparkan strategi politik, perang saraf, pertahanan negara, peperangan darat dan atas air, penggunaan peralatan perang, peranan risikan, permainan politik antara kawan dan lawan serta pengkhianatan dalam politik dan erti setiakawan. Versi sejarah ini biasanya akan diajar dalam mana-mana sekolah atau kolej ketenteraan di seluruh dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Saya sendiri telah membaca versi yang dipermudahkan dalam bahasa Cina moden, kerana versi asalnya adalah terlalu sukar untuk difahami dan ditulis dalam bahasa Cina klasik.

Kemuncak dalam filem the Battle of Red Cliffs, ialah adegan “To borrow arrows with thatched boats” (草船借箭 cǎo chuán jiè jiàn). Dalam bahasa Melayunya bolehlah ditakrifkan sebagai, meminjam anak panah dengan perabu jerami. Daripada kisah ini juga ia dijadikan satu peribahasa yang terkenal oleh orang-orang Cina yang membawa maksud, to use one's wisdom to take advantage of other's manpower and resources for his own purposes.

Penceritaannya diringkaskan seperti berikut :

Dalam era the Three Kingdoms yang berlaku di Sungai Yang Tze dimana berlaku peperangan dan penyatuan beberapa negeri. Cao Cao yang merupakan ketua tentera yang kuat di utara dan mengistiharkan dirinya sebagai perdana menteri atau yang setaraf dengannya bahkan sebagai raja negeri Wei (魏). Dia telah cuba menakluki negeri di selatan bernama Wu (吳). Dalam masa yang sama terdapat sebuah negeri lain bernama Shu (蜀) telah menghantar seorang pakar strategi peperangan bernama Zhuge Liang ke negeri Wu untuk membincangkan penyatuan ketenteraan bersama bagi menentang Cao Cao. Ketiga-tiga negeri Wei, Wu dan Shu merupakan tiga negeri yang berperang antara sama sendiri masa pra penyatuan China oleh  Qin Shi Huang.

Tetapi komander Wu, bernama Zhou Yu agak berdengki dengan kepakaran Zhuge Liang dalam strategi peperangan. Sebagai muslihatnya pula ingin menguji Zhuge Liang, maka Zhou Yu meminta Zhuge Liang untuk menyediakan 100,000 anak panah dalam masa 10 hari untuknya bagi menghadapi peperangan.

Zhuge Liang menjawab, “ aku hanya perlukan 3 hari saja untuk menyediakannya”

 Zhou Yu berkata pula, “hah, 3 hari saja !!??”

Zhou Yu telah menghantar orang kanannya bernama Lu Su untuk bertemu dan mengintip Zhuge Liang.

Lu Su bertanya kepada Zhuge Liang, “tuan, bagaimana kita boleh menyediakan 100,000 anak panah dalam masa 3 hari ?”

Zhuge Liang menjawab,”sediakan saja 20 perahu, tutup perahu dengan kain hitam dan letakkan 30 orang askar di dalamnya, kemudian letakkan jerami-jerami padi bagi menutupi bahagian-bahagian perahu dan patung-patung jerami yang menyerupai orang.”

Lu Su ternganga lalu menjawab,” hah, hanya itu yang tuan mahu ???!!!”

Pada malam ketiga, Zhuge Liang dan Lu Su telah mengetuai angkatan perahu jerami yang diikat antara satu sama lain menghampiri kem tentera Cao Cao. Apabila tiba di sana, Zhuge Liang telah mengarahkan askar-askarnya membuat semboyan perang seolah-olah bagi menarik perhatian askar-askar Cao-Cao.

Askar-askar Cao Cao telah menghujani perahu-perahu itu dengan anak panah. Padahal anak panah tersebut hanya terlekat pada jerami. Maka di siang hari esoknya baliklah angkatan perahu jerami ke kem mereka. Hanya sebuah sahaja perahu yang terlepas lalu di”tawan” oleh askar-askar Cao-Cao. Maka barulah mereka ketahui bahawa mereka telah tertipu oleh strategi Zhuge Liang.

Lu Su berkata,”oh ini rupanya strategi engkau meminjam anak panah daripada Cao Cao”.

Zhuge Liang menjawab dengan megah,”ya, mungkin lebih 100,000 anak panah di atas perahu tu !”

