Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin. Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
”smile”/
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00

Monday, November 9, 2015

Pertemuan Xi Jinping dan Ma Ying-Jeou terhadap hubungan dua daratan Selat Taiwan


Tajuk tulisan saya kali ini adalah bertepatan dengan terlakarnya satu sejarah pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou atas usaha diplomatik Singapura sebagai tuan rumah pada 7hb November, 2015.

Saya namakan tajuknya, ”Pertemuan Xi Jinping dan Ma Ying-Jeou terhadap hubungan dua daratan Selat Taiwan” atau ditulis dalam bahasa Cina sebagai, “习马会对海峡两岸的关系“.

Dalam memperkatakan hubungan antara China dan Taiwan, dalam bahasa Cina sering hanya menulis sebagai “两岸“(disebut liang – an) yang bermakna “dua daratan”. Secara umum mengetahui bahawa terma “dua daratan” adalah Negara China dan Wilayah Taiwan yang dipisahkan oleh Selat Taiwan.

Apakah signifikan dan asas-asas kepada pertemuan bersejarah ini setelah China dan Taiwan berpisah selama 66 tahun sejak tahun 1949 lagi. Ia akan dihuraikan dalam segmen sejarah perang saudara antara Parti Komunis China dan parti Nasionalis, iaitu Parti Kuomintang.

Dalam pertemuan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Singapura pada 7hb November, Presiden China Xi Jinping dan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou telah ditemukan tepat pada pukul 3.00 petang waktu Singapura.

Kedua-dua pemimpin ini telah berjabat-tangan buat pertama kali bagi mewakili dua parti yang berbeza ideologi. Kali terakhir pertemuan bagi pemimpin parti Komunis China dan Parti Kuomintang diadakan pada tahun 1945 antara Mao ZeDong dan Chiang Kai-Seek. Namun pertemuan itu didakwa “gagal” dan membawa kepada perang saudara.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Presiden China, Xi Jinping, beliau telah menuturkan bahawa,”两岸打断骨头连着筋“ yang bermakna,”hubungan dua daratan sekalipun patah tulang disambungkan dengan daging”.

Selain itu, diucapkan,”两岸血浓于水“ yang bermakna, “hubungan dua daratan dengan darah yang lebih kental daripada air”.

Pertemuan bersejarah ini diiringi oleh protes sebilangan rakyat Taiwan dan diselubungi oleh ketidaktentuan masa depan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang.

Ini kerana pada bulan Januari tahun depan (2016) akan diadakan Pilihanraya Presiden. Namun, Presiden Ma Ying-Jeou akan tamat dua penggal pentadbirannya sejak tahun 2008 lagi.

Kini rating bagi parti pemerintah dan bakal calon Presiden dari parti Kuomintang dikatakan tidak cukup kuat untuk mengimbangi populariti dari parti pembangkang, iaitu Parti Progresif Demokratik (DPP).

Dikatakan Ma Ying-Jeou akan menggunakan kesempatan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping sebagai platform meraih sokongan dari rakyat.

Presiden China pula telah menekankan bahawa pertemuan ini dan hubungan akan datang adalah berteraskan kepada “Konsensus 1992”, iaitu yang mengiktiraf “Satu China”. Namun kedua-dua pihak mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai konsensus ini.

Sebenarnya, Singapura telah merintis jalan bagi menghubungkan antara China dan Taiwan. Pada tahun 1993, Singapura telah mengatur pertemuan tidak rasmi antara delelasi China dan Taiwan. Kemudian disusuli dalam beberapa pertemuan yang membawa kepada peringkat yang lebih tinggi.

Maka kali ini, adalah kemuncak kepada pertemuan bersejarah itu.

Singapura yang selayaknya mengaturkan pertemuan ini, memandangkan ia dikatakan sebagai “negara China ketiga selepas China dan Taiwan”.

Ia juga memberi manfaat yang sangat besar dari aspek ekonomi dan perdagangan bagi Singapura, China dan Taiwan. China, kini adalah rakan dagang terbesar bagi Taiwan. Pelaburan Taiwan di China begitu besar sehinggakan kini bank China telahpun beroperasi di Taiwan.