Zhuge Liang bukan sahaja dapat memperdaya Cao Cao malah dapat menunjukkan strategi peperangannya kepada lawan dan juga seterunya iaitu Zhou Yu. Ini adalah salah satu daripada episod bagaimana Zhuge Liang menggunakan strategi dalam mencapai matlamat politik dan ketenteraan bagi negeri Shu. Di samping mengelak ditakluki oleh Cao Cao walaupun ia sebuah negeri yang lebih kecil.

Apakah moral yang kita dapati daripada penceritaan tersebut. Ia melambangkan strategi memainkan peranan penting dalam apa jua misi. Pilihanraya adalah satu peperangan. Maka strategi pilihanraya adalah laksana merencana strategi peperangan. Salah strategi pilihanraya bermakna kita kalah peperangan. Begitulah sebaliknya.

Maka apakah strategi Najib dalam menghadapi pilihanraya yang boleh dikaitkan dengan the Battle of Red Cliffs.
Najib mempunyai pemikiran yang tajam serta dikelilingi oleh super duper think tank yang sungguh brilliant dalam merencanakan strategi. Bermula dengan strategi perang saraf, diikuti dengan perang material, secara tak sengaja ada pula perang sebenarnya di Lahad Datu, akhir sekali perang dalam pilihanraya.

Najib disifatkan sebagai seorang panglima perang seperti juga Zhuge Liang yang bertindak dengan penuh berani dan berstrategi. Dalam menghadapi desakan tarikh pembubaran parlimen, Najib tidak pernah tunduk dengan asakan pelbagai pihak yang mahukan parlimen dibubarkan lebih awal. Ramalan demi ramalan yang dibuat, namun sehingga kini semuanya meleset. Semuanya kalah, bermakna Najib sudah menang dari segi moral dalam penentuan kuasa mutlak yang terletak ditangan beliau.

Sebagai panglima perang Najib tidak perlu terikut-ikut dengan contoh PM yang lalu. Contohnya, Pak Lah terpaksa mengisytiharkan pembubaran parlimen pada 12hb Feb 2004 kerana faktor Anwar Ibrahim yang hampir tamat tempuh penggantungan dari menyertai PRU. Maka SPR menetapkan 8hb Mac 2004 sebagai PRU 12. Walaupun mandat sebenar Pak Lah tak sampaipun empat tahun. Pak Lah terpaksa menidakkan Anwar dengan helah ini. Di samping itu krisis kewangan global akibat subprime kredit perumahan Amerika serta kenaikan harga komuditi makanan serta kenaikan harga bahanapi telah mencengkam rakyat. Maka Pak Lah terpaksa “berani” menetapkan PRU 12 lebih awal. Sedangkan Najib tidak terdapat tekanan yg sedemikian, maka apakah perlu beliau membubarkan parlimen lebih awal bagi mendapatkan mandat baru ?

Pihak pembangkang terpekik terlolong mengatakan Najib pengecut kerana melewat-lewatkan pembubaran parlimen. Apakah itu perlu, kerana mandat yg ditinggalkan oleh Pak Lah ialah pada tarikh 28hb April 2013. Najib memerlukan banyak masa untuk melakukan perubahan dan transformasi bagi mengubah landskap ekonomi, pendidikan, kewangan, politik, pembangunan insan serta transformasi yang berimpak tingggi seperti koridor ekonomi, Iskandar Malaysia, projek greater Kuala Lumpur yang termasuk MRT dan penyambungan laluan LRT. Najib perlukan masa untuk melihat dan membiarkan rakyat menilai hasil-hasil transformasi tersebut. Sekarang adalah masanya, dan bukannya beberapa bulan yang lalu kerana ia belum menampakkan hasil. Report card Najib akan lebih menampakkan “biru” daripada “merah” malah mencapai kredit yang tinggi. Ini adalah strategi Najib. Strategi ini tidak ditentukan oleh pembangkang.

Dalam belanjawan tahun 2013 yang dibentangkan tahun lalu, PM akan memberikan rakyat pelbagai insentif. Dari pelbagai lapisan masyarakat mendapat menfaat. PM menggunakan serampang dua mata dengan melihat “ekonomi makro” terhadap pengaliran wang tunai iaitu kecairan dalam negara. Ini memandangkan ekonomi di luar negara tidak berganjak. Maka kita terpaksa merancakkan ekonomi dalam negara dengan mengajak rakyat berbelanja. Maka dari segi “ekonomi mikro” setiap keluarga punyai lebih wang untuk dibelanjakan. Putaran dan aliran tunai dalam negara akan menggerakkan ekonomi dan seterusnya kerajaan juga akan mendapat hasil dari kutipan hasil percukaian. Sebab itulah insentif BR1M dan beberapa insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Inilah strategi Najib bagi mententeramkan hati rakyat, apatah lagi dengan tekanan hidup yang semakin tinggi. Jika dilakukan pembubaran parlimen beberapa bulan lalu, apakah rakyat akan merasainya ?