Singapura dan Taiwan banyak mendapat manfaat daripada dasar kapatalisma China terhadap beberapa wilayah selatan dan tenggara negara itu pada eza Deng Xiao Ping.

Ketika itu telah diwujudkan “satu negara, dua sistem”, di mana wilayah-wilayah selatan dan tenggara telah dibenarkan untuk membangun serta menerima pelaburan asing yang berasaskan kapatalisma.

Maka kini, salah satu wilayah yang paling menonjol ialah Wilayah Guangdong yang banyak menerima pelaburan Taiwan dan Singapura.

Ibu negeri Wilayah Guangdong ialah Guangzhou, yang dulunya dikenali sebagai Canton.

Kini Guangzhou telah menjadi syurga bagi warga asing, termasuk dari Malaysia untuk membeli barangan buatan China dengan harga yang murah.

Setelah Hong Kong dikembalikan kepada China pada tahun 1977, maka kerancakan pembangunan sistem kapatalisma semakin menyerlah.

Oleh itu, China tidak dapat bertahan lagi dengan dasar komunis eza Mao ZeDong. Ia terpaksa menerima hakikat bahawa dunia kapatalisma telah menguasai ekonomi China.

Maka, China terpaksa mengakui bahawa Taiwan walaupun dianggap sebagai “pemberontak” dalam istilah politik mereka, tetapi ia adalah yang melonjakkan ekonomi China. Peranan Taiwan dalam pembangunan China tidak dapat dinafikan.

Oleh itu keputusan Presiden Xi Jinping untuk bertemu dengan Presiden Taiwan juga dibayangi dengan kuasa ekonomi Taiwan.

 Sejarah perang saudara dan era perang dingin China - Taiwan
 

Selepas Peperangan Dunia Ke II di tahun 1945, Jepun menyerah kalah dan keluar dari negara China. Namun, berlaku peperangan saudara antara Parti Komunis China yang diketuai oleh Mao ZeDong dan parti pemerintah, iaitu Parti Kuomintang yang diketuai oleh Jeneral Chiang Kai-Seek.

Akhirnya kerajaan yang dikuasai oleh Parti Kuomintang terpaksa berundur ke Taiwan dalam tahun 1949 bersama hampir dua juta pengikutnya. Maka Jeneral Chiang Kai-Seek telah menjadikan Taiwan sebagai benteng pertahanannya dan mengistiharkannya sebagai Presiden Taiwan.

Sehingga hari ini, penduduk Taiwan masih memisahkan antara “imigran” semasa pengunduran perang  dari China ke Taiwan dalam tahun 1949 dengan “penduduk asal” Taiwan.

Orang-orang yang “pindah” dari Tanah Besar China serta keturunannya biasanya adalah penyokong parti Kuomintang. Mereka dikategorikan sebagai “外省人“ iaitu “orang dari wilayah lain”, yang bermakna dari Tanah Besar China.

Manakala penduduk asal Taiwan dikenali sebagai “本省人“ iaitu “orang wilayah ini”, iaitu dimaksudkan orang-orang asal Taiwan. Mereka adalah penyokong tegar kepada parti pembangkang, iaitu Parti Progresif Demokratik.

Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin.
Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


Sejak pengunduran tentera dan kerajaan Parti Kuomintang dalam tahun 1949, Taiwan mengisytiharkan undang-undang tentera. Ini kerana peperangan dengan Parti Komunis China masih belum berakhir. Ia dianggap sebagai “era perang dingin”.

Malah sehingga kini, antara China dan Taiwan masih belum termeterai Perjanjian Damai yang berkekalan.

Bagaimanapun transformasi politik di Taiwan tidak dapat dibendung dengan undang-undang tentera lantaran “kemarahan” dari penduduk asal Taiwan terhadap parti pemerintah, Parti Kuomintang.

Maka undang-undang tentera ditarik balik dalam tahun 1986. Selepas itu, barulah tertubuhnya banyak parti-parti politik yang secara amnya menentang parti pemerintah, parti Kuomintang.

Sejak tahun 1986 sehingga sekarang, parti yang memerintah Taiwan silih berganti antara Parti Kuomintang dan Parti Progresif Demokratik.

Dalam tahun 1983 – 1987, ketika itu saya berada di Taiwan kerana melanjutkan pengajian di bidang kejuruteraan di National Cheng Kung University, Tainan, Taiwan.

Saya sempat melihat dua era iaitu era perang dingin dan era transformasi politik Taiwan.
 

Pengalaman melihat era perang dingin dan era transformasi politik
 
Walaupun kehidupan rakyat dikatakan aman, tetapi di pihak tentera sentiasa bersiap-siaga terhadap ancaman perang dari China. Perkara yang saya ingati ialah setiap dalam beberapa bulan akan ada sebuah jet pejuang tentera udara China yang “mencari kekebasan” 投奔自由“mendarat di lapangan terbang Taiwan.

Di pihak China akan mengecamnya sebagai pengkhianat revolusi, manakala di pihak Taiwan pula menganggap sebagai “pencari kebebasan” dari belenggu sistem Komunis.

Maka ia akan menjadi satu berita besar dan suasana “yang dingin” menjadi “panas”.

Manakala politik di Taiwan ketika itu amatlah “huru-hara”. Ia adalah kemuncak sebelum undang-undang darurat dihapuskan dalam tahun 1986.

Gerakan bawah tanah yang menuntut kemerdekaan Taiwan semakin lantang. Maka dengan terhapusnya undang-undang darurat dalam tahun 1986, maka semua gerakan ini telah ditransformasikan dalam bentuk parti-parti politik.

Maka sebab itulah parti-parti pembangkang di Taiwan yang kebanyakannya adalah penyokong penduduk asal Taiwan memegang gagasan “Taiwan Merdeka”. Ia adalah motto bagi Parti Progresif Demokratik.

Namun ia bertentangan dengan dasar parti Kuomintang yang inginkan penyatuan “Satu China” dengan Tanah Besar China melalui konsep demokrasi ala Taiwan.

Tetapi China pula mempunyai dasar yang sama iaitu penyatuan dengan Taiwan melalui “Satu China” dengan konsep Komunis.

Saya sempat melihat pilihanraya pertama yang diadakan di Taiwan dalam tahun 1987. Oleh kerana ia selama ini diperintah oleh tentera, dan hanya baru mendapat “suara rakyat”, maka suasana “hiruk-pikuk” politik dan tiada kematangan berpolitik secara demokrasi.

Maka tidak hairanlah, kita sering melihat di kaca TV “adegan” tumbuk-menumbuk dan membaling kerusi yang berlaku di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Taiwan. Antara wakil rakyat Parti Kuomintang dengan Parti Progresif Demokratik tidak pernah boleh “duduk semeja minum teh” seperti yang berlaku di lobi parlimen negara kita.

Di akhir tahun 1987 saya kembali ke tanahair dengan segulung ijazah sebagai graduan jurutera.

Taiwan, yang saya tinggalkan dulu selama 28 tahun, tidak seperti yang dahulu. Ia semakin gah dengan kepesatan ekonomi dan kemajuan teknologinya.

Walaupun saiz Tanah Besar China yang begitu besar dengan kelengkapan ketenteraan yang hebat, dan Taiwan hanyalah sebuah pulau yang kecil dan dipencilkan pula di pentas politik dunia kerana dibayangi oleh Beijing.

Namun kuasa ekonomi Taiwan telah menggerunkan China, maka pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou dilihat sebagai satu percaturan politik dan ekonomi bagi satu keadaan menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Untuk masa datang, apakah akan terjadi dengan China ? Apakah ia mampu untuk menguasai Taiwan dengan “Satu China” melalui dasar Komunis ?

Atau Taiwan mampu untuk menyatukan China melalui “Satu China” dengan demokrasinya ?

Hanya masa menentukan segalanya.

 
Ditulis oleh :
Hisemudin Kasim
9/11/2015

Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.