Kritikan mengatakan segala pemberian ini diambil dari Petronas seperti yang dikatakan oleh seorang komentar di ruang ini adalah tidak benar. Beliau mengatakan bahawa BR1M dirompak dari Petronas dan diberikan kepada rakyat serta negara terpaksa berhutang. Najib dikatakan tidak bertanggungjawab kerana berhutang lalu meninggalkan hutang yang banyak untuk dibayar oleh pembangkang apabila mereka berjaya menawan Putrajaya kelak. Apakah beliau sedar dalam pentadbiran Najiblah maka LHDN telah dapat mengutip RM86 billion dalam tahun 2010, tahun 2011 (RM109.7 billion), tahun 2012 (RM124.8 billion), manakala tahun 2013 diunjurkan perolehan RM130 billion. Apakah dengan mengambil RM3 billion untuk BR1M daripada hasil kerajaan itu maka kita terpaksa meminjam dari luar. Inilah strategi Najib bagi mengukuhkan ekonomi dan sistem percukaian negara.

Najib juga terpaksa melengahkan pembubaran parlimen sehingga sekarang kerana kebiasaannya indeks kewangan dari syarikat-syarikat yang dibuat penutupan akaun pada penguhujung tahun lepas hanya dapat diperolehi pada suku pertama pada setiap tahun. Nah, apa yang kita perolehi dari data-data Bank Negara Malaysia baru-baru ini menunjukkan ekonomi Malaysia berada di landasan yang cukup cemerlang. Malaysia mencatatkan peningkatan ekonomi KDNK melebihi unjuran kepada 5.6%. Sedangkan negara-negara jiran dan Amerika Syarikat menunjukkan prestasi negatif, kosong peratus atau dalam lingkungan 2-3% sahaja.  Ini memberi petunjuk kepada masyarakat perniagaan dan pelabur luar tentang kestabilan ekonomi Malaysia. Jika parlimen dibubarkan lebih awal beberapa bulan yang lalu, apakah kita akan nampak perubahan ini ?

Berbalik kepada contoh-contoh cerita meminjam anak panah dengan perahu jerami, ia ditujukan kepada pihak pembangkang. Jika diambil krisis dalam parti DAP sebagai contoh, ia adalah hampir bertepatan dengan moral cerita ini. Jika anak panah dianggap halus dan lebih kuno, maka ROKET bolehlah dianggap moden dan lebih besar. Maka lebih lama krisis DAP diheret, maka lebih menguntungkan Najib dan BN. Sekarang Najib telah "meminjam roket" daripada DAP yang disebabkan oleh pemimpin DAP tidak mengikut peraturan ROS maka roket akan memusnahkan DAP sendiri melalui kapal yang bertanda ROS. Apakah ini satu strategi yang lebih tinggi ilmunya yang tidak dihidu oleh sebilangan orang ? Tapi inilah strategi Najib.

Berbalik kepada kehadiran Najib dalam Majlis Makan Malam di Stadium Darul Makmur serta merasmikannya. Ia membawa signifikan kepada masyarkat Cina bahawa orang-orang Cina telah mula beralih menyokong BN. Kita harus tahu, isu Sekolah Chong Hwa Kuatan adalah isu nasional masyarakat Cina, dengan kerjasama dari badan-badan pendidikan Cina bermakna orang-orang Cina akan lebih rapat dan akan mempercayai Najib. Najib tidak mahu kehilangan sokongan ini. Maka inilah strategi yang paling baik dan terakhir buatnya sebelum PRU 13.

Dalam majlis tersebut, PM bersama pelakon antarabangsa Jackie Chan yang telah mendermakan sebahagian koleksinya untuk dilelong dlm majlis tersebut, telah melakukan pukulan gendang secara bersama. Apakah signifikan ini ? Dalam tradisi Cina, memukul gendang adalah permulaan sesuatu yang baik. Maka ia juga bermakna PM telah memukul gendang PRU 13.

Kita nantikanlah dalam masa yang terdekat, mungkin beberapa hari atau seminggu dua lagi. PRU 13 pasti membuka tirai.


Nota : Artikel ini telah tersiar di FB saya pada 26.03.2013
Post a Comment