Friday, October 30, 2015

Mencongak kemenangan Barisan Nasional dalam PRU14


Apakah terlalu awal untuk menulis dan mencongak kemenangan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti ?
Memandangkan rakyat Malaysia berpolitik setiap hari dengan setiap isu “dibakar” agar kehangatannya dibawa hingga ke PRU14.

Namun demikian, ada isu yang “sejuk” dan “tenggelam” di pertengahan jalan.
Maka, tulisan ini adalah berdasarkan senario dan status-quo semasa yang mungkin menjadi impak kepada keputusan PRU14 nanti.

Sebelum kita membincangkan senario dan keputusannya, eloklah kita melihat prestasi Barisan Nasional dalam PRU13 dahulu dan mencongak tarikh bilakah akan diadakan PRU14.

Dalam PRU13, Barisan Nasional (BN) telah memperolehi 133 kerusi berbanding PAS 21 kerusi, PKR 30 kerusi dan DAP 133. Ia membentuk jumlah kerusi di Parlimen sebanyak 222 kerusi.
Ini tidak termasuk perubahan jumlah kerusi bagi setiap parti apabila terdapat kemenangan atau kekalahan bagi parti-parti yang bertanding dalam beberapa siri pilihanraya kecil (PRK).
Secara jelasnya BN tidak mengungguli dua pertiga majoriti sejak pentadbiran Pak Lah dahulu. Maka apakah BN akan memperolehi dua pertiga majoriti dalam PRU14 nanti. Jika ia menjadi kenyataan, ia adalah hadiah yang paling manis untuk menidakkan kata-kata Tun Dr. Mahathir bahawa BN akan KALAH dalam PRU14.

Berdasarkan mandat penggal pentadbiran kerajaan yang memerintah ditentukan dalam perlembagaan ialah selama lima tahun. Maka tarikh akhir pembubaran parlimen ialah di bulan Mei 2018.
Mengikut tradisi penggal pemerintahan parti yang memerintah, kebiasaannya PRU akan dilakukan ketika penggal masih berbaki setengah tahun. Ini bermakna, PRU 14 bakal diadakan antara penghujung tahun 2017 sehingga Mei 2018.

Kini kita telah melalui 29 bulan dalam penggal PRU13. Ianya berbaki 31 bulan lagi untuk diadakan PRU mengikut perlembagaan.
Namun demikian, jika PRU14 diadakan cepat dua bulan, iaitu pada bulan Mac 2018. Maka kita masih ada 29 bulan bulan lagi sebelum PRU14.

Ini bermakna kini kita berada dalam PERTENGAHAN PENGGAL.

 

Dalam membincangkan unsur-unsur yang mungkin dan kebarangkalian yang muncul dalam setiap kali piliharaya umum ialah perubahan senario parti-parti politik.
Ia diikuti oleh perubahan ekonomi dalam dan luar negara.

Sentimen rakyat dalam penerimaan perubahan ekonomi makro dan ekonomi mickro serta pembangunan yang mapan akan menentukan siapakah yang akan diundi dalam PRU.
Kerana rakyat yang secara terus menerima impak itu daripada perubahan itu.

Saya hanya membincang dari dua sudut, iaitu perkembangan parti-parti politik dan ekonomi serta pembangunan sahaja.

1.       perkembangan parti-parti politik

2.      ekonomi
 

Perkembangan parti-parti politik

UMNO adalah teras bagi BN, maka jika UMNO berada pada kedudukan yang selesa dari “atas” hingga ke “bawah” maka ia adalah “kepala treler” yang membawa parti-parti komponen dalam arus yang lebih lancar.
Namun jika dalam 29 bulan akan datang, UMNO berada dalam kucar-kacir, sudah “ditentukan” dimanakah kedudukan BN dalam PRU14 nanti.

Kini menampakkan tiada isu yang besar atau perpecahan dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional.
Maka isu utama yang harus diselesaikan oleh pentadbiran DS Najib ialah kes 1MDB. Jika ia dapat diselesaikan dalam jangkamasa yang singkat. Ia akan mengunci mulut Tun Dr. Mahathir dan mereka yang “mengebang” dengan fitnah yang boleh menghancurkan negara.

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai 1MDB, sila baca tulisan saya mengenai isu 1MDB
 
 
Berbanding dengan pihak lawan iaitu parti-parti pembangkang kini berada dalam keadaan yang amat tenat.

Pakatan Rakyat yang diwar-warkan akan mengambilalih Putrajaya dalam PRU13 dahulu tidak menjadi kenyataan. Malah kini Pakatan rakyat telah terkubur.
Dengan DAP, PKR dan Amanh membentuk Pakatan Harapan. Apakah ia benar-benar membawa satu harapan kepada rakyat, setelah PAS membawa diri cara solo.

Ketidaksepakatan antara parti-parti pembangkang juga menjadi bukti bahawa mereka sebenarnya bukanlah PENTADBIR yang bagus tetapi BERSATU hanya untuk menumbangkan Barisan Nasional tanpa mempunyai satu agenda dalam pemerintahan.
Mana boleh antara ideologi sosiolisme DAP, liberal PKR dan Islam PAS dapat disatukan dalam satu gagasan atau Buku Jingga yang boleh direalisasikan.

Begitu juga PAS hanya menjadi kuda tunggangan kepada DAP dan seperti melukut di tepi gantang. Sila baca tulisan dalam blog saya sebaik sahaja selepas PRU13 dahulu.

Resapan oleh kader-kader Anwar dalam PAS yang membentuk akar tunjang dalam AJK PAS terdahulu, maka ia telah mengkucar-kacirkan PAS dan membawa aliran yang berbeza dengan aliran asal PAS.
Dengan membuat pukulan “K.O” dalam pemilihan PAS yang lalu kepada kumpulan Anwarinas, telah memperlihatkan bahawa PAS ingin kembali ke landasan asal.
Kumpulan yang kalah atau dikenali sebagai G18 akhirnya membentuk Parti Amanah yang diketuai oleh Mat Sabu.

Maka Pakatan Harapan yang hanya dapat “diiktiraf” di Pulau Pinang tetapi tidak di Selangor. Menteri Besar Selangor, Azmin Ali masih memilih PAS lantaran kelangsungan politik pentadbiran Selangor.
Kecamukan ideologi, ketidakselarasan kuasa pentadbiran telah menyerlahkan kelemahan pembangkang.
 

Penulis Blog ini, Hisemudin Kasim juga merupakan Pengarang Bahasa Mandarin.
Menerbitkan DVD Asas Belajar Bahasa Mandarin

Klik sini http://www.ebookmandarin.com/ untuk mendapatkan keterangan lanjut
Terdapat 8 keping DVD
Dengan 80 bab pelajaran
Harga RM90.00


Berbanding dengan sebelum PRU13 dahulu, ketiga-tiga parti pembangkang masih mempunyai “idola” masing-masing.
Setelah kembalinya ke rahmatullah Allayharham Tuan Haji Nik Aziz Nik Mat dan kematian Karpal Singh dalam satu kemalangan jalanraya serta terpinggirnya DS Anwar Ibrahim di hotel Sungai Buluh. Maka di manakah synergy yang ampuh boleh diharapkan untuk menduga PRU14 nanti ?

Nak harap Kak Wan ? Oh, macam bumi dengan langit. Kita masih ingat beberapa hari yang lalu, apabila ditanya oleh pemberita, apakah komen beliau tentang Lebuhraya Pan Borneo yang bebas tol.
Sungguh jengkel sekali jawapan dari Kak Wan, “Tak pernah dengar naik train ada tol ?”

Seorang Ketua Pembangkang begitu jahil sekali untuk membezakan antara lebuhraya dangan jalan keretapi. Lain ditanya, lain pula jawapannya.
Maka apakah kita nak harapkan Ketua Pembangkang yang dikatakan nak menawan Putrajaya ?

Sedangkan PAS tidak lagi mahu berkompromi dengan Pakatan Harapan dalam pembahagian kerusi dalam PRU nanti. PAS malah akan meletakkan calon mereka di kerusi DAP.
Sejak beberapa PRU yang lalu, yang jadi Pak Pacak dan yang pacak bendera ialah ahli-ahli PAS. Jentera mereka cukup teratur. Tidak seperti PKR yang hanya tahu “baling kerusi” saja. Yang tukang “guling-guling” juga ahli PAS. Orang-orang Amanah hanya akan jadi “Pak Ampu” kepada DAP.

Setelah kedudukan PAS digantikan oleh Amanah, di mana kekuatan mereka ? Hanya pemimpin-peminpin saja yang berdegar-degar sedangkan tiada akar umbi.
Dimaklumkan bahawa PAS tidak takut pertandingan tiga penjuru, ini bermakna akan ada pertandingan antara UMNO, PAS dan Amanah. Secara tradisinya jika pertandingan UMNO / PAS, sudah tentu kemenangan lebih memihak sama ada UMNO atau PAS. Apakah kali ini kita akan melihat wang pertaruhan Amanah akan hilang ?

Apakah DAP dan PKR begitu bermurah hati nak berikan kerusi untuk Amanah sebagai lambang setiakawan ?
Berita mutakhir mengatakan yang PAS sedia bekerjasama dengan UMNO. Maka sudah jelas ada bibit-bibit “persamaan” yang ujud antara dua parti Melayu berteras Islam itu.
 

Ekonomi dan pembangunan

Krisis kewangan dunia telah meruncing sejak setahun lalu disebabkan oleh kejatuhan harga minyak mentah dunia. Walaupun Malaysia bukanlah pengeksport utama minyak, tetapi negara masih bergantung sekitar 23% dari hasil minyak dan gas.
Dengan kejatuhan harga minyak, maka pendapatan negara semakin susut. Nilai matawang Ringgit berbanding USD telah jatuh sekitar 20% berbanding sebelumnya. Namun fundamental ekonomi negara masih kukuh dan sistem perbankan telah distruktur sebegitu rupa, setelah mengambil iktibar daripada kekalutan sistem bank dalam krisis kewangan Asia dalam tahun 1998 dahulu.

Sila baca artikel saya mengenai kejatuhan harga minyak dunia terhadap ekonomi Malaysia

 
Oleh itu negara akan lebih berdaya maju jika harga komuditi utama negara dan harga minyak meningkat. Secara tidak langsung ia memberi impak terhadap pembangunan negara.

Sistem percukaian SST yang dimansuhkan dan digantikan dengan GST, yang pada awalnya dicemuh oleh pelbagai pihak terutamanya oleh pembangkang. Namun sesungguhnya, GST adalah penyelamat negara dengan membuat imbangan terhadap pendapatan negara yang susut akibat kejatuhan harga minyak dan beberapa komuditi utama negara.
Dalam Bajet 2016 memperlihatkan betapa peranan GST telah mencaturkan pembahagian kepada beberapa sektor.  Tanpa GST, apakah negara mampu untuk mencorakkan bajet berimbang dengan pendapatan yang lebih konsisten.

Yang lebih “memualkan” apabila bajet pembangkang juga memasukkan GST dalam bajet bayangan mereka. Dahulunya Rafizi adalah penentang utama GST, kini dengan “muka tak malu” memasukkan pula GST sebagai satu mekanisma untuk percukaian negara.
Maka apakah pihak pembangkang mempunyai satu modul ekonomi yang boleh menandingi apa yang diterapkan oleh kerajaan.

Apakah pembangkang di Malaysia hanya berperanan sebagai “kaki bangkang” sahaja tanpa mempunyai satu pelan tindakan alternatif ?
Jika momentum ini diteruskan sehingga bajet 2018, tidak syak lagi Barisan Nasional akan memperolehi dua pertiga majoriti sekali lagi.

 
Ditulis oleh :

Hisemudin Kasim
30/10/2015
Jika anda suka dengan artikel ini, sila berikan "Like". Ia akan tersimpan di Recent Activity Facebook anda. Ia amat berguna untuk rujukan kemudian hari


Perhatian ! Anda boleh SHARE artikel ini kepada rakan-rakan Facebook anda. Klik Send


Komen anda dalam Facebook atau Blog haruslah kemas dan bernas serta bertanggungjawab. Ulasan yang tidak menepati isu atau yang bersifat tidak sopan akan dipadamkan